Tuesday, October 16, 2012

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Berlalunya Syawal, menjenguklah Zulkaedah dan bakal dikunjungi bulan Zulhijjah. Itulah pusingan setiap tahun yang akan kita lalui selagi hayat dikandung badan. Bulan ini juga merupakan bulan sibuk bagi bakal-bakal haji untuk persiapan bertolak ke tanah suci. Alangkah bertuahnya hidup ini apabila terpilih menjadi ‘tetamu Allah’. Kepada bakal-bakal haji, pergunakanlah kesempatan sebaik mungkin apabila berada di sana untuk melengkapkan erti hidup dan menjadi muslim yang sejati. Mudah-mudahan kembalinya anda ke tanahair menjadi ‘manusia baru’ lahir dan batin. Dan sentiasalah menjadi ‘tetamu-tetamu’ di masjid-masjid dan surau-surau yang berhampiran dengan kediaman anda, InsyaAllah. Hidayah sebagaimana biasa terus menemui anda. Sudah berbelas tahun dan kini kami temui anda dengan angka bilangan 170. Bererti sudah seratus tujuh puluh kali kita sentiasa berhubungan. Tanpa jemu, tanpa bosan dengan sokongan berterusan dari anda semua, Alhamdulillah. Kisah-kisah iktibar yang kami paparkan kali ini tetap menarik dengan pelbagai ragam dan karenah hidup manusia. Melalui iktibar 1 kita bentangkan nasib seorang anak yang menderhakai ibu bagaimana aibnya jenazah apabila dihurungi oleh lalat-lalat. Dan bagaimana murninya kasih sayang seorang ibu walaupun pernah dihalau dari rumah kerana menyebelahi isteri melebihi ibu kandung. Keluaran ini juga banyak rencana-rencana lain yang perlu anda hayati dan ambil manfaatnya seperti ‘Rahmat Allah teramat besar di syurga’, ‘Kisah penciptaan Nur Muhammad’, ‘Zikir penggugur dosa’ dan lain-lain lagi. Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang. Semoga anda tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada kami.
Wassalam

Pengarang,
Shahimisaifulislam&yahoo.com.my

No comments: