Monday, November 9, 2009

Salam Kami November 2009

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Syawal dan Ramadan 1430 telah pun berlalu. Hari-hari biasa terus dijejak selagi hayat dikandung badan.
Gelombang semangat Ramadan yang memuncak telahpun menyurut. Syawal juga turut memohon diri. Masjid dan surau kembali seperti biasa. Yang memakmurkannya hanyalah jemaah yang itu-itulah juga. Sementara mereka yang terbawa dalam semangat Ramadan lalu kembali kepada kehidupan biasa. Sibuk dengan urusan hidup yang tidak habis-habis. Apakah kita perlu kecewa menghadapi saat-saat ini? Jangan begitu... Itukan sudah lumrahnya. Naik dan turunnya iman itu perkara biasa. Manusia tidak akan menegak lurus semangatnya. Ada masa memuncak, ada masanya menurun. Jika tidak, Ramadan tidaklah menjadi ‘bulan istimewa’. Mengapa di bulan itu gelombang manusia pada awal-awal Ramadan mampu menyesakkan masjid dan surau hingga jemaahnya melimpahi sampai ke tangga. Itulah janji Allah mengurniakan bulan mulia itu kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Andaikan kalau bulan itu dikurniakan sepanjang tahun, tidaklah ada apa-apa hikmahnya. Namun gelombang turun naik ‘semangat’ ini tidak semestinya terbatas kepada menjelang Ramadan dan datangnya Syawal. Ingatlah tidak lama lagi bakal menjelang bulan Zulhijjah. Waktu itu adalah kesempatan baik bagi datangnya gelombang berikutnya. Datangnya musim haji meniup semangat baru kepada muslim seluruh dunia. Masing-masing bersiap sedia untuk menyambutnya. Kemungkinan ada yang berpeluang menjadi ‘tetamu Allah’ menunaikan fardu haji atau berniat menunaikan sunat korban. Masjid dan surau sekali lagi akan dipenuhi oleh kedatangan jemaah yang bermusim ini. Mahunya mereka ini dialu-alukan, dan didoakan agar adalah yang terlekat menjadi jemaah tetap sepanjang tahun. Kelebihan dan tawaran dari Allah pada bulan Haji juga hebat. Abu Darda’ r.a. berkata: Rajin-rajinlah berpuasa sepuluh permulaan bulan Zulhijjah dan memperbanyakkan doa dan istighfar serta sedekah di dalamnya, sebab saya telah mendengar Nabimu Muhammad s.a.w. bersabda: ‘Celaka bagi orang yang yang tidak mendapat bahagian dari kebaikan dalam hari-hari sepuluh, jagalah terutama berpuasa pada hari kesembilan, sebab mengandungi kebaikan (keuntungan) yang lebih banyak dari apa yang dapat dihitung oleh ahli hitung.’ Baiklah pembaca budiman, kami juga mendapat banyak reaksi yang positif dengan perubahan baru yang dilakukan oleh Hidayah. Setiap pendapat dan teguran amat kami hargai. Sokongan berterusan kalian besar ertinya bagi kami dalam melaksanakan tugas menyiapkan Hidayah setiap keluaran. Akhirnya bersama-samalah kita mengucapkan “Alhamdulilah” sepanjang hidup kita kerana Said bin Zubair berkata: “Pertama orang yang masuk syurga ialah orang yang selalu mengucapkan ‘Alhamdulillah’ baik ketika dalam keadaan senang atau pada ketika susahnya.”
Wassalam!

Pengarang Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: