Tuesday, October 16, 2012

Variasari Keluaran Oktober 2012

Sudahkah anda memiliki Variasari edisi Oktober 2012? Kalau belum dapatkan segera sebelum kehabisan...

Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca yang sudi menatap majalah ini. Sokongan yang cukup memberansangkan hari demi hari amat kami hargai.

 
Variasari menyajikan anda bahan bacaan 100% misteri. Dijamin anda puas membaca kisah-kisah yang dipaparkan. Dapatkan segera majalah Variasari keluaran Oktober 2012 sebelum terlambat. 

Amaran keras: Ibu-ibu mengandung tidak di galakkan membacanya.Harga cuma RM3.00 saja

Siri Bercakap Dengan Jin





Anda sedang membaca kisah yang turut dibaca oleh ribuan pembaca setia Siri Bercakap Dengan Jin sejak berpuluh tahun lamanya. Ia makin hangat diperkatakan oleh pembaca Variasari generasi kini. Pastikan anda terus mengikuti cerita bersiri ini ...

Antara Yang Menarik Dalam Variasari Oktober 2012














Hidayah Oktober 2012

Hidayah keluaran Oktober 2012 sudah beredar di pasaran. Pastikan anda tidak ketinggalan memilikinya. Dapatkan segera sebelum kehabisan... Beli 2 naskhah...satu untuk anda satu lagi berikan pada jiran...!
Kami himpunkan
berbagai kisah-kisah menarik khusus buat tatapan anda untuk dijadikan iktibar. Isi kandungannya masih padat, cukup menawan sesuai dibaca semua lapisan masyarakat...Segera ke kedai-kedai buku berhampiran untuk mendapatkannya!

Senaskhah cuma RM3.90 sahaja

Iklankan Apa Saja Dalam Hidayah


Langganlah Segera Melalui Pos


Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Berlalunya Syawal, menjenguklah Zulkaedah dan bakal dikunjungi bulan Zulhijjah. Itulah pusingan setiap tahun yang akan kita lalui selagi hayat dikandung badan. Bulan ini juga merupakan bulan sibuk bagi bakal-bakal haji untuk persiapan bertolak ke tanah suci. Alangkah bertuahnya hidup ini apabila terpilih menjadi ‘tetamu Allah’. Kepada bakal-bakal haji, pergunakanlah kesempatan sebaik mungkin apabila berada di sana untuk melengkapkan erti hidup dan menjadi muslim yang sejati. Mudah-mudahan kembalinya anda ke tanahair menjadi ‘manusia baru’ lahir dan batin. Dan sentiasalah menjadi ‘tetamu-tetamu’ di masjid-masjid dan surau-surau yang berhampiran dengan kediaman anda, InsyaAllah. Hidayah sebagaimana biasa terus menemui anda. Sudah berbelas tahun dan kini kami temui anda dengan angka bilangan 170. Bererti sudah seratus tujuh puluh kali kita sentiasa berhubungan. Tanpa jemu, tanpa bosan dengan sokongan berterusan dari anda semua, Alhamdulillah. Kisah-kisah iktibar yang kami paparkan kali ini tetap menarik dengan pelbagai ragam dan karenah hidup manusia. Melalui iktibar 1 kita bentangkan nasib seorang anak yang menderhakai ibu bagaimana aibnya jenazah apabila dihurungi oleh lalat-lalat. Dan bagaimana murninya kasih sayang seorang ibu walaupun pernah dihalau dari rumah kerana menyebelahi isteri melebihi ibu kandung. Keluaran ini juga banyak rencana-rencana lain yang perlu anda hayati dan ambil manfaatnya seperti ‘Rahmat Allah teramat besar di syurga’, ‘Kisah penciptaan Nur Muhammad’, ‘Zikir penggugur dosa’ dan lain-lain lagi. Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang. Semoga anda tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada kami.
Wassalam

Pengarang,
Shahimisaifulislam&yahoo.com.my

Dajal Keluar Dari Kalangan Umat Muhammad

DALAM kitab agama dan dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. ada dijelaskan bahawa manusia akan menghadapi “fitnah” yang paling besar sekali ialah pada “akhir zaman”. Fitnah yang paling besar dan paling menakutkan ialah “fitnah” yang dibawa oleh “Dajal”. Dajal adalah manusia yang akan muncul diakhir zaman, di mana dunia hampir nak kiamat. Dia akan muncul di tengah masyarakat manusia dengan mengaku dirinya sebagai “Tuhan”. Dialah manusia yang jahat yang akan “menyesatkan” umat Islam ketika itu. Dalam cerita-cerita agama memang ada dijelaskan tentang manusia dajal ini. Dia diberi oleh Tuhan dengan kuasa ‘ajaib’ yang tujuan Allah semata-mata mahu menguji keimanan umat Islam diakhir zaman kelak. Itulah sebabnya dajal ini mengaku dirinya sebagai tuhan. Dia akan mempengaruhi orang ramai dengan berbagai perbuatan yang ajaib.
Sebelum Nabi Isa a.s. turun membunuhnya ketika dajal ini bermaharajalela ditengah-tengah masyarakat, maka dengan izin Allah dan sudah menjadi “Sunatullah” Nabi Isa akan turun ke bumi membawa syariat Nabi Muhammad s.a.w. dan menghidupkan semula akhirnya akan membunuh dajal yang dilaknat itu. Dajal tugasnya membawa fitnah. Semua orang difitnahkannya dengan berbagai-bagai perkara, termasuk mengistiharkan dirinya sebagai “tuhan”. Allah s.w.t. akan menguji iman umat Islam ketika itu, siapa yang terpedaya, dan siapa yang tidak. Nabi Isa a.s. akan turun untuk membunuh dajal yang ketika itu melakukan fitnah dalam masyarakat. Dari pelbagai hadis yang dihimpunkan para ulama mengenai persoalan turunnya Nabi Isa a.s. diakhir zaman kelak dapat diambil kesimpulan bahawa Nabi Isa a.s. akan menyebarkan syariat Nabi Muhammad s.a.w. Disamping untuk membunuh Dajal, Nabi Isa a.s. akan juga membetulkan keadaan masyarakat Islam yang kucar kacir akibat perbuatan dan fitnah Dajal. Menurut keterangan ulama, Dajal akan wujud bila dunia hampir kiamat dengan membawa fitnah besar terhadap manusia. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Urwah bin Mas’ud Ats-Tsaaqfi r.a. katanya: “Saya mendengar Abdullah bin Amar berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Dajal itu akan keluar dikalangan umatku, kemudian dia tinggal selama empat puluh.” Yang meriwayatkan hadis ini berkata: “Saya tidak mengerti apakah yang dimaksudkan itu empat puluh hari atau empat puluh bulan atau empat puluh tahun.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Jasad Anak Derhaka Dihurungi Lalat

TERNYATA, tetamu istimewa itu bukanlah presiden, bukan juga seorang raja, apalagi manusia berpangkat dan bergelar dengan darjah kehormatan. Tamu istimewa itu sangat dekat sekali di dalam hidup kita dimana Allah sangat memuliakannya. Dialah ibu bapa kita. Sabda Nabi s.a.w., “Kerelaan Allah ada pada kerelaan kedua ibu bapa. Kebencian Allah ada pada kebencian kedua ibu bapa.” (HR. Bukhari). Apa pesanan penting dari hadis ini? Tak lain adalah bila anda menginginkan kerelaan Tuhanmu atas apa yang kamu kerjakan di muka bumi ini, maka temukan itu pada kedua ibu bapamu. Jika kedua ibu bapa kita redho, maka insyaAllah, Tuhan pun redho. Dan kisah berikut itu adalah peringatan bahawa manusia istimewa itu bukan sekadar tamu istimewa, tapi juga ubat yang paling utama. Sungguh, ubat-ubatan kimia yang masyhur sangat mujarab secara ilmiah dan telah dibuktikan di makmal pun tetap saja tidak sehebat doa seorang ibu. Doa ibu tidak mengeluarkan zat kimia, tapi ia mengeluarkan rahmat Ilahi. Berikut ini kisahnya.

Bersih dan Wangi
Rahman, namanya. Usianya sekitar 42 tahun. Lelaki yang berjaya dalam dunia perniagaan ini dan tergolong ‘orang kaya’ di tempat tinggalnya. Awal pagi hari sebelum subuh, rohnya dicabut Allah s.w.t.. Pagi harinya, jasad Allahyarham dimandikan. Para jiran tetangga berdatangan menziarahi jenazahnya. Selesai dimandikan, jasad Rahman kemudian dibaringkan di lantai beralaskan karpet sederhana. Tubuhnya berselimutkan kain batik saja. Kain kafan pun sudah dipersiapkan oleh pihak keluarga, untuk kemudian rencananya dikenakan pada tubuh Rahman. Kerana tubuh Rahman tergolong tinggi, sekitar 170 cm, maka kain kafan yang disiapkan panjangnya mencapai 230 cm. Hal ini mengingat ukuran kain kafan untuk jenazah ditambahkan 60 cm, hingga dapat disesuaikan agar dapat mengikat hujung kepala dan hujung kaki jenazah. Meski proses mengkafani masih berlangsung, keranda jenazah sudah dipersiapkan terlebih dahulu oleh pihak keluarga. Kain kafan yang sudah diletakkan di lantai, sebelum dikenakan pada jenazah, terlebih dulu ditaburi wewangian dan kapur barus. Kemudian mayat diletakkan di atasnya dengan hati-hati dan tetap menjaga auratnya. Seorang petugas jenazah meletakkan kepala jenazah pada bahagian kain yang telah dilebihkan tersebut. Petugas jenazah kemudan mengoleskan minyak wangi pada tubuh mayat. Bahkan, dia mengoleskan minyak wangi pada tujuh titik anggota sujud, yakni kening, lutut, telapak kaki, telapak tangan, hidung, dan di sela-sela persendian. Setelah itu, hujung kain yang pertama, yakni bahagian yang paling bawah di arah bahagian kanan dilipat ke sebelah kiri secara bersamaan, mulai dari kaki hingga kepala. Setelah itu hujungnya dipegang dengan kuat dan dilipat atau diputar. Lalu lipatan hujung kain dipegang dengan tangan kiri, lalu diambilah kain yang kedua. Begitu seterusnya. Proses tiga lipatan kain dengan mudah dan tanpa hambatan pun selesai dikenakan. Dipendekkan cerita, jasad Rahman sudah rapi dikafani dan tampak bersih serta wangi. Kerana jam menunjukkan pukul 10.00 pagi, jasad Rahman tidak langsung diangkat ke keranda jenazah. Mengingat, rencananya, pihak keluarga bakal menyembahyangkan jenazah selesai solat zuhur. Kerana itu, sekitar 2 jam, jasad Rahman sudah rapi dibaringkan di biliknya, untuk kemudian nantinya tinggal diangkat ke surau terdekat. Beberapa tetamu yang berziarah secara bergiliran berdatangan. Dua atau tiga orang bertugas membaca al-Quran di bilik Rahman, dimana jasadnya dibaringkan. Sementara yang lainnya hanya duduk-duduk di ruang utama rumahnya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Kisah Jenazah Yang Diperebutkan

HAMPIR satu bulan ini, Yuanita merasakan kelegaan di dadanya. Betapa tidak? Selama bertahun-tahun hidup dalam kesamaran, dalam batin yang mengembara mencari arah kebenaran yang sebenar-benarnya, dia akhirnya menemukan jawapan. Secara zahir, Yuanita bahagia hidup di tengah-tengah keluarga yang sangat menyayanginya, namun secara batin, dia tak dapat menerima ajaran mahupun arahan yang berlaku dalam keluarga besarnya. Yuanita gelisah hidup dengan ajaran agama yang tidak diyakini kebenarannya. Yuanita selalu mempertanyakan kebenaran Tuhan dalam agamanya. Benarkah ia adalah Tuhan yang sebenar-benarnya, yang memberikan kehidupan dan penghidupannya di alam dunia? Keresahan seperti itu, satu bulan terakhir ini tak lagi menekan hidupnya. Dada Yuanita sudah terasa lapang, sebab Islam telah memberinya kelapangan dalam segala hal. Islam itu “rahmat bagi seluruh alam”, begitu menurut Yuanita. Seterusnya, bertahun-tahun Yuanita hidup dalam keimanan dan akidah yang terjaga, meskipun dia tetap berada di tengah keluarga dengan agama yang berbeda. Dan selama bertahun itu pula Yuanita mampu menyembunyikan identitinya sebagai muslimah, semua itu dilakukannya semata menjaga keharmonian dirinya dengan anggota keluarga yang lain. Namun, waktu terus berjalan, dan manusia harus siap saat dipanggil kehadiratNya. Begitu pula dengan Yuanita. Rupanya, batas kehidupan yang ditentukan Allah untuk Yuanita telah sampai. Episod kehidupan Yuanita berakhir bahagia.

PENGHORMATAN TERAKHIR
Bagi sebuah keluarga yang ditinggal mati anaknya, dukacita yang mendalam adalah satu hal yang tak terelakkan. Mereka merasa kehilangan dan pastinya akan melepas kepergiaan anggota keluarga itu dengan penghormatan terakhir yang terbaik. Mereka melakukan acara yang disusun dengan terperinci, menurut budaya agama kepercayaan mereka. Tak ubahnya Yuanita. Kedua ibu bapa dan saudara-saudaranya telah melakukan persiapan untuk persemadiannya. Lokasi pusaranya sudah ditentukan. Peti mati indah berukir disiapkan menjadi singgahsana terakhir dan Yuanita menjadi penghuni di dalamnya dengan hiasan bagai puteri yang hendak bertemu putera pengantinnya. Seorang perempuan muda (Farah) nampak termangu menyaksikan kemeriahan yang terjadi di rumah Yuanita. Farah nyaris tak percaya dengan apa yang dilihatnya. “Bukankah Yuanita itu muslimah? Mengapa proses pengkebumiannya dilakukan dengan cara seperti itu?”  Tiba-tiba Farah ingat, pada suatu waktu dia  pernah melihat piagam yang diterbitkan oleh sebuah Yayasan Muslim. Farah masih ingat nama dan alamat yayasan yang sebagai perantara masuknya hidayah Allah ke dalam dada Yuanita, sebuah cahaya Islam yang telah memberikan ketenangan dalam hidupnya. Mengingat itu semua, Farah tak membuang waktu. Dia segera mungkin mendatangi yayasan yang telah menerbitkan piagam pengesahan sebagai muslimah untuk Yuanita.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Makanan Disangka Najis

SEMUA orang mengenal nama Risman. Ini latar belakang kerjanya sehari-hari. Dia hidup mewah dengan melakukan ‘pekerjaan haram’ meminjamkan wang kepada orang lain, tetapi dengan bunga yang sangat tinggi, hingga 100 peratus. Jadi, kalau orang pinjam RM 10,000, maka dalam sepuluh bulan dia harus mengembalikannya sebesar RM20,000. Semakin lama tempoh pembayarannya hutang, semakin tinggilah bunganya. Meski begitu, tetap saja orang ramai yang terpaksa meminjam kepadanya kerana tuntutan hidup. Dengan cara begitu, Risman sendiri boleh hidup kaya raya. Dia dibenci, tapi dia juga dihormati. Begitulah Risman di kampungnya. Dibenci kerana suka meminjamkan wang dengan bunga tinggi, tapi dihormati kerana kekayaannya itu. Kerana cukup terkenal namanya, ada juga orang jauh dari kampung tetangga yang pinjam wang kepadanya. Dan seperti biasa, dengan bunga yang mencekik leher, Risman pun selalu meminjamkannya.  Kalau saja dalam sepuluh bulan dia berhasil menggeluarkan wangnya sebesar RM 100,000 (seratus ribu ringgit) saja dengan bunga 100%, maka boleh diteka berapa penghasilan Risman dari perniagaan haram dan kotornya ini. Dalam sebulan, dia mampu mengaut keuntungan sebesar puluhan ribu ringgit. Ya, hanya dengan menggunakan beberapa orang ‘samseng’ di rumah dan menyewa bodyguard sebagai “penagih hutang”, Risman sudah cukup menjadi orang yang berjaya. Tetapi, kejayaan begitu sebenarnya didorong oleh syaitan dan hawa nafsu. Sebab, dalam agama ditegaskan bahawa hidup dari pekerjaan kotor seperti ‘ceti haram’, hukumnya tetap haram. Maka, apa yang dimakan dan diminum oleh Risman semuanya adalah haram. Kerana yang menikmati wang haram itu tidak saja dirinya, tetapi juga isteri dan anak-anaknya, maka mereka semua terkena dosanya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Wajah Orang Yang Tak Bayar Zakat

MASALAH zakat tidak pernah selesai. Dari dulu hingga sekarang, masalah zakat ini selalu dipertikaikan. Ada cerita fakir miskin tak terima zakat, dan ada cerita orang kaya tidak bayar zakat, dan macam-macam lagi. Membayar zakat bagi mereka yang sudah mampu menjadi perkara wajib. Mereka yang mampu, tetapi tidak bayar zakat berdosa. Tetapi ada orang-orang yang mampu yang punya harta, ada wang simpanan tetapi tidak bayar zakat. Mereka “jahil” dalam soal ini. Sedangkan dalam pengajian agama, kuliah agama pada tokoh agama kita menerangkan tentang masalah zakat ini. Tetapi oleh kerana mereka memang bakhil, mereka tidak pedulikan dengan ingatan tersebut. Dalam kitab-kitab agama ada dinukilkan tentang mereka yang tidak menunaikan zakat, walaupun mereka mampu berbuat demikian. Ada dalam sebuah kitab agama dinukilkan tentang sikap orang-orang yang bakhil atau kedekut yang tidak mahu mengeluarkan zakat sedangkan orang-orang ini berkemampuan. Janganlah ada orang yang menyangka terutama mereka yang banyak harta itu tetapi tidak bayar zakat merupakan satu “sifat yang baik”. Sebenarnya sikap kedekut itu merupakan satu sifat yang paling buruk dinilai dari pandangan agama, atau dengan lain-lain kata, sikap paling buruk sekali. Harta yang mereka kumpulkan itu tidak pula dikeluarkan zakat, jika sudah sampai nisabnya, maka di akhirat nanti akan dikalungkan di lehernya. Ia seakan-akan sebagai ular besar dikalungkan di leher mereka itu kelak. Sebaik-baiknya keluarkan harta milik kita itu dengan membayar zakat secara ikhlas, bukan kerana terpaksa atau dengan perasaan hati yang berat agar kita memperolehi pahala.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Rahmat Allah Teramat Besar Di Syurga

INI ialah cerita syurga. Semua orang mahu masuk ke dalamnya. Orang-orang kafir tahu sebut syurga. Tetapi mereka kafir, tidak dapat Hidayah dari Allah untuk menuju ke syurga. Mereka tidak tahu cerita sebenarnya apa yang ada dalam syurga. Cerita itu hanya ada dalam Al-Quran dan cerita dari lisan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka ini bukan Islam, jadi mereka tidak baca Quran, jadi, mereka tidak tahu apa ada cerita dalam Quran. Mereka juga tidak tahu tentang Nabi Muhammad, apa lagi cerita syurga dari lisan Nabi s.a.w., jadi mereka “buta kayu”. Ada cerita dijelaskan ketika bahawa ketika Nabi s.a.w. meminta pintu syurga dibuka, maka orang-orang beriman bersama baginda memasukinya. Mereka mendapat tingkatan dan kedudukan sesuai dengan amalan yang dipersembahkannya. Ketika seluruh kaum muslimin sudah masuk syurga, tinggal para pelaku maksiat dari kaum mukminin yang tinggal di dalam neraka. Maka datanglah syafaat untuk mereka dari Rasulullah s.a.w. juga dari orang-orang yang beriman yang diberi izin oleh Allah untuk memberikan syafaat kepada orang-orang yang dikenalnya. Setelah syafaat selesai, datanglah rahmat Allah kepada seluruh makhluknya. Allah lebih mengetahui keadaan mereka. Dia mengampuni siapa yang dikehendaki dan menyeksa siapa yang dikehendakinya pula. Dari Abu Said al-Kudri r.a. dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya:  “Adapun penduduk neraka yang benar-benar penghuninya, mereka tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup. Tetapi orang-orang yang  yang dibakar oleh api kerana dosa-dosa atau kesalahan-kesalahan mereka, maka Neraka mematikan mereka dengan satu kali mati. Hingga ketika sudah menjadi arang, mereka diizinkan untuk mendapat syafaat. Mereka didatangkan secara berkelompok-kelompok. Kemudian ditebarkan di sungai-sungai syurga. Dikatakan: “Wahai penduduk Syurga! Siramkanlah air kepada mereka.” Maka mereka pun tumbuh seperti tumbuhnya benih-benih yang dibawa oleh aliran banjir.”

Selanjutnya dapatkan Hidayh Oktober 2012 di pasaran...

Cerita Mengerikan Dari Penggali Kubur

KALAU kita selalu menyingkap kitab-kitab agama yang menceritakan tentang masalah perkuburan, maka kita akan temui banyak cerita menarik mengenainya. Dalam drama-drama TV yang terkenal dengan kisah “Tanah Perkuburan” juga ada mendedahkan tentang orang-orang yang derhaka, dan bila dia meninggal dunia, berbagai hal yang dialaminya. Dalam sebuah kitab agama yang beredar dikalangan kita ada menceritakan tentang penderitaan yang dihadapi oleh penghuni kubur. Ada diceritakan dalam sebuah kitab dimana ada disebutkan dalam riwayat dalam sebuah hadis bahawa seorang pemuda yang sedang dirundung sedih datang menemui seorang ulama. Ulama tersebut ialah Abdul Malik. Ulamak tersebut bertanya kepadanya sebab-sebab dia bersedih benar. Pemuda itu lalu memberitahu ulama Abdul Malik bahawa dia bersedih kerana dosa yang dilakukannya. Abdul Malik bertanya: “Apakah dosa yang engkau lakukan? Apakah dosa itu lebih besar dari bumi dan langit?” Pemuda itu menjawab: “Ya” Ulama itu bertanya lagi: “Apakah dosa-dosa itu lebih besar dari langit yang tertinggi? Dia menjawab: “Ya,” Abdul Malik bertanya lagi: “Apakah dosa-dosa itu sangat memilukan sehingga Rahmat Allah pun tidak dapat membebaskannya?”
Kali ini pertanyaan ulama itu membuatkan pemuda itu terdiam tidak dapat menjawabnya. Kemudian ulama itu bertanya apakah dosa yang telah dilakukannya? Pemuda itu menjawab bahawa dia adalah seorang pencuri kain kafan. “Ini aku dapatkan pengalaman dari lima kejadian yang mengerikan sehingga akan menyesali tentang perbuatanku itu.

Selanjutnya dapatkan Hidayah oktober 2012 di pasaran...

Setiap Makhluk Allah Berpasang-Pasangan

AYAT dalam surah Yasin itu menjelaskan bahawa manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan itu diciptakan berpasang-pasangan. Ada jenis lelaki dan perempuan. Dengan perbedaan jenis kelamin ini, maka tumbuhlah generasi dari mereka hingga boleh berkembang biak dan menghuni bumi ini. Menurut Yusuf Al-Qaradhawi, berdasarkan sunnah kauniyah (ketetapan Allah) yang umum ini, manusia diciptakan berpasang-pasangan, terdiri dari jenis lelaki dan perempuan, sehingga kehidupan manusia dapat berlangsung dan berkembang.
Namun, selama ini kita tidak pernah tahu: Apakah makhluk-makhluk lain juga berpasangan? Kalau kita menengok kembali ayat di atas, terutama pada kalimat “semuanya”, maka semuanya (yang ada di langit dan bumi) memiliki pasangannya, termasuk pada hal-hal yang tidak dikenal oleh manusia sekalipun. Sebelum al-Quran turun 15 abad yang lalu, pengetahuan semacam ini belum pernah ada. Kerana itu, saat ada seorang ilmuwan yang mengatakan bahawa selain manusia pun memiliki pasangan, maka hal itu sebenarnya bukan sebuah pendapat yang aneh. Sebab, awal lagi al-Quran telah mengatakannya. Beberapa tahun yang lalu, ilmuwan Inggeris bernama Paul Dirac, pernah menyatakan bahawa material pun diciptakan secara berpasangan. Ilmuwan di bidang fizik yang mendapatkan hadiah Nobel pada tahun 1933 ini menyebutkannya sebagai parite, iaitu setiap material memiliki pasangannya, yang disebut anti-materialal. Anti-material memiliki sifat-sifat yang berlawanan dengan material. Misalnya, berbeda dengan material, elektron anti-material bermuatan positif, dan protonnya bermuatan negatif. Menurut Paul Dirac, “Setiap yang wujud memiliki anti partikelnya, dan kaitan ini membuktikan kepada kita bahawa “penciptaan secara berpasangan” dan “kemusnahan secara berpasangan” terjadi dalam seluruh kurun waktu, di mana pun tempatnya.”
Kemudian pada tahun 1932, seorang Professor di California Tech, iaitu Carl Anderson, membuktikan kebenaran mengenai adanya anti material. Ketika menyelidiki sinar kosmik dalam sebuah cloud chamber, Anderson melihat jejak-jejak yang ditimbulkan oleh “sesuatu yang berarus positif, dan memiliki massa yang sama dengan elektron”.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Kisah Wali Allah Dalam Kapal Yang Karam

KISAH ini adalah satu kisah yang menarik, menakjubkan dan penuh misteri. Bagi sesetengah orang terutamanya di zaman mutakhir ini yang lebih condong kepercayaannya pada soal material tentu kurang yakin dengan kisah ini. Tetapi inilah kisah yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada hambaNya. Allah akan melakukan apa sahaja menurut kudrat dan iradahnya. Kisah yang mahu diceritakan ini ialah kisah mengenai seorang wali Allah yang boleh berjalan di atas air.Sebuah kapal yang penuh dengan muatan dan mempunyai kira-kira 200 orang penumpang berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Dalam kapal tersebut penumpangnya sebahagian adalah ahli-ahli perniagaan yang terkenal. Ketika kapal tersebut sedang dalam pelayaran di tengah-tengah lautan dalam, tiba-tiba datang ribut petir dan ombak besar. Angin kencang yang menyebabkan lautan bergelora menyebabkan kapal yang penuh dengan muatan itu terumbang ambing hampir mahu pecah. Seluruh anak kapal mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan kapal tersebut dari serangan ombak besar. Tetapi semua usaha yang dilakukan oleh anak-anak kapal dan para penumpangnya sia-sia belaka kerana angin kencang dan ombak besar terus menerus memukul kapal tersebut. Semua orang yang ada di dalam kapal tersebut berada dalam keadaan cemas dan hanya menanti saat-saat tenggelamnya kapal itu. Dalam keadaan semua orang kelam kabut dan cemas itu terdapat seorang lelaki yang ada dalam kapal tersebut yang kelihatan tidak memperlihatkan rasa cemas ataupun takut. Lelaki itu kelihatan tenang sahaja dan sentiasa berzikir terhadap Allah s.w.t., sememangnyalah dalam keadaan tersebut, hanya kepada Allah sahaja yang patut kita meminta pertolongan dan bergantung harapan. Dengan keadaan yang tenang lelaki tersebut kemudiannya turun dari kapal tersebut lalu berjalan di atas air. Dalam keadaan kapal tersebut terumbang ambing, dan laut bergelombang besar, dan bergelora lelaki tersebut terus berjalan beberapa langkah, yang kemudian dia terus bersembahyang di atas air itu.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober di pasaran...

Ambil Tanah Hak Orang Sejengkal

KADANG-KADANG, kita umat Islam memandang bahawa masalah “tanah” merupakan masalah ringan saja. Tetapi ia merupakan satu masalah besar dan berat dari pandangan Islam. Dalam soal memperkatakan masalah ini, ada kalangan orang Islam melakukan penipuan. Sebenarnya walau sejengkal sekalipun, masalah tanah ini yang bukan menjadi hak kita, ditanya nanti di mahsyar. Perkara ini jangan main-main, dan jangan pandang perkara ringan sahaja. Di mana-mana negeri dalam negara kita ini, kita akan berdepan dengan masalah tanah. Isu ini tidak akan selesai, selagi kita orang-orang  belum memahami masalah ini. Dimana-mana pun isu ini berbangkit. Ini bukan saja timbul di Selangor, Melaka, Johor malah bahagian seluruh negara isu ini menjadi isu hangat. Kadang-kadang rakyat yang memohon tanah menjerit-jerit kerana permohonan mereka hingga 40 tahun tidak selesai-selesai lagi. Kalau pun permohonan sudah diluluskan oleh pejabat tanah, tetapi proses pengeluaran geran, pindah hak milik, dan perkara berkait dengannya akan mengambil masa yang lama dan panjang. Isu tanah memang tidak pernah selesai. Di mana-mana pun, isu ini berbangkit. Rakyat yang memohon tanah menjerit-jerit kerana permohonan mereka hingga 50 tahun tidak menemui penyelesaian. Kalau pun sudah selesai, tetapi proses mengeluarkan geran atau hak milik mengambil masa atau tempoh yang panjang. Entah di mana silapnya, sehingga berpuluh tahun isu tidak selesai. Aduan yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam berhubung dengan permohonan tanah ini adalah merupakan pengaduan yang banyak dan paling tinggi jumlahnya diterima. Dalam pada itu ada juga berlaku penyelewengan. Soal tanah dalam pandangan agama adalah berat. Setiap orang mesti tahu mengenai  sejengkal tanah hak orang lain yang kita ambil, akan dituntut di akhirat kelak. Apa lagi kalau tanah orang, ertinya, hak orang kita rampas tanpa mengikut landasan tertentu akan lebih pedih azab yang diterima kelak.
Sebuah hadis tentang hukuman perampas tanah ada dijelaskan. Hadis yang diriwayatkan oleh Ya’la ibnu Muna bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang ertinya: “Barang siapa dengan sewenang-wenangnya merampas tanah orang lain seluas satu depa, tanah itu akan dililitkan di lehernya di hari kiamat.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Jadilah 'Bidadari' Untuk Suami

SEORANG psikotrapy Doris Helmering berkata, “Lelaki biasanya mempunyai teman wanita yang rapat. Teman terdekat lelaki umumnya adalah isterinya. Ini bererti, keharmonian dalam kehidupan rumahtangga sangat penting bagi lelaki.” Suatu hal yang sudah cukup dikenal baik dari segi sosiologi mahupun psikologi — semakin erat seorang isteri dengan suaminya, maka kebahagiaan keduanya akan semakin bertambah. Disebutkan bahawa, menurut para suami, faktor kebahagiaan rumah tangga adalah isteri yang menjadi pendamping terbaik untuk mereka. Dalam bukunya Menyelami Hati Wanita, Abdul Mun’im Qindil menyatakan bahawa untuk menjadi pendamping terbaik bagi suami, bererti isteri harus berusaha menjadi pusat perhatian suaminya, dengan senyum manis sentiasa, pandangannya hangat penuh cinta dan tutur kata lembut penuh kemanjaan. Dia harus selalu berusaha menjadi seorang bidadari di rumahnya. Tubuhnya harum mewangi, wajahnya cerah, perilakunya lembut, dan tutur katanya mendatangkan kedamaian di hati, sehingga suami benar-benar merasa bahawa rumahnya adalah SYURGA yang penuh kenikmatan dan kesenangan.
Dia bagaikan bunga yang segar dan menyejukkan mata.
Hatinya bening sebening mata air pegunungan.
Senyumannya manis semanis telaga madu.
Wajahnya terang secerah bulan purnama.
Jika suaminya sakit, dia menjadi doktor peribadi yang sentiasa setia menemaninya.
Jika dunia gelap di matanya, dia menjadi pelita yang setia menerangi jalannya.
Jika suami kehausan, dia menjadi pelepas dahaga yang menyejukkan.
Dengan ertikata lain, apa pun yang dilakukannya selalu menambat pesona di mata suaminya.
Kelemahlembutannya dalam memperlakukan suaminya sama dengan perlakuannya terhadap kawan-kawan terdekat, penuh keakraban dan senda gurau.
...Untuk menjadi pendamping terbaik bagi suami, isteri harus berusaha menjadi pusat perhatian suaminya. Dia harus selalu berusaha menjadi seorang bidadari di rumahnya...
Jadi, bagaimanakah caranya agar anda menjadi pendamping terbaik suami?

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Memilih Islam Setelah Ditawan Taliban

BAGI sebahagian besar masyarakat Barat, pemikiran mereka dihantui bahawa Islam kononnya penuh dengan kekerasan, keterbelakangan, tidak demokratis, tidak bertamadun dan menindas kaum wanita. Islam dianggap tidak menghormati hak-hak dasar kaum wanita. Mereka menilai bahawa Islam menjadikan kaum wanita sebagai objek, dan bukan subjek. Anggapan semacam ini pernah hinggap dalam fikiran Ridley sebelum dia mengenal Islam dalama erti kata yang sebenarnya. Kala itu, dia sangat tidak suka dengan hal-hal yang berkaitan dengan simbol-simbol Islam. Tetapi, setelah mengenal Islam, wanita kelahiran Inggeris ini justeru merasa kagum. Islam ternyata sangat menjunjung tinggi hak dan mertabat kaum wanita. Islam meletakkan wanita sebagai subjek utama dalam pembangunan peradaban. Kata hadis Nabi s.a.w., apabila rosak kaum wanita, maka rosaklah suatu bangsa. Ada juga hadis yang menyebutkan bahawa syurga itu ada di telapak kaki ibu. Nabi Muhammad memerintahkan kaum lelaki dan wanita sejajar dalam mencari ilmu pengetahuan. Hukumnya sama-sama wajib. “Ternyata Islam memanjakan wanita untuk tak perlu dipaksa bekerja agar dapat mendidik anak-anaknya, agar terhindar dari minum-minuman keras, terjebak dalam pornografi dan hal-hal lain yang dapat menghambat pertumbuhan remaja seperti yang tengah dikhuatirkan oleh kerajaan Inggeris,” ujarnya, seperti yang dia tulis dalam websitenya, www.yvonneridley.org.
Dia bahkan mengkritik perilaku bangsa Inggeris yang justeru tidak menghormati kedudukan dan martabat kaum wanita. “Ada perempuan-perempuan tertindas di negara-negara muslim, tapi perempuan-perempuan tertindas juga ada di tepi jalan di Tyneside, Inggeris. Penindasan itu berasal dari budaya, bukan dari ajaran Islam. Al-Quran menyatakan dengan sangat jelas bahawa perempuan itu setara dengan kaum lelaki,” ungkapnya. Lebih lanjut dia menjelaskan bahawa isu-isu adat atau budaya seperti pernikahan di bawah umur, amalan sunat terhadap perempuan, pembunuhan atas nama kehormatan keluarga, dan kahwin paksa, bangsa Barat salah dalam menilai ajaran Islam dengan aspek budaya para pemeluk agama Islam.  Lebih buruk lagi, tegasnya, Arab Saudi mereka jadikan contoh sebuah negeri muslim dimana kaum perempuan dipinggirkan kerana perempuan di sana dilarang memandu kenderaan. Isu-isu di atas tak ada hubungannya dengan Islam, tapi kebanyakan orang Barat masih menulis dan membicarakan tentang hal-hal semacam itu dengan nada angkuh dan menunjuk kuasa seraya menyalah-nyalahkan Islam. Padahal, ada beda mendasar antara tingkah laku budaya dan ajaran Islam.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Tradisi Poligami Dan Sekolah Islam Tahfiz

NAMANYA mungkin terdengar asing di telinga kita. Ya, Republik Chad tidak seperti kita mengenal negara Mesir, Afrika Selatan, atau Cameron sebagai negara terkenal di benua hitam Afrika. Republik Chad yang beribukota N’djamena ini adalah negara terbesar bekas jajahan Perancis di garis khatulistiwa. Negeri ini dikurung oleh daratan dan tidak memiliki lautan. Chad terletak di tengah-tengah benua Afrika, berbatasan dengan Cameron di Barat Daya, Niger dan Nigeria di Barat, Republik Afrika Tengah di Selatan, Libya di sebelah Utara dan Sudan di Timur. Tanah Chad umumnya mendatar dengan beberapa bukit di Timur yang memang relatif tinggi tanahnya. Sebagaimana negeri Afrika lainnya, iklim Chad umumnya tropis dan kering. Tapi Chad memiliki sebuah danau yang terkenal dimana sistem drainase negeri itu bermuara ke sana. 
Luas wilayah Chad 1.2 juta kilometer persegi, lebih besar dari luas negara Mesir yang mendekati 1 juta kilometer persegi. Negeri ini boleh dikatakan cukup lengang kerana tanah seluas itu hanya diisi sekitar 9 juta penduduk. Komuniti Islam tertumpu di wilayah Utara, sementara warga Kristian dan penganut animisme tinggal di wilayah Selatan. Selain suku Arab, Chad juga dihuni suku Gorane, Sara dan  Moundang. Negeri in memakai bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi mereka, selain bahasa Arab dan bahasa suku Sara yang banyak digunakan warga Selatan. 80 peratus penduduk Chad bergantung hidupnya sebagai petani. Mereka memiliki penghasilan pertanian yang cukup baik seperti kapas, kacang tanah, beras, dan ubi kayu. Ini masih ditambah hasil ternak seperti domba, kambing dan unta. Seiring perkembangan waktu, pemerintah Chad juga melirik hasil tambahan untuk memajuikan negara mereka. Chad memiliki hasil minyak, uranium, dan kaolin. Produk-produk itu mereka ekspot secara berkala ke Portugis, Jerman, Czekoslovakia, Perancis, Nigeria, Poland, Sepanyol dan Moroco. Islam masuk Chad pada abad ke-11, tepatnya ketika Kerajaan Kanem-Borno dipimpin Umme-Jilmi pada tahun 1085-1097. Orang yang berjasa mengenalkan Islam di Chad adalah Muhammad Mani; dialah yang membuat Raja Umme Jilmi masuk Islam. Lima abad kemudian kerajaan ini mencapai puncak kejayaannya. Saat itu raja yang memimpin adalah Mai Idris Aluma (Alooma). Raja ini selain handal berperang, juga berjaya mengatur negara dalam sebuah sistem pemerintahan yang baik. Ia juga dikhabarkan menguasai ilmu-ilmu keIslaman. Di bawah pemerintahan Alooma, Kanem-Borno semakin kuat dan disegani. Hubungan kerajaan dengan beberapa negara tetangga cukup baik, seperti dengan Libya, Mesir dan Kerajaaan Turki Uthmani. Memasuki abad ke-18, kerajaan ini meredup dan kemudian bangkit pada abad ke-19. Saat Perancis menguasai negeri ini, kehidupan muslim sangat menyedihkan. Ini ditambah dengan perkembangan kristianisasi yang pesat. Hampir tak ada catatan yang menceritakan bagaimana kehidupan muslim di masa-masa itu. Semua terkungkung dan terbelenggu.
Barulah setelah Chad merdeka dari Perancis pada tarikh 11 Ogos 1960, kehidupan muslim kembali bergerak. Umat Islam Chad yang berjumlah lebih dari separuh penduduk mulai bergerak merebut posisi penting di pemerintahan. Mereka tak mahu lagi diperlakukan tidak adil. Selama tempoh di bawah Perancis, pemerintah di Chad terutama saat pemeritahan Presiden Tombalbaye, bertindak sangat kejam terhadap penduduk muslim di Utara. Kekuatan Islam tak dapat dibendung. Puncaknya Idris Deby berjaya dilantik sebagai Presiden Chad.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Selawat Bererti 'Bermunajat' Kepada Allah Taala

SUNGGUH, suatu yang agak ganjil dan memprihatinkan bila seorang muslim yang mengaku lazim berselawat - baik saat beribadah mahupun saat berdoa [berzikir] - tidak mengetahui makna ‘selawat’ itu sendiri. Kerana itulah, kita paparkan sekilas pengertian selawat. Mengacu definisi bahasa [Arab], sebagaimana termaktub dalam Ensiklopedi Hukum Islam dan ditulis KH. Syarief Muhammad Al-Aydarus,  selawat adalah doa, rahmat Allah, berkah dan ibadah. Sedangkan seorang pakar tafsir, M. Quraish Shihab dalam Wawasan Al-Qur’an tentang Zikir dan Doa, menyebutkan begini: ‘Selawat’ adalah bentuk jamak [plural] dari kata ‘solat’ yang dari segi bahasa memiliki pelbagai makna. Jika ‘solat’ dilakukan oleh seseorang  yang lebih rendah darjatnya kepada yang lebih tinggi atau dari manusia kepada Tuhan, maka  ia bererti permohonan; jika dilakukan oleh malaikat maka maknanya adalah permohonan maghfirah [ampunan]; sedang bila ‘solat’ dilakukan oleh Allah, maka maknanya adalah curahan rahmat.  Sementara secara istilah, selawat adalah menyampaikan permohonan doa keselamatan dan keberkahan kepada Allah untuk Nabi Muhammad s.a.w. dan yang membacanya akan mendapatkan pahala.  [lihat KH. Syarief Muhammad Al-Aydarus dalam 135 Sahalawat Nabi: Pustaka Hidayah, 2010].  Selain itu, dapat disimpulkan pula bahawa selawat Allah kepada hambaNya dibahagi kepada dua macam: selawat khusus dan selawat umum. Menurut sebahagian ulama, sebagaimana disebutkan Quraish Shihab, selawat Allah yang bersifat umum itu yang dicurahkanNya kepada hamba-hambaNya yang beriman, termasuk juga di sini selawat yang dipanjatkan Nabi Muhammad kepada sebagian sahabat beliau. Sedangkan selawat yang bersifat khusus adalah yang ditujukan kepada para nabi dan rasul, utamanya kepada Nabi dan Rasul terakhir, Muhammad s.a.w.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Cinta Allah Dalam Pandangan Sufi

”Ya Allah, aku memohon agar Engkau kurniakan cinta kepadaMu, dan agar aku dapat mencintai orang-orang yang mencintaiMu.” ”Tuhanku, Engkaulah yang kutuju dan redhoMu yang kuharapkan, beri daku kecintaan dan makrifat kepadaMu.” “Nafas Ar-Rahman menjadikan semesta ini ada, guna memancarkan cinta dan apa-apa yang dilihat oleh Pencinta dalam DiriNya. Melalui penyaksian Yang Lahir, Dia mengenal DiriNya sendiri,” demikian tulis Syeikh Al-Akbar dalam Futuhat Al-Makiyyah. Sifat Tuhan kepada alam, adalah mencintai, sebab “Aku rindu untuk dikenal, maka Aku ciptakan semesta.” Cinta bagi hampir semua Sufi, adalah dasar dari penciptaan. Juga dikatakan oleh beliau bahawa Islam sepenuhnya adalah agama cinta, sebagaimana juga Rasul Muhammad adalah yang dikasihi Allah—habibillah. Cinta, kata Jalaluddin Rumi, adalah penyembuh bagi kebanggaan dan kesombongan, dan seluruh kekurangan diri. Dan hanya mereka yang berjubah cinta sajalah yang sepenuhnya tidak mementingkan diri. Hanya mereka yang mencintai sepenuh hati sajalah yang mampu meniadakan diri (fana) di dalam Diri Sang Kekasih (Allah).
Cinta kepada Allah (mahabbah) bukan cinta dalam pengertian keduniawian, yang masih melibatkan ego dan keinginan untuk diri sendiri. Cinta Sufi adalah dalam rangka merespons hadis “Aku rindu untuk dikenal,” yakni seorang pencinta harus mengenal Allah sebagaimana Dia mengenal DiriNya sebagai Perbendaharaan Tersembunyi yang menyimpan segala Keindahan (jamal), Keagungan (jalal) dan Kesempurnaan (kamal).
Tetapi, kerana hanya Allah yang mengenal Allah, maka satu-satunya cara bagi Sufi adalah “bersatu” dengan Allah, mem-fana-kan sifat-sifat buruk dan bahkan kediriannya dan mengenakan sifat-sifatNya dalam ke-baqa-an, lalu menyaksikan bahawa segala sesuatu hanyalah Allah saja. Dengan cara inilah Sufi dapat “meminjam” perspektif Allah dalam memandang DiriNya sendiri. Jadinya, tanpa cinta, Perbendaharaan Tersembunyi akan selamanya tersembunyi. Tanpa cinta, tiada alam semesta. Tanpa cinta, tidak ada “persatuan” dengan Allah. Tetapi apakah sesungguhnya cinta (mahabbah) itu? Cinta menurut Sufi adalah salah satu maqam dalam perjalanan spiritual. Tetapi definisi yang pasti untuk soal ini amat sulit, jika tidak boleh dikatakan mustahil. Ibnu Al-Arabi dengan jelas mengatakan bahawa cinta tidak dapat didefinisikan:
Di kalangan orang-orang arif dan yang membicarakannya, cinta adalah sesuatu hal yang tidak dapat didefinisikan. Cinta diketahui oleh orang-orang yang mengalaminya...

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Nabi s.a.w. Gembirakan Para Sahabat r.a. Dengan Jaminan syurga

DARI Abu Musa Al-Asy’ariy r.a., dia berkata: “Suatu hari, saya berwuduk di rumah, kemudian saya pergi dan berkata dalam hati: “Hari ini saya akan selalu mendampingi dan menyertai Rasulullah s.a.w.” Dia terus ke masjid dan menanyakan Rasulullah s.a.w. Para sahabat menjawab: “Beliau ada di sana.”  Abu Musa menuju ke arah yang ditunjukkan itu dan mencari-cari baginda s.a.w. sehingga menuju ke telaga Aris. Sesampainya saya duduk di depan pintu menunggu sampai Rasulullah s.a.w. selesai hajat dan berwudhuk. Setelah itu saya mendekati baginda, yang sedang duduk di tepi telaga dan menurunkan kedua kakinya ke telaga.  Kemudian saya memberi salam kepada baginda, dan kembali ke depan pintu. Saya berkata dalam hati: “Hari ini saya benar-benar menjadi penjaga pintu Rasullullah s.a.w. “Kemudian Abu Bakar r.a. datang dan mengetuk pintu, saya bertanya:  “Siapakah ini?” Dia menjawab: “Abu Bakar.” Saya berkata: “Tunggu sebentar!” Saya mendatangi Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasullullah, Abu Bakar minta izin untuk masuk.” Baginda bersabda: “Izinkan dia untuk masuk dan gembirakanlah dengan syurga.”  Abu Bakar pun masuk dan duduk di sebelah kanan Nabi s.a.w. sambil menurunkan kedua kakinya ke telaga sebagaimana yang diperbuat Rasulullah s.a.w.  Kemudian saya kembali ke pintu dan duduk sambil mengingatkan  saudaraku yang sedang berwuduk dan akan menyusul saya. Saya berkata dalam hati: “Seandainya Allah menghendaki kebaikan kepada Fulan, maka Allah juga menghendaki kebaikan kepada saudaranya. Mudah-mudahan ia akan datang ke mari.” Tiba-tiba ada seorang yang menggerakkan pintu, maka saya bertanya: “Siapa itu?” Ia menjawab: “Umar bin Khaththab.” Saya menyuruhnya menunggu!” saya mendatangi Rasulullah s.a.w. setelah mengucapkan salam, saya berkata: “Umar minta izin untuk masuk.” Baginda bersabda: “Izinkan dia masuk dan gembirakanlah dia dengan syurga. “Maka saya menyambut Umar dan berkata: “Silakan masuk! Rasulullah menggembirakan kamu dengan syurga. “Umar pun masuk dan duduk di sebelah kiri Rasullullah s.a.w. di tepi telaga, serta menurunkan kedua kakinya ke telaga. Kemudian saya kembali ke pintu dan duduk sambil berkata dalam hati: “Seandainya Allah mengkehendaki kebaikan kepada Fulan, maka Allah juga menggerakkan hati saudaranya untuk datang ke mari. “Tiba-tiba datanglah seorang dan menggerakkan pintu. Saya bertanya: “Siapakah ini?” Ia menjawab: Uthman bin Affan.” Saya menyuruh untuk menunggunya! “Saya mendatangi Nabi s.a.w. dan memberitahu, bahawa Uthman minta izin untul masuk. Maka baginda bersabda: “Izinkan dia masuk dan gembiralah ia dengan syurga. Tetapi ia nanti akan terkena musibah! Maka saya menyambut Uthman dan berkata: “Silakan masuk! Rasulullah s.a.w. menggembirakan kamu dengan syurga tetapi nanti kamu akan tertimpa suatu musibah.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Ehwal Merendah Diri Seorang Syeikh

IA lahir pada 1078 M. Dan 900 tahun kemudian, saya yang dhaif ini dan suka sekali dengan figurnya lahir. Tentu saja, tak ada hubungan nasab, pertalian darah, atau pun jejak kekerabatan antara saya dan dia. Saya bukan sesiapa dalam semesta ini, sementara dirinya: penghulu para wali, yang ibunya — Ummul Khair Fatimah —masih dzuriyyah Nabi Muhammad s.a.w. melalui jalur cucu terkasih, Husein. Padanya berhimpun segenap kemuliaan: ilmu, makrifat dan karamah. Dan saya, bahkan ilmu pun masih terus mengais; termasuk mengais banyak darinya, belajar tanpa pernah berjumpa dengannya, mensigi lapis-lapis cahaya pada tiap kata dan kalimat yang diujarkannya. Itu pun kadang-kadang beruntung serupa ada yang terang-benderang di dalam kalbu, dan seringkali juga jatuh bangun, meraba-raba dalam cahaya yang kabur. Dan siapa yang tidak kenal dengannya: Syeikh Abdul Kadir al-Jailani. Lelaki mulia yang namanya harum dalam halaqah-halaqah ilmu, majlis-majlis kerohanian, dan ta’lim-ta’lim jam’iyyah. Sang sufi. ‘Alaamah. Penyair. Penganjur kebajikan. Penentang kezaliman. Seorang guru. Seorang yang berhimpun ilmu dan akhlak yang luhur. Manusia yang nasihat-nasihatnya dalam pelbagai hal, hingga kini, masih direguk para pencari jalan Ilahi.
Salah satu petua bestarinya itu ehwal tawaduk. Satu kata yang dalam kamus Munjid bererti merendah, tidak sombong. Dalam Al-Gunyah Lithalibil Thariiq Al-Haqq [Penerbit Serambi menterjemahkan buku ini menjadi Buku Pintar Tasawuf: Memahami Spiritualiti Islam dan Tarekat dari Ahlinya], Syeikh Abdul Kadir menghurai laku tawaduk - yang menurut saya — begitu indah dan tidak mudah. “Ia [yang tawaduk], jika bertemu dengan anak-anak di bawah umur atau yang lebih muda darinya, akan merendah seraya berkata: ‘Dia ini belum bermaksiat, sementara aku sudah banyak bermaksiat. Ia tentu lebih baik dari aku.’  Sementara jika ia bertemu dengan orang yang lebih tua, ia akan berkata: ‘Dia sudah lebih lama menyembah Allah daripada aku.’ Kepada orang alim, ia merendah sambil berkata: ‘Dia diberi sesuatu yang belum aku capai dan ia telah memperoleh sesuatu yang belum aku peroleh, mengetahui apa yang belum aku ketahui, dan beramal dengan landasan ilmu.’  Bahkan, terhadap orang bodoh pun, ia tetap merendah dan berkata: ‘Dia bermaksiat kepada Allah atas dasar ketidaktahuannya, sementara aku bermaksiat kepadaNya dengan segala pengetahuan, dan aku tidak tahu bagaimana nasib akhirnya dan nasib akhir diriku.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...

Awasi Ahli-Ahli Tasawuf Yang Menyeleweng

ORANG-ORANG ahli Tasawuf - khususnya yang ada di zaman sekarang - mempunyai prinsip dasar dan metode khusus dalam memahami dan menjalankan agama ini, yang sangat bertentangan dengan prinsip dan metode Ahlusunnah wal Jamaah, dan menyimpang sangat jauh dari Al Quran dan As Sunnah. Mereka membangun keyakinan dan tata cara peribadatan mereka di atas simbol-simbol dan istilah-istilah yang mereka ciptakan sendiri, yang dapat kita simpulkan sebagai berikut. Pertama, mereka membatasi ibadah hanya pada aspek Mahabbah (kecintaan) saja dan mengenyampingkan aspek-aspek yang lainnya, seperti aspek Khauf (rasa takut) dan Raja’ (harapan), sebagaimana yang terlihat dalam ucapan beberapa orang ahli tasawuf, “Aku beribadah kepada Allah ‘azza wa jalla bukan kerana aku mengharapkan masuk syurga dan juga bukan kerana takut masuk neraka!?”. Memang benar bahawa aspek Mahabbah adalah landasan berdirinya ibadah, akan tetapi ibadah itu tidak hanya terbatas pada aspek Mahabbah saja -sebagaimana yang disangka oleh orang-orang ahli tasawuf -, kerana ibadah itu memiliki banyak jenis dan aspek yang melandasinya selain aspek Mahabbah, seperti aspek khauf, raja’, dzull (penghinaandiri), khudhu’ (ketundukkan), doa dan aspek-aspek lain.  Salah seorang ulama Salaf berkata:  “Barang siapa yang beribadah kepada Allah ‘azza wa jalla dengan kecintaan semata maka dia adalah seorang zindiq, dan barang siapa yang beribadah kepada Allah dengan pengharapan semata maka dia adalah seorang Murji’ah, dan barang siapa yang beribadah kepada Allah ‘azza wa jalla dengan ketakutan semata maka dia adalah seorang Haruriyyah (Khawarij), dan barang siapa yang beribadah kepada Allah ‘azza wa jalla dengan kecintaan, ketakutan dan pengharapan maka dialah seorang mukmin sejati dan muwahhid (orang yang bertauhid dengan benar)”. Oleh kerana itu Allah ‘azza wa jalla memuji sifat para Nabi dan RasulNya, yang mereka sentiasa berdoa kepadaNya dengan perasaan takut dan berharap, dan mereka adalah orang-orang yang selalu mengharapkan rahmatNya dan takut akan seksaanNya. Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah: “Kebanyakan orang-orang yang menyimpang (dari jalan Allah), orang-orang yang mengikuti ajaran-ajaran bidaah berupa sikap zuhud dan ibadah-ibadah yang tidak dilandasi ilmu dan tidak sesuai dengan petunjuk dari Al-Quran dan As Sunnah, mereka terjerumus ke dalam kesesatan seperti yang terjadi pada orang-orang Nasrani yang mengaku-ngaku mencintai Allah, yang bersamaan dengan itu mereka menyimpang dari syariatNya dan enggan untuk bermujahadah (bersungguh-sungguh) dalam menjalankan agamaNya, dan penyimpangan-penyimpangan lainnya” (KitabAl ‘Ubudiyyah, tulisan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (hal. 90), cet. Darul Ifta’, Riyadh).

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2012 di pasaran...