Wednesday, March 14, 2012

Variasari Keluaran Mac 2011


Sudahkah anda memiliki Variasari edisi Mac 2012? Kalau belum dapatkan segera sebelum kehabisan...

Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca yang sudi menatap majalah ini. Sokongan yang cukup memberansangkan hari demi hari amat kami hargai.

Variasari menyajikan anda bahan bacaan 100% misteri. Dijamin anda puas membaca kisah-kisah yang dipaparkan.

Dapatkan segera majalah Variasari keluaran Mac 2012 sebelum terlambat.

Amaran keras: Ibu-ibu mengandung tidak di galakkan membacanya.

Harga cuma RM3.00 saja

Siri Bercakap Dengan Jin


Anda sedang membaca kisah yang turut dibaca oleh ribuan pembaca setia Siri Bercakap Dengan Jin sejak berpuluh tahun lamanya. Ia makin hangat diperkatakan oleh pembaca Variasari generasi kini. Pastikan anda terus mengikuti cerita bersiri ini ...

Antara Yang Menarik Dalam Variasari Mac 2012










Hidayah Mac 2012


Hidayah keluaran Mac 2012 sudah beredar di pasaran. Pastikan anda tidak ketinggalan memilikinya. Dapatkan segera sebelum kehabisan... Beli 2 naskhah...satu untuk anda satu lagi berikan pada jiran...!
Kami himpunkan
berbagai kisah-kisah menarik khusus buat tatapan anda untuk dijadikan iktibar. Isi kandungannya masih padat, cukup menawan sesuai dibaca semua lapisan masyarakat...Segera ke kedai-kedai buku berhampiran untuk mendapatkannya!

Senaskhah cuma RM3.90 sahaja

Iklankan Apa Saja Dalam Hidayah...

Langganlah Segera Melalui Pos


Kepada pembaca yang melanggan secara online e-maikan kepada kami salinan resit bayaran bersama maklumat peribadi serta tarikh mula majalah yang anda ingin kami hantarkan...ke alamat: majalahhidayah@yahoo.com

Salam Kami Mac 2012

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita kehadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Hidup ini memang penuh dengan warna warni. Ada buruk dan ada baiknya. Ada suka dan dukanya. Itulah ragam kehidupan manusia. Alangkah baiknya setiap yang berlaku dikalangan masyarakat dapat menjadi iktibar untuk panduan hidup bersama. Itulah juga yang menjadi matlamat Hidayah menyiarkan kisah-kisah iktibarnya pada setiap keluaran. Kisah-kisah yang dipaparkan itu hanyalah sekelumit peristiwa yang dapat disaring berbanding dengan ribuan kisah yang berlaku saban masa di muka bumi Allah ini. Begitu jugalah dengan paparan kisah-kisah iktibar kali ini. Adakah hanya dengan ‘sebilah lidi’ digunakan tanpa izin harus menerima seksaan begitu hebat di kuburan? Kisah ini disiarkan dengan mengambil perkiraan mesej disebaliknya. Bukan soal logik atau tidaknya. Hanya Allah saja yang tahu hikmah sesuatu yang terjadi. Dalam kehidupan suami isteri juga, tidak dinafikan berlakunya keganasan rumahtangga. Suami yang ‘terlampau’ bertindak diluar batas dan tanggungjungjawab moral. Itulah yang mahu dipaparkan dalam kisah iktibar 3 dan iktibar 4. Dalam keluaran kali ini turut disajikan melalui ‘Jendela Islam’ mengenai negara Mauritius. Negara kecil ini jarang diberi perhatian tetapi apabila diketengahkan memang menarik dengan kelompok masyarakat Islamnya yang gigih meningkatkan syiar Islam di ‘pulau syurga’ itu. Sementara itu tersentuh juga keharuan apabila menerima banyak teguran dengan kesilapan tak sengaja menyiarkan ilustrasi jemaah haji ‘bersongkok’ di cover majalah ini keluaran Januari lalu. Ianya memberi kesedaran memang ada pembaca yang sensitif dan ‘sayang’ terhadap ‘Hidayah’. Kami terima setiap teguran tersebut dengan dada terbuka. Semoga jalinan antara anda dengan ‘Hidayah’ sentiasa erat. Tegur dan kritiklah kami seandainya teguran itu dapat membawa kebaikan bersama.
Terima kasih atas sokongan anda selama ini. Berjumpa lagi dalam keluaran akan datang.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

Jenazah Diseksa Kerana Sebilah Lidi?

SEBUT saja namanya Adi, pemuda yang pekerjaannya suka menggali kubur. Tapi, dia menggali kubur itu bukannya untuk menguburkan jenazah. Tapi, justeru untuk mengambil tali kain kafan mayat yang baru saja dikuburkan. “Katanya, tali itu digunakan untuk tujuan ilmu sihir,” ujar Nenek Sumirah, yang mengetahui kejadian ini. Kebiasaan Adi ini telah berlangsung lama, dan dia sebenarnya sudah lama dicurigai. Namun, tidak ada yang berani mendakwanya atau mengadukannya ke polis kerana perbuatannya tidak pernah dapat dikesan. Kerana itu, aksi-aksi Adi pun selalu berjalan lancar dan tidak ada apa-apa yang boleh menghalang. Suatu ketika, di kampung x, luar pulau Jawa, ada seorang lelaki cukup terkenal meninggal dunia. Rupanya, kematian lelaki ini dimaklumi juga oleh Adi. Kerana itu, dia pun sudah mempersiapkan dirinya untuk beraksi jika jenazahnya sudah dikuburkan. Dan benar saja, beberapa jam setelah jenazah lelaki yang berkedudukan tinggi itu dikubur, Adi pun beraksi pada malam harinya. Anehnya, tidak ada orang yang menunggui kubur baru itu. Hal ini pun membuat pekerjaan Adi berjalan lancar lancar saja. Tanah kubur baru mudah saja digali semula. Tanahnya lembut dan gembur. Bukannya macam mengorek lubang kubur baru. Perlahan-lahan Adi mengeruk dan menggali tanah kuburan yang baru itu. Semakin lama kian dalam. Namun, di tengah asyiknya dia menggali kuburan itu, tiba-tiba dia terhenti mendadak. Dia melihat pemandangan aneh yang mungkin baru kali itu dilihatnya. Ternyata, jenazah yang baru kelmarin dikuburkan itu sudah tidak lagi dalam kedudukan mengiring, tapi dalam keadaan duduk. Yang lebih aneh lagi, seluruh kain kafannya berdarah, seolah baru mengalami kecederaan hebat dan dahsyat. Hal ini pun begitu menakutkan Adi. Walaupun pekerjaan yang dibuatnya memang macam kerja orang samseng atau ‘gedebe’ (kata orang Kelantan), tapi bila pertamakali terserempak kejadian aneh itu, hilang sifat gedebenya sehingga dia segera beranjak dari liang lahad itu dan lari tunggang langgang. Dalam keadaan panik begitu, tanpa sedar atau tak sengaja Adi justeru menceritakan kejadian itu. Dia melapor kepada beberapa orang yang ditemuinya di jalanan bahawa dia baru saja melihat jenazah berdarah di dalam kubur dalam keadaan duduk.
Perkhabaran ini pun segera menyebar dan gemparlah seketika para penduduk di kampung x tersebut. Dengan dipimpin oleh seorang ustaz dan ketua kampung, masyarakat datang beramai-ramai untuk melihat kejadian itu. Benar saja, apa yang diceritakan oleh Adi itu membuat semua orang tersentak ngeri. Sebahagian ada yang langsung pulang dan sebahagian lagi ada yang terus bertahan di situ untuk terus menyaksikan peristiwa aneh dan mengerikan tersebut. Namun, kejadian luar biasa itu akhirnya berhasil mengungkap kesamaran lainnya yang selama ini tertutup dan masih dalam dugaan, iaitu mengenai siapa pelaku di balik semua kejadian hilangnya tali kain mayat. Adi pun tidak boleh mengelak lagi kalau selama ini pelakunya adalah dirinya. Rupanya Allah telah mengungkap tabir gelap yang selama ini sulit diungkap melalui sebuah kejadian yang luar biasa itu. Pertanyaan berikutnya: Mayat siapakah yang ditemukan Adi dalam keadaan mengerikan tersebut? Kenapa mayatnya boleh jadi sedemikian mengerikan padahal baru beberapa jam dia dikubur? Apakah masa hidupnya dia seorang samseng, penjenayah, perampas harta warisan atau sebagainya? Yang jelas, jenis kelamin mayat itu adalah seorang lelaki berusia 55 tahun. Dia adalah lelaki cukup terpandang di kampungnya. Banyak orang yang mengenalnya sebagai orang yang baik. Tidak ada sebab untuk menaruh kesal kepadanya. Lalu, apa yang diperbuat lelaki itu sehingga keadaannya sedemikian mengerikan saat baru dikubur? Tidak bermaksud mendahului keputusan Tuhan, namun apa yang diceritakan oleh Sumirah ini setidaknya boleh memberikan gambaran kepada kita mengenai apa yang sebenarnya terjadi pada lelaki tersebut. Menurut Sumirah, lelaki itu bernama Zainal. Dalam pandangan kebanyakan orang, dia sebenarnya orang yang baik-baik. Dia sering mengisi pengajian di kampungnya. Saat ada acara majlis tahlil atau bacaan yasin di kampung, dia sering didahulukan menjadi pemimpinnya. Namun, menurut nenek itu, suatu ketika orang yang cukup terpandang itu melakukan suatu kesalahan tak disengajakan, yang bagi kita memang dianggapnya remeh temeh saja. Kononnya pada malam ke tujuh majlis tahlil salah seorang penduduk. Menurut maklumat yang beredar, saat acara berlangsung dan sedang makan-makan, orang yang dipanggil ustaz di kampungnya itu mengambil ‘lidi penyapu’ yang bersandar di sudut rumah tersebut secara syubhat atau tanpa minta izin dulu. ‘Lidi penyapu’ itu dia gunakan untuk mencungkil sisa-sisa makanan yang tersangkut di celah-celah giginya. Kelihatannya perkara ini memang nampak remeh temeh, tapi justeru hal inilah yang menjadi sesuatu yang memberatkan dirinya di alam kubur itu.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Jalan Berliku Seorang Wanita Buta

“Sayur... sayur..!” Teriak Nenek Ijah, 65, menawarkan barangan jualannya. Suara nenek yang gigih ini terus membahana, membelah kesunyian kampung. Dengan sisa tenaga yang ada, wanita ini terus berteriak menjajakan jualannya. “Sayur... sayur..!” Nenek Ijah tak penat-penat menyusuri jalan kecil perkampungan itu. Sudah jadi kebiasaan padanya. Sebatang tongkat di tangan menuntun tubuhnya. Dia memang tidak dapat jauh dari tongkatnya kerana dia seorang buta. Di belakangnya terdapat sebuah bakul berisi penuh beberapa jenis sayuran. Untuk melindungi panas yang menyengat, dia selalu mengenakan sejenis topi berbentuk bulat terbuat dari anyaman bambu yang melindunginya dari terik sinar matahari. Setiap pagi, Nenek Ijah melakuni aktivitinya itu. Berjualan sayur-sayuran keliling kampung. Dari satu simpang kampung ke simpang lainnya sampai semua barang jualannya habis. Hebatnya, semua itu dilakukannya seorang diri meski kedua matanya buta. Mungkin orang yang melihat merasa kasihan dengan keadaan Nenek Ijah. Sebab keadaan tubuh badannya sudahlah kurus, tidak boleh melihat pula. Selain itu, dia harus menapaki jalanan kampung mulai selepas waktu subuh hingga siang menjelang. Namun bagi si nenek ini, semua itu tidak menjadi penghalang. Meski ada kekurangan fiziknya, dia pantang menggantungkan nasibnya kepada orang lain. Dia tidak mahu menadahkan kedua tangannya kepada anak-anaknya yang sebenarnya cukup mampu memenuhi keperluan sehari-harinya hingga dia tidak perlu bekerja.
Begitulah Nenek Ijah, prinsipnya teguh. Selagi kakinya masih kuat berjalan, dia tidak akan menyerah pada keadaan. Dia akan terus berusaha semampunya. Sebab bekerja merupakan satu kemuliaan. “Nenek memang mahunya bekerja terus. Padahal pihak keluarga jauh-jauh hari sudah memintanya berhenti sajalah apalagi usianya sudah tua. Sebaliknya dia tidak berkenan apalagi sampai kita sendiri kena marah, ya akhirnya kita tidak boleh memaksanya,” cerita Jazuli, 45, salah seorang yang ada hubungan keluarga dengan Nenek Ijah, kepada Hidayah.
Sedar dilahirkan dari keluarga kurang mampu, Nenek Ijah tak banyak memprotes. Pekerjaan itu tetap dijalaninya. Sejak kecil, dia memang sudah biasa membantu ibu bapanya yang juga berjualan sayur-sayuran dengan kereta sorong. Kiranya usaha niaganya itu bagaikan warisan dari ibu bapanyalah. Nenek Ijah sebenarnya lahir dalam keadaan normal. Ketika berusia 4 tahun, suatu penyakit menyerang matanya. Risiko yang harus dibayar pun mahal. Ijah kecil itu harus kehilangan kedua bola matanya. Sudah tentu, Ijah tak mampu lagi menikmati keindahan alam dunia ini. Mulai saat itu, dia harus membiasakan diri menjalankan aktivitinya tanpa melihat. Paling tidak sebilah tongkat yang setia menemani kemana kakinya melangkah. Setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia, Ijah meneruskan pekerjaan ibu bapanya sendirian. Meski tak melihat, dia sudah hafal jalanan yang harus dilewatinya. Hanya bedanya kalau dulu menggunakan kereta sorong, sekarang ini cukup dengan bakul yang digendong di belakangnya. Semua orang-orang di kampung itu sudah sangat mengenal Nenek Ijah. Kalau ada perempuan yang berjalan terus sepanjang hari di sekitar perkampungan itu, dialah orangnya.

Pengalaman Pahit
Siang begitu terik. Nenek Ijah memutuskan istirahat di bawah pohon beringin yang rendang. Nenek seorang ini memang biasa berhenti sejenak jika badannya sudah terasa sangat letih. Sekadar melepaskan penat, sekadar meluruskan kedua kakinya yang sudah terasa tegang-tegang atau sekadar mengisi kerongkongannya yang sudah kehausan. Dia letakkan bakul di sampingnya. Masih ada sedikit sayuran yang tersisa di dalamnya. Lalu diambillah kain yang menutupi kepalanya. Kemudian dia mengibas-ngibaskannya. Tampaklah sebahagian rambutnya telah memutih perak. Wajahnya keriput. Tak terasa, sepanjang perjalanan hidupnya hampir dia habiskan dengan menjalani ‘kerjaya’ yang satu ini. Dari masih kanak-kanak kecil yang sekadar ikut-ikutan ibu bapanya berjualan keliling kampung hinggalah berjalan sendirian dalam usia setua ini. Kerana lamanya menjadi tukang jual sayur, maka jangan ditanya berapa kilometer yang telah ditempuhnya dengan berjalan kaki, padahal pekerjaan ini dilakukan hampir setiap hari. Nenek Ijah menyedari mungkin inilah takdir yang harus dilakoninya. Di bawah pohonan itu, dia seperti menemukan sejemput kebahagiaan. Di tengah beban hidup yang dia jalani, dia masih boleh menikmati hembusan angin yang sejuk siang itu. Nenek Ijah lantas mengeluarkan sebotol air dari dalam bakul. Setelah membasuh mukanya, kini giliran mengisi kerongkongannya. Rasanya dahaga itu telah menghilang.
Setengah jam, Nenek Ijah melepas lelah. Sayang kebahagiaan itu hanya berlangsung sebentar. Mendadak mimik di mukanya berubah. Selarik kesedihan menggurat wajahnya. Rupanya, bayangan masa lalu muncul. Masa lalu yang menggoreskan luka teramat dalam. Hati Nenek Ijah seolah terhiris-hiris. Begitu pedih. Begitu menyakitkan. Seluruh tubuhnya seakan dicabik-cabik saat mengingat saat-saat terburuk di dalam hidupnya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Pemabuk Yang Maut Terbakar

MALAM Jumaat, di sebuah pasar, heboh berita terbakarnya deretan beberapa kios. Sejumlah 15 kios dilahap api yang menyemarak gila dengan ganasnya. Orang ramai berhamburan menyaksikan kejadian itu. Beberapa buah kereta bomba pun berdatangan dan mencuba memadamkan api. Sementara itu, para pemilik kios sibuk menyelamatkan barang jualan masing-masing. Beberapa wanita histeria menyaksikan peristiwa itu. Sepasukan bomba itu akhirnya berhasil memadamkan kebakaran tersebut. Banyak barang dagangan terbakar hangus. Sebahagian besar memang tidak terselamatkan. Kerugian harta benda dianggarkan mencapai ratusan ribu ringgit. Kios yang terbakar adalah bahagian pakaian dan aksesori. Kesimpulan menyebutkan bahawa kebakaran disebabkan berpunca api dari sisa puntung rokok. Api dari puntung rokok itu merambat dan akhirnya membakar tempat buangan sampah kertas. Apalagi...api kemudian menyambar kemana-mana. Sampai begitu sekali akibatnya? Dari kejadian ini ada satu tragedi yang menimbulkan tanda tanya. Sebab, di tempat kejadian itu tidak hanya menelan kerugian harta benda, tapi juga korban nyawa. Dua tubuh lelaki tergeletak hangus di sebuah kios kosong. Mereka baru saja melakukan pesta minuman keras. Ada kemungkinan, puntung rokok itu disebabkan kerana perbuatan lelaki tersebut. Tragedi itu sebenarnya sudah lama terjadi. Sudah berlalu lapan tahun silam, di sebuah kota kecil, penduduk sekitar digemparkan khabar terkorbannya dua orang lelaki dalam nahas kebakaran tersebut. Dua lelaki itu terbunuh dalam keadaan memprihatinkan. Tubuh mereka hampir menjadi arang. Mereka terkorban kerana mabuk tidak sedarkan diri dan tidak menyedari bahawa tempat yang mereka tempati itu telah dikepung kobaran api. Kedua lelaki tersebut meninggal dunia dengan keadaan yang mengharukan. Tak ada kata simpati terlontar dari orang ramai. Yang ada hanya umpatan dan cacian kerana perbuatan buruk yang pernah mereka lakukan. Terbunuhnya mereka justeru melegakan para penduduk yang merasa dirugikan oleh tingkah laku tak senonoh lelaki berdua ini. Pihak polis kemudian membawa jenazah korban kebakaran itu ke bahagian forensik di sebuah hospital di kota. Setelah dilakukan bedah siasat, dapat dikenal pasti bahwa penyebab kematian dua lelaki itu kerana terbakar api, dan sebelumnya mereka dalam keadaan mabuk. Bukti di tempat kejadian yang memperlihatkan botol-botol arak yang bergelimpangan. Ada kemungkinan juga bahawa mereka berdua ditinggal kawan-kawannya setelah selesai pesta itu. Tidak mungkin sebuah pesta mabuk-mabuk seperti itu dilakukan oleh dua orang sahaja. Hanya saja, kawan-kawan yang terlibat dalam pesta berkenaan ghaib pada saat kejadian. Salah seorang dari dua korban kebakaran itu bernama Afifi. Dia sudah beristeri dan dikurniai dua orang anak yang masih kecil. Pekerjaannya sebagai pemandu lori. Dia sering membawa barang dagangan dari kota lain ke pasar di kota tersebut. Salah satu kebiasan buruknya adalah suka mabuk-mabuk. Dia dan kawan-kawannya sering berpesta minuman keras sambil berjudi daun terup setiap kali singgah di pasar tersebut
Salah satu tempat yang asyik untuk berjudi dan mabuk adalah kios kosong tidak terpakai itu. Lokasinya paling hujung diantara kios-kios yang lain. Tempatnya agak terpisah. Maka, lokasi yang demikian menjadi tempat selesa untuk mabuk-mabuk dan berjudi. Setiap kali berpesta, dia dan kawan-kawannya tidak melakukannya pada siang hari, melainkan memilih pada malam hari, manakala orang ramai di pasar mulai sepi. Selama menjadi penagih minuman keras, Afifi memang tidak disukai oleh keluarga dan orang-orang di kampungnya. Seluruh warga sekampung bahkan sempat khuatir jika kebiasaannya itu dapat berjangkit kepada anak-anak muda lainnya. Kerana, dikhuatirkan banyak anak-anak di kampung mengikuti jejaknya dan kawan-kawannya. Beberapa tokoh masyarakat dan agama memang sempat menasihati dan menegur dia. Bahkan, ibu bapanya juga sudah kehabisan akal untuk mengajak dia kembali ke jalan yang wajar. Namun, dia tetap saja tak mengindahkannya. Baginya, apa yang dia lakukan itu tidak ada kena mengena langsung bagi masyarakat sekitar. Fikirnya, masyarakat pun tak perlu ambil pusing soal dirinya. Dia dan beberapa temannya sering mengganggu ketenteraman mereka yang berjual beli di pasar. Di siang hari, dia biasanya lepak-lepak di pinggir bawah jembatan, di seberang pasar itu. Di sana, dia dan teman-temannya berkumpul untuk membincangkan soal ‘tikam nombor ekor’. Suatu malam, dia dan rakan-rakannya berkumpul di sisi bawah jembatan. Di sana dia merancang mengadakan pesta judi dan minuman keras. Segala perlengkapan pun disiapkan. Afifi terlihat senang sekali malam itu. Tapi, malam itu rupanya menjadi malam terakhir buat dirinya. Sebab, akhirnya, dia tewas dengan sejumlah barangan haram itu. Dia tergeletak tak bernyawa di tempat pembaringannya. Sementara kawan-kawan lainnya yang tidak mabuk berat sempat menyelamatkan diri mereka masing-masing. Sementara Afifi dan seorang rakannya lagi mabuk berat, sehingga tidak menyedari maut yang mengintai persekitaran mereka.

Terlambat
Satu hari, seorang lelaki melajukan lorinya melebihi 100 Km sejam. Lelaki itu tak lain adalah Afifi. Umurnya sekitar 30-an. Pekerjaannya setiap hari adalah membawa barang-barang dari hari Isnin hingga Isnin berikutnya. Tak ada istilah ‘hari cuti’ dan istirahat dalam kamus pekerjaannya. Dia mendapati waktu cutinya hanya sekali dalam sebulan. Selebihnya dia hanya boleh istirahat di kala senja. Itu pun di jalan. Di mana dia kepenatan, di situ dia akan beristirahat. Itu boleh jadi di pasar, di warung, di restoran, di rumah-rumah rehat, mahupun di dalam lori.
Pekerjaannya dihabiskan untuk menyusuri jalan-jalan raya. Dalam sebulan dia hanya berkumpul dengan keluarga hanya dua hari. Pendek kata, keluarganya sering ditinggalkan cukup lama. Dia sebenarnya memiliki keluarga yang cukup baik dan memberi perhatian kepadanya. Anak-anak bersekolah dan rajin membantu ibunya di rumah. Sementara isterinya juga ringan tulang membantu ekonomi keluarga. Dia berusaha membuka gerai kecil yang menjajakan beberapa jenih kuih muih di depan rumah. Tak ada kenakalan pada sifat anak-anaknya. Isterinya pun termasuk wanita penurut. Mereka hidup rukun damai di tengah-tengah masyarakat. Isterinya menerima pekerjaan si suami dengan senang hati, meski dia sering ditinggalkan oleh suaminya. Namun, itu semua ternyata tidak membukakan mata hati Afifi. Pekerjaan yang dia jalani dianggap tak memperoleh kenikmatan setimpal. Dia bekerja siang dan malam untuk keluarganya. Sementara dia tak mendapat kenikmatan hidup. Dia tetap saja menyusuri jalan-jalan raya. Rasa bosan dan jemu kadang-kadang berkecamuk di dalam jiwa. Pada peringkat awalnya, dia masih mampu menahan godaan. Rakan-rakannya yang sama-sama jadi pemandu lori kerap memujuk dan mengajaknya untuk bergabung dalam riuh pesta gemerlap malam. Namun, dia selalu menolak. Dia berprinsip bahawa pekerjaannya tak harus dinodai dengan hal-hal sekeji itu. Tempat-tempat karaoke dan bilik-bilik urut terkadang menjadi sajian yang menggiurkan di kala tubuh sedang kepenatan. Godaan dan ajakan sering menghampirinya. Di saat dia hendak beristirahat di warung, hanya untuk sekadar makan dan minum, teman-temannya selalu mengajaknya ke kelab malam untuk sekadar menghilangkan ‘stres’ dan kepenatan yang tak jauh dari tempat peristirahatan para pemandu.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Zaman Jepun Sudah Berlaku Hukuman Pancung

MEREKA yang hidup zaman pemerintahan Jepun di Malaya dulu memang banyak menyimpan kisah menarik dan menakjubkan. Tidak ramai yang tahu tentang kisah-kisah lama itu. Cuma mereka yang mengalami saja yang mengingatinya. Itu pun bukanlah semua perkara yang boleh diingati. Bagi mereka yang lahir sekitar awal tahun empat puluhan, tentulah tidak tahu cerita-cerita pemerintahan askar Jepun yanag terkenal dengan kezaliman dan kekejamannya. Keluaran lalu (Februari 2012) diceritakan bagaimana askar-askar Jepun menaiki basikal lalu di kampung-kampung Melayu, dan melakukan jenayah-jenayah kecil buat itu dan ini. Penduduk-penduduk kampung disuruh tanam ubi kayu untuk makanan utama rakyat ketika itu. Jepun, kata orang, memang zalim ketika itu. Tetapi, dah tak zalim lagi sekarang. Semuanya baik-baik belaka. Cuma zaman perang saja, askar-askarnya ganas dan jahat. Di Melaka ada sebuah kampung namanya “Kampung Bukit Lintang”. Di kawasan inilah Jepun mengarahkan dengan mengerahkan tenaga kerja orang-orang Melayu untuk menggali “lubang”.
Lubang tersebut disebut “lubang peto”. Terlalu banyak lubang digali, dan benteng-benteng pertahanan juga dibina di kawasan ini. Tujuan dibuat lubang itu, sekiranya ada serangan-serangan luar, maka orang ramai boleh masuk lubang itu sebagai “perlindungan”. Di kawasan Bukit Lintang ini juga ada satu “rel keretapi”, dan keretapi yang mengangkut batu-batu ke negeri Jepun. Semasa itu saya dan beberapa kawan lain masih kecil, belum bersekolah, dan menjual kuih di kawasan orang-orang Melayu bekerja di lereng-lereng bukit itu. Di lereng bukit itu pihak tentera Jepun mengarah semua tenaga “buruh paksa” itu bekerja siang malam untuk mengorek batu-batu, yang berada di lereng bukit itu. Semua batu itu dimuatkan dalam “koc” keretapi yang panjang kemudian keretapi itu akan berjalan dari kawasan bukit Lintang terus menghala ke satu kawasan bernama “Ketapang”. Ketapang, letaknya tidak jauh dengan laut. Di sinilah ada kapal berlabuh untuk membawa batu-batu tersebut ke negara Jepun. Batu-batu itu khabarnya sangat bernilai. Ia digunakan untuk membuat berbagai-bagai alat perang yang diproses menjadi alat-alat senjata, kereta kebal dan macam-macam lagi untuk berperang. Anak-anak Melayu sama ada yang muda atau pun yang tua dikerah untuk bekerja memecah bukit tersebut untuk mengeluarkan batu.
Pekerja-pekerja ini di upah hanya dengan “makan ubi rebus” dan makanan-makanan lain yang tidak mengenyangkan. Tentera Jepun sentiasa mengawal di kawasan tempat orang-orang Melayu bekerja. Mereka yang menjalankan tugas dengan tidak betul, akan kena lempang dari tentera-tentera Jepun yang bertugas.
Kawasan tempat buruh-buruh paksa menjalankan kerja ini, orang lain yang tidak ada kena mengena tidak dibenarkan masuk. Ia hanya untuk para pekerja saja. Menurut orang-orang bekerja yang menjadi “buruh paksa” itu, ada kes dimana ada pekerja yang dipancung oleh tentera Jepun. Orang ini dipancung dengan pedang Jepun ialah kerana orang ini “malas buat kerja”, dan membantah apa yang diarah dan diperintahkan oleh tentera Jepun.
Oleh kerana pekerja ini dianggap “melawan” apa yang diperintahkan maka hukuman yang diterima ialah “memenggalkan kepalanya”. Kemudian kawan-kawan yang ada di situ mengelolakan jenazahnya menurut Islam dan dikebumikan di situ juga. Tentera Jepun, kalau boleh mayat itu dibuang saja di kawasan semak samun atau pun dicampak dalam “curam” (gaung) di kawasan bukit bakau itu. Kepayahan dan penderitaan yang dialami oleh orang-orang Melayu yang bekerja di situ tidak boleh nak dibayangkan betapa deritanya dan peritnya bekerja ditengah-tengah panas itu. Tetapi apa nak buat? Apa nak kata? Ketika itu orang tidak boleh membantah, dan tidak boleh “melawan”, orang atau pun rakyat tidak boleh “melangkah arus”, hukumannya ialah “pancung”, habis cerita...Ada yang panas baran, ada panas darah lalu “melawan” tentera Jepun yang bertugas di situ, maka akibatnya, orang itu habis riwayat hidupnya, lehernya terpenggal. Kezaliman tentera Jepun ketika itu tak boleh nak kata. Semua tentera, pegawai, kakitangan, barua-barua (tali barut) Jepun semuanya mempunyai kuasa “veto”. Barua-barua Jepun dari kalangan orang-orang Melayu pun lebih zalim dari orang Jepun itu sendiri, kerana barua-barua ini nak mengampu pegawai-pegawai Jepun. Salah sikit je dilakukan oleh orang-orang kampung, si barua-barua ini mengadu dan orang itu paling ringan hukumannya “kena tempeleng” je... Kalau didapati berat kesalahannya, maka orang kampung itu dipenjara tanpa bicara. Tidak tahu sampai bila dalam penjara itu.
Saya masih ingat lagi, ada suatu kes dimana seorang Melayu yang pada zaman pemerintahan British, dia diceritakan sebagai seorang pegawai British yang berpengaruh. Dia boleh bercakap Inggeris dengan baik. Dia belajar undang-undang dan membuka “firmnya” sendiri sebagai “peguam” yang berkaliber. Kemudian Jepun menyerang Malaya, kedudukannya macam biasa saja, tetapi ada seorang “barua Jepun” yang menaruh dendam terhadapnya lalu memfitnahnya, dan tentera Jepun memerintahkannya supaya dia dipenjara. Dia dipenjara tanpa bicara. Zaman Jepun, zaman perang mana ada bicara dalam mahkamah, semuanya main sumbat saja. Sehinggalah pada suatu ketika orang itu didapati mati terbunuh dalam penjara itu. Menurut siasatan dari kalangan keluarga si mati itu, lelaki itu mati dibunuh dalam penjara. Tentulah si barua Jepun ini melakukan hal khianat seperti itu. Semoga Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa-dosanya atas perbuatannya yang durjana itu. Allah itu Maha Pengasih, Maha Pengampun dan Maha Segala-galanya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Dialog Nabi s.a.w. Dengan Kijang

DALAM sejarah kerasulan, mungkin, kita hanya mengenal Nabi Sulaiman a.s. yang boleh berkata-kata dengan binatang, seperti dialog baginda dengan seekor semut. Namun, sesungguhnya, Nabi Muhammad s.a.w. pun berkali-kali pernah melakukan dialog dengan binatang, bahkan pernah juga dengan makhluk-makhluk lainnya, seperti gunung, batu, atau pohon. Hal ini menunjukkan bahawa makhluk Allah lainnya, selain manusia dan binatang, boleh jadi punya mulut yang tentu saja tidak seperti mulut manusia. Namun, kita tak pernah tahu bagaimana bentuk mulut mereka dan bagaimana cara mereka berbicara. Hanya Allah dan orang-orang tertentu saja yang boleh melakukannya. Sisi lain, hal itu juga menggambarkan tentang kemukjizatan Nabi atau Rasul. Ertinya, seorang Nabi atau Rasul kerapkali diberikan kelebihan-kelebihan yang kadang bersifat ‘metafizik’ sebagai pembuktian kenabian atau kerasulannya. Itulah yang dimaksud dengan mukjizat. Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah, dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak ada seorang pun di antara para Nabi kecuali mereka diberi sejumlah mukjizat yang di antaranya agar manusia beriman kepadanya dan mukjizat yang aku terima adalah wahyu. Allah mewahyukannya kepadaku. Maka aku berharap kiranya menjadi Nabi yang paling banyak pengikutnya pada hari Kiamat.” Lebih dari itu, kemampuan Nabi Muhammad yang boleh berbicara dengan segala makhluk Allah juga memberikan sebuah gambaran kepada kita bahawa ia memiliki ilmu yang paling sempurna di antara para Nabi dan Rasul yang pernah ada. Ia boleh menghidupkan orang mati, sebuah kelebihan yang pernah dimiliki Nabi Isa a.s. Ia juga pandai menafsirkan mimpi, seperti kemampuan Nabi Yusuf. Dan tentunya, ia juga memiliki kemampuan seperti Nabi Sulaiman, yang boleh berbicara dengan binatang. Tidak salah, jika ia adalah penutup para Nabi dan Rasul. Sehingga ketika ada orang yang mendakwa dirinya sebagai seorang Nabi atau Rasul setelah Muhammad s.a.w., itu merupakan suatu pendapat yang sesat. Kisah berikut ini salah satu contoh Nabi Muhammad boleh berbicara dengan kijang. Diriwayatkan Abu Na’im di dalam kitab Al-Hilyah, bahawa seorang lelaki tengah lewat di sisi Nabi Muhammad s.a.w. dengan membawa seekor kijang hasil tangkapannya. Lalu Allah yang berkuasa atas semua makhlukNya telah menjadikan kijang itu berbicara kepada Nabi Muhammad s.a.w. “Wahai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku mempunyai beberapa anak yang masih menyusu, dan sekarang aku sudah ditangkap sedangkan anak-anakku kelaparan,” kata kijang itu meminta belas kasihan. Rasulullah s.a.w. yang mengerti bahasa kijang itu lantas berdialog dengan si kijang. “Apa yang engkau harapkan dariku?” tanya Rasul. “Tolong perintahkan orang ini melepaskan aku supaya aku dapat menyusui anak-anakku dan sesudah itu aku akan kembali kemari,” janji kijang itu dengan sangat memohon pertolongan Nabi s.a.w. “Bagaimana kalau engkau tidak kembali lagi ke sini?” tanya baginda.
“Kalau aku tidak kembali kemari, nanti Allah s.w.t. akan melaknatku sebagaimana Ia melaknat orang yang tidak mengucapkan selawat bagimu apabila disebut namamu di sisiNya,” janji kijang itu. Lalu Nabi Muhammad pun bersabda kepada orang itu untuk melepaskan kijang itu buat sementara waktu. “Wahai pemuda, lepaskanlah kijang ini, dan aku akan menjadi penjaminnya,” kata Rasulullah. Atas perintah Rasul, pemuda itu pun akhirnya melepaskan kijang itu. Kijang itu langsung berlari menuju anak-anaknya untuk menyusui. Setelah semua anak-anaknya kenyang, si induk itu kembali lagi menemui Rasulullah dan pemuda itu menangkapnya kembali.
Tidak pula dijelaskan kisah kijang selanjutnya, apakah ia dipelihara, disembelih lalu dimakan dagingnya ataukah akhirnya dilepaskan kembali oleh pemuda itu. Yang jelas, setelah kejadian itu, Nabi Muhammad mendapatkan wahyu dari Malaikat Jibril berupa hadis Qudsi. Hadis itu berbunyi demikian, “Wahai Muhammad, Allah s.w.t. mengucapkan salam kepadamu dan Allah s.w.t. berfirman, “Demi kemuliaanKu dan kehormatanKu, sesungguhnya Aku lebih mengasihi umat Muhammad dari pada kijang itu mengasihi anak-anaknya, dan Aku akan kembalikan mereka kepadamu sebagaimana kijang itu kembali kepadamu.”

Iktibar Kisah
Demikian kisah Nabi Muhammad s.a.w. dapat berbicara dengan binatang, yang salah satunya adalah kijang. Banyak kisah lain ehwal baginda pernah berbicara dengan beberapa binatang, seperti kuda, daging yang telah dimasak dan sebagainya. Dari kisah ini ada beberapa hal yang dapat dipetik: Pertama, semua makhluk Allah, termasuk binatang, mengetahui kedudukan Muhammad s.a.w. sebagai seorang utusan Allah. Hal itu tampak ditunjukkan oleh kijang saat ia mengatakan, “Kalau aku tidak kembali kemari, nanti Allah s.w.t. akan melaknatku sebagaimana Dia melaknat orang yang tidak mengucapkan selawat bagimu apabila disebut namamu di sisiNya.”
Hal ini menggambarkan betapa agungnya kedudukan Muhammad di mata makhluk Allah lainnya. Mereka yang tidak punya akal saja mengakui kedudukan baginda, apalagi kita sebagai manusia. Kerana itu, selayaknya kita selalu mengagungkannya di setiap saat dan kesempatan dengan memperbanyak selawat kepadanya.
Kedua, binatang pun memiliki jiwa belas kasih (kasih sayang) kepada keluarganya sendiri. Hal itu tampak dari keinginan kijang untuk kembali menyusui anak-anaknya sebelum dirinya ditangkap. Sebuah keinginan yang akhirnya dikabulkan oleh Rasulullah. Ini menggambarkan bahawa meski dia seekor binatang, tapi naluri keibuannya tampak masih ada di tengah kematian sedang mengintipnya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Kubur Ajak Khalifah Umar Abdul Aziz Bercakap-cakap

SUATU hari, Umar ibnu Abdul Aziz ikut sebuah upacara penguburan. Ketika sampai di tempat pemakaman, dia pergi ke sebuah tempat terpencil dan duduk di sana sambil berfikir tentang sesuatu. Seseorang menyapanya dengan menanyakan apa sebab dia duduk menyendiri. Dia memberi tahu bahawa dia datang ke sana kerana atas panggilan kubur. Kubur itu telah berkata padanya: “Wahai Umar ibnu Abdul Aziz, mengapa tidak engkau tanya aku cara menyambut mereka yang datang untuk bertemu denganku?” Umar ibnu Abdul Aziz meminta kubur menceritakan hal itu. Kubur berkata: “Aku renggut peti-peti mati mereka dan merobek-robek kubur mereka sampai berkeping-keping, menyedut darahnya dan memakan dagingnya. Haruskah aku beri tahu engkau bagaimana aku mencerai-beraikan sendi-sendi orang yang meninggal? Aku pisahkan bahu dari lengan, lengan dari pergelangan, pinggul dari paha, paha dari tulang-belulang, lutut dari betis, dan betis dari kaki.” Setelah menyatakan hal itu, Umar ibnu Abdul Aziz menangis dan berkata: “Waktu tinggal di dunia ini cuma sebentar, tetapi banyak pemikatnya. Siapa yang dihormati di dunia, dia akan dihormati di akhirat. “Siapa yang kaya di dunia, dia adalah pengemis di sana. Mereka yang muda pasti menjadi tua, dan mereka yang hidup pasti akan mati. Orang harus menjauhkan diri dari dunia, kerana kalau tidak, ia akan menipunya. “Orang yang bodoh adalah orang tergila-gila padanya, di kota-kota besar, menggali terowongan, dan membuat tanaman mewah? Dia selalu menjaga kesihatannya, tetapi kesihatan itu hanya dipergunakan meningkatkan nafsu badaninya saja dan berasyik-asyik dengan dosa-dosa. Kekayaannya yang berlimpah menjadi sumber iri hati manusia lainnya di dunia. Dia mengumpulkan wang dengan rakus. “Orang lain iri terhadapnya, namun dia terus menumpuk kekayaan. Nafsu telah merosak bentuk tubuhnya. Cacing-cacing telah memakan habis sendi dan tulang-belulangnya. Dia dulu sering tidur di atas tempat tidur yang nyaman, singgasana mewah, bantal-bantal empuk, dan dikelilingi deretan pembantu untuk melayaninya. “Teman, keluarga dan tetangganya selalu siap memujinya. Dapatkah seseorang memberi tahu tentang pnderitaan yang dia tanggung? Orang miskin, orang kaya, semua ada di atas tanah yang sama. Di manakah kekayaan dan orang-orang yang kaya? Mampukah kekayaannya menolong dia? Apakah kemiskinan para pengemis telah mencelakakannya? Apa yang telah terjadi terhadap lidahnya yang fasih? Apa yang telah terjadi pada matanya yang biasa berputar-putar ke segala arah? Apa yang telah terjadi terhadap kulitnya yang halus, wajahnya yang cantik, tubuhnya yang gagah? “Betapa cacing-cacing akan menghancurkan tubuhnya, warna kulitnya menjadi hitam, dagingnya hancur habis, mulutnya tersumpal debu, tubuhnya tercerai berai dan sendi-sendir hancur. Dimanakah pembantu-pembantunya, yang mengurusnya dengan setia? Di manakah kediaman-kediamannya, di mana dia biasa beristirahat? Di manakah harta bendanya yang telah dia kumpulkan? Tidakkah para pembantunya yang mempersiapkan makan, membantunya menyiapkan makan di dalam kubur? Tidakkah mereka memberinya tilam dan bantal untuknya? Mereka melemparkannya di atas tanah tanpa pohon atau tanaman sekadar untuk berteduh. “Sekarang dia terbaring kesepian dalam kegelapan. Dia tidak tahu apakah siang atau malam. Dia tidak dapat bertemu dengan kawan-kawannya. Sungguh memilukan keadaannya. “Tubuh semua lelaki dan perempuan akan membusuk, bahagian tubuhnya akan tercerai-cerai, matanya keluar dari kelopaknya, lehernya terpisah, mulutnya dipenuhi air dan nanah, dan cacing-caing dan serangga merayap di semua bahagian tubuh mereka. Para penghuni kubur itu berada dalam keadaan yang memilukan, sementara isteri-isteri mereka telah terikat dalam perkahwinan dengan lelaki lain dan sedang berbulan madu. Anak-anak mereka sudah mengambil harta waris peninggalan mereka. Namun demikian, ada orang-orang yang beruntung di dalam kubur, orang yang bersenang-senang di dalamnya, orang yang roman wajahnya segar. Inilah orang-orang yang mengingat kubur ini, ketika masih hidup di dunia, dan lebih memilih tuntutan akhirat daripada tuntutan dunia, menyiapkan perbekalan untuk perjalanan menuju kubur.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Unta Nabi Saleh a.s.: Salah Satu Tanda Ayat-Ayat Allah

UNTA betina itu bukan seekor unta biasa. Sebab, unta itu adalah penjelmaan dari binatang yang berwujud fizik unta, tetapi sebenarnya ia adalah salah satu ayat dari ayat-ayat Allah. Dan unta itu muncul sebagai mukjizat untuk memenuhi tuntutan umat Nabi Saleh. Sebab, setelah Nabi Saleh diangkat Allah menjadi Nabi, pada awalnya kaumnya meragukan. Mereka lemah akal, dan masih menyembah berhala. Hanya beberapa orang sahaja yang mahu mengikuti Nabi Saleh. Tetapi Nabi Saleh tidak jemu-jemu mengajak ke arah kebaikan dan jalan tauhid. “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selainNya.” (QS. Al-A`raaf [7]: 73). Kata-kata itu adalah kata-kata yang sama sebagaimana ditegaskan Nabi sebelumnya, Huud a.s., Nuh a.s. dan seluruh Nabi dan Rasul Allah. Tapi, ajakan baik itu membuat kaum Tsamud diguncang badai. Apalagi mereka sudah lama menyembah berhala. Mereka pun mempertanyakan kenabian Nabi Saleh. Padahal, sebelum diutus jadi nabi, kaum Tsamud sebenarnya sudah menaruh harapan di bahu Nabi Saleh. Ilmunya tinggi, cerdas, dan ucapannya selalu dipercaya dan mereka berencana menjadikan Nabi Saleh sebagai pemimpin mereka atau tokoh yang dijadikan teladan. Ironisnya, setelah Nabi Saleh mengajak ke jalan keimanan, kepercayaan itu runtuh.
Mereka malu jika harus meninggalkan ajaran nenek moyang yang diwarisi secara turun-temurun. Kaum Tsamud berkata: “Hai Saleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan, apakah kamu melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh bapa-bapa kami? dan sesungguhnya kami betul-betul dalam keraguan yang menggelisahkan terhadap agama yang kamu serukan kepada kami.” (QS. Huud [11]: 62) “Lalu, bagaimana agar kalian percaya bahawa aku seorang Nabi?” “Buktikan kalau engkau memang Nabi! Bukankah engkau mengaku diutus Allah dan kami meragukan hal itu. Jadi, kenapa engkau tidak menunjukkan bukti atas dakwaan kenabianmu itu?” “Apa yang kalian inginkan untuk aku tunjukkan?”
“Tunjukkan bukti atas kenabianmu!” “Apa yang kalian inginkan?” “Jangan beranggapan kami ingin menekanmu. Kami hanya ingin sesuatu yang luar biasa yang belum pernah terjadi sebelumnya. Kami menginginkan sebuah ayat dari Allah atas kenabianmu. Kami ingin sesuatu yang belum pernah terjadi sebelumnya.” “Apa yang kalian inginkan dengan sesuatu yang luar biasa itu?” “Lihatlah gunung yang dekat itu! Kenapa ia tidak boleh melahirkan seekor unta? Kenapa engkau tidak berdoa kepada Allah agar gunung itu terbelah lalu keluarlah seekor unta dari dalamnya.” “Dan kalian akan percaya bahawa aku seorang utusan Allah kalau itu terjadi?” “Ya, ketika itulah kami akan percaya kepadamu, ketika itu saja...” Seseorang di antara mereka bahkan menegaskan, “Bukan sebelum kau melakukan itu...” Nabi Saleh kemudian berdialog dengan Allah tentang permintaan mereka. Nabi Saleh berkata, “Kalian menginginkan sebuah ayat yang tampak dan luar biasa. Sedang ayat yang kalian minta itu berada di luar sunnah alam. Bukan suatu adab ketika seorang hamba meminta kepada Tuhan sesuatu yang luar biasa di luar sunnah alam agar mereka beriman kepada-Nya.” Tapi mereka tetap congkak. “Akui saja jika kamu tak mampu.” “Perangai kalian ini seperti anak-anak yang menginginkan mainan ajaib. Dan ini bukan adab yang baik kepada Allah.” “Hai Saleh, ketika kau mendakwa bahawa dirimu sebagai Nabi, adalah hak kami untuk menuntut kamu menunjukkan bukti atas dakwaan itu agar kami percaya.” “Aku khuatir jika aku perkenankan tuntutan itu, kalian tetap mengingkari ayat ini suatu saat nanti. Aku takut azab Allah akan datang...” “Kami tak akan kafir, kami berjanji bahawa kami akan percaya pada ayat tersebut dan tidak akan kami ganggu-ganggu.” “Kalian berjanji?” “Kami semua berjanji kepadamu.” Nabi Saleh berdoa kepada Allah. Allah mengabulkan tuntutan mereka. Di luar dugaan, dari batu-batu gunung itu keluar seekor unta. Begitulah unta itu hadir di tengah kaum Tsamud, ia dilahirkan dari kalimat Allah dan dari batu-batu gunung. Seketika itu, mereka terkejut dan kehairanan. Mukjizat yang tampak itu membuat mata mereka silau. Tak hairan, jika mereka bungkam dan tak berkata apa-apa kecuali merunduk dan mengakui bahawa Nabi Saleh memang benar-benar utusan Allah. Lantas, Nabi Saleh berkata, “Allah mengancam kalian dengan azab yang sangat dekat jika salah seorang di antara kalian mengganggu unta itu.” Mereka berjanji tidak akan mengganggu unta itu sedikit pun. Hingga kemudian, semuanya bubar.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Mimpi Dan Isyarat Penting Dari Para Arwah

TERKADANG tulisan dan mimpi membawa pesan sangat penting. Bagi sebahagian orang, ianya boleh menjadi isyarat yang sangat kuat untuk memperbaiki diri. Seperti yang dialami ketiga saudara dalam kisah di bawah ini.
Ketika yang satu akan meninggal, dia memberi isyarat kepada saudaranya yang lain. Begitu pula ketika yang lain sedang menunggu ajal, dia memberi isyarat kepada saudaranya yang masih hidup. Isyarat-isyarat itu bukan sekadar isyarat biasa. Ianya sesuatu yang menggetarkan bahkan mampu mengubah cara pandang seseorang bahawa dunia hanyalah sebuah episod kecil sebelum menuju kehidupan yang sesungguhnya. Siapa yang boleh memanfaatkan episod ini, maka akan memberi kesan pada kehidupannya kelak.

Tiga Saudara
Pada masa Malik bin Marwan berkuasa, hiduplah tiga lelaki bersaudara. Yang satu seorang pegawai yang memiliki kekuasaan di beberapa kota. Yang kedua adalah seorang saudagar kaya yang memiliki banyak pelayan. Dan yang ketiga seorang yang zuhud yang menyendiri hanya untuk ibadah saja. Suatu hari, kematian seakan menghampiri saudara mereka yang zuhud. Kedua saudaranya yang pegawai kerajaan dan saudagar berkumpul di sampingnya. “Berwasiatlah!” kata mereka. “Aku tidak memiliki harta. Lagi pula aku tidak punya hutang,” kata saudara yang zuhud itu. “Saudaraku, katakanlah apa yang engkau ingin katakan, hartaku ada di hadapanmu. Berwasiatlah semahumu dan gunakanlah hartaku ini sekehendakmu, dan berpesanlah kepadaku semahumu!” ucap saudaranya yang pegawai kerajaan. “Saudaraku, engkau telah tahu usahaku dan begitu banyak hartaku. Mungkin engkau mempunyai hajat kebaikan yang mendesak yang belum tercapai. Inilah hartaku ada di hadapanmu. Maka putuskanlah semahumu, nescaya saudaramu ini akan melaksanakannya,” saudaranya yang saudagar kaya ikut menawarkan diri. “Aku tidak memerlukan harta kalian, tetapi aku berpesan satu hal,” katanya kepada keduanya. “Katakanlah apa itu!” kata mereka. “Jika aku meninggal nanti, kuburkanlah aku di tempat yang tinggi dan tuliskanlah di atas kuburku: ‘Bagaimana dapat merasakan kelazatan hidup? Seorang yang mengetahui bahawa Tuhan segenap makhluk pasti akan menanyainya. Ia akan mengambil darinya kerana kezaliman kepada para hambaNya. Dan akan membalasnya dengan kebaikan yang telah dikerjakannya’
“Jika kalian sudah melaksanakannya, datanglah kalian ke kuburanku selama 3 hari!”

Pesan dari Mimpi
Setelah saudara yang zuhud itu meninggal dunia, kedua saudara itu pun melaksanakan pesanannya. Saat saudaranya yang pegawai kerajaan berziarah di kuburan itu dan membaca tulisan yang ada di atasnya, ia pun menangis. Di hari ketiga, si pegawai kerajaan itu datang lagi sebagaimana biasa bersama pembantunyanya. Tatkala ia akan meninggalkan tempat itu, ia mendengar suara keras dari dalam kubur yang membuatnya takut sekali. Sebab itu ia pun bergegas pulang. Senja telah berganti malam. Dalam tidurnya, si pegawai bertemu dengan saudaranya yang zuhud. Dalam mimpi itu, ia bertanya, “Saudaraku, suara apakah yang terdengar dari dalam kuburmu tadi?” “Itu adalah suara pukulan besi yang keras yang dipukulkan kepadaku, kerana dulu aku melihat orang yang dizalimi, tetapi aku tidak menolongnya.” Keesokan harinya, lelaki yang berkuasa itu pun gelisah. Hatinya gundah gulana. Lalu ia memanggil saudara dan para pembantunya. “Sungguh yang dimaksudkan oleh saudaraku dalam tulisan itu adalah aku. Kerana itu, hari ini aku memutuskan untuk meninggalkan semuanya.”
Tanpa berfikir panjang, ia kemudian meninggalkan kekuasaan, kekayaan dan hanya melaksanakan ibadah kepada Allah. Selain itu, ia juga telah menulis surat pengunduran diri dari jawatannya agar boleh mengerjakan apa yang ia inginkan. Mantan pegawai kerajaan itu memilih untuk tinggal di pegunungan. Sampai suatu saat, ajal seakan segera menjemputnya. Khabar itu sampai ke telinga saudaranya yang saudagar kaya itu.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Mauritius: Semarak Islam Di 'Pulau Syurga'

ISLAM dibawa oleh para pekerja dan pedagang ke Mauritius. Sebahagian besar adalah bangsa India dan Afrika. Saat penjajahan oleh negara-negara barat terjadi di pulau itu, baik oleh Perancis, Inggeris dan Belanda, Mauritius kedatangan banyak buruh-buruh kasar dari negara-negara Afrika yang merupakan lubuk komuniti muslim, seperti Senegal, Mozambik, dan Afrika Selatan. Kerana atas muslihat penjajah, mereka memakai nama Kristian. Tapi mereka ternyata tetap memegang iman terhadap Islam. Di masa awal, di pertengahan abad ke 18, ada seorang imam muslim terkenal hidup di Mauritius bernama Califa. Demikian yang disebutkan oleh seorang ahli sejarah Islam Mauritius, Jaumeer. Pada 1758, sekelompok para pedagang India datang berniaga dan mendirikan kelompok Muslim dan Hindu. Inilah yang menyebabkan Hindu, kini, menjadi agama majoriti di Mauritius. Tradisi berdagang di kalangan penduduk Mauritius keturunan India ini masih bertahan hingga sekarang. Banyak juga dari mereka memegang kedudukan penting di pemerintahan. Kalangan muslim sendiri terkenal sebagai ahli pelayaran. Mereka disebut lascars. Kata ini kelak menjadi sinonim bagi kata muslim sendiri, sebab semua lascars adalah muslim. Pada tahun 1798, kalangan muslim mengajukan permohonan untuk mendapatkan sebidang tanah. Mereka ingin membangun sebuah masjid sebagai tempat ibadah. Ini terjadi sebab jumlah muslim semakin ramai, mereka merasa perlu mendirikan tempat ibadah demi meningkatkan syiar Islam dan ketenangan spiritual mereka. Port Louis, ibu kota Mauritius, menjalani tradisi Kristianisasi dengan ketat waktu itu. Sebahagian penduduk ada yang hanyut dalam kehidupan itu dan menjadi Kristian. Tapi banyak juga yang bertahan menjadi muslim dan meraikan peringatan hari-hari besar Islam. Usul mendirikan masjid ditentang banyak pihak, terutama kalangan masyarakat kulit putih ketika itu. Tapi, kalangan muslim tetap berkeras hingga akhirnya usul mereka disetujui pihak berkuasa, gabenor Decaen, pada tahun 1805. Pemerintah menjual sebidang tanah seluas 5 ribu meter persegi untuk memenuhi tuntutan itu. Uniknya, orang Perancis tak memahami bahawa yang akan dibangunkan itu adalah masjid. Mereka beranggapan yang dibangun adalah semacam kuil atau pagoda.
Dokumen persetujuan bertarikh 16 Oktober 1805 itulah yang menjadi tonggak penting sejarah Islam di Mauritius. Akhirnya, secara rasmi, muslim Mauritius memiliki tempat ibadah yang kekal dan dibenarkan oleh pihak berkuasa. Di tahun itu juga masjid berdiri. Masjid dimusnahkan ketika terjadi kerusuhan pada 1818, tapi kemudian dibangunkan lagi. Tak sulit membangun masjid sebab banyak penderma bersedia menyumbangkan sumbangan mereka. Salah satu yang terkenal adalah keluarga Sobedar. Masjid yang didirikan itu bernama Masjid des Camp Lascars. Di masjid ini juga Sobedar dikebumikan saat dia meninggal dunia pada 29 April 1881. Masjid itu kini berganti nama menjadi Masjid Al-Aqsha. Masjid al-Aqsha ini mengalami baik pulih beberapa kali. Sebagai yang pertama dan tertua, masjid ini menjadi simbol kesedaran spiritual dan budaya para pelaut India yang tetap teguh memegang Islam mereka.

Syurga Pertama
Mauritius adalah kepulauan yang memiliki alam sekitar yang sangat indah. Sasterawan Mark Twain menyebut, Tuhan menciptakan Mauritius terlebih dahulu sebelum syurga diciptakan, guna menggambarkan betapa indahnya kepulauan ini. Dia adalah kunci dan bintangnya Samudera Hindi yang membentang dari benua Asia hingga Afrika. Jika kita memiliki peta dunia di rumah, kita hampir tak melihat kepulauan ini kerana ia berada sekitar 900 km di sisi Timur Pulau Madagaskar, ertinya berada lebih ke tengah samudera Hindi dibanding Madagaskar. Pulau ini ditemukan oleh bangsa Portugis tahun 1505, dan pertama kali dijajah oleh Belanda tahun 1638.
Belanda menamakannya “Mauritius” untuk mengenang Putera raja Maurice dari Nassau. Perancis menguasai pulau itu sepanjang abad ke-18, lalu menamakannya Ile de France. Mauritius kemudian dikuasai oleh British tahun 1810 dan dikembalikan ke nama semula. Kemerdekaan diraih pada tahun 1968 dengan pemerintahan republik. Mauritius merupakan negara demokrasi yang boleh dikatakan stabil dengan pilihanraya umumnya dan catatan hak asasi manusia yang baik. Ketua negara Mauritius adalah seorang Presiden dengan masa jawatan lima tahun yang dipilih dengan Majlis Nasional. Parlimen dipimpin oleh Perdana Menteri dan beberapa menteri.
Kepulauan ini terbentuk oleh ledakan gunung bawah laut. Ibu kota dan juga kota terbesarnya adalah Port Louis. Kota-kota penting lainnya adalah Curepipe, Vacoas, Phoenix, Quatre Bornes, Rose-Hill dan Beau-Bassin.
Dua bahasa rasmi Mauritius adalah bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Walaupun Perancis tidak lagi menguasai negara itu sejak 200 tahun lalu, bahasa Perancis masih sering dituturkan. Bahasa ‘Kreol’ yang bersumber dari bahasa Perancis dengan pengaruh bahasa-bahasa Inggeris, Portugis dan Hindi juga sering dituturkan oleh warga Mauritius. Bahasa ‘Kreol’ tertulis telah berkembang sejak akhir 1960-an dan tidak mempunyai kemiripan dengan bahasa Perancis. Beberapa bahasa Asia Selatan seperti Hindi, Urdu dan Telugu juga dituturkan. Pulau Mauritius merupakan habitat bagi spesies burung sangat sukar didapati yang kerana sukarnya nyaris seperti kisah dongeng iaitu burung Dodo. Namun diyakini burung itu sudah punah sejak abad ke 17. Tapi saat ini, burung Dodo diabadikan sebagai lambang negara Mauritius.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Tidak Mahu Bayar Hutang: Hukumnya Sama Seperti Mencuri

SUDAH menjadi semacam perkara biasa apabila ada sebilangan orang yang berhutang tidak mahu membayar hutangnya. Apa yang dimusykilkan mereka yang tidak mahu bayar hutang itu bukan kerana tidak berkemampuan bayar hutang, tapi sengaja tidak mahu membayarnya. Ianya merupakan satu penganiayaan kepada yang memberi hutang atau yang memberi pinjaman kerana tidak mendapat semula haknya apabila tiba masa seperti yang dijanjikan oleh peminjam untuk membayarnya semula. Amat malanglah bagi mana-mana pihak yang berhutang tapi tak membayar hutangnya sedang dia mampu membayar hutangnya. Sebabnya, hutang itu akan dituntut oleh si penghutang di akhirat kelak dengan Allah s.w.t. menjadi pengadilnya. Rencana berikut yang dipetik dari buku ‘Pengenalan Islam – KEMUSYKILAN & PENJELASAN’ oleh Haji Ishak Haji Din dan Haron Din terbitan Pustaka Al-Mizan ini dapat memberi kesedaran kepada kita dalam urusan hutang piutang dan berikutnya berkaitan dengan akhlak atau perangai orang Muslim.
Soalan:
Apakah pandangan Islam mengenai masalah hutang-piutang yang kadang-kadang menimbulkan kerenah?
Jawapan:
Pada dasarnya hutang piutang itu adalah baik menurut Islam kerana ia mengandungi unsur-unsur pertolongan dan bantuan kepada yang memerlukan. Boleh dikatakan hampir keseluruhan umat manusia yang mendiami alam sejagat ini tidak terlepas dari berhutang dan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. pun biasa berhutang. Jadi untuk tidak menimbulkan sebarang keraguan dan kekecohan dalam konsep hutang piutang ini, maka Islam telah meletakkan suatu garis panduan dan peruntukan khusus mengenainya. Dalam konteks ini bolehlah pembaca merujuk kepada al-Quran Surah al-Baqarah ayat 282 merupakan ayat yang paling panjang dalam al-Quran di mana ayat tersebut jelas dan lengkap dengan peraturan dan cara-cara pelaksanaan segala urusan yang berhubung dengan hutang-piutang.
Soalan:
Orang yang telah diketahui umum tidak mahu membayar hutang, tiba-tiba ia datang mahu berhutang kepada kita, lantas kita katakan kepadanya kita tidak mempunyai wang (berbohong). Soalannya, adakah salah kita berbuat demikian.
Jawapan:
Ya, tindakan atau pembohongan seperti itu adalah dianggap sebagai kesalahan, sepatutnya kita perlu berterus-terang sahaja dengannya, katakan kepadanya yang kita tak dapat memberinya kerana kita sudah mengetahui perangainya. Maka dengan berbuat demikian mungkin terjadi pengajaran atau sekurang-kurangnya boleh menyedarkannya dari sikap buruk dan kesalahan yang telah dilakukan selama ini. Maka tindakan seperti ini amat tepat sekali dengan tuntutan Islam. Selain dari kita tidak terjebak dalam pembohongan, maka juga mudah-mudahan meninggalkan kesan dan menimbulkan keinsafan kepada orang tersebut.
Soalan:
Apakah hukumnya orang yang tidak membayar hutang dan apakah hukumnya memberi hutang?
Jawapan:
Orang yang sengaja yang tidak mahu membayar hutang adalah hukumnya sama seperti mencuri, cuma bezanya orang yang berhutang itu kita kenal orangnya tetapi si pencuri itu kita tidak kenal orangnya. Mereka sama-sama mengambil dan makan harta orang tanpa keredaan tuannya. Dalam hal ini bukan sahaja salah kerana tidak membayar hutang tetapi menangguhkannya sudah dianggap satu kezaliman. Ini telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang berbunyi: “Orang yang kaya menangguh-nangguhkan dari membayar hutangnya adalah satu kezaliman.” Sekiranya hutang-piutang tidak dijelaskan semasa hidupnya di dunia ini, maka kes ini akan dibawa pengadilan Allah di akhirat nanti. Manakala hukum memberi hutang adalah harus atau sunat dan kadang-kadang mungkin terjadi haram sekiranya mengandungi unsur-unsur riba, contohnya seperti memberi hutang sebanyak seratus ringgit dengan syarat hendaklah membayar sebanyak seratus dua puluh ringgit.

Bab Akhlak (Perangai)
Soalan:
Kita sering mendengar kata-kata seperti Si Anu perangainya baik, Si Fulan itu perangainya buruk. Jadi soalannya, apakah yang dimaksudkan dengan perangai itu?
Jawapan:
Perkataan atau sebutan perangai itu adalah terjemahan dari perkataan akhlak. Maksudnya ialah sikap yang terbit atau lahir daripada seseorang manusia sama ada berbentuk perkataan, perbuatan, tingkah-laku, tindak-tanduk dan sebagainya. Itulah yang dikatakan perangai. Ertinya, kalaulah segala-galanya itu baik lagi sesuai dengan kehendak Islam, maka orang yang bersifat demikian adalah dinamakan orang yang berperangai baik. Begitulah sebaliknya, dinamakan orang yang buruk perangainya.
Soalan:
Apakah di antara sifat-sifat atau ciri-ciri yang boleh membawa seseorang itu menjadi hodoh perangainya?
Jawapan:
Dalam hal ini amatlah banyak sekali sikap negatif dan sifat-sifat mazmumah yang tidak seharusnya dimiliki oleh setiap individu Muslim. Di antaranya ialah seperti sifat nifak, kufur, takbur, hasad, riak, mengumpat, dusta, ujub, sumaah dan sebagainya.
Soalan:
Di antara sifat-sifat yang dicela ialah sombong atau takbur. Apakah yang dimaksudkan oleh Islam dengan sifat tersebut?
Jawapan:
Sifat takbur yang memberi erti membesar diri atau bersikap sombong. Untuk lebih lagi pengetahuan mengenainya, maka ikutilah sabda Rasulullah s.a.w.: “Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia.” (HR. Muslim) Dalam hadis tersebut sudah jelas definisi takbur menurut Islam, iaitu orang yang tidak menerima nasihat-nasihat yang baik dan juga termasuk dalam erti kata sombong ialah orang yang memandang rendah dan menghina-hinakan orang lain, hanya dialah sahaja yang alim, yang kaya, yang cantik dan sebagaianya. Orang yang bersikap demikian adalah merupakan suatu bala yang tidak memperolehi simpati orang dengannya, bahkan ia adalah di antara penghuni-penghuni neraka di akhirat kelak. Hal ini telah diceritakan oleh Rasullullah s.a.w. di dalam sebuah hadisnya: “Mahukah aku ceritakan kepada kamu dengan penghuni-penghuni neraka, iaitu setiap orang bersikap kejam, rakus lagi menyombong.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

500 Malaikat Menghampirinya

ADA seorang ulama besar bernama Jabin bin Riyad. Pada zaman itu ulama-ulama diberikan oleh Allah s.w.t. keistimewaan yang tertentu. Bukan semuanya yang memperolehi anugerah itu, cuma sesiapa yang dikehendaki Allah. Diceritakan bahawa ketika Jabir berada diambang kematian, sahabatnya telah bertanya kepadanya apa keinginannya dalam saat-saat terakhir ini. Jabir memberitahu sahabatnya bahawa dia ingin bertemu dengan Hasan Basri. Hasan Basri, adalah seorang ulama besar di zaman itu. Kemudian orang memanggil Hasan, dan tidak lama kemudian Hassan Basri datang, dan lalu memberitahu Jabir tentang ketibaan Hasan itu. Jabir kemudian memberitahu Hasan Basri bahawa dia tidak lama lagi akan meninggalkan dunia yang fana ini (mati). Dia bertanya kepada Hasan bahawa dia tidak mengetahui tempat tinggalnya, sama ada di syurga atau pun di neraka. Adalah diriwayatkan bahawa Allah memberi perintah kepada Malaikat Maut mendekati hambaNYA dan membebaskan rohnya agar terlepas dari kesulitan-kesulitan dunia. Diceritakan juga bahawa Malaikat Maut bersama dengan 500 para malaikat mendekatinya. Setiap Malaikat membawa sebuah peti dari syurga dan satu karangan bunga dengan aroma manis dengan berisi 20 warna berbeza dan setiap bahagian memancarkan bau berbagai. Selain dari itu, para malaikat itu membawa sapu tangan sutera putih yang mengeluarkan aroma kasturi. Malaikat maut duduk ditepi kepalanya, yang lain mengelilinginya, menyentuh tubuhnya, menahan sapu tangan dengan aroma kasturi dibawah dagunya, dan membuka gerbang syurga di depan kedua matanya. Mereka terus menghiburkannya dengan berbagai macam benda syurga. Pada suatu waktu gadis-gadis syurga dibawa dihadapanya. Pada waktu lain, buah-buahan taman syurga ditawarkan kepadanya. Setelah melihat beragam pandangan, jiwanya bergetar kerana kegembiraan yang luar biasa, seperti seekor burung yang mengepak-ngepakkan sayapnya di dalam kandang. Kemudian malaikat maut berkata: “Wahai jiwa yang sangsi, pergilah ke tempat di mana terdapat pohon-pohon yang tidak berduri, pisang yang bersusun-susun, tempat berteduh yang luas, dan air terjun yang memancar indah.” Pertanyaan ini merujuk ayat dari surah al-Waqi’ah. Malaikat maut berbicara kepadanya sesantun seorang ibu berkata kepada bayinya. Kerana malaikat tahu bahawa dia adalah salah seorang yang telah di dekatkan kepada Allah. Dia perlakukan itu dengan halus, kerana Allah senang terhadap sikapnya. Jiwa (roh) itu dicabut dari badannya, semudah rambut dicabut dari tepung. Ketika jiwa terpisah, semua malaikat membungkuk kepadanya untuk menghormati dan memberi khabar menyenangkan, yakni memasuki taman kebahagiaan, seperti digambarkan dalam surah an-Nahl. Jika dia salah seorang yang dekat dengan Allah, balasannya disebutkan dalam surah al-Waqi’ah: “Maka dia memperoleh ketenteraman, rezeki serta syurga.” (Q.S. 58: 86). Ketika jiwa terpisah dari tubuh, dia berkata kepadanya: “Semoga Allah membalas pekerjaan baikmu. Kamu bersegera dalam beribadah dan menaati Tuhan. Kamu menolak tidak menaatiNya. Semoga hari ini baik bagimu. Kamu bukan saja telah terlepas dari derita kematian, tapi juga menyelamatkanku dari pedihnya kematian.” Tubuh juga mengucapkan kata-kata yang sama saat berpisah dengan jiwa. Ketika itu, tempat-tempat di mana dia pernah beribadah, mulai berkabung kerana merasa kehilangan. Setelah itu, lima ratus malaikat berkumpul di dekat jenazahnya. Saat orang-orang melaksanakan pemandian jenazahnya, membalikkan bahagian sisinya, para malaikat turut membantunya. Sebelum orang-orang menkafankannya, para malaikat menutupinya segera dengan peti yang mereka bawa. Sebelum orang-orang memercikkan wangi-wangian, para malaikat memercikkannya harum-haruman. Setelah melakukan hal itu, para malaikat berdiri berbaris di dua sisinya, mulai dari pintu rumah sampai ke kubur, melakukan solat jenazah, dan memohonkan ampunan Allah. Melihat pemandangan ini, syaitan menangis tersedu-sedu. Dia mengutuk pasukan pengikutnya kerana melepaskannya. Mereka berkata: “Ah, dia tidak berdosa.” Setelah itu, ketika malaikat maut mulai membawa nyawanya, Jibril menerimanya bersama 70 ribu malaikat lain. Para malaikat itu mengkhabarkan tentang kepatuhannya terhadap perintah Allah. Kemudian malaikat maut membawanya ke langit tertinggi. Segera setelah jiwa orang itu sampai di sana, ia bersujud, Allah memerintahkan malaikat maut agar orang itu dibawa ke sebuah tempat, di mana ada pohon-pohon yang tidak berduri dan pohon-pohon pisang yang bersusun. Adapun keadaan jiwa yang dibaringkan di dalam kubur, solatnya menunggunya di sisi kanannya, puasanya menemaninya di sisi kirinya, pembacaan Al-Quran berada di sisi kepalanya, langkah-langkah yang dijalankan untuk solat berjemaah, menunggunya di sisi kakinya, ketabahannya (dalam kesengsaraan dan melawan dosa-dosa) berdiri di dekat kuburnya. Ketika azab kubur berusaha memanjangkan lehernya, solat menolongnya dan mengusir azab itu sambil bersumpah bahawa dia adalah orang yang telah menanggung penderitaan di dunia dan tidak menikmati tidur nyenyak. Kemudian azab menyerang dari sisi kiri, puasa merintangi usahanya dan mengusirnya. Lalu dicubanya dari bahagian kepala, tapi bacaan Al-Quran mencegahnya. Alhasil tak ada jalan dari sisi mana pun untuk mencapai jenazah itu. Ketika azab tidak berdaya, pergilah dia. Setelah kejadian ini, kesabaran yang berdiri di sisi berkata kepada orang yang salih itu bahawa dia sedang menunggu kesempatan menolong kalau-kalau ada sisi lemah yang akan digunakan untuk menyerangnya (maksudnya, kerana sedikit ada kekosongan dalam beribadah). Tapi, mereka berhasil memukul mundur serangan azab itu. Kerananya, kesabaran akan membantu pada saat penimbangan amal. Setelah itu, para malaikat mendekati jenazah. Mata mereka berbinar laksana kilatan cahaya dan suara mereka sangat keras seperti guntur, gigi taring mereka seperti tanduk sapi. Ketika mereka mengeluarkan nafas, lidah api keluar dari mulut mereka, rambutnya sangat panjang hingga terhurai ke kaki, bahunya yang lain, perlu waktu beberapa hari menempuhnya. Mereka dipanggil Munkar-Nakir. Mereka membawa tukul raksasa, yang jika semua manusia dan jin disuruh mengangkatnya, tidak akan mampu menggerakkannya. Mereka mendatangi jenazah, lalu menyuruhnya duduk. Segera setelah si jenazah duduk, petinya jadi longgar dan mencapai pinggulnya. Mereka mengajukan pertanyaan-pertanyaan tentang siapa penciptanya dan siapa Nabinya. Si jenazah menjawab bahawa penciptanya adalah Allah yang tidak memiliki sekutu. Agamanya adalah Islam, dan nabinya adalah Muhammad s.a.w. yang merupakan pemimpin para nabi. Mereka bahkan menyatakan bahawa dia telah berkata sebenarnya. Segera setelah mereka singkirkan perintang dari semua sisinya, kuburnya menjadi luas. Setelah itu, para malaikat memerintahkan jenazah mengangkat kepalanya. Ketika kepalanya diangkat, dia melihat gerbang yang melaluinya diperlihatkan alam syurga.
Kemudian mereka mengatakan bahawa tempat itulah tempat tinggalnya, kerana dia telah memenuhi perintah Tuhan.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Membaca Kembali Ehwal Penciptaan Hawa

Hawa itu bukan tercipta dari tulang rusuk Adam. Barang kali, bagi sebahagian anda, ini pernyataan klise. Masalah klasik yang sudah banyak dikupas para pendakwah dan sejumlah penulis. Kerananya, saya kira, sebahagian besar kita sudah menyedari untuk tidak lagi mengatakan “Hawa tercipta dari tulang rusuk Adam”. Tapi, sila tunggu dulu, kawan, perkara ini ternyata hingga saat ini masih menjadi salah satu mitos yang sulit sekali disangkal. Biasnya sudah terlanjur melebar, menjadi ‘dalil’ yang tak terbantahkan: perempuan itu tulang rusuk lelaki. Anggapan ini jamak kita temui sehari-hari dalam lingkungan kita, keluarga kita, kehidupan kita. Wajar juga bila lelakinya akhirnya merasa “lebih diuntungkan” berbanding dengan perempuan. Pemikiran ini telah merasuk ke alam bawah sedar kebanyakkan orang hingga menjadi keyakinan yang kian lama kian susah dihilangkan. Efeknya, rata-rata perempuan atau pun yang sudah menikah lebih banyak menderita dalam proses berkomunikasi dan berhbungan. Kerana merasa tercipta dari tulang rusuk Adam, si Hawa cenderung pasif dan menunggu dalam proses penemuan cintanya. Meski hal tersebut bukan salah satu alasan [ada banyak alasan lainnya], tapi ehwal demikian berproses secara tidak sedar. Saya sendiri acapkali menemukan pandangan ini saat bertemu orang-orang yang saya baru kenal, yang berkongsi soal hubungan lawan jenis; baik ia lelaki mahupun perempuan. Rata-rata tidak pernah mempertanyakan ehwal penciptaan Hawa dan Adam secara lebih dalam. Kebanyakkan menerima begitu saja bias ini. Sebahagian besar sudah menilai anggapan ini sebagai sebuah maklumat yang sahih dan dibenarkan agama, apa pun agamanya. Kerana mendapati orang yang masih beranggapan demikian, saya merasa ada baiknya berkongsi dan menyegarkan kembali ehwal ini. Apakah Hawa benar tercipta dari tulang rusuk Adam? Apakah benar perempuan hadir kerana tulang rusuk lelaki? Konon, laman Wikipedia, Ensiklopedia maya yang suka dirujuk banyak pengguna Internet, pernah juga menyinggung masalah ini. Di sana disebutkan: “Menurut cerita para ulama, Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu tulang rusuk Adam sebelah kiri sewaktu beliau masih tidur sehingga saat beliau terjaga, Hawa sudah berada di sampingnya.” Laman tersebut kemudian mempertegasnya dengan firman Allah yang berbunyi: “Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makananya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.” [QS. Al-Baqarah [2]: 35) Sayang, laman tersebut tidak menjelaskan lebih detil nama-nama ulama yang menyatakan pendapat demikian hingga orang yang mencari maklumat terkait dapat mempelajari lebih dalam lagi dalil-dalilnya terkait tema ini. Apalagi, ayat yang digunakan sebagai hujah pun tidak begitu eksplisit dan jelas merujuk ehwal penciptaan Hawa. Kerananya, banyak mufasir-mufasir berbeza pendapat mengenai tema ini. Sebagai orang yang tengah belajar, saya tentu penasaran. Saya lalu membuka buku karya pakar tafsir Indonesia, M. Quraish Shihab, yang berjudul Perempuan. Di dalamnya, Quraish, seraya memetik mufasir Rasyid Ridha, menyatakan: “Tidak ada satu petunjuk pasti dari al-Quran dan Sunnah yang membawa kita untuk menyatakan bahawa perempuan diciptakan dari tulang rusuk Adam. Atau bahawa unsur penciptaanya berbeda dengan lelaki. Idea ini seperti ditulis Rasyid Ridha dalam Tafsir al-Manar, timbul dari apa yang termaktub dalam Perjanjian Lama [Kejadian II: 21-22] yang menyatakan bahawa “ketika Adam tidur lelap, maka diambil Allah sebilah tulang rusuknya, lalu ditutupkannya pula tempat itu dengan daging. Maka, dari tulang yang telah dikeluarkan dari Adam itu, dibuat Tuhan menjadi seorang perempuan.”
Seandainya tidak tercantum kisah kejadian Adam dan Hawa dalam kitab Perjanjian Lama seperti redaksi di atas, nescaya pendapat yang menyatakan bahawa perempuan diciptakan dari tulang rusuk Adam tidak pernah akan terlintas dalam benak seorang muslim. Demikian Rasyid Ridha menulis.” Lebih lanjut, Quraish juga mengupas alasan sebahagian ulama yang berkesimpulan bahawa Hawa tercipta dari tulang rusuk Adam. Katanya, anggapan ini boleh jadi bersumber dari penafsiran hadis yang sangat harfiah yang berbunyi: “Saling berpesanlah untuk berbuat baik kepada perempuan, kerana mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok.” Menurut Quraish, hadis ini banyak difahami ulama terdahulu secara harfiah, sementara para ulama menafsirkannya secara rambang, bahkan ada yang menolak keshahihannya. Hadis tersebut, terang Quraish, sebenarnya bermaksud memperingatkan lelaki agar menghadapi perempuan dengan bijaksana kerana ada sifat dan kecenderungan mereka yang tidak sama dengan lelaki. Bahawa perempuan ada kudratnya sendiri yang kalau dipaksakan akan berakibat gagal. Untuk itulah Nabi s.a.w. mengambil gambaran kata ‘bengkok’ dalam sabdanya tersebut. Hal ini tidak lain untuk meluruskan persepsi yang keliru dari sebahagian lelaki terkait sifat perempuan hingga para lelaki itu cenderung memaksakan untuk meluruskannya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Tuesday, March 13, 2012

Wali Terbesar Sepanjang Sejarah

SEJARAH Syeikh Abdul Kadir Jailani adalah “tokoh karamah”. Ya, selama ini kalau kita mendengar nama yang satu ini, kerapkali dikaitkan dengan kelebihan-kelebihannya yang bersifat keramat. Dikatakan bahawa dia boleh melihat hal-hal yang ghaib. Bahkan, ‘raja syaitan’ pun takut kepadanya kerana kemampuan dan kesalihannya itu.
Konon, dengan sekali saja berkata “kun”, maka dia diperkenankan oleh Tuhan mewujudkan apa saja yang terbersit di dalam hati dan fikiran. Begitulah sosoknya yang begitu diagungkan di kalangan masyarakat Islam khususnya. Nama lengkapnya adalah Abu Soleh Muhyidin Abdul Kadir bin Musa Al-Jaelani Al-Hasani Al-Huseini. Dia juga dikenal dengan berbagai gelar, seperti Muhyiddin, al Ghauts al-A’dham, Sultan al-Auliya, dan sebagainya. Dia dilahirkan di suatu tempat bernama Jaelan, suatu daerah yang terletak di bahagian luar dari negeri Thabaristan pada tarikh 1 Ramadan tahun 471 H (ada yang menulis 469 H). Kerana itulah di belakang namanya terdapat gelaran Jailani. Penduduk Arab dan sekitarnya memang terbiasa menambahkan nama mereka dengan nama tempat tinggalnya. Dan saat melahirkannya, dikatakan si ibunya telah berusia 60 tahun. Sebuah usia yang sudah dikategorikan sebagai nenek tentunya. Syeikh Abdul Kadir Jailani masih memiliki hubungan nasab dengan Rasulullah s.a.w. Ibunya yang bernama Ummul Khair Fatimah adalah keturunan Maulana al-Imam Husain, cucu Nabi Muhammad s.a.w. Jadi, salasilah keluarga Syeikh Abdul Kadir Jailani jika diurutkan ke atas, maka akan sampai ke Khalifah Imam ‘Ali bin Abi Thalib. Sejak remaja, Syeikh Abdul Kadir Jailani sudah gemar menuntut ilmu. Suatu ketika, saat usianya masih remaja, berangkatlah Syeikh Abdul Kadir Jailani dalam rangka menuntut ilmu. Oleh si ibu, ia dibekali sejumlah wang yang tidak sedikit dan berpesan agar dia tetap menjaga kejujurannya. Di tengah perjalanan, sebelum sampai Hamadan, tiba-tiba kafilah yang ditumpanginya diserbu oleh segerombolan perompak hingga kucar kacir. Salah seorang perompak menghampiri Syeikh Abdul Kadir Jailani dan bertanya, “Apa yang engkau bawa?” Syeikh Abdul Kadir Jailani menjawab dengan terus terang bahawa dia mempunyai sejumlah wang di dalam saku bajunya. Perompak itu seakan-akan tidak percaya dengan kejujuran Syeikh Abdul Kadir Jailani. Bagaimana mungkin ada orang mengaku memiliki wang kepada perompak. Kemudian perompak itu pun melapor pada ketuanya. Ketua perompak segera menghampiri Syeikh Abdul Kadir Jailani dan menggeledah bajunya. Ternyata benar, di balik bajunya itu memang ada sejumlah wang yang cukup banyak. Ketua perompak itu benar-benar dibuat tidak percaya. Dia lalu berkata kepada Syeikh Abdul Kadir Jailani, “Kenapa kau tidak berbohong saja ketika ada kesempatan untuk itu?” Maka Syeikh Abdul Qadir Jailani pun menjawab, “Aku telah dipesani oleh ibuku untuk selalu berkata jujur. Dan aku tak sedikit pun ingin mengecewakan beliau.” Sejenak ketua perompak itu tertegun dengan jawapan Syeikh Abdul Kadir Jailani, lalu berkata: “Sungguh engkau sangat berbakti kepada ibumu, dan engkau pun bukan orang sembarangan.”
Kemudian ketua perompak itu menyerahkan kembali wang itu kepada Syeikh Abdul Kadir Jailani dan melepaskannya pergi. Sejak pertemuannya dengan kekasih Allah itu, tak lama kemudian ketua perompak itu menjadi insaf dan membubarkan gerombolannya.

Bertemu Nabi Khidir a.s.
Setelah itu, Syeikh Abdul Kadir Jailani melanjutkan perjalanannya menuju Baghdad dalam usia 18 tahun. Saat itu, Baghdad adalah tempat berkumpulnya para ulama besar. Ketika Syeikh Abdul Kadir Jailani hampir memasuki kota Baghdad, dia dihentikan oleh Nabi Khidir (ada yang bilang dia hanya seorang wali Allah). Para ulama meyakini bahawa Nabi Khidir masih hidup hingga kini. Nabi Khidir berkata, “Aku tidak mempunyai perintah (dari Allah) untuk mengizinkanmu masuk (ke Baghdad) sampai tujuh tahun ke depan.” Tentu saja Syeikh Abdul Kadir Jailani bingung, mengapa dia tidak diperbolehkan masuk ke kota Baghdad selama tujuh tahun? Tetapi, dia tak dapat mengelak perintah itu kerana dia menyedari lelaki yang dihadapinya adalah seorang kekasih Allah.
Syeikh Abdul Kadir Jailani pun kemudian menetap di tepi sungai Tigris selama tujuh tahun. Dalam usia yang masih sangat muda, hal ini tentu memberatkannya, apalagi ia tidak terbiasa hidup seorang diri. Tetapi, ujian berat itu tetap dilaluinya dengan sangat sabar. Selama itu dia dikatakan hanya makan daun-daunan dan sayur-sayuran.
Pada suatu malam, Syeikh Abdul Kadir Jailani tertidur lena, sampai akhirnya dia terbangun di tengah malam. Ketika itu dia mendengar suara yang jelas ditujukan kepadanya. Suara itu berkata, “Hai Abdul Qadir, masuklah ke Baghdad!” Keesokan harinya, dia melanjutkan perjalanannya ke Baghdad. Maka, dia pun masuk ke Baghdad. Di kota itu dia berjumpa dengan para Syeikh, tokoh-tokoh sufi, dan para ulama besar. Di antaranya adalah Syeikh Yusuf al-Hamadani. Dari dialah Syeikh Abdul Kadir Jailani mendapat ilmu tentang tasawuf. Syeikh al-Hamadani sendiri telah menyaksikan bahawa Syeikh Abdul Kadir adalah seorang yang istimewa, dan kelak akan menjadi seorang yang terkemuka di antara para wali. Syeikh al-Hamdani pernah berkata, “Wahai Abdul Kadir, sesungguhnya aku telah melihat bahawa kelak engkau akan duduk di tempat yang paling tinggi di Baghdad, dan pada saat itu engkau akan berkata, “Kakiku ada di atas bahu-bahu para wali.” Selain berguru kepada Syeikh al-Hamdani, Syeikh Abdul Kadir Jailani bertemu dan berguru kepada Syeikh Hammad ad-Dabbas. Darinya, Abdul Kadir mendapatkan ilmu tentang Tarikat yang akarnya adalah Syari’ah. Kemudian Syeikh Abdul Kadir berguru kepada al-Qadi Abu Said al Mukharimi. Di Babul Azaj, Syeikh al Mukharimi mempunyai madrasah kecil. Kerana beliau telah tua, maka pengelolaan madrasah itu diserahkan kepada Syeikh Abdul Kadir. Dari situ, Syeikh Abdul Kadir berdakwah kepada masyarakat, baik yang muslim mahupun bukan muslim. Dan dari Syeikh al Mukharimi itulah Syeikh Abdul Kadir menerima khirqah (jubah kesufian). Khirqah itu secara turun-temurun telah berpindah tangan dari beberapa tokoh sufi yang agung. Di antaranya adalah Syeikh Junaid al-Baghdadi, Syeikh Siri as-Saqati, Syeikh Ma’ruf al Karkhi, dan sebagainya. Syeikh Abdul Kadir tidak hanya berguru kepada para ulama di atas. Dia juga memperdalami ilmunya kepada para ulama besar yang lain. Di antaranya adalah Ibnu Aqil, Abul Khatthat, Abul Husein Al Farra dan juga Abu Sa’ad Al Muharrimi. Seluruh guru-guru Syeikh Abdul Kadir tersebut adalah para ulama besar yang ilmunya sangat luas dalam bidang agama. Sebab itulah, tidak hairan jika kemudian Syeikh Abdul Kadir menjadi ulama besar menggantikan para ulama tersebut.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Asal Usul Kematian

KALANGAN kita-kita ini ada yang tidak tahu asal usul mati itu. Mereka hanya tahu mati itu, adalah mati. Ia kemudian dikebumikan dalam tanah dipanggil kubur. Sebenarnya hakikat mati sebagaimana yang dikatakan oleh para ulama dengan berdasarkan nas-nas agama dan keterangan-keterangan akal, bukan ketiadaan semata-mata atau pun kehancuran semuanya, dan kehilangan semuanya. Tetapi, pada hakikatnya, kata para ulama ada kelanjutannya. Kata para ulama lagi, mati itu ialah terputusnya hubungan roh dengan badan lahir dan batin, perpisahan antara keduanya, pergantian dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Sementara tidur pula sebenarnya berbeza, kerana tidur terputusnya roh sementara dengan hubungan-hubungan lahiriah. Dalam kitab suci al-Quran dalam surah az-Zumar ayat 42 Allah s.w.t. berfirman yang mafhumnya: “Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya, dan memegang jiwa (orang) yang belum mati diwaktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang telah Dia tetapkan kematiannya itu dan DIA lepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan.”
Kemudian para ulama menerangkan tentang asal usul kematian ini. Mereka mengatakan bahawa ketika Allah menciptakan Adam a.s. dan anak cucunya ertinya keturunannya, dengan rendah hati para Malaikat berkata bahawa anak cucu Adam tidak akan dapat menampung untuk tinggal di bumi ini. Ertinya, anak cucu Adam itu semakin hari semakin banyak, tetapi Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Allah memberitahu para Malaikat bahawa Allah akan menurunan “kematian” kepada semua makhluk. Kemudian para Malaikat itu berkata kepada Allah bahawa sekiranya Allah s.w.t. menciptakan kematian itu, maka semua manusia tidak akan dapat hidup tenteram dan senang. Tuhan mengatakan bahawa Dia memberi inspirasi kepada mereka dengan “harapan” (Ibnu Abi Syaiba). Mujahid pula berkata bahawa ketika Adam diturunkan ke bumi, Allah s.w.t. memerintahkan Adam supaya membangunkan bumi ini. Disamping membangunkan bumi ini, kerana ianya akan ada kehancuran, dan Allah memberikan keturunan kepada anak cucu Adam kerana disamping itu ada “kematian” (Abu Naeem). Kemudian ada satu seruan bahawa “Wahai yang tinggal di istana tertinggi, engkau dikuburkan nanti dalam debu.” Seorang Malaikat setiap hari mengumumkan: “Lahirkanlah seorang anak untuk kematian dan kemudian hiasilah dia dengan kehancuran.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

Bolehkah Manusia Berkawan Dengan Jin?

DIRASUK atau histeria seakan sinonim dengan golongan pelajar yang duduk di asrama. Ia seakan perkara wajib dan menjadi peristiwa tahunan di banyak sekolah di Malaysia. Selalunya ‘penyakit’ ini dijangkiti oleh pelajar perempuan dan jarang sekali melibatkan pelajar lelaki. Selama hal ini berlaku ramai yang bercakap-cakap sama ada benar atau tidak manusia boleh dirasuk. Setengahnya mempercayai, setengah tidak mempercayainya dan mengaitkan ia dengan masalah tekanan. Dalam masalah percaya atau tidak percaya ini, saya cenderung untuk berada ditengah-tengah kepercayaan. Tidak terlalu obses dengan hal jin dan tidak terlalu meremehkannya.
Sesuai sebagai muslim, bersederhana dalam semua hal. Bertepatan dengan apa yang dikatakan Allah s.w.t. dalam surah Al-Furqan: 67 “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Perkara Ghaib ialah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh pancaindera. Mempercayai perkara yang ghaib adalah salah satu ciri orang yang beriman. Allah telah menjelaskannya dalam surah Al-Baqarah: (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.
Perkara-perkara ghaib itu termasuklah jin, malaikat, azab kubur dan sebagainya. Menjadi kewajiban umat Islam untuk mempercayai akan hal-hal yang ghaib. Namun begitu, ia mestilah sejajar dengan apa yang dikatakan oleh Allah dan Rasul. Atas dasar inilah, recana ini cuba menyingkap sama ada benar atau tidak pendapat yang mengatakan bahawa jin boleh masuk ke dalam badan manusia(merasuk). Kajian ini akan mendahulukan hujah-hujah yang datangnya dari Al-Quran dan Hadis yang sahih, kemudian barulah dibawakan beberapa pandangan dari para ulama. Rencana ini akan dibahagikan kepada beberapa bahagian bagi memudahkan pembaca memahaminya. Pembahagian ini akan dimulakan dengan pengenalan tentang kewujudan jin, kebenaran tentang rasukan, boleh atau tidak melihat jin dan akhir sekali pendirian muslim tentang jin.

Pengenalan tentang jin
Jin adalah makhluk yang diciptakan Allah sebelum manusia. Selain diciptakan awal oleh Allah, jin juga diciptakan berbeza daripada manusia iaitu melalui api. Hal ini diterangkan Allah dalam surah Al-Hijr: 26-27 Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas. Perkara ini juga pernah dikatakan Nabi Muhammad dalam satu hadis yang bermaksud: Malaikat diciptakan dari cahaya,Jin diciptakan dari nyalaan api, dan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kalian.[1] Selain diciptakan lebih awal dan daripada api, bangsa jin juga terbahagi kepada yang Kafir dan Muslim. Hal ini sama sahaja dengan bangsa Manusia yang diciptakan Allah. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Al-Jin ayat 14-15:Dan sesungguhnya di antara kami ada (Jin) taat dan ada pula (Jin) yang menyimpang dari kebenaran. Barang siapa yang yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus. Adapun (jin-jin) yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka Jahannam.[2] Seperti manusia, bangsa jin juga akan diberi ganjaran Syurga atau neraka. Semuanya berdasarkan amalan yang dilakukan oleh mereka. Jika segala perintah Allah dilakukan dengan sempurna dan meninggalkan segala tegahan maka ganjaran Syurga pasti diperolehi. Hal ini bersesuaian dengan apa yang telah dijanjikan Allah dalam surah Al-Ahqaf ayat 18-19:
Mereka itulah orang-orang yang telah pasti ketetapan (azab) atas mereka bersama umat-umat yang telah berlalu sebelum mereka dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang merugi Dan bagi masing-masing mereka darjat menurut apa yang telah mereka kerjakan dan agar Allah mencukupkan bagi mereka (balasan) pekerjaan-pekerjaan mereka sedang mereka tiada dirugikan. Menurut Imam Ibnu Qoyim: Jumhur ulama telah menyatakan bahawa Jin Mukmin akan masuk Syurga, sebagaimana halnya yang kafir akan masuk ke Neraka.[3] Selain daripada Imam Ibnu Qoyim, ramai lagi ulama yang mengatakan hal sedemikian. Antaranya Ibnu Kathir dalam tafsir Al-Quran Al-Azhim, Muhammad Rashid Ridha’ dalam Al-manar, dan Sayid Qutb dalam Fi Zilalil Quran. Malahan para Jin yang mukmin juga Allah telah menyediakan Bidadari untuk mereka. Imam Qurthubi ketika menafsirkan Ayat ke 56 surah Ar-Rahman yang bermaksud:Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin. Kata Imam Qurthubi: Dalam ayat ini (iaitu ayat diatas) ini terdapat petunjuk yang menyatakan bahawa Jin sebagaimananya manusia juga mati lalu masuk ke Syurga. Untuk mereka disediakan Jin-jin perempuan (Bidadari-bidadari dari bangsa Jin).

Kebenaran tentang rasukan
Hakikat kerasukan ini terdapat dua pendapat yang popular dikalangan ahli Ilmu. Kedua-dua pendapat ini didasari dengan hujah Quran dan Hadis.
Pendapat pertama: golongan yang mempercayai: Mereka yang mempercayai bahawa manusia boleh dirasuk (jin memasuki badan manusia) ialah dengan bersandarkan kepada satu Firman Allah: Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila (surah Al-Baqarah: 275) Selain bersandar kepada Ayat di atas, mereka yang mempercayai akan hal ini juga membawakan satu cerita di mana Imam Ibnu Taimiyah pernah mengubati orang yang dirasuk. Menurut cerita tersebut, Jin yang merasuk manusia itu berbicara dengan Ibnu Taimiyah dengan mengatakan beliau (jin) akan keluar dari tubuh manusia itu kerana kemulian Ibnu Taimiyah. Kemudian Ibnu Taimiyah mengatakan kepada Jin tersebut “Keluarlah dari tubuh ini semata-mata kerana Allah, bukan kerana aku”.[4] Dalam hal ini, anak murid Ibnu Taimiyah iaitu Ibnu Qoyim mengatakan[5]: Syeikh kami(Ibnu Taimiyah), ketika mengubati pesakit yang dirasuk, beliau akan membaca ayat: Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? (Surah Al-Mukminun: 115) Berdasarkan kenyataan Ibnu Qoyim diatas menunjukkan bahawa manusia pernah dirasuk, dan boleh dirasuk. Pandangannya selari dengan pandangan mereka yang mempercayai manusia boleh dirasuk. Pendapat kedua: golongan yang tidak mempercayai Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi iaitu salah seorang Ulamak besar ketika ini[6] menyanggahi akan hal Jin boleh merasuk manusia. Saya naqalkan kembali kata-kata beliau yang terdapat dalam buku Biografi beliau yang bertajuk “Perjalanan hidupku”: “Jika tidak mendatangi para dukun, wanita yang dirasuk jin akan dibawa kepada Syeikh-syeikh tertentu agar diberikan jampi-jampi [7] yang dianggap dapat mengusir jin yang merasukinya. Biasanya mereka menganggap bahawa yang merasuki wanita adalah jin lelaki, dan yang merasuki kaum lelaki adalah jin wanita. Syeikh Muhammad Ghazali [8] adalah orang yang menolak keras kepercayaan tersebut. Pada suatu hari beliau didatangi seorang lelaki yang mengadu kepada beliau bahawa dia dirasuki makhluk lain. Lantas beliau bertanya “Makhluk apa yang merasukimu?” Lelaki itu menjawab “Saya dirasuki Jin” Syeikh Ghazali menjawab “Kenapa anda tidak dapat merasuki jin padahal anda memiliki badan yang tegap dan sasa? Dan kenapa jin tidak mahu merasuk orang-orang Eropah dan Amerika.[9] Kami[10] sendiri sangat hairan mengapa mereka berkeyakinan bahawa Allah memberi kemampuan kepada Jin untuk merasuki jiwa-raga manusia, mempengaruhinya, dan berbicara dengan menggunakan lidahnya sehingga manusia tunduk kepadanya? kalau hal ini benar, maka dimanakah letaknya kemulian manusia yang telah Allah jelaskan dalam Quran: Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (surah Al-Isra’:70) Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. (surah Al-baqarah:30) Apabila orang yang berkeyakinan bahawa jin benar-benar dapat merasuki dan menguasai manusia dengan berhujahkan Firman Allah yang menggambarkan keadaan orang yang suka memakan riba: Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila (surah Al-baqarah: 275) Jika ayat tersebut ditafsir dengan penafsiran akal dan sumber yang jelas maka makna Al-Mass pada ayat diatas tidak akan sama dengan penafsiran orang yang meyakini bahawa jin mampu mempengaruhi dan menguasai manusia. Penafsiran yang tepat untuk ayat di atas adalah penafsiran yang sesuai dengan perkataan Nabi Ayub a.s. ketika berdoa kepada Allah,:
“Sesungguhnya aku digoda Syaitan yang sangat berat dan menyeksa” (Surah Sod: 41) Yang dimaksudkan dengan Al-Mass ialah salah satu bentuk bisikan dan pujukan syaitan dalam menyesatkan manusia. Jin bahkan syaitan tidak memiliki kemampuan apa pun terhadap manusia kecuali hanya menggoda untuk menyesatkan mereka. Hal ini pada hari kiamat nanti akan diakui oleh para pemimpin syaitan: “Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku.” (surah Ibrahim:22)”
Begitulah hujah yang dibentangkan oleh kedua-dua pendapat ketika menjelaskan perihal rasuk ini. Namun begitu, tidaklah saya mengatakan bahawa Qardhawi betul dan Ibnu Taimiyah tidak betul atau sebaliknya. Tujuan pembentangan kedua-dua pendapat ini disediakan bagi mengimbangi kepercayaan manusia tentang hal ini. Bagi mereka yang cenderung percaya, mereka tidak boleh menyalahkan mereka yang tidak percaya. Begitulah sebaliknya, bagi mereka yang tidak percaya tidak boleh menyalahkan mereka yang mempercayainya. Kedua-dua pendapat ini benar kerana didasari dengan dalil dari Quran dan Sunnah, oleh itu berlapang dadalah dalam hal ini.

Kemampuan melihat Jin
Dalam bahagian ini juga terdapat dua pendapat yang terpilih, iaitu: Pendapat pertama: Boleh melihat jin Pendapat kedua: Tidak boleh lihat jin. Perbezaan kedua-dua pendapat ini hanyalah di sebabkan penafsiran yang berbeza terhadapat ayat ke 27 dari surah Al-A’raf: Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya ‘auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpim bagi orang-orang yang tidak beriman.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...