Wednesday, January 5, 2011

Kisah Menarik 'Mujtahid Palsu Dalam Masyarakat Islam

ZAMAN mutakhir ini, ramai orang mahu jadi tokoh agama. Mahu jadi sebagai ulama, ramai mahu jadi ilmuan Islam (cendekiawan) dan macam-macam lagi. Tetapi mereka tidak mempunyai ilmu agama yang mendalam untuk mencapai tahap ulama yang diangan-angankan itu. Begitu juga dalam dunia sekarang ramai orang mahu jadi seorang “mujtahid” yang boleh menyimpulkan hukum, dan menghukum orang dan mengeluarkan hukum.
Oleh kerana mereka tidak punyai ilmu yang dalam, tidak pernah mahu pelajari ilmu Fikih, tidak pernah mahu mempelajari ilmu tafsir, tidak pernah mahu pelajari bahasa Arab, tidak pernah memasuki sekolah agama, akhirnya mereka jadi “Mujtahid palsu”. Tetapi sikap mereka, ada setengah-setengahnya “berlagak sebagai ulama” besar, menghukum orang itu sesat, kafir, tak Islamik dan macam-macam lagi. Ada sebuab kitab agama yang menghuraikan tentang wujudnya orang-orang yang macam ini berlagak sebagai ulama didalam masyarakat Islam. Akhirnya berlaku kejadian-kejadian seperti dijelaskan dalam kitab itu: Ada seseorang yang mengatakan bahawa isteri-isteri orang yang mati syahid, akan terus masuk ke syurga bersama suami-suaminya. Jelas bahawa orang itu tidak mengetahui bahawa masuk syurga itu adalah tergantung kepada amal masing-masing yang tidak dapat disandarkan kepada suami. Sedangkan isteri Nabi Nuh a.s. tidak dapat masuk syurga bersama suaminya. (Al-Quran surah At-Tahrim: 10) dan isteri Nabi Luth a.s. juga tidak boleh masuk syurga langsung bersama suaminya (Al-Quran surah An Naml: 57). Ada lagi yang mengatakan bahawa kalau Nabi Muhammad s.a.w. masih hidup pada zaman ini, tentu baginda akan menghalalkan riba kerana riba itu perlu dalam pembangunan negara. Negara tak akan hidup tanpa Bank yang pakai riba. Jelas juga bahawa orang itu tidak tahu bahawa syari’at Islam yang melarang riba bukanlah ciptaan fikiran Nabi Muhammad s.a.w., tetapi adalah perintah Tuhan. Tuhan yang hidup dari dulu sampai sekarang dan selanjutnya. Nabi Muhammad s.a.w. hanya Rasul Allah yang menyampaikan perintah itu. Ada “Ulama” yang mengatakan bahawa memakai pakaian ihram ketika mengerjakan Haji adalah rukun Haji. Terang juga bahawa “ulama” ini tidak pernah mempelajari bahawa memakai pakaian haji itu bukanlah rukun, tetapi hanya “wajib” haji. Kalau tidak dipakai tidaklah membatalkan haji seperti meninggalkan rukun. Yang rukun ialah ihram, bukan memakai pakaian ihram. Ada seorang mengatakan bahawa kita tidak nengikuti Mazhab Syafi’i. Kerana Mazhab itu dibuat di Mesir. Lebih baik kita buat Mazhab sendiri yang kita namai “Mazhab Nasional”. Orang ini betul-betul tak mengerti persoalan dihadapinya.

Ada cerita lucu
Pada zaman dulu, iaitu zama Khalifah al Mutawakil (822 – 861 M) seorang wanita mendakwa bahawa ia menjadi Nabi. Nabi palsu itu dipanggil oleh Khalifah dan ditanyai, “Engkau Nabi?”, Tanya al Mutawakil. “Ya Tuanku,” jawab si wanita. “Engkau tak percaya kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang mengatakan bahawa tidak ada lagi Nabi sesudah Nabi Muhammad?” Wanita itu menjawab: “Percaya Tuanku. Tetapi yang tidak ada itu adalah Nabi lelaki, sedang perkataan “nabiya” itu adalah lelaki. “Saya ini Nabi wanita.” Akhirnya Khalifah al Mutawakil ketawa dan membebaskan saja wanita itu kerana dianggap kepalanya tak betul. Ada lagi pada zaman Khalifah Mutawakil juga, seorang lelaki mendakwakan pula bahawa ia Nabi. Khalifah memanggil dan bertanya: “Engkau betul Nabi?” tanya Mutawakil. “Ya,” katanya. “Apa buktinya dalam Al-Quran bahawa engkau Nabi?” tanya Mutawakil. “Ayat Tuhan dalam surah An Nasr,” katanya: Ertinya: “Apabila datang Nashrullah dan kemenangan.” “Nama saya Nashrullah.” Mutawakil dan Menteri jadi bingung menghadapi Nabi palsu yang berdalil dengan Al-Quran itu. Ada lagi yang boleh dianggap sebagai Mujtahid palsu juga, iaitu memfatwakan bahawa Nabi Isa a.s. sudah mati, sesuai dengan firman Tuhan dalam Al-Quran: Ertinya: (menurut mereka),” dan setelah Engkau matikan aku, maka engkaulah lagi pengawas mereka dan Engkaulah yang menyaksikan segala sesuatu.” (Al Maidah: 117). Hal ini berlainan sekali dengan iktikad dan keyakinan umat Islam sedari dulu, iaitu bahawa Nabi Isa a.s. tidak mati kerana beliau tidak dapat dibunuh oleh orang-orang kafir, kerana Nabi Isa A.s diangkat oleh Tuhan Allah ke hadirat-Nya. Oleh Mujathid palsu ini, kalimat “tawaffa” yang tersebut dalam surah Al Maidah: 117 diertikan dengan “mati”. Nampaknya “Mujtahid” ini hanya memahami satu ayat itu saja tanpa menghiraukan ayat-ayat yang lain dalam Al-Quran, iaitu: Tuhan berfirman: Ertinya: “Dan mereka tidak membunuh dan tidak pula mensalibnya, tetapi yang mereka bunuh adalah yang serupa dengan Isa.” (An-Nisa’: 157). Kalimat “tawaffa” dalam Al-Quran tidak semuanya bererti “mati” sebagai tersebut dalam surah Ali Imran ayat 185, surah Al An’am ayat 60 dan lain-lain. Mujtahid palsu ini terlalu berani menggali hukum dari isi Al-Quran dengan hanya mengetahui satu atau dua ayat saja. Ada seseorang yang sudah boleh dianggap pandai dalam Islam. Pada suatu hari ia kedapatan makan siang dalam bulan Ramadan oleh penulis buku ini. Dengan takjub kami bertanya: “Tidak puasa?” “Ya,” jawabnya. Puasa itu sama dengan sembahyang, sama-sama rukun Islam. Kita tidak boleh sembahyang kalau kita mabuk, sesuai dengan firman Tuhan: Ertinya: “Janganlah mendekati sembahyang kalau kamu sedang mabuk.” (An Nisa’: 43). “Oleh kerana sekarang saya sedang mabuk, maka saya tidak berpuasa, dikiaskan kepada orang mabuk tidak boleh sembahyang,” demikian katanya.


Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2011 di pasaran...

No comments: