SEJARAH Syeikh Abdul Kadir Jailani adalah “tokoh karamah”. Ya, selama ini kalau kita mendengar nama yang satu ini, kerapkali dikaitkan dengan kelebihan-kelebihannya yang bersifat keramat. Dikatakan bahawa dia boleh melihat hal-hal yang ghaib. Bahkan, ‘raja syaitan’ pun takut kepadanya kerana kemampuan dan kesalihannya itu.
Konon, dengan sekali saja berkata “kun”, maka dia diperkenankan oleh Tuhan mewujudkan apa saja yang terbersit di dalam hati dan fikiran. Begitulah sosoknya yang begitu diagungkan di kalangan masyarakat Islam khususnya. Nama lengkapnya adalah Abu Soleh Muhyidin Abdul Kadir bin Musa Al-Jaelani Al-Hasani Al-Huseini. Dia juga dikenal dengan berbagai gelar, seperti Muhyiddin, al Ghauts al-A’dham, Sultan al-Auliya, dan sebagainya. Dia dilahirkan di suatu tempat bernama Jaelan, suatu daerah yang terletak di bahagian luar dari negeri Thabaristan pada tarikh 1 Ramadan tahun 471 H (ada yang menulis 469 H). Kerana itulah di belakang namanya terdapat gelaran Jailani. Penduduk Arab dan sekitarnya memang terbiasa menambahkan nama mereka dengan nama tempat tinggalnya. Dan saat melahirkannya, dikatakan si ibunya telah berusia 60 tahun. Sebuah usia yang sudah dikategorikan sebagai nenek tentunya. Syeikh Abdul Kadir Jailani masih memiliki hubungan nasab dengan Rasulullah s.a.w. Ibunya yang bernama Ummul Khair Fatimah adalah keturunan Maulana al-Imam Husain, cucu Nabi Muhammad s.a.w. Jadi, salasilah keluarga Syeikh Abdul Kadir Jailani jika diurutkan ke atas, maka akan sampai ke Khalifah Imam ‘Ali bin Abi Thalib. Sejak remaja, Syeikh Abdul Kadir Jailani sudah gemar menuntut ilmu. Suatu ketika, saat usianya masih remaja, berangkatlah Syeikh Abdul Kadir Jailani dalam rangka menuntut ilmu. Oleh si ibu, ia dibekali sejumlah wang yang tidak sedikit dan berpesan agar dia tetap menjaga kejujurannya. Di tengah perjalanan, sebelum sampai Hamadan, tiba-tiba kafilah yang ditumpanginya diserbu oleh segerombolan perompak hingga kucar kacir. Salah seorang perompak menghampiri Syeikh Abdul Kadir Jailani dan bertanya, “Apa yang engkau bawa?” Syeikh Abdul Kadir Jailani menjawab dengan terus terang bahawa dia mempunyai sejumlah wang di dalam saku bajunya. Perompak itu seakan-akan tidak percaya dengan kejujuran Syeikh Abdul Kadir Jailani. Bagaimana mungkin ada orang mengaku memiliki wang kepada perompak. Kemudian perompak itu pun melapor pada ketuanya. Ketua perompak segera menghampiri Syeikh Abdul Kadir Jailani dan menggeledah bajunya. Ternyata benar, di balik bajunya itu memang ada sejumlah wang yang cukup banyak. Ketua perompak itu benar-benar dibuat tidak percaya. Dia lalu berkata kepada Syeikh Abdul Kadir Jailani, “Kenapa kau tidak berbohong saja ketika ada kesempatan untuk itu?” Maka Syeikh Abdul Qadir Jailani pun menjawab, “Aku telah dipesani oleh ibuku untuk selalu berkata jujur. Dan aku tak sedikit pun ingin mengecewakan beliau.” Sejenak ketua perompak itu tertegun dengan jawapan Syeikh Abdul Kadir Jailani, lalu berkata: “Sungguh engkau sangat berbakti kepada ibumu, dan engkau pun bukan orang sembarangan.”
Kemudian ketua perompak itu menyerahkan kembali wang itu kepada Syeikh Abdul Kadir Jailani dan melepaskannya pergi. Sejak pertemuannya dengan kekasih Allah itu, tak lama kemudian ketua perompak itu menjadi insaf dan membubarkan gerombolannya.
Bertemu Nabi Khidir a.s.
Setelah itu, Syeikh Abdul Kadir Jailani melanjutkan perjalanannya menuju Baghdad dalam usia 18 tahun. Saat itu, Baghdad adalah tempat berkumpulnya para ulama besar. Ketika Syeikh Abdul Kadir Jailani hampir memasuki kota Baghdad, dia dihentikan oleh Nabi Khidir (ada yang bilang dia hanya seorang wali Allah). Para ulama meyakini bahawa Nabi Khidir masih hidup hingga kini. Nabi Khidir berkata, “Aku tidak mempunyai perintah (dari Allah) untuk mengizinkanmu masuk (ke Baghdad) sampai tujuh tahun ke depan.” Tentu saja Syeikh Abdul Kadir Jailani bingung, mengapa dia tidak diperbolehkan masuk ke kota Baghdad selama tujuh tahun? Tetapi, dia tak dapat mengelak perintah itu kerana dia menyedari lelaki yang dihadapinya adalah seorang kekasih Allah.
Syeikh Abdul Kadir Jailani pun kemudian menetap di tepi sungai Tigris selama tujuh tahun. Dalam usia yang masih sangat muda, hal ini tentu memberatkannya, apalagi ia tidak terbiasa hidup seorang diri. Tetapi, ujian berat itu tetap dilaluinya dengan sangat sabar. Selama itu dia dikatakan hanya makan daun-daunan dan sayur-sayuran.
Pada suatu malam, Syeikh Abdul Kadir Jailani tertidur lena, sampai akhirnya dia terbangun di tengah malam. Ketika itu dia mendengar suara yang jelas ditujukan kepadanya. Suara itu berkata, “Hai Abdul Qadir, masuklah ke Baghdad!” Keesokan harinya, dia melanjutkan perjalanannya ke Baghdad. Maka, dia pun masuk ke Baghdad. Di kota itu dia berjumpa dengan para Syeikh, tokoh-tokoh sufi, dan para ulama besar. Di antaranya adalah Syeikh Yusuf al-Hamadani. Dari dialah Syeikh Abdul Kadir Jailani mendapat ilmu tentang tasawuf. Syeikh al-Hamadani sendiri telah menyaksikan bahawa Syeikh Abdul Kadir adalah seorang yang istimewa, dan kelak akan menjadi seorang yang terkemuka di antara para wali. Syeikh al-Hamdani pernah berkata, “Wahai Abdul Kadir, sesungguhnya aku telah melihat bahawa kelak engkau akan duduk di tempat yang paling tinggi di Baghdad, dan pada saat itu engkau akan berkata, “Kakiku ada di atas bahu-bahu para wali.” Selain berguru kepada Syeikh al-Hamdani, Syeikh Abdul Kadir Jailani bertemu dan berguru kepada Syeikh Hammad ad-Dabbas. Darinya, Abdul Kadir mendapatkan ilmu tentang Tarikat yang akarnya adalah Syari’ah. Kemudian Syeikh Abdul Kadir berguru kepada al-Qadi Abu Said al Mukharimi. Di Babul Azaj, Syeikh al Mukharimi mempunyai madrasah kecil. Kerana beliau telah tua, maka pengelolaan madrasah itu diserahkan kepada Syeikh Abdul Kadir. Dari situ, Syeikh Abdul Kadir berdakwah kepada masyarakat, baik yang muslim mahupun bukan muslim. Dan dari Syeikh al Mukharimi itulah Syeikh Abdul Kadir menerima khirqah (jubah kesufian). Khirqah itu secara turun-temurun telah berpindah tangan dari beberapa tokoh sufi yang agung. Di antaranya adalah Syeikh Junaid al-Baghdadi, Syeikh Siri as-Saqati, Syeikh Ma’ruf al Karkhi, dan sebagainya. Syeikh Abdul Kadir tidak hanya berguru kepada para ulama di atas. Dia juga memperdalami ilmunya kepada para ulama besar yang lain. Di antaranya adalah Ibnu Aqil, Abul Khatthat, Abul Husein Al Farra dan juga Abu Sa’ad Al Muharrimi. Seluruh guru-guru Syeikh Abdul Kadir tersebut adalah para ulama besar yang ilmunya sangat luas dalam bidang agama. Sebab itulah, tidak hairan jika kemudian Syeikh Abdul Kadir menjadi ulama besar menggantikan para ulama tersebut.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...
Tuesday, March 13, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment