Damaskus disebut juga Damsyik, merupakan kombinasi kalimat Dam Syaqiq, yang ertinya darah saudara kandung. Dipercayai di daerah inilah pertama kalinya terjadi pertumpahan darah generasi pertama anak-anak Nabi Adam a.s. Qabil dan HABIL. Di pinggir Damsyik ada sebuah perkampungan yang bernama Barzeh, sebuah perkampungan di kaki bukit Hosiyun. Di sinilah terletak gua yang dipercayai penduduk setempat sebagai tempat lahirnya Nabi Ibrahim a.s. Selain di tempat ini, tempat kelahiran Nabi Ibrahim juga ditemukan di Sanli Urfa, Turki dan di Abu Ghairab Iraq, serta banyak tempat-tempat lain yang dikaitkan dengan kelahiran Nabi Ibrahim. Pada zaman dahulu, gua menjadi tempat perlindungan manusia. Penghuni Ashabul Khafi yang melarikan diri dari raja yang zalim contohnya, ditidurkan Allah di dalam gua dalam masa yang amat panjang. Rasulullah Muhammad s.a.w. menjadikan Hira tempat bermunajat kepada Allah sebelum dilantik menjadi Nabi. Gua Tsur menjadi pilihan baginda berlindung bersama sahabatnya Abu Bakar as-Shiddiq dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Nabi Ibrahim a.s. adalah rasul terpilih, imannya cukup teruji. Baginda dibakar oleh Namrud dan diperintahkan Allah menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. Kerana itu, tidaklah hairan baginda termasuk kelompok rasul ulul azmi kerana ketakwaan dan kesabarannya yang tinggi. Ayah Nabi Ibrahim bernama Azar. Ia tidak beriman dengan seruan tauhid, yang dibawa oleh anaknya, sama seperti Namrud. Walaupun bapanya sendiri tidak beriman, tetapi lahir dari keturunan Ibrahim a.s. nabi-nabi dan para rasul. Kerana itu, nabi Ibrahim diberi gelar Bapa Para Nabi. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri merupakan keturunan beliau dari salasilah Nabi Ismail a.s. anak hasil perkahwinan Nabi Ibrahim a.s. dengan Siti Hajar. Di kawasan perkuburan As-Solihiyah di kaki jabal Khosium, Damaskus ditemukan makam seorang nabi yang namanya termasuk dalam rangkaian dua puluh lima nabi yang wajib diimani, iaitu makam Nabi Zulkifli a.s. Ada pendapat yang mengatakan Nabi Zulkifli a.s. adalah anak Nabi Ayyub a.s. dan dilahirkan 1500 tahun SM. Di Syam. Menurut sumber sejarah, nama asli Zulkifli adalah Waidaya bin Adrim. Beliau dipercayai sebagai nabi yang diutus ke Syam dan kawasan sekitarnya. Baginda dikatakan merantau ke Iraq dan menetap di daerah Kefl, 130 km dari Baghdad. Penduduk Kefl menyatakan, baginda datang ke Iraq sebagai tawanan raja, Nebukadnezar. Walaupun makam Nabi Zulkifli tidak dapat dipastikan, namun Al-Quran telah menyebutkan namanya. Nabi Zulkifli terkenal dengan ketabahan dan kesabarannya dalam berdakwah. Baginda adalah hamba dan pesuruh Allah yang bertakwa, melaksanakan tanggungjawab memimpin umat sezamannya keluar dari kegelapan syirik, menikmati sinar iman dengan penuh kesabaran. Allah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 85-86: “Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Zulkifli. Semua mereka termasuk orang-orang yang sabar. Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang salih.” Sebagai kota tertua yang pernah didiami manusia, tidaklah hairan Damaskus (Damsyik) dikaitkan dengan kisah generasi terawal Nabi Adam iaitu Qabil dan Habil.
Di kota ini, kita boleh menemukan banyak masjid bersejarah. Salah satunya Masjid Jabal Qasim. Tidak diketahui bila masjid ini dibangunkan. Masjid ini pernah disebut di dalam karya Ibnu Jubair dan Ibnu As-Sakir. Ukiran pada dinding masjid menunjukkan ia beberapa kali diperbaiki sepanjang kurun ke-17 hingga 19 masihi. Catatan di sini juga menunjukkan ia telah muncul sejak pemerintahan Saljuk dan terakhir kali ia diperbaiki pada 1384 H. Tempat ini dinamakan Maqam Al-Arba’in atau Maqarat ad-Dam. Diceritakan, beberapa orang nabi pernah mengunjunginya, dan beribadah di sini, seperti Nabi Khidir, Ilyas dan Ibrahim. Kerana itulah, dua mihrab di sini dikenal dengan Mihrab Nabi Khidir, Ilyas dan Ibrahim. Mihrab Nabi Khidir dan Ilyas lebih besar terletak di sebelah kiri, sedangkan mihrab Nabi Ibrahim lebih kecil terletak bersebelahan. Kepercayaan yang mengatakan di gua inilah terjadi pembunuhan pertama kalinya yang terjadi di bumi, menarik pengunjung datang ke sini sejak zaman dahulu. Diceritakan, khalifah pertama Bani Umayah, Muawiyah bin Abi Sufyan pernah solat di sini. Umar bin Abdul Aziz juga dikatakan pernah berkunjung dan solat di gua ini. Kepercayaan turun temurun mengatakan di sinilah terjadinya peristiwa berdarah itu. Walau bagaimana pun, dua kubur yang terdapat di masjid ini sering dianggap sebagai makam Qabil dan Habil. Sebenarnya ia hanyalah makam penjaga kubur yang telah dikebumikan di sini. Walau bagaimana pun, Al-Quran telah menceritakan kisah pembunuhan Habil dan Qabil ini, walaupun al-Quran tidak menyatakan tempat dan waktunya secara terperinci. Kisah di dalam al-Quran itu diceritakan kepada manusia supaya mereka sedar dan mengambil pelajaran bagaimana lemahnya manusia tanpa hidayah dan betapa besarnya peranan Iblis dalam menyesatkan anak-anak Adam. Tragedi pembunuhan Habil memberikan peringatan pada generasi setelahnya sebagai bukti hawa nafsu yang dipengaruhi iblis pasti mengakibatkan penyesalan yang tidak berkesudahan. Nabi Adam mewariskan kepada anak cucunya tanggung jawab sebagai khalifah Allah. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 30: “Ingatlah ketika Tuhanmu befirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi’. Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui’.” Setelah ditiupkan roh, Allah memerintahkan para malaikat bersujud di hadapan nabi Adam sebagai penghormatan kepada baginda. Iblis menolak perintah Allah itu. Dia menyangka dia lebih mulia daripada Adam. Adam diciptakan dari tanah sementara iblis dari api. Keangkuhan iblis mengakibatkan kemurkaan Allah. Akibatnya, iblis diusir dari syurga. Iblis bersumpah akan menyesatkan Adam dan keturunannya. Iblis berhasil menunaikan dendamnya ketika Adam dan Hawa tergoda memakan buah khuldi di syurga. Akibatnya, pasangan manusia pertama itu diturunkan ke dunia. Di bumi, pasangan Adam dan Hawa dianugerahkan anak kembar lelaki dan perempuan iaitu Qabil dan Iqlimah. Kehamilan kedua juga melahirkan anak kembar lelaki dan perempuan iaitu Habil dan Labudah.
Setelah masa berlalu sekian lama...
Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...
Monday, November 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment