Thursday, July 19, 2012

Memahami Erti Tasawuf Yang Sebenar

HAKIKAT bahawa Al-Quran adalah sumber utama ilmu dan amalan tasawuf tidak dapat dinafikan. Al- Quran menyatakan dengan jelas bahawa Allah s.w.t. tidak dapat diserupakan dengan sesuatu, dalam konteks yang lain Al-Quran menyatakan tentang Allah s.w.t. itu Maha Melihat lagi Maha Mendengar. Semua ini merupakan suatu hikmat ketuhanan yang tertinggi yang telah dibawa oleh Baginda Rasulullah s.a.w. melalui wahyu Ilahi, iaitu Al-Quran. Kemudian umat Islam membaca ayat suci yang menyuruh mencari Tuhannya,  kerana Dialah sumber segala cahaya di langit mahupun di bumi. Namun jika umat Islam membaca ayat  tersebut, lalu meniru gaya hidup yang telah dianjurkan dengan satu kaedah yang telah diatur susun oleh ilmu dan amalan tasawuf, tentu bukan menjadi satu kesalahan. Sebagai contoh, Al-Quran menganjurkan agar hidup jangan terlalu mencintai dunia kerana hal itu menyebabkan kotor dan mencemarkan perjalanan roh yang sifatnya sedia suci, lalu diajarkan dalam ilmu tasawuf dengan satu metodologi yang dikenali sebagai zuhud. Begitulah seterusnya. Jika hal ini terjadi dalam kehidupan umat Islam tidak bermakna ia menganut suatu ajaran baru,  yang dimasukkan ke dalam ajaran Islam sebagai sisipan (Prof Dr H. Abuddin, 1996). 
Pendekatan Imam Ghazali memberikan jaminan untuk mempertahankan prinsip bahawa Allah dan penciptaanNya adalah dua hal yang berbeza sehingga satu sama lain tidak mungkin bersatu (Prof H.A. Rivay, 1996). Dari keterangan di atas tidak mungkin sama sekali untuk kita menyatakan bahawa keseluruhan hal tersebut adalah suatu penambahan dari ajaran orang sufi. Namun secara yakin boleh kita nyatakan di sini ia adalah suatu tafsiran yang mereka telah simpulkan dari satu keyakinan bahawa Allah s.w.t. itu bersifat dengan sifat wujud yang hakiki dan Allah s.w.t. itu diyakini terlalu hampir dengan mereka seperti yang diterangkan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya (bermaksud): “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Qaf: 16) Sebenarnya Islam merupakan agama tauhid, manakala semua aspek Islam, sama ada dari sudut ajaran serta amalannya adalah melambangkan kepada prinsip yang asasi tersebut. Disiplin ilmu dan amalan tasawuf  merupakan aspek yang paling mendalam dari dimensi yang batin terhadap wahyu yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tasawuf adalah kaedah atau cara yang terbaik untuk merealisasikan prinsip tauhid yang terkandung dalam ajaran Islam tersebut. Oleh kerana itu, sebagai seorang yang Islam dan beriman kepada Allah s.w.t. dan RasulNya, maka kemuncak dari keislaman dan keimanan tersebut akan dapat dilihat secara sehabis-habis universal oleh perlambangan terhadap ungkapan kalimah syahadah. Namun dalam hal ini, seperti yang di catatkan oleh sejarah, hanya ahli sufi dengan disiplin ilmu dan amalan tasawuf sahaja yang dapat merealisasikan rahsia dari tuntutan tauhid tersebut. Merekalah yang mengetahui makna lafaz ini (tauhid) dengan pemahaman yang benar secara zahir dan batin. Atau dengan lain perkataan, dapat melihat Allah s.w.t. di mana-mana juga. Pada hakikatnya, keseluruhan dari inti pati amalan yang terkandung dalam ajaran tasawuf yang bersifat perjalanan kerohanian melalui disiplin tarekat itu sebenarnya mempunyai misi tersendiri untuk menyembuhkan manusia dari berbagai bentuk penyakit batiniah.  Dengan demikian manusia akan berada pada landasan yang benar untuk menuju ke martabat insan kamil. Hanya dengan cara mencapai taraf kesempurnaan diri yang sebenar, barulah seseorang yang salik itu boleh menjadi suci dan bersih di sisi Tuhannya. Hal ini telah diterangkan oleh Allah s.w.t. dengan firmanNya
(Maksudnya): ”Dan orang  yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (al-Ankabut: 69) Agama Islam secara umumnya menjadi lengkap dengan adanya tiga perkara iaitu Islam, iman dan ihsan yang merupakan tiga rukun agama. Kedatangan Jibril a.s. menemui Nabi s.a.w. dan seterusnya bertanyakan baginda tentang Islam, iman dan ihsan dalam peristiwa yang terkenal itu adalah bertujuan mengkhabarkan tentang rukun agama yang terdiri dari tiga perkara tersebut. Perkara ini dapat diperhatikan pada penjelasan Nabi s.a.w. yang bermaksud “Sesungguhnya dia itulah Jibril yang datang kepada kamu bagi mengajarkan kepada kamu agama kamu.” Ketika Nabi s.a.w. ditanya tentang Islam baginda menjelaskan bahawa ia adalah mengucap dua kalimat syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu. Apabila Nabi s.a.w. ditanya tentang iman baginda menjelaskan bahawa ia adalah percaya kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhirat dan percaya kepada ketentuan Allah sama ada baik atau buruk. Apabila Nabi s.a.w. ditanya pula tentang ihsan baginda menjelaskan bahawa ia adalah beribadat kepada Allah seolah-olah melihatNya sekiranya tidak melihatNya maka Allah itu melihat hambaNya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Julai 2012 di pasaran...

No comments: