Wednesday, May 11, 2011

Salam Kami Mei 2011

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Pembaca budiman, dalam kita bergelut mengejar masa, tak terasa masa terus merangkak menuju pertengahan tahun. Hanya beberapa bulan saja lagi kita bakal menyambut Ramadan 1432. Hidayah juga terus menemui anda. Sedaya upaya majalah ini terus berusaha untuk memenuhi kerohanian para pembacanya. Tak dapat dinafikan dalam mengejar kesibukan hidup sehari-hari, jiwa dan rohani kita perlu kepada pengisian agama sebagaimana perlunya pemakanan dalam menyihatkan tubuh badan. Menyedari hal itu, kita mengajak anda sama-sama berkongsi pengalaman merenungi pelbagai ragam hidup masyarakat di sekeliling kita. Itulah yang kami persembahkan kepada anda dengan pelbagai kisah iktibar pada setiap keluarannya. Antara kisah iktibar yang hebat kali ini ialah mengenai tragedi kisah dua Al-Hafiz yang mengalami dua nasib yang berbeza bergantung kepada amalan masing-masing. Iktibar kedua pula menggambarkan bagaimana seorang ‘tokoh’ agama yang disanjungi masyarakat menghadapi permasalahan waktu pengkebumiannya untuk dijadikan renungan bersama. Namun iktibar tiga pula kita paparkan betapa kejujuran dan istiqamahnya seorang pemuda dalam prinsip hidupnya membawa ‘tuah’ pada dirinya apabila dipertemukan jodoh dengan seorang wanita salihah. Disamping itu Hidayah turut memuatkan rencana mengenai seksa kubur, balasan dosa pahala dan sebagainya. Kita mengharapkan penghayatan anda terhadap rencana-rencana yang dipersembahkan ini dapat meningkatkan diri anda semoga termasuk dalam golongan orang-orang yang beramal salih. Rasulullah s.a.w. mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Seseorang itu menurut agama temannya. Maka lihatlah salah seorang kamu itu dengan siapa dia berkawan.” Diriwayatkan: “Berkawan dengan orang salih ibarat berkawan dengan penjual minyak wangi. Meskipun dia tidak memberi, anda akan tercium juga bau wanginya. Sementara berkawan dengan orang yang keji, ibarat berkawan dengan pemilik dapur. Walaupun dia tidak membakarmu, namun asapnya akan terkena anda juga...” Akhir sekali sama-samalah kita renungkan kata-kata Ibnu Abbas r.a. bermaksud: “Memikirkan kebaikan merangsang kita untuk mengamalkannya. Dan menyesali keburukan merangsang kita untuk meninggalkannya.” Terima kasih dengan sokongan anda yang berterusan terhadap Hidayah selama ini.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: