Monday, November 12, 2012

Air Zam-Zam Kisah Agung Dalam Sejarah Islam

KELUARAN kali ini kita paparkan mengenai “Air Zam-Zam”. Kisah atau pun cerita “air zam-zam” ini memang sangat popular. Ia merupakan satu kisah yang amat besar dan agung dalam sejarah Islam itu sendiri. Air itu datangnya dari syurga. Ia menjadi minuman Nabi Ismail a.s. dan ibunya Siti Hajar. Para ahli sejarah dan para ulama itu sendiri berselisih pandangan dan pendapat mengenai air zam-zam itu sendiri, dan kemunculannya. Memang sudah menjadi Sunatullah, Nabi Ibrahim mendapat arahan Allah supaya membawa anaknya Ismail dan isterinya Hajar di kawasan itu. Sedangkan Ismail ketika itu masih menyusu lagi.
Nabi Ibrahim meninggalkan sedikit air untuk isteri dan anaknya. Kemudian air itu habis. Menurut cerita, Ibrahim meninggalkan isteri dan anaknya di situ. Ketika telah kehabisan air, Siti Hajar mencari air dan berlari-lari anak dari Bukit Safa ke Bukit Marwah. Larian anak itu sebanyak tujuh kali. Dari perbuatan Siti Hajar itulah dijadikan atau pun disunnahkan Sa’i (berlari kecil) antara Safa dan Marwah. Kemudian Ismail menghentak-hentak kaki dan menjerit-jerit (sebagaimana jeritan bayi yang lapar untuk menyusu atau mahu minum air), di mana kakinya dihentakkannya ke tanah. Lalu Allah s.w.t. mengalirkan air dibawah kakinya. Siti Hajar melihat peristiwa itu setelah dia mencari air tidak berjumpa, lalu datang semula ke tempat anaknya Ismail yang ditinggalkan itu. Itu kisah yang dinukilkan dalam kitab-kitab agama dan yang diberitahu oleh ustaz-ustaz kita dalam kuliah-kuliah agama apabila bercakap tentang kisah air zam-zam, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Siti Hajar dan Siti Sarah. Apa kira pun, apa cerita pun yang kita tahu yang diceritakan dan yang dikisahkan bahawa air zam-zam sudah wujud sejak dulu-dulu lagi, entah berapa ribu tahun dulu.
Sekarang ini kalau kita pergi ke Makkah dan dimana saja di seluruh Arab Saudi, kita akan dapat merasa minum air zam-zam. Sehingga di dalam Masjidil Haram, dan masjid Nabawi di Madinah, pihak berkuasa Kerajaan menyediakan kemudahan untuk kita minum air zam-zam. Pada hakikatnya, air zam-zam anugerah Allah s.w.t. Mengenai perkara ini, Wahab bin Munabih pernah menyatakan: “Demi Allah yang jiwaku dalam genggamannya! Sesungguhnya ia dijamin dalam kitab Allah s.w.t. sebagai satu anugerah (pemberian), sesungguhnya ia di dalam kitab Allah s.w.t. adalah minuman orang-orang baik, dan sesungguhnya ia di dalam kitab Allah s.w.t. adalah makanan ubat bagi penyakit.” Ibnu Khutsaim mengatakan bahawa Wahab bin Munabbih datang kepadanya dengan mengeluh sakit. Ia pun datang untuk menziarahinya dan mendapati air zam-zam yang ada disisinya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah November 2012 di pasaran...

No comments: