ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rasanya baru saja menyambut tahun baru 2012, kita kini akan memasuki pula bulan Februari. Anak-anak kembali sibuk ke sekolah. Dan perjalanan hidup kita seperti biasalah. Sibuk tak habis-habis. Namun Hidayah tetap seperti biasa. Setiap bulan akan terus menemui para pembacanya. Kali ini Hidayah menemui anda dengan kisah iktibar utamanya (penghias cover) memaparkan bagaimana seorang pegawai kerajaan mati dalam keadaan aneh. Dia mengelupur apabila kedatangan malaikat maut sebelum nyawanya ditarik dari jasadnya. Moral kisah yang dipaparkan ini ialah mengenai perbuatan ‘rasuah’ yang sewenang-wenang dilakukannya sebagai pegawai kerajaan. Memang perbuatan rasuah terus berleluasa di kalangan kakitangan kerajaan, swasta dan sebagainya. Begitulah apabila tipisnya iman seseorang, maka mudahlah melakukan perbuatan munkar tanpa segan silu. Dan hasil rasuah itulah memberi mereka kemewahan, memberi makan minum dan perbelanjaan anak isteri yang tentunya menjadi darah daging tanpa memikirkan sumber yang mereka dapatkan itu adalah dari perbuatan yang haram. Betapa jijiknya perbuatan rasuah dapat digambarkan melalui hadis berikut ini. Abdullah bin Amr bin Ash menyatakan, bahawa dulunya dalam barisan pasukan perang Rasulullah s.a.w. ada seorang lelaki yang dijuluki “karkaroh”. Orang tersebut meninggal dunia, lalu Nabi Muhammmad s.a.w. bersabda: “Ia masuk neraka!” Para sahabat pergi melihat orang tersebut, ternyata mendapati orang itu melakukan ‘rasuah’ dengan mengambil kain rampasan perang.” (HR. Bukhari). Hadis ini menegaskan betapa siapa saja yang melakukan ‘rasuah’ tidak kira ia pernah ikut perang jihad akan tetap masuk neraka. Sebuah hadis lagi yang menegaskan kehinaan perbuatan ‘rasuah’ ini ialah sebagai berikut: Adi Ibnu Amiroh Al-Kindi menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barang siapa yang kami angkat di antara kamu ke satu-satu jawatan, lalu disembunyikannya terhadap kami sebatang jarum atau yang lebih kecil dari itu, maka perbuatannya itu adalah kegelapan. Dia akan datang pada hari kiamat kelak, membawa barang yang digelapkannya itu.” (HR. Muslim) Itu baru sebatang jarum. Bagaimanalah agaknya mereka yang tidak bertanggungjawab melesapkan ‘batang-batang balak’, ‘lembu sekandang’ dan lain-lain lagi untuk mengisi tembolok hawa nafsu yang tidak pernah puas-puas itu. Disamping itu anda hayatilah kisah-kisah iktibar selanjutnya dan rencana-rencana lain yang membawa manfaat bersama. Terima kasih kepada para pembaca yang menulis melalui e-mail dan menegur salah silap kami serta ucapan tahniah dan sebagainya. Jadikanlah kehidupan kita adalah lebih baik dari semalam. Dan insaflah bahawa kita kian menghampiri kubur masing-masing. Terima kasih kerana terus menyokong Hidayah dan menjadi pembaca setia majalah ini.
Wassalam!
Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my
Sunday, February 12, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment