Monday, November 9, 2009

Haji Yang Kelaparan Dan Kehausan Di Tanah Suci

KISAH ini diceritakan seorang kiai asal Pasuruan kepada Hidayah. Kiai itu menyaksikan kisah ini waktu dia masih menuntut ilmu di tanah suci, Makkah, lebih kurang 25 tahun lalu. Hari itu, sebagaimana terjadi setiap tahun, jutaan jemaah haji dari berbagai pelusuk dunia memenuhi Masjidil Haram di kota Makkah. Mereka semuanya sudah memakai pakaian ihram dan mengumandangkan puji-pujian dan doa kepada Allah. Siapa saja yang berkesempatan menunaikan ibadah haji pastilah menggunakan saat itu untuk berdekat-dekatan dengan Rabbnya.
Dari jutaan jemaah tersebut seorang lelaki berusia awal 50-an asal Malaysia juga turut menunaikan ibadah haji. Sebut saja namanya Datuk Amir, bukan orang sembarangan, kerana kedudukannya sebagai seorang VIP. Waktu itu, Datuk Amir tak sendiri menunaikan ibadah haji. Bersamanya, ada isteri dan seorang anaknya. Dia nampak ramah dan berwibawa. Orang-orang yang berkenalan dengannya ketika itu akan memiliki kesan bahawa Datuk Amir memang benar-benar kaya lantaran melihat penampilannya. Namun kekayaan dan nama ternyata membawa sikap kurang baik, dia terlihat sombong. Hal ini nampak saat dia sudah menjejakkan kaki di Makkah. Demi melihat penempatan jemaah haji (maktab) yang sederhana, dia menolak untuk tinggal. Kesan tak selesa dan kurang senang nampak sekali di wajahnya. Barangkali ia merasa dirinya tak layak berada di bilik hotel jemaah haji tersebut. Datuk Amir lalu memanggil pengurus jemaah haji dan meminta dirinya tak ditempatkan bersama jemaah yang lain. “Saya mahu sewa sebuah rumah, khusus bagi saya dan keluarga saya,” ujarnya kepada pengurus haji waktu itu. Si pengurus hanya mengangguk patuh kerana mengetahui Datuk Amir bukan orang biasa. Jemaah haji lain yang berada satu rombongan dengannya juga cukup memaklumi, mengingat Datuk Amir memang membawa sejumlah wang yang banyak apalagi dia memang merupakan seorang yang berkedudukan dan memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Menolak memakan makanan “kucing”
Maka dicarikanlah sebuah rumah khusus bagi Datuk Amir dan keluarganya. Rumah itu nampak mewah dengan pelbagai kemudahan yang nyaman dan lengkap. Datuk Amir pun terpisah dari jemaah haji yang lain. Kelakuan Datuk Amir tak sampai di situ. Saat dipanggil untuk makan bersama, dia juga menunjukkan sikap kurang senang. Makanan yang disediakan oleh Tabung Haji untuk para jemaah haji dia tolak menjadi makanannya. “Saya tidak mahu makan makanan itu,” ujar Datuk Amir sambil menunjuk makanan yang dibagikan bagi jemaah haji. “Makanan apa itu? Itu sama saja dengan makanan kucing,” ujar Datuk Amir dengan angkuhnya. Jemaah haji yang mendengar ucapannya itu hanya terdiam prihatin. Bagi mereka, makanan yang disediakan sudah cukup memadai, tapi bagi Datuk Amir hal itu tidaklah layak dan bahkan disamakan pula dengan makanan kucing. Pengurus akhirnya mesti mencarikan makanan lain bagi Datuk Amir yang bersedia mengeluarkan wang untuk itu. Pendek kata, Datuk Amir memang terlihat ingin berbeza dengan jemaah yang lain kerana merasa dia ada kedudukan dan memiliki wang yang banyak. Namun cerita kesombongan Datuk Amir rupanya belum berakhir. Saat tiba waktunya para jemaah akan berangkat menuju Arafah, dia menolak lagi untuk naik kenderaan yang sudah disediakan pengurus haji. Kenderaan itu baginya tak selesa dan sama sekali tak layak untuknya. Dia meminta disediakan kenderaan khusus baginya dan keluarganya. “Berapapun akan saya bayar, saya ingin disediakan kenderaan yang lebih layak bagi keluarga saya. Saya tak peduli berapa pun harga sewanya,” ujar Datuk Amir. Sekali lagi, para jemaah dan pengurus yang mendengar hal itu hanya mampu menggeleng kepala masing-masing. “Ada juga orang nak tunjuk lagak di tanah suci ini,” fikir mereka, “Selalu ingin berbeza dan banyak pula mahunya.” Pengurus yang agak kesal dengan tingkah Datuk Amir tak punya pilihan lain selain menurutinya. Tapi dalam hati si pengurus juga melihat sebuah peluang keuntungan. Kerana bersedia membayar berapapun, Datuk Amir pastilah tak ada masalah dengan harga berapa pun. Si pengurus mengetahui harga kenderaan yang diinginkan Datuk Amir adalah sekitar 100 ribu riyal. Si pengurus berniat menyewakan kenderaan itu dengan harga setengahnya, yakni 50 ribu riyal. Kenderaan itu juga tak ia sewakan melainkan dia beli terus. Nanti setelah selesai dipakai si pengurus berniat menjualnya kembali dengan harga yang tak jauh beza. Dari situ terbayang keuntungan yang berganda buat dirinya...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Tarekat Menyuci Hati Yang Berkarat

DI ZAMAN Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w., seorang sahabat yang bernama Uwais Al-Qarani r.a. juga telah menerima limpahan Ilmu Kerohanian dari Baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. meskipun dia berada dalam jarak yang jauh dan tidak pernah sampai ke Makkah dan Madinah bertemu Baginda, sedangkan beliau hidup pada suatu zaman yang sama dengan Rasulullah. Pada tahun 657 Uwais Al-Qarani telah membangunkan suatu jalan tarekat yang mencapai ketinggian yang terkenal dengan Nisbat Uwaisiyah yang mana seseorang itu boleh menerima limpahan Kerohanian dari Nabi Muhammad s.a.w. dan sekelian Para Masyaikh Akabirin meskipun pada jarak dan masa yang jauh. Di dalam kitab ‘Awariful Ma’arif ada dinyatakan bahawa di zaman Baginda s.a.w., Abu Bakar As-Siddiq dan Ali Ibni Abi Talib r.a. telah menghidupkan perhimpunan jemaah-jemaah di mana upacara Bai’ah dilakukan dan majlis-majlis zikir pun turut diadakan. Tarekat menurut pengertian bahasa bererti jalan, aliran, cara, garis, kedudukan tokoh terkemuka, keyakinan, mazhab, sistem kepercayaan dan agama. Berasaskan tiga huruf iaitu huruf Ta, Ra dan Qaf. Ada Masyaikh yang menyatakan bahawa huruf Ta bererti Taubat, Ra bererti Redha dan Qaf bererti Qana’ah. Lafaz jamak bagi Tarekat ialah Taraiq atau Turuq yang bererti tenunan dari bulu yang berukuran 4 hingga 8 hasta dan dipertautkan sehelai demi sehelai. Tarekat juga bererti garisan pada sesuatu seperti garis-garis yang terdapat pada telur dan menurut Al-Laits, tarekat ialah tiap garis di atas tanah, atau pada jenis-jenis pakaian

AJARAN ASAS NAQSHBANDIYAH
Tarekat Naqshbandiyah mempunyai prinsip asasnya yang tersendiri yang telah diasaskan oleh Maulana Syeikh ‘Abdul Khaliq Al-Ghujduwani. Ia telah meletakkan lapan prinsip asas ini sebagai dasar Tariqat Naqshbandiyah. Prinsip-prinsip ini dinyatakannya dalam sebutan bahasa Parsi dan mengandungi pengertian dan pengajaran yang amat tinggi nilainya. Adapun prinsip-prinsipnya adalah seperti berikut:
• 1. Yad Kard
• 2. Baz Gasht
• 3. Nigah Dasyat
• 4. Yad Dasyat
• 5. Hosh Dar Dam
• 6. Nazar Bar Qadam
• 7. Safar Dar Watan
• 8. Khalwat Dar Anjuman
Syeikh Muhammad Parsa yang merupakan sahabat, khalifah dan penulis riwayat Bahauddin Naqshband telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa ajaran Tariqat Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh Abdul Khaliq Al-Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih berkenaan zikir dan ajaran lapan prinsip asas seperti yang dinyatakan di atas turut dianuti dan diamalkan oleh 40 jenis tarekat. Tarekat lain menjadikan asas ini sebagai panduan kepada jalan kebenaran yang mulia iaitu jalan kesedaran dalam menuruti Baginda Rasulullah s.a.w. dengan meninggalkan sebarang bentuk bidaah dan bermujahadah melawan hawa nafsu. Kerana itulah Syeikh Abdul Khaliq Al-Ghujduwani dikatakan mencapai ketinggian rohani dan menjadi seorang guru tarekat dan penghulu pemimpin kerohanian pada zamannya.

1. Yad Kard
Yad bererti ingat yakni zikir. Perkataan Kard pula bagi menyatakan kata kerja bagi ingat yakni pekerjaan mengingati Allah s.w.t. dan ianya merupakan zat bagi zikir. Berkata Para Masyaikh, Yad Kard bermaksud melakukan zikir mengingati Tuhan dengan menghadirkan hati. Murid yang telah melakukan Bai‘ah dan telah ditalkinkan dengan zikir hendaklah sentiasa sibuk mengingati Allah s.w.t. dengan kalimah zikir yang telah ditalqinkan. Zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh adalah zikir yang akan membawa seseorang murid itu mencapai ketinggian darjat rohani. Syeikh akan mentalqinkan zikir kepada muridnya sama ada Zikir Ismu Zat ataupun Zikir Nafi Itsbat secara Lisani ataupun Qalbi. Seseorang murid hendaklah melakukan zikir yang sebanyak-banyaknya dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan berzikir. Pada setiap hari, masa dan keadaan, sama ada dalam keadaaan berdiri atau duduk atau berbaring ataupun berjalan, hendaklah sentiasa berzikir.
Pada lazimnya seseorang yang baru menjalani tarekat Naqshbandiyah ini, Syeikh akan mentalqinkan kalimah Ismu Zat iaitu lafaz Allah sebagai zikir yang perlu dilakukan pada Latifah Qalb tanpa menggerakkan lidah. Murid hendaklah berzikir Allah Allah pada latifah tersebut sebanyak 24 ribu kali sehari semalam setiap hari sehingga terhasilnya cahaya Warid. Ada sebahagian Syeikh yang menetapkan jumlah permulaan sebanyak lima ribu kali sehari semalam dan ada juga yang menetapkannya sehingga tujuh puluh ribu kali sehari semalam. Seterusnya murid hendaklah mengkhabarkan segala pengalaman rohaniahnya kepada Syeikh apabila menerima Warid tersebut. Begitulah pada setiap Latifah, murid hendaklah berzikir sebanyak-banyaknya pada kesemua Latifah seperti yang diarahkan oleh Syeikh sehingga tercapainya Warid. Mengingati Allah s.w.t. secara sempurna adalah dengan berzikir menghadirkan hati ke Hadhrat ZatNya. Setelah Zikir Ismu Zat dilakukan pada setiap Latifah dengan sempurna, Syeikh akan mentalqinkan pula Zikir Nafi Itsbat iaitu kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH yang perlu dilakukan sama ada secara Lisani iaitu menerusi lidah atau secara Qalbi (kalbu) iaitu berzikir menerusi lidah hati. Zikir Nafi Itsbat perlu dilakukan menurut kaifiyatnya. Syeikh akan menentukan dalam bentuk apa sesuatu zikir itu perlu dilakukan. Yang penting bagi Salik adalah menyibukkan diri dengan zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh sama ada ianya Zikir Ismu Zat ataupun Zikir Nafi Itsbat. Salik hendaklah memelihara zikir dengan hati dan lidah dengan menyebut Allah Allah iaitu nama bagi Zat Tuhan yang merangkumi kesemua Nama-NamaNya dan Sifat-SifatNya yang mulia serta dengan menyebut Zikir Nafi Itsbat menerusi kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH dengan sebanyak-banyaknya. Salik hendaklah melakukan Zikir Nafi Itsbat sehingga dia mencapai kejernihan hati dan tenggelam di dalam Muraqabah. Murid hendaklah melakukan Zikir Nafi Itsbat sebanyak 5 ribu ke 10 ribu kali setiap hari bagi menanggalkan segala kekaratan hati. Zikir tersebut akan membersihkan hati dan membawa seseorang itu kepada Musyahadah. Zikir Nafi Itsbat menurut Akabirin Naqshbandiyah, seseorang murid yang baru itu hendaklah menutup kedua matanya, menutup mulutnya, merapatkan giginya, menongkatkan lidahnya ke langit-langit dan menahan nafasnya. Dia hendaklah mengucapkan zikir ini dengan hatinya bermula dari kalimah Nafi dan seterusnya kalimah Itsbat. Bagaimanapun, bagi murid yang telah lama hendaklah membukakan kedua matanya dan tidak perlu menahan nafasnya. Bermula dari kalimah Nafi iaitu LA yang bererti Tiada, dia hendaklah menarik kalimah LA ini dari bawah pusatnya ke atas hingga ke otak. Apabila kalimah LA mencapai otak, ucapkan pula kalimah ILAHA di dalam hati yang bererti Tuhan. Kemudian hendaklah digerakkan dari otak ke bahu kanan sambil menyebut ILLA yang bererti Melainkan, lalu menghentakkan kalimah Itsbat iaitu ALLAH ke arah Latifah Qalb. Sewaktu menghentakkan kalimah ALLAH ke arah Qalb, hendaklah merasakan bahawa kesan hentakan itu mengenai kesemua Lataif di dalam tubuh badan. Zikir yang sebanyak-banyaknya akan membawa seseorang Salik itu mencapai kepada kehadiran Zat Allah dalam kewujudan secara Zihni yakni di dalam fikiran. Salik hendaklah berzikir dalam setiap nafas yang keluar dan masuk. Yad Kard merupakan amalan difikiran yang bertujuan fikiran hendaklah sentiasa menggesa diri supaya sentiasa ingat kepada Allah s.w.t. dan melakukan zikir bagi mengingati ZatNya. Pekerjaan berzikir mengingati Allah s.w.t. adalah suatu amalan yang tiada batas dan had. Ianya boleh dikerjakan pada sebarang keadaan, masa dan tempat. Hendaklah sentiasa memerhatikan nafas supaya setiap nafas yang keluar dan masuk itu disertai ingatan terhadap Zat Allah s.w.t.

2. Baz Gasht
Baz Gasht bererti kembali. Menurut Para Masyaikh, maksudnya ialah seseorang yang melakukan zikir dengan menggunakan lidah hati menyebut Allah Allah dan LA ILAHA ILLA ALLAH, begitulah juga setelah itu hendaklah mengucapkan di dalam hati dengan penuh khusyuk dan merendahkan diri akan ucapan ini: Yang bererti, “Wahai Tuhanku Engkaulah maksudku dan keredhoanMu tuntutanku, kurniakanlah Cinta dan Makrifat ZatMu.” Ianya merupakan ucapan Baginda Rasulullah s.a.w., ucapan ini akan meningkatkan tahap kesedaran kepada kewujudan dan Keesaan Zat Tuhan, sehingga dia mencapai suatu tahap di mana segala kewujudan makhluk terhapus pada pandangan matanya. Apa yang dilihatnya walau ke mana jua dia memandang, yang dilihatnya hanyalah Allah s.w.t. Ucapan kata-kata ini juga memberikan kita pengertian bahawa hanya Allah s.w.t. yang menjadi maksud dan matlamat kita dan tidak ada tujuan lain selain untuk mendapatkan keredhoanNya. Salik hendaklah mengucapkan kalimah ini bagi menghuraikan segala rahsia Keesaan Zat Tuhan dan supaya terbuka kepadanya keunikan hakikat Kehadiran Zat Allah s.w.t. Sebagai murid, tidak boleh meninggalkan zikir kalimah ini meskipun tidak merasakan sebarang kesan pada hati. Dia hendaklah tetap meneruskan zikir kalimah tersebut sebagai menuruti anjuran Syeikhnya. Makna Baz Gasht ialah kembali kepada Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Mulia dengan menunjukkan penyerahan yang sempurna, mentaati segala kehendakNya dan merendahkan diri dengan sempurna dalam memuji ZatNya...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Apabila Roh Berpisah Dari Jasad

SUATU hari, Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam rumahnya. Baginda melihat Aisyah, isteri tercinta, tengah duduk berehat. “Assalamualaikum..” ucap Nabi s.a.w. memberi salam. Aisyah pun menjawab salam dan ingin bangkit dari duduknya, sebagai bentuk penghormatannya untuk menyambut si suami tercinta. Tetapi Nabi s.a.w. berkata sambil tersenyum: “Duduklah pada tempatmu! Tidak usah berdiri, wahai Ummul Mukminin...” Aisyah pun tak jadi bangkit dari tempat duduknya. Ia kembali duduk di tempatnya semula. Rasulullah kemudian menghampiri wanita salihah itu. Rasulullah duduk di sampingnya dan meletakkan kepalanya di pangkuannya seraya terlentang. Kala itu, muka Rasulullah terlihat lelah. Aisyah mencuba mengusap wajah manusia mulia itu dengan penuh kasih sayang. Dia merasa hiba melihat suaminya nampak letih dan kepenatan. Dalam sebuah keterangan hadis diceritakan bahawa Rasulullah memiliki kebiasaan bila berada dalam keletihan, Baginda akan berbaring dan merebahkan kepalanya di pangkuan Aisyah. Pada saat seperti itu, Aisyah biasanya mencabuti uban yang ada pada janggut Rasulullah yang terlihat lebat dan sudah memutih. Aisyah bergumam dalam hati, “Sesungguhnya dia (Rasulullah) akan keluar dari dunia ini sebelum aku, dan tinggalah umat yang tanpa Nabi.” Tak terasa dia terbawa emosi diri sendiri. Dia menangis sehingga air matanya mengalir di pipi dan menitisi wajah Rasulullah. Titisan air mata itu membuat Rasulullah terbangun dari tidurnya. Rasulullah pun bersabda, “Apa yang membuatmu menangis, wahai Ummul Mukminin?” “Aku sedih dan menangisimu, ya Rasulullah.” “Kenapa?” “Engkau mungkin akan mendahuluiku meninggalkan dunia ini,” kata Aisyah. “Kenapa kamu harus menangisinya, wahai Ummul Mukminin?” “Umatmu akan kehilangan Nabi sepertimu. Mereka akan hidup tanpa seorang Nabi.” Rasulullah hanya terdiam. Lalu, Baginda mengutarakan sebuah pertanyaan. “Keadaan apa yang paling menyusahkan bagi orang yang sudah meninggal dunia?” “Aku tak tahu, ya Rasulullah. Ceritakanlah kepadaku?” “Jawablah! Engkau yang dulu harus menjawabnya.” “Tidak ada keadaan yang paling menyusahkan atas diri mayat dari pada saat keluar dari rumahnya, anak-anak berduka di belakangnya, dan mereka berkata: ‘Aduh anak-anakku!”
Rasul menyela, “Itu memang pedih. Tapi, ada lagi yang lebih pedih dari itu?” “Tidak ada keadaan yang lebih berat atas diri mayat dari pada saat dia dimasukkan ke dalam liang lahat dan dikuburkan di bawah tanah. Para kerabat, anak dan kekasihnya meninggalkannya pulang. Mereka menyerahkan mayat tersebut kepada Allah beserta segala amal perbuatannya. Setelah itu, datanglah malaikat Munkar dan Nakir ke dalam kuburnya. Itulah yang paling pedih.” Rasulullah bertanya lagi, “Apa yang lebih berat dari engkau katakan itu, wahai Ummul Mukminin?”
“Allah dan rasul-rasulNya yang lebih tahu.”

Soal Kematian
Rasulullah bersabda, “Hai Aisyah, sesungguhnya saat yang paling berat (menyedihkan) bagi jenazah adalah saat masuknya orang yang memandikan jenazah ke dalam rumahnya untuk memandikannya. Mereka mengeluarkan cincin pemuda itu dari jari-jarinya, melepas pakaian pengantin dari badannya dan melepaskan serban para syeikh dan fuqaha (ahli fiqih) dari kepalanya untuk memandikannya. Ketika itu, rohnya memanggil (berseru) saat melihat jasadnya telanjang dengan suara yang dapat didengar oleh seluruh makhluk kecuali jin dan manusia.” Jenazah itu akan berkata, “Hai orang yang memandikan! Demi Allah, aku memohon kepadamu agar engkau menanggalkan pakaianku dengan perlahan-lahan, kerana sesungguhnya saat ini aku sedang istirahat dari sakitnya pencabutan Malaikat Maut.” Dan, kata Rasul, ketika air dituangkan kepadanya dia menjerit dan berseru lagi, “Hai orang yang memandikan! Demi Allah, jangan engkau tuangkan air panas, jangan pula dengan air dingin, sesungguhnya jasadku telah terbakar sebab dicabutnya nyawaku.” Dan ketika dimandikan, lanjut Rasulullah, dia akan berseru dengan keras, “Demi Allah, hai orang yang memandikan, janganlah engkau pegang diriku terlalu kuat, padahal sesungguhnya jasadku terluka akibat keluarnya nyawa dari jasadku.” Ketika selesai memandikan dan diletakkan pada kain kafan dan diikat di bawah kakinya, roh itu berseru, “Demi Allah, hai orang yang memandikan, janganlah engkau ikat erat-erat kain kafan di atas kepalaku agar terlihat wajah keluargaku, anak-anakku dan kerabat-kerabatku, kerana saat ini adalah yang terakhir aku melihat mereka, hari itu aku akan berpisah dengan mereka dan aku tidak boleh melihat mereka lagi sampai Hari Kiamat.” Ketika mayat akan dikeluarkan dari rumah...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Islam 'Keturunan Jawa' Di Suriname

ADA kisah unik mengenai perayaan sambutan aidilfitri di Suriname (Surinam) tiga tahun lalu. Saat rakyat Indonesia heboh berdebat mengenai perbezaan penetapan hari raya aidilfitri, hal itu ternyata juga terjadi di Suriname. Jika di Indonesia NU (Nahdatul Ulama) dan Muhammadiyah berbeza pendapat hingga ada 2 hari raya yang diyakini, di Suriname perbezaannya bahkan 3 hari. Seperti yang dilaporkan akhbar Jawa Pos, sebahagian besar masyarakat Suriname memang menyambut hari raya yang ditetapkan pemerintah (Isnin, 23 Oktober 2006) atau sama dengan Muhammadiyah dan Pengurus Wilayah NU Jawa Timur di Indonesia. Tapi, sebahagian masyarakat juga melangsungkan sambutan aidilfitri sehari sebelumnya, Minggu (22 Oktober), dan Rabu (25 Oktober). Selain melalui cara hisab dan rukyah, penetapan hari raya puasa oleh orang Jawa di Suriname dilakukan berdasar perhitungan mereka sendiri. Yakni, menggunakan ramalan atau perhitungan ala Jawa warisan nenek moyang. Kerana itu, para penganut hari raya “tidak biasa” tersebut adalah kalangan orang Islam keturunan Jawa yang masih kukuh mempertahankan tradisi peninggalan nenek moyangnya. Amat Bakri, 83, imam Masjid Muljo Rukun Islam, Dekraneweng, Lelydorp, daerah Wanica, Suriname, menyebut bahkan berdasarkan Kitab ramalan tersebut hari raya Aidilfitri sampai 2014 sudah mereka ketahui tarikhnya. Mereka meyakini bahawa apa yang dilakukan nenek moyang mereka dulu adalah tradisi yang harus dipelihara dan tidak boleh diubah. Mereka khuatir, bila menyimpang dari tradisi leluhur, boleh menjadi sesuatu yang tidak diingini (berdosa). Amat yang mengaku leluhurnya berasal dari Wonosobo, Jawa Tengah, itu mengatakan, penetapan aidilfitri – oleh masyarakat di sana disebut Idul Fiter – dengan ketetapan itu sudah ada sejak pertama kali orang Jawa datang ke negara itu, 116 tahun yang lalu. Sebagai ahli warisnya, Amat dan sekitar 200 orang yang berjemaah di masjid tersebut mempunyai rasa tanggungjawab moral untuk mengamalkan nilai-nilai tradisi para leluhur tersebut. “Kalau bukan kita yang masih keturunan Jawa di sini, siapa lagi yang mahu mempertahankan warisan itu,” tutur Amat, sebagaimana yang dilaporkan Jawa Pos.

Dikirim oleh Belanda
Republik Suriname merupakan negara terkecil di Benua Amerika. Luasnya hanya sekitar 163 ribu kilometer persegi. Akan tetapi, dari segi demografi penduduk, negara ini boleh jadi yang paling berwarna dengan keragaman etnik, budaya, dan agama. Sebenarnya, Suriname merupakan negara bekas jajahan Belanda. Orang-orang Belanda telah berkuasa sejak tahun 1667. Sebelumnya, negara yang dulu dikenal bernama Netherlands Guyana ini dijajah oleh bangsa Sepanyol, Portugis, dan Inggeris. Kemerdekaan baru diperoleh tahun 1975 yang kemudian dikenali dengan nama rasmi Republik Suriname. Penduduk aslinya adalah orang-orang Indian, etnik asli Benua Amerika. Dulu, Belanda sangat bergantung dengan hasil perkebunan dari Suriname. Ribuan hamba pun didatangkan dari Afrika Barat sejak tahun 1700-an untuk dipekerjakan di ladang-ladang tebu, kapas, coklat, dan kopi. Orang-orang Afrika Barat inilah yang membawa agama Islam pertama ke negara tersebut. Tahun 1863, Kerajaan Belanda mengakhiri sistem perhambaan. Tindakan ini membawa perubahan terhadap keberlangsungan pekerjaan di perladangan negara-negara jajahan, termasuk Suriname. Banyak bekas-bekas hamba yang kemudian meninggalkan ladang-ladang untuk mencari penghidupan lebih baik.
Menyedari situasi tersebut dapat mengganggu perekonomian, Belanda pun melakukan usaha penyelamatan. Direkrutlah tenaga buruh-buruh kontrak yang digaji sangat murah. Mereka sebahagian diambil dari beberapa negara dan wilayah jajahannya, termasuk dari Jawa. Akhirnya, untuk kali pertama, kelompok pekerja pendatang Jawa sebanyak 94 orang tiba di Suriname pada 9 Ogos 1890 setelah menempuh perjalanan panjang dengan menggunakan kapal Prins Willem II. Mereka direkrut oleh De Nederlandsche Handle Maatschappij dan selanjutnya dipekerjakan di perladangan tebu dan perusahaan gula Marrienburg. Empat tahun kemudian, perusahaan yang sama mendatangkan kelompok kedua yang terdiri atas 582 orang Jawa. Sejak tahun 1890 hingga 1930, seramai 32,965 pekerja kontrak keturunan Jawa bekerja di Suriname. Menilik perjanjian kontrak, mereka akan bekerja selama lebih kurang lima tahun. Setelah itu, para pekerja boleh memilih tetap tinggal di Suriname atau pulang ke Jawa. Banyak di antara mereka yang pulang ke Jawa, namun sebahagian lagi memilih menetap di Suriname. Kehadiran mereka kian mengukuhkan agama Islam di negara ini lantaran warga Jawa tersebut kebanyakannya muslim. Menurut banci terakhir, muslim Suriname mewakili sekitar 13 peratus dari keseluruhan penduduk negara tersebut, tetapi berbagai sumber tidak rasmi menyebut angkanya mencapai 20 peratus, menjadikan Suriname salah sebuah negara dengan peratus muslim tertinggi di benua Amerika. Selain keturunan Jawa, jejak Islam Suriname juga dibawa oleh orang-orang Pakistan dan Afghanistan yang hampir semua penduduknya adalah muslim Sunni.

Ghairah Islam
Menurut Dr. H. Shobahussurur, Ketua Masjid Agung Al-Azhar Jakarta, dalam sebuah tulisannya yang disiarkan di media online, masyarakat muslim Suriname pada umumnya memeluk agama sekadar mewarisi agama nenek moyangnya. Hal itu terjadi kerana mereka memang datang ke Suriname tidak mendapatkan pendidikan agama yang kuat. Pada kes masyarakat muslim Jawa, umpamanya, kebanyakan mereka berasal dari tradisi agama Islam Jawa Abangan yang hanya mengenal Islam sekadar nama dan lebih kental dengan unsur tradisi dan budaya Jawa. Hal itu terlihat, misalnya, kenapa hingga sekarang sebahagian masih mempertahankan solat menghadap ke Barat seperti nenek moyang mereka dari Jawa, padahal Suriname berada di sebelah barat Kaabah. Namun sejalan dengan perkembangan zaman, kefahaman Islam semakin membaik, dan kesedaran untuk beragama Islam secara menyeluruh semakin meningkat pada masyarakat Islam Suriname. Islam tidak lagi dijadikan sebagai agama warisan nenek moyang, tapi dipeluk dengan penuh kesedaran. Lambat laun Islam tidak saja dijadikan sebagai agama tradisi nenek moyang, tapi menjadi sebuah cara hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Fenomena seperti itu dapat dengan mudah kita temui di mana-mana, di kota dan kampung, di pasar dan jalan-jalan. Berpakaian muslim/muslimah menjadi pemandangan yang biasa di tengah-tengah fesyen berpakaian ala Barat. Sahut-menyahut ucapan salam simbol Islam. Saling mengucap: Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh antara muslim Jawa dengan muslim Hindustan atau yang berasal dari Afrika.

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Kenapa Diremehkan Fardu Kifayah

TIDAK lama dulu ada cerita tentang adanya satu golongan orang yang menubuhkan syarikat bagi mengendalikan orang-orang mati. Maksudnya, syarikat ini akan mengusahakan mengenai jenazah itu sehinggalah melakukan perkara-perkara yang tidak disyariatkan dan tidak disuruh oleh agama. Cerita tentang menubuhkan syarikat ini pernah ditimbulkan seorang tokoh agama ketika memberikan ceramah agama dalam satu majlis disebuah masjid di Ibu Kota tidak lama dulu. Katanya: “Nak menguruskan jenazah bagi seseorang meninggal dunia memerlukan sebuah syarikat mengendalikan. Dulu-dulu cerita macam ini tidak ada?” Kita pun, barang kali terkejut dan hairan juga dengan cerita dan kisah ini. Kematian itu satu musibah kepada sesuatu keluarga itu. Sebagaimana kita maklum, maut pasti menjemput kita. Dalam agama, pengendalian atau pun menguruskan jenazah itu merupakan satu perkara pasti. Ia mesti dilakukan oleh kumpulan manusia yang beriman terhadap jenazah itu. Apa yang disebut dalam istilah agama sebagai “fardu Kifayah”. Erti fardu Kifayah ini ialah, apabila berlaku kematian, maka orang-orang yang beragama dalam sesebuah kampung itu hendaklah mengusahakan dan menyelesaikan jenazah itu dengan memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan seterusnya mengkebumikannya. Sekiranya tidak diuruskan jenazah tersebut dengan dibiarkan begitu sahaja, kerana semua orang dalam kampung itu “tidak tahu”, maka seluruh orang dalam kampung itu berdosa. Itulah yang dimaksudkan “fardu Kifayah”. Ini adalah syariat. Apabila disebut syariat adalah hukum agama, yang datang, dan arahan atau pun perintah dari Allah dan Rasul. Ia menjadi tanggung jawab kita bersama seluruh umat Islam. Pekerjaan ini tidak perlu minta dibayar atau pun dibayar oleh pihak yang menerima musibah itu. Tetapi hukum dari Allah, perintah Allah dan Rasul diperniagakan. Kita hairan juga kenapa hal serupa ini boleh berlaku? Apakah tidak ada orang “pandai” ke dalam kampung tersebut? Kita pun merasa ajaib ada orang yang mahu mengenakan bayaran sekian-sekian banyak atau pun jumlah dalam menguruskan sesesuatu kematian itu, sedangkan pekerjaan itu tanggungjawab setiap orang Islam. Cubalah kita fikirkan bagaimanakah sekiranya keluarga yang ditimpa musibah itu dari golongan orang fakir dan miskin? Tidak ada apa-apa yang ada pada diri mereka yang mahu dibayar? Apakah kita mahu biarkan jenazah itu begitu sahaja? Apakah jenazah itu tidak dimandikan, dikafan, disembahyang dan dikebumikan?
Kalaulah benar cerita dari ustaz itu tentang perkara ini, apa cerita yang sebenarnya ni? Orang mati pun nak diperniagakan? Apa nak jadi dengan orang-orang kita ni? Amalan-amalan seperti inilah yang dipertahankan oleh sebahagian dari orang-orang beragama kita. Mereka mempunyai kepentingan terhadap sesuatu pekerjaan tersebut, walau pun pekerjaan itu menjadi syariat yang tidak perlu kepada upah. Wang sudah menjadi satu bahan utama dalam dunia moden sekarang. Apa pun juga pekerjaan mesti ada wang, walau pun pekerjaan itu dalam bentuk ibadah. Sesebuah kematian itu adalah satu musibah yang datang dari Allah. Allah sudah menentukan setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati. Itulah sebabnya, ketika Allah memerintahkan Malaikat Mikail untuk mengambil nyawa manusia, Mikail berkata, kalau begitu semua makhluk akan benci kepadanya. Allah s.w.t. beritahu Mikail, Allah akan jadikan sebab-sebab berlakunya sesebuah kematian itu. Itulah sebabnya, ada yang mati kerana kemalangan, jatuh, pengsan, sakit jantung, darah tinggi, terkejut dan lain-lain lagi. Jadi, kita sebagai orang yang belum mati lagi, mestilah menguruskan saudara-saudara kita yang pergi dulu menemui Allah. Tetapi bukannya meminta “upah”, dan kita perniagakan mereka yang sudah mati itu? Ada disebutkan: “Orang-orang Islam itu bersaudara dalam agama, dan mereka tidak seharusnya saling menindas, tidak saling membiarkan satu sama lainnya serta tidak saling menghina.” Ada cerita konon, setiap orang yang meninggal ada “pakej”nya sendiri. Pakej yang disediakan ialah sekian ribu ringgit, sekian ratus ringgit setiap kematian itu.
Pakej itu diuruskan sehingga diadakan kenduri kendara, baca Quran atas kubur, dan macam-macam khurafat yang lainnya. Mereka dari golongan berada, orang kaya, orang yang ada wang, bolehlah ambil pakej yang disediakan beberapa kategori itu. Untuk itu, maka sebuah syarikat perniagaan orang mati ditubuhkan...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Shuhaib Bin Sinan: Dermawan Jenaka Dan Disayangi Rasulullah

SHUHAIB BIN SINAN R.A. dibesarkan dalam lingkungan kesenangan dan kemewahan. Bapanya hakim sekaligus menjadi gabenor yang dilantik oleh Maharaja Parsi. Mereka adalah orang-orang Arab yang pindah ke Iraq, jauh sebelum datangnya Islam. Di istananya yang terletak di pinggir sungai Efrat, Shuhaib hidup senang dan bahagia. Hingga suatu ketika, negeri itu menjadi sasaran orang-orang Romawi yang datang menyerbu dan menawan sejumlah penduduk, termasuk dia sendiri. Tak hairan, ia pun diperjualbelikan oleh saudagar-saudagar hamba abdi. Nasib membawanya sampai ke kota Makkah, setelah sebelumnya menghabiskan masa kanak-kanak dan remaja di Romawi. Tak aneh bila lidah dan dialeknya pun fasih berdialek Romawi. Majikannya tertarik akan kecerdasan, kerajinan dan kejujuran, hingga Shuhaib dibebaskan dan dimerdekakannya, dan diberinya kesempatan untuk dapat berniaga bersamanya. Ammar bin Yasir berkisah, suatu ketika ia berjumpa dengan Shuhaib bin Sinan, sesaat ketika mereka hendak menemui Rasulullah. “Mahu kemana?” tanya Ammar bin Yasir. “Kamu sendiri mahu kemana?” balasnya, balik bertanya. “Saya mahu menjumpai Muhammad untuk mendengarkan ucapannya,” jawab Ammar. “Kebetulan, saya juga ingin menemuinya,” ujar Shuhaib pula. Keduanya pun segera masuk ke dalam. Saat itu Rasululah menjelaskan perihal akidah Islam. Keduanya bagai terpaku saat mendengar penuturan Rasulullah. Seakan akidah mereka telah menyatu seperti apa yang Rasulullah jelaskan. Hingga timbullah tekad untuk segera mengubah keimanan mereka sebagaimana keimanan Rasulullah.
Usai menyatakan keislaman dan menjadi pengikut Rasulullah, mereka tak langsung bergegas pergi, sampai hari pun beranajak petang. Saat itu, barulah dengan sembunyi-sembunyi mereka keluar. Memang, saat itu Baitul Arqam menjadi tempat pertemuan para sahabat secara rahsia, mengingat Islam belum dikenal luas dan Rasulullah pun masih begitu sengit dimusuhi kafir Quraisy. Namun sejak mengisytiharkan keislamannya di Baitul Arqam, Shuhaib tak bertangguh mendermakan hidupnya untuk kepercayaan yang diyakininya. Ia bergantung dalam barisan kaum muslimin tatkala mereka menghadapi medan jihad. Sebagai perantau yang juga peniaga, tak sedikit ia memberi bantuan hartanya untuk jihad. Bahkan ia terhitung sebagai salah seorang dermawan yang berani memberi tebusan bagi siapa saja (kaum muslimin) yang dianiaya. “Tiada satu perjuangan bersenjata yang diterjuni Rasulullah, kecuali pastilah aku menyertainya. Tiada suatu baiat yang dialaminya, kecuali tentulah aku menghadirinya. Dan tiada suatu pasukan bersenjata yang dikirimnya kecuali aku termasuk sebagai anggota rombongannya. Tidak pernah Baginda bertempur baik di masa-masa pertama Islam atau dimasa-masa akhir, kecuali aku berada di sebelah kanan atau sebelah kirinya. Kalau ada sesuatu yang dikhuatirkan kaum muslim di hadapan mereka, pasti aku akan menyerbu paling depan, demikian pula jika ada yang dicemaskan di belakang mereka, aku pasti akan mundur ke belakang serta aku tidak sudi sama sekali membiarkan Rasulullah berada dalam jangkauan musuh sampai ia kembali menemui Allah!” demikian Shuhaib memberi kesaksian ehwal kedekatannya pada Rasulullah dan kesungguhan imannya. Suatu gambaran yang luar biasa. Itulah sedikit gambaran betapa ia menjadi manusia selalu siap sedia dalam suasana apapun.

Tingalkan kekayaan
Saat Rasulullah hendak berhjirah, Shuhaib menyatakan diri hendak bergabung. Saat itu juga, ia tinggalkan semua emas dan perak serta kekayaan yang diperolehnya sebagai hasil perniagaan selama bertahun-tahun di Makkah. Semua kekayaan itu dilepaskan dalam sekejap masa tanpa berfikir panjang. Lepasnya seluruh harta yang dimilikinya bermula dalam peristiwa hijrahnya bersama Rasulullah. Sebab memang dalam perjalanan hijrah tersebut, menurut rencana, Shuhaib akan menjadi orang ketiga, di samping Rasulullah dan Abu Bakar. Namun sayang, orang-orang Quraisy telah mencium khabar tersebut. Sehingga di malam hari untuk mencegah hijrah Rasulullah. Di tengah perjalanan, Shuhaib terjebak dalam salah satu perangkap mereka, hingga ia pun terhalang untuk hijrah, sementara Rasulullah dan Abu Bakar beruntung berhasil melepaskan diri. Dalam keadaan yang mencurigakan tersebut, kaum Quraisy terus mengintip dan mengekorinya. Berbagai upaya mereka lakukan agar Shuhaib mengakui bahawa ia sesungguhnya merancang melakukan perjalanan hijrah bersama-sama Rasulullah. Namun Shuhaib berusaha menolak tuduhan Quraisy dengan berbagai helah. Hingga ketika mereka lengah, ia segera naik ke ke belakang untanya. Lalu dipacunya haiwan tunggangannya itu sekencang-kencangnya menuju padang tandus yang luas. Namun kaum kafir Quraisy tak mahu kecundang. Mereka pun segera mengirim para pemburu handalan untuk menyusulnya. Usaha itu hampir saja berhasil. Tahu keadaan tersebut benar-benar genting, Shuhaib tiba-tiba melambatkan lajunya seraya berteriak pada mereka, “Hai orang-orang Quraisy! Kalian semua tahu bahawa aku adalah ahli panah yang paling mahir. Demi Allah, kalian takkan berhasil mendekatiku, sebelum aku lepaskan semua anak panah yang berada dalam kantung ini, dan setelah itu akan kugunakan pedang untuk menebas kalian, sampai senjata di tanganku habis semua! Nah, majulah ke sini kalau kalian berani! Tetapi kalau kalian mahu, akan aku tunjukkan tempat penyimpanan harta bendaku, asal saja kalian melepasku pergi setelah itu!” Dijanjikan dengan harta Shuhaib yang memang diketahui banyak, mereka pun hampir terpengaruh.

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Thursday, September 17, 2009

Variasari Oktober 2009

















Edisi Hari Raya sudah beredar di pasaran...Dapatkan segera sebelum kehabisan!
Lebih menarik lebih mantap

Hidayah Keluaran Aidilfitri 1403












Istimewa di Syawal yang mulia ini serikan hari anda dengan menatap Hidayah edisi Hari Raya yang sudah beredar di pasaran.


Terima kasih sekiranya anda puas membacanya...
Maafkan kami kiranya persembahan kami kurang menepati...InsyaAllah kami cuba perbaiki...

Azab Ngeri Menjelang Hari Raya

DIKISAHKAN, Paijo, lelaki berusia 45 tahun yang tinggal di Kampung Kemangi itu memang dikenali dan terpandang, sebab jawatan dan kuasa yang ada padanya. Dia seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di daerah terpencil seperti Kemangi, jawatan yang dimilikinya tentu saja sangat menonjol. Tetapi, jawatan dan tanggungjawab itu ternyata tidak memberikan contoh tauladan di tengah masyarakat. Dia menyalahgunakan amanah yang diberikan oleh negara. Kelakuannya justeru jauh dari pangkat yang disandangnya. Tidak ada pihak atasan yang membuat pantauan terhadap penyelewengan yang dilakukannya. Sebaliknya, dia malah seringkali membuat perbuatan serong di kampung-kampung yang berada dalam kekuasaannya.Dia kerap menjadikan rumahnya sebagai tempat berbuat maksiat. Di rumah itu dijadikan tempat mabuk-mabuk, pesta makan ‘sate anjing’ dan arnab, hasil perburuannya di hutan. Bahkan, bukan satu rahsia apabila Paijo terlibat dalam skandal dengan seorang pelajar sekolah agama hingga gadis malang itu hamil. Senarai kelakuan buruk itu rupanya belum cukup untuk menggambarkan keburukan kelakuan Paijo. Dia ternyata juga dikenal sebagai kakitangan kerajaan yang menyalahgunakan kuasa menerima rasuah dari sebilangan pemandu lori dan beberapa penunggang motorsikal yang mencari rezeki dengan membonceng penumpang di daerah itu. Mengenai kelakuannya itu, masyarakat sekitar sebenarnya sudah muak dan jengkel. Cuma mereka hanya mampu diam dan menyumpah seranah dalam hati, lantaran tak mahu cari pasal.

Tenggelam Di Dasar Sungai
Suatu hari di penghujung bulan Ramadan, tiga orang kakitangan kerajaan di situ sibuk menagih wang ‘rasuah’ dari para pemandu dan penunggang motorsikal. Ketiganya, tidak lain, adalah Paijo, Sumadi dan Zamani. Tugas itu dimulai dari pos paling Selatan, kemudian beralih ke pos bahagian Timur, Barat dan terakhir pos bahagian Utara yang berbatasan dengan daerah lain. Setelah seharian ‘bertugas’ dan mendapatkan ‘wang haram’ itu, ketiga kakitangan kerajaan itu kemudian ingin melepaskan penat lelah masing-masing. Mereka ingin “berpesta ria” ketika umat Islam lainnya sedang menahan lapar dan dahaga menjalani ibadat puasa. Tak lupa, wang hasil kutipan itu terlebih dulu disisihkan sebahagian untuk diberikan kepada isteri masing-masing di rumah, sebagai bekal persiapan belanja di hari raya nanti. Mereka ingin melangsungkan pesta ria itu di daerah Jeruk yang memang terkenal dengan sate dan salai daging anjingnya. “Pesta” semacam itu sudah menjadi agenda akhir bulan mereka yang berlangsung lama. Tetapi, di tengah jalan, Zamani tidak boleh ikut dengan alasan punya urusan yang tidak dapat ditinggalkan. Maka, hari itu Paijo dan Sumadi pergi berdua. Di daerah Jeruk, Paijo dan Sumadi melahap sate dilengkapi dengan minum-minuman keras. Siang beralih petang. Sekitar jam 4.00 petang, keduanya berniat pulang. Namun, kerana terlalu banyak minum, keduanya mabuk dan berjalan pun terhuyung hayang. Mereka pun tak mampu menunggang motorsikal masing-masing. Mata mereka pun nampak susah untuk dibuka. Akhirnya, atas budi bicara dua penunggang motorsikal sewa yang baik hati mahu menghantar keduanya pulang ke rumah.
Tapi, kedua mereka ini tidak boleh menghantar dua pegawai kerajaan itu sampai terus ke rumah. Mereka hanya dihantar sampai di tepi Kampung Kedaung. Keduanya perlu menaiki perahu agar boleh menyeberangi tasik dan tiba di Kampung Kemangi. Senja itu, matahari sudah hampir rerbenam. Waktu menjelang berbuka puasa pun hampir tiba. Namun, tiba-tiba, hujan turun begitu lebatnya. Angin mendadak bertiup kencang. Tukang perahu di tasik itu sebenarnya keberatan menyeberangkan dua pegawai kerajaan yang sudah mabuk habis itu. Tapi, kerana tahu dua penumpang yang menyewa perahunya itu adalah ‘orang penting’, dia pun terpaksa menggerakkan perahunya dengan penuh hati-hati. Perahu yang ditumpangi itu kemudian melaju menerjah hujan yang deras dan tiupan angin yang kencang. Sesekali perahu terumbang ambing, tapi masih boleh meluncur hingga ke tengah tasik.
Tetapi, ketika perahu itu sampai di tengah-tengah waduk, tiba-tiba datang gelombang banjir yang tidak diduga-duga dari sungai seberang. Sekejap, banjir tiba-tiba itu menghentam perahu yang berhayun-hayun di tengah-tengah tasik. Kedua ‘pegawai kerajaan’ yang sedang mabuk itu pun tidak sedar dengan bahaya yang bakal terjadi. Keduanya tidak menyedari jika bahaya sedang mengancam jiwa mereka. Sejurus kemudian, dalam waktu yang begitu cepat, banjir kilat itu menerjah perahu itu menyebabkan ianya terbalik. Tentu, kedua penumpang itu tidak boleh menyelamatkan diri kerana memang tidak sepenuhnya sedar. Sementara itu, tuan punya perahu yang berjaya menyelamatkan dirinya dengan berenang sebaik sampai ke Kampung Kemangi, dia berteriak-teriak meminta pertolongan kepada beberapa penduduk sekitar. Warga Kampung Kemangi pun berdatangan ke bibir tasik. Malangnya, keadaan alam dengan cuaca buruknya menjadi penghalang bagi penduduk kampung untuk bertindak segera. Maklum, setelah melihat derasnya arus sungai yang mengalir ke tasik, tak seorang pun penduduk yang berani menceburkan diri ke dalam tasik untuk menyelamatkan dua pegawai kerajaan itu yang dikhuatir tenggelam di dalam dasar tasik. Paijo dan Sumadi pun hanyut dibawa arus – entah sampai ke mana... Malam itu pun berlalu, dan hujan turun tiada hentinya. Saat hari berganti pagi, barulah penduduk setempat dan sepasukan penyelamat dari kota didatangkan, guna melakukan pencarian dua pegawai kerajaan yang disyakki tenggelam di dasar tasik. Setelah pencarian dilakukan secara intensif, siang itu jenazah Sumadi berhasil ditemukan bersama motorsikal miliknya. Tapi, mayat ditemukan sudah dalam keadaan yang ngeri. Perutnya sudah kembung dipenuhi air tasik yang masuk ke dalam perut dan sebahagian tubuhnya penuh luka, lebam-lebam dan bengkak-bengkak. Sedangkan Paijo sendiri tak juga berhasil ditemukan. Selama berhari-hari, pasukan penyelamat terus bekerja, menjejaki setiap sudut dan penjuru tasik. Tapi Paijo yang dicari-cari itu macam hantu yang tak menampakkan diri. Hari terus berlalu, pasukan penyelamat terus menyusuri seluruh tasik. Namun, sayang seribu sayang, Paijo ternyata seperti bersembunyi di balik genang air tasik sehingga masih belum juga dapat ditemukan.

Fenomena Aneh Dan Menjijikkan
Berita tentang Paijo yang tenggelam di tasik pun menjadi buah bibir di tengah masyarakat. Bahkan berita itu tersebar luas. Saat berita itu terdengar di telinga keluarga besar Paijo, Sundari ibu mertua Paijo – langsung jatuh pengsan. Ia yang sudah lama menderita penyakit jantung begitu terkejut dengan kemalangan yang berlaku kepada menantunya. Dia pun segra dikejarkan ke hospital. Seiring belum ditemukannya mayat Paijo, Sundari selama berhari-hari terus dirawat di wad kecemasan. Dia mengalami koma, tak juga sedarkan diri. Hari berlalu, dan tepat lima hari setelah tragedi itu, akhirnya pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk tempatan berhasil menemukan motorsikal milik Paijo. Motorsikal itu pun ditemukan jauh dari tempat kemalangan berlaku. Tapi tanda-tanda keberadaan Paijo masih juga belum boleh ada tanda-tandanya, masih menyimpan pelbagai misteri.
Bulan suci Ramadan akhirnya berakhir. Hari raya aidilfitri pun tiba. Tapi, keluarga Paijo yang seharusnya boleh merayakan hari itu diselubung kedukaan. Sementara keadaan Sundari semakin parah, tak ada tanda-tanda pulih dan sembuh. Dan tepat di hari ketiga di bulan Syawal itu, Sundari memejamkan mata untuk selama-lamanya. Tentu saja, keluarga isteri Paijo dirundung duka dengan kepergian si ibu, sementara mayat Paijo sendiri belum ditemukan. Tragisnya waktu jenazah Sundari tiba di rumah, tiba-tiba ada khabar bahawa mayat Paijo ditemukan. Khabar itu rupanya kian membuat keluarga Paijo berduka. Kerana saat Paijo ditemukan sudah tak lagi bernyawa. Parahnya lagi, keadaan jenazah Paijo dalam keadaan mengazabkan. Sekujur mayatnya membengkak. Perutnya mengelembung; penuh dengan air. Bahkan saat ditemukan di tengah tasik, tubuh Paijo dalam keadaan terkelupas, disyakki akibat dicederakan ikan-ikan tertentu dalam tasik. Dari mulutnya sendiri keluar haiwan-haiwan menjijikkan. Hari itu, setelah pihak keluarga berunding, akhirnya Paijo dan ibu mertuanya, akan dikebumikan bersebelahan. Setelah proses perawatan jenazah dilakukan, kedua jenazah itu langsung dibawa ke tanah perkuburan. Tetapi, setelah jenazah itu tiba di perkuburan...

Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...

Surat Pembaca

TABAH SEORANG IBU JADI TELADAN
Saudara pengarang,
Saya bersyukur kerana dapat menatap naskhah bulan September 2009 lalu. Menatap lembaran demi lembarannya, ternyata Hidayah memang banyak kisah-kisah dan rencana menarik untuk dibaca dan dihayati.
Namun di ruangan ini saya mengambil kesempatan untuk menyatakan rasa terharu apabila membaca kisah iktibar “tabah ibu berhati mulia” yang dijadikan cover keluaran tersebut. Sememangnya tidak ramai insan seperti wanita itu. Beliau begitu tabah menghadapi hidup ini walaupun menghadapi cubaan dan ujian yang berat dengan kehilangan hampir semua anggota keluarganya dalam tragedi runtuhan tanah lungsur yang turut mengorbankan ramai mangsa. Kita sendiri memang mudah untuk menyuruh orang bersabar, tetapi apabila sesuatu bencana menimpa diri sendiri dan ahli keluarga kita, dapatkah kita bersabar begitu rupa? Wanita itu seorang wanita biasa. Cuma kelebihan beliau ialah kecenderongannya menghadiri majlis-majlis ilmu di surau dan terlibat dalam mengatur jadual pengajian agama di tempatnya. Saya berharap kisah-kisah teladan seperti ini dapat terus disiarkan oleh Hidayah untuk dikongsi dengan para pembacanya. Cuma saya musykil mengapa Hidayah masih terus menyamarkan wajah pihak yang terlibat? Bukankah yang dipaparkan itu sesuatu yang baik. Harap penjelasan daripada pihak Hidayah.

Salmah Haji Mohammed,
Pondok Tanjung, Taiping, Perak.

• Hidayah memegang pada etika menghormati sumber maklumat dan pihak yang terlibat. Bagi kami, apa yang penting ialah mesej dan iktibar kisah yang disiarkan. Harap para pembaca yang budiman dapat memaklumi perkara ini, wassalam. – Pengarang.

KEKALKAN IMEJ HIDAYAH
Saudara pengarang,
Saya mengucapkan tahniah kepada Hidayah yang muncul dengan persembahan yang baru. Di samping mengekalkan halaman-halaman berwarna, ada bilangan halaman tertentu yang disiarkan dalam warna hitam putih.
Saya rasa perubahan ini agak menarik. Kerana apabila telah menatap halaman berwarna, mata akan dapat direhatkan apabila membaca halaman-halaman hitam putih. Memang sewajarnya majalah seperti Hidayah ini mengadakan perubahan-perubahan dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan ‘streotypes’ dalam setiap keluarannya. Namun begitu, Hidayah harus ‘istiqamah’ dalam persembahan rencana yang dipaparkan selama ini iaitu untuk tujuan dakwah dan iktibar. Saya berpedapat Hidayah ada kekutannya sendiri. Tak perlulah yang sensasi atau ‘tokok tambah’. Pembaca sendiri dapat menilai persembahan sesbuah majalah itu.
Wassalam!

Siti Saadiah Haji Marjoko
Kulai, Johor.

• Kami faham apa yang anda maksudkan dan bersyukur mendapat pembaca seperti anda. – Pengarang.

MALDIVES YANG MEMPESONA
Saudara Penarang,
Kalaulah saya tak baca Hidayah keluaran September 2009, mungkin saya tidak dapat memaklumi sekilas maklumat mengenai Maldives. Selama ini pun saya mengenal Maldives kalau tak silap negeri kepulauan itu pernah menghantar pembaca Al-Qurannya dalam salah satu musabaqah Al-Quran antara bangsa di Malaysia beberapa ketika lalu. Maldives juga bukan negara yang menjadi tumpuan berita. Mungkin kerana itu ianya kurang dikenali dan dimaklumi oleh ramai. Berbeza dengan beberapa negara Islam lain seperti Iraq, Iran, Afghanistan dan lain-lainnya. Rupanya Maldives selama ini lebih ke depan sebagai ‘negara Islam’ dengan peningkatan syiarnya. Lebih menarik ialah peraturan dimana pejabat-pejabat kerajaan dan kedai-kedai ditutup sementara 15 minit sebelum dan selepas solat lima waktu. Bagaimana kalau kita di Malaysia mengamalkan peraturan begitu? Saya rasa rencana seumpama ini akan lebih menarik jika wartawan Hidayah sendiri yang membuat lawatan dan tinjauan ke negara-negara umat Islam dan memaparkan dengan pandangan dari kaca matanya sendiri. Bagaimanapun syabas kepada Hidayah kerana mengadakan ruangan yang memberi manfaat kepada pembaca Hidayah umumnya. Semoga Hidayah terus maju jaya dalam dunia penerbitan.

Haji Yahya Hamdan,
Pasir Putih, Kelantan.

• Terima kasih dengan perhatian anda itu. Mungkin cadangan anda itu boleh kami kemukakan kepada ‘bos’ Hidayah. Mana tahu kalau ‘ada rezeki’ adalah peluang karyawan kami melangkah jauh keluar negara... – Pengarang.

Kalaulah Lebih Panjang...

Seorang isteri mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa ketika diakhir hayat suaminya ada menyebut perkataan kurang jelas seperti: “Kalaulah lebih panjang...kalaulah yang masih baru...kalaulah semuanya” yang menyebabkan si isteri merasa bingung dibuatnya. Rasulullah s.a.w. tersenyum. “Sungguh yang diucapkan suamimu itu tidak keliru,” ujarnya. Kisahnya begini. Pada suatu hari ia sedang bergegas akan ke masjid untuk melaksanakan solat Jumaat. Ditengah jalan ia berjumpa dengan orang buta yang bertujuan sama. Si buta itu teraba-raba kerana tidak ada yang menuntunnya. Maka suamimu yang membimbingnya hingga tiba di masjid. Tatkala hendak menghembuskan nafas penghabisan, ia menyaksikan pahala amal salihnya itu, lalu iapun berkata “Kalaulah lebih panjang lagi.” Maksudnya, kalaulah jalan ke masjid itu lebih panjang lagi, pasti pahalanya lebih besar pula.“Ucapan lainnya ya Rasulullah?” tanya si isteri mulai tertarik. Nabi s.a.w. menjawab: “Adapun ucapannya yang kedua dikatakannya tatkala, ia melihat hasil perbuatannya yang lain. Sebab pada hari berikutnya, waktu ia pergi ke masjid pagi-pagi, sedangkan cuaca dingin sekali, di tepi jalan ia melihat seorang lelaki tua yang tengah duduk menggigil, hampir mati kedinginan. Kebetulan suamimu membawa sehelai jubah baru, selain yang dipakainya. Maka ia menanggal jubah yang lama, diberikannya kepada lelaki tersebut. Dan jubahnya yang baru lalu dikenakannya. Menjelang saat-saat terakhirnya, suamimu melihat balasan amal kebajikannya itu sehingga ia pun menyesal dan berkata, “Andaikan yang masih baru yang kuberikan kepadanya dan bukan jubahku yang lama, pasti pahalaku jauh lebih besar lagi.” Itulah yang dikatakan suamimu selengkapnya. “Kemudian, ucapannya yang ketiga, apa maksudnya, ya Rasulullah?” tanya si isteri makin ingin tahu. Dengan sabar Nabi s.a.w. menjelaskan, “Ingatkah kamu pada suatu ketika suamimu datang dalam keadaan sangat lapar dan meminta disediakan makanan? Engkau menghidangkan sepotong roti yang telah dicampur dengan daging. Namun, tatkala hendak dimakannya, tiba-tiba seorang musafir mengetuk pintu dan meminta makanan.

Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...

Benarkah Ramadan Membelenggu Syaitan?

RAMADAN merupakan bulan penuh berkah sehingga kehadirannya sangat ditunggu-tunggu umat Islam seluruh dunia. Sebabnya, inilah bulan dimana Allah melipatgandakan kebaikan yang kita lakukan. Inilah saat-saat dimana ujian ketakwaan kita kepada Allah dipertaruhkan, yakni puasa: sebuah ibadah yang hanya diketahui oleh pelaku dan Allah s.w.t. saja. Namun, satu hal yang kerap kali menjadi pertanyaan kita di bulan puasa ini adalah benarkah syaitan dibelenggu Allah? Jika benar, apakah terbelenggunya syaitan itu dalam erti yang sebenarnya ataukah hanya makna simbolik saja. Sebab, hal ini sangat terkait dengan perilaku manusia sehari-hari selama sebulan puasa. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (HR. Muslim). Menurut Ustaz Ahmad Humaedi, hadis tersebut tidak boleh diertikan secara harfiah [tekstual]. Dia menyatakan bahawa maksud hadis itu adalah Ramadan merupakan saat terbukanya kesempatan luas bagi umat Islam untuk beramal salih. Dengan terbukanya pintu kebaikan secara luas, bererti pintu keburukan pun menjadi sempit (terbelenggu). Boleh jadi, syaitan dalam hadis di atas sebenarnya simbol negatif atau keburukan, bukan syaitan dalam bentuk fizik. Dalam realiti kehidupan Ramadan, hal ini ada benarnya. Ketika bulan suci tiba, tidak sedikit di antara kita yang tergerak hatinya untuk solat Tarawih, tidak menjual makanan atau minuman di siang hari, tertutupnya bar-bar dan disko-disko. Ini sebuah gambaran seolah-olah terbelenggunya syaitan, yakni terbelenggunya peluang-peluang untuk berbuat dosa. Mari kita andaikan bulan puasa seperti sebuah masjid. Ketika kita berada di masjid, automatik hati kita pun tergerak untuk melakukan banyak kebaikan, seperti solat sunat, tadarus (membaca al-Quran), berzikir, atau melakukan amalan-amalan sunat lainnya. Iklim positif seperti inilah yang terbentuk dalam jiwa kita ketika berada di masjid. Begitu juga iklim seperti ini akan ada dalam diri kita saat bulan puasa, iaitu ingin bertadarus, solat tarawih, silaturrahim, tidak buka kedai makan di siang hari, tidak mabuk, merokok dan sebagainya.
Meski begitu, ada saja orang yang kurang ajar saat sedang berada di masjid. misalnya, mencuri selipar atau kasut, bergurau senda sambil bertepuk bertampar yang tidak pantas dan sebagainya. Padahal dia tahu bahawa masjid adalah tempat orang melaksanakan serangkaian ibadah. Keadaan seperti ini jugalah berlaku dalam bulan puasa. Meski iklimnya sudah sangat positif, tetapi ada saja orang yang berbuat jahat saat-saat seperti ini. Jadi, tergantung pelakunya juga, iaitu manusia itu sendiri. Barangkali inilah makna terbelenggunya syaitan tersebut. Jadi, bukan dalam erti syaitan dirantai, sehingga tidak boleh menggoda manusia lagi, sementara si manusia pun bebas melakukan perbuatan dosa. Tidak seperti itu. Sebab, janji Allah kepada iblis sejak pertama kali adalah membiarkannya menggoda manusia tanpa tersekat oleh ruang dan waktu, termasuk bulan puasa sekalipun, kecuali hari kiamat tiba. Hanya saja, peluang itu menjadi lebih sempit kerana banyaknya peluang-peluang kebaikan yang dilakukan manusia selama itu. Contoh lain adalah kisah yang terjadi pada Burhan (nama samaran). Dia adalah seorang pemabuk. Namun, pada bulan puasa tahun yang lalu dia sempat berujar demikian, “Masih dalam bulan puasa ini saya tidak mahu mabuk lagi!” Perkataan Burhan ini merujuk adanya keterbelengguan syaitan. Yakni, Burhan merasa terlindung untuk tidak melakukan kejahatan atau perbuatan dosa lagi. Ertinya, iklim positif bulan puasa menjadikan kebiasaan-kebiasaan buruknya menjadi terkikis. Ketika hal ini terjadi, automatik peluang dia untuk melakukan kebaikan pun terbuka lebar. Dalam al-Quran surah as-Syam, ayat 8 – 10 disebutkan, “Allah mengilhamkan kepada jiwa itu [jalan] kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntung bagi yang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya merugi bagi yang mengotorinya.” Secara tidak langsung, ayat ini menjelaskan bahawa meski di bulan Ramadan manusia tetap boleh memiliki rasa amarah dan berbuat dosa. Namun, dengan puasa manusia dapat berupaya mempersempit ruang potensi negatifnya. Menurut Kiai Haji Jalaluddin Rakhmat – dengan puasa kita boleh belajar menahan syaitan supaya tak masuk ke dalam tubuh kita. Salah satu pintu masuk syaitan ke dalam tubuh kita adalah melalui makan dan minum. Kita tutup pintu-pintu itu pada waktu siang hari. Kita melemahkan syaitan; membuatnya tak berdaya. Dari ungkapan Jalal di atas, nampak bahawa terbelenggunya syaitan bererti semakin sempitnya ruang dia untuk menggoda manusia kerana puasa yang kita jalani atau kebaikan-kebaikan lain yang kita lakukan selama bulan puasa. Lebih lanjut, Jalal menyatakan puasa itu seperti bertapa dalam ilmu kebatinan. Ketika kita melakukan pertapaan, sebenarnya telah menutup tujuh pintu masuk syaitan. Tujuh pintu itu adalah tujuh lubang dalam tubuh kita, di antaranya mata, telinga, mulut, dan hidung. Dengan cara itu, kita dapat masuk ke dalam alam kesucian. Ya. Syaitan, salah satunya, selalu masuk melalui lubang mulut dengan berkata-kata kotor. Dengan puasa, kita pun boleh menutup mulut kita untuk tidak berkata yang berlebihan. Syaitan tidak lagi boleh menjerumuskan kita melalui mulut kita. Dengan begitu, bererti ia telah terbelenggu. Dari sinilah sabda Nabi s.a.w. itu berlaku, “Bukanlah puasa itu hanya sekedar menghentikan makan dan minum tetapi puasa itu ialah menghentikan cakap-cakap kosong dan kata-kata.” (HR. Ibnu Khuzaimah)

Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...

Semua Manusia Dalam Syurga Setinggi 60 Hasta

Dalam kitab suci al-Quran banyak ayat diterangkan tentang Syurga. Dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. juga banyak dijelaskan mengenai masalah tersebut. Cerita syurga ini memang seronok membacanya. Bagaimana hebatnya nikmat yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-hambanya yang taat dan mengikut perintahnya.
Mereka yang dipilih oleh memasuki syurga bukan kerana amal ibadat yang dilakukannya, tetapi kerana “Rahmat Allah”. Bagaimana pun, amal itu juga diukur dan dikira sebagai satu perintah Allah. Mereka yang tidak ikut dan melanggar perintah Allah, sama ertinya mereka mengingkari apa-apa suruhannya. Mereka yang mengingkari perintah Allah akan dimasukkan ke neraka bagi menjalani hukuman sebelum dimasukkan ke dalam syurga.
Ini khas untuk umat muslimin sahaja. Bagi mereka yang kafir akan terus dilontarkan ke dalam neraka, kerana mereka derhaka terhadap perintah Allah. Bulan lalu dijelaskan bagaimana manusia yang paling akhir dimasukkan ke dalam syurga, dan bagaimana dia meminta itu dan ini kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan Maha Mengasihani hambanya telah memberikan apa sahaja yang di mahukan oleh orang yang akhir sekali masuk ke syurga dengan pelbagai nikmat yang berpuluh-puluh bahkan ratus kali ganda yang dimintanya diberikan oleh Allah kepadanya. Keluaran bulan ini dijelaskan bagaimana penghidupan dalam syurga itu sendiri. Sebenarnya, penghidupan dalam syurga ini ada ciri-ciri khasnya. Ia tidak sama dengan penghidupan di dunia. Dalam sebuah kitab agama ada menjelaskan tentang ciri-ciri ini yang sepatutnya diketahui oleh semua umat Islam. Diterangkan dalam banyak Hadis dan ayat al-Quran, bahawa dalam kehidupan di dalam syurga itu manusia akan hidup terus-menerus tidak akan mati buat selama-lamanya, akan sihat terus tidak akan jatuh sakit, akan muda terus-menerus tidak akan berubah menjadi tua, berasa senang. Gembira dan bahagia terus tidak pernah sedih atau susah. Di dalam syurga tidak ada lagi proses pertumbuhan jasmani, tidak bertambah besar dan tidak menjadi kecil, tidak semakin tinggi atau gemuk, tetap sedang seperti manusia yang berumur 30 tahun atau 33 tahun. Manusia dalam syurga tidak mengalami haid, tidak pernah buang air kecil atau buang air besar, tidak keluar kotoran dari badan manusia, baik dengan jalan atas (mulut, hidung, mata, telinga), tidak pula dengan jalan bawah. Semua makanan dan minuman yang mereka makan atau minum menjadi angin atau peluh, bukan angin atau peluh busuk, tetapi angin dan peluh yang wangi baunya. Di dalam syurga tak pernah merasa jemu atau bosan, tidak pernah merasa penat atau lemah. Dan keadaan masing-masing manusia malah bertambah-tambah bagus, bertambah ayu, bertambah gembira, bertambah senang. Bila umur mereka seperti manusia berumur 30 atau 33 tahun, maka besar badan dan tingginya seperti besar dan tinggiNya Nabi Adam a.s., manusia pertama yang diciptakan Allah dengan tanganNya sendiri. Firman Allah yang maksudnya: “Dan diserukan bahawa ini syurga yang dipusakakan kepada kamu, lantaran apa yang telah kamu kerjakan.” (Al-A’raf: 43)
Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. pula yang ertinya: “Diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Berseru seorang penyeru (didalam syurga) bahawa kamu akan selalu sihat tidak akan jatuh sakit selama-lamanya akan selalu dalam keadaan muda belia tidak akan menjadi tua selamanya, akan hidup dan tidak akan mati selamanya”. Sebuah lagi hadis yang maksudnya: Diriwayatkan oleh Bukhari dari Abu Hurairah: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Barang siapa yang masuk syurga ia akan merasa senang (gembira) tidak akan menjadi tua selamanya.” Sebuah lagi hadis Nabi s.a.w. yang maksudnya: Diriwayatkan oleh at-Termizi dari Mu’az bin Jabal, sabda Nabi s.a.w.: “Akan masuk ahli syurga ke dalam syurga dengan keadaannya tinggi-tinggi, muda belia, dalam lingkungan 33 tahun.” Diriwayatkan oleh Ahmad/Ibnu Abid-Dun-ya/at-Tabarani dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Akan masuk ahli syurga ke dalam dengan keadaannya tinggi-tinggi, muda belia, putih-putih, kuning, bercelak, umur mereka dalam lingkungan 33 tahun, mereka sebesar bentuk kejadian Nabi Adam a.s. iaitu 60 hasta.

Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...

Perempuan, Islam dan Kecantikan Semulajadi

CANTIK benar-benar merisaukan kaum perempuan. Sudah banyak waktu, tenaga, wang ringgit bahkan jiwa yang dikorbankan demi sebutan ‘cantik’. Tetapi keyakinan kaum hawa tetap saja goyah mengenai kecantikan diri.

Defenisi Sulit
Cantik adalah bermakna elok, molek, (bagus) sekali (antara bentuk, rupa dan lainnya nampak serasi). Sayangnya maksud dari serasi tidak diperinci secara jelas. Dalam kenyataan pun sulit menyamakan persepsi orang tentang kriteria cantik. Di Eropah abad pertengahan, wanita dipandang cantik bila subur dengan kemampuan melahirkan banyak anak. Abad ke 15 hingga 17, wanita menarik jika punya punggung dan perut besar serta dada montok. Tiba di abad 19, kriteria jelita berpindah ke wajah bundar serta tubuh berisi. Tiba-tiba tahun 1965, muncul model Inggeris bernama Twiggy yang mempamerkan tubuh kerempeng. (lihat http:tentang-pernikahan.com). Anehnya dunia langsung mabuk kepayang dengan tubuh luar biasa kurus itu. Hingga sekarang, mulai dari “supermodel” hingga wanita kebanyakan dirasuki kriteria cantik bahawa yang paling langsing sekaligus paling kurus. Bayangkan model Ana Carolina Reston yang tinggi badannya 1.72 m, sedangkan beratnya cuma 30 kg. Jangan hairan penampilannya bak tiang telefon berbalut kulit. Demi menggapai cantik ala super kurus ini, para wanita juga berani menghadang maut. Model asal Brazil, Ana Carolina tersebut cuma memakan epal dan tomato. Dia memang berhasil menguruskan badan, tapi mengalami infeksi yang berat. Akibatnya tahun 2006 pada usia 21 tahun dia meninggal dunia. (lihat www.modelsblog.info) Sebelumnya Luisel Ramos juga mati di usia 22 tahun. Penyebabnya, top model asal Uruguay ini melakukan diet mengerikan, selama tiga bulan hanya makan daun selada dan minum diet coke. Enam bulan setelah kematian Luisel, giliran adiknya bernama Eliana Ramos juga mati di usia lebih muda, 18 tahun. Lagi-lagi penyebabnya projek pengurusan badan yang keterlaluan. (lihat www.anorexia-nervosa.suite101.com) Kendati risikonya berat, cantik dengan tubuh “super kurus” tetap jadi ikutan. Ukuran pakaian yang mereka dambarkan adalah XXS atau dikenal dengan sebutan ukuran zero. Kriteria cantik begini dirancang oleh dunia industeri. Pereka ternama memang galak mempamerkan pakaian berkelas yang dirancang untuk tubuh kurus. Ini cara penjajahan manusia dalam kriteria cantik. Sebaliknya, kurus menjadi musibah bagi perempuan Mauritania. Di sana justeru wanita gemuk yang dianggap meraih makna tertinggi kecantikan. Tidak menghairankan bila gadis-gadis kecil Mauritania dipaksa makan dalam jumlah banyak. Tentunya menu yang berlemak seperti susu unta, lemak daging dan sebagainya. (lihat www.punyaoz.brutefoz.com). Pemerintah Mauritania melarang keras tradisi makan paksa itu. Bukannya berkurang, masalah baru datang lagi. Kini pil-pil penggemuk badan dijual bebas secara “halal” mahupun “tidak halal”. Akibatnya, perempuan Mauritania menjadi korban penggunaan ubat kimiawi dengan risiko penyakit bahkan kematian. Mey Mint, umpamanya. Gadis ini sejak umur 4 tahun dipaksa minum susu unta 14 gelen sehari. Pada umur 10 tahun, dia tak sanggup lagi berlari akibat kegemukan. Mey Mint mengeluh, “Ibu bermaksud telah membuat saya nampak cantik. Padahal ia telah membuat saya sakit.” Masalahnya gara-gara berat berlebihan, dia menderita diabetes dan sakit jantung. (lihat www.msnbc.msn.com). Lain lagi suku Padaung di Thailand yang tak ambil pusing gemuk atau kurus. Bagi mereka, wanita cantik jika memiliki leher panjang. Sungguh besar pengorbanan memenuhi syarat itu. Gadis-gadis cilik suku Padaung telah menderita sejak usia 5 – 6 tahun. Seluruh bahagian leher mereka dijejali gelang-gelang besar. Akibatnya, leher mereka pun jadi tegang terus-menerus, (lihat www.chiangdao.com) Kalau pun sudah agak merenggang, langsung ditambah gelang baru hingga gadis itu berleher ala Zirafah. Di China, dulunya, perempuan dianggap cantik berdasarkan ukuran kaki. Semakin kecil kakinya, wanita itu makin dikagumi masyarakatnya. Ukuran cantik ini kembali menyeksa perempuan, dimana anak-anak cilik dipasangkan sepatuk keramik. Kakinya pun tetap kecil meski tubuhnya sudah tumbuh besar. Tatkala telah dewasa, perempuan itu berjalan terpincang-pincang. Kita menyebutnya cacat, tapi orang disana mengatakanya cantik.

Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...

Siapakah Kuasai Perniagaan Di Makkah-Madinah?

RAKYAT dari “Benua India” yang beragama Islam nampaknya menguasai semua perniagaan sama ada yang besar mahupun yang paling kecil sekali. Perniagaan hotel, walau pun hotel-hotel itu bukan hak milik mereka, tetapi penguasa dan pengendalian hotel-hotel tersebut dilakukan rakyat dari benua itu. Begitu juga dengan perniagaan makanan, dari restoran besar sehingga kepada gerai-gerai tepi tembok, tepi jalan, tepi-tepi mana pun dan sudut-sudut mana pun dimonopoli oleh mereka. Tidak ada satu ruang pun yang boleh kita mencelah melihat rakyat tempatan yang ada menjalankan perniagaan tersebut. Kedai makan misalnya, semuanya di kuasai oleh mereka. Mereka menjual aneka jenis makanan sama ada yang berat mahu pun yang ringan-ringan. Cakap apa saja perniagaan yang ada di seluruh Arab Saudi itu, siapa yang menjalankan perniagaannya? Sehingga pasar lambak di tepi jalan pun dikuasai oleh mereka. Apabila kita pulang dari masjid terutama pada waktu sembahyang subuh, maka laluan tempat penginapan itu lebat dengan jualan lambak. Serba serbinya ada. Mahu jubah, mahu ketayap, mahu tasbih, mahu perhiasan-perhiasan tangan, kaki, telinga, hidung semuanya ada dipasar lambak selepas waktu sembahyang asar, maghrib dan isyak serta subuh kecuali waktu zohor tidak ada kerana waktu ini terlalu panas, mereka tidak tahan berjemur. Dulu sebelum pembangunan dilancarkan dimana hotel-hotel lama masih ada, kedai-kedai lama dan bazar-bazar lama masih wujud, kita boleh membeli semuanya ini melalui bazar-bazar dan kedai-kedai tersebut. Oleh kerana sekarang semuanya sudah dibersihkan dan dirobohkan, mereka ubah cara berniaga dengan mengadakan “pasar lambak”. Bagaimana pun, pasar lambak ini masih dianggap “tidak sah” dari segi undang-undang Majlis Perbandaran Makkah. Mereka ini dihambat oleh pegawai-pegawai penguatkuasa yang sentiasa meronda di kawasan-kawasan berkenaan. Yang menghairankan, para peniaga pasar lambak ini kenal dan tahu watak dan wajah penguatkuasa itu. Apabila mereka melihat wajah mereka, maka lintang pukang mereka membungkus barang-barang jualan lambak terus lari. Kadang-kadang kita sedang memilih-milih barang yang kita berkenan, tiba-tiba sahaja peniaga membungkus, dan lari. Kita pula terpaksa mengejar mereka untuk membayar harga yang sudah kita ambil. Bagi kita tentulah tidak kenal pegawai penguatkuasa itu, kerana pakaian mereka sama saja dengan pakaian orang-orang yang baru pulang dari masjid, tetapi bagi peniaga pasar lambak cukup kenal. Bercakap tentang perniagaan makanan, bagi kaum India yang menjalankan perniagaan itu meletakkan harga “ikut suka”nya saja. Kalau dia rasa satu mangkuk plastik dalca tujuh atau lapan riyal, dia akan beri tahu kita dengan harga itu. Tetapi harga yang sebenarnya yang biasa kita beli ialah antara tiga riyal atau pun empat riyal, kalau paling tinggi pun lima riyal. Tetapi dilihatnya jemaah ini bukan dari rakyat tempatan atau pun bukan dari Benuanya, dia pun “ketuk” atau pun “sembelih” ikut harga yang dia mahu sendiri. Inilah yang terjadi sekarang. Saban tahun kita ke sana dan membeli barang makanan, harganya sentiasa naik sahaja. Tidak ada yang turun pun.

Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...

Apa Sebenarnya Nafkah Batin?

SELAMA ini apa yang kita tahu dan kita diberitahu bahawa “nafkah batin” itu adalah nafkah seksual suami isteri.
Itulah sebabnya, penceramah-penceramah agama kalau bercakap bab “perkahwinan”, maka istilah nafkah batin ini selalu sahaja disebutnya. Dalam sebuah kitab agama ada menghuraikan mengenai nafkah batin ini. Istilah ini bukanlah nafkah seksual sebagaimana yang disebutkan. Menurut ulama yang menulis kitab tersebut “nafkah batin” ialah si suami hendaklah memberikan ilmu agama kepada isterinya. Adalah menjadi tangungjawab suami untuk memberi pengajaran agama, dari segi tauhid, ilmu fikih, bab sembahyang dan perkara yang berkaitan dengan rukun Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan istilah “nafkah batin” itu. Untuk ini, seorang ustaz yang bernama Ustaz Haji Mansuruddin dalam sebuah kuliah agamanya telah ditanya oleh seorang jemaah dalam kuliah tersebut. Ustaz ini telah menyebutkan perkara yang sama sebagaimana disebut oleh ustaz-ustaz yang lain bahawa “kita hendaklah memberikan nafkah zahir dan batin” dengan secukupnya. Beliau sedang menghuraikan salah satu ayat dalam surah “An-Nisa’” ketika berceramah mengenai “Asbabul Nuzul”. Menjelaskan pertanyaan salah seorang jemaah, Ustaz Mansuruddin berkata: “Dalam bahasa Arab memang tidak ada nafkah batin. Apa yang disebut ialah “nafkah” sahaja. Mungkin apa yang ditimbulkan oleh saudara yang bertanya itu ada kebenarannya.”
“Tetapi pada kebiasaannya apabila disebut nafkah batin ialah nafkah “seksual”, tidak lain selain dari itu,” Kata Ustaz Mansuruddin. Batin, sebenarya benda yang tidak nampak. Memberi pengajaran dan ilmu agama kepada isteri bukanlah merupakan “benda” (material) Ilmu tidak dapat dilihat dengan mata. Orang-orang Arab hanya menyebut nafkah sahaja. Bila menyebut nafkah, ia melibatkan semua masalah rumahtangga.

Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...

Minoriti Islam Mozambik Melawan AIDS

JIKA ingin melihat masjid yang tak hanya berperanan sebagai masjid, lihatlah masjid di Mozambik. Di sana, masjid telah menjadi sarana berkesan dalam memerangi AIDS. Bahan-bahan sebaran untuk memerangi penyakit maut yang belum ada ubatnya itu diedarkan kepada masyarakat melalui masjid-masjid. Para ulama Mozambik rupanya sangat sedar bahawa penyakit AIDS adalah salah satu cabaran utama yang dihadapi umat Islam Mozambik yang mesti ditangani dengan serius. Benua Afrika sendiri menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan arena penularan AIDS yang sangat mengkhuatirkan dan boleh dikatakan telah menjadi salah satu unsur yang paling memukul sendi-sendi kehidupan di benua hitam itu, selain perang dan kemiskinan. Lebih dari 17 juta orang Afrika telah terkorban kerana AIDS dan 25 juta lainnya diketahui positif HIV. Dari jumlah itu, sekitar 1,9 juta diantaranya adalah kanak-kanak. Lebih dari 60 peratus penderita AIDS di dunia diyakini berada di negara-negara yang berada di daerah sahara Afrika. Di ibu kota Mozambik, Maputo, ternyata cukup banyak masjid, jumlahnya mencapai 60 buah. Masjid-masjid ini diantaranya ada yang berukuran besar yang dibangun secara bersama oleh masyarakat Islam di sana yang umumnya tertumpu di wilayah utara Mozambik. Gerakan ini langsung memberi kesan positif, kerana menurut statistik wilayah Utara Mozambik yang memiliki banyak komuniti muslim memiliki penderita AIDS lebih sedikit dibandingkan wilayah lain. Di Masjid Taqwa di Maputo, gerakan penyedaran AIDS ini bahkan sudah membawa para pengurus masjid tersebut bekerjasama dengan lembaga-lembaga dunia yang berkaitan dengan AIDS. Mereka mulai berjuang untuk boleh mencegah jangkitan AIDS dari ibu hamil kepada bayinya. Peranan ini diakui banyak pihak di sana yang memberi satu kesan positif akan komunikasi Islam di Mozambik yang merupakan golongan minoriti. “Masjid telah bermain peranan yang sangat penting dalam memerangi AIDS melalui meningkatkan kesedaran umat Islam tentang bahaya AIDS bagi individu dan keluarga,” ujar khatib Syeikh Mesir Mahmoud El-Sebai, salah seorang ulama Mozambik sebagaimana dipetik islamonline.com. Penyedaran yang dilakukan berasas ajaran agama ini dipandang sangat efektif bagi banyak pihak hingga kempen dari masjid ini dipandang sebagai gerakan yang menyentuh keperluan dasar manusia dalam hal menjaga kesihatan dan kehormatan diri. “Islam itu panggilan untuk kesederhanaan dan kesucian di antara semua muslim, baik yang telah berkahwin atau belum dan sangat dilarang dengan zina,” kata El-Sebai lagi.

Islam di tepian samudera
Sejak zaman berzaman, Mozambik memiliki hubungan sejarah degan dunia Islam, terutama melalui perdagangan kota pesisir Samudera Hindia. Letak Mozambik memang berada di daerah Selatan Afrika dan menghadap langsung ke Samudera Hindia yang berada di bahagian Timur. Mantan kota pelabuhan Sofala (waktu itu masuk wilayah Zimbabwe Raya) yang terkenal kerana perdagangan emas di pesisir Hindia adalah tempat pertemuan budaya, terutama dengan Islam Timur Tengah dan India. Kerana itu wilayah Afrika yang berada di tepi samudera Hindia diyakini sudah mengenal Islam sejak lama sebelum Portugis datang dan memperkenalkan agama Kristian pada abad ke-16. Mozambik adalah bahagian dari Kesultanan Kilwa dari Arab yang berkuasa pada abad ke-12 sebelum runtuh pada abad ke-16. Pada masa penjajahan, Islam mendapat cabaran serius. Banyak tindak tanduk penjajah yang membatasi ruang gerak mereka. Selama periode Estado Novo (1926-1974) Katolik Roma sangat berpengaruh, sebab menjadi agama rasmi yang merupakan hasil persekutuan antara pemerintah dan gereja.
Umat Islam cukup tertekan pada masa ini kerana tak memiliki kebebasan mengamalkan Islam secara sepenuhnya.

Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...

Masih Ada Lagikah Imam-Imam Mujtahid Sekarang-Masa Depan?

