Sunday, February 12, 2012

Variasari Keluaran Februari 2011


Sudahkah anda memiliki Variasari edisi Februari 2012? Kalau belum dapatkan segera sebelum kehabisan...

Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca yang sudi menatap majalah ini. Sokongan yang cukup memberansangkan hari demi hari amat kami hargai.

Variasari menyajikan anda bahan bacaan 100% misteri. Dijamin anda puas membaca kisah-kisah yang dipaparkan.

Dapatkan segera majalah Variasari keluaran Februari 2012 sebelum terlambat.

Amaran keras: Ibu-ibu mengandung tidak di galakkan membacanya.

Harga cuma RM3.00 saja

Siri Bercakap Dengan Jin


Anda sedang membaca kisah yang turut dibaca oleh ribuan pembaca setia Siri Bercakap Dengan Jin sejak berpuluh tahun lamanya. Ia makin hangat diperkatakan oleh pembaca Variasari generasi kini. Pastikan anda terus mengikuti cerita bersiri ini ...

Antara Yang Menarik Dalam Variasari Februari 2012












Hidayah Februari 2012

Hidayah keluaran Februari 2012 sudah beredar di pasaran. Pastikan anda tidak ketinggalan memilikinya. Dapatkan segera sebelum kehabisan... Beli 2 naskhah...satu untuk anda satu lagi berikan pada jiran...!
Kami himpunkan
berbagai kisah-kisah menarik khusus buat tatapan anda untuk dijadikan iktibar. Isi kandungannya masih padat, cukup menawan sesuai dibaca semua lapisan masyarakat...Segera ke kedai-kedai buku berhampiran untuk mendapatkannya!

Senaskhah cuma RM3.90 sahaja

Iklankan Apa Saja Dalam Hidayah...

Langganlah Segera Melalui Pos

Salam Kami Februari 2012

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rasanya baru saja menyambut tahun baru 2012, kita kini akan memasuki pula bulan Februari. Anak-anak kembali sibuk ke sekolah. Dan perjalanan hidup kita seperti biasalah. Sibuk tak habis-habis. Namun Hidayah tetap seperti biasa. Setiap bulan akan terus menemui para pembacanya. Kali ini Hidayah menemui anda dengan kisah iktibar utamanya (penghias cover) memaparkan bagaimana seorang pegawai kerajaan mati dalam keadaan aneh. Dia mengelupur apabila kedatangan malaikat maut sebelum nyawanya ditarik dari jasadnya. Moral kisah yang dipaparkan ini ialah mengenai perbuatan ‘rasuah’ yang sewenang-wenang dilakukannya sebagai pegawai kerajaan. Memang perbuatan rasuah terus berleluasa di kalangan kakitangan kerajaan, swasta dan sebagainya. Begitulah apabila tipisnya iman seseorang, maka mudahlah melakukan perbuatan munkar tanpa segan silu. Dan hasil rasuah itulah memberi mereka kemewahan, memberi makan minum dan perbelanjaan anak isteri yang tentunya menjadi darah daging tanpa memikirkan sumber yang mereka dapatkan itu adalah dari perbuatan yang haram. Betapa jijiknya perbuatan rasuah dapat digambarkan melalui hadis berikut ini. Abdullah bin Amr bin Ash menyatakan, bahawa dulunya dalam barisan pasukan perang Rasulullah s.a.w. ada seorang lelaki yang dijuluki “karkaroh”. Orang tersebut meninggal dunia, lalu Nabi Muhammmad s.a.w. bersabda: “Ia masuk neraka!” Para sahabat pergi melihat orang tersebut, ternyata mendapati orang itu melakukan ‘rasuah’ dengan mengambil kain rampasan perang.” (HR. Bukhari). Hadis ini menegaskan betapa siapa saja yang melakukan ‘rasuah’ tidak kira ia pernah ikut perang jihad akan tetap masuk neraka. Sebuah hadis lagi yang menegaskan kehinaan perbuatan ‘rasuah’ ini ialah sebagai berikut: Adi Ibnu Amiroh Al-Kindi menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barang siapa yang kami angkat di antara kamu ke satu-satu jawatan, lalu disembunyikannya terhadap kami sebatang jarum atau yang lebih kecil dari itu, maka perbuatannya itu adalah kegelapan. Dia akan datang pada hari kiamat kelak, membawa barang yang digelapkannya itu.” (HR. Muslim) Itu baru sebatang jarum. Bagaimanalah agaknya mereka yang tidak bertanggungjawab melesapkan ‘batang-batang balak’, ‘lembu sekandang’ dan lain-lain lagi untuk mengisi tembolok hawa nafsu yang tidak pernah puas-puas itu. Disamping itu anda hayatilah kisah-kisah iktibar selanjutnya dan rencana-rencana lain yang membawa manfaat bersama. Terima kasih kepada para pembaca yang menulis melalui e-mail dan menegur salah silap kami serta ucapan tahniah dan sebagainya. Jadikanlah kehidupan kita adalah lebih baik dari semalam. Dan insaflah bahawa kita kian menghampiri kubur masing-masing. Terima kasih kerana terus menyokong Hidayah dan menjadi pembaca setia majalah ini.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

Bakal Pengantin: Berfoto Berpeluk Sebelum Bernikah

INDONESIA yang penduduk Islamnya berjumlah lebih dari 95 peratus (Negara berakyat Islam terbesar di dunia) telah menimbulkan satu lagi kontroversi berhubung dengan “Berfoto” oleh pasangan pengantin yang belum diijab kabulkan. Maksudnya, ada pasangan yang bakal jadi pengantin tetapi awal-awal lagi berfoto dengan cara berpelukan, dan berbaring di ranjang dan sebagainya lagi yang dianggap “haram” disisi Islam. Seorang tokoh agama dari “Jambi” yang juga pengerusi sebuah badan kajian mengenai perkara perbuatan ‘mungkar’ ini mendapati bahawa budaya “berfoto” cara demikian bertentangan dengan budaya Islam, dan perbuatan tersebut mesti diharamkan segera. Sebenarnya, Majlis Agama Islam (MUI) Indonesia sudah lama mengeluarkan fatwa yang sama berhubung dengan perkara ini. Hakikatnya, sikap yang dilakukan ini “tersasar dari hukum Syariah”.
Para tokoh agama, dan para ulama Indonesia nampaknya prihatin terhadap perkara-perkara yang berlawanan dengan dasar Islam, dan mereka nampak awal-awal perbuatan cara macam itu mengundang “dosa”. Dalam negara kita, perbuatan yang sama juga ada berlaku, tetapi tokoh-tokoh agama kita “buat tak tahu saja”. Mereka tutup mata sebelah. Mereka mengambil sikap “kubur engkau, engkau sendirilah yang jawab nanti...” Ramai pasangan bakal pengantin yang bakal menjadi suami dan isteri awal-awal lagi sudah berfoto dengan cara lebih ghairah dan berpeluk-peluk walaupun belum diijab kabulkan. Oleh kerana kadang-kadang yang melakukannya pihak-pihak golongan “Glamour”, dan orang-orang sukar untuk dibuat “komen” kerana khuatir “periuk nasi terancam, maka hal itu tidak diberikan sebarang “fatwa”. Kadang-kadang tokoh agama dalam negara kita cuma menyifatkannya sebagai perkara “remeh” saja yang tidak perlu diperkatakan sangat, walaupun melarang berbuat demikian. Kalangan para artis yang kadang-kadang kita lihat belum pun diijabkabulkan, dengan lain-lain kata belum jadi suami isteri, sudah berfoto macam suami isteri yang sudah mendapat cahaya mata dan sudah lama “bernikah”. Yang menjadi isu disini bukan berfoto itu sendiri, tetapi berfoto itu secara “intim dan menghairahkan”. Kalau sekadar berfoto biasa, tanpa ada unsur-unsur intimnya tentulah tidak timbul masalah dan tentulah tidak salah. Yang menjadi masalahnya yang boleh mengundang “dosa” kecil itu kerana “sentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram”. Inilah barang kali yang dimaksudkan oleh ulama-ulama Indonesia tersebut.
Sebenarnya isu ini bukanlah soal individu, dan bukan isu hanya sebuah negara itu saja. Tetapi isu agama yang melibatkan perlakuan “salah” umat Islam itu sendiri. Isu ini bukanlah hanya melibatkan umat Islam Indonesia saja, bahkan umat Islam di muka bumi ini, termasuk Malaysia. Apakah para ulama kita akan terlepas dari tanggungjawab, atau pun terlepas dari ditanya oleh Allah di padang mahsyar kelak? Kerana membiarkan umat Islam dibawah tanggungjawabnya melakukan hal-hal “mungkarat”, sedangkan kita tahu isu itu dilarang oleh agama? Orang-orang kita memang mudah “terlupa”, lebih-lebih lagi mengenai hukum hakam agama. Yang patut memberi ingat kepada orang-orang lupa ini mengenai agama ialah para ulama kita. Kerana para ulama adalah “Warathatul ‘Anbia”. Para tokoh agama kita sekali-sekala patut “menegur” secara “berani” dan secara terus terang. Jangan main lepas tangan begitu saja. Terutama para artis kita yang kita lihat kadang-kadang sudah melampau berfoto dengan memperlihatkan hal-hal yang tidak sepatutnya di perlihatkan walaupun secara “main sorok-sorok.” Apalah gunanya perkara yang dilarang oleh agama, yang bererti dilarang oleh Allah s.w.t. itu kita buat? Tidakkah kita “bersyukur” kepada Allah yasng telah mengurniakan kita “nikmat” setiap saat kepada kita?
Kalau nak ditulis nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita, semua air laut yang ada di muka bumi ini disatukan sebagai “dakwat”nya untuk menulisnya habis air laut itu, maka nikmat Allah dalam sehari itu tidak habis lagi ditulis. Sebenarnya, kita ada media elektronik yang boleh menyampaikan nasihat, maklumat yang berguna kepada orang ramai. Para ulama kita mestilah bersikap “tegas”. Jangan main pandang bulu saja. Kalau orang-orang besar lakukan, kita “diam saja”. Sebaliknya kita cari dalil-dalil yang “menghalalkan cara” supaya yang salah menjadi tidak salah. Oleh kerana para tokoh agama kita banyak “main diam diri”, maka sebab itulah banyak berlaku jenayah dimana, bapa balon anak. Abang balon adik sendiri. Ada kes dimana ada anak balon emak sendiri. Bapa mertua balon menantu dan macam-macam kerja-kerja haram yang dilarang oleh agama berlaku dalam masyarakat Islam.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Mengelupur Ketika Datang Sakaratul Maut

RASANYA memang aneh saja melihat pemandangan yang satu ini. Betapa tidak, di saat maut datang menjemputnya, Hamdani, 50, merasakan derita yang luar biasa. Bayangkan, sejak pagi lagi dia terus menjerit-jerit dan merintih. “Aduh... aduh..! Huaa.. hua..! Celaka..!” begitulah rintihannya diselang seli dengan caci maki hamun terlontar dari mulutnya. Mulut Hamdani terus celupar. Kadang perlahan seperti menahan rasa sakit yang tiada taranya, kadang-kadang lantang. Terang saja, mendengar jeritannya itu, seorang demi seorang jiran tetangga berdatangan. Mereka ingin tahu, ada apakah gerangan sehingga lelaki itu terus menjerit-jerit. Sebelumnya, mereka memang mengetahui lelaki ini sedang sakit. Tetapi tidaklah sampai meronta-ronta bahkan teriak-teriak sampai begitu sekali. Kali ini, sungguh berbeda. Jeritan Hamdani mengemparkan mereka.
“Ada apa yang tak kena dengan suami kamu ni?” tanya Rohmah. “Entahlah, saya juga tidak tahu, kak,” jawab Murni, isteri Hamdani, kebingungan. Murni sendiri juga terhenyak begitu melihat keadaan suaminya. Namun apakan daya, dia tak dapat berbuat apa-apa. Kecuali menyerah pada keadaan. Bukan itu saja, lelaki yang tengah sekaratul maut itu juga berlompatan, ada kalanya berguling-guling, sambil menjerit-jerit di ruang tamu. Tingkahnya seperti orang kena rasuk saja. Kadang-kadang berguling ke kanan ke kiri dengan mulut yang terus teriak-teriak. Kadang-kadang memaki-maki. Ruang tamu yang cukup lapang itu seolah gelanggang bermain Hamdani seorang diri. Barang apa pun yang ada di dekatnya berantakan. Minuman yang disediakan isterinya untuk dirinya di meja tersebut pun berserakan. Airnya tertumpah dimana-mana. Semua barang tidak luput dari sambaran tubuh Hamdani yang terus bergerak semahunya. Meja dan sofa bergeser dari kedudukan asalnya. Kain lapik meja bersepah. Pokoknya, ruang itu seperti bukan ruang tamu lagi, malahan lebih mirip tempat main anak-anak, dimana semua perabot berserakan dan kotor. Teriakan Hamdani terus memecah suasana Kampung Sembilu yang biasanya lengang. Beberapa penduduk berdatangan silih berganti. Mereka bebas menyaksikan pemandangan itu dari pintu dan jendela rumah Hamdani. “Sampai begitu begitu sekali ya?” bisik salah seorang mereka. “Entahlah... Wallahualam,” jawab yang lain. Sudah dua jam, Hamdani berkelakuan aneh begitu. Namun belum juga berhenti. Kelakuannya masih tetap sama, sesekali menjerit, sesekali berguling-guling dan sesekali merintih kesakitan.
Senja di ambang tiba. Jerit Hamdani beransur-ansur mereda, kelakuan ganasnya sudah jauh berkurang. Ini diikuti pula tingkahnya yang tadinya aneh sudah mulai pulih semula. Akhirnya tibalah di satu waktu dimana lelaki ini terkulai tak bermaya. Dia sudah kehabisan tenaga. Keadaan begitu diambl kesempatan oleh beberapa jiran untuk mengangkat tubuh Hamdani. Mereka memindahkan ke pembaringan agar Hamdani dapat beristirahat dengan nyaman. Setengah jam berlalu. Hamdani diam seribu bahasa. Tak ada gerakan apa-apa. Tidak seperti sebelumnya yang seringkali meledak-ledak, meluapkan jeritan. Tetapi kini tertelungkup lesu, keletihan, wajahnya pucat pasi seakan menanggung beban derita yang begitu berat. Murni hanya mampu menyeka air matanya. Sudah banyak lembaran tisu dihabiskan untuk menyeka air matanya itu. Ruangan sudah agak sepi kerana ramai jiran tetangga sudah kembali ke rumah masing-masing. Yang tinggal sekarang ini hanya beberapa orang saja yang menunggui Hamdani, termasuk isteri. Daama keadaan menunggu itu sejurus kemudian, dari mulut Mat Sabar, saudara Hamdani, terucap, “Inna lillahi...-(dan ucapan seterusnya) Hamdani sudah meninggalkan kita.” Spontan saja ruangan itu gempar sebentar. Petang itu, selepas maghrib, jiran tetangga kembali berdatangan ke rumah Hamdani. Hanya kali ini tujuan mereka untuk menziarahi jenazahnya. Namun adatlah...ada saja bisik-bisik di antara yang datang tentang kejadian yang aneh itu. Apalagi kalau bukan soal Hamdani yang meregang nyawa dengan didahului sakaratul maut yang sungguh mengerikan. Betapa tidak, mulai jam 10 pagi hingga menjelang petang, dia tak henti-hentinya bertingkah bagai orang kena rasuk saja. Na’udzu billahi min dzalik. Malahan menurut cerita Rohmah, sumber yang menceritakan kisah ini pada Hidayah, saat penguburan mayatnya pun ada kejanggalannya. Disaksikan oleh beberapa orang yang menghantar, liang lahad untuk menguburkan Hamdani harus diluaskan beberapa kali. Kerana putus asanya, mereka yang mengurus jasad Hamdani ke liang kubur menguburnya secara paksa.

Kebiasaan Buruk
Jauh sebelum kematiannya, sewaktu masih segar bugarnya, Hamdani adalah seorang pegawai atasan di sebuah jabatan kerajaan yang terpenting. Dia menempati kedudukan penting di tempat kerjanya. Kerana itu, gaji yang diterimanya pun lumayan besar. Tapi sudah dasar manusia, sudah diberikan nikmat rezeki yang berkecukupan masih saja terasa kurangnya. Keserakahan lebih menguasai dirinya berbanding rasa bersyukur. Rasa kurang cukup dengan apa yang diterimanya membuat hatinya seolah dibutakan oleh harta benda keduniaan. Hamdani berani mengambil risiko. Cara-cara kotor dilakukannya dalam melaksanakan projek yang diamanahkan. Dia tak peduli, dari mana hartanya diperolehi dan apakah perolehannya tersebut halal atau tidak. Yang penting baginya adalah koceknya tebal dan otomatik sesegera mungkin dapat mewujudkan mimpi-mimpinya. Sejak 5 tahun terakhir sebelum ajalnya, Hamdani kerap memanfaatkan jawatannya. Setiap ada projek, dia “bermain” di situ. Dia mengelapkan setiap dana projek yang dikelolanya. Dengan begitu, dia mampu mengambil keuntungan besar. Dari peruntukan suatu projek, dia kerap menggelembungkan dana hingga 50% dan itu akan masuk ke akaun peribadinya. Dengan cara ini, maka ringgit demi ringgit berhasil dikeruknya. Lelaki berperawakan agak gemuk dan sedikit botak ini berhasil meyakinkan bahawa projek yang dilaksanakannya dapat berhasil tepat waktunya dengan kualiti tetap terjaga. Anehnya, orang-orang di sekitarnya percaya begitu saja. Mereka tidak curiga sedikit pun terhadap penyelewengan dana yang sudah dilakukannya. Hamdani merasa aman-aman saja. Kalau pun ada orang yang cuba-cuba mengorek-ngorek rahsianya, Hamdani mudah mematahkannya. Banyak ‘jurus jitu’ yang dapat dimainkan untuk membungkam orang tersebut. Dengan cepat, Hamdani dapat menutup celah yang boleh mencelakakan dirinya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Jenazah Digantung Batu

ANEH dan menyedihkan! Sebuah balasan Allah telah ditampakkan kepadanya. Sebut saja namanya Aksan. Dia seorang penganggur dan pemalas di kampungnya. Namun, dikenal degil dan derhaka kepada kedua ibu bapanya. Sehari-hari pekerjaannya hanya berlaga ayam, mabuk-mabuk dan berjudi. Padahal, di rumah, ibu bapanya selalu menunggu kepulangannya. Di usianya yang tidak muda lagi, Karsim dan Marsinah berharap anak sulungnya itu berubah dan kembali kepada jalan yang benar. Nyatanya, semakin berusia kian menjadi-jadi. Mereka pun hanya termampu mengurut dada saja. Ya, Aksan memang anak yang amat keterlaluan. Saat ibunya sakit keras, dia malah sibuk dengan teman-temannya di luar. Padahal sebenarnya, dia sepatutnya menunggu si ibu di rumah dan melayani permintaannya yang sewaktu-waktu diperlukan. Sebagai bapa, Karsim yang usianya sudah lanjut lagi itu hanya mampu menangis dalam hati. Padahal, seperti anak-anak kecil pada umumnya, saat kecil Aksan pun dihantarkan oleh kedua ibu bapa itu untuk belajar mengaji Quran kepada ustaz. Aksan juga disekolahkan, meski hanya sampai tingkat sekolah menengah kerana ketiadaan biaya. Tetapi, hidup prihatin yang dijalani kedua ibu bapanya justeru tidak membuat hatinya peka dengan lingkungan sekitar. Dia malah terjebak dalam pergaulan yang salah. Saat menginjak dewasa, Aksan pun tampil garang sebagai ‘samseng’ kampung. Karsim dan Marsinah selalu tak pernah habis fikir dengan tingkah laku anaknya itu. Tidak saja membuat resah masyarakat setempat, Aksan juga kerapkali mengganggu orang kerana kebiasaannya yang seringkali menggangu ketenteraman awam.
Dikatakan, Aksan sebenarnya pernah terlibat dalam merompak rumah mewah di desa berdekatan. Tetapi, jejaknya tidak dapat dikesan dan dibuktikan kerana dia licin bagai belut. Sementara itu yang menyedihkan lagi, tidak sedikit perempuan yang menjadi mangsa korban rayuan cintanya. Dengan wajahnya yang agak kacak, kulit agak kuning, dan rambut lurus, dia menjadi magnet sendiri bagi para perempuan. Tak sedikit perempuan yang “kehormatannya” direnggut. Hairannya, Aksan tidak pernah mahu bertanggungjawab. Baginya, perempuan seperti dia “tukar baju” saja. Ketika perlu dipakai, tetapi saat tidak lagi diperlukan, dibuang. Ya, begitulah Aksan dalam kehidupan sehari-hari. Kita dapat menjangka sendiri, bagaimanakah nasib lelaki seperti ini kelak jika dia tak mahu bertaubat?

Kematian Tragis
Dipendekkan cerita, di kampung sebelah ada upacara pesta dangdut. Sebagai anak muda yang senang dengan pesta-pesta seumpama itu, Aksan pun mendatangi tempat tersebut untuk menonton para penyanyi dari tempat tersebut mendendangkan beberapa lagu yang berirama dangdut tersebut. Tapi, sebelumnya, Aksan lebih dulu minum minuman keras dulu agar saat dirinya berjoget nanti dia boleh melakukannya dengan bebas lepas. Dalam keadaan setengah mabuk itu, Aksan pun berbaur dengan ratusan orang yang sebahagiannya ikut berjoget saat penyanyi utama sedang bernyanyi. Aksan pun ikut berjoget. Awalnya, perlahan-lahan saja, lalu berubah menjadi liar hingga orang-orang di sekitar meminggirkan badannya kerana merasa terganggu. Sambil berteriak-teriak bagaikan orang sasau saja. Tiba-tiba tubuh Aksan yang dalam keadaan setengah sedar itu menyenggol seorang samseng kampung berbadan basar, sehingga membuat dirinya sempat terjungkal ke tanah. Sudah kenalah, samseng bertemu samseng...Tidak dapat menerima dengan aksi Aksan, ia pun segera mendorong Aksan. Aksan pun membalas pula. Dia kembali mendorongnya. Maka keributan pun tak terelakkan lagi. Suasana menjadi kecoh dan tidak lagi selamat. Dengan amarah yang dikuasai oleh syaitan, samseng kampung itu tiba-tiba mengambil sebilah pisau kecil dari balik seluarnya yang memang telah dia persiapkan sejak dari rumah. Lalu ia menghujamkannya ke tubuh Aksan. Aksan tidak sempat mengelak kerana suasana malam, jadi tidak tahu persis apa yang dilakukan samseng kampung tersebut. Tiba-tiba saja Aksan tersungkur ke tanah sambil menjerit kesakitan. Melihat ada orang yang jatuh, spontan orang ramai di sekitar pun melarikan diri. Darah berceceran keluar dari perut Aksan. Oleh teman-temannya, Aksan lalu dibawa ke sebuah klinik, sementara samseng kampung itu sendiri telah lenyap dari pandangan. Dia menghilang di tengah kepanikan orang ramai.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Sebab Allah s.w.t. Ciptakan Syaitan

KADANG-KADANG timbul dalam benak kita, kenapa Allah ciptakan Syaitan? Bukankah Syaitan itu peranannya menggoda manusia ke jalan yang dilarang oleh Allah? Bagaimana pun perkara ini jarang kita dengar dijelaskan oleh para tokoh agama kita dalam kuliah-kuliah agama dan forum dan dimana saja majlis-majlis yang berbentuk dakwah atau pun berbentuk agama. Sebenarnya, Allah s.w..t. menjadikan atau pun menciptakan “syaitan” ada hikmahnya. Allah mahukan, dan perintahkan kita supaya patuh dan taat kepada Allah semata-mata.
Allah juga perintah dan arahkan kita melalui lisan nabi kita Muhammad s.a.w. supaya tidak tergoda dan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur lain dari meninggalkan perintah dan suruhan Allah s.w.t. itu. Perintah taat dan patuh kepada Allah s.w.t. itu diiringi dengan adanya “godaan”. Siapalah yang menjadi “penggoda” terhadap kita yang diperintahkan melakukan taat itu? Kita mestilah faham bahawa sekiranya tidak ada “godaan”, maka perintah “taat” dan patuh itu hanya akan menjadi perkara biasa saja, atau pun akan menjadi persoalan biasa bagi manusia.
Taat, patuh kepada perintah yang sejati, kemudian ada dorongan, dan ada pula rayuan supaya melakukan maksiat, dan kita mampu menahannya dari melakukan semuanya itu, maka disinilah syaitan memainkan peranan dan itulah hikmahnya ia diciptakan. Dan bagi menusia yang mampu menahan dari sebarang rayuan dan godaan itu merupakan satu hikmah yang paling besar sekali dalam hidupm dan itulah yang dinamakan “IMAN”. Allah s.w.t. mahukan kita supaya ketaatan dan kepatuhan itu timbul kerana rasa takut kepada Allah s.w.t., dan inilah yang dinamakan “IBADAH”. Biasanya apabila kita melakukan amal beribadah kepada Allah s.w.t. akan wujudlah godaan, rayuan supaya kita jangan melakukan sebarang ketaatan. Kita mestilah faham bahawa ibadah hanya untuk Allah semata-mata bukan untuk selain dari Allah. Walau sebesar mana sekali godaan syaitan kepada kita untuk mengalihkan tujuan itu, maka iman kita tetap menjadi pendinding yang kukuh dari masuknya sebarang unsur luar. Allah menjadikan syaitan ada hikmahnya, serupa juga hikmahnya Allah jadikan kejahatan, maksiat dan mungkar. Semua ini untuk menggoda kita dari ketaatan. Manusia diuji apakah kuat imannya atau pun tidak. Apakah kuat dan mantap iman untuk menolak sebarang ajakan dan godaan syaitan.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Satu Perjalanan Paling Ditakuti Semua Manusia

ADA satu tempat persinggahan bagi seluruh manusia, tetapi tempat yang akan menjadi tempat transit ini paling tidak digemari dan dibenci oleh manusia. Namun, tidak ada seorang pun yang dapat melarikan diri dan melepaskan diri darinya. Tempat “persinggahan: itu ialah “kubur”. Walau seorang manusia tidak menyukainya pada saat-saat tertentu tetapi pada saat-saat lain, sesungguhnya dia sedang berjalan menuju ke kuburnya.
Perjalanan menuju ke kubur tidak dapat dihentikan oleh sesiapa pun. Setiap dari kita sekarang sedang menuju ke arahnya. Kubur sedang mengajak kita. Katanya: “Mari...mari...” Hanya hati yang rosaklah yang menyebabkan manusia selalu melalaikannya. Mungkin yang berbeza ialah “bentuk” kubur itu sendiri. Entah! di dalam bumi, di dasar lautan, hancur. Walau apa pun keadaannya, namun di dalamnya adalah sama. Di dalamnya penuh dengan misteri, penuh dengan kengerian bagi orang yang berdosa, dan berisi dengan kebahagian bagi orang-orang terselamat. Itulah yang menjadi hak-hak mayat apabila seseorang itu “Rohnya” berpisah dari jasad. Sesungguhnya tuntutan kewajipan dan larangan seorang manusia akan terhenti ketika roh telah tercabut dari tubuhnya. Pada saat itu tidak ada lagi amalan kewajipan ataupun larangan yang dibebankan padanya.
Yang tinggal hanyalah masa-masa pembalasan atas segala perbuatannya ketika ia masih hidup. Itulah ‘Daarul Jazaa’, kampung pembalasan bermula. Namun, tidaklah itu terjadi pada hak-haknya. Si mayat, tetap memiliki hak-haknya untuk dipenuhi oleh orang-orang yang hidup. Mayat memiliki hak, yang menjadi kewajipan orang yang hidup. Kelalaian yang hidup terhadap kewajipan si mayat, akan membuat si mayat bertambah sengsara dan menderita. Oleh sebab itu, setiap muslim harus mengetahui kewajipan-kewajipan yang harus dilaksanakan dalam menyikapi kaum kerabat, sanak saudara, atau kawan-kawannya yang telah mendahuluinya meninggalkan dunia yang fana ini. Selain, dimandikan, dikafani dan sisolati, diantara hak-hak mayat dalam pengkuburan itu adalah;
Salah satu hak mayat, adalah menyegerakan penguburannya. Seorang mayat itu akan merasa senang jika disegerakan menuju kuburnya. Dan itulah yang dikatakan ‘Ayyub rahimahullah’ sebagai salah satu penghormatan keluarga terhadap mayat itu adalah dengan menyegerakan pemakamannya. Penundaan penguburan mayat atau melambat-lambatkannya memberikan penderitaan terhadap roh mayat tersebut. Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w. sentiasa menyuruh agar menyegerakan penguburan jenazah. Baginda s.a.w. bersabda: “Segerakanlah kalian kuburkan jenazah itu. Sebab jika ia orang salih, maka itu merupakan suatu kebaikan yang engkau berikan kepadanya. Jika ia bukan orang yang salih, maka itu merupakan keburukan yang kalian letakkan di leher kalian sendiri.” (Asy-Syekhani). Jika jenazah yang diletakkan dan dibawa di atas pundak orang-orang yang membawanya itu termasuk orang yang salih, maka jenazah itu akan berkata dengan ucapan yang tidak didengar oleh pembawanya. “Segerakanlah aku, segerakanlah aku!” Dan jika ia tidak termasuk orang yang salih, maka dia akan berkata: “Celaka, kemana kalian akan membawaku?” Suaranya itu terdengar oleh seluruh makhluk kecuali manusia. Rasulullah s.a.w. menambahkan bahawa jika manusia mendengarnya, nescaya mereka akan pengsan. (Asy-Syekhani). Abu Said Al-Khudri r.a. pernah menyuruh orang-orang agar segera menguburkan seorang mayat dengan berkata: “Itulah tempat tinggal yang harus ia huni. Oleh sebab itu, segerakanlah dia untuk menempatinya, dan dia akan mengetahui kebaikan dan keburukannya.” (Ibnu Abid Dunya). Dan itulah yang membuatnya tersedar akan pentingnya rahmat Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. juga bersabda: “Tidaklah seorang mayat meninggal dunia melainkan ia mengetahui orang yang memandikannya dan berseru kepada orang yang membawanya. Jika diberitahukan kepadanya tentang ketenteraman, rezeki dan syurga kenikmatan, ia meminta agar dipercepat dibawa ke kuburan.” Hal itu kerana kerinduannya dengan rahmat Allah.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Zaman Pemerintahan Jepun Makan Ubi-Keledek Sahaja

ZAMAN pemerintahan Jepun Di Malaya ketika itu, saya masih kecil. Tetapi saya masih ingat apa yang terjadi. Bagaimana orang-orang kampung makan ubi kayu dan ubi keledek saya masih ingat lagi semua itu. Dalam masa pemerintahan Jepun, saya rasa merupakan satu pemerintahan yang “paling zalim”. Tidak ada peri kemanusian langsung ketika itu. Tentera-tentera Jepun yang saya lihat mundar mandir dengan basikal terlalu ganas. Apabila tentera Jepun lalu dengan basikal beramai-ramai di jalan raya di kampung-kampung misalnya, penduduk-penduduk kampung terutama wanita-wanitanya menyembunyikan diri. Kadang-kadang ada sebahagian dari kaum wanita menyembunyikan diri dalam hutan-hutan yang berdekatan dimana tentera-tentera Jepun tidak tahu.
Dalam masa pemerintahan Jepun ketika itu, tentera-tentera Jepun hanya “main rampas” saja basikal yang dinaiki oleh orang-orang kampung. Saya masih ingat lagi, ayah saya seorang “tukang gunting rambut”. Perjalanan dari rumah ke tempat kedai gunting rambut itu sejauh kira-kira dua kilometer. Ayah saya naik basikal untuk ke tempat kerjanya. Satu petang, saya lihat ayah saya pulang hanya berjalan kaki. Selalu dia naik basikal tetapi hari itu, dia membetis (menapak berjalan kaki saja). Kakak saya bertanya: “Mana basikal ayah? Ayah saya jawab: “Tentera Jepun dah rampas. Ketika ayah pulang dari kedai, sekumpulan tentera Jepun lalu dengan basikal. Salah seorang darinya menahan ayah supaya turun dari basikal. “Kemudian sebuah lori datang untuk mengangkut basikal itu. Dalam lori tentera itu memang banyak basikal. Semua basikal itu diambilnya dari orang ramai yang lalu di jalan raya,” cerita ayah saya. Memang celaka sungguh si Jepun itu... Saya ketika itu tidaklah begitu faham sangat tentang hal tentera Jepun. Saya pun kurang faham kenapa orang-orang Jepun ada dalam kampung kami dengan naik basikal. Dalam masa Jepun memerintah Malaya ketika itu, ketua-ketua kampung diarahkan supaya menyuruh orang-orang kampung bertanam ubi kayu dan keledek. Tujuannya ialah untuk “makan bagi menggantikan “beras”. Ketika itu tidak ada beras. Perang besar di sana sini, jadi beras tidak sampai ke Malaya.
Lagi pun, beras digunakan untuk tentera-tentera yang berjuang dan berperang itu. Jadi, penduduk-penduduk kampung terpaksa turun “berkebun” bercucuk tanam diantara tanaman itu termasuklah ubi kayu dan keledek.
Orang-orang kampung ketika itu hanya makan ubi rebus bagi menggantikan “nasi”. Nak makan nasi sebulan sekali pun tidak bertemu, kerana tidak ada beras. Sawah-sawah yang ada pun tidak ada yang mengusahakannya, kerana nak usahakan macam mana? Benih padinya tidak ada? Jadi, sawah bendang ketika itu terbiar begitu saja ditumbuhi rumput-rumput saja, dan tempat sarang tikus dan binatang-binatang lain. Peristiwa yang paling mengerikan yang masih saya ingat ialah peristiwa tentera-tentera Jepun yang berbasikal, dan lengkap dengan senjata api dibadan mereka masuk kampung. Tentera-tentera itu dalam perjalanannya dari suatu kawasan pertempuran, ke satu kawasan lain mereka naik basikal. Ketika itu tidak ada trak tentera. Tentera-tentera ini lalu singgah disebuah kampung tempat saya tinggal. Wanita-wanita termasuk kakak-kakak saya kelihatan dalam keadaan ketakutan. Wanita-wanita sebelah menyebelah rumah juga terjadi demikian. Sebelum tentera-tentera itu tiba ditempat kami, semua wanita dikampung itu telah menyembunyikan diri ditepi sebuah “semak” dekat dengat sebatang sungai. Apabila tentera-tentera Jepun itu sampai, tentera-tentera itu telah turun dari basikalnya. Sebahagian darinya memanjat pokok kelapa dan mengambil kelapa muda. Manakala sebahagian yang lain cuba naik rumah ke rumah untuk mencari wanita-wanita. Tetapi, para wanita ini rupa-rupanya sudah tahu awal lagi dan sebab itulah mereka menyembunyikan diri. Kalaulah, tentera-tentera Jepun ini dapat wanita-wanita dalam rumah yang dinaikinya itu, saya tidak tahulah apa akan terjadi kepada mereka itu?

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Empat Pemeluk Agama Mengaku Beriman

ADA sebuah perbincangan yang menarik di sebuah kampus Islam di Jakarta. Diskusi itu bertajuk Relasi Islam, Kristian dan Yahudi. Ada seorang peserta diskusi yang menyebutkan bahawa Islam, Kristian dan Yahudi adalah agama Allah, yang sama-sama benar. “Bukankah sebahagian dari mereka beriman kepada Allah dan Nabi di zaman mereka? Kalau memang demikian, bererti mereka juga orang beriman?” kata dia. Diskusi semacam ini tentu menarik. Apalagi, jika diskusi itu mengaitkannya dengan QS. Al-Baqarah: 63. Pasalnya, ayat ini sering difahami dengan pemikiran yang nyeleneh. Bahkan, ada yang menganggap bahawa ayat ini merupakan hujah bahawa semua agama adalah benar di mata Allah. Alasannya, sambil mengutip ayat tersebut, orang Islam, Yahudi dan Nasrani, selagi mereka beriman kepada Allah, percaya pada hari Kiamat dan gemar menjalankan amal salih, maka mereka tergolong sebagai orang yang mukmin. Mereka akan mendapatkan balasan dan ganjaran atas apa yang mereka perbuat. Ada dua ayat lain yang isinya hampir menyamai dengan ayat ini, iaitu QS. Al-Maidah: 69 dan QS. Al-Hajj: 17.

Siapakah Mereka?
QS. Al-Baqarah: 63 (bermaksud): “Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani, dan orang-orang Shabi’in, siapa saja di antara mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir serta beramal salih akan menerima pahala dari Tuhan mereka; tidak ada kekhuatiran bagi mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.” (QS. Al-Baqarah: 62) Dalam ayat ini ada empat golongan umat beragama yang Allah sentuh. Tiga kelompok pertama merupakan penganut agama Samawi (langit), yakni, pertama, orang yang beriman (mukmin); kedua, orang Yahudi; ketiga, orang Nasrani; dan keempat, orang Shabi’in. Yang disebut orang-orang beriman (mukmin), menurut Buya Hamka dalam Tafsir Al-Azhar, ialah orang yang telah terlebih dulu menyatakan percaya kepada segala ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., yaitu mereka yang telah berjuang kerana imannya, berdiri rapat di sekelilling Rasulullah dengan sama-sama menegakkan ajaran agama. Dalam ayat ini mereka dimasukkan dalam kedudukan yang pertama. Selain dari pandangan ini, ulama tafsir lain juga memiliki pandangan yang berbeda tentang siapa yang disebut orang beriman itu. Setidaknya ada tiga penafsiran mengenai siapa yang dimaksud dengan “orang-orang beriman” dalam ayat ini. Pertama, menurut Ibnu Abbas r.a. dalam kitab tafsirnya, orang-orang yang beriman kepada Nabi Isa a.s. yang hidup sebelum diutusnya Rasulullah s.a.w. Pada saat yang sama mereka berlepas diri dari kebatilan agama Yahudi dan Nasrani. Di antara mereka ada yang sampai menjumpai Rasulullah s.a.w. dan menjadi pengikut Nabi; ada pula yang tidak sempat.
Kedua, orang-orang munafik yang mengaku beriman. Penafsiran itu dikemukakan Sufyan ats-Tsauri, az-Zamakhsyari, dan an-Nasafi. Ketiga, orang-orang yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. secara benar. Diantara yang berpendapat demikian adalah al-Qurthubi, ath-Thabari, asy-Syaukani, dan al-Jaziri. Dua pendapat terakhir ini dibenarkan oleh al-Baidhawi. Menurutnya, kata ‘orang-orang yang beriman’ mencakup semua orang yang memeluk agama Muhammad (Islam), baik yang mukhlis mahupun yang munafik. Tampaknya, pendapat ini lebih dapat diterima. Alasannya, jika Yahudi adalah pemeluk agama Musa a.s., Nasrani merupakan pengikut agama Isa a.s., maka mukmin adalah sebutan untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. Disebut mukmin, kata Ibnu Katsir, kerana banyaknya keimanan. Mereka mengimani seluruh nabi yang terdahulu dan perkara ghaib yang akan datang. Adapun kata al-ladziina haaduu merujuk kepada para penganut agama Yahudi. Menurut az-Zujaj, secara bahasa kata haaduu bermakna taabuu (bertaubat). Mereka dinamai demikian kerana mereka pernah bertaubat setelah melakukan penyembahan terhadap al-ijl (patung lembu betina). Sementara itu, kata Nashaaraa adalah bentuk jamak dari kata Nashrani, yang bererti para pengikut Nabi Isa a.s. Ada juga yang berpendapat bahawa kata Nashaaraa, diambil dari nama kampung tempat Nabi Isa al-Masih dilahirkan, iaitu kampung Nazareth (dalam bahasa Ibrani) atau Nashirah (dalam bahasa Arab). Disebut Nashrani juga kerana di antara mereka yang menjadi pengikut setianya —al-hawariyyin— pernah menyanggupi permintaan Nabi Isa a.s. untuk menjadi anshaar Allah (penolong agama Allah). Allah s.w.t. mengabadikan jawapan mereka: “Nahnu anshaar Allah: kami adalah penolong-penolong agama Allah.” (lihat QS Ali Imran: 52 dan Ash-Shaff: 14).
Sementara itu, ulama tafsir juga berbeda pendapat mengenai siapa yang dimaksud dengan ash-Shaabi’iin. Menurut Wahab bin Munabbih, mereka adalah kaum yang mengetahui keesaan Allah, tidak memiliki syariah yang diamalkan, dan tidak membicarakan kekufuran.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Tiga Lelaki Terperangkap Dalam Gua

CUACA saat itu sedang tidak baik. Angin bertiup cukup kencang hingga membuat debu-debu pasir berputar-putar bagai gasing. Ketiga lelaki itu mempercepat langkahnya, tetapi agaknya mereka tidak dapat lagi melanjutkan perjalanannya. Ketika mata mereka melihat ke atas, langit gelap penuh gumpalan mendung.
Hujan deras pun kemudian turun dengan lebatnya. Tiga lelaki itu tak dapat kemana-mana. Tak ada tempat berlindung kecuali sebuah gua yang berada di sekitar tempat itu. Lumayan, mereka dapat berteduh barang sejenak sambil menunggu keadaan cuaca lebih aman. Mereka masuk ke dalamnya. Namun malang bagi mereka. Mulut gua yang mereka masuki mendadak tertutup oleh reruntuhan batu besar di mulut gua yang datang tiba-tiba. Sungguh malang, tak ada sedikit pun celah bagi mereka untuk dapat keluar lagi. Mereka terjebak di dalamnya.
Gelap, sunyi serta bingung bercampur jadi satu. Tak ada jalan keluar bagi mereka. Kerana itu, perlahan-lahan, rasa putus asa mulai menghantui mereka. Namun, tiba-tiba, ada salah seorang di antara mereka yang berkata, “Ingat-ingatlah barangkali kita pernah melakukan suatu amal kebajikan, mungkin saja Allah yang Mulia lagi Maha Agung berkenan mengasihi kita dengan rahmat-Nya.”

Berkat Amal Baik
“Oh ya,” sokong salah seorang dari mereka. Sambil memegangi kepala sejenak, dia pun menghurai kisahnya.
Suatu kali aku pernah melakukan amal kebajikan. Aku memiliki beberapa orang pekerja. Mereka datang kepadaku, lalu masing-masing kuberikan upahnya dalam jumlah tertentu. Tiba-tiba, seseorang menemuiku, aku langsung mengupahnya separuh dari upah yang diterima oleh teman-temannya. Dia ikut bekerja seperti mereka sehingga aku pun memberikan tambahan upah separuh lagi. Namun, ada seorang di antara mereka yang protes. Dia berkata, “Bagaimana boleh tuan memberikan upah kepada orang itu sama seperti upah yang saya terima, padahal dia hanya bekerja separuh hari saja?” “Sedikit pun aku tidak merugikan kamu. Upah yang kuberikan padanya adalah hartaku sendiri yang kukumpulkan. Aku bebas memutuskan sekehendakku,” jawabku.
Dengan marah, lalu ia pergi dan tidak mahu mengambil upahnya. Kemudian upah yang menjadi haknya itu kugunakan untuk modal usaha. Setelah terkumpul cukup banyak, kugunakan untuk membeli seekor lembu dan atas kehendak Allah, terus berkembang sehingga menjadi banyak. Hingga suatu hari, aku bertemu dengan seorang datuk yang sudah sangat tua. Aku tidak mengenalnya sama sekali. Tetapi datuk itu rupanya mengenaliku dan berkata kepadaku, “Aku masih punya hak pada tuan. Cuba tuan ingat-ingat!” Dia menyuruhku untuk mengingat-ingatnya sehingga akhirnya aku pun mengenalnya. “Aku memang selalu mengharapkanmu,” begitu kataku. Akhirnya kuberikanlah semua yang menjadi haknya. “Maaf tuan, apakah tuan sengaja menghina saya. Berikan saja hak saya yang dulu!” jawab datuk tersebut seakan merasa terhina. Aku berkata, “Demi Allah, aku tidak sedang mengolok-olok anda. Semua itu memang hak anda dan saya sama sekali tidak berhak memilikinya.”
“Ya Allah, jika apa yang pernah kulakukan itu demi mengharap keredhoanMu, tolong berikan jalan keluar dari kesulitan yang tengah kami hadapi ini,” aku bersandar dengan doa setelah menyerahkan semua yang kukembangkan dari upah yang seharusnya kuberikan kepada lelaki itu. Tiba-tiba batu besar itu mulai bergeser sehingga ketiganya dapat memandang keluar. Memang batu yang menghalangi gua itu sedikit bergeser, namun ketiganya tetap belum dapat keluar. Dan lelaki kedua pun berganti menceritakan sebuah amal yang pernah dilakukannya di masa lalu. Suatu kali aku pernah melakukan amal kebajikan. Ketika orang-orang sedang mengalami kesulitan ekonomi, aku termasuk berkecukupan. Pada suatu hari, ada seorang wanita datang kepadaku untuk minta bantuan. “Baiklah, aku boleh membantumu. Tetapi, sebagai imbalannya, kamu harus menyerahkan dirimu. Mahukah?” Perempuan itu menolak keinginanku, lalu pergi begitu saja. Namun tak berselang lama, dia kembali lagi. Kali ini, dia bahkan memintaku untuk segera sadar mengingat Allah s.w.t.
Aku tetap buat tak kisah dan bertegas dengan tawaranku. “Aku mahu membantu kesulitanmu asalkan engkau mahu menyerahkan dirimu untukku,” kataku.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Muslim Fiji: Minoriti Yang Berkualiti

SISTEM pendidikan Islam adalah yang terdepan di negara kepulauan Fiji. Sistem yang dikembangkan Nadi Muslim College (NMC) ini menjadi percontohan seluruh negeri. Tidak hanya dalam nilai moralnya, NMC mengembangkan juga kemampuan moden, seperti teknologi maklumat dan sebagainya. Kelebihannya barangkali pada seriusnya komitmen melahirkan siswa dengan kemampuan yang lengkap dari segi intelektualiti, moraliti dan kemampuan berinteraksi dengan kelompok-kelompok lain di Fiji. Maklum Islam hanyalah minoriti di Fiji, sekitar 8 peratus dari sejumlah satu juta orang peduduknya. NMC memiliki motto “Pengetahuan adalah Kekuatan”. Ilmu dijunjung tinggi sebagai modal untuk membuat hidup berkualiti. Jam sekolah dimulai dari pagi hingga menjelang petang dengan termasuk waktu makan siang dan solat berjemaah. Ada jadual harian membaca al-Quran. Jadual olahraga mingguan dan pengajian rutin bagi siswa. Uniknya lagi, ada ‘hari buah’ pada setiap hari Selasa guna membiasakan gaya hidup sihat bagi siswa. “Dari awal pembentukan rasminya di tahun 1982, sekolah kami memang yang terbaik dari segi fasiliti belajar, seni dan olahraga juga prestasi,” ujar Muhammad Ali, salah seorang guru NMC, sebagaimana dilapur agensi rasmi Liga Muslim Fiji. Menurut Ali, setiap hari guru bekerja keras untuk memastikan bahawa setiap anak di masa akhir pendidikan mereka boleh siap sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Kemampuan bertutur dalam bahasa Inggeris, Arab dan Urdu sangat diutamakan. “Selain itu, setiap tahun siswa menyelesaikan pembacaan al-Quran dan sebahagian besar menghafal Surah Yasin. Siswa miskin akan dibantu dan dipantau semua keperluannya seperti biaya, makanan, alat tulis, seragam dan kasut,” ujar Ali lagi. Di negara Kepulauan Fiji, Nadi Muslim College (NMC) memang teristimewa. Awalnya sekolah ini hanya sekolah sederhana yang hanya memiliki dua kelas. Ini siswanya berjumlah ribuan dengan siswa yang sebahagian besar muslim. Di negara kecil seperti Fiji tentu saja NMC sangat terkenal. Apalagi bekas-bekas pelajarnya dikenal aktif dan mampu bersaing dengan baik di dunia pekerjaan. NMC mendapat momentum kemajuan saat pemerintah menyerahkan tanah seluas 4 hektar di Suva, ibu kota Kepulauan Fiji, kepada Liga Muslim Fiji. Tanah itu dimanfaatkan memperluas bangunan sekolah. Pengurusan sekolah profesional dan moden lalu dikembangkan. Jadilah kemudian NMC berkembang dan berprestasi terutama di bidang teknologi maklumat, olahraga dan seni. Setelah NMC sukses di Suva, cawangan-cawangan di daerah lain dibuka. Pemerintah mendukung penuh pengembangan ini kerana pembangunan sumber daya manusia memang tengah digalakkan pemerintah Fiji. Pemerintah bahkan memperuntukkan bantuan yang mencapai ratusan juta dollar Australia. Tidak hanya itu, model pendidikan NMC menjadi percontohan sistem pendidikan di seluruh negeri tersebut. Pemerintah memang memberi sokongan penuh kepada NMC. Kini, NMC tidak hanya membuka cawangan di daerah kota, tapi juga di daerah-daerah miskin. NMC juga sangat terbuka sebab banyak siswa NMC yang berasal dari kalangan penganut ajaran animisme tradisional Fiji.

Bermula dari India
Fiji adalah negara kepulauan yang terletak di selatan Samudera Pasifik. Kepulauan ini berada di sebelah Tenggara pulau Papua. Benua Australia dan New Zealand mengapit kepulauan ini di sebelah Barat dan Selatannya. Memiliki 322 pulau, 106 di antaranya berpenghuni dan 522 pulau berukuran kecil. Pulau terbesar adalah Viti Levu dan Vanua Levu yang penghuninya meliputi 82% dari keseluruhan penduduk negara ini.
Di Fiji banyak penduduknya terdiri dari pendatang-pendatang yang berasal dari India dan Pakistan. Penghuni awal diyakini datang dari Asia Tenggara sebelum pada abad ke 17 terjadi hubungan dagang dengan orang Eropah. Ada catatan Fiji ditemukan penjelajah Belanda, Abel Tasman, ketika dia berusaha menemukan Benua Selatan Besar pada 1643. Kepulauan ini jatuh ke tangan British sebagai jajahan pada 1874. Pada 1970 Fiji mendapatkan kemerdekaannya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Siapakah Para Wali Allah?

KITA sering mendengar dakwaan tentang seseorang itu wali Allah. Mari kita cuba memahami siapakah wali Allah dengan melihat sifat-sifatnya, amalan-amalannya dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Jadinya mana-mana orang yang mendakwa dirinya sebagai wali Allah, sedangkan dia tidak memenuhi kriteria yang sebenarnya, maka mudahlah bagi kita menolak dakwaan dirinya sebagai wali Allah dan lain-lain dakwaannya yang bagi orang ramai tidak begitu jelas akan hakikat sebenarnya.

Erti Wali Allah
Wali Allah itu ialah orang yang beriman dan orang yang bertakwa kepada Allah. Berkata ulama tafsir: “Wali Allah ialah orang yang mendampingi dan berbuat taat kepada Allah, dan kerana itu Allah Taala pula mendampingi dan memberinya kemuliaan. Wali Allah itu orang yang kasihkan Allah dengan berbuat taat kepadaNya dan kerana itu Allah pula kasihkan dia dengan memberikan kemuliaan kepadanya. Wali Allah itu, Allah Taala berdamping dengannya dan memberi hadiah kepadanya, dan wali Allah itu berdamping dia dengan menjalankan hak-hak kehambaan kepada Allah, dan menyeru orang kepada Allah.” Ini setengah daripada kata ulama tafsir. Berkata ulama tauhid: “Wali Allah ialah orang yang telah mendatangkan Iktikad yang benar, disusun daripada dalil ‘aqli dan naqli (al-Quran dan hadis), dan dia mendatangkan amal-amal yang salih menurut cara apa yang datang daripada syarak sebagaimana firman Allah Taala: Tafsirnya: “(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.” (Surah Yunus:63) Iman itu tersusun daripada Iktikad dan amal, dan maqam takwa iaitu dia menjauhi segala larangan Allah. Berkata Imam an-Nawawi dalam pendahuluan Syarh al-Muhadzdzab daripada Imam asy-Syafie dan Abu Hanifah Radhiallahu ‘anhuma bahawa kedua-duanya berkata: “Jika tiada ulama itu wali Allah, maka tidaklah ada wali bagi Allah, dan erti orang ‘alim ialah yang beramal dengan ilmunya dan ikhlas kepada Allah serta tiada ria dan menunjuk-nunjuk.”(Daripada tafsir al-Jamal).
Berkata al-Allamah asy-Syeikh Thahir al-Jaza’iri dalam al-Jawahir al-Kalamiyyah: “Wali itu ialah orang yang tahu dan kenalkan Allah beserta sifat-sifatNya, dan seberapa yang terdaya dia sentiasa berbuat taat serta menjauhi segala maksiat dan kesalahan, menjauhi daripada berseronok dengan kelazatan dan syahwat, dan zahir keramat daripadanya iaitu suatu kemuliaan daripada Allah dan tanda serta isyarat diterima amal ibadatnya oleh Allah dan tanda dia berdampingan dengan Allah.” Berkata al-Allamah as-Sayyid ‘Alawi bin Thahir al-Haddad Mufti Johor yang meninggal tahun 1382H dalam kitab ‘Uqud al-Almas bi Manaqib al-Imam al-‘Arif Billah al-Habib Ahmad bin Hassan al-‘Aththas, Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Fath: “Wali itu ialah orang yang kenalkan Allah, yang sentiasa rajin membuat taat kepadaNya, yang ikhlas semata-mata kerana Allah dalam ibadatnya.”
Kata al-‘Allamah as-Sayyid ‘Alawi lagi: “Iman yang benar, yang kuat, yang tetap dalam hati adalah asal bagi perkara wali itu. Daripada iman yang kuat itu bangkit himmah seseorang hamba Allah pada menyempurnakan takwa kepada Allah dan mendirikan sifat-sifat kehambaan dan berusaha pada berdampingan dengan Allah dengan mengerjakan suruhanNya, dan berusaha mencari keredhoanNya, dengan membuat segala perkara wajib yang telah diperintahkan oleh Allah, dan dia menunaikan perintah-perintah itu dengan penuh hadir hati serta dengan benar-benar khudu’ merendah diri dan menyembah Allah dengan memandang bahawa Allah itu Tuhannya dengan tidak memandang faedah dirinya, hanya memandang anugerah Allah ke atasnya dan dengan itu terhindarlah dirinya daripada sifat lalai, ‘ujub’, ria, bermuka-muka dan minta upah dan balasan, kerana dia beriktikad bahawa apa yang dia dapat itu hanyalah limpah kurnia Allah sebagaimana Iktikad Ahli Sunnah wal Jamaah, maka dia pun bersifat ikhlas, jujur semata-mata kerana Allah dan jadilah ibadatnya ibadat hamba yang hina-dina kepada Tuhannya yang mulia. Bahawa amal-amal salih itu mempunyai pahala dan mempunyai cahaya atau nur dalam dunia sebelum tiba Hari Akhirat. Dengan bertambah iman, maka bertambah-tambahlah seseorang hamba Allah itu beribadat dan merendah diri kepada Allah dengan berbuat ibadat-ibadat yang sunat daripada sembahyang, puasa, zikir dan berfikir pada makhluk Allah. Dan Allah beri dia taufiq pada memelihara dirinya daripada penyakit-penyakit yang merosakkan hati. Kata al-‘Allamah as-Sayyid ‘Alawi lagi: “Berkata al-Imam Ibnu Hajar al-Makki: “Ringkasan apa yang telah kita huraikan, bahawa barang siapa berusaha berdamping dengan Allah Taala dengan mengerjakan perkara-perkara yang fardu dan wajib, kemudian dia mengerjakan amal-amal sunat, nescaya Allah mendampinginya dan mengangkatkan darjatnya daripada darjat iman ke darjat ihsan, maka jadilah dia dalam keadaan beribadat kepada Allah dengan hadir hati dan gemar kepada Allah, sehingga jadi apa yang ada dalam hatinya daripada kenalkan Allah dapat menyaksikan dengan mata hatinya, seolah-olah dia melihat Allah, maka ketika itu penuhlah hatinya dengan kenalkan Allah, kasihkan Allah, kemudian Allah, dan kehebatan Allah dan ketinggian Allah dan merasa senang denganNya, kemudian sentiasalah mahabbah dan kasih akan Allah itu bertambah-tambahlah sehingga tidak ingat hatinya melainkan Allah, dan tidaklah dapat anggotanya berbuat sesuatu melainkan dengan persetujuan apa yang ada dalam hatinya itu. Inilah yang dikatakan tidak ada dalam hatinya melainkan kenalkan Allah, mahabbah kepada Allah ingatkan Allah.” Kemudian kata al-Imam Ibnu Hajar lagi: “Ketika penuh hatinya dengan kenalkan Allah, maka hilanglah ingatannya yang lain daripada Allah, dan dia tidak bertutur melainkan dengan ingatkan Allah dan dia tidak bergerak melainkan dengan menurut perintah Allah. Jika dia bertutur, maka dia bertutur dengan perintah Allah, jika dia mendengar maka dia mendengar dengan perintah Allah, jika dia melihat maka dia melihat dengan perintah Allah, jika dia bergerak dan membuat sesuatu maka dia berlaku dengan perintah Allah.” Tamat katanya yakni segala gerak-geri, tuturnya dan lain-lain itu bersetuju dan muafakat dengan apa yang diperintah dan disuruh oleh Allah Taala. Katanya lagi: “Telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim, at-Termizi dan an-Nasa’i daripada sahabat, Anas r.a. telah berkata: “Sabda Rasulullah s.a.w.: Maksudnya: “Tiga perkara, barang siapa ada padanya, nescaya dia dapat merasa kemanisan (nyamannya) iman, hendaklah hanya Allah dan RasulNya itu sekasih-kasih keduanya kepadanya lebih daripada dia mengasihi akan lain daripada keduanya, hendaklah dia kasihkan seseorang Islam itu tidak ada kasihnya melainkan kerana Allah semata-mata, dan hendaklah dia benci akan kembali pada kufur (menjadi kafir), sebagaimana dia benci akan dicampakkan dia ke dalam api neraka.” Ini perkataan al-‘Allamah as-Sayyid ‘Alwi dalam ‘Uqud al-Almas yang terang dan jelas bahawa iman itu terbit daripada kenalkan Allah, dan kenalkan Allah itu didapati melalui kitab-kitab tauhid dan ilmu ‘aqa’id, iman itu menjadi teguh dan sempurna, nyaman di hati hamba Allah atau di hati seseorang yang beriman, apabila ada kasih mahabbah kepada Allah dan Muhammad s.a.w. lebih dari mengasihi dirinya dan anak isterinya sendiri dan lain-lain orang. Dia kasihkan seseorang Islam itu kerana Allah semata-mata, sebab orang itu taatkan Allah, dia bencikan orang itu, kerana orang itu derhaka kepada Allah, sebagaimana yang tersebut dalam suatu hadis lain, dan dia benci tidak mahu membuat perkara yang menjadikan kufur dan keluar daripada Islam dan dia benci membuat perkara yang menjadikan kufur dan keluar daripada Islam dan dia benci membuat perkara yang membawa dia masuk api neraka daripada perangai jahat, perbuatan dan percakapan yang dilarang Allah.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Meneladani Sunnah Nabi Dalam Berwuduk

ISLAM mengajarkan kebersihan. Hal itu dapat dilihat dalam amalan berwuduk. Bahkan, setiap orang yang hendak menunaikan solat, diperintahkan untuk berwuduk. Hal ini sebagaimana dinyatakan dengan tegas dalam al-Quran, “Hai orang yang beriman, jika kalian hendak mengerjakan solat, basuhlah wajah kalian dan tangan kalian hingga siku. Dan basuhlah kepala dan kaki kalian hingga mata kaki.” (QS. al-Maidah: 6) Meskipun al-Quran menegaskan bahagian-bahagian tubuh yang harus dibasuh saat wuduk, Rasulullah dalam amalan bersuci meneladankan panduan yang lebih lengkap. Di antara panduan itu, Nabi s.a.w. tidak semata-mata mencontohkan perbuatan fardu (wajib) wuduk, melainkan juga sunnah wuduk. Adapun sunnah wuduk itu antara lain;
1) Bersiwak (bersugi). Para ulama sepakat bahawa bersiwak itu merupakan sunnah. Hal ini sebagaimana hadis Nabi, “Seandainya jika tidak memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka untuk bersiwak pada setiap hendak berwuduk.” (HR. Termizi dan Abu Daud)
2). Mengucap tasmiyah (bismillahirrahmanirrahim). Para ulama sepakat bahawa hal ini sunnah meski ada ulama yang mengatakan wajib.
3). Membasuh dua telapak tangan tiga kali saat hendak wuduk. Adapun telapak tangan yang dimaksud di sini adalah bahagian tangan antara pergelangan tangan hingga hujung jari tangan. Sedang membasuh tangan hingga siku termasuk fardu wuduk.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Makanan Para Penghuni Neraka

ADAKAH para penghuni neraka mempunyai makanan khas? Dan adakah keadaan hidup mereka di dalam neraka membolehkan mereka makan ataupun minum? Ya! Memang para penghuni neraka ada pelbagai jenis makanan dan minuman. Makanan dan minuman adalah merupakan bahan-bahan keperluan hidup; manakala para penghuni neraka itu kesemuanya hidup dan tidak mati. Sebab kalaulah mereka mati nescaya mereka dapat merasa rehat dan terlepas daripada bahana seksa azab sengsara; tetapi mereka sebenarnya tidak mati.
Firman Allah, ayat 56 Surah An-Nisa’: Terjemahan; Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan mereka memang sering kali memohon supaya dimatikan, dan selalu sahaja mendesak untuk mati, tetapi permohonan dan desakan mereka itu ditolak. Al-Quran telah mendedahkan perihal permohonan dan desakan mereka itu: Terjemahan: Dan mereka merayu (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Malik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!” (Surah az-Zukhruf, ayat: 77) Allah s.w.t. juga telah memberi perkhabaran mengenai desakan mereka supaya dimatikan, seperti firmanNya: Terjemahan: Mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas daripada seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka. (Surah Fatir, ayat: 36)
Seperti juga Allah s.w.t. telah memberi perkhabaran tentang orang-orang yang menderita bakaran api neraka yang amat besar itu tidak hidup dan tidak juga mati, seperti diterangkan di dalam ayat 11-13 Surah al-A’la:
Terjemahan: Dan (sebaliknya) orang sangat-sangat celaka akan menjauhinya. Dialah yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya). Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.

Az-Zaqqum
Zaqqum ialah sejenis buah dari pokok yang tumbuh di dasar neraka Jahim. Rasanya sangat pahit dan mencekik halkum setiap orang yang memakannya, dan tidak boleh lepas melainkan dengan menelan air minuman dari api panas yang mendidih. Di antara khasiat buah zaqqum ialah menyebabkan menggelegakkan perut, seperti kapur simen, bila sahaja dituang air nescaya ia akan meletup mendidih dan menggelegak. Firman Allah: Terjemahan: Manakah yang lebih baik, limpah kurnia yang termaklum itu atau pokok zaqqum? Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).
Sebenarnya ia sebatang kayu yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang. Buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan. Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk) sehingga mereka memenuhi perut darinya. Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi selain itu, satu minuman campuran air panas yang menggelegak. (Surah as-Saffat, ayat: 62-67) Dan firmanNya lagi dalam Surah ad-Dukhan, ayat 43-46: Terjemahan: (Ingatlah) sesungguhnya pokok zaqum itu, (buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (di dalam neraka). (Makanan itu pula panas) seperti tembaga cair, mendidih di dalam perut seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. Dan Rasulullah s.a.w. telah membaca ayat ini: Terjemahan: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Ali-Imran, ayat: 102) Dan Baginda Bersabda:
Terjemahan: Jika sekiranya tumpah setitik sahaja air buah zaqqum itu ke dalam dunia, nescaya ia akan merosakkan seluruh kehidupan penghuni dunia ini. Jadi bagaimanakah keadaan hidup orang yang makan buah zaqqum itu di sepanjang hayat mereka? (HR. at-Termizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Kengerian Dalam Kubur Sangat Dahsyat

KUBUR adalah tempat akhir bagi manusia setelah mati. Dulu-dulu semasa Nabi Allah Adam a.s. dimana anaknya berkelahi antara Qabil dan Habil, maka Habil mati. Qabil mengambil petunjuk yang Allah berikan melalui burung gagak, cara menanam adiknya Habil setelah ia dibunuh. Burung gagak itu telah memperlihatkan bagaimana menguburkan jenazah saudaranya setelah terlebih dahulu gagak itu berkelahi dengan gagak lain.
Qabil melakukan itu, maka dari sanalah kita semua mengetahui sunat atau cara untuk menanam jenazah dalam kubur. Dalam Al-Quran dalam surah Abasa ayat 21 Allah berfirman yang mafhumnya: “Kemudian dia mematikannya dan memasukkannya ke dalam kubur.” Ertinya, menjadi kuburan baginya sebagai penghormatan, tidak seperti orang-orang yang melemparkan mayatnya ke tanah dimakan burung gagak atau binatang buas.
Untuk ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya: “Galilah lubang, dalamkan dan luaskanlah,” riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa’i, Baihaqi dan Hisyam dari Ibnu Amir).

Di Dalam Kubur
Ketika seorang salih meninggal, dia akan didudukkan malaikat dan tak akan merasa cemas. Pertanyaan yang berkaitan dengan Islam lalu diajukan kepadanya. Setelah itu, dia ditanya tentang nabinya. Dia menjawab bahawa nabi adalah seorang yang membawa tanda-tanda yang jelas dari Tuhan, dan dia percaya tanda-tanda itu semuanya benar. Setelah itu, dia diperlihatkan sebuah tempat di neraka yang menggambarkan suasana amat kacau. Lalu, ketika dia mengalihkan perhatiannya dari pandangan itu, dia diberi tahu bahawa Tuhan telah menyelamatkannya dari hukuman itu. Kemudian, ditunjukkan kepadanya sebuah tempat di syurga, tempat yang dihias mewah dan bagus sekali, di mana dia mendapatkan pemandangan yang menyenangkan. Dan diberitahukan bahawa dia akan diberi tempat di situ, jika dibangkitkan di hari kiamat kelak, kerana selama hidupnya di dunia, dia percaya kepada hari akhir. Ketika seorang yang jahat mati, dia didudukkan di kubur, tetapi diliputi rasa cemas dan takut. Pertanyaan yang sama juga diajukan kepadanya. Dia berkata bahawa dia tidak tahu apa-apa.
Dia dulu hanya terbiasa mengulang apa yang didengar dari orang-orang. Berikutnya, gerbang syurga dibuka, setelah memperlihatkan hiasan dan keindahannya dan semua kekayaan yang terkandung di dalamnya, dia diberi tahu bahawa itulah bakal tempat tinggalnya. Tetapi untuk sementara, dia tidak diizinkan masuk. Kemudian pemandangan neraka diperlihatkan kepadanya. Dia melihat suasana yang sangat kacau. Lalu diberitahukan kepadanya bahawa tempat itu akan diberikan kepadanya kerana sepanjang hidupnya di dunia, dia mempunyai keraguan dan mati dalam keadaan ragu. Abu Qatada mengatakan bahawa suatu hari ada upacara penguburan yang kebetulan melewati Nabi Muhammad. Ketika beliau melihatnya, beliau teringat bahawa manusia hanya punya dua pilihan. Yakni, merasa senang ketika mati atau orang lain, senang atas kematiannya. Beliau menjelaskan bahawa setelah mati, orang yang beriman merasa senang, kerana telah dibebaskan dari kesulitan dunia dan akan bertemu Allah. Inilah alasan seseorang merasa senang. Sedang kematian seorang pendosa, akan membuat senang orang-orang yang tinggal di kota dan di desa, pohon-pohon dan binatang-binatang, kerana dengan kematiannya, dunia terbebas dari jahatnya. Ibnu Umar mengatakan bahawa suatu hari Nabi s.a.w. memegang bahunya dan menasihatinya untuk hidup di dunia seperti pelancong/pengembara. Ibnu Umar mengatakan bahwa pada pagi hari, seseorang harus menunggu malam, dan di malam hari seseorang harus menunggu pagi. Ketika seseorang sedang menikmati kesihatan yang baik, dia harus mempersiapkan diri melawan penyakit, kerana selama masa sakit dia akan mendapatkan pahala atas amal baiknya yang dilakukan dalam keadaan sihatnya. Seseorang juga harus mempersiapkan diri untuk kematiannya.

Jeritan Kubur
Abu Hurairah mengatakan, suatu kali dia bersama Nabi s.a.w. ikut acara penguburan. Ketika Nabi sampai di kawasan perkuburan, dia pergi ke sebuah kubur dan mendengarkan suara yang sangat jelas: “Wahai anak cucu Adam. Engkau telah melupakanku. Aku adalah tempat kesunyian, tempat tinggal kesenyapan, pondok belantara, akulah tempat tinggal para cacing, dan aku sungguh sempit.” Setelah itu Nabi bersabda: “Kubur adalah salah satu taman dari taman-taman syurga atau salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Tunaikanlah Solat Jenazah

ADALAH mejadi kebiasaan apabila ada satu-satu jenazah mahu disolatkan, maka ahli keluarga meminta imam tempatan atau para ustaz atau orang-orang alim mengimamkan solat jenazah berkenaan. Ia sebenarnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun apa yang perlu diketahui bahawa mereka yang lebih utama untuk mengimamkan solat jenazah tersebut ialah sebagai berikut:

Imam Solat Jenazah
Menurut Imam Syafi’i, kerabat lelaki (wali) mayat lebih berhak menjadi imam solat jenazah daripada memilih penguasa, meskipun sebelum mayat telah berwasiat kepada selain wali (untuk menjadi imam). Alasannya, solat jenazah merupakan hak kerabat. Jadi, wasiat menggugurkan hak tersebut tidak boleh dilaksanakan seperti halnya hak waris. Secara berurutan orang yang paling berhak mengimami solat jenazah iaitu ayah, datok, dan seterusnya, kemudian anak lelaki, cucu lelaki dan seterusnya, saudara lelaki sekandung, saudara lelaki se-ayah, anak lelaki saudara kandung (anak saudara jenazah), anak saudara lelaki se-ayah, selanjutnya semua ‘ashabah jalur nasab sesuai urutan pewarisan. Bapa saudara (saudara ayah) sekandung didahulukan daripada bapa saudara se-ayah, kemudian anak bapa saudara kandung (saudara sepupu) lalu anak bapa saudara se-ayah, baru selanjutnya dalam jalur nasab bapa, kemudian anak, saudara, bapa-bapa saudara lalu kerabat. Apabila ada dua orang wali yang memiliki darjat sama, seperti dua anak lelaki atau dua saudara lelaki yang keduanya layak menjadi imam, maka dahulukanlah orang yang lebih dahulu memeluk Islam dan bersikap adil daripada orang yang lebih mengerti fikih dan sejenisnya.

Golongan Yang Tidak Wajib Disolati
Ada dua golongan yang tidak wajib disolati, iaitu:
1) Seorang bayi yang belum baligh
Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah. Kata dia, “Ibrahim putera Nabi Muhammad s.a.w. meninggal dunia ketika dia berusia 18 bulan, maka Rasulullah tidak mensolatinya.” (HR. Abu Daud)
2) Seorang yang syahid
Hal ini berdasarkan keterangan hadis Nabi dari Anas r.a., “Bahawasannya syuhada Uhud tidak dimandikan, dikubur dalam darah-darah mereka, dan beliau tidak mensolati mereka.” (HR. Abu Daud). Namun begitu, tidak wajibnya solat atas kedua golongan ini, tidak bererti menafikan disyariatkannya solat atas kedua golongan ini. Maksudnya, kalau pun dua golongan ini mahu disolatkan, maka boleh saja. Hanya saja hukumnya tidak wajib kifayah. Sebab, Nabi s.a.w. juga pernah mensolatkan anak kecil dari kelompok Anshar. Kata Aisyah:“Didatangkan kepada Rasulullah seorang (jenazah) anak dari Anshar, maka kemudian beliau mensolatinya.” (HR. Muslim) Dalam hadis lain juga disebutkan: “Bahawasanya Rasulullah pada waktu Perang Uhud, memerintahkan agar didatangkan padanya jenazah Hamzah yang kemudian ditutupi dengan kain, kemudian beliau mensolatinya dengan bertakbir sembilan kali, kemudian didatangkan jenazah-jenazah yang lain yang kemudian ditata secara berbaris, Rasulullah s.a.w. mensolati mereka dan mensolati Hamzah bersama mereka.” Ertinya, jasad orang yang mati syahid juga boleh disolatkan, hanya saja tidak wajib.

Mensolati Beberapa Jenazah Sekaligus
Jika Jenazah yang disolati lebih dari satu, lelaki atau wanita, maka jenazah-jenazah itu diletakkan berjajar antara imam dengan kiblat. Mayat yang paling bertakwa diletakkan paling dekat dengan kiblat. Nafi’ meriwayatkan dari Ibnu umar r.a. bahawa Ibnu Umar pernah mensolati sembilan jenazah wanita dekat arah kiblat. Jenazah-jenazah itu dijadikan satu baris ke arah kiblat. Diriwayatkan pula, ketika mensolati jenazah Ummu Kultsum binti Ali (isteri Umar r.a.) dan jenazah puteranya yang bernama Zaid, jenazah puteranya diletakkan dekat imam, dan jenazah Ummu Kultsum dekat kiblat. Saat itu, yang menjadi imam solat Abu Hurairah, Abu Sa’id dan Abu Qatadah. Seorang lelaki berkata, “Aku protes. Aku melihat ke Ibnu Abbas, Abu Hurairah, Abu Sa’id dan Abu Qatadah, lalu aku berkata, “Ada apa-apa ini? Mereka menjawab, “Inilah yang sesuai dengan ajaran Rasulullah.” (HR. Nasa’i dan Baihaqi) Al-Hafiz berkata, “Sanad hadis ini shahih. Hadis ini menjelaskan bahawa anak lelaki yang disolati bersama wanita dewasa, maka jenazah anak tersebut diletakkan dekat imam, dan jenazah wanita dewasa diletakkan dekat arah kiblat. Jika ada jenazah lelaki dewasa, maka urutan peletakannya yang paling dekat imam adalah jenazah lelaki, lalu anak lelaki, lalu wanita dewasa.

Solat Ghaib Dan Mensolati Jenazah Yang Telah Dikebumikan
Apabila kita mendengar berita bahawa ada diantara keluarga atau kenalan kita yang meninggal dunia yang tempatnya berjauhan dengan kita, maka sebaiknya kita solat ghaib untuk mendoakannya. Lebih baik lagi apabila kita dapat mengajak jemaah kaum muslimin di masjid atau di surau tempat kita tinggal untuk solat ghaib bersama-sama.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Kepalsuan Dalam Mengamalkan Tasawuf

UNTUK membolehkan sesiapa yang berminat memasuki sesuatu tarikat, mestilah ada syeikh yang akan memberikan keizinan (ijazah) dalam penyerahan sesuatu wirid, sekiranya syeikh itu tidak ada, mestilah ada seorang lain sebagai penggantinya, sama ada orang itu khalifah syeikh ataupun sesiapa sahaja yang ditunjuk dari anggota tarikat. Ini salah satu cara yang digunakan oleh syeikh-syeikh tarikat dalam memancing kebodohan orang-orang Islam untuk dikenakan, dipergunakan (dieksploitasi) kemampuan kewangan, harta benda dan tenaga orang tersebut untuk kegunaan peribadi syeikh dan pembantu-pembantunya. Ulasan saya, menggunakan wasilah untuk menuntut ilmu itu bererti menggunakan cara yang hak untuk tujuan yang batil. Mengambil syeikh (guru) yang arif dan mengikuti jalan kepada Allah dengan cara belajar melaluinya, mengikuti kesempurnan kerohanian dan mengikut tarbiah Islamiah melalui seorang guru adalah perkara baik yang disuruh, kerana seseorang itu tentu tidak mungkin dapat mengenal Allah, tidak mungkin dapat mengetahui kesukaan dan kebencianNya, tidak mungkin mengetahui bagaimana cara beribadat dan cara mendekatkan diri dengan betul kepadaNya, jika tidak menjadi murid kepada mana-mana syeikh (guru) ilmu pengetahuan. Tetapi disini yang salah, ialah; mensyaratkan ada syeikh untuk memberi ijazah, walaupun syeikh itu seorang yang buta huruf lagi jahil. Apa yang saya katakan ini adalah kenyataan, kebanyakan syeikh-syeikh tasawuf adalah buta huruf, maka sesiapa yang belajar darinya, ilmunya amat terhad, tidak lebih dari mengetahui sebahagian dari rukun Islam seperti solat sahaja, umpamanya. Yang mereka maksudkan dengan keizinan itu tidak lebih daripada kenyataan; bahawa sesiapa yang hendak dilantik (melantik dirinya) menjadi syeikh sesuatu tarikat, mestilah pernah berkhidmat kepada syeikh terdahulu, dari mata rantai syeikh-syeikh dalam jangka waktu yang agak panjang, lalu syeikh itu mewariskan gelaran tersebut dan mengizinkannya memberi wirid-wirid serta mengetuai semua pengikut sesebuah tarikat itu.
Dengan cara yang seperti itu, mereka mendakwa bahawa tarikat mereka yang batil itu mempunyai sanad (sandaran) yang sambung menyambung sampai kepada Nabi s.a.w. Sebahagian pula mendakwa tidak perlu sanad yang bersambungan, kerana dia telah mengambil tarikatnya langsung dari Nabi s.a.w. di dalam pertemuan dalam keadaan jaga, bukan bermimpi seperti mana yang didakwa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad at-Tajani di dalam bukunya “Jawahirul Maani”, muka surat 97 tersebut: “Adapun sanad tarikat Muhammadiah (at-Tajaniah) maka sesungguhnya dia telah memberitahu saya, katanya: “Kami telah mengambil dari pelbagai syeikh, tetapi tidak ada yang Allah sampaikan maksudnya-hanya sanad kami dan guru kami pada tarikat ini ialah Saiyidil Wujud (s.a.w), maka sesungguhnya Allah telah memutuskan membuka dan menyampaikan kami di hadapannya jadi tidak ada syeikh lain yang mesti berikan perhatian”. “Adapun kelebihan mengikutinya, maka saya telah diberitahu oleh Saidil Wujud (s.a.w.) “bahawa sesiapa yang cinta padanya bererti cinta kepada Nabi (s.a.w.) dan tidak akan wafat selagi belum benar-benar menjadi wali”. Antara pembohongan ahli tasawuf yang pelik, ialah keterangan orang syeikh tarikat asy-Syazali di Syria yang bernama Abdul Qadir Isa. Beliau menceritakan kenyataan yang dibuat oleh orang yang menerima tarikat asy-Syazaliah iu; iaitu asy-Syeikh Muhammad al-Hasyimi at-Timasani al-Jazairi yang menerangkan mata rantai syeikh tarikat itu bermula dari dirinya sampai kepada Nabi (s.a.w.). Di dalam senarai yang disebutkan itu termasuk ramai orang-orang dari puak batiniah yang menyamar dan ahli-ahli tasawuf jahat (dajal). Senarai nama-nama syeikh itu bersamaan di dalam empat tarikat: al-Qadiriah, asy-Syazaliah, ad-Daraqawiah dan al-Alawiah. Sementera pendustaan yang paling buruk dan jahat pula ialah apa yang dihubungkan kepada Rasul s.a.w. (marfu’) bahawa Rasul lebih kasih kepada tiga orang sahabatnya lebih dari yang lain-lain, iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Anas bin Malik dan ‘Ali bin Abi Thalib, lalu kerana itu baginda memberikan wirid atau amalan tertentu sebagaimana yang dibawa oleh tarikat berkenaan. Ya Allah! Saya memohon perlindungan dari Engkau daripada membuat dusta ke atas Rasul dan menuduhnya memilih kasih dalam menyampaikan petunjuk dan keterangan ke arah jalan yang benar. Ya Allah kami naik saksi bahawa Rasul Engkau Muhammad s.a.w. sesungguhnya telah menyampaikan semua yang telah Engkau wahyukan dan semua yang Engkau perintah. Tembelang keji ini antaranya dapat kita sedari dari sebuah hadis riwayat al-Bukhari dengan sanad yang shahih daripada Ali bin Abi Thalib r.a. katanya: Terjemahan: Kami tidak mempunyai apa-apa melainkan Kitabullah dan suratan dari Nabi s.a.w. ini, (tertulis) “Madinah adalah haram di antara Air sampai sekian...al-Hadis. Kenyataan ini dengan sendirinya telah menafikan bahawa Nabi s.a.w. ada mengkhususkan ilmu tertentu kepada beliau yang tidak diajarkan kepada umatnya yang lain. Muslim juga telah meriwayatkan di dalam “Shahih”nya dari Abi at-Thufaili: Terjemahan:”Ketika saya bersama Ali datang seorang lelaki bertanya kepadanya: “Apakah rahsia yang pernah Nabi s.a.w. berikan kepadamu”. Mendengar itu Ali naik marah, kemudian berkata: “Dia tidak pernah mengkhususkan sesuatu kepada kami yang tidak diketahui oleh orang ramai, kalau adapun hanya tentang empat perkara.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Istimewanya Hari Jumaat

JUMAAT selalu membuat hati saya merasa kelainannya. Ada hal-hal personal sekaligus spiritual (kerohanian) yang memenuhi batin saya. Namun, hari ini seringkali juga membenamkan benak saya dalam memori melankolik; tentang hal-ehwal yang menurut saya remeh temeh, tapi selalu hadir dalam waktu tak menentu, dalam suasana tak pasti dan keluar begitu saja. ‘Diriwayatkan’, menurut ibu saya, Jumaat itu hari dimana saya pertama kali menghidu bau bumi ini. “Berdekatan sangat dengan orang-orang baru lepas sembahyang Jumaat, kamu pun lahir” Demikian tuturnya, mengenang, dalam loghat Betawinya, saat saya masih berseragam sekolah rendah dulu. Sejak itulah, saya merasakan Jumaat menjadi hari yang istimewa. Namun, saya baru tersedar ia menjadi hari yang terlalu istimewa setelah mengenyam pendidikan di dunia pondok pesantren. Jumaat, ternyata, adalah senarai kebaikan dalam urusan ibadah; baik ibadah yang sangat ritualistik dan yang sunat-sunatnya... Jumaat serupa mata air untuk mereguk pahala sebanyak-banyaknya. Syahdan, inilah hari yang disebut-sebut sebagai sayyidul ayyam [pemimpin (penghulu) para hari]. Hari yang banyak fadhilatnya dibanding hari-hari lain. Dalam laman http://nu.or.id, misalnya, dipapar jika nama-nama hari lain menunjukkan urutan angka (ahad [Minggu] ertinya hari pertama, itsnain atau Isnin adalah hari kedua, tsulatsa atau Selasa adalah hari ketiga, arbi’a atau Rabu adalah hari keempat dan khamis adalah hari kelima), maka Jumaat adalah jumlah dari kesemuanya. Secara bahasanya, kata Jumaat sendiri dinukil dari kata jama’a yang ertinya berkumpul, yang dalam tarikh Islam disebutkan sebagai hari perjumpaan Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa a.s. di Jabal Rahmah selepas mereka dikeluarkan dari syurga. Diriwayatkan, dalam hadis juga disebutkan, Nabi Adam diciptakan, diwafatkan dan dimasukkan ke syurga pada hari yang sama, Jumaat. Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hari yang afdhal bagi kalian adalah hari Jumaat; padanya Adam diciptakan dan diwafatkan, pada hari Jumaat juga sangkakala (pertanda Kiamat) ditiup dan padanya juga mereka [roh-roh] dibangkitkan, kerana itu perbanyaklah berselawat kepadaku kerana selawat kalian akan diperhadapkan kepadaku.” Mereka [sahabat] bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana selawat yang kami ucapkan untukmu dapat diperhadapkan kepadamu sedangkan jasadmu telah hancur ?” Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan bagi tanah untuk memakan jasad para nabi.” (HR. Abu Daud, Nasaai, Ibnu Majah dan Ahmad dengan sanad yang shahih) Yang paling nampak sebagai sebuah keistimewaan hari Jumaat adalah disyariatkanya solat Jumaat. Sebuah surat ke 62 bernama Jumu’ah mengabadikan hari ini. Di dalamnya, ayat ke-9, terbentang firman Allah s.w.t. ehwal penegasan wajibnya solat Jumaat: “Hai orang-orang yang beriman! Apabila diseru [dikumandangkan azan] untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah menuju zikrullah [yakni, menghadiri solat dan khutbah Jumaat], dan tinggalkanlah jual beli. Itulah yang baik buat kamu, jika kamu mengetahui [kebaikannya].” Tak aneh, bila beribadah, berdoa dan segenap laku kebaikan untuk mendekat kepadaNya, baik untuk niat persendirian mahupun sosial [baca: sedekah] yang dikerjakan hari Jumaat selalu dipertegas kekasihNya, Nabi Muhammad s.a.w., dalam hadis-hadisnya akan menuai berkah yang berganda. Tentu saja, saya tidak ingin menghurai lebih jauh ehwal hari ini yang barangkali anda sudah teramat sering membacanya. Bagi saya, dulu, pertanyaan ini seringkali terlintas di benak: Kenapa Allah menjatuhkan pilihan hari Jumaat sebagai hari lahir saya?

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

Kejadian Manusiaa, Malaikat Dan Jin

SESUNGGUHNYA kejadian makhluk di atas dunia ini bersumber dari pelbagai sumber menurut kehendak Allah Taala. Hanya ada manusia yang melupakan sumber kejadiannya sehinggalah dia dikembalikan kepada sumber asalnya iaitu tanah. Aisyah r.a. menuturkan, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Malaikat diciptakan dari nur (cahaya). Jin dijadikan dari marij (api), sedangkan Adam (manusia) telah diterangkan kepadamu (yakni dari tanah).” (HR. Muslim) Sementara itu wajarlah kiranya kita mengetahui hari-hari ciptaan alam semesta ini dengan segala isi-isinya. Abu Hurairah r.a. mengungkapkan, bahawa Rasulullah s.a.w. memegang tangannya seraya bersabda: “Allah s.w.t. menciptakan bumi pada hari Sabtu. Dia menciptakan di atasnya gunung-gunung pada hari Ahad (Minggu), Dia menciptakan pohon-pohon pada hari Isnin, Dia menciptakan hal-hal yang tidak disukai pada hari Selasa, Dia menciptakan nur (cahaya) pada hari Rabu, dan Dia menciptakan (menebarkan) haiwan-haiwan padanya (di atas bumi) pada hari Khamis, dan Dia menciptakan Adam a.s. Sesudah waktu Asar pada hari Jumaat, sebagai makhluk yang terakhir diciptakan, dan penciptaannya pada saat-saat yang terakhir hari Jumaat.” (HR. Muslim dan Ahmad) Dalam pada itu anda telitilah pada diri sendiri bahawa sebagai keturunan Adam a.s. dimana jasad kita dicipta dengan diambil dari berbagai-bagai jenis tanah. Kerana itulah sifat dan perangai kita juga berbagai-bagai. Ada baik-baiknya dan ada buruk-buruknya. Abu Musa r.a. memberitakan, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah menciptakan Adam dari sebuah genggaman yang Dia genggam dari berbagai jenis tanah. Itulah sebabnya anak Adam (yakni umat manusia) beraneka macam sebagaimana ragam jenis tanah itu.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...