Wednesday, May 11, 2011

Variasari Keluaran Mei 2011


Sudahkah anda memiliki Variasari edisi Mei 2011? Kalau belum dapatkan segera sebelum kehabisan...

Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca yang sudi menatap majalah ini. Sokongan yang cukup memberansangkan hari demi hari amat kami hargai.

Variasari menyajikan anda bahan bacaan 100% misteri. Dijamin anda puas membaca kisah-kisah yang dipaparkan.

Dapatkan segera majalah Variasari keluaran Mei 2011 sebelum terlambat.

Amaran keras: Ibu-ibu mengandung tidak di galakkan membacanya.

Harga cuma RM3.00 saja

Siri Bercakap Dengan Jin


Anda sedang membaca kisah yang turut dibaca oleh ribuan pembaca setia Siri Bercakap Dengan Jin sejak berpuluh tahun lamanya. Ia makin hangat diperkatakan oleh pembaca Variasari generasi kini. Pastikan anda terus mengikuti cerita bersiri ini ...

Antara Yang Menarik Dalam Variasari Mei 2011







Hidayah Mei 2011

Hidayah keluaran Mei 2011 sudah beredar di pasaran. Pastikan anda tidak ketinggalan memilikinya. Dapatkan segera sebelum kehabisan... Beli 2 naskhah...satu untuk anda satu lagi berikan pada jiran...!
Kami himpunkan
berbagai kisah-kisah menarik khusus buat tatapan anda untuk dijadikan iktibar. Isi kandungannya masih padat, cukup menawan sesuai dibaca semua lapisan masyarakat...Segera ke kedai-kedai buku berhampiran untuk mendapatkannya!

Senaskhah cuma RM3.90 sahaja

Iklankan Apa Saja Dalam Hidayah...

Langganlah Segera Melalui Pos

Salam Kami Mei 2011

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Pembaca budiman, dalam kita bergelut mengejar masa, tak terasa masa terus merangkak menuju pertengahan tahun. Hanya beberapa bulan saja lagi kita bakal menyambut Ramadan 1432. Hidayah juga terus menemui anda. Sedaya upaya majalah ini terus berusaha untuk memenuhi kerohanian para pembacanya. Tak dapat dinafikan dalam mengejar kesibukan hidup sehari-hari, jiwa dan rohani kita perlu kepada pengisian agama sebagaimana perlunya pemakanan dalam menyihatkan tubuh badan. Menyedari hal itu, kita mengajak anda sama-sama berkongsi pengalaman merenungi pelbagai ragam hidup masyarakat di sekeliling kita. Itulah yang kami persembahkan kepada anda dengan pelbagai kisah iktibar pada setiap keluarannya. Antara kisah iktibar yang hebat kali ini ialah mengenai tragedi kisah dua Al-Hafiz yang mengalami dua nasib yang berbeza bergantung kepada amalan masing-masing. Iktibar kedua pula menggambarkan bagaimana seorang ‘tokoh’ agama yang disanjungi masyarakat menghadapi permasalahan waktu pengkebumiannya untuk dijadikan renungan bersama. Namun iktibar tiga pula kita paparkan betapa kejujuran dan istiqamahnya seorang pemuda dalam prinsip hidupnya membawa ‘tuah’ pada dirinya apabila dipertemukan jodoh dengan seorang wanita salihah. Disamping itu Hidayah turut memuatkan rencana mengenai seksa kubur, balasan dosa pahala dan sebagainya. Kita mengharapkan penghayatan anda terhadap rencana-rencana yang dipersembahkan ini dapat meningkatkan diri anda semoga termasuk dalam golongan orang-orang yang beramal salih. Rasulullah s.a.w. mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Seseorang itu menurut agama temannya. Maka lihatlah salah seorang kamu itu dengan siapa dia berkawan.” Diriwayatkan: “Berkawan dengan orang salih ibarat berkawan dengan penjual minyak wangi. Meskipun dia tidak memberi, anda akan tercium juga bau wanginya. Sementara berkawan dengan orang yang keji, ibarat berkawan dengan pemilik dapur. Walaupun dia tidak membakarmu, namun asapnya akan terkena anda juga...” Akhir sekali sama-samalah kita renungkan kata-kata Ibnu Abbas r.a. bermaksud: “Memikirkan kebaikan merangsang kita untuk mengamalkannya. Dan menyesali keburukan merangsang kita untuk meninggalkannya.” Terima kasih dengan sokongan anda yang berterusan terhadap Hidayah selama ini.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

Jangan Bercakap Hal Dunia Dalam Masjidil Haram

MAKKAH adalah tanah haram. Ertinya, kita dilarang melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t.
Banyak perkara dan perbuatan dilarang dilakukan di bandar suci ini. Diantaranya, kita tidak boleh memburu binatang, tidak boleh bunuh membunuh seperti haiwan dan lain-lain lagi lebih-lebih lagi insan sesama insan. Apakah lagi untuk mereka melakukan perkara-perkara “haram” seperti merompak, mencuri dan lain-lain, kerana Makkah terutama di Masjidil Haram itu adalah untuk kita beribadah dan berzikir kepada Allah. Selain dari perkara “haram”, ada juga perkara makruh dari dilakukan di tanah suci Makkah. Ada sebahagian kita, kadang-kadang bercakap hal-hal duniawi dalam masjidil Haram. Ada diantara kita bertanya itu dan ini kerana berjual beli. Kita bertanya kawan-kawan yang baru tiba dari kampung tentang kampung kita, apa ada berita tentang kampung dan sebagainya. Maklumlah orang kampung baru tiba... Sebenarnya, hal-hal ini adalah dilarang, dan tidak dibenarkan bercakap hal-hal keduniaan. Kita juga dilarang untuk mencari benda-benda kita yang hilang didalam masjidil Haram. Kita juga dilarang untuk bertanya barang-barang kita yang hilang itu. Kita juga dilarang meminta-minta didalam masjid atau dengan meminta sedekah sebagaimana yang berlaku tidak lama dulu.
Tetapi sekarang telah tidak terdapat lagi orang-orang meminta-minta sedekah dalam masjidil Haram, kerana pegawai-pegawai atau pun polis menjaga dengan keras dan ketat sekali. Kalau ada orang-orang yang meminta-minta, maka orang itu akan ditangkap. Sebenarnya, Islam melarang untuk meminta-minta dalam Masjidil Haram.
Sekarang ini kadang-kadang terdapat juga dimana selesai kita solat, ada orang datang menemui kita bercerita mengenai kesulitan-kesulitan yang dihadapi, atau pun berlaku “musibah” terhadap dirinya. Ini dimakruhkan melakukan perbincangan itu didalam masjid. Juga termasuk yang dimakruhkan dimana kita berbincang mengenai sesuatu barang, atau pun mengenai berpergian dan kepulangan seseorang itu dan lain-lain lagi. Kita yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah menjadikan Masjidil Haram dan Baitullah untuk keperluan berzikir sahaja kepada Allah s.w.t. dan hendaklah kita berusaha sedaya yang boleh untuk melupakan hal ehwal dunia.
Dalam hubungan ini, sahabat Nabi s.a.w., Anas r.a. telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Makkah dibangunkan atas kemakruhan duniawi dan darjat Syurga.” Ada ulama pentafsirkan sabda: “Atas Kemakruhan duniawi”, mengandungi pengertian bahawa sesungguhnya Makkah bukanlah sebuah negeri yang makmur, sebab ia merupakan sebuah pergunungan yang tandus dan berhawa panas. Di samping itu penghidupan di sana termasuk paling berat dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain. Allah Yang Maha Kaya telah menggantikan keadaan itu dengan melipat gandakan kebajikan yang tidak terdapat pada negeri-negeri lain.
Allah juga menjadikan suatu musim haji yang datang setiap tahun sebagai sumber pendapatan tetap dan merupakan asas penghidupan mereka. Seandainya tidak ada dua perkara tersebut, nescaya Makkah hanya akan dihuni oleh beberapa orang. Adalah diriwayatkan dari Sufyan bin Uyainah, dari Abdul Karim Aljazry bahawa Nabi s.a.w. pernah mendengar seorang berkata: “Siapa yang memerlukan unta merah?” “Semoga engkau tidak menemukannya,” sahut Baginda. “Untuk inikah Masjid ini dibangunkan?” Sufyan bercerita kepada kami daripada Amr bin Dinar, daripada Tahwus, bahawa Nabi s.a.w. pernah seorang mengumumkan bahawa barangnya hilang di masjid, maka Baginda bersabda kepadanya: “Semoga engkau tidak akan menemukannya.” (Al-Azragy).
Ibnu Uyainah mendengar Razin hamba Ibnu Abbas berkata: “Ali bin Abdillah bin Abbas pernah menulis surat kepadaku meminta mengirim sebiji batu dari marwah kepadanya untuk dijadikannya sebagai alas sujud.” (Al-Azraqy) Menurut setengah ulama, kita tidak dibenarkan meniru tindakan Ali tersebut. Sekiranya ada tuntutan, maka yang ada adalah keterangan dalam sebuah hadis sahih: “Bumi dijadikan sebagai masjid dan alat bersuci untuku (Muhammad s.a.w.)” Dan hadis: “Dimana pun engkau mendapati waktu solat, maka solatlah.” Oleh yang demikian menurut setengah ulama, tindakan membawa batu dari Makkah untuk tujuan ibadah dan lain-lain merupakan tindakan “bidaah” yang tidak pernah dilakukan, baik Rasulullah s.a.w. mahupun para sahabatnya. Kata ulama lagi: “Apakah kita menemukan suatu keutamaan yang belum mereka temukan? Ataukah kita telah memperhatikan suatu peribadatan yang belum pernah mereka perhatikan?” Abdul Aziz bin Abi Ruwad menceritakan: “Aku mendengar beberapa orang fuqaha menyatakan bahawa seseorang dimakruhkan membawa tanah atau batu dari tanah haram ke tanah halal dan juga sebaliknya, atau mencampur satu sama lain.”
Abdul Majid juga menceritakan, sebahagian gurunya pernah bercerita bahawa pada suatu hari Ibnu Zubair mendatangi Maqam Ibrahim untuk melakukan solat di belakangnya. Tiba-tiba beliau mendapati sekeping batu putih yang terletak di sana, maka beliau bertanya: “Batu apakah ini?”. Lalu seorang memberitahu bahawa batu itu berasal dari tempat ini dan tempat itu diambil dari tanah haram.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Tragedi Kisah Dua Al-Hafiz

PETANG itu terasa begitu sejuk bagi Suryaman, 34. Kesejukan itu bukan kerana hujan yang cukup lebat dan bukan kerana penghawa dingin di ruang atasnya saja, tetapi juga kerana keputusan ‘dingin’ pimpinan perusahaannya itu. “Malam ini, kamu harus memimpin penggalian dua buah kubur di Tanah Perkuburan Umum itu,” perintah Supangat. Suryaman agak keengganan. Dia menggumamkan sesuatu. “Putusan itu tak sesuai dengan hasil mesyuarat pagi tadi. Kenapa putusan itu berubah begitu cepat? Ada apa-apakah ini?” bisik batinnya yang tidak dapat menerima. “Saya percayakan kepada kamu, Suryaman,” tegas ketuanya itu lagi. “Kamu pasti dapat mengarahkan anak buahmu untuk bekerja cepat.” Suryaman mengangguk-angguk, tak bercakap apa-apa. Sebenarnya, pekerjaan membongkar kuburan lama bukanlah hal baru baginya. Sebagai seorang supervisor di sebuah syarikat yang bergerak dalam bidang pembangunan, ia sering dipercayai untuk mengurus pembebasan tanah beserta segala hal yang menyangkut dengan tanah yang hendak dibebaskannya itu. Dan memindahkan jenazah ke tanah perkuburan lain adalah salah satu dari tugasnya. Sebabnya, tanah yang akan dibangunkan taman perumahan itu kerapkali adalah melibatkan tanah-tanah perkuburan yang jenazah-jenazahnya harus dipindahkan. Pekerjaan itu selalu dilakukannya pada malam hari. Alasan utamanya untuk menghindari atau menarik perhatian masyarakat setempat atas pekerjaan yang dilakukannya. Kalau masyarakat sekitar ikut menyaksikan proses pemindahan jenazah itu, bukan mustahil, hal-hal yang tidak diinginkan akan terjadi. Terlebih jika masyarakat menyaksikan sesuatu yang aneh saat penggalian kubur dilakukan, maka hal-hal aneh yang remeh temeh itu, akan menjadi sebuah berita besar dan akan menyebar begitu cepat, sehingga memunculkan reaksi yang bermacam-macam. “Kamu siap melakukannya malam ini, Suryaman?” Suryaman mengangguk tanda setuju. “Semua izin sudah diuruskan. Jika ada sesuatu yang tidak diinginkan, kamu boleh melapor ke pegawai berkenaan terdekat,” jelas Supangat. Suryaman kembali menganggukkan kepalanya.

Penggalian Yang Menegangkan
Selepas isyak, Suryaman dan lima orang para pekerjanya sudah berada di kawasan tanah perkuburan berkenaan. Segala kelengkapan membongkar semula dua kubur lama itu untuk mengumpulkan tulang belulang jenazah sudah disiapkan. Sebuah kenderaan juga sudah tersedia untuk mengangkut tulang-belulang yang sudah terkumpul ke tempat yang sudah ditentukan. Cuaca malam itu begitu sejuk. Suryaman nampak tak bergairah sangat dan lebih banyak termenung saat berada di kawasan tanah perkuburan itu. “Nampak seperti tak bersemangat aje, ada apa-apa ke bang?” tanya salah seorang anak buahnya separuh bergurau.
Suryaman tersenyum mendengar teguran anak buahnya itu. “Lebih baik kita mulai saja. Semakin cepat kita mula, makin cepat kerja ini dapat kita selesaikan.” “Dan semakin cepat kita pulang,” “Ya.. ya. Kita mulai sekarang,” sahut Suryaman. “Penggalian di sisi Timur, saya yang uruskan. Dan di sebelah Utara, Kasmir yang jadi ketuanya,” putus Suryaman. Keputusan itu segera dipatuhi. Dua kumpulan penggali langsung terbahagi dua dan menjalani tugas masing-masing. Angin malam yang basah berhembus mengiringi pekerjaan Suryaman dan kawan-kawan.
Kesejukan semakin kuat membungkus. Keadaan seperti itu, bagi kawan-kawan Suryaman tidaklah menganggu, sebab dengan menggali dan terus bergerak, hawa dingin yang membungkus tubuh mereka bertukar dengan peluh membasahi tubuh. Namun, hal itu tak terjadi bagi Suryaman. Selaku ketua penggalian, ia lebih banyak melihat dan mengatur saja kawan-kawannya bekerja sehingga, hawa sejuk itu tetap dirasakannya. Selain bergelut dengan rasa dingin, Suryaman juga bergelut dengan satu ketegangan yang ia sendiri tak tahu penyebabnya. Di sela ketegangannya itu, seorang penggali berteriak. “Aduh! Bau busuk apa ini?” Penggali itu melepaskan cangkul dan menekup hidungnya. Reaksi yang sama juga dilakukan temannya, sehingga kerja menggali terhenti sebentar. Bau busuk yang menyengat membuat dua orang penggali itu mencari sehelai kain untuk menutup hidung. Kerana tak ada kain, terpaksa mereka membuka sarung kaki yang mereka pakai untuk menutup hidung. Suryaman pun berusaha menutup hidungnya dengan sapu tangan. Namun, setebal apa pun sapu tangannya, bau busuk itu tetap menerobos indera penciumannya. “Bagaimana, bang? Nak terus ke tidak ni..?” tanya anak buah Suryaman.
“Teruskan!” perintah Suryaman. Mereka berdua terus bekerja. Namun, salah satu dari mereka kembali berteriak. “Jenazah utuh!” suara keras itu membuat Suryaman melongokkan kepalanya lebih jauh. Dan ia melihat tangan jenazah yang utuh dengan daging dan kulit masih bagus. “Teruskan penggalian! Tapi hati-hatilah, jangan sampai jenazah itu rosak!” teriak Suryaman seraya perasaannya kembali tegang. Dua penggali kubur itu bekerja dengan sangat hati-hati. Namun pekerjaan itu meraka rasakan sangat menyeksan. Selain aroma busuk yang membuat dada sesak, pemandangan dari jenazah yang ditemukan membuat mereka takut. Wajah jenazah itu berbulu dengan kuku-kuku tangan yang panjang membelit sebahagian dada. Walaupun dibayangi rasa takut, Suryaman dan dua pekerjanya terus melakukan pekerjaan, mereka secara perlahan mengangkat dan meletakkan jenazah itu di atas gundukan galian tanah yang masih basah. Malam itu, di atas gundukan tanah yang agak basah, terbujur kaku sekujur jenazah yang sudah dikebumikan belasan tahun, tetapi jasadnya masih bagus. Hanya saja, jasad itu berbau busuk, wajahnya seram dan ditumbuhi bulu. Kuku-kuku tangannya pun tampak panjang, membelit sebahagian dadanya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Cara Menyelamatkan Diri Kita Dari Seksa Kubur

BAGI umat muslim, ada caranya semasa di dunia untuk mereka menyelamatkan diri dari seksa kubur. Ulama tersohor, Imam Ibnu Qayyim dalam kitab “Ar-Ruh” ada menjelaskan sebab-sebab yang boleh menyelamatkan hal ini. Kalau kita ingin mengelakkan diri atau pun selamat dari seksa kubur atau cara ialah berusaha menjauhkan penyebabnya. Dalam sebuah kitab agama yang menerangkan tentang “Alam Akhirat” menyebutkan ketika seorang hamba yang salih diletakkan dalam kuburnya, maka amalan-amalan salihnya datang mengelilinginya dan menghampirinya. Dalam masa Malaikat Azab datang untuk mengazabnya, maka datanglah semua amalan yang dibuatnya sama ada di dunia dulu menghalang dari diazab. Sembahyang, puasa, zakat, sedekah, haji dan berbuat baik, berbuat kebajikan adalah amalan-amalan baik yang kita lakukan di dunia dulu yang mengelilingi kita dalam kubur akan membantu dari diazab oleh para Malaikat Azab. Itulah disebutkan tadi, kita boleh menyelamatkan diri dari seksa kubur dengan syarat sentiasa menjalankan perintah Allah dengan penuh ikhlas dan redho. Dalam kitab itu disebutkan bahawa orang-orang yang semacam inilah yang amalan-amalan mereka akan menjadi hujah untuknya dan membelanya. Sebab manusia itu berbeza-beza keadaan dalam keikhlasan amalannya. Kalau kita lihat dalam perkara yang menyebabkan seksa kubur itu bukan hanya dosa-dosa besar, bahkan dosa kecil pun termasuk penyebab terjadinya seksa kubur. Patutlah Nabi s.a.w. pun mengatakan, seperti dalam pembahasan “Himpitan Kubur,” bahawa pada umumnya manusia yang dimasukkan ke liang lahad itu akan dihimpit oleh kubur. Kata baginda s.a.w. jarang orang yang selamat. Tidak ada yang selamat daripada seksa kubur kecuali para nabi, para syuhada dan orang-orang yang salih. Orang-orang yang derhaka kepada Allah akan diseksa di dalam kubur. Kalau kita ingin selamat daripada azab kubur hendaklah kita menjauhi perkara-perkara yang menyebabkan seksa kubur itu. Kalau kita sudah terlanjur mengerjakan perkara-perkara seperti di atas hendaklah segera bertaubat. Di samping itu kita disuruh membaca Al-Quran, terutama surah yang dapat menyelamatkan kita dari seksa kubur. Ibnu Qayyim dalam kitabnya ‘al-Ruh’ menceritakan riwayat Ibnu Hurnaid, dari Ibrahim bin al-Hikam, dari ayahnya, dari Ikrimah, katanya, Ibnu Abbas r.a. berkata kepada seorang lelaki: “Perlukah aku berikan kepadamu satu khabar gembira?” Lelaki itu menjawab: “Ya”. Ibnu Abbas berkata: “Bacalah surah al-Mulk, pelajari, hafaz dan ajarkan kepada keluarga atau anak-anakmu di rumah atau kepada tetanggamu, kerana ayat itu dapat menyelamatkan engkau daripada tragedi hari kiamat dan seksa kubur.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku senang apabila surah itu berada dalam hafalan setiap seseorang daripada umatku.” Abu Umar bin Abdil Barr berkata: Benar-benar dari Rasulullah bahawa baginda bersabda: “Bahawa surah yang berisi tiga puluh ayat itu memberi syafaat bagi pembacanya hingga mendapatkan ampunan.” Memelihara solat dengan baik termasuk perkara yang menyelamatkan seseorang di dalam kubur. Imam Ahmad bin Hajar al-Haitami dalam kitabnya al-Zawajir menyebutkan: Tersebut dalam hadis: “Siapa yang menjaga solat lima waktu, maka Allah akan memuliakannya dengan lima perkara:
• Dihindarkan daripada kesempitan hidup.
• Dihindarkan daripda seksa kubur.
• Dia akan menerima kitab amalnya dengan tangan kanannya.
• Berjalan di atas sirath (titian) bagaikan kilat.
• Masuk syurga tanpa hisab.”
Sedangkan orang yang menyia-yiakan solat mendapat ancaman seksa sebanyak 15 ancaman. Dari lima belas ancaman itu, lima di antaranya akan diterimanya di dunia, tiga pada waktu matinya, tiga di dalam kubur dan tiga ketika keluar atau berbangkit dari kubur.
Hukuman di dunia ialah:
• Dicabutkan keberkatan umurnya.
• Dihapus tanda orang salih dari mukanya.
• Tiap amal yang dikerjakannya tidak diberi pahala oleh Allah.
• Doanya tidak dinaikkan ke langit.
• Tidak dapat bahagian dari doa orang-orang salihin.
Hukuman ketika mati:
• Mati dalam keadaan hina.
• Mati dalam keadaan lapar.
• Mati dalam keadaan haus.
Hukuman di dalam kubur:
• Disempitkan kuburnya sehingga hancur tulang-tulang rusuknya.
• Dinyalakan api dalam kuburnya.
• Didatangkan kepadanya ular yang bernama syuja’ Matanya dijadikan dari api sedangkan kukunya daripada besi. Setiap kuku panjangnya perjalanan sehari.
Sedangkan hukuman ketika berbangkit dari kuburnya ialah:
• Dihisab dengan teliti.
• Allah murka kepadanya.
• Dimasukkan ke dalam neraka.
Bersedekah juga dapat mengurangkan seksa kubur.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Nabi s.a.w. Melihat Dua Orang Kena Seksa Dalam Kubur

SETELAH jenazah dikebumikan di liang lahad, dan kita semua pun pulang, bagi jenazah mendengar selipar yang kita pakai itu dimana dia dengar yang menghantarkan dia tadi, dan pulang ke rumah. Setelah itu datang dua malaikat bertanya. Apa yang ditanya sudah dijelaskan keluaran bulan lalu. Berada di alam kubur (barzakh) bererti kita sudah berada disatu alam lain. Alam ini lebih luas, lebih canggih dan lebih segala-galanya. Alam itu tidak sama dengan alam dunia, yang tidak canggih, sempit dan berbagai masalah yang kita hadapi. Sebenarnya, orang yang sudah meninggalkan dunia yang fana ini tugasnya sudah selesai. Di dalam ini, dia tidak perlu lagi nak beramal dan sebagainya. Orang itu hanya menerima balasan sahaja, sama ada yang baik atau pun sebaliknya. Ini bergantung kepada amal semasa berada di atas muka bumi. Selepas Munkar Nakir menemui mayat, maka berlakulah sebab-sebab mengapa mayat diseksa atau pun sebaliknya? Dalam kitab-kitab agama ada disebutkan begini:
“Dalam hadis ada disebutkan bahawa Nabi s.a.w. pernah melihat dua orang sedang diseksa di dalam kubur. Mereka diseksa bukan kerana kesalahan berat, yang seorang gara-gara tidak mahu istinja’ (tak cuci sesudah kencing), dan seorang lagi gara-gara suka menyibarkan fitnah.” Penyebab pertama kerana meninggalkan taharah yang diwajibkan. Perkara ini nampaknya macam remeh sahaja, tetapi hukumnya wajib. Apabila seseorang itu tidak membersihkan kemaluannya setelah kencing, bererti badannya dalam keadaan bernajis, begitu juga pakaian seluar dalamnya. Perkara ini nampak kecil, tetapi pengaruhnya amat besar. Ramai orang terutama kaum lelaki, terpaksa meninggalkan sembahyang gara-gara seluar dalamnya tidak bersih. Orang yang seluar dalamnya tidak bersih tidak mungkin dapat mengerjakan solat kerana tempat membuka seluar dalam, apa lagi menyimpannya tidak mengizinkan. Jadi, gara-gara seluar dalam tidak bersih terpaksa tinggallah sembahyang. Begitu juga kalau kita pergi ke pejabat-pejabat atau ke pasar. Begitu juga yang menyebabkan seseorang diseksa di dalam kubur kerana menyebar fitnah. Memang gara-gara fitnah dapat membuat masyarakat menjadi kacau bilau, bahkan terkadang membuat orang sampai berbunuh-bunuhan. Sebenarnya banyak lagi perkara yang menyebabkan si mayat diazab di dalam kubur. Untuk lebih lengkapnya di bawah ini saya petik sebahagian isi kitab al-Ruh, karangan Ibnu Qayyim: “Azab kubur berlaku kerana maksiatnya hati, mata, telinga, lisan, perut, kemaluan, tangan, kaki, badan semuanya. Maka dusta, fitnah mencaci, mengumpat, iri hati, dengki, zalim, saksi palsu, menuduh orang, buruk sangka, mengajak bidaah, mengatakan sesuatu tentang Allah dan rasulNya tanpa dasar ilmu dan wahyu, makan riba, makan harta anak-anak yatim, makan hasil suap (rasuah), makan harta dengan jalan tidak halal, minum minuman memabukkan, berzina, mencuri, khianat, membuat rancangan jahat, mengharamkan yang halal atau mengharamkan yang halal, berhukum dengan selain kitab Allah, berfatwa bukan dari nas kitab dan sunah, membantu dalam kejahatan dan permusuhan, membunuh jiwa yang diharamkan Allah, ingkar kepada zat, sifat dan af’al Tuhan kerana mendahulukan akal atau rasionalnya, mempolitikkan sunah dan agama Allah kerana kepentingan dirinya, membangun masjid di kuburan, mendengarkan lagu-lagu yang membawa kepada kekafiran, curang dalam timbangan, sombong, riyak, merendahkan kedudukan manam-mana sahabat Nabi s.a.w., menghina kaum salafus salih dan imam mujtahid, mendatangi ahli nujum atau dukun bertanya dan membenarkannya, menjual ayat-ayat Allah dengan dunia, lebih mementingkan dunia daripada akhiratnya, memandang lebih benar pendapat akal dan imam daripada kitab dan sunah, tidak merasa bertanggungjawab atas keutuhan umat Islam, mematikan syiar agama, munafik, musyrik, meremehkan kewajipan agama, bersumpah palsu, dan yang paling berat adalah kekafiran. Semuanya termasuk melanggar perintah Allah dan melakukan laranganNya. Semua ini menyebabkan berlakunya azab kubur, terhitung sebagai dosa kecil dan besar, berat dan ringan. Jika kebanyakan manusia berbuat seperti itu, maka kebanyakan ahli kubur mendapatkan azab dan kebanyakan manusia menjadi ahli neraka. Jika kebanyakan ahli kubur mendapat azab, maka nampak di luar kubur seperti tenang-tenang saja, (tanah, batu, pasir yang tidak bergerak), padahal di dalam terjadi kegaduhan dan peristiwa yang cukup dahsyat. Bukankah hal itu yang menjadikan kuburan sebagai lubang api neraka?” Ada juga yang diseksa di dalam kubur gara-gara tidak pernah mandi junub. Aban bin Abdullah al-Bajali berkata: “Ketika tetangga kami mati, maka kami hadiri jenazahnya hingga dimandikan, bahkan kami ikut menghantarnya ke kubur. Ketika akan dimasukkan ke liang lahad, tiba-tiba ada binatang semacam kucing. Penggali kubur cuba menghalau kucing tersebut tetapi tidak mahu pergi. Setelah berkali-kali dihalau namun tidak mahu juga pergi, penggali kubur itu mencangkulnya dengan cangkul, tetapi sang kucing tidak mahu berganjak. Akhirnya terpaksa dipindahkan ke kubur lain.
“Setelah digali di tempat lain jumpa lagi binatang seperti kucing tadi. Orang-orang yang menggali pun sudah menyerah kalah, dan kami terus saja memasukkan mayat ke dalamnya dan menimbusnya dengan tanah. Setelah ditumbuni tanah, kami mendengar suara tulang yang dikeramas oleh binatang itu. Setelah selesai ditanam, mereka pergi menceritakan kepada isterinya, sekaligus menanyakan apa yang telah dilakukan oleh suaminya. Lalu isterinya berkata: “Dia biasanya tidak mandi janabat.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Menilai Bangsa Israel Dalam Al-Quran

BANGSA Israel, atau resminya adalah Israel, merupakan bangsa yang sering diperbincangkan dimerata dunia. Sejumlah media di luar negeri, termausk di negara kita ini, tak pernah ketinggalan memberitakan sikap politik luar negeri Israel ketika sedang bergolak, terutama mengenai konflik perebutan tanah dan wilayah dengan Palestin.
Namun, selain media akhbar, sejak 14 abad silam al-Quran sudah memberi banyak maklumat mengenai bangsa yang satu ini. Banyak ayat al-Quran menggambarkan sikap dan perilaku mereka. Salah satunya adalah ayat berikut ini: “Hai Bani Israel, ingatlah akan nikmatKu yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan (ingatlah pula) bahawasanya Aku telah mengutamakan kamu atas bangsa-bangsa lain.” (QS. al-Baqarah: 47) Ayat ini diawali dengan harfu nida’ (huruf panggil). Yang dipanggil adalah Bani Israel, atau keturunan bangsa Israel. Di ayat sebelumnya, ada sepuluh seruan dan empat larangan yang ditujukan kepada bangsa ini. Isi seruan pertama di ayat ini juga sama dengan isi seruan pertama di ayat ke-40 dari QS. al-Baqarah, yakni seruan untuk mengingat nikmat Allah. Pengulangan harfu nida’ di ayat ini, menurut Ibnu Katsir, ulama tafsir, menunjukkan betapa Bani Israel telah banyak melupakan jejak-jejak sejarahnya sendiri. Padahal jejak-jejak sejarah mereka adalah jejak-jejak kenabian, jejak-jejak risalah, jejak-jejak kemuliaan. Yang juga bererti jejak ilahiah. Ayat di atas secara sederhana dapat difahami bahawa bangsa Israel diharuskan mengingat kenikmatan yang telah Allah berikan, mengingat mereka adalah bangsa yang telah dianugerahi Allah sebagai masyarakat yang memiliki keunggulan dan kelebihan dibanding bangsa lain. Ayat di atas juga dipertegas dalam QS. al-Maidah: 20. “Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi diantaramu, dan dijadikanNya kamu orang-orang merdeka, dan diberikanNya kepadamu apa yang belum pernah diberikanNya kepada seorang pun diantara umat-umat yang lain.”

Keturunan Para Nabi
Mari kita lihat bagaimana bangsa Israel dinilai Allah sebagai bangsa yang memiliki keunggulan dan kelebihan dibanding yang lain. Menurut catatan sejarah, bangsa Israel adalah anak keturunan Nabi Ya’qub, iaitu anak Nabi Ishaq dan cucu Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ya’qub semasa hidupnya tinggal di Nablus, daerah Kan’an, Palestin. Ia memiliki keturunan yang kemudian tersebar ke dalam 12 suku di sana. Jumlahnya kurang dari 100 orang dan hidup sampai 500 tahun lebih. Salah satu keturunan bangsa Israel adalah Nabi Yusuf a.s. Semasa hidupnya ia berusaha mengumpulkan kembali keturunan Nabi Ya’qub yang sudah menebar di sepanjang pantai Laut Tengah sampai daerah Iraq bahagian utara. Selain Nabi Yusuf, yang juga keturunan Israel adalah Nabi Harun, Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, dan Nabi Isa. Ini menunjukkan bahawa bangsa Israel memang berasal dari keturunan para Nabi dan Rasul yang mulia. Allah telah melebihkan mereka terhadap bangsa lain di masa lampau kerana kala itu mereka telah mempunyai peradaban dan kebudayaan yang tinggi, misalnya bangsa Mesir dan penduduk tanah suci Palestin. Lebih daripada itu, menurut Ibnu Asyur dalam Tahrir wa Tanwir, kelebihan yang telah dikurniakan Allah kepada mereka adalah kerana nenek moyang mereka sangat berpegang teguh kepada sifat-sifat yang mulia dan menjauhi sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan jelek kerana setiap orang yang dirinya mulia dan dilebihkan dari orang-orang lain tentu ingin menjaga kehormatan itu, sehingga ia menjauhi sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan rendah. Mereka pernah dimuliakan, melebihi bangsa dan suku yang lain kerana mereka adalah penerima waris ajaran tauhid nenek moyang mereka, iaitu ajaran tentang percaya kepada Allah Yang Maha Esa. Namun, sayangnya, kemuliaan yang telah Allah anugerahkan itu tidak mereka syukuri. Mereka menutup hati untuk menerima petunjuk dari manapun, sebab mereka merasa Sya’bullah al­Mukhtar, yakni bangsa kepunyaan Allah yang telah dipilih. Quraish Shihab, ahli tafsir terkenal menyatakan, bahawa penyakit kebanggaan seperti ini menimbulkan permusuhan dengan bangsa lain. Bahkan, penyakit semacam ini telah berlarut-larut dan mengendap hingga ratusan tahun. Sikap sombong Bani Israel di zaman para Nabi ternyata masih membekas hingga kini. Cuba saja kita tengok tingkah laku dan perilaku bangsa ini. Sepertinya mereka lebih senang dengan permusuhan daripada perdamaian. Mereka lebih senang dengan peperangan daripada persahabatan.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Siapakah Sebenarnya Ahlus Sunah Wal Jamaah?

DALAM apa juga perdebatan, perbahasan mengenai masalah ajaran sesat, fahaman salah, soal “ahlus Sunnah Wal Jamaah” mesti timbul. Siapakah yang sebenarnya Ahlus Sunnah Wal Jamaah itu? Ramai yang bercakap dan mendakwa tentang perkara ini. Tetapi apabila ada tokoh agama atau pun ulama bertanya, apa itu Ahlus Sunnah Wal Jamaah, mereka tidak boleh menjawab dengan betul. Mereka terpinga-pinga apa itu sebenarnya ahlus Sunnah Wal Jamaah itu sebenarnya. Benda ini, kena baca kitab. Kita menghadap tuan guru. Kena mengaji dengan tuan-tuan guru yang muktabar. Kalau kita tak mengaji, dan tidak belajar ilmu agama, tidak buka kitab agama, tak rajin mendengar, tak rajin bertanya, sengaja tak mahu ambil tahu, sampai bila pun kita akan jadi “buta kayu”, dan akan terus meraba-raba. Cerita mengenai Ahlus Sunah Wal Jamaah terlalu panjang. Ia kita bermula dari akar umbinya. Kita tak boleh ambil tengah-tengah. Main ambil sekerat-sekerat saja, kemudian yang sekerat lagi itu kita tinggalkan. Kisahnya dari “dua aliran Hijaz dan Irak”. Dalam sejarah syar’i sumber hukum dalam Islam (setelah wafatnya Rasulullah s.a.w.) pada masa sahabat ada dua, iaitu Al-Quran dan As-Sunah, dan juga Ijma’ Sahabat. Khalifah kadang-kadang memilih mana yang lebih maslahat. Pendapat sahabat biasanya sebagai ijtihad saja. Apabila perasaan sahabat berselisih pendapat bukan kerana salah faham, tetapi kerana memahami lafaz-lafaz dalam Quran dan Sunah yang maksudnya berbagai-bagai. Ada sahabat mengatakan maksud lafaz itu maksudnya begini, dan yang lain kata maksudnya begitu. Sebab-sebab lain kerana hadis-hadis yang berbeza riwayatnya. Ada orang suka pakai perawi ini, ada yang suka pakai perawi itu. Yang lain kerana perbezaan hasil ijtihad dari para sahabat. Ada lagi masalah-masalah lain sehingga menimbulkan perbezaan pendapat. Kadang-kadang disebutkan juga tentang nas tidak terang tujuannya, maka timbul berlainan faham. Pada suatu ketika terjadi dimana ramai para sahabat meninggalkan Madinah dan Makkah dan mereka ke kota-kota yang baru membangun. Disana mereka mengajar ilmu agama berdasarkan ilmu (termasuk hadis) yang mereka ada. Oleh kerana ilmu dan pengertian mereka tidak sama, dan hadis yang mereka miliki juga tidak sama, maka bahan dari ilmu yang mereka miliki pun tidak sama. Dalam hal ini, maka timbullah perselisihan pendapat kerana hal-hal disebutkan di atas. Sebenarnya, banyak hal lain lagi. Disebabkan hal di atas, maka timbullah dua aliran besar dikalangan ulama dan kaum mujtahidin. Golongan pertama: Aliran pertama: Golongan ahli al-hadis iaitu mereka yang hanya berpegang kepada sunah, setelah al-Quran. Mereka mengeluarkan hukum-hukum dari hadis-hadis yang telah mereka terima, dan tidak mahu menggunakan pendapat qiyas. Kebanyakan dari aliran ini adalah ulama dari Hijaz seperti daerah Makkah dan Madinah dimana para sahabat Nabi s.a.w. tinggal di sana. Aliran kedua pula: Golongan ahli al-Ra’ya atau qiyas, iaitu mereka menetapkan hukum dengan hadis, apabila tidak didapati dari hadis mereka gunakan qiyas. Kebanyakan mereka ialah ulama dari Irak dan daerah-daerah yang tidak banyak terdapat sahabat-sahabat Nabi s.a.w. Pada waktu itulah timbul perselisihan faham sehingga menimbulkan fenomena menyalahkan pihak itu dan ini, dan berbagai penafsiran ayat Quran dikeluarkan.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Jenayah Melampau Kezaliman Berleluasa

DUNIA sekarang memang akhir zaman. Jenayah-jenayah besar kecil berlaku dimana-mana. Dunia Islam, dan bukan Islam juga berlaku jenayah berat dan ringan. Perbuatan bunuh membunuh berlaku dengan ganas dimana orang-orang tak takut lagi dengan hukuman Allah s.w.t. Sehingga orang membakar orang pun berlaku di mana-mana sekarang ini. Para ulama dulu-dulu lagi sudah jelaskan bahawa apabila hal-hal serupa ini terjadi, dunia ini sudah berada pada akhir zamannya. Dunia ini sudah hampir kepada penghujungnya iaitu hampir “kiamat”. Perkhabaran yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. bahawa Nabi Isa a.s. turun untuk membetulkan umat Islam yang sudah kafir, akhirnya usaha Nabi Isa itu berjaya dan dapat menyatukan semula akidah umat Islam. Apabila Nabi Isa wafat, untuk beberapa ketika dunia ini dalam keadaan “aman damai sentosa”, maka timbul semula keadaan sebagaimana berlakunya dalam keadaan kita sekarang . Dan keadaan itu akan lebih teruk lagi, kata para ulama yang banyak mentelaah kitab-kitab agama yang menceritakan mengenai bab menjelang kiamat kelak Kata para ulama, orang-orang pada ketika itu sudah tidak ikut aturan dan undang-undang Allah. Hukum ditangan sendiri. Siapa kuat, siapa gagah, siapa punya wang melimpah ruah, siapa yang punya pengaruh besar dan kuat, maka orang itulah “Raja” dan berkuasa. Akhirnya, dalam dunia ini sudah tidak ada lagi orang menyebut nama “Allah”, tidak ada lagi beribadah. Kehidupan manusia ketika seperti binatang yang hidup dalam belantara. Maksiat berlaku dimana-mana. Orang boleh berzina di depan mata dan di depan orang ramai. Rasa malu sudah hilang, sudah dicabut dari jiwa mereka. Segala macam bentuk “maksiat”, “mungkarat” berlaku didepan mata. Tidak ada yang tegur. Kuasa ditangan sendiri waktu itu. Dengan keadaan yang wujud itu, Allah tidak perlu lagi mahu memanjang usia dunia ini dan berlakulah “KIAMAT”. Ia akan terjadi pada hari “JUMAAT”. Demikian menurut yang dijelaskan dalam agama. Apakah kejadian-kejadian atau pun peristiwa yang terjadi sekarang mencerminkan bahawa dunia hampir kepada kiamat?

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Tuesday, May 10, 2011

Pemuda Yang Teguh Memegang Tali Islam

MALAM menebarkan warna hitam pekat. Gelap di segala penjuru. Cakrawala serupa gugusan yang membentang luas, seperti hamparan tanah kosong. Hanya kelap kelip bintang-bintang yang bertebaran: memancarkan sinar keemasan. Kerlipan serupa jejak kunang-kunang yang berterbangan di angkasa dan setiap bintang meninggalkan kerlip-kerlip cahaya. Langit serupa hamparan kain hitam dengan bercak sinar berterbaran di mana-mana memantulkan warna kuning bagai memercikkan lidah api. Di hamparan padang sahara itulah, Saad bin Abi Waqqash berdiri mematung. Sendiri. Sejauh mata memandang, hanya bentangan samar dan tampak hampir gelap. Ia mendongak ke angkasa. Ia melihat awan berarak. Bulan yang hampir purnama tertutup arak-arakan awan. Sinar lembut rembulan meninggalkan bias, memantulkan cahaya redup saat menampar matanya. Sesaat kemudian, rembulan tiba-tiba muncul dari balik awan. Ia melihat dengan jelas; bulan yang hampir purnama. Sa‘ad merasa tubuhnya ringan. Ia pun merasa dapat terbang dengan mudah, ia melangkah ke angkasa dan mengambang di langit, kemudian mendekati rembulan itu. Tapi dalam perjalanan itu, tiba-tiba ia terkejut dan hairan. Kerana ia melihat ada beberapa orang yang telah masuk Islam duduk berkerumun. Di antara mereka itu adalah Zaid bin Haritsah, Ali bin Abi Thalib dan Abu Bakar bin Abu Quhafah. Sa’ad benar-benar terkejut ketika melihat mereka. Mata Sa’ad hampir tak percaya dengan apa yang ia lihat. Ia merasa tak yakin dengan penglihatannnya. Ia kemudian mengedipkan mata. Berkali-kali. Tapi, orang-orang yang sudah masuk Islam dan duduk berkerumun itu tetap tampak di depan mata Sa’ad. Ia tak yakin dengan apa yang ia lihat di hadapannya itu. Ia membulatkan pandangan matanya. Pandangan orang-orang itu tampak dengan jelas. Maka Sa’ad kemudian mengutarakan sebuah pertanyaan, “Sejak bila kalian di sini?” “Satu jam yang lalu,” jawab mereka hampir serentak. Setelah meragukan dengan apa yang ia lihat, lantas ia mengutarakan pertanyaan dan ternyata dijawab, Sa’ad menjadi yakin bahawa apa yang ia lihat itu nyata. Ia pun ingin mengajukan pertanyaan lagi. Tapi betapa terkejutnya kerana ia tiba-tiba saja terbangun. Ia pun sedar, bahawa apa yang ia lihat tadi ternyata hanya sebuah mimpi. Tetapi, segumpal pertanyaan kemudian menggumpal di benak Sa‘ad ketika ia cuba mengingat-ingat mimpi yang baru tadi ia alami. Ia takjub dengan mimpinya itu, dan ingin rasanya ia meneka-neka apa makna di balik mimpi yang ia alami itu. Ia pun berusaha menangkap peristiwa menakjubkan itu dan masih digelayuti pertanyaan, yakni peristiwa apakah yang akan terjadi di balik mimpi tersebut? Tepat tiga hari sejak mengalami mimpi menakjubkan itu, Sa’ad mendengar khabar bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyebarkan agama Islam. Tapi, waktu itu Rasulullah s.a.w. masih menyebarkan Islam dengan cara sembunyi-sembunyi. Itu awal mula dakwah Rasulullah, dan orang-orang kafir Quraisy masih cukup kuat mencengkeram bumi Makkah. Maka, keadaan itu membuat Rasulullah kemudian memilih berdakwah dengan cara sembunyi-sembunyi. Khabar itu pun membuat Sa’ad seketika penasaran. Ia ingin tahu, apa yang terjadi dan apa yang sebenarnya disebarkan oleh Rasulullah. Rasa ingin tahu Sa’ad seperti tidak terbendung lagi. Rasa penasaran itu mengumpal dalam dada, mengocak-ngocak hulu hati Sa’ad sehingga ia tidak kuat menahan dorongan untuk segera menemui Rasulullah secara langsung. Akhirnya, Sa’ad pun mencari tempat Rasulullah menyebarkan agama Islam. Ia melangkahkan kaki, sampai menyusuri lembah, demi satu keinginan untuk mengubati rasa penasaran yang menggumpal di dada.
Saat itu, Rasulullah sedang berada di lembah Liyad dan baru selesai menunaikan ibadah solat. Setelah menempuh perjalanan, akhirnya ia pun dapat menjumpai dan bertemu dengan Rasulullah. Tapi, betapa terkejut, hairan dan nyaris tak percaya kerana bersama Rasulullah saat itu, ada tiga orang yang duduk mengelilingi Rasulullah dan ketiga orang itu adalah orang-orang yang pernah Sa’ad lihat dalam sebuah mimpinya di hari beberapa malam lalu.
Seketika itu, Sa’ad merasa apa yang ia lihat dalam mimpinya itu kini terjawab. Ia pun seperti mendengar sebuah suara ghaib, suara yang membuat ia tak dapat berpaling lagi dari apa yang ia lihat di depan mata. Ia pun merasa bahawa inilah jawapan dari makna mimpi yang ia alami. Tak salah, jika Sa’ad merasakan cahaya Islam telah menyusup ke dalam hatinya dan mendorongnya untuk segera memeluk Islam. Dan Sa’ad benar-benar merasakan satu kemuliaan kerana ia mendapatkan sepercik cahaya Islam; cahaya yang akan memancar dengan cemerlang di masa depan. Khabar Sa‘ad memeluk Islam, ternyata, tidak dapat disembunyikan lagi. Apalagi, khabar itu kemudian berhembus dengan kencang di tengah-tengah keluarga Sa’ad. Khabar itupun akhirnya diketahui oleh ibu Sa’ad. Ibunya terkejut. Sebabnya, Sa’ad adalah anak yang taat dan patuh kepada kedua ibu bapanya. Maka, hal itulah yang mampu menggoncang hati ibu Sa’ad. Tubuh ibunya bergetar, ketika khabar itu sampai ke telinganya. Ibu Sa’ad benar-benar merasa tidak percaya dengan pilihan yang sudah diambil Sa‘ad. Bagaimana boleh seorang anak yang berbakti kepada kedua ibu bapa boleh sampai meninggalkan agama ayah dan ibunya? Itulah secuil rasa tidak percaya ibu Sa’ad ketika ia mendengar khabar Sa’ad telah masuk Islam. Maka, ketika Sa’ad ada di hadapan ibunya, si ibu pun seperti ditikam kecewa, nyaris ditikam amarah. Hatinya gundah. Jiwanya resah. Telinganya memerah. Seketika itu, ia pun ingin mendengar pengakuan langsung dari Sa’ad. “Agama apa yang engkau peluk itu, Sa’ad? Apa agama itu membuatmu berpaling dari agama ayah dan ibu?” tanya ibunya, membentak, “Tinggalkanlah agama itu atau aku akan berhenti makan hingga aku mati. Jika itu sampai aku lakukan, maka kau tidak akan dapat mengelak lagi. Kau akan menyesali kematianku. Dan orang-orang akan mengenangmu sebagai seorang anak yang telah membunuh ibunya sendiri.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Surat 'Sakti' Ibnu Taimiyah Untuk Raja

SEPUCUK surat pendek yang dikirimkan Ibnu Taimiyah benar-benar menggetarkan hati raja. Padahal, sebelumnya, nyaris raja sudah mengalah dan lebih memilih meninggalkan daerah kekuasaannya untuk menyelamatkan diri dari amukan musuh. Tetapi, coretan Ibnu Taimiyah yang mengobarkan semangat jihad dan berbau ‘ancaman’ itu sanggup menyedarkan kembali dirinya ehwal pentingnya mempertahankan negeri.

Mencari Jalan Keluar
Lelaki tua dengan sorot mata tajam itu menggerakkan kedua tangannya. Masih terbayang di kepalanya tentang peristiwa tragis 30 tahun silam. Saat itu, Tartar yang ganas mengamuk bagai angin puting beliung dari arah Timur.
Semua penduduk meninggalkan kota dan kampung yang sudah penuh dengan lautan api. Tidak cukup di situ, bala tentara Tartar juga membangun ‘piramid’ dari tengkorak manusia korban pembunuhan. Banjir darah menggenangi setiap tempat. Jalan-jalan dilumuri warna merah yang mengerikan. Lelaki bernama Ahmad Taqiyuddin Ibnu Taimiyah itu masih teringat ayah, ibu dan beberapa anggota keluarganya yang masih tersisa. Mereka melarikan diri bersama jutaan orang yang takut mati dan menggantungkan diri pada nasib. Ia juga teringat seorang kanak-kanak yang kurus kering, membelalakkan matanya kerana takut dan cemas seraya bertanya ibunya, “Kenapa kita meninggalkan tanah kelahiran dan tempat kita,?” Tak ada jawapan yang ia dengar kecuali teriakan-teriakan orang yang panik, tatapan sedih, putus asa, keluhan, kematian dan darah. Disekanya air mata yang hampir menitis. Kemudian ia bangkit. “Saudara-saudara tahu, apa yang terjadi hari ini?” tanyanya tegas.
“Yang ia maksudkan adalah serigala manusia yang siap menerkam kita di luar Damaskus (Damsyik) sambil menjulurkan lidahnya seperti ular kotor yang menghisap darah kita,” bisik salah seorang. “Bukan, Saudara. Bukan Tartar yang kumaksud,” sahut Ibnu Taimiyah sambil menggelengkan kepalanya. “Maksud Guru?”
“Yang kumaksudkan, perpecahan di antara kita adalah sumber malapetaka dan awal kekalahan.” Ibnu Taimiyah diam sesaat. Lalu melanjutkan kata-katanya dengan sedih, “Lihatlah! Kaum Muslimin telah bercerai-berai. Mereka saling bermusuhan. Apakah penduduk Damaskus akan selamanya menjadi pelarian?” Ibnu Taimiyah menganggap pernyataan sikap sudah mendesak dilakukan. Penyebab krisis yang hampir menjatuhkan mereka ke dalam bahaya besar harus segera dilenyapkan. Ia merasa bertanggungjawab atas semua ini, kerana ia dianggap pemimpin tanpa mahkota yang punya kedekatan dan dipercayai masyarakat. Ia harus melakukan sesuatu sampai badai krisis ini berhenti. Tentera Tartar yang berkuasa selama 30 tahun harus dikalahkan. “Aku ingin ada seseorang yang menyebarkan berita di kota,” kata Ibnu Taimiyah seraya menoleh kepada para sahabatnya.
“Kami siap,” jawab salah seorang. “Beritahu saja, `Hai Penduduk Damaskus! Jangan sampai ada yang bepergian tanpa memakai tanda pengenal.” “Apa Guru yakin, cara ini berkesan untuk mencegah mereka supaya tidak melarikan diri?” “Kita kepung semua penjuru. Para penjaga yang meronda di kota harus siap siaga. Aku sendiri akan menyusur jalan-jalan kota, pasar-pasar dan masjid-masjid serta mengajak penduduk untuk berjihad dan berjuang mati-matian untuk mempertahankan negeri dan akidah kita.” “Ini perang kesabaran, Guru. Kita harus bersabar sampai Nasir dan pasukannya tiba,” salah seorang berkata. “Sabar macam apa? Sementara tentera Tartar menyerang seperti halilintar yang menyambar-nyambar. Bergerak dengan kecepatan tinggi dan tahu-tahu sudah ada di hadapan lawan. Kita harus seperti kura-kura, harus cepat menghimpun kekuatan,” seru Ibnu Taimiyah. Saat itu, masuklah Syarafuddin, saudara kandung Ibnu Taimiyah. “Ahmad, ada utusan datang dari Mesir,” katanya terburu-buru. “Assalamu’alaikum, Kawan. Ada khabar apa? Beritahulah!” ucap Ibnu Taimiyah tatkala melihatnya. “Wa’alaikumsalam,” jawab si utusan. “Ada berita baikkah?” “Berita buruk, Tuan.” Utusan itu diam sejenak lalu berkata, “Habis sudah harapan kita, Tuan. Pasukan Mesir telah kembali ke Kaherah kerana takluk. Nasiruddin memilih menyelamatkan diri dan meninggalkan Syam.” Ibnu Taimiyah terkejut. Kesedihan menggelayut di wajahnya. “Melarikan diri? Bodoh!”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Ketika Islam Hadir Di Guangzhou

INI cerita tentang sebuah video. Seorang lelaki bermata sepet dan bertubuh kecil tampak menghadap sebuah pintu bangunan dengan takzim. Setelah hadap diri dan hatinya tampak sempurna, keluarlah sebuah lantunan suara yang sangat popular di dunia: azan. Suara lelaki itu tampak tertekan dan lafaz teks azannya agak samar dan terpatah-patah, tapi ia sangat khusyuk dan sungguh-sungguh. Itulah suasana azan yang tampak di salah satu masjid di Guangzhou, China, yang dirakam seorang pelancong muslim yang boleh kita lihat di youtube.com. Si perakam video terpesona kerana ia menjawab alunan itu dengan takbir yang bergetar. Video lain sangat melimpah, seperti tiga orang lelaki warga emas yang berdiri bersama dan tekun melafazkan pembacaan al-Quran. Di kota yang pernah menganjurkan sukan Asia itu, memang merupakan kota istimewa jika dikaitkan dengan Islam. Kita dapat melihat keistimewaannya Guangzhou dari cerita Mohammed Khamouch, peneliti dari Foundation for Science Tecnology and Civilisation. Sebelum tahun 500 Masehi - dan kerananya sebelum berdirinya Islam -, pelaut Arab telah membentuk hubungan perdagangan dengan “Kerajaan Tengah” (China).
Kapal Arab berani berangkat dari pelabuhan Basrah di hujung Teluk Arab dan juga dari kota Qays di Teluk Parsi. Mereka berlayar ke lautan Hindi melewati Sarandip (Sri Lanka), Selat Malaka dan memasuki Laut China Selatan. Mereka mendirikan pos perdagangan di selatan timur pantai pelabuhan kawasan China Selatan itu, menetap di sana, dan juga sangat mungkin menerima Islam pertama kali saat “pergi-balik Cina-Arab” untuk urusan perniagaan. Dan pos perdagangan itu tak lain adalah Guangzhou. Guangzhou disebut Khanfu oleh orang Arab dan juga disebut Kota Zaitun. Unggul posisi geografi, Guangzhou memainkan peranan penting sebagai pusat perdagangan tertua dan kota pelabuhan antarabangsa China. Dialah pintu gerbang selatan negeri China terhadap dunia luar. Sungai Mutiara (Pearl River), sungai ketiga terpanjang di Cina, yang mengalir menyusuri kota dan bermuara di Laut China Selatan, juga menghubungkan Guangzhou dengan Hong Kong dan Macau. Sejarah China awal sudah menyebut kata Arab dan kerajaannya dengan sebutan Madinah. Islam dinamai agama murni (Yisilan Jiao). Saat Khalifah Uthman bin Affan r.a. berkuasa, ia mengirim delegasi ke China yang dipimpin oleh Sa’ad bin Abi Waqqas yang juga bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. dari sebelah ibu. Kedatangan Sa’ad juga diabadikan sejarah China awal. Melalui catatan sejarah itu Sa’ad diceritakan membawa hadiah dan diterima dengan mesra di istana kerajaan oleh Maharaja Kao-tsung. Raja, setelah melakukan penelitian tentang Islam, memberikan persetujuan umum untuk agama baru yang ia anggap selaras dengan ajaran Konfusius - walau ibadah solat dan puasa dianggap cukup berat. Namun Sa’ad diberi kebebasan menyebarkan dakwahnya.
Sa’ad kemudian menetap di Guangzhou dan membangun Masjid Huaisheng yang menjadi tonggak penting sejarah Islam di China. Khamouch menyaksikan sendiri di masjid itu masih ada sebuah al-Quran tua yang ditulis dengan tangan. “Saya beruntung pernah bersolat di tempat sepenting ini,” ujar Khamouch.

Mengenang Nabi s.a.w.
Masjid Agung Guangzhou adalah sebuah monumen untuk mengenang Nabi Muhammad s.a.w. Disebut juga masjid Guangta, namun tetap paling popular dengan sebutan Huaisheng yang menempati tanah seluas 2,966 meter persegi. Bangunan ini juga disebut menara api kerana adanya sebuah menara setinggi 36.3 meter yang menjadikannya bangunan tertinggi di daerah ini. Dahulu kala, menara ini berfungsi layaknya sebagai mercu tanda yang memandu kapal-kapal dagang yang datang. Seni reka bantuk menara memberikan kesan Arab kerana berbentuk silinder sederhana dengan kubah di atasnya, tak seperti bangunan gaya Tiongkok yang lebih banyak lengkungan. Masjid Huaisheng menyatu dengan lingkungannya yang indah dan semulajadi. Di depan masjid itu tergantung sebuah papan bertuliskan bahasa Arab yang berbunyi, “Masjid Pertama di Tiongkok.” Hiasan dalaman masjid dipenuhi tulisan Arab dan petikkan al-Quran dan ukiran yang menandai empat kali pemulihan bangunan tersebut, yakni pada zaman Dinasti Yuan, Ming, Qing dan terakhir tahun 1935. Masjid ini banyak dikunjungi oleh umat muslim dari berbagai pelusuk dunia untuk melakukan solat sekaligus bersilaturahmi dengan umat muslim di tempat ini. Musa bin Sayid, salah seorang pengurus masjid, menyebut Huaisheng adalah salah satu masjid tertua di dunia. Jonathan Neaman Upman dalam bukunya Familiar Strangers A History of Muslim in Northwest China menyebut masjid ini didirikan pada abad VII sekitar tahun 650. Jika itu benar, masjid ini telah berdiri 1,350 tahun, hampir seusia Islam itu sendiri. Lokasi masjid memang agak tersembunyi kerana berada di antara beberapa rumah susun yang padat dan tak dapat dilalui kenderaan awam. Walaupun begitu, kegiatan masjid tetap ramai kerana ikatan persaudaraan antara muslim di tempat itu sangatlah kuat. Setiap Jumaat, jemaah berduyun-duyun ke masjid ini, baik warga tempatan dan warga kota lain yang sengaja datang. Yang agak mengganggu hanyalah penjagaan polis yang memeriksa setiap jemaah yang masuk dengan pengimbas logam. Mungkin kerana dianggap warisan klasik, masjid ini mesti dijaga dengan ketat Masjid Huaisheng mirip dengan tokong di Indonesia. Bezanya di sini lebih banyak kaligrafi yang menghiasi bangunan. Ada beberapa paviliun di masjid dan sebuah hall yang cukup besar di tengah-tengah bangunan. Jemaah sering solat di hall ini jika ruangan utama masjid tak mampu menampung jemaah. Ramainya jemaah di Huaisheng membuat penduduk lokal bingung dengan apa yang mereka lakukan. Namun lambat laun mereka mengerti dan mulai tahu bahawa Guangzhou ternyata sangat dekat dengan sejarah Islam.

Menguat
Peninggalan Islam yang lain di Guangzhou adalah Masjid Hao Pan, yang dibangun pada masa Dinasti Ming pada tahun 1465. Letaknya di Jl. Hao Pan no.378 dan menempati kawasan seluas 1491 meter persegi. Masjid ini termasuk masjid yang sangat penting di Guangzhou kerana Universiti Islam pertama di China didirikan di sini. Juga beberapa majalah Islam diterbitkan di sini. Sebelum dan selama Revolusi Budaya oleh pemerintah komunis, menyebabkan masjid ini ditutup dan dijadikan ‘kilang’, kemudian mulai dibuka kembali pada bulan Mac 1998, juga dijadikan sebagai Pusat Pelatihan Bahasa Arab Guangzhou sejak September 1998. Masjid yang lain di Guangzhou adalah Dongying Mosque yang dibangun oleh Tentara Hui pada masa dinasti Ming. Menurut sejarah, usianya lebih dari 500 tahun. Bertempat di Jalan Yue Hua no.1, masjid ini juga melayani pemakaman untuk warga muslim di Guangzhou. Satu lagi peninggalan Islam di Guangzhou adalah Pusara Abu Waqqas sebagai penyebar agama Islam pertama di Guangzhou. Biasa di sebut juga Makam Shabi, yang menurut sejarah berumur lebih dari 1,300 tahun. Letaknya di jalan Jie Fang Bei no.901 dan merupakan tempat ziarah yang didatangi oleh umat Islam dari dalam dan luar China sejak ratusan tahun lalu. Namun ahli sejarah Arab menyangkal keberadadan makam ini kerana menyebut Sa’ad meningal di Madinah.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Ketika Suami Sedang Berduka

SUATU ketika Rasulullah s.a.w. pernah dilanda risau luar biasa. Rasa hatinya tak karuan. Rasulullah bimbang melihat para sahabatnya yang menolak cukur rambut dan menyembelih haiwan korban. Padahal yang demikian itu merupakan sebahagian dari aturan syari’at Islam guna menunaikan ibadah haji. Saat itu, Rasulullah menyepakati perjanjian Hudaibiyah, sementara para sahabat inginnya berperang saja. Rasulullah tidak selesa menghadapi tipu helah kafir Quraisy di meja perundingan, namun ia pun tak sampai hati melihat penolakan sahabatnya. Keadaan hati para sahabat kala itu sedang membara kerana sikap kafir Quraisy yang sudah begitu lama menindas dan memerangi Islam, sehingga ketika menanggapi sebuah masalah, para sahabat ingin cepat selesai saja. Alih-alih mereka “malas” mentaati perintah Rasulullah. Tak mendapat tanggapan sewajarnya dari para sahabat membuat Rasulullah sedikit kecewa terhadap mereka. Guna menenangkan hati yang kesal, Rasulullah masuk ke dalam khemah. Di sana, si isteri, Ummu Salamah r.a. langsung menangkap gelagat tak mengenakkan itu. Segeralah ia menghibur suaminya. Ketenangan yang ditampakkan Ummu Salamah tanpa sedar memancing Rasulullah menumpahkan keluhnya secara panjang lebar. Ummu Salamah sendiri memahami ‘kelelahan’ batin suami dan para sahabat. Bagaimanapun, bertahun-tahun hidup dalam tekanan acapkali membuat batin manusia mudah rapuh dan goyah. Salah-salah malah tergelincir ke dalam kubangan dosa. Dari situlah Ummu Salamah berusaha bertindak menenangkan keadaan sebaik mungkin. Dia mampu memberi sesuatu yang positif dengan menyuntikkan semangat bahawa selalu ada harapan di tengah situasi sesulit apapun. “Wahai Nabi Allah, sebaiknya engkau keluar sendirian tanpa perlu bicara sepatah katapun kepada mereka. Sembelihlah sendiri haiwan korbanmu, lalu panggillah seseorang untuk mencukur rambutmu,” sarannya kala itu kepada suaminya.
Tanpa bicara sepatah katapun Rasulullah menuruti saranan isterinya. Ia langsung menyembelih haiwan korban dan mencukur rambut tanpa terlebih dulu menyerukannya kepada para sahabat. Di luar dugaan, tindakan ini cukup melecut hati dan fikiran para sahabat. Mereka malu orang yang mereka sanjung sudah memberikan contoh kebaikan namun mereka malah berpangku tangan. Maka saat itu juga, serentak mereka ikuti apa yang sudah diperbuat oleh Rasulullah. Kehadiran seorang teman yang menghibur ketika kita sedang dibeban persoalan, laksana menemukan awan sejuk dengan tiupan angin di tengah teriknya matahari. Kehadirannya sangat membantu sehingga persoalan yang menimpa boleh terlupakan sejenak, atau malah boleh jadi hilang sama sekali. Peranan teman yang demikian bagi seorang suami idealnya dia temukan dari isterinya. Sebaliknya, demikian pula si suami bagi isterinya. Seorang isteri harus dapat membuat tanggapan dan mampu membaca kerisauan hati yang tengah dihadapi suaminya. Tatkala gelagat tubuh menunjukkan sikap yang lain dari biasanya, segeralah mencari tahu gerangan apa yang menimpa. Jangan biarkan suami tenggelam dalam kerisauannya seorang diri. Bertindak menjadi pendengar yang baik baginya saja sudah cukup membantu. Kerana paling tidak, dengan mengeluarkan kesulitan di dadanya, suami akan merasa lega. Apalagi jika isteri dapat membantunya.

Ujian Material
Hal yang paling sering membebani urusan rumahtangga adalah material. Maka ketika suami sebagai tulang belakang keluarga, misalnya, terbelit ekonomi yang sulit, seorang isteri harus dapat memainkan peranannya. Dalam hal ini ia harus terus memberi dukungan penuh kepada suaminya. Langkah berikut, sebaiknya segera dilakukan oleh para isteri bila suami sedang berada dalam keadaan permasalahan ekonominya.

1. Jangan meremehkan.
Kehilangan pekerjaan bagi suami ibarat kehilangan statusnya sebagai ketua keluarga dan pemimpin rumahtangga. Semestinya sebagai ketua atau pemimpin ia mampu melindungi, namun kerana kehilangan pekerjaan, kini ketua rumahtangga itu tak lagi dapat melakukannya. Hilangnya status itu pun bukanlah kehendak atau kemahuannya. Maka sungguh tidak pantas jika anda (para isteri) meremehkan dia kerana tidak lagi memiliki pekerjaan.

2. Jangan mengeluh.
Sudah sepatutnya suami yang sedang dirundung duka tidak ditambah bebannya dengan banyak mengeluh di depan dia. Khuatir ia akan bertambah ‘stres’ dan ‘depresi’.

3. Jadikan hal ini sebagai ujian bersama.
Apapun musibah yang menimpa suami hakikatnya bukanlah persoalan peribadinya semata. Pasangan yang baik akan selalu merasa bahawa apa yang menimpa pasangannya merupakan masalahnya juga. Dengan begitu akan terjalin perasaan berkongsi kehidupan. Besarkan hatinya dan yakinkan dia. Dimana ada kemahuan pasti ada jalan selama masih terus berusaha. Tidak lagi berpenghasilan membuat banyak suami tak lagi percaya diri. Ia merasa tidak mampu menafkahi keluarganya. Alih-alih mereka malah tidak peduli pada keluarga serta ‘pasrah’ dengan keadaan yang ada. Mereka pun malah enggan berusaha untuk berubah. Jangan bosan untuk membesarkan hatinya bahawa ia pasti dapat melewati cubaan ini. Yakinkan dia untuk tetap berteguh hati, terus berusaha dan pantang menyerah.

4. Memotivasi terus-menerus.
Motivasi adalah semangat yang memompa orang untuk terus berbuat dan mencapai sesuatu yang didambakannya. Bila suami sedang mengendur, lemah dan tidak semangat dalam menjalani hari-harinya lantaran menganggur, inilah saatnya isteri memompa semangat suami untuk tidak menyerah pada keadaan. Ingatkan dia pada cita-cita membangun keluarga, sebagaimana cita-cita yang anda berdua rancang ketika pertamakali memulai hidup baru bersama.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Belajar Kasih Dari Pengasuh Rasulullah s.a.w.

KISAH kecil Rasulullah s.a.w. yang yatim piatu menyisakan kepiluan tak terperi. Seorang anak yang sedianya mendapat curahan kasih sayang dari ayah dan ibunya sejak kecil malah terpaksa merelakannya begitu saja. Allah s.w.t. telah menggariskan Nabi Muhammad s.a.w. sejak dalam masa kandungan ditinggal mati oleh ayahnya, Abdullah. Bahkan tak berapa lama kemudian, ibunya, Aminah, menyusul suaminya, Abdullah. Maka jadilah sejak itu Muhammad sebagai yatim piatu. Adalah satu nama yang tak dapat lepas dari kisah perjalanan masa kecil baginda adalah Ummu Aiman. Nama lengkapnya Barakah binti Tsa’labah bin Amru bin Hishan bin Malik bin Salmah bin Amru bin Nu’man al-Habasyiyah. Dialah tokoh perempuan yang sangat penyayang yang kasihnya tak berbeda jauh seperti seorang ibu kebanyakan. Perwatakan seorang ibu yang sangat didambakan seorang anak yatim piatu seperti Rasulullah. Ummu Aiman, dengan segenap kasih yang dimilikinya, mampu tampil sebagai ibu yang membelainya setiap saat, menemaninya di kala sendiri ataupun sedang dalam bepergian sekalipun.
Ketika itu penduduk Makkah sedang berkemas menghadapi datangnya pasukan gajah (dari Ethiopia). Mereka menggalang kesatuan dan persatuan, hidup saling bahu membahu guna menghadapi kedatangan pasukan tersebut. Di tengah kesibukan itu, Aminah binti Wahab, bonda Rasulullah membawa diri (uzlah), ingin mendapatkan ketenangan hati. Ia ingin membahagiakan anak yang berada dalam kandungannya, sebab sebentar lagi si bayi dalam kandungan tersebut diperkirakan akan keluar. Maksud lain dengan mengasingkan diri tersebut adalah agar Aminah tak terlalu merasa sedih dan pilu kerana kematian suaminya tercinta. Di saat seorang isteri yang tengah mengandung mendapat perhatian dari suami di sisinya, Abdullah bin Abdul Muthalib, namun hal tersebut terpaksa ia relakan. Namun Allah tak pernah tidur. Meski berat bagi seorang Aminah menjalani masa-masa itu, tentu saja ada skenario besar yang Dia persiapkan. Wanita itu seperti ditampakkan cahaya yang memancar jernih yang membawa kebahagiaan dan dapat melupakan kepedihan hatinya kerana ditinggal suami. Ia tetap dengan jiwa besar merawat kandungannya dengan baik. Bahkan tatkala Muhammad telah lahir ke dunia, orang-orang di sekitar pun bersukacita menyambutnya. Seakan status yatim sama sekali tidak disandangnya. Mereka berlumba-lumba menyayangi bayi lelaki Aminah yang memikat itu. Seiring dengan itu, Ummu Aiman, hamba wanita berbangsa Habsyah yang dimiliki ayah Muhammad telah berkhidmat pada Aminah. Perempuan itu pun tak sampai hati melihat bayi lelaki yang memikat itu. Setiap kali Ummu Aiman memandang si yatim, rasa kasih sayang selalu mengetuk palung jiwanya. Bahkan ia sangat mencintainya. Dengan sepenuh kesedaran dan keikhlasan, ia asuh si yatim dengan penuh cinta kasih seperti anak kandungnya sendiri. Curahan kasih sayang yang dilimpahkan Ummu Aiman, tanpa sedar mengundang iri wanita-wanita tukang menyusui. Kala itu, memang sudah kelaziman banyak perempuan-perempuan yang bersedia menjadi ‘ibu asuh’. Kehadiran Muhammad yang menarik mengundang decak kagum mereka, sehingga mereka berlumba mencari cara agar Muhammad kecil menjadi anak asuhnya. Dan berbagai cara pun diupayakan agar Ummu Aiman terpisah dari Muhammad. Cara-cara tak patut kala itu lama-kelamaan tak dapat ditoleransi. Situasi saat itu benar-benar tidak menguntungkan. Persaingan untuk mendapatkan si yatim semakin ketat, hingga Ummu Aiman kemudian memutuskan untuk membawanya ke daerah pegunungan, meninggalkan kota Makkah. Di lain sisi, perpisahan ini membuat Aminah binti Wahab merasa sedih dan hiba. Namun ia tetap bersabar dan tabah menghadapi realiti hidup. Setelah beberapa tahun hidup di pegunungan, si bayi yang telah tumbuh membesar kembali ke pangkuan ibu kandungnya, namun ia tetap diasuh oleh ibu asuhnya. Jadilah Muhammad hidup dalam dakapan dua ibu yang memiliki limpahan kasih sayang. Kala itu mereka sudah meninggalkan gunung dan beralih tinggal di kota Makkah.

Aminah Meninggal Dunia
Pada suatu hari, Aminah binti Wahab membawa Muhamamd kecil pergi ke Yatsrib (belum bergelar Madinah). Kala itu, ia bermaksud bersilaturahmi dengan sanak keluarga yang berada di sana. Ia mengunjungi Bani Najjar, yang merupakan rumpun keluarganya. Dalam kesempatan itu, Ummu Aiman pun ikut serta. Sejak kematian Abdullah, boleh dikatakan Ummu Aiman menjadi pelindung bagi keluarga Muhammad. Maka, kemanapun Aminah melangkah, Ummu Aiman siap sedia mendampinginya. Kunjungan silaturahim yang tak memakan waktu lama itu usai sudah. Aminah kembali membawa bayinya pulang ke Makkah. Namun di tengah perjalanan, belum jauh langkah kaki mereka meninggalkan kota Yatsrib, Aminah tiba-tiba jatuh sakit. Dan seketika ajal pun menjemputnya. Dan akhirnya bonda Muhammad itu akhirnya dimakamkan di desa Abwa’. Desa yang tak jauh dari makam suaminya. Dengan meninggalnya Aminah binti Wahab, bererti Muhammad kecil yang berada dalam pangkuan Ummu Aiman menjadi yatim piatu. Si pengasuh, Ummu Aiman yang menimangnya langsung memutuskan untuk kembali membawa Muhammad pulang ke Makkah menemui datuk dan bapa-bapa saudara Muhammad. Namun sejak itu pula Ummu Aiman berperanan sebagai ibu. Bukan sekadar mengasuh, namun juga membimbingnya sejak kecil bahkan hingga dewasa.

Dimerdekakan
Ketika Muhammad dewasa dan berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid, Ummu Aiman dimerdekakan. Sejak itu, hak-haknya sebagai manusia yang sedarjat dan tak lagi dipandang rendah oleh kebanyakan orang hilang lenyap. Sejak itu, ia semakin hidup secara layak, meskipun sebelumnya ia tetap diperlakukan terhormat selagi ia mengasuh Muhammad sejak kecil. Akan tetapi, status merdeka itu mahu tak mahu membayangi martabatnya sebagai manusia sebab perhambaan kala itu belum lepas. Ummu Aiman dinikahkan oleh Rasulullah dengan seorang penduduk Yatsrib yang telah lama menetap di Makkah, yakni ’Ubaid bin Al-Harits dari suku Khazraj. Dari pernikahannya dengan ’Ubaid, lahirlah Aiman. Aiman yang kelak ikut hijrah dan berjihad bersama Rasulullah s.a.w. dan gugur sebagai syahid dalam Perang Hunain. Pernikahan tersebut membawa kebahagiaan tak terkira bagi wanita pengasuh Rasulullah tersebut. Ia hidup berumahtangga penuh dengan kebahagiaan. Sejak itu, Ummu Aiman mengabdikan dirinya sebagai isteri yang mendampingi suaminya kemanapun ia membawanya. Ummu Aiman dibawa ke Yatsrib meninggalkan Makkah. Ia hidup di negeri kelahiran suaminya. Namun Allah mentakdirkan ia tak dapat mengecap hidup lama dengan suaminya. Sebab Allah lebih dulu mematikan Ubaid. Merasa sebatang kara, Ummu Aiman memutuskan kembali kepada anak susuannya, Muhammad s.a.w. sambil membawa Aiman, anak kandungnya. Sejak itu, Ummu Aiman dan anaknya, Aiman bin ‘Ubaid, tinggal di Makkah, hidup di bawah naungan Muhammad yang dulu pernah diasuhnya. Demikian besar jasa yang diberikan Ummu Aiman, sehingga Rasulullah pun memperlakukannya seperti layaknya ibu kandung sendiri. Kerana cinta dan besarnya perhatian Rasulullah kepada Ummu Aiman, ia pernah mengungkapkan perasaan kasihnya, sebagaimana kutipan dari Al-Waqidi dalam kitab Al-Ishabah: “Ibu pengasuhku adalah keluarga rumahku yang masih tersisa.” Maka, kepada Aiman bin Ubaid pun ia memperlakukan seperti adik kandung sendiri. Dan bagaimanapun, kenyataannya mereka adalah saudara sesusuan.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Iblis Tersenyum Kerana Wang

DALAM sebuah kitab agama, ada dinukilkan bahawa ketika mata wang “Dinar” diwujudkan pada suatu masa yang tidak disebutkan bila?, maka dikatakan “iblis” tersenyum melihatnya. Iblis berkata apa yang disebut dalam nukilan itu: “Benda inilah yang akan membantu aku untuk membawa manusia atau anak cucu Adam ke lubang neraka.” Bagi manusia yang tergoda dengan godaan syaitan, ternyata sekarang wang menjadi faktor utama menjadikan manusia terjerumus kedalam lubang “mungkar dan maksiat”. Lebih-lebih lagi kepada manusia yang lemah imannya dan tidak mempunyai pengetahuan agama, maka amat mudah sekali diselewengkan oleh syaitan dengan wang. Zaman mutakhir ini, ramai manusia tewas dalam hidupnya semata-mata kerana wang. Manusia menjadi tidak amanah kerana wang. Manusia jadi jahat kerana wang. Manusia jadi penipu, penyangak, penyamun jadi itu dan ini kerana wang. Semuanya ini diperolehi dari sumber yang “haram” yang tidak dibenarkan oleh agama yang menjadi pegang kita sebagai seorang Muslimin. Ada manusia memperolehi sumber wang itu dari kerja-kerja menipu dimana wang itu didermakan untuk membina rumah ibadah, rumah anak yatim, badankebajikan. Yang paling menyedihkan wang itu digunakan untuk tunaikan haji. Ini berlawanan dengan apa yang di perintahkan dalam “Kitabullah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.”, dimana menggunakan wang dari sumber yang haram adalah tidak dibenarkan. Ada satu kisah yang pernah diceritakan tentang bagaimana ada seorang yang tunaikan fardu haji dari sumber wang yang tidak betul. Orang ini bekerja sebagai pegawai yang meluluskan segala pinjaman. Sebagaimana biasa, kalau mahu segera, mahu cepat, mahu gunakan wang segera perkara pinjaman itu boleh diuruskan tetapi dengan syarat ada “komisen”. Inilah sumber wang yang tidak dibenarkan oleh agama. Kerajaan sendiri pun banyak mewujudkan “agensi” yang tertentu boleh mengeluarkan pinjaman bagi menolong orang-orang Melayu berniaga, anak-anak melanjutkan pelajaran, dan macam-macam benda yang lain.
Pinjaman-pinjaman itu boleh diaturkan dengan cepat, tetapi ada syarat tertentu yang dikenakan oleh mereka yang menjaga dan meluluskan pinjaman-pinjaman tersebut. Kalau yang datang atau pun yang memohon itu dari kalangan wanita, ada syarat yang lain pula. Aduan ada diterima, dan ada diantaranya diheret ke mahkamah kerana “tidak amanah” dan menyeleweng. Kemudian, hasil dari wang yang diperolehi secara “haram” itu diberi makan isteri, anak, ayah, ibu, ayah mertua dan orang-orang yang ditanggung. Di akhirat nanti didepan Allah dimana Allah sediakan “penghisaban” menyediakan “Mahkamah Allah” disana jawablah. Ketika itu tidak ada peguambela, dan ketika mulut kena kunci. Yang bercakap, kaki, tangan dan anggota badan yang melakukannya akan bercakap terus terang. Ada orang cari wang, cari rezeki berhempas pulas, peras keringat, banting tulang, keluar pagi, pulang malam kerana mencari rezeki dengan titik peluh sendiri. Yang satu golongan lain cuma mengambil hak orang. Ada orang pinjam wang “Dua puluh ribu ringgit”, kena bayar “dua puluh lapan ribu ringgit” kerana faedah dikenakan dalam pinjaman itu. Tetapi yang meminjam “dua puluh ribu” itu tidak dapat penuh apa yang dipinjam, kerana awal-awal lagi sudah dipotong oleh yang mengurus atau pun yang meluluskannya.
Inilah yang dikatakan merampas “hak orang”, memakan rezeki haram yang bersumber dari kerja-kerja haram.
Pada suatu ketika pemakan komisen ini mahu buat haji. Wang komisen ada dalam simpanan. Dia pergi, tetapi ada cerita lain disebalik pemergiannya itu. Dia mengalami berbagai kesulitan. Malah bas yang dinaiki juga mengalami masalah. Dia tahu, musibah itu berlaku kerana dia ada sama di dalam bas itu. Apa yang harus dia buat. Apakah dia mahu berterus terang? Atau pun dia buat diam-diam saja? Pada fikirannya, lebih baik dia berterus terang dengan mutawif (ustaz yang mengendalikan dia bersama jemaah lainnya buat haji itu). Dalam saat-saat yang genting itu, dia terus jumpa mutawif dan menerangkan kedudukan dirinya. Dia mendekati Mutawif dan terus berkata: “Saya yang menjadi sebab dan punca bas ini mengalami masalah.” Ustaz hairan dengan penjelasannya itu secara tiba-tiba saja. “Saya datang membawa dosa yang banyak. Saya datang ke sini dengan wang yang tidak halal,” katanya. Ustaz semakin bingung.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Penyambung Lidah Wanita Islam

DI HADAPAN Rasulullah yang tengah dikelilingi beberapa sahabat, puteri sahabat kaum Anshar itu bertanya secara terus terang terang. “Wahai Rasulullah, aku wakil kaum wanita kepadamu. Aku utusan jemaah muslimah di belakangku. Mereka semua berkata seperti perkataanku dan seperti pendapatku. Sesungguhnya Allah azza wa jalla mengutusmu kepada kaum lelaki dan kaun wanita secara keseluruhan. “Kemudian kami beriman kepadamu dan mengikutimu. Kami kaum wanita terbatas, terasing, duduk di dalam rumah, tempat bercengkerama bagi kaum lelaki dan orang-orang yang mengandung anak-anak kaum lelaki. Kaum lelaki diberi kelebihan atas kami berupa solat Jumaat, solat berjemaah, mengunjungi orang-orang sakit, menghantarkan jenazah, dan jihad di jalan Allah. “Jika lelaki berjihad, kami menjaga harta mereka, menenun pakaian mereka, dan mengasuh anak-anak mereka. Apakah kami juga sama dengan kaum lelaki dengan pahala dan kebaikan ini, wahai Rasulullah?”
Rasulullah yang mulia menolehkan wajah kepada para sahabat sambil berkata, “Apakah kalian pernah mendengar perkataan wanita yang lebih bagus pertanyaanya tentang agama dari wanita ini?” dan para sahabat menjawab, “Demi Allah, tidak pernah, wahai Rasul Allah. Kami tidak pernah melihat wanita sehebat wanita ini.”
Lalu Rasulullah menjawab pertanyaan bernas dari wanita ini, “Wahai Asma’, pulanglah dan katakan kepada wanita-wanita di belakangmu bahawa pergaulan salah seorang dari kalian yang baik kepada suaminya, usahanya untuk mencarikan keredhoan suaminya, dan mengikutinya dengan cara bersikap sama dengannya itu, sama dengan apa yang engkau sebutkan tentang kaum lelaki.” Dialah yang dikenal sebagai Asma’ binti Yazid, atau Ummu Salamah al-Anshariyah al Asyhaliyah, puteri dari Yazid bin As-Sakan dan Ummu Sa’ad binti Hazim bin Mas’ud bin Qala bin Harisy bin Abdul Asyhal. Dari pihak ibunda kefasihan Asma’ tak lepas dari kedalaman ilmu agama yang dia timba dalam madrasah Rasulullah. Keluarganya mula-mula menjadi kalangan Anshar pertama yang berbaiat kepada baginda Muhammad s.a.w. Asma’ binti Yazid pun termasuk wanita pertama Madinah yang berbaiat kepada Rasul, setelah sebahagian besar warga Makkah, tempat kelahiran Nabi s.a.w. sendiri, bahkan menolaknya dengan cara keji dan kasar.

Saksi Turunnya Ayat dan Hadis
Berkat ketokohan semacam Asma’-lah, hukum-hukum agama yang berkait dengan wanita berjaya dihurai dan diperjelas. Asma’ memang bukan gaya wanita sebagaimana layaknya perempuan yang penuh rasa malu ataupun takut dalam mempertanyakan hak-hak agama bagi kaum perempuan, sekalipun sewaktu-waktu Rasulullah sendiri hairan mengapa persoalan yang dianggap sudah jelas, oleh Asma’ masih diselidik dan diperhalusi. Namun semua itu membuat hukum agama menjadi lebih menyerlah.Hal tersebut saat Asma’ menanya perihal haid. “Salah seorang dari kalian,” ujar Rasulullah, “mengambil air dari pohon bidara, kemudian bersuci dengannya dan bersuci sebaik mungkin. Setelah itu, ia menyiramkan air tersebut ke kepalanya dan menggaruknya keras hingga mencapai seluruh kepalanya, kemudian menyiramkan air ke seluruh tubuhnya. Setelah itu, ia mengambil secarik kain (kini boleh menggunakan kapas) dari bekas yang diberi haruaman kasturi, lalu bersuci dengannya.” “Bagaimana cara aku bersuci dengan kain tersebut?” ujar Asma’. “Subahanallah,” sabda Nabi s.a.w., “Engkau bersuci dengannya.”
Lalu Aisyah r.a. berkata perlahan kepada Asma’, “Engkau bersihkan sisa-sia darah haid dengan kain tersebut.” Demikian jawapan Nabi s.a.w. dan penjelasan Aisyah atas pertanyaan Asma’ yang disahihkan oleh Bukhari.
Semangat besar Asma’ atas pengetahuan agama serta kesalahannya untuk segera melaksanakan warta Allah membuat dirinya dekat dengan Aisyah, yang kelak disunting oleh Nabi Muhammad. Aisyah senang dengan semangat Asma’ sehingga Asma’ pula yang diberi kepercayaan puteri Abu Bakar ini untuk menghias dirinya tatkala perayaan perkahwinan dengan Rasulullah dirasmikan. Kerana itulah, Asma’ mendapatkan julukan Asma’ Muqayyinah Aisyah Ummul Mukminin (Asnma’ sijuruhias ibu kaum mukminin Aisyah). Dari upacara pernikahan ini pula Asma’ mendapatkan pelajaran berharga ketika ia, atas izin Rasulullah, meminum air susu dari tembikar yang tertempel bekas bibir mulia Rasulullah. Asma’ menyampaikan tali riwayat mengenai keberkahan benda apapun yang pernah disentuh oleh Rasulullah s.a.w. Kedekatannya dengan Aisyah mahupun Rasulullah menyebabkan Asma’ sering mendapatkan warta-warta penting ilahi. Warta itu boleh jadi berkaitan dengan aturan atau hukum Islam, keberkahan, dan juga maklumat Al-Quran yang diperjelas oleh penjelasan Rasulullah, “Rasulullah s.a.w. berada di rumahku, kemudian baginda menyebutkan tentang dajjal.” Imam Ahmad memasukkan asas yang diriwayatkan Asma’ ini dalam hadis nombor 27566. Walau hukum tidak berlaku surut, kisah Asma’ mengenai “masa iddah” juga memberitahu kita mengenai berlakunya hukum baru dalam perceraian, sebagaimana tertera dalam Al-Quran: “Wanita-wanita yang ditalak hendaknya menahan diri (menunggu) tiga kali quru.” (QS. Al-Baqarah: 228). Maksud quru adalah haid atau suci. Asma’ menulis bahawa saat perceraiannya, ayat itu belum diturunkan, sehingga ia belum terkena aturan tersebut. Sebuah kisah dramatis turunnya surat Al-Maidah juga tak lepas dari kesaksian Asma’, “Aku memegang kendali Al-Adhba, unta Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba surat Al-Maidah turun kepada baginda. Kerana beratnya surah tersebut, nyaris mematahkan lengan unta tersebut.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Monday, May 9, 2011

Hikmah Dibalik Musibah Sakit

ORANG yang sedang ditimpa penyakit tidak perlu dicekam rasa takut selama ia mentauhidkan Allah dan menjaga solatnya. Bahkan, meskipun di masa sihatnya ia banyak berkubang dalam dosa dan maksiat, kerana Allah itu Maha Penerima taubat sebelum roh seorang hamba sampai di kerongkongan. Dan sesungguhnya di balik sakit itu terdapat hikmah dan pelajaran bagi siapa saja yang mahu memikirkannya, di antaranya adalah:

1. Mendidik dan menyucikan jiwa dari keburukan.
Allah Taala berfirman, ertinya, “Apa saja musibah yang menimpa kamu maka disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (QS asy-Syura: 30) Dalam ayat ini terdapat khabar gembira sekaligus ancaman jika kita mengetahui bahawa musibah yang kita alami adalah merupakan hukuman atas dosa-dosa kita. Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda: ”Tidak ada penyakit, kesedihan dan bahaya yang menimpa seorang mukmin hinggga duri yang menusuknya melainkan Allah akan mengampuni kesalahan-kesalahannya dengan semua itu.” Dalam hadis lain baginda bersabda: “Cubaan sentiasa akan menimpa seorang mukmin, keluarga, harta dan anaknya hingga dia bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak mempunyai dosa.” Sebahagian ulama salaf berkata, “Kalau bukan kerana musibah-musibah yang kita alami di dunia, nescaya kita akan datang di hari kiamat dalam keadaan bankrap.”

2. Mendapatkan kebahagiaan (pahala) tak terhingga di akhirat.
Itu merupakan balasan dari sakit yang dideritai sewaktu di dunia, sebab kegetiran hidup yang dirasakan seorang hamba ketika di dunia akan berubah menjadi kenikmatan di akhirat dan sebaliknya. Nabi s.a.w. bersabda, ”Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.” Dan dalam hadis lain disebutkan, ”Kematian adalah hiburan bagi orang beriman.” (HR. Ibnu Abi ad Dunya dengan sanad hasan). At Termizi meriwayatkan dari Jabir secara marfu’, ”Manusia pada hari kiamat menginginkan kulitnya dicabik-cabik ketika di dunia kerana iri melihat pahala orang-orang yang tertimpa cubaan/musibah.”

3. Allah dekat dengan orang sakit.
Dalam hadis qudsi Allah berfirman: ”Wahai manusia, si fulan hambaKu sakit dan engkau tidak menziarahinya. Ingatlah seandainya engkau menziarahinya nescaya engkau mendapatiKu di sisinya.” (HR. Muslim dan Abu Hurairah)

4. Sebagai tahap kesabaran seorang hamba.
Sebagaimana dituturkan, bahawa kalau seandainya tidak ada ujian maka tidak akan tampak keutamaan sabar. Apabila ada kesabaran maka akan muncul segala macam kebaikan yang menyertainya, namun jika tidak ada kesabaran maka akan lenyap pula kebaikan itu. Anas r.a. meriwayatkan sebuah hadis secara marfu’, “Sesungguhnya besarnya pahala tergantung pada besarnya cubaan. Jika Allah mencintai suatu kaum maka Dia akan mengujinya dengan cubaan. Barang siapa yang redha atas cubaan tersebut maka dia mendapat keredhaan Allah dan barang siapa yang berkeluh kesah (marah) maka ia akan mendapat murka Allah.” Apabila seorang hamba bersabar dan imannya tetap tegar maka akan ditulis namanya dalam daftar orang-orang yang sabar. Apabila kesabaran itu memunculkan sikap redho maka ia akan ditulis dalam daftar orang-orang yang redho. Dan jikalau memunculkan pujian dan syukur kepada Allah maka dia akan ditulis namanya bersama-sama orang yang bersyukur. Jika Allah mengurniakan sikap sabar dan syukur kepada seorang hamba maka setiap ketetapan Allah yang berlaku padanya akan menjadi baik semuanya. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua urusannya adalah baik baginya. Jika memperoleh kelapangan lalu ia bersyukur maka itu adalah baik baginya. Dan jika ditimpa kesempitan lalu ia bersabar maka itupun baik baginya (juga).”

5. Dapat memurnikan tauhid dan menautkan hati kepada Allah.
Wahab bin Munabbih berkata, “Allah menurunkan cubaan supaya hamba memanjatkan doa dengan sebab bala itu.” Dalam surat Fushilat ayat 51 Allah berfirman, ertinya, “Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila ia ditimpa malapetaka maka ia banyak berdoa.”
Musibah dapat menyebabkan seorang hamba berdoa dengan sungguh-sungguh, tawakal dan ikhlas dalam memohon. Dengan kembali kepada Allah (inabah) seorang hamba akan merasakan manisnya iman, yang lebih nikmat dari lenyapnya penyakit yang diderita. Apabila seseorang ditimpa musibah baik berupa kefakiran, penyakit dan lainnya maka hendaknya hanya berdoa dan memohon pertolongan kepada Allah saja sebagimana dilakukan oleh Nabi Ayub a.s. yang berdoa, “Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Rabbnya, ”(Ya Rabbku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang”. (QS. Al Anbiyaa’: 83)

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

Nabi s.a.w. Tak Pernah Mencela Makanan

DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa ia berkata, “Nabi s.a.w. tidak pernah mencela setiap makanan (yang dihidangkan kepadanya), tetapi jika ia menyukainya akan dimakannya. Sebaliknya, jika tidak, Nabi s.a.w. akan meninggalkannya (tanpa memperlihatkan ketidaksukaannya).” Dari hadis di atas, setidaknya, ada pesanan penting yang ingin disampaikan oleh Nabi s.a.w. terkait dengan makanan. Pertama, Nabi s.a.w. tidak pernah mencela makanan kerana makanan itu merupakan rezeki dari Allah. Jadi setiap rezeki yang datang dari Allah s.w.t. itu sudah sepantasnya disyukuri, bukan dicela. Kedua, dengan tidak mencela makanan, bererti itu menunjukkan sikap Nabi yang memiliki akhlak baik, kerana tak mahu melukai orang lain – orang yang telah memasak atau menghidangkan makanan tersebut. Kerana itulah, jika Nabi s.a.w. tak menyukainya, maka meninggalkannya dengan tanpa memperlihatkan rasa tidak sukanya. Keagungan sifat Nabi s.a.w. itulah yang menjadikan Nabi jadi teladan untuk dicontohi kerana Nabi tidak saja melarang umat Islam untuk mencela makanan, melainkan justeru meminta memuji makanan. Pada sisi lain, bahkan Nabi memberi tauladan untuk makan apa adanya, walau pun yang ada itu cuka. Suatu ketika, Nabi s.a.w. meminta lauk kepada salah seorang isterinya, lalu si isteri mengatakan, “Kami tidak punya lauk kecuali cuka.” Nabi s.a.w. lantas minta diambilkan cuka tersebut. Nabi mengatakan sambil memulai memakan dengan lauk cuka, “Sebaik-baik lauk adalah cuka, sebaik-baik lauk adalah cuka”. (HR. Muslim)

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...