Dalam beberapa keluaran yang lalu ada disebutkan mengenai orang-orang yang boleh “berijtihad”. Diantara disebutkan orang itu mestilah mempunyai ilmu agama yang dalam dan luas. Diantara syarat lain mestilah tahu bahasa Arab. Dalam sebuah kitab agama disebutkan bahawa di akhirat kelak bahasa yang dipakai dalam syurga kelak ialah bahasa Muhammad. Bahasa Muhammad yang dimaksudkan disini ialah “bahasa Arab”. Itulah sebabnya bahasa Arab sejak dulu hingga sekarang tidak pernah hilang dari muka bumi ini, walau pun banyak bahasa lain sudah hilang, tenggelam begitu sahaja. Satu lagi ialah bahasa Arab, sehingga sekarang tidak berubah, maksudnya, maknanya, takrifnya, sebab bahasa itu bahasa akan digunakan atau pun dipakai di dalam syurga kelak. Itulah sebabnya dalam kitab-kitab, para ulama dulu menetapkan orang-orang yang mahu “Berijtihad”, mestilah tahu dan fasih dalam bahasa Arab. Keluaran ini tentang adakah orang-orang atau pun imam-imam Mujtahid, sama ada sekarang atau pun dimasa akan datang? Para ulama yang mengarang kitab ini telah mengupas dengan panjang lebar berhubung dengan perkara itu. Seorang Imam Mujtahid yang berijtihad yang mengeluarkan hukuman-hukuman dari al-Quran dan Sunnah Rasul, maka hasil ijtihadnya itu dinamakan “Mazhab”-nya. Hasil ijtihad Imam Syafi’i dinamakan Mazhab Syafi’i hasil ijtihad Imam Maliki dinamakan Mazhab Maliki dan begitulah seterusnya. Mazhab adalah bahasa Arab yang ertinya jalan yang dilalui. Tetapi dalam istilah syari’at Islam bererti fatwa atau pendapat seorang Imam Mujtahid. Di dalam dunia Islam sekarang terkenal 4 besar Mazhab, iaitu:
• Mazhab Hanafi, iaitu fatwa-fatwa Imam Abu Hanifah an-Nu’man bin Tasbit, (lahir 81 H. meninggal 150 H) dan sahabat-sahabat beliau.
Mazhab ini mulanya tumbuh di Iraq (khufah), kemudian tersiar luas di Syria, Afghanistan, India, Turki, Khurasan, Mesir, Algeria, Tripoli, Balkan, Brazil dan lain-lain.
• Mazhab Maliki, iaitu fatwa-fatwa Imam Maliki bin Anas dan sahabat-sahabat beliau. (lahir 83 H. meninggal 179 H). Mazhab ini mulanya tumbuh di Madinah, kemudian tersiar luas di Hijaz, Moroko, Sepanyol, Sudan dan lain-lain.
• Madzhab Imam Syafi’i, iaitu fatwa-fatwa Imam Muhammad bin Idris (lahir 150 H. meninggal 204 H.).
Mazhab ini mulanya tumbuh di Iraq dan Mesir, kemudian tersiar luas di Iraq, Mesir, Khurasan, Afganistan, India, Malaysia, Indonesia, Thailand, Hijaz, Hadhralmaut, Yaman, Oman, Sudan, Somali, Syria, Palestin, Philipina dan lain-lain.
• Mazhab Hanbali, iaitu fatwa-fatwa Imam Ahmad bin Hanbal dan sahabat-sahabat beliau. (lahir 162 H. meninggal 241 H.). Mazhab ini tumbuh di Iraq dan kemudian tersiar luas dan akhirnya penganutnya yang banyak adalah di Nejed, negeri Ibnu Sa’ud, keluarga yang memerintah Saudi Arabia sekarang.
Inilah 4 Madzhab besar yang ditakdirkan Allah akan berkembang dan tetap memenuhi dunia Islam sampai sekarang.
Mazhab-mazhab dalam fiqih pada mulanya banyak terdapat dalam dunia Islam kerana Imam-imam Mujtahid itu banyak pula, apalagi agama Islam sendiri menyuruh menggembirakan dan merestui agar setiap orang Islam harus pandai menjadi Imam mujtahid, supaya hukum-hukum Islam itu tumbuh dari abad ke abad. Para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang berfatwa tentang hukum fiqih sesudah Nabi s.a.w. wafat boleh digolongkan kepada Imam-imam Mujtahid kerana beliau-beliau itu mengeluarkan hukum dari Al-Quran dan Hadis. Dan dulu terdapat juga Imam Mujtahid, seperti Imam Daud Zhahiri, iaitu Abu Suleiman bin Khalaf Al Ashbahani (lahir 200 H. meninggal 270 H. di Baghdad). Tetapi sekarang sudah hilang. Dulu terdapat “Mazhab Ibnu Hazam”, iaitu mazhab yang dibentuk oleh Ali Ibnu Hazam di Andalusi (Cordova) (lahir 373 H. meninggal 443 H.). Sekarang Mazhab itu tidak kedengaran lagi. Dulu juga terdapat “Mazhab Auza’i, Mazhab Al Leits” dan lain-lain lagi. Tetapi semuanya itu tidak tahan hidup dan hilang dibawa arus, mungkin kerana dasar-dasar mazhabnya tidak kuat sehingga mudah saja hilang diterbangkan angin. Yang tinggal sekarang dan yang diterima oleh dunia Islam ialah Mazhab yang 4 ini, iaitu Maliki, Hanafi, Syafi’i dan Hanbali. Kalau kita berjalan ke seluruh dunia Islam pada waktu sekarang dan kita perhatikan masyarakat Islam dan pengadilan-pengadilan agamanya, akan terlihat sebagai berikut:
• Moroco menganut Mazhab Maliki.
• Algeria menganut Mazhab Hanafi.
• Tunisia menganut Mazhab Hanafi.
• Libya menganut Mazhab Hanafi dan sedikit Syafi’i.
• Turki menganut Mazhab Hanafi.
• Mesir menganut Madzhab Hanafi dan sebahagian Mazhab Syafi’i.
• Iraq menganut Mazhab Hanafi dan sedikit Syi’ah Imamiyah.
• Pakistan menganut Mazhab Hanafi dan sedikit Syi’ah Isma’iliyah.
• India menganut Mazhab Hanafi.
• Indonesia mengaut Mazhab Syafi’i.
• Philipina menganut Madzhab Syafi’i.
• Malaysia menganut Mazhab Syafi’i.
• China menganut Mazhab Hanafi.
• Somalia menganut Mazhab Syafi’i.
• Sudan menganut Mazhab Hanafi.
• Negeria menganut Mazhab Hanafi.
• Afganistan menganut Mazhab Hanafi.
• Lebanon menganut Mazhab Hanafi dan sebahagian syi’ah Imamiyah.
• Arabia Selatan menganut Mazhab Syafi’i.
• Saudi Arabia menganut Madzhab Hanbali dan sebahagian Hanafi.
• Yaman menganut Madzhab Syi’ah Zaidiyah.
• Iran menganut Mazhab Syi’ah Ima–miyah.
• Daerah-daerah di Russia menga–nut Mazhab Hanafi dan sedikit Syi’ah.
Demikianlah pada umumnya mereka menganut salah satu mazhab yang empat, walaupun di sana sini terdapat juga beberapa orang yang “anti Mazhab”, tetapi pengadilan-pengadilan Agama tetap menganut hukum sebagai yang tertera dalam mazhabnya masing-masing. Satu soal yang ramai dibicarakan dalam dunia Islam pada masa terakhir ini ialah persoalan tentang masih ada atau tidakkah Imam Mujtahid pada waktu sekarang atau pada waktu-waktu yang akan datang?

Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...

Wednesday, September 16, 2009

Kisah Syaitan Mencuri Harta Zakat

Dalam kitab-kitab agama ada diterangkan tentang wajah iblis ini boleh bertukar dari pelbagai rupa. Ada diceritakan bahawa iblis atau pun syaitan itu mempunyai tanduk. Ketika melakukan kerja-kerja mencuri ini, syaitan biasanya akan menukar wajahnya kepada manusia. Ada cerita syaitan (jin) mencuri buah kurma yang hendak disedekahkan kepada fakir miskin. Tiba-tiba tuan punya buah kurma itu mendapatinya buah kurmanya berkurangan, dan bila disiasat didapati ada seorang budak lelaki ada diatas kenderaan dengan bakulnya berisi buah kurma. Apabila ditanya dari manakah dia mengambil buah kurma itu, dia menjawab dia bukan manusia tetapi jin dan mencurinya dari orang yang hendak bersedekah, dan dia (jin) mengambilnya. Dalam sebuah kitab lain dijelaskan juga bahawa syaitan ini tidak dapat dilihat. Ada para ulama menyangkal pengakuan dari setengah orang bahawa dia melihat jin dalam bentuk asal. Tidak betul dakwaan itu, kata para ulama yang disebut dalam kitab agama yang membicarakan tentang syaitan atau jin ini. Kalau para ulama tersebut, kalau ada orang melihatnya dalam bentuk penjelmaan, maka itu boleh diterima, kerana jin boleh menjelma dalam bentuk jemlaan haiwan atau pun binatang. Ikutilah selanjutnya tentang bentuk-bentuk dan wajah syaitan atau pun sebagaimana yang diterangkan oleh para ulama yang mereka nukilkan dalam buku-buku karya mereka.

• Syaitan Bertanduk
Dalam Sahih Bukhari ada diriwayatkan sebuah hadis dari riwayat Amru yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang ertinya: “Sesungguhnya matahari itu menyerlah di antara dua tanduk syaitan dan tenggelam di antara keduanya (tanduk syaitan) juga.” Hadis ini menunjukkan bahawa syaitan mempunyai tanduk. Ada sebahagian riwayat menyebutkan bahawa tanduk syaitan menyerupai tanduk binatang bahkan lebih mengerikan kerana ada sebahagian tanduknya yang mengeluarkan api dan bau busuk.

• Syaitan Pencuri Harta Zakat
Abu Hurairah pernah meriwayatkan: Rasulullah s.a.w. penah mewakilkan kepadaku agar menjaga zakat Ramadan, maka suatu ketika aku telah didatangi oleh seseorang. Orang itu kemudiannya cuba mencuri, tapi aku sempat menangkapnya lalu berkata: “Demi Allah! Aku akan laporkan kejadian dan kelakuan engkau ini kepada Rasulullah.” Tapi orang itu kemudiannya menjawab: “Tolonglah! Sebenarnya aku benar-benar berhajat kepada makanan ini kerana aku mempunyai ahli keluarga yang besar. Tolonglah!” Aku kemudiannya berasa kasihan lalu melepaskannya pergi. Keesokan harinya Rasulullah telah bertanya kepadaku: “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang telah engkau lakukan terhadap pelanggan engkau kelmarin?” Aku kemudiannya menjawab: “Wahai Rasulullah, dia telah mengadu kepada saya bahawa dia benar-benar berhajat kepada makanan itu untuk keperluan keluarganya. Saya sangat kasihan melihat keadaannya, lalu saya lepaskan dengan kehendaknya itu”.
Kemudian Rasulullah bersabda: “Sebenarnya dia telah membohongi kamu, nanti dia akan datang semula.”
Ucapan Rasulullah itu benar sekali, seperti biasa dia datang lagi melakukan kerja yang sama. Sekali lagi aku dapat menangkapnya dan berkata: “Aku akan laporkan kejadian dan kelakuan engkau ini kepada Rasulullah.”
“Tolonglah! Lepaskanlah aku dengan makanan ini! Aku sebenarnya mempunyai keluarga yang besar! Aku sekali-kali tidak akan pulang tanpa makanan ini! Tolonglah!” Rayunya lagi. Aku sungguh kasihan dengan keadaannya itu dan akhirnya aku lepaskan lagi. Keesokan harinya, seperti biasa Rasulullah bertanyakan keadaan yang sama dan aku pun menjawab seperti sebelum ini, lalu Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya dia itu penipu, nanti dia akan datang lagi”. Untuk kali ketiga, dia datang lagi dengan sikap yang serupa dan kali ini aku menangkapnya sambil berkata: “Kali ini aku betul-betul akan membawa engkau kepada Rasulullah! Ini adalah kali terakhir. Sudahlah! Dulu engkau katakan engkau tak mahu datang lagi tapi kau datang juga.”
“Lepaskanlah aku! Nanti aku ajarkan kepada engkau satu ilmu yang Allah akan memberi manfaat kepadamu.”
“Apa dia?” tanyaku. Lalu ia menjawab: “Apabila engkau mula labuhkan badanmu di atas tilam bacalah ayat al Kursi dari awalnya sehingga habis.” Katanya lagi: “Kerana apabila engkau membaca ayat tersebut, engkau akan sentiasa berada di dalam lindungan Allah, dan syaitan tidak akan mendekati engkau sehinggalah menjelang pagi.”
Akhir sekali aku pun melepaskannya pergi. Keesokan harinya, seperti biasa Rasulullah bertanyakan perkara yang sama. Lali aku pun menjawab: “Wahai Rasulullah! Kelmarin dia mendakwa telah mengajarkan kepadaku satu ilmu yang Allah akan memberi manfaat kepadaku, jika sekali lagi aku melepaskannya pergi.”
“Ilmu apa itu?” tanya Rasulullah. Katanya kepada saya: “Sekiranya kamu mula membaringkan tubuhmu di atas tilam bacalah ayat al Kursi dari awalnya sehingga habis, nescaya engkau sentiasa akan berada di dalam lindunganNya dan syaitan tidak akan mendekatimu sehinggalah menjelang pagi.” Lalu Rasulullah bersabda: “Ia sebenarnya telah bercakap benar terhadapmu padahal ia itu adalah penipu. Tahukah engkau siapa yang bercakap denganmu selama tiga kali berturut-turut?” “Tidak!” jawabku. “Sebenarnya itulah dia syaitan,” ujar Rasulullah s.a.w.

Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...

Wednesday, June 3, 2009

Cordoba Yang Ku Dengar...









Indahnya
Cordoba...Cantiknya Cordoba...Hibanya Cordoba...
Yang tinggal cuma igauan masa lampau...
Sayunya
Cordoba...