BERCAKAP memang mudah, mengamalkannya memang payah. Hidup bersahaja, bersifat Qanaahlah tu... Bukan mudah apabila dirinya masih diselimuti nafsu yang cuba mengungkit-ungkit pemberian Tuhan pada dirinya selama ini. Keinginan hawa nafsu manusia memang sukar untuk dikendalikan. Termasuk diri kita sendiri. Sekadar kekuatan azam sahaja tidak mencukupi kalau tidak berasaskan kepada keimananan yang kukuh. Namun janganlah takbur...hidup dengan sifat Qanaah (bahasa Melayunya bersahaja) bukanlah lahir hasil latihan diri sendiri. Ianya hendaklah bersandarkan kepada anugerah Allah s.w.t. jua. Ada juga orang yang hidup bersabar, bersahaja, bersederhana namun jauh dari keimanan. Bukan tidak ada orang-orang bukan Islam bersifat demikian.
Tokoh bersahaja bagi manusia yang terkenal di Asia dan di dunia ini ialah Mahatma Ghandi. Kesederhanaannya mengkagumkan. Dengan pakaiannya yang sehelai itu dia berjaya menggerakkan kebebasan negaranya dari cengkeraman penjajah British. Tapi bagaimana dia di akhirat kelak? Ghandi memang hebat...
Tapi anda juga akan lebih hebat jika dapat mengawal hawa nafsu dari mengejar dunia yang palsu ini. Anda bersabar dan menerima qada’ dan qadar Allah berlandaskan ketauhidan anda kepada Allah Taala. Bukan kepada yang lain. Bukan kepada untuk dipuja puji mahu disebut ahli sufi. Oh... bukan begitu! Memadai anda beramal memenuhi tuntutan kewajipan sebagai seorang muslim. Bekerjalah untuk menyara kehidupan anda dan keluarga menurut kemampuan anda. Tidak menipu, tidak mengampu, tidak memijak orang lain dan bersyukurlah dengan apa yang anda terima. Ingatlah apa yang anda dapat, yang anda lakukan adalah semata-mata merupakan anugerah Allah s.w.t.juga. Renungilah hadis Qudsi ini di mana Allah s.w.t. berfirman: “Hai manusia! Siapa yang sudi menerima apa yang ada (dari bahagian yang Aku berikan padanya), maka ia telah kaya. Siapa yang meninggalkan sifat iri dengki, maka istirahatlah sudah jiwanya. Siapa yang meninggalkan barang yang haram, maka agamanya pun menyelamatkan dirinya. Siapa yang tidak mahu mengumpat orang lain, maka tampaklah kecintaannya, kebaikannya pun semakin banyak. Siapa yang memisahkan diri dari orang banyak, maka selamatlah dirinya dari (gangguan) mereka. Siapa yang bicaranya sedikit, sempurnalah akalnya. Siapa yang rela atas bahagian rezeki sedikit, maka ia telah percaya penuh dengan apa yang dimiliki Allah s.w.t...” Berbahagialah anda apabila dianugerah sifat bersahaja ini. Alhamdulillah... (Muhammad Sholehan)
Tuesday, August 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment