Monday, November 9, 2009

Variasari November 2009

















Yang ditunggu sudah tiba Variasari November sarat dengan cerita hangat lagi panas....! Dapatkan segera...

Antara yang menarik dalam VARIASARI NOVEMBER 2009








Hidayah November 2009










Pastikan anda memiliki Hidayah keluaran November 2009...padat dengan kisah-kisah iktibar...penuh dengan kisah-kisah teladan...sarat dengan pengetahuan...


Dapatkan segera di pasaran!

Solat Yang Terakhir

ISAM bin Yusuf adalah salah seorag ahli ibadah yang terkenal wara’ dan khusyuk dalam bersolat. Tetapi dia selalu merasa bahawa apa yang dilakukannya itu tidak mencukupi untuk membuatnya hidup tenang dan tenteram. Isam selalu dihantui perasaan gelisah dan ragu-ragu kalau-kalaulah ibadahnya itu tidak seperti yang ia harapkan. Dia pun selalu bertanya pada orang yang dianggapnya khusyuk dalam solat, dengan tujuan untuk memperbaiki solatnya yang selalu dirasakannya kurang sempurna. Suatu hari, dia hadir ke majlis seorang abid yang berama Hatim Al-Isam. Dalam kesempatan itu, ia bertanya: “Bagaimana caranya tuan bersolat?” Hatim menjawab dengan santun, “Apabila masuk waktunya solat, aku berwuduk dengan wuduk zahir dan batin.” “Bagamana caranya melakukan wuduk zahir dan batin itu?” tanya Isam lebih jauh. “Wuduk zahir itu sebagaimana biasa. Membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sedang wuduk batin itu membasuh anggota dengan tujuh perkara, yakni taubat, menyesali dosa yang dilakukan, tidak tergila-gilakan dunia, tidak mencari atau mengharapkan pujian dari orang ramai (riyak), meninggalkan sifat berbangga, meningalkan sifat khianat atau menipu dan yang terakhir meningalkan sifat dengki. “Kemudian aku pergi ke masjid, bersiap solat dan menghadap kiblat. Aku berdiri penuh kewaspadaan. Aku bayangkan Allah berada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku. Aku bayangkan bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Siratul Mustaqim’. Aku menganggap solatku kali itu adalah solat terakhir, kemudian aku niatkan dan bertakbir dengan baik,” terang Hatim. Isam terdiam, mendengarkan penuh perhatian. “Setiap bacaan dan doa dalam solatku itu aku fahami maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk. Aku bertasyahud dengan penuh penghrapan dan aku salam dengan ikhlas. Begitulah aku menunaikan solat 30 tahun,” lanjut Hatim. Dengan menjadikan setiap solat yang dikerjakan itu sebagai solat terakhir, tak mustahil kalau solat itu dapat membentuk kepasrahan seorang hamba secara sepenuhnya kepada Allah Taala. Dengan cara demikian, solat tidak hanya sekadar gerakan tubuh, tapi dialog langsung antara hamba dengan Allah hingga tak ada balasan yang direngkuh kecuali keampunan Allah dan ketenangan hati. (Lihat Al-Baqarah: 45 dan Al-Mukminun: 1,2 dan Al-Ma’arij: 19,23) Oleh kerana itu, sudahkan kita bersedia menjadikan setiap solat yang kita kerjakan itu sebagai solat terakhir?

Salam Kami November 2009

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Syawal dan Ramadan 1430 telah pun berlalu. Hari-hari biasa terus dijejak selagi hayat dikandung badan.
Gelombang semangat Ramadan yang memuncak telahpun menyurut. Syawal juga turut memohon diri. Masjid dan surau kembali seperti biasa. Yang memakmurkannya hanyalah jemaah yang itu-itulah juga. Sementara mereka yang terbawa dalam semangat Ramadan lalu kembali kepada kehidupan biasa. Sibuk dengan urusan hidup yang tidak habis-habis. Apakah kita perlu kecewa menghadapi saat-saat ini? Jangan begitu... Itukan sudah lumrahnya. Naik dan turunnya iman itu perkara biasa. Manusia tidak akan menegak lurus semangatnya. Ada masa memuncak, ada masanya menurun. Jika tidak, Ramadan tidaklah menjadi ‘bulan istimewa’. Mengapa di bulan itu gelombang manusia pada awal-awal Ramadan mampu menyesakkan masjid dan surau hingga jemaahnya melimpahi sampai ke tangga. Itulah janji Allah mengurniakan bulan mulia itu kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Andaikan kalau bulan itu dikurniakan sepanjang tahun, tidaklah ada apa-apa hikmahnya. Namun gelombang turun naik ‘semangat’ ini tidak semestinya terbatas kepada menjelang Ramadan dan datangnya Syawal. Ingatlah tidak lama lagi bakal menjelang bulan Zulhijjah. Waktu itu adalah kesempatan baik bagi datangnya gelombang berikutnya. Datangnya musim haji meniup semangat baru kepada muslim seluruh dunia. Masing-masing bersiap sedia untuk menyambutnya. Kemungkinan ada yang berpeluang menjadi ‘tetamu Allah’ menunaikan fardu haji atau berniat menunaikan sunat korban. Masjid dan surau sekali lagi akan dipenuhi oleh kedatangan jemaah yang bermusim ini. Mahunya mereka ini dialu-alukan, dan didoakan agar adalah yang terlekat menjadi jemaah tetap sepanjang tahun. Kelebihan dan tawaran dari Allah pada bulan Haji juga hebat. Abu Darda’ r.a. berkata: Rajin-rajinlah berpuasa sepuluh permulaan bulan Zulhijjah dan memperbanyakkan doa dan istighfar serta sedekah di dalamnya, sebab saya telah mendengar Nabimu Muhammad s.a.w. bersabda: ‘Celaka bagi orang yang yang tidak mendapat bahagian dari kebaikan dalam hari-hari sepuluh, jagalah terutama berpuasa pada hari kesembilan, sebab mengandungi kebaikan (keuntungan) yang lebih banyak dari apa yang dapat dihitung oleh ahli hitung.’ Baiklah pembaca budiman, kami juga mendapat banyak reaksi yang positif dengan perubahan baru yang dilakukan oleh Hidayah. Setiap pendapat dan teguran amat kami hargai. Sokongan berterusan kalian besar ertinya bagi kami dalam melaksanakan tugas menyiapkan Hidayah setiap keluaran. Akhirnya bersama-samalah kita mengucapkan “Alhamdulilah” sepanjang hidup kita kerana Said bin Zubair berkata: “Pertama orang yang masuk syurga ialah orang yang selalu mengucapkan ‘Alhamdulillah’ baik ketika dalam keadaan senang atau pada ketika susahnya.”
Wassalam!

Pengarang Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

Surat Pembaca

PERUBAHAN YANG MENGEJUTKAN
Saudara pengarang,
Saya terkejut juga dengan perubahan baru yang dilakukan oleh Hidayah dalam keluaran bulan Oktober lalu. Yang lebih menonjolnya ialah perubahan ‘cover’nya. Saya kira ianya satu perubahan yang menarik. Memang pun setelah sekian lama kekal degan imej lama, apabila melakukan perubahan dari segi ‘wajah’ dan perubahan ‘lay-out’ agak ketara perubahannya. Sebagai pembaca setia Hidayah selama ini, saya menyokong Hidayah untuk membuat pembaharuan bukan saja dari segi ‘lay-out’nya tetapi juga persembahan rencananya. Yang lama tetap baik, namun perubahan-perubahan perlu dilakukan bagi menarik pembaca baru. Sebagai majalah bercorak dakwah, Hidayah perlu kelihatan ‘ceria’ bagi memikat pembaca-pembaca baru terutama kalangan remaja termasuk pelajar-pelajar sekolah menengah.

Roslan Agus,
Kemaman, Terengganu.

• Hidayah sebenarnya sentiasa ‘ceria’ setiap kali menemui para pembacanya. Kami sedar, pembaca adalah golongan yang perlu diutamakan. Kepuasan pembaca adalah kepuasan kami. - Pengarang.

RASUAH TIDAK TERLEPAS HUKUMAN DI AKHIRAT
Saudara pengarang,
Kisah iktibar 1 yang disiarkan dalam keluaran bulan Oktober lalu cukup menginsafkan. Bagaimana kisah tersebut memaparkan seorang pegawai kerajaan menyalah gunakan kedudukannya untuk ‘makan rasuah’ dan mengutamakan kepentingan diri. Lelaki yang terlibat itu bukan tokoh besar negara. Dia hanya pegawai di daerah yang ditugaskannya saja. Tapi penguasaaannya di daerah tempatnya bertugas seolah-olah dia orang paling berkuasa dan ‘ditakuti’ oleh orang ramai. Memang terdapat banyak lagi perasuah dan penerima rasuah malah yanag lebih besar diterima berbanding lelaki yang diceritakan itu. Namun bukan semua perasuah mendapat hukuman sewajarnya. Ada yang terlepas dan tidak didakwa langsung. Ada yang didakwa, kemudiannya atas kesilapan-kesilapan teknikal akhirnya dibebaskan. Pihak yang menerima rasuah dan merasakan ‘kesedapan’ menikmatinya memang tidak gerun dengan apa yang dilakukannya. Sedangkan dalam hukum agama, sesiapa yang memberi makan kepada anak isteri dan kaum keluarganya dengan hasil rasuah seolah-olah menyumbat bara api neraka ke dalam perut ahli keluarganya. Jarang terdengar penerima-penerima rasuah yang mendapat balasan azab mengerikan di dunia. Entah matinya di panah petir atau sebagainya. Namun penerima-penerima rasuah ini hendaklah insaf, bahawa perbuatan khianat mereka itu tidak akan terlepas hukumannya di akhirat kelak. Baik mereka yang memberi rasuah dan penerima rasuah mereka tidak akan terlepas begitu saja di dunia dan di akhirat.
Kisah iktibar yang bertajuk “Azab ngeri menjelang hari raya” yang disiarkan itu memang patut menjadi iktibar buat kita semua. Saya berharap agar Hidayah teruskan kisah-kisah iktibar ini dalam keluaran-keluaran seterusnya. Terima kasih Hidayah.

Siti Balqis Muhammad,
Shah Alam, Selangor.

• Terima kasih Balqis yang memberi reaksi spontan sebelum menjelang raya dulu. Harap ramai lagi pembaca Hidayah dapat merasakan seperti apa yang dirasakan oleh Balqis dengan kisah-kisah iktibar yang Hidayah siarkan. – Pengarang.

MOHON KOLEKSIKAN KISAH-KISAH IKTIBAR
Saudara Pengarang,
Hidayah kini sedang memasuki usia sebelas tahunnya yang bersejarah. Saya turut berbangga dengan prestasi majalah ini yang dapat bertahan hingga kini dan mendapat sambutan baik para pembaca seluruh tanahair. Rasanya sampailah masanya pihak penerbit dapat memikirkan untuk menerbitkan koleksi Hidayah atau Koleksi Kisah-kisah iktibarnya yang memang diakui menarik. Bagi pembaca, biasanya menyimpan majalah setiap keluaran memang agak sukar, kecuali yang benar-benar berdisiplin. Jadi apabila Hidayah membuat koleksi kisah-kisah iktibar atau kisah-kisah pilihan lainnya ianya akan memberi peluang kepada pembaca menyimpannnya. Sementara pembaca yang ketinggalan juga dapat menikmati dan memanfaatkan kisah-kisah yaag dipaparkan. Harap saudara pengarang dan penerbit dapat memikirkan keluaran-keluaran koleksi Hidayah yang saya anggap sebagai ‘hadiah istimewa’ buat para pembaca Hidayah selama ini. Harap dipertimbangkan saranan saya ini.

Hajah Suliza Omar Dahlan,
Kulai, Johor.

• Perkara ini akan diperbincangkan dengan pihak penerbit kelak, InsyaAllah. – Pengarang.

Lumpuh Di Kubur Ibu

Sebuah doa terdengar lembut selepas solat subuh itu. Suara wanita berusia emas itu bergetar ikhlas, bergumul dengan tangis penuh harapan: “Ya Allah..., berilah keselamatan untuk anakku selama dia pergi merantau ini ya Allah. Berilah dia kejayaan...” Kain telekong yang dipakainya mulai basah dititis air mata yang tak terasa mengalir. Dia masih tersedu penuh syahdu. Hatinya masih berharap-harap cemas. Halimah, begitulah nama perempuan itu. Usianya 60 tahun lebih. Dia sebenarnya redho melepaskan anaknya ke kota besar itu, tapi dadanya masih terasa sesak. Perasaan takut kehilangan untuk kedua kalinya menyergap batinnya. Dia khuatir akan tenggelam dalam kesepian untuk kedua kalinya. Ya, selepas suaminya meninggal dunia 10 tahun lalu, ia memilih untuk tidak berkahwin lagi. Dan kini, Salim 25 tahun, satu-satunya anak tunggalnya harus pergi. Walaupun andai hanya sesaat, tapi tetap saja dia merasakan getirnya bersarang di dada. Air mata itu masih melembapi pipinya ketika Salim, akhirnya, bersimpuh di hadapannya. “Mak, jangan menangis. Salim berjanji akan pulang juga ke kampung. Salim juga tidak akan menetap tinggal di sana,” janji Salim saat hendak meminta diri pergi di pagi yang masih berembun itu. Si ibu pun berusaha meredakan tangisnya dan berkata: “Salim! Kau mahu berjanji tak akan melupakan, Mak!” “Iya ... Mak. Salim janji. Biarlah lumpuh sebelah kaki Salim kalau sampai melupakan Mak.” “Hiss! Kamu ini cakap yang bukan-bukan? Jangan cakap lepas! Nanti ditulis malaikat...” “Ya Salim pergi dulu, Mak. Nanti tak sempat bas ekpres tu. Doakan Salim, Mak,” tutur Salim seraya mencium tangan ibunya. Salim berangkat ke kota besar tidak dengan tangan kosong. Dia pergi berbekalkan dari kelulusannya sebagai arkitek. Itulah jasa ibunya yang bersusah payah membesarkannya selepas dia bergelar anak yatim. Kini Salim pergi ke kota besar untuk meraih impiannya. Dia berharap semoga kelak dapat membahagiakan ibunya. Dia ingin menebus semua pengorbanan si ibu dan Allahyarham ayahnya dengan sebuah kejayaan. Dia berharap kelak dapat membeli kembali tanah pusaka yang terpaksa dijual ibunya demi membiayai pengajiannya hingga ke Universiti.

Meraih mimpi
Kehidupan di bandar besar adalah kehidupan yang penuh cabaran dan persaingan. Setelah beberapa minggu di ibu kota ini, Salim belum juga mendapatkan pekerjaan. Dia harus bersaing dengan ramai pencari kerja yang berkelulusan sama malah ada yang lebih tinggi darinya. Apalagi, dia masih hijau dengan kota besar ini untuk bersaing mendapatkan sebuah pekerjaan yang setaraf dengan kelulusannya yang ada. Dia bukannya ada kenalan VIP atau sebarang tokoh politik yang boleh menolong. Jauh lagi untuk ‘merasuah’ bagi mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan. Namun demikian, dia tetap bersabar. Wang belanja yang dititip oleh ibunya masih mampu untuknya terus bernafas di kota besar ini buat beberapa ketika. Dalam tempoh mencari-cari pekerjaan itu pun, dia selalu menyempatkan solat di masjid bila azan berkumandang. Sementara amalannya berpuasa sunat Isnin dan Khamis diteruskannya; sebuah kebiasaan yang sering dilakukannya sejak dia bersekolah menengah. Ternyata Allah Maha Mendengar. Suatu tengah hari hampir menjelang zuhur, selepas melamar pekerjaan di sebuah syarikat dan kemudian bersolat zuhur di masjid di kawasan pejabat yang elit itu, dia tanpa disangka-sangka bertemu dengan Karim, seorang sahabat karibnya semasa bersekolah menengah dulu. Si kawan itu yang juga baru selesai solat itu tak menyangka bertemu Salim. Mereka akhirnya melepas rindu dan berbual-bual. Dari percakapan itulah terungkap bahawa Karim sudah merantau sejak habis sekolah menengah dan kini bekerja sebagai pemandu peribadi seorang bos. Semasa bosnya sedang bermesyuarat, Karim memang sering meluangkan masa berehat-rehat di masjid sambil menunggu zuhur. Salim pun bercerita ehwal keadaannya, terkait tujuan kedatangannya ke bandar besar ini. Sebagai sahabat, Karim tentunya terharu melihat sahabatnya yang nampak salih ini, yang parasnya juga agak tampan itu belum juga mendapatkan pekerjaan. Lalu, dia mencuba melihat-lihat ijazah Salim dan dia terkejut melihat pencapaian Salim dalam pengajiannya. Tiba-tiba, Karim bagaikan teringat sesuatu dan berkata: “Eh... Lim! Bagaimana kalau aku kenalkan dengan bosku? Nur Haliza namanya. Dia ibu tunggal tahu...Suaminya yang tuan punya syarikat ini meninggal dunia setahun lalu kerana kanser prostat. Ahli waris tunggalnya ialah isterinya itu. “Kebetulan bos aku tu tengah mencari-cari seorang arkitek yang betul-betul jujur, salih, idealis dan tidak oportunis. Dia perlu seorang pegawai yang memang benar-benar boleh diajak berbincang mengenai syarikat hartanahnya itu. Kalau kamu mahu, nanti aku beritahu tahu Bos aku tu?” terang Karim panjang lebar. Salim sendiri senang bukan kepalang mendengar akan ada peluang mendapat pekerjaan. Namun, dia ragu-ragu, apa betul Bos Karim itu mahu menerima dia yang belum berpengalaman itu.
“Jangan bimbanglah Lim! Nanti aku telefon kamu bila bos aku tu setuju ..?” tegas Karim menenangkan Salim yang nampak ragu dan tak percaya diri. “Baik, Karim, Terima kasih kerana nak menolong aku,” jawab Salim seraya mengangguk-angguk dan tersenyum simpul bahagia. Demikianlah, setelah bertukar alamat dan nombor handphone, keduanya lalu berpisah.

Asmara dua dunia
Tak disangka-sangka, bos Karim yang bernama Nur Haliza, 39, langsung setuju ketika Karim menceritakan mengenai Salim. Dia begitu percaya dengan keterangan pemandunya itu, yang dikenali taat, salih dan setia orangnya. “Cubalah Karim, suruhlah sahaja kawanmu itu datang. Biar saya yang buat temu duga,” tegas Nur Haliza kepada Karim. Keesokan harinya, Salim sudah sampai ke pejabat Karim. Dia langsung bertemu dengan Karim dan dibawa ke pejabat Nur Haliza. Pada saat pertama inilah, debaran cinta menebar di dada masing-masing. Saat pertama kali memasuki ruangan dan saling berjabat tangan, baik Salim dan Nur Haliza sedikit kekakuan. Nur Haliza nampak begitu terpesona melihat Salim yang tinggi dan tampan itu, namun nampak jujur dan tulus. Salim pula sendiri sempat terpukau ketika melihat Nur Haliza yang disebut-sebut Karim itu nampak terlihat cantik, anggun dan berwibawa. Dan ikatan rasa pun bergetar saat pandangan pertama itu. Namun, Nur Haliza langsung menguasai keadaan. Dia mempersilakan Salim duduk dan langsung bertanya berbagai hal kepada Salim. Rupanya, meski belum berpengalaman, Salim mampu menunjukkan kecerdasan dan ‘visi’ sebagai seorang arkitek perumahan. Hal itu, tentu saja, kian memikat Nur Haliza. Dia nampak potensi anak muda yang berbakat ini. Detik hatinya merasakannya begitu. Dia pun langsung menerimanya dan meminta bahagian perjawatan membuatkan surat kontrak kerja untuknya. Dan Salim pun mulai dapat mencecah impiannya. Hari berganti, bulan bertukar tahun. Tak terasa, sejak berugas di syarikat hartanah Nur Haliza itu, kehidupan Salim mulai berubah. Dia lama-kelamaan menjadi orang kepercayaan Nur Haliza. Sesuai dengan jawatannya dia sering berpergian dengan Nur Haliza, meninjau beberapa projek yang sedang dalam penyelenggaraan. Hubungan Nur Haliza dan Salim pun tiba-tiba semakin intim dan akrab. Bukan lagi hubungan antara majikan dan pekerja. Mereka sering pergi berdua; baik dalam pertemuan mengenai urusan perniagaan, mahupun urusan peribadi seperti ke majlis-majlis perkahwinan, makan malam dan sebagainya. Penampilan Salim sendiri yang dulunya agak kekampungan berubah sepenuhnya. Semua berkat tangan Nur Haliza. Fesyen pakaian Salim turut berubah. Gaya rambutnya turut bertukar. Begitu pula, dengan gaya hidupnya. Berubah drastik. Nur Haliza rupanya berjaya mendandani Salim menjadi jejaka moden yang membuat para wanita tergila-gila. Perubahan itu automatik mengubah taraf pergaulan Salim. Ia menjadi lelaki ‘high class’ yang boleh diajak menyenang-nyenangkan diri di café-café, disko dan kelab-kelab malam bertaraf lima bintang. Namun rupanya itulah permulaan mala petaka yang bakal menimpa Salim. Lambat laun, Salim mulai lupa daratan. Dia mulai melupakan kewajibannya sebagai seorang muslim. Ibadah solatnya mula ditinggalkan. Puasa sunat hari Isnin dan Khamis yang sering dikerjakannya dulu mulai beransur-ansur hilang dari disiplin hidupnya. Bibirnya pun tidak lagi basah dengan zikir dan Al-Quran tapi dengan bau minuman beralkohol; bir, wine, dan lain-lainnya, Na’udzubillahi min zalialik! Sebagai seorang kawan, Karim sendiri kerap mengingatkan Salim untuk tidak terlena dan hendaklah sentiasa mengingat Allah, namun sering tak dihiraukannya lagi. Kelakuan Salim pun kian menjadi tatkala ia dan Nur Haliza menikah secara rahsia. Ya, sebuah perkahwinan yang tidak diketahui ibunya yang tinggal jauh di kampung; yang tak pernah putus-putus menanti dan mendoakannya...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Siapakah Paling Baik Menurut Islam

DIKALANGAN kita ini, ada manusia yang baik, dan ada manusia yang jahat. Baik dan jahat ini ialah ukuran dari pandangan kita sahaja. Tetapi pada hakikatnya, baik dan buruk bagi seseorang itu adalah sukar untuk kita menentukannya. Kita sebagai manusia hanya dapat menilainya pada zahirnya sahaja. Hakikat sebenarnya watak seseorang itu dilihat dengan mata sendiri tentang jahatnya atau pun baiknya, tetapi, kita tidak tahu hati didalamnya. Allah s.w.t. sahaja Yang Maha Tahu hakikat baik atau pun jahat seseorang itu. Perkara ini pernah ditanyakan oleh para sahabat kepada Nabi s.a.w. mengenai orang yang baik dan buruk. Apabila Rasulullah s.a.w. menjawab semua pertanyaan yang dimajukan maka jawapan Nabi itu benar belaka, sebab Nabi s.a.w. seorang yang sentiasa bercakap benar, kerana Baginda Nabi dan rasul yang diutus oleh Allah s.w.t. untuk semua umat manusia. Rasulullah s.a.w. pernah bersoal jawab dengan orang-orang tertentu bertanyakan siapakah orang yang paling baik sekali bagi pandangan Baginda. Cuba kita ikuti dialog Rasulullah s.a.w. dengan para sahabat berhubung dengan masalah ini. Abu Bakrah meriwayatkan bahawa ada seseorang yang bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling baik?” Rasul menjawab: “Orang yang panjang umur dan baik amalnya.” Lelaki itu bertanya lagi: “Lantas, siapakah orang yang paling buruk?” Rasulullah menjawab: “Orang yang panjang umurnya dan buruk amalnya.” (HR. Ahmad dan At-Termizi yang disahihkan oleh Al-Hakim). Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling panjang umurnya dan paling baik amalnya.” (HR. Al-Hakim). Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling panjang umurnya dan paling baik amalnya.” (HR. Ahmad). Ubadah ibn Shamit meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bertutur: “Mahukah kalian aku beritahu mengenai orang yang paling baik di antara kalian?” “Tentu, ya Rasulullah,” jawab mereka. Lalu Baginda bersabda: “Iaitu orang yang paling panjang umurnya di antara kalian dalam Islam, jika mereka benar-benar lurus.” (HR. At-Thabarani). Awf ibn Malik berkata, “Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Setiap kali umur seorang Muslim itu panjang, pasti hal itu baik baginya.’” Abu Hurairah berkisah bahawa ada dua orang lelaki yang menyatakan masuk Islam di hadapan Rasulullah s.a.w. Lalu salah seorang dari keduanya mengucapkan kesaksian, sementara yang lainnya menundanya selama satu tahun. Thalhah ibn Ubaidillah mengatakan: “Saya bermimpi melihat syurga dan saya menyaksikan orang yang menunda kesaksian itu dimasukkan ke dalam syurga sebelum mengucapkan kesaksian. Saya pun hairan melihatnya, lalu esoknya saya mengemukakan hal itu kepada Nabi s.a.w.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bukankah setelah itu dia berpuasa di bulan Ramadan, lalu mengerjakan solat enam ribu rakaat, dan dengan demikian ia solat dalam satu tahun?” (HR. Ahmad dan Ibn Zanjawiyah). Thalhah berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Tidak ada seorang pun yang lebih baik kedudukannya di sisi Allah daripada seorang Mukmin yang dipanjangkan umurnya di dalam Islam dengan banyak menyucikanNya, mengagungkanNya, dan mentauhidkanNya.” (HR. Ahmad dan Al-Bazzar)...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Kisah Di Balik Perubahan Arah Kiblat

SETELAH sekitar tujuh belas bulan sejak kedatangan Rasulullah di kota Madinah di tengah-tengah orang Yahudi dan Nasrani, Nabi s.a.w. diminta Allah untuk menjadikan Kaabah sebagai kiblat. Pemindahan arah kiblat itu, terutama sekali untuk memberi pengertian bahawa dalam ibadah solat sebenarnya bukan arah Baitul Maqdis dan Kaabah itu yang menjadi tujuan, tapi menghadapkan diri kepada Allah. Untuk mempersatukan umat Islam dari hati orang-orang yang perlu diuji itulah Allah s.w.t. menjadikan Kaabah sebagai kiblat. Masjidil Aqsa boleh disebut kiblat pertama bagi umat Islam. Tapi ada secuil ketidaktaatan orang Yahudi yang harus diuji, dan kerana itulah datang perintah dari Allah yang meminta Nabi s.a.w. untuk berkiblat ke Masjidil Haram. Semulanya, umat Islam menghadapkan diri ke arah Masjidil Aqsa. Hal itu terjadi pada awal ketika Rasulullah dan umat Islam berada di Madinah. Peristiwa itu jika dianalisa mungkin agak aneh, kerana menurut catatan sejarah, Masjidil Haram di kota Makkah itu lebih tua umurnya dari Masjidil Aqsa. Tentu, di balik ketetapan yang telah diputuskan Allah itu bukan sembarang ketetapan kerana dengan tiba-tiba dan tanpa diduga, Allah meminta kepada Nabi s.a.w. untuk berkiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram. Sebenarnya, ada apa di balik kisah perubahan arah kiblat itu?

Turun Wahyu
Siang itu, panas seperti memanggang bumi. Pasir berhamburan diterpa angin yang berhembus kencang. Tetapi, di dalam Masjid Qiblatain, suasana panas siang itu seperti tidak terasa. Rasulullah tengah khusyuk dalam solatnya, mengimami solat zuhur (pada riwayat yang lain disebutkan solat asar) bersama para sahabat di Masjid Qiblatain.
Dua rakaat sudah berlangsung. Nabi s.a.w. dan jemaah dibuai rasa kekhusyukan. Tapi di luar dugaan, tiba-tiba turun wahyu dari Allah (Al-Baqarah: 144) yang memerintahkan kepada Nabi s.a.w. untuk mengubah arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Palestin (Utara) ke Kaabah di Masjdil Haram di Makkah (Selatan). Wahyu Allah itu berbunyi: “Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Al Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya: dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.” (Al-Baqarah: 144) Sewaktu wahyu Allah itu turun, solat yang didirikan Nabi s.a.w. telah berlangsung dua rakaat. Tapi, begitu mendengar wahyu Allah itu turun, Nabi s.a.w. dan para sahabat dengan serta merta berbalik arah seratus lapan puluh darjah dari arah Masjidil Aqsa ke arah Masjidil Haram. Mulanya, solat Nabi s.a.w. dan para sahabat itu menghadap Utara, kemudian berbalik ke arah Selatan. Meski solat yang didirikan Nabi s.a.w. dan para makmum itu sudah berlangsung dua rakaat, tetapi Nabi s.a.w. itu tidak membatalkan solat. Nabi s.a.w. juga tidak mengulang solat tersebut dari awal, melainkan terus melanjutkan solat untuk rakaat ketiga. Wahyu Allah itu turun seperti menjawab harapan Rasulullah yang memang sudah lama mengharapkan perpindahan kiblat dari arah Masjidil Aqsa ke arah Masjidil Haram.

Menuai Protes
Rupanya, perubahan arah kiblat dari Masjidil Haram yang telah ditetapkan Allah setelah tujuh belas bulan (pada bulan Rejab sejak kedatangan Nabi s.a.w. di Madinah) itu mengundang protes kalangan kaum Yahudi. Beberapa hari setelah perubahan itu, sekelompok Yahudi mendatangi Nabi s.a.w. Di hadapan Nabi s.a.w., sekelompok Yahudi itu – yang dapat dikata sebagai orang-orang dungu kerana tak memahami perubahan kiblat – bertanya dengan nada protes. “Hai Muhammad, apa yang membuat kau mengubah kiblat yang lama (yakni Masjidil Aqsa yang terdapat di Palestin), padahal engkau juga mengatakan menganut kepercayaan dan agama Nabi Ibrahim? Kembalilah ke kiblat semula, tentunya kami akan memercayai dan mengikuti tuan!” Protes orang-orang Yahudi itu tidak membuat Nabi s.a.w. terkejut. Terkait dengan ungkapan yang dikatakan orang-orang Yahudi bahawa Rasulullah menganut kepercayaan dan agama Nabi Ibrahim itu, pada suatu hari Rasulullah pernah mendatangi sebuah rumah, di mana dalam rumah tersebut ada sejumlah orang Yahudi yang sedang membincangkan kitab suci mereka, yakni Taurat. Kemudian Nabi s.a.w. mengajak mereka semua untuk kembali kepada kebenaran Allah, agama Islam. Tetapi, salah seseorang di antara mereka kemudian bertanya, “Hai Muhammad, sebenarnya tuan memeluk agama apa?” “Agama Nabi Ibrahim,” jawab Rasulullah. Orang Yahudi itu kemudian menegaskan, “Bukankah Nabi Ibrahim itu sebenarnya Yahudi?” Nabi s.a.w. seketika mengajak mereka untuk mencari pembuktian akan kebenaran hal tersebut di dalam Taurat. Tapi, mereka menolak dengan bongkak dan sombongnya. Mengenai kejadian tersebut, al-Quran dengan jelas mengungkapkan, “Hai Ahli Kitab, mengapa kamu bantah ehwal Ibrahim padahal Taurat dan Injil tak diturunkan melainkan sesudah Ibrahim. Apakah kamu tidak berfikir? Beginilah kamu! Kamu ini (sewajarnya) bantah-membantah tentang hal yang kamu ketahui, maka kenapa kamu bantah-membantah tentang hal yang tak kamu ketahui? Allah mengetahui sedang kamu tak mengetahui. Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang muasyrik. Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad), beserta orang-orang yang beriman (kepada Muhammad), dan Allah adalah Pelindung semua orang-orang yang beriman. (Ali Imran: 65 -68). Tapi kaum Yahudi memang suka membantah. Tak terkecuali dengan protes yang diajukan mereka kepada Rasulullah terkait perubahan arah Kiblat. Permintaan kaum Yahudi untuk kembali ke kiblat semula (yakni: Masjidil Aqsa) itu sebenarnya tak ada tujuan lain kecuali untuk mengelabui Nabi s.a.w. Niat jahat kaum Yahudi itu diketahui Rasulullah lantaran Allah menurunkan wahyu sehingga Nabi s.a.w. boleh menjawab dengan mudah, “Timur dan Barat adalah milik Allah. Allah memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.” (Al-Baqarah: 142). Bujuk rayu kaum Yahudi itu juga diungkapkan Allah dengan secara jelas dalam ayat selanjutnya, “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang), melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.” (Al-Baqarah: 143).

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Tempat Pembunuhan Habil

Damaskus disebut juga Damsyik, merupakan kombinasi kalimat Dam Syaqiq, yang ertinya darah saudara kandung. Dipercayai di daerah inilah pertama kalinya terjadi pertumpahan darah generasi pertama anak-anak Nabi Adam a.s. Qabil dan HABIL. Di pinggir Damsyik ada sebuah perkampungan yang bernama Barzeh, sebuah perkampungan di kaki bukit Hosiyun. Di sinilah terletak gua yang dipercayai penduduk setempat sebagai tempat lahirnya Nabi Ibrahim a.s. Selain di tempat ini, tempat kelahiran Nabi Ibrahim juga ditemukan di Sanli Urfa, Turki dan di Abu Ghairab Iraq, serta banyak tempat-tempat lain yang dikaitkan dengan kelahiran Nabi Ibrahim. Pada zaman dahulu, gua menjadi tempat perlindungan manusia. Penghuni Ashabul Khafi yang melarikan diri dari raja yang zalim contohnya, ditidurkan Allah di dalam gua dalam masa yang amat panjang. Rasulullah Muhammad s.a.w. menjadikan Hira tempat bermunajat kepada Allah sebelum dilantik menjadi Nabi. Gua Tsur menjadi pilihan baginda berlindung bersama sahabatnya Abu Bakar as-Shiddiq dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Nabi Ibrahim a.s. adalah rasul terpilih, imannya cukup teruji. Baginda dibakar oleh Namrud dan diperintahkan Allah menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. Kerana itu, tidaklah hairan baginda termasuk kelompok rasul ulul azmi kerana ketakwaan dan kesabarannya yang tinggi. Ayah Nabi Ibrahim bernama Azar. Ia tidak beriman dengan seruan tauhid, yang dibawa oleh anaknya, sama seperti Namrud. Walaupun bapanya sendiri tidak beriman, tetapi lahir dari keturunan Ibrahim a.s. nabi-nabi dan para rasul. Kerana itu, nabi Ibrahim diberi gelar Bapa Para Nabi. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri merupakan keturunan beliau dari salasilah Nabi Ismail a.s. anak hasil perkahwinan Nabi Ibrahim a.s. dengan Siti Hajar. Di kawasan perkuburan As-Solihiyah di kaki jabal Khosium, Damaskus ditemukan makam seorang nabi yang namanya termasuk dalam rangkaian dua puluh lima nabi yang wajib diimani, iaitu makam Nabi Zulkifli a.s. Ada pendapat yang mengatakan Nabi Zulkifli a.s. adalah anak Nabi Ayyub a.s. dan dilahirkan 1500 tahun SM. Di Syam. Menurut sumber sejarah, nama asli Zulkifli adalah Waidaya bin Adrim. Beliau dipercayai sebagai nabi yang diutus ke Syam dan kawasan sekitarnya. Baginda dikatakan merantau ke Iraq dan menetap di daerah Kefl, 130 km dari Baghdad. Penduduk Kefl menyatakan, baginda datang ke Iraq sebagai tawanan raja, Nebukadnezar. Walaupun makam Nabi Zulkifli tidak dapat dipastikan, namun Al-Quran telah menyebutkan namanya. Nabi Zulkifli terkenal dengan ketabahan dan kesabarannya dalam berdakwah. Baginda adalah hamba dan pesuruh Allah yang bertakwa, melaksanakan tanggungjawab memimpin umat sezamannya keluar dari kegelapan syirik, menikmati sinar iman dengan penuh kesabaran. Allah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 85-86: “Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Zulkifli. Semua mereka termasuk orang-orang yang sabar. Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang salih.” Sebagai kota tertua yang pernah didiami manusia, tidaklah hairan Damaskus (Damsyik) dikaitkan dengan kisah generasi terawal Nabi Adam iaitu Qabil dan Habil.
Di kota ini, kita boleh menemukan banyak masjid bersejarah. Salah satunya Masjid Jabal Qasim. Tidak diketahui bila masjid ini dibangunkan. Masjid ini pernah disebut di dalam karya Ibnu Jubair dan Ibnu As-Sakir. Ukiran pada dinding masjid menunjukkan ia beberapa kali diperbaiki sepanjang kurun ke-17 hingga 19 masihi. Catatan di sini juga menunjukkan ia telah muncul sejak pemerintahan Saljuk dan terakhir kali ia diperbaiki pada 1384 H. Tempat ini dinamakan Maqam Al-Arba’in atau Maqarat ad-Dam. Diceritakan, beberapa orang nabi pernah mengunjunginya, dan beribadah di sini, seperti Nabi Khidir, Ilyas dan Ibrahim. Kerana itulah, dua mihrab di sini dikenal dengan Mihrab Nabi Khidir, Ilyas dan Ibrahim. Mihrab Nabi Khidir dan Ilyas lebih besar terletak di sebelah kiri, sedangkan mihrab Nabi Ibrahim lebih kecil terletak bersebelahan. Kepercayaan yang mengatakan di gua inilah terjadi pembunuhan pertama kalinya yang terjadi di bumi, menarik pengunjung datang ke sini sejak zaman dahulu. Diceritakan, khalifah pertama Bani Umayah, Muawiyah bin Abi Sufyan pernah solat di sini. Umar bin Abdul Aziz juga dikatakan pernah berkunjung dan solat di gua ini. Kepercayaan turun temurun mengatakan di sinilah terjadinya peristiwa berdarah itu. Walau bagaimana pun, dua kubur yang terdapat di masjid ini sering dianggap sebagai makam Qabil dan Habil. Sebenarnya ia hanyalah makam penjaga kubur yang telah dikebumikan di sini. Walau bagaimana pun, Al-Quran telah menceritakan kisah pembunuhan Habil dan Qabil ini, walaupun al-Quran tidak menyatakan tempat dan waktunya secara terperinci. Kisah di dalam al-Quran itu diceritakan kepada manusia supaya mereka sedar dan mengambil pelajaran bagaimana lemahnya manusia tanpa hidayah dan betapa besarnya peranan Iblis dalam menyesatkan anak-anak Adam. Tragedi pembunuhan Habil memberikan peringatan pada generasi setelahnya sebagai bukti hawa nafsu yang dipengaruhi iblis pasti mengakibatkan penyesalan yang tidak berkesudahan. Nabi Adam mewariskan kepada anak cucunya tanggung jawab sebagai khalifah Allah. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 30: “Ingatlah ketika Tuhanmu befirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi’. Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui’.” Setelah ditiupkan roh, Allah memerintahkan para malaikat bersujud di hadapan nabi Adam sebagai penghormatan kepada baginda. Iblis menolak perintah Allah itu. Dia menyangka dia lebih mulia daripada Adam. Adam diciptakan dari tanah sementara iblis dari api. Keangkuhan iblis mengakibatkan kemurkaan Allah. Akibatnya, iblis diusir dari syurga. Iblis bersumpah akan menyesatkan Adam dan keturunannya. Iblis berhasil menunaikan dendamnya ketika Adam dan Hawa tergoda memakan buah khuldi di syurga. Akibatnya, pasangan manusia pertama itu diturunkan ke dunia. Di bumi, pasangan Adam dan Hawa dianugerahkan anak kembar lelaki dan perempuan iaitu Qabil dan Iqlimah. Kehamilan kedua juga melahirkan anak kembar lelaki dan perempuan iaitu Habil dan Labudah.
Setelah masa berlalu sekian lama...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Haji Yang Kelaparan Dan Kehausan Di Tanah Suci

KISAH ini diceritakan seorang kiai asal Pasuruan kepada Hidayah. Kiai itu menyaksikan kisah ini waktu dia masih menuntut ilmu di tanah suci, Makkah, lebih kurang 25 tahun lalu. Hari itu, sebagaimana terjadi setiap tahun, jutaan jemaah haji dari berbagai pelusuk dunia memenuhi Masjidil Haram di kota Makkah. Mereka semuanya sudah memakai pakaian ihram dan mengumandangkan puji-pujian dan doa kepada Allah. Siapa saja yang berkesempatan menunaikan ibadah haji pastilah menggunakan saat itu untuk berdekat-dekatan dengan Rabbnya.
Dari jutaan jemaah tersebut seorang lelaki berusia awal 50-an asal Malaysia juga turut menunaikan ibadah haji. Sebut saja namanya Datuk Amir, bukan orang sembarangan, kerana kedudukannya sebagai seorang VIP. Waktu itu, Datuk Amir tak sendiri menunaikan ibadah haji. Bersamanya, ada isteri dan seorang anaknya. Dia nampak ramah dan berwibawa. Orang-orang yang berkenalan dengannya ketika itu akan memiliki kesan bahawa Datuk Amir memang benar-benar kaya lantaran melihat penampilannya. Namun kekayaan dan nama ternyata membawa sikap kurang baik, dia terlihat sombong. Hal ini nampak saat dia sudah menjejakkan kaki di Makkah. Demi melihat penempatan jemaah haji (maktab) yang sederhana, dia menolak untuk tinggal. Kesan tak selesa dan kurang senang nampak sekali di wajahnya. Barangkali ia merasa dirinya tak layak berada di bilik hotel jemaah haji tersebut. Datuk Amir lalu memanggil pengurus jemaah haji dan meminta dirinya tak ditempatkan bersama jemaah yang lain. “Saya mahu sewa sebuah rumah, khusus bagi saya dan keluarga saya,” ujarnya kepada pengurus haji waktu itu. Si pengurus hanya mengangguk patuh kerana mengetahui Datuk Amir bukan orang biasa. Jemaah haji lain yang berada satu rombongan dengannya juga cukup memaklumi, mengingat Datuk Amir memang membawa sejumlah wang yang banyak apalagi dia memang merupakan seorang yang berkedudukan dan memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Menolak memakan makanan “kucing”
Maka dicarikanlah sebuah rumah khusus bagi Datuk Amir dan keluarganya. Rumah itu nampak mewah dengan pelbagai kemudahan yang nyaman dan lengkap. Datuk Amir pun terpisah dari jemaah haji yang lain. Kelakuan Datuk Amir tak sampai di situ. Saat dipanggil untuk makan bersama, dia juga menunjukkan sikap kurang senang. Makanan yang disediakan oleh Tabung Haji untuk para jemaah haji dia tolak menjadi makanannya. “Saya tidak mahu makan makanan itu,” ujar Datuk Amir sambil menunjuk makanan yang dibagikan bagi jemaah haji. “Makanan apa itu? Itu sama saja dengan makanan kucing,” ujar Datuk Amir dengan angkuhnya. Jemaah haji yang mendengar ucapannya itu hanya terdiam prihatin. Bagi mereka, makanan yang disediakan sudah cukup memadai, tapi bagi Datuk Amir hal itu tidaklah layak dan bahkan disamakan pula dengan makanan kucing. Pengurus akhirnya mesti mencarikan makanan lain bagi Datuk Amir yang bersedia mengeluarkan wang untuk itu. Pendek kata, Datuk Amir memang terlihat ingin berbeza dengan jemaah yang lain kerana merasa dia ada kedudukan dan memiliki wang yang banyak. Namun cerita kesombongan Datuk Amir rupanya belum berakhir. Saat tiba waktunya para jemaah akan berangkat menuju Arafah, dia menolak lagi untuk naik kenderaan yang sudah disediakan pengurus haji. Kenderaan itu baginya tak selesa dan sama sekali tak layak untuknya. Dia meminta disediakan kenderaan khusus baginya dan keluarganya. “Berapapun akan saya bayar, saya ingin disediakan kenderaan yang lebih layak bagi keluarga saya. Saya tak peduli berapa pun harga sewanya,” ujar Datuk Amir. Sekali lagi, para jemaah dan pengurus yang mendengar hal itu hanya mampu menggeleng kepala masing-masing. “Ada juga orang nak tunjuk lagak di tanah suci ini,” fikir mereka, “Selalu ingin berbeza dan banyak pula mahunya.” Pengurus yang agak kesal dengan tingkah Datuk Amir tak punya pilihan lain selain menurutinya. Tapi dalam hati si pengurus juga melihat sebuah peluang keuntungan. Kerana bersedia membayar berapapun, Datuk Amir pastilah tak ada masalah dengan harga berapa pun. Si pengurus mengetahui harga kenderaan yang diinginkan Datuk Amir adalah sekitar 100 ribu riyal. Si pengurus berniat menyewakan kenderaan itu dengan harga setengahnya, yakni 50 ribu riyal. Kenderaan itu juga tak ia sewakan melainkan dia beli terus. Nanti setelah selesai dipakai si pengurus berniat menjualnya kembali dengan harga yang tak jauh beza. Dari situ terbayang keuntungan yang berganda buat dirinya...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Tarekat Menyuci Hati Yang Berkarat

DI ZAMAN Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w., seorang sahabat yang bernama Uwais Al-Qarani r.a. juga telah menerima limpahan Ilmu Kerohanian dari Baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. meskipun dia berada dalam jarak yang jauh dan tidak pernah sampai ke Makkah dan Madinah bertemu Baginda, sedangkan beliau hidup pada suatu zaman yang sama dengan Rasulullah. Pada tahun 657 Uwais Al-Qarani telah membangunkan suatu jalan tarekat yang mencapai ketinggian yang terkenal dengan Nisbat Uwaisiyah yang mana seseorang itu boleh menerima limpahan Kerohanian dari Nabi Muhammad s.a.w. dan sekelian Para Masyaikh Akabirin meskipun pada jarak dan masa yang jauh. Di dalam kitab ‘Awariful Ma’arif ada dinyatakan bahawa di zaman Baginda s.a.w., Abu Bakar As-Siddiq dan Ali Ibni Abi Talib r.a. telah menghidupkan perhimpunan jemaah-jemaah di mana upacara Bai’ah dilakukan dan majlis-majlis zikir pun turut diadakan. Tarekat menurut pengertian bahasa bererti jalan, aliran, cara, garis, kedudukan tokoh terkemuka, keyakinan, mazhab, sistem kepercayaan dan agama. Berasaskan tiga huruf iaitu huruf Ta, Ra dan Qaf. Ada Masyaikh yang menyatakan bahawa huruf Ta bererti Taubat, Ra bererti Redha dan Qaf bererti Qana’ah. Lafaz jamak bagi Tarekat ialah Taraiq atau Turuq yang bererti tenunan dari bulu yang berukuran 4 hingga 8 hasta dan dipertautkan sehelai demi sehelai. Tarekat juga bererti garisan pada sesuatu seperti garis-garis yang terdapat pada telur dan menurut Al-Laits, tarekat ialah tiap garis di atas tanah, atau pada jenis-jenis pakaian

AJARAN ASAS NAQSHBANDIYAH
Tarekat Naqshbandiyah mempunyai prinsip asasnya yang tersendiri yang telah diasaskan oleh Maulana Syeikh ‘Abdul Khaliq Al-Ghujduwani. Ia telah meletakkan lapan prinsip asas ini sebagai dasar Tariqat Naqshbandiyah. Prinsip-prinsip ini dinyatakannya dalam sebutan bahasa Parsi dan mengandungi pengertian dan pengajaran yang amat tinggi nilainya. Adapun prinsip-prinsipnya adalah seperti berikut:
• 1. Yad Kard
• 2. Baz Gasht
• 3. Nigah Dasyat
• 4. Yad Dasyat
• 5. Hosh Dar Dam
• 6. Nazar Bar Qadam
• 7. Safar Dar Watan
• 8. Khalwat Dar Anjuman
Syeikh Muhammad Parsa yang merupakan sahabat, khalifah dan penulis riwayat Bahauddin Naqshband telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa ajaran Tariqat Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh Abdul Khaliq Al-Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih berkenaan zikir dan ajaran lapan prinsip asas seperti yang dinyatakan di atas turut dianuti dan diamalkan oleh 40 jenis tarekat. Tarekat lain menjadikan asas ini sebagai panduan kepada jalan kebenaran yang mulia iaitu jalan kesedaran dalam menuruti Baginda Rasulullah s.a.w. dengan meninggalkan sebarang bentuk bidaah dan bermujahadah melawan hawa nafsu. Kerana itulah Syeikh Abdul Khaliq Al-Ghujduwani dikatakan mencapai ketinggian rohani dan menjadi seorang guru tarekat dan penghulu pemimpin kerohanian pada zamannya.

1. Yad Kard
Yad bererti ingat yakni zikir. Perkataan Kard pula bagi menyatakan kata kerja bagi ingat yakni pekerjaan mengingati Allah s.w.t. dan ianya merupakan zat bagi zikir. Berkata Para Masyaikh, Yad Kard bermaksud melakukan zikir mengingati Tuhan dengan menghadirkan hati. Murid yang telah melakukan Bai‘ah dan telah ditalkinkan dengan zikir hendaklah sentiasa sibuk mengingati Allah s.w.t. dengan kalimah zikir yang telah ditalqinkan. Zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh adalah zikir yang akan membawa seseorang murid itu mencapai ketinggian darjat rohani. Syeikh akan mentalqinkan zikir kepada muridnya sama ada Zikir Ismu Zat ataupun Zikir Nafi Itsbat secara Lisani ataupun Qalbi. Seseorang murid hendaklah melakukan zikir yang sebanyak-banyaknya dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan berzikir. Pada setiap hari, masa dan keadaan, sama ada dalam keadaaan berdiri atau duduk atau berbaring ataupun berjalan, hendaklah sentiasa berzikir.
Pada lazimnya seseorang yang baru menjalani tarekat Naqshbandiyah ini, Syeikh akan mentalqinkan kalimah Ismu Zat iaitu lafaz Allah sebagai zikir yang perlu dilakukan pada Latifah Qalb tanpa menggerakkan lidah. Murid hendaklah berzikir Allah Allah pada latifah tersebut sebanyak 24 ribu kali sehari semalam setiap hari sehingga terhasilnya cahaya Warid. Ada sebahagian Syeikh yang menetapkan jumlah permulaan sebanyak lima ribu kali sehari semalam dan ada juga yang menetapkannya sehingga tujuh puluh ribu kali sehari semalam. Seterusnya murid hendaklah mengkhabarkan segala pengalaman rohaniahnya kepada Syeikh apabila menerima Warid tersebut. Begitulah pada setiap Latifah, murid hendaklah berzikir sebanyak-banyaknya pada kesemua Latifah seperti yang diarahkan oleh Syeikh sehingga tercapainya Warid. Mengingati Allah s.w.t. secara sempurna adalah dengan berzikir menghadirkan hati ke Hadhrat ZatNya. Setelah Zikir Ismu Zat dilakukan pada setiap Latifah dengan sempurna, Syeikh akan mentalqinkan pula Zikir Nafi Itsbat iaitu kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH yang perlu dilakukan sama ada secara Lisani iaitu menerusi lidah atau secara Qalbi (kalbu) iaitu berzikir menerusi lidah hati. Zikir Nafi Itsbat perlu dilakukan menurut kaifiyatnya. Syeikh akan menentukan dalam bentuk apa sesuatu zikir itu perlu dilakukan. Yang penting bagi Salik adalah menyibukkan diri dengan zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh sama ada ianya Zikir Ismu Zat ataupun Zikir Nafi Itsbat. Salik hendaklah memelihara zikir dengan hati dan lidah dengan menyebut Allah Allah iaitu nama bagi Zat Tuhan yang merangkumi kesemua Nama-NamaNya dan Sifat-SifatNya yang mulia serta dengan menyebut Zikir Nafi Itsbat menerusi kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH dengan sebanyak-banyaknya. Salik hendaklah melakukan Zikir Nafi Itsbat sehingga dia mencapai kejernihan hati dan tenggelam di dalam Muraqabah. Murid hendaklah melakukan Zikir Nafi Itsbat sebanyak 5 ribu ke 10 ribu kali setiap hari bagi menanggalkan segala kekaratan hati. Zikir tersebut akan membersihkan hati dan membawa seseorang itu kepada Musyahadah. Zikir Nafi Itsbat menurut Akabirin Naqshbandiyah, seseorang murid yang baru itu hendaklah menutup kedua matanya, menutup mulutnya, merapatkan giginya, menongkatkan lidahnya ke langit-langit dan menahan nafasnya. Dia hendaklah mengucapkan zikir ini dengan hatinya bermula dari kalimah Nafi dan seterusnya kalimah Itsbat. Bagaimanapun, bagi murid yang telah lama hendaklah membukakan kedua matanya dan tidak perlu menahan nafasnya. Bermula dari kalimah Nafi iaitu LA yang bererti Tiada, dia hendaklah menarik kalimah LA ini dari bawah pusatnya ke atas hingga ke otak. Apabila kalimah LA mencapai otak, ucapkan pula kalimah ILAHA di dalam hati yang bererti Tuhan. Kemudian hendaklah digerakkan dari otak ke bahu kanan sambil menyebut ILLA yang bererti Melainkan, lalu menghentakkan kalimah Itsbat iaitu ALLAH ke arah Latifah Qalb. Sewaktu menghentakkan kalimah ALLAH ke arah Qalb, hendaklah merasakan bahawa kesan hentakan itu mengenai kesemua Lataif di dalam tubuh badan. Zikir yang sebanyak-banyaknya akan membawa seseorang Salik itu mencapai kepada kehadiran Zat Allah dalam kewujudan secara Zihni yakni di dalam fikiran. Salik hendaklah berzikir dalam setiap nafas yang keluar dan masuk. Yad Kard merupakan amalan difikiran yang bertujuan fikiran hendaklah sentiasa menggesa diri supaya sentiasa ingat kepada Allah s.w.t. dan melakukan zikir bagi mengingati ZatNya. Pekerjaan berzikir mengingati Allah s.w.t. adalah suatu amalan yang tiada batas dan had. Ianya boleh dikerjakan pada sebarang keadaan, masa dan tempat. Hendaklah sentiasa memerhatikan nafas supaya setiap nafas yang keluar dan masuk itu disertai ingatan terhadap Zat Allah s.w.t.

2. Baz Gasht
Baz Gasht bererti kembali. Menurut Para Masyaikh, maksudnya ialah seseorang yang melakukan zikir dengan menggunakan lidah hati menyebut Allah Allah dan LA ILAHA ILLA ALLAH, begitulah juga setelah itu hendaklah mengucapkan di dalam hati dengan penuh khusyuk dan merendahkan diri akan ucapan ini: Yang bererti, “Wahai Tuhanku Engkaulah maksudku dan keredhoanMu tuntutanku, kurniakanlah Cinta dan Makrifat ZatMu.” Ianya merupakan ucapan Baginda Rasulullah s.a.w., ucapan ini akan meningkatkan tahap kesedaran kepada kewujudan dan Keesaan Zat Tuhan, sehingga dia mencapai suatu tahap di mana segala kewujudan makhluk terhapus pada pandangan matanya. Apa yang dilihatnya walau ke mana jua dia memandang, yang dilihatnya hanyalah Allah s.w.t. Ucapan kata-kata ini juga memberikan kita pengertian bahawa hanya Allah s.w.t. yang menjadi maksud dan matlamat kita dan tidak ada tujuan lain selain untuk mendapatkan keredhoanNya. Salik hendaklah mengucapkan kalimah ini bagi menghuraikan segala rahsia Keesaan Zat Tuhan dan supaya terbuka kepadanya keunikan hakikat Kehadiran Zat Allah s.w.t. Sebagai murid, tidak boleh meninggalkan zikir kalimah ini meskipun tidak merasakan sebarang kesan pada hati. Dia hendaklah tetap meneruskan zikir kalimah tersebut sebagai menuruti anjuran Syeikhnya. Makna Baz Gasht ialah kembali kepada Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Mulia dengan menunjukkan penyerahan yang sempurna, mentaati segala kehendakNya dan merendahkan diri dengan sempurna dalam memuji ZatNya...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Apabila Roh Berpisah Dari Jasad

SUATU hari, Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam rumahnya. Baginda melihat Aisyah, isteri tercinta, tengah duduk berehat. “Assalamualaikum..” ucap Nabi s.a.w. memberi salam. Aisyah pun menjawab salam dan ingin bangkit dari duduknya, sebagai bentuk penghormatannya untuk menyambut si suami tercinta. Tetapi Nabi s.a.w. berkata sambil tersenyum: “Duduklah pada tempatmu! Tidak usah berdiri, wahai Ummul Mukminin...” Aisyah pun tak jadi bangkit dari tempat duduknya. Ia kembali duduk di tempatnya semula. Rasulullah kemudian menghampiri wanita salihah itu. Rasulullah duduk di sampingnya dan meletakkan kepalanya di pangkuannya seraya terlentang. Kala itu, muka Rasulullah terlihat lelah. Aisyah mencuba mengusap wajah manusia mulia itu dengan penuh kasih sayang. Dia merasa hiba melihat suaminya nampak letih dan kepenatan. Dalam sebuah keterangan hadis diceritakan bahawa Rasulullah memiliki kebiasaan bila berada dalam keletihan, Baginda akan berbaring dan merebahkan kepalanya di pangkuan Aisyah. Pada saat seperti itu, Aisyah biasanya mencabuti uban yang ada pada janggut Rasulullah yang terlihat lebat dan sudah memutih. Aisyah bergumam dalam hati, “Sesungguhnya dia (Rasulullah) akan keluar dari dunia ini sebelum aku, dan tinggalah umat yang tanpa Nabi.” Tak terasa dia terbawa emosi diri sendiri. Dia menangis sehingga air matanya mengalir di pipi dan menitisi wajah Rasulullah. Titisan air mata itu membuat Rasulullah terbangun dari tidurnya. Rasulullah pun bersabda, “Apa yang membuatmu menangis, wahai Ummul Mukminin?” “Aku sedih dan menangisimu, ya Rasulullah.” “Kenapa?” “Engkau mungkin akan mendahuluiku meninggalkan dunia ini,” kata Aisyah. “Kenapa kamu harus menangisinya, wahai Ummul Mukminin?” “Umatmu akan kehilangan Nabi sepertimu. Mereka akan hidup tanpa seorang Nabi.” Rasulullah hanya terdiam. Lalu, Baginda mengutarakan sebuah pertanyaan. “Keadaan apa yang paling menyusahkan bagi orang yang sudah meninggal dunia?” “Aku tak tahu, ya Rasulullah. Ceritakanlah kepadaku?” “Jawablah! Engkau yang dulu harus menjawabnya.” “Tidak ada keadaan yang paling menyusahkan atas diri mayat dari pada saat keluar dari rumahnya, anak-anak berduka di belakangnya, dan mereka berkata: ‘Aduh anak-anakku!”
Rasul menyela, “Itu memang pedih. Tapi, ada lagi yang lebih pedih dari itu?” “Tidak ada keadaan yang lebih berat atas diri mayat dari pada saat dia dimasukkan ke dalam liang lahat dan dikuburkan di bawah tanah. Para kerabat, anak dan kekasihnya meninggalkannya pulang. Mereka menyerahkan mayat tersebut kepada Allah beserta segala amal perbuatannya. Setelah itu, datanglah malaikat Munkar dan Nakir ke dalam kuburnya. Itulah yang paling pedih.” Rasulullah bertanya lagi, “Apa yang lebih berat dari engkau katakan itu, wahai Ummul Mukminin?”
“Allah dan rasul-rasulNya yang lebih tahu.”

Soal Kematian
Rasulullah bersabda, “Hai Aisyah, sesungguhnya saat yang paling berat (menyedihkan) bagi jenazah adalah saat masuknya orang yang memandikan jenazah ke dalam rumahnya untuk memandikannya. Mereka mengeluarkan cincin pemuda itu dari jari-jarinya, melepas pakaian pengantin dari badannya dan melepaskan serban para syeikh dan fuqaha (ahli fiqih) dari kepalanya untuk memandikannya. Ketika itu, rohnya memanggil (berseru) saat melihat jasadnya telanjang dengan suara yang dapat didengar oleh seluruh makhluk kecuali jin dan manusia.” Jenazah itu akan berkata, “Hai orang yang memandikan! Demi Allah, aku memohon kepadamu agar engkau menanggalkan pakaianku dengan perlahan-lahan, kerana sesungguhnya saat ini aku sedang istirahat dari sakitnya pencabutan Malaikat Maut.” Dan, kata Rasul, ketika air dituangkan kepadanya dia menjerit dan berseru lagi, “Hai orang yang memandikan! Demi Allah, jangan engkau tuangkan air panas, jangan pula dengan air dingin, sesungguhnya jasadku telah terbakar sebab dicabutnya nyawaku.” Dan ketika dimandikan, lanjut Rasulullah, dia akan berseru dengan keras, “Demi Allah, hai orang yang memandikan, janganlah engkau pegang diriku terlalu kuat, padahal sesungguhnya jasadku terluka akibat keluarnya nyawa dari jasadku.” Ketika selesai memandikan dan diletakkan pada kain kafan dan diikat di bawah kakinya, roh itu berseru, “Demi Allah, hai orang yang memandikan, janganlah engkau ikat erat-erat kain kafan di atas kepalaku agar terlihat wajah keluargaku, anak-anakku dan kerabat-kerabatku, kerana saat ini adalah yang terakhir aku melihat mereka, hari itu aku akan berpisah dengan mereka dan aku tidak boleh melihat mereka lagi sampai Hari Kiamat.” Ketika mayat akan dikeluarkan dari rumah...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Islam 'Keturunan Jawa' Di Suriname

ADA kisah unik mengenai perayaan sambutan aidilfitri di Suriname (Surinam) tiga tahun lalu. Saat rakyat Indonesia heboh berdebat mengenai perbezaan penetapan hari raya aidilfitri, hal itu ternyata juga terjadi di Suriname. Jika di Indonesia NU (Nahdatul Ulama) dan Muhammadiyah berbeza pendapat hingga ada 2 hari raya yang diyakini, di Suriname perbezaannya bahkan 3 hari. Seperti yang dilaporkan akhbar Jawa Pos, sebahagian besar masyarakat Suriname memang menyambut hari raya yang ditetapkan pemerintah (Isnin, 23 Oktober 2006) atau sama dengan Muhammadiyah dan Pengurus Wilayah NU Jawa Timur di Indonesia. Tapi, sebahagian masyarakat juga melangsungkan sambutan aidilfitri sehari sebelumnya, Minggu (22 Oktober), dan Rabu (25 Oktober). Selain melalui cara hisab dan rukyah, penetapan hari raya puasa oleh orang Jawa di Suriname dilakukan berdasar perhitungan mereka sendiri. Yakni, menggunakan ramalan atau perhitungan ala Jawa warisan nenek moyang. Kerana itu, para penganut hari raya “tidak biasa” tersebut adalah kalangan orang Islam keturunan Jawa yang masih kukuh mempertahankan tradisi peninggalan nenek moyangnya. Amat Bakri, 83, imam Masjid Muljo Rukun Islam, Dekraneweng, Lelydorp, daerah Wanica, Suriname, menyebut bahkan berdasarkan Kitab ramalan tersebut hari raya Aidilfitri sampai 2014 sudah mereka ketahui tarikhnya. Mereka meyakini bahawa apa yang dilakukan nenek moyang mereka dulu adalah tradisi yang harus dipelihara dan tidak boleh diubah. Mereka khuatir, bila menyimpang dari tradisi leluhur, boleh menjadi sesuatu yang tidak diingini (berdosa). Amat yang mengaku leluhurnya berasal dari Wonosobo, Jawa Tengah, itu mengatakan, penetapan aidilfitri – oleh masyarakat di sana disebut Idul Fiter – dengan ketetapan itu sudah ada sejak pertama kali orang Jawa datang ke negara itu, 116 tahun yang lalu. Sebagai ahli warisnya, Amat dan sekitar 200 orang yang berjemaah di masjid tersebut mempunyai rasa tanggungjawab moral untuk mengamalkan nilai-nilai tradisi para leluhur tersebut. “Kalau bukan kita yang masih keturunan Jawa di sini, siapa lagi yang mahu mempertahankan warisan itu,” tutur Amat, sebagaimana yang dilaporkan Jawa Pos.

Dikirim oleh Belanda
Republik Suriname merupakan negara terkecil di Benua Amerika. Luasnya hanya sekitar 163 ribu kilometer persegi. Akan tetapi, dari segi demografi penduduk, negara ini boleh jadi yang paling berwarna dengan keragaman etnik, budaya, dan agama. Sebenarnya, Suriname merupakan negara bekas jajahan Belanda. Orang-orang Belanda telah berkuasa sejak tahun 1667. Sebelumnya, negara yang dulu dikenal bernama Netherlands Guyana ini dijajah oleh bangsa Sepanyol, Portugis, dan Inggeris. Kemerdekaan baru diperoleh tahun 1975 yang kemudian dikenali dengan nama rasmi Republik Suriname. Penduduk aslinya adalah orang-orang Indian, etnik asli Benua Amerika. Dulu, Belanda sangat bergantung dengan hasil perkebunan dari Suriname. Ribuan hamba pun didatangkan dari Afrika Barat sejak tahun 1700-an untuk dipekerjakan di ladang-ladang tebu, kapas, coklat, dan kopi. Orang-orang Afrika Barat inilah yang membawa agama Islam pertama ke negara tersebut. Tahun 1863, Kerajaan Belanda mengakhiri sistem perhambaan. Tindakan ini membawa perubahan terhadap keberlangsungan pekerjaan di perladangan negara-negara jajahan, termasuk Suriname. Banyak bekas-bekas hamba yang kemudian meninggalkan ladang-ladang untuk mencari penghidupan lebih baik.
Menyedari situasi tersebut dapat mengganggu perekonomian, Belanda pun melakukan usaha penyelamatan. Direkrutlah tenaga buruh-buruh kontrak yang digaji sangat murah. Mereka sebahagian diambil dari beberapa negara dan wilayah jajahannya, termasuk dari Jawa. Akhirnya, untuk kali pertama, kelompok pekerja pendatang Jawa sebanyak 94 orang tiba di Suriname pada 9 Ogos 1890 setelah menempuh perjalanan panjang dengan menggunakan kapal Prins Willem II. Mereka direkrut oleh De Nederlandsche Handle Maatschappij dan selanjutnya dipekerjakan di perladangan tebu dan perusahaan gula Marrienburg. Empat tahun kemudian, perusahaan yang sama mendatangkan kelompok kedua yang terdiri atas 582 orang Jawa. Sejak tahun 1890 hingga 1930, seramai 32,965 pekerja kontrak keturunan Jawa bekerja di Suriname. Menilik perjanjian kontrak, mereka akan bekerja selama lebih kurang lima tahun. Setelah itu, para pekerja boleh memilih tetap tinggal di Suriname atau pulang ke Jawa. Banyak di antara mereka yang pulang ke Jawa, namun sebahagian lagi memilih menetap di Suriname. Kehadiran mereka kian mengukuhkan agama Islam di negara ini lantaran warga Jawa tersebut kebanyakannya muslim. Menurut banci terakhir, muslim Suriname mewakili sekitar 13 peratus dari keseluruhan penduduk negara tersebut, tetapi berbagai sumber tidak rasmi menyebut angkanya mencapai 20 peratus, menjadikan Suriname salah sebuah negara dengan peratus muslim tertinggi di benua Amerika. Selain keturunan Jawa, jejak Islam Suriname juga dibawa oleh orang-orang Pakistan dan Afghanistan yang hampir semua penduduknya adalah muslim Sunni.

Ghairah Islam
Menurut Dr. H. Shobahussurur, Ketua Masjid Agung Al-Azhar Jakarta, dalam sebuah tulisannya yang disiarkan di media online, masyarakat muslim Suriname pada umumnya memeluk agama sekadar mewarisi agama nenek moyangnya. Hal itu terjadi kerana mereka memang datang ke Suriname tidak mendapatkan pendidikan agama yang kuat. Pada kes masyarakat muslim Jawa, umpamanya, kebanyakan mereka berasal dari tradisi agama Islam Jawa Abangan yang hanya mengenal Islam sekadar nama dan lebih kental dengan unsur tradisi dan budaya Jawa. Hal itu terlihat, misalnya, kenapa hingga sekarang sebahagian masih mempertahankan solat menghadap ke Barat seperti nenek moyang mereka dari Jawa, padahal Suriname berada di sebelah barat Kaabah. Namun sejalan dengan perkembangan zaman, kefahaman Islam semakin membaik, dan kesedaran untuk beragama Islam secara menyeluruh semakin meningkat pada masyarakat Islam Suriname. Islam tidak lagi dijadikan sebagai agama warisan nenek moyang, tapi dipeluk dengan penuh kesedaran. Lambat laun Islam tidak saja dijadikan sebagai agama tradisi nenek moyang, tapi menjadi sebuah cara hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Fenomena seperti itu dapat dengan mudah kita temui di mana-mana, di kota dan kampung, di pasar dan jalan-jalan. Berpakaian muslim/muslimah menjadi pemandangan yang biasa di tengah-tengah fesyen berpakaian ala Barat. Sahut-menyahut ucapan salam simbol Islam. Saling mengucap: Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh antara muslim Jawa dengan muslim Hindustan atau yang berasal dari Afrika.

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Kenapa Diremehkan Fardu Kifayah

TIDAK lama dulu ada cerita tentang adanya satu golongan orang yang menubuhkan syarikat bagi mengendalikan orang-orang mati. Maksudnya, syarikat ini akan mengusahakan mengenai jenazah itu sehinggalah melakukan perkara-perkara yang tidak disyariatkan dan tidak disuruh oleh agama. Cerita tentang menubuhkan syarikat ini pernah ditimbulkan seorang tokoh agama ketika memberikan ceramah agama dalam satu majlis disebuah masjid di Ibu Kota tidak lama dulu. Katanya: “Nak menguruskan jenazah bagi seseorang meninggal dunia memerlukan sebuah syarikat mengendalikan. Dulu-dulu cerita macam ini tidak ada?” Kita pun, barang kali terkejut dan hairan juga dengan cerita dan kisah ini. Kematian itu satu musibah kepada sesuatu keluarga itu. Sebagaimana kita maklum, maut pasti menjemput kita. Dalam agama, pengendalian atau pun menguruskan jenazah itu merupakan satu perkara pasti. Ia mesti dilakukan oleh kumpulan manusia yang beriman terhadap jenazah itu. Apa yang disebut dalam istilah agama sebagai “fardu Kifayah”. Erti fardu Kifayah ini ialah, apabila berlaku kematian, maka orang-orang yang beragama dalam sesebuah kampung itu hendaklah mengusahakan dan menyelesaikan jenazah itu dengan memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan seterusnya mengkebumikannya. Sekiranya tidak diuruskan jenazah tersebut dengan dibiarkan begitu sahaja, kerana semua orang dalam kampung itu “tidak tahu”, maka seluruh orang dalam kampung itu berdosa. Itulah yang dimaksudkan “fardu Kifayah”. Ini adalah syariat. Apabila disebut syariat adalah hukum agama, yang datang, dan arahan atau pun perintah dari Allah dan Rasul. Ia menjadi tanggung jawab kita bersama seluruh umat Islam. Pekerjaan ini tidak perlu minta dibayar atau pun dibayar oleh pihak yang menerima musibah itu. Tetapi hukum dari Allah, perintah Allah dan Rasul diperniagakan. Kita hairan juga kenapa hal serupa ini boleh berlaku? Apakah tidak ada orang “pandai” ke dalam kampung tersebut? Kita pun merasa ajaib ada orang yang mahu mengenakan bayaran sekian-sekian banyak atau pun jumlah dalam menguruskan sesesuatu kematian itu, sedangkan pekerjaan itu tanggungjawab setiap orang Islam. Cubalah kita fikirkan bagaimanakah sekiranya keluarga yang ditimpa musibah itu dari golongan orang fakir dan miskin? Tidak ada apa-apa yang ada pada diri mereka yang mahu dibayar? Apakah kita mahu biarkan jenazah itu begitu sahaja? Apakah jenazah itu tidak dimandikan, dikafan, disembahyang dan dikebumikan?
Kalaulah benar cerita dari ustaz itu tentang perkara ini, apa cerita yang sebenarnya ni? Orang mati pun nak diperniagakan? Apa nak jadi dengan orang-orang kita ni? Amalan-amalan seperti inilah yang dipertahankan oleh sebahagian dari orang-orang beragama kita. Mereka mempunyai kepentingan terhadap sesuatu pekerjaan tersebut, walau pun pekerjaan itu menjadi syariat yang tidak perlu kepada upah. Wang sudah menjadi satu bahan utama dalam dunia moden sekarang. Apa pun juga pekerjaan mesti ada wang, walau pun pekerjaan itu dalam bentuk ibadah. Sesebuah kematian itu adalah satu musibah yang datang dari Allah. Allah sudah menentukan setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati. Itulah sebabnya, ketika Allah memerintahkan Malaikat Mikail untuk mengambil nyawa manusia, Mikail berkata, kalau begitu semua makhluk akan benci kepadanya. Allah s.w.t. beritahu Mikail, Allah akan jadikan sebab-sebab berlakunya sesebuah kematian itu. Itulah sebabnya, ada yang mati kerana kemalangan, jatuh, pengsan, sakit jantung, darah tinggi, terkejut dan lain-lain lagi. Jadi, kita sebagai orang yang belum mati lagi, mestilah menguruskan saudara-saudara kita yang pergi dulu menemui Allah. Tetapi bukannya meminta “upah”, dan kita perniagakan mereka yang sudah mati itu? Ada disebutkan: “Orang-orang Islam itu bersaudara dalam agama, dan mereka tidak seharusnya saling menindas, tidak saling membiarkan satu sama lainnya serta tidak saling menghina.” Ada cerita konon, setiap orang yang meninggal ada “pakej”nya sendiri. Pakej yang disediakan ialah sekian ribu ringgit, sekian ratus ringgit setiap kematian itu.
Pakej itu diuruskan sehingga diadakan kenduri kendara, baca Quran atas kubur, dan macam-macam khurafat yang lainnya. Mereka dari golongan berada, orang kaya, orang yang ada wang, bolehlah ambil pakej yang disediakan beberapa kategori itu. Untuk itu, maka sebuah syarikat perniagaan orang mati ditubuhkan...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Shuhaib Bin Sinan: Dermawan Jenaka Dan Disayangi Rasulullah

SHUHAIB BIN SINAN R.A. dibesarkan dalam lingkungan kesenangan dan kemewahan. Bapanya hakim sekaligus menjadi gabenor yang dilantik oleh Maharaja Parsi. Mereka adalah orang-orang Arab yang pindah ke Iraq, jauh sebelum datangnya Islam. Di istananya yang terletak di pinggir sungai Efrat, Shuhaib hidup senang dan bahagia. Hingga suatu ketika, negeri itu menjadi sasaran orang-orang Romawi yang datang menyerbu dan menawan sejumlah penduduk, termasuk dia sendiri. Tak hairan, ia pun diperjualbelikan oleh saudagar-saudagar hamba abdi. Nasib membawanya sampai ke kota Makkah, setelah sebelumnya menghabiskan masa kanak-kanak dan remaja di Romawi. Tak aneh bila lidah dan dialeknya pun fasih berdialek Romawi. Majikannya tertarik akan kecerdasan, kerajinan dan kejujuran, hingga Shuhaib dibebaskan dan dimerdekakannya, dan diberinya kesempatan untuk dapat berniaga bersamanya. Ammar bin Yasir berkisah, suatu ketika ia berjumpa dengan Shuhaib bin Sinan, sesaat ketika mereka hendak menemui Rasulullah. “Mahu kemana?” tanya Ammar bin Yasir. “Kamu sendiri mahu kemana?” balasnya, balik bertanya. “Saya mahu menjumpai Muhammad untuk mendengarkan ucapannya,” jawab Ammar. “Kebetulan, saya juga ingin menemuinya,” ujar Shuhaib pula. Keduanya pun segera masuk ke dalam. Saat itu Rasululah menjelaskan perihal akidah Islam. Keduanya bagai terpaku saat mendengar penuturan Rasulullah. Seakan akidah mereka telah menyatu seperti apa yang Rasulullah jelaskan. Hingga timbullah tekad untuk segera mengubah keimanan mereka sebagaimana keimanan Rasulullah.
Usai menyatakan keislaman dan menjadi pengikut Rasulullah, mereka tak langsung bergegas pergi, sampai hari pun beranajak petang. Saat itu, barulah dengan sembunyi-sembunyi mereka keluar. Memang, saat itu Baitul Arqam menjadi tempat pertemuan para sahabat secara rahsia, mengingat Islam belum dikenal luas dan Rasulullah pun masih begitu sengit dimusuhi kafir Quraisy. Namun sejak mengisytiharkan keislamannya di Baitul Arqam, Shuhaib tak bertangguh mendermakan hidupnya untuk kepercayaan yang diyakininya. Ia bergantung dalam barisan kaum muslimin tatkala mereka menghadapi medan jihad. Sebagai perantau yang juga peniaga, tak sedikit ia memberi bantuan hartanya untuk jihad. Bahkan ia terhitung sebagai salah seorang dermawan yang berani memberi tebusan bagi siapa saja (kaum muslimin) yang dianiaya. “Tiada satu perjuangan bersenjata yang diterjuni Rasulullah, kecuali pastilah aku menyertainya. Tiada suatu baiat yang dialaminya, kecuali tentulah aku menghadirinya. Dan tiada suatu pasukan bersenjata yang dikirimnya kecuali aku termasuk sebagai anggota rombongannya. Tidak pernah Baginda bertempur baik di masa-masa pertama Islam atau dimasa-masa akhir, kecuali aku berada di sebelah kanan atau sebelah kirinya. Kalau ada sesuatu yang dikhuatirkan kaum muslim di hadapan mereka, pasti aku akan menyerbu paling depan, demikian pula jika ada yang dicemaskan di belakang mereka, aku pasti akan mundur ke belakang serta aku tidak sudi sama sekali membiarkan Rasulullah berada dalam jangkauan musuh sampai ia kembali menemui Allah!” demikian Shuhaib memberi kesaksian ehwal kedekatannya pada Rasulullah dan kesungguhan imannya. Suatu gambaran yang luar biasa. Itulah sedikit gambaran betapa ia menjadi manusia selalu siap sedia dalam suasana apapun.

Tingalkan kekayaan
Saat Rasulullah hendak berhjirah, Shuhaib menyatakan diri hendak bergabung. Saat itu juga, ia tinggalkan semua emas dan perak serta kekayaan yang diperolehnya sebagai hasil perniagaan selama bertahun-tahun di Makkah. Semua kekayaan itu dilepaskan dalam sekejap masa tanpa berfikir panjang. Lepasnya seluruh harta yang dimilikinya bermula dalam peristiwa hijrahnya bersama Rasulullah. Sebab memang dalam perjalanan hijrah tersebut, menurut rencana, Shuhaib akan menjadi orang ketiga, di samping Rasulullah dan Abu Bakar. Namun sayang, orang-orang Quraisy telah mencium khabar tersebut. Sehingga di malam hari untuk mencegah hijrah Rasulullah. Di tengah perjalanan, Shuhaib terjebak dalam salah satu perangkap mereka, hingga ia pun terhalang untuk hijrah, sementara Rasulullah dan Abu Bakar beruntung berhasil melepaskan diri. Dalam keadaan yang mencurigakan tersebut, kaum Quraisy terus mengintip dan mengekorinya. Berbagai upaya mereka lakukan agar Shuhaib mengakui bahawa ia sesungguhnya merancang melakukan perjalanan hijrah bersama-sama Rasulullah. Namun Shuhaib berusaha menolak tuduhan Quraisy dengan berbagai helah. Hingga ketika mereka lengah, ia segera naik ke ke belakang untanya. Lalu dipacunya haiwan tunggangannya itu sekencang-kencangnya menuju padang tandus yang luas. Namun kaum kafir Quraisy tak mahu kecundang. Mereka pun segera mengirim para pemburu handalan untuk menyusulnya. Usaha itu hampir saja berhasil. Tahu keadaan tersebut benar-benar genting, Shuhaib tiba-tiba melambatkan lajunya seraya berteriak pada mereka, “Hai orang-orang Quraisy! Kalian semua tahu bahawa aku adalah ahli panah yang paling mahir. Demi Allah, kalian takkan berhasil mendekatiku, sebelum aku lepaskan semua anak panah yang berada dalam kantung ini, dan setelah itu akan kugunakan pedang untuk menebas kalian, sampai senjata di tanganku habis semua! Nah, majulah ke sini kalau kalian berani! Tetapi kalau kalian mahu, akan aku tunjukkan tempat penyimpanan harta bendaku, asal saja kalian melepasku pergi setelah itu!” Dijanjikan dengan harta Shuhaib yang memang diketahui banyak, mereka pun hampir terpengaruh.

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...