Wednesday, March 14, 2012

Salam Kami Mac 2012

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita kehadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Hidup ini memang penuh dengan warna warni. Ada buruk dan ada baiknya. Ada suka dan dukanya. Itulah ragam kehidupan manusia. Alangkah baiknya setiap yang berlaku dikalangan masyarakat dapat menjadi iktibar untuk panduan hidup bersama. Itulah juga yang menjadi matlamat Hidayah menyiarkan kisah-kisah iktibarnya pada setiap keluaran. Kisah-kisah yang dipaparkan itu hanyalah sekelumit peristiwa yang dapat disaring berbanding dengan ribuan kisah yang berlaku saban masa di muka bumi Allah ini. Begitu jugalah dengan paparan kisah-kisah iktibar kali ini. Adakah hanya dengan ‘sebilah lidi’ digunakan tanpa izin harus menerima seksaan begitu hebat di kuburan? Kisah ini disiarkan dengan mengambil perkiraan mesej disebaliknya. Bukan soal logik atau tidaknya. Hanya Allah saja yang tahu hikmah sesuatu yang terjadi. Dalam kehidupan suami isteri juga, tidak dinafikan berlakunya keganasan rumahtangga. Suami yang ‘terlampau’ bertindak diluar batas dan tanggungjungjawab moral. Itulah yang mahu dipaparkan dalam kisah iktibar 3 dan iktibar 4. Dalam keluaran kali ini turut disajikan melalui ‘Jendela Islam’ mengenai negara Mauritius. Negara kecil ini jarang diberi perhatian tetapi apabila diketengahkan memang menarik dengan kelompok masyarakat Islamnya yang gigih meningkatkan syiar Islam di ‘pulau syurga’ itu. Sementara itu tersentuh juga keharuan apabila menerima banyak teguran dengan kesilapan tak sengaja menyiarkan ilustrasi jemaah haji ‘bersongkok’ di cover majalah ini keluaran Januari lalu. Ianya memberi kesedaran memang ada pembaca yang sensitif dan ‘sayang’ terhadap ‘Hidayah’. Kami terima setiap teguran tersebut dengan dada terbuka. Semoga jalinan antara anda dengan ‘Hidayah’ sentiasa erat. Tegur dan kritiklah kami seandainya teguran itu dapat membawa kebaikan bersama.
Terima kasih atas sokongan anda selama ini. Berjumpa lagi dalam keluaran akan datang.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: