Tuesday, August 5, 2008

Amalan Hidup Bersahaja

BERCAKAP memang mudah, mengamalkannya memang payah. Hidup bersahaja, bersifat Qanaahlah tu... Bukan mudah apabila dirinya masih diselimuti nafsu yang cuba mengungkit-ungkit pemberian Tuhan pada dirinya selama ini. Keinginan hawa nafsu manusia memang sukar untuk dikendalikan. Termasuk diri kita sendiri. Sekadar kekuatan azam sahaja tidak mencukupi kalau tidak berasaskan kepada keimananan yang kukuh. Namun janganlah takbur...hidup dengan sifat Qanaah (bahasa Melayunya bersahaja) bukanlah lahir hasil latihan diri sendiri. Ianya hendaklah bersandarkan kepada anugerah Allah s.w.t. jua. Ada juga orang yang hidup bersabar, bersahaja, bersederhana namun jauh dari keimanan. Bukan tidak ada orang-orang bukan Islam bersifat demikian.
Tokoh bersahaja bagi manusia yang terkenal di Asia dan di dunia ini ialah Mahatma Ghandi. Kesederhanaannya mengkagumkan. Dengan pakaiannya yang sehelai itu dia berjaya menggerakkan kebebasan negaranya dari cengkeraman penjajah British. Tapi bagaimana dia di akhirat kelak? Ghandi memang hebat...
Tapi anda juga akan lebih hebat jika dapat mengawal hawa nafsu dari mengejar dunia yang palsu ini. Anda bersabar dan menerima qada’ dan qadar Allah berlandaskan ketauhidan anda kepada Allah Taala. Bukan kepada yang lain. Bukan kepada untuk dipuja puji mahu disebut ahli sufi. Oh... bukan begitu! Memadai anda beramal memenuhi tuntutan kewajipan sebagai seorang muslim. Bekerjalah untuk menyara kehidupan anda dan keluarga menurut kemampuan anda. Tidak menipu, tidak mengampu, tidak memijak orang lain dan bersyukurlah dengan apa yang anda terima. Ingatlah apa yang anda dapat, yang anda lakukan adalah semata-mata merupakan anugerah Allah s.w.t.juga. Renungilah hadis Qudsi ini di mana Allah s.w.t. berfirman: “Hai manusia! Siapa yang sudi menerima apa yang ada (dari bahagian yang Aku berikan padanya), maka ia telah kaya. Siapa yang meninggalkan sifat iri dengki, maka istirahatlah sudah jiwanya. Siapa yang meninggalkan barang yang haram, maka agamanya pun menyelamatkan dirinya. Siapa yang tidak mahu mengumpat orang lain, maka tampaklah kecintaannya, kebaikannya pun semakin banyak. Siapa yang memisahkan diri dari orang banyak, maka selamatlah dirinya dari (gangguan) mereka. Siapa yang bicaranya sedikit, sempurnalah akalnya. Siapa yang rela atas bahagian rezeki sedikit, maka ia telah percaya penuh dengan apa yang dimiliki Allah s.w.t...” Berbahagialah anda apabila dianugerah sifat bersahaja ini. Alhamdulillah... (Muhammad Sholehan)

Thursday, July 24, 2008

Produk Madunia

Sila layari www.madunia.com.my untuk mengetahui produk-produk keluaran Madunia yang sedang berada di pasaran!

Tuesday, July 22, 2008

Hati-hati bila memakan ikan peliharaan

http://jaip.perak.gov.my/bhg_penyelidikan/PATIN.htm

Tuesday, May 6, 2008

Dapatkan Hidayah September 2009 Di Pasaran!
















Anda masih tercari-cari bahan bacaan yang sesuai untuk seisi keluarga...?

Kami hidangkan sebuah majalah yang sarat dengan pengetahuan
mahupun teladan buat pedoman kita semua.

Di bawah ini kami siarkan antara bahan-bahan menarik yang
terdapat di dalam majalah Hidayah edisi September 2009.

Edisi September 2009, menghidangkan bahan-bahan segar, menarik lagi mempesona... diolah dengan gaya bahasa serantau, mudah untuk difahami...membantu minda pembaca dalam mengupas persoalan-persoalan yang membelenggu masyarakat dewasa ini.


Pastikan anda membeli senaskhah untuk di bawa pulang.

Senaskhah Hidayah yang anda beli akan memberi pahala kepada
anda dunia akhirat. Pastikan juga jiran tetangga anda turut
mendapat manfaat dari majalah ini.

Borang Langganan Hidayah




Kandungan Hidayah September 2009

Tabah ibu berhati mulia 10
Tukang urut yang salih 16
Liang lahad berbatu karang 22
Kisah kucing dan kubur aneh 28
Kita mesti banyak bersabar 36
Tokoh: Imam Ahmad bin Hambal 40
Motivasi 46
Bulan terbelah 52
Cabaran menyaingi Al-Quran 56
Menteladani hakikat kebenaran 56
Nabi Isa a.s. 70
Wanita tua mengharap syurga 76
Akhirnya memeluk Islam 80
Selamat dari himpitan manusia 92
Imam Malik 102
Meremeh solat kemungkaran besar 112
Meninjau ibadah haji berkali-kali 118
Pulau Syurga 132
Bercuti 140
Fairus Ad-Dailami 148

Sunday, May 4, 2008

Salam Kami September 2009

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Pembaca budiman, betapa syahdu rasanya hati. Ramadan yang menjelma untuk sekian kali ini datang untuk memberi peluang kepada umat Islam meningkatkan ibadat masing-masing. Abu Hurairah r.a. berkata, biasa Rasulullah s.a.w. menyampaikan khabar gembira kepada sahabatnya dengan bersabda: “Telah tiba kepadamu bulan Ramadan bulan yang berkat. Allah mewajibkan kepada kamu berpuasa, dalam bulan itu terbuka pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan yang jahat, juga di bulan itu ada lailatul qadar yang nilainya lebih baik dari seribu bulan.” Memang benar kita tidak akan pernah jemu-jemu untuk menyambut Ramadan. Bulan suci ini datang dan pergi setiap tahun. Begitulah juga kita, datang dan pergi setiap masa. Yang pergi tetap pergi, dan tidak akan kembali lagi. Kita juga akan pergi. Cuma gilirannya entah bila. Sempatkah lagi Ramadan akan datang. Jangan-jangan Ramadan ini antara kita juga akan pergi...(hanya Allah s.w.t. Yang Mengetahui) Mahunya kepergian kita hendaklah dengan akhiran yang baik. Mahunya hendaklah sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. melalui Abu Hurairah r.a. yang bemaksud: “Siapa yang puasa pada siang harinya dan bangun pada malam harinya kerana iman dan mengharapkan pahala jaminan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” Pembaca tersayang, Hidayah keluaran ini sebagaimana biasa memaparkan beberapa kisah iktibar yang ‘wajib’ anda baca. Antaranya ikutilah ketabahan hati seorang wanita biasa awal 40-an bertajuk ‘Tabah ibu berhati mulia’. Keimanan yang dipupuknya sebelum dan selepas tragedi menjadi benteng kukuh baginya bersabar menghadapi ujian hidup. Begitu juga dengan kisah iktibar ‘Jenazah utuh tukang urut yang salih’ menginsafkan kita bahawa darjat keimanan seseorang bukanlah berdasarkan tahap kedudukannya di dunia. Dan jangan sekali-kali kita ‘meremehkan orang-orang biasa’ yang pada pandangan Allah s.w.t. mendapat darjat mulia. Dua ‘tokoh’ yang dipaparkan ini wajar kita ambil teladannya. Dan sebagai motivasi bersama, kita petik hadis berikut ini yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasululah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. berfirman: Semua amal anak Adam dilipat gandakan dari sepuluh sampai tujuh ratus lipat ganda, kecuali puasa, maka puasa itu semata-mata untukKu dan Aku yang akan membalasnya, ia meningalkan syahwat, makan dan minum keranaKu, dan puasa itu sebagai perisai, dan untuk orang-orang yang puasa dua kegembiraan, gembira ketika menghadapi waktu berbuka puasa, dan gembira kelak bila bertemu kepada Tuhan di Hari Kiamat.” Kita berjumpa lagi di keluaran hari raya aidilfitri akan datang, InsyaAllah.
Wassalam!

Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

Mencari Jalan Lurus

MENCARI jalan lurus adalah suatu perkara mesti dilaksanakan oleh umat Islam, malah kita umat Islam sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam memohon kehadrat Allah agar memberikan petunjuk serta hidayah atau memohon kepada Allah menunjukkan kepada kita jalan yang lurus, jalan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, sebagaimana yang sering kita lafazkan didalam solat fardu yang kita tunaikan. Dengan ini jelaslah kepada kita bahawa solat itu suatu perkara yang penting bagi kita umat Islam dan ianya mesti dilakukan setiap waktu, sebagaimana yang diperuntukkan kepada kita. Seyogia diingatkan bahawa jalan yang lurus itu adalah ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang meliputi semua bidang, hal akidah, hal keimanan, ibadah hukum-hukum akhlak dan lain-lain. Dalam waktu kita mencari jalan kebenaran yang diredhoi Allah, kita hendaklah berhati-hati supaya tidak terperangkap jerat ajaran-ajaran sesat yang dibawa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap Islam. Oleh itu kita sebagai umat Islam sangat perlukan pertolongan serta petunjuk daripada Allah terutama disaat-saat yang genting, seperti huru hara yang amat dahsyat di padang mahsyar kelak.
Di hari itu dimana para rasul tidak sanggup untuk menolong sesiapa, dimana mereka berkata nafsi-nafsi, yakni diriku-diriku, kecuali Nabi Besar Muhammad s.a.w. yang dapat memberi syafaat dengan izin Allah. Sebagaimana firman Tuhan dalam surah Al-Baqarah ayat 255, yang bermaksud: “Siapalah yang boleh menolong atau memberi syafaat disisinya melainkan dengan izin Allah.” Allah menganugerahkan bintang kepada nabi untuk melaksanakan jasa baiknya pada lima syafaat, Pertama: Syafaat kubra atau pertolongan yang paling agung di Padang Mahsyar nanti hanya tertentu bagi Nabi Muhammad supaya dilepaskan makhluk daripada seksa huru hara yang berpanjangan. Kedua: Syafaat bagi ahli syurga, supaya dimasukkan ke dalam syurga. Ketiga: Syafaat melepaskan ahli tauhid yang berdosa yang telah dimasukkan ke dalam neraka. Keempat: Syafaat bagi ahli syurga supaya diangkat pangkat mereka dan, Kelima: Syafaat terhadap bapa saudaranya Abu Thalib supaya diringankan seksanya. Setelah Tuhan yang Maha Adil mengizinkan syafaat kepada Nabi Muhammad bagi melepaskan orang ramai daripada penderitaan huru hara di Padang Mahsyar, maka mahkamah keadilan Allah pun dibuka dan orang ramai dihadapkan kepada perbicaraan dalam keadaan berbaris teratur sebagaimana firmannya yang bermaksud: “Dan mereka akan dibawa ke hadapan Tuhanmu dengan berbaris. Sesungguhnya kamu datang kepada Kami, sebagaimana Kami menciptakan kamu pada kali yang pertama, bahkan kamu mengatakan bahawa Kami sekali-kali tidak akan menetapkan bagi kamu waktu (memenuhi) perjanjian.” (Al-Kahfi: 48)...

Baca seterusnya di dalam Hidayah September...

Kejujuran Tiang Agama Dan Kekuasaan

Dalam pilihan raya umum Indonesia (pemilu legislative) 2009 lalu didakwa banyak terjadi kecurangan, sehingga pilihan raya ini dikatakan sebagai pilihan raya paling buruk dalam era reformasi. Kecurangan itu, umpamanya, ada calon-calon yang pengundinya hilang belasan ribu. Sebaliknya, ada calon lain yang justeru mendapat tambahan belasan ribu pengundi. Kecurangan itu sangat disesalkan dan sangat berbahaya, kerana terjadi dalam pilihan raya yang merupakan proses memilih kepemimpinan bangsa. Pilihan raya seharusnya berlangsung secara jujur agar melahirkan pemimpin-pemimpin yang juga jujur. Namun, bagaimana boleh mengharapkan munculnya pemimpin yang jujur kalau proses pemilihannya berlangsung secara tidak jujur? Hal itu dikatakan berbahaya, kerana kecurangan merupakan suatu keburukan. Secara umum pun keburukan menimbulkan keburukan yang lain. Tidak pernah ada keburukan menimbulkan kebaikan. Sebaliknya, kebaikan selalu menimbulkan kebaikan yang lain dan tidak pernah ada kebaikan menimbulkan keburukan. Keburukan yang muncul dari proses pemilihan kepemimpinan bangsa yang tidak jujur itu akan menimbulkan keburukan yang lain, iaitu lahirnya pemimpin-pemimpin atau anggota-anggota yang juga tidak jujur. Dari sana akan timbul keburukan yang lain lagi, iaitu kehidupan bangsa menjadi rapuh kerana dimamah oleh pemimpinannya yang tidak jujur itu. Bangsa ini (bangsa Indonesia) seperti tidak pernah belajar pada pengalaman masa lalu yang belum terlalu lama. Pada krisis tahun 1997, misalnya, mata wang rupiah jatuh sampai 500 peratus, sementara negara-negara tetanggga yang juga mengalami krisis mata wang hanya jatuh sekitar 100 peratus. Hal itu kerana kehidupan bangsa ini sangat rapuh akibat rasuah yang berleluasa. Jadi, kecurangan itu mungkin berhasil dalam jangka pendek, seperti berhasil menjadi anggota dewan yang terhormat, tetapi dalam jangka panjang hal itu sangat berbahaya, kerana dapat menghancurkan peradaban dan kekuasaan yang sudah dibangun. Sebaliknya, kejujuran akan mengukuhkan peradaban dan kekuasaan. Jadi, kejujuran merupakan tiang peradaban. Hal itu membenarkan ucapan seorang bijak pandai bahawa keldai itu binatang bodoh, tetapi kakinya tidak pernah tersandung berkali-kali pada batu yang sama. Sebaliknya, manusia itu makhluk pintar, tetapi kakinya kadang-kadang tersandung berkali-kali pada batu yang sama. Selain itu, kejujuran juga sangat penting dilihat dari segi agama, yakni sebagai tiang agama. Ada hadis yang sering dipetik oleh para ustaz, kiai, ulama dan sebagainya bahawa solat merupakan tiang agama. Tetapi ada juga hadis yang saya dengar semasa menuntut di Institut Agama Islan Negeri (IAIN, sekarang menjadi Universiti Islam Negeri [UIN]) Syarif Hidayatullah Jakarta yang menyatakan bahawa tiang agama itu adalah kejujuran. Hadis itu menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah didatangi oleh seorang pemuda yang kelakuannya jelek, iaitu suka mabuk, berjudi, dan melanggani pelacur. Dia menyatakan bahawa dia ingin masuk agama Islam, tetapi tidak mahu mengerjakan ibadah dan ingin tetap mengerjakan kebiasaan buruknya itu.
Rasulullah s.a.w. menyatakan: “Boleh, tetapi dia harus jujur kalau disoal.” Pemuda itu pun menyanggupi. Maka dia menyatakan masuk Islam, tetapi pada waktu itu dia tidak mengerjakan ibadah seperti solat dan masih mengerjakan kebiasaan buruknya, seperti mabuk-mabuk, berjudi, melacur. Setiap kali bertemu, Rasulullah s.a.w. selalu bertanya kepada pemuda itu: “Apakah kamu sudah solat?” Kerana dia telah menyatakan siap berkata jujur, maka dia selalu menjawab: “Belum!” Lama kelamaan dia merasa malu menyatakan belum solat, maka akhirnya dia terdorong mengerjakan solat dan ibadah yang lain dan lama-kelamaan juga dia meninggalkan kebiasaannya yang buruk itu. Akhirnya dia ...

Baca seterusnya di dalam Hidayah September...

Bulan Terbelah Akan Terjadi Lagi

SALAH satu tanda kiamat adalah terbelahnya bulan. Masalah ini sebenarnya persoalan ghaib. Namun, pada masa Nabi s.a.w., bulan pernah terbelah dan itu bukan sebagai tanda kiamat, tapi sebagai tanda kemukjizatannya sebagai Rasul Allah. Saat itu, orang kafir Quraisy mencabar Nabi s.a.w. untuk membelah bulan jika ia memang seorang utusan Allah. Maka, atas izin Allah, bulan itu akhirnya boleh terbelah. Walaupun begitu, di antara mereka ada yang beriman, ada pula yang tidak. Kini, proses terbelahnya bulan pada masa Nabi s.a.w. itu menjadi perbincangan dan penelitian ilmuan moden. Apakah kejadian itu benar adanya atau hanya sekadar catatan sejarah, yang sengaja diciptakan oleh Nabi s.a.w.? Dalam buku berjudul Al-I’jaz Al-Ilmi fi As-Sunnah An-Nabawiyah Jilid I, Profesor Dr. Zaghlul an-Najjar menceritakan ehwal pengakuan seorang mualaf bernama David M. Pidcock. Pengakuan tersebut terjadi beberapa tahun lalu dalam satu ceramah yang diisi oleh Dr. Zaghlul di Fakulti Kedoktoran Universiti Cardiff, Wales, Inggeris Barat. Pidcock mengatakan bahawa ayat pertama surah al-Qamar inilah yang menyebabkan ia masuk Islam di akhir dekad 70-an. Ceritanya, saat itu sedang melakukan kajian terhadap agama-agama dunia. Salah satu teman muslimnya menghadiahkannya sebuah al-Quran terjemahan. Saat pertama kali membaca, ia langsung terkejut dengan surah al-Qamar. Kerana tidak percaya bahawa bulan pernah terbelah dan kemudian bercantum kembali, ia langsung menutup al-Quran tersebut dan meninggalkannya begitu saja. Beberapa hari kemudian, tanpa disengaja ia melihat sebuah program di BBC tentang perjalanan luar angkasa. Acara yang disiarkan pada tahun 1978 dipandu oleh penyiar Inggeris terkenal bernama James Burke dengan menghadirkan tiga ilmuan Amerika. Dalam wawancara tersebut, dibahas perjalanan ruang angkasa mereka yang menemukan satu fakta. Fakta tersebut adalah sesungguhnya bulan dahulu pernah terbelah, dan kemudian melekat lagi. Bekas-bekas yang membuktikan cerita ini masih terlihat di permukaan bulan dan membentang hingga kedalamannya. Begitu mendengar penuturan ini, Pidcock lalu tersentak terkejut dan teringat akan surah al-Qamar yang ia pernah baca. Kemudian ia pun masuk Islam. Dari kisah nyata ini nampak bahawa bulan memang pernah terbelah pada masa Nabi, lalu bercantum lagi atas kekuasaan Allah. Dan ilmuan Amerika baru mengakui setelah mereka sendiri melakukan penelitian ke bulan dan menemukan bukti itu. Tidak cukup dengan bukti di atas, ada fakta lain yang membuktikan terbelahnya bulan pada masa Nabi s.a.w., iaitu catatan sejarah India dan China kuno. Sayyid Mahmud Syukri al-Alusi dalam buku Ma Dalla Alaihi al-Qur’an seraya mengutip buku Tarikh al-Yamani, menuliskan bahawa dalam sebuah penaklukkan yang dilakukan oleh Sultan Mahmud bin Sabakatakin al-Ghaznawi terhadap sebuah kerajaan yang masih menganut paganisme (musyrik) di India, ia menemukan lempengan batu di dalam sebuah istana taklukkan tersebut. Pada lempengan tersebut terpahat tulisan, “Istana ini dibangun pada malam terbelahnya bulan, dan peristiwa itu mengandung pelajaran bagi orang yang mengambil pelajaran.” Hal itu menunjukkan bahawa bulan memang pernah terbelah menjadi dua dan itu terjadi pada masa Nabi s.a.w. Secara logik, ini sangat tidak mungkin dan untuk itulah orang-orang Barat banyak yang menyangkalnya. Namun, sekali lagi, tidak ada yang tidak mungkin (tidak mustahil) bagi Allah. Melalui Nabi s.a.w., kekuasaan Allah telah ditunjukkan pada orang-orang kafir masa itu bahawa bulan pun boleh terbelah. Menurut Sayyid Quthub, terbelahnya bulan pada masa Nabi s.a.w. telah nyata terjadi. Ia mengemukakan sekian banyak riwayat dari berbagai sumber yang semuanya menentukan tempat kejadiannya, yakni di Makkah; kecuali satu riwayat yang menyebutkannya di Mina. Riwayat-riwayat tersebut seluruhnya menghuraikan waktunya, yakni sebelum Nabi berhijrah. Hal yang sama juga dikemukakan oleh Thabathaba’i. “Tentu banyak riwayat yang memaklumkannya dan ulama tafsir serta hadis menerima riwayat-riwayat itu,” ujarnya. Hanya saja, ia menolak anggapan bahawa terbelahnya bulan adalah isyarat tentang terpisahnya bulan dari bumi yang tadinya merupakan satu gumpalan, sebagaimana kejadian langit dan bumi yang tadinya merupakan satu gumpalan, lalu dipisahkan Allah. Ulama ini juga menolak anggapan sementara orang bahawa jika peristiwa terbelahnya bulan itu benar-benar terjadi, maka tentulah telah dilihat oleh orang banyak di Barat dan Timur. Sebab, menurutnya, boleh saja mereka tidak mengetahuinya saat-saat itu, kerana tidak ada bukti yang menyatakan bahawa seluruh peristiwa langit dan bumi diketahui oleh manusia semuanya dan dibicarakan mereka. Di sisi lain, wilayah Hijaz dan kawasan negeri-negeri Arab ketika itu belum lagi memiliki alat-alat yang dapat mereka gunakan untuk meneropong angkasa. Namun, ehwal terbelah bulan pada masa Nabi s.a.w. tersebut dibantah oleh ulama rasional, Muhammad Abduh. Ia menolak segala riwayat yang tidak rasional. Beliau dan para ulama yang menolak memahami kata insyaqqa (terbelah) dalam erti “akan segera terbelah”, jadi bukan kata kerja lampau (fi’il madhi). Ini menurut mereka serupa dengan ucapan qamat menjelang solat. Ketika itu muazin berkata dalam bentuk kata kerja masa lampau (qad qamat ash-shalah), yang bila diterjemahkan secara harfiah bererti “sungguh telah dilaksanakan solat”, namun maksudnya adalah solat segera akan dilaksanakan. Pemahaman ini mereka kemukakan kerana mereka merasa bahawa peristiwa terbelahnya bulan pada masa lalu adalah suatu peristiwa yang...


Baca seterusnya di dalam Hidayah September...

Jangan Bertadarus Di Bulan Ramadan Sahaja

MEMANG sudah jadi kelaziman, apabila masuk bulan Ramadan, umat Islam di Malaysia khususnya sibuk mengatur jadual bertadarus di masjid-masjid dan surau-surau. Bulan Ramadan bagaikan menjadi motivasi untuk kebanyakan kita memperbanyakkan membaca Al-Quran baik secara individu atau bertadarus berkumpulan.
Kata tadarus berasal dari kata darasayadrusu, yang ertinya mempelajari, meneliti, menelaaah, mengkaji dan mengambil pelajaran. Lalu ditambahkan huruf ta’ di depannya hingga menjadi tadarsa-yatadarrasu, yang maknanya berubah menjadi saling belajar, atau mempelajari secara lebih mendalam. Adapun kegiatan tadarus yang kerap kita lihat hanyalah membaca Al-Quran seperti halnya membaca kitab suci tersebut pada hari-hari biasanya. Bahkan benar tidak bacaan itu kadangkala tidak terjamin. Kerana tidak ada ustaz yang ahli dalam mebaca Al-Quran yang ikut mendampinginya. Bentuk tadarus seperti itu sebenarnya lebih tepat menggunakan istilah tilawah wal istima’. Kata tilawah bererti membaca, dan kata istima’ berasal dari kata sami’a yasma’u, yang bererti mendengar. Tradisi tadarus telah dicontohi zaman Nabi s.a.w. Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasululah s.a.w. bertadarus Al-Quran bersama malaikat Jibril a.s. di setiap bulan Ramadan. Dalam satu riwayat, Rasululah s.a.w. yang membaca Al-Quran dan Malaikat Jibril yang menyemak bacaan. Sedangkan dalam riwayat lain, Malaikat Jibril yang membaca Al-Quran dan Rasulullah s.a.w. yang menyemakkan bacaannya. Jadi kebiasaan atau tradisi tadarus Al-Quran di bulan Ramadan itu memang ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. Menurut Shodiqiel Hafily dalam Tadarus ala sahabat, tadarus yang disemak Malaikat Jibril itu menyiratkan pesanan untuk membangun budaya intelek (Budaya membaca dan budaya kritis) serta budaya kerjasama. Nabi s.a.w. begitu tekun dan istiqamah menyemakkan bacaan Al-Quran kepada Jibril a.s. Pada masa Nabi s.a.w. tradisi membaca Al-Quran diajar dengan penuh saksama dan mendalam. Mereka kelak akan beralih kepada bacaan yang lain sebelum bacaan itu sudah dimengerti dan difahami dengan baik. Ibnu Mas’ud menyebutkan, “Adalah seorang dari kamu jika telah mempelajari 10 ayat maka ianya tidak akan menambahnya sampai ia mengetahui maknanya dan mengamalkannya.” Hadis ini dishahihkan oleh oleh Syeikh Ahmad Muhammmad Syakir dalam tahqiqnya atas “Tafsir At-Thabari”. Demikian pula para sahabat. Ketika bulan Ramadan tiba, mereka sangat bersemangat untuk bertadarus. Bahkan, mereka melakukan tradisi tadaraus ini bukan hanya di bulan Ramadan, akan tetapi sepanjang tahun. Para sahabat umumnya mengkhatamkan al-Quran satu minggu sekali, seperti Uthman Ibnu Affan dan Abdurrahman bin Auf. Bahkan Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash biasa mengkhatamkan Al-Quran tiga hari sekali. Kerana itu, Imam Nawawi menyarankan agar setiap muslim mampu mengkhatamkan Al-Quran sebulan sekali. Atau kalau dirasa masih berat, ya semampu yang boleh saja. Yang penting, jangan berlalu satu hari pun kecuali kita membaca al-Quran, walau hanya beberapa ayat. Namun, kebanyakan di antara kita bertadarus masih sekadar membaca. Pertama, sebahagian muslim berpendapat bahawa membaca Al-Quran sahaja pun sudah merupakan satu ibadah. Beberapa ulama tafsir memang ada yang berpendapat demikian. Kerana itu kaum muslimin sudah merasa cukup dengan mendapat pahala membaca Al-Quran walaupun tanpa memahami maknanya. Kedua, keadaan muslim di Malaysia sangat jauh berbeza dengan masyarakat Arab. Di Malaysia bahasa Arab adalah bahasa asing. Majoriti muslim tidak menguasai bahasa Arab. Di samping itu jarak kehidupan jua sangat jauh dari masa Rasulullah s.a.w., baik dari segi wahyu mahupun disegi perbezaan masalah yang dihadapi. Maka jika kita ...

Baca seterusnya di dalam Hidayah September...

Surat Pembaca

TERTARIK KISAH PEMUDA “ALIEN”
Saudara Pengarang,
Saya suka menyentuh sedikit mengenai ‘kisah Iktibar 1’ yang bertajuk “Pemuda Alien jadi penghafal Al-Quran” yang tersiar dalam Hidayah keluaran Ogos 2009. Pada hemat saya rencana ini besar manfaatnya kerana ianya memberi gambaran bahawa jangan memandang rendah terhadap kecacatan atau kekurangan seseorang itu dari segi lahiriahnya. Kita tidak tahu, dalam kekurangan dan kelemahan seseorang itu tersembunyi hikmah yang Allah saja Maha Mengetahuinya. Tisna kemungkinan tidak menjadi penghafal Al-Quran andai dia seorang anak yang dilahirkan sempurna sama seperti kanak-kanak lain. Kemungkinan dia menjadi seorang doktor, peguam, arkitek atau seumpamanya tapi tidak mampu menghafal Al-Quran. Tapi dengan segala kekurangan yang ada pada dirinya menjadi satu ‘motivasi’ buat dirinya bakal menjadi “al-hafiz”. Menjadi al-hafiz merupakan anugerah paling tinggi buat seseorang muslim yang bukan sembarangan orang mendapatinya. Contohnya saya sendiri hanya mampu menghafal ayat-ayat lazim saja, itupun bila tak diulang-ulangi akan hilang pula dari ingatan. Tahniah kepada Tisna atas kemampuan dirinya menjadi seorang penghafal Al-Quran dalam usia remaja. Satu pertanyaan saya “Mengapa Hidayah tidak menyiarkan foto sebenarnya?”

Saifudin Haji Hussein,
Hutan Melintang,
Perak.

• Memang benarlah kata anda itu. Mengenai foto sebenarnya atau alamat dan sebagainya pihak Hidayah berkewajipan mengambil sikap ‘menghormati’ permintaan pihak-pihak yang terlibat untuk tidak menyiarkan. Bagi Hidayah apa yang penting ialah moral atau mesej kisah yang dipaparkan dapat dikongsi bersama oleh ratusan ribu pembaca majalah ini baik di Malaysia mahu pun di Indonesia. Harap maklum. – Pengarang.

SOLAT TARAWIH 20 ATAU 8 RAKAAT?
Saudara Pengarang,
Suka saya menulis ke ruangan ini mengenai perbezaan pendapat antara sesama kita mengenai bilangan rakaat solat sunat tarawih. Ada segolongan yang mempertahankan bahawa solat sunat tarawih hendaklah dilakukan sebanyak 20 rakaat. Sementara satu golongan lagi mengatakan memadai buat lapan rakaat saja, asalkan dilakukan dengan sesempurna mungkin. Yang hendak lakukan 20 rakaat ada hujah dan dalilnya yang tak boleh disangkalkan. Dikatakan kalau buat kurang dari itu, bukan tarawih namanya. Mengapa perlu berkira-kira hendak buat amal ibadat. Tarawih datangnya setahun sekali, bukannya setiap bulan. Yang mempertahankan lapan rakaat solat sunat tarawih juga ada hujah dan dalilnya. Antaranya ada mengemukakan hadis seperti berikut ini: Abu Salamah r.a. bertanya kepada Aisyah r.a., “Bagaimanakah caranya Rasulullah s.a.w. bersolat dalam malam bulan Ramadan?” “Baginda solat tidak lebih dari sebelas rakaat, baik dalam bulan Ramadan mahupun dalam bulan lainnya,” ujar Aisyah. Katanya lagi: “Mula-mula Baginda solat empat rakaat. Jangan ditanya alangkah bagusnya dan lamanya. Kemudian empat rakaat lagi. Jangan ditanya juga tentang bagus dan lamanya. Kemudian solat witir tiga rakaat.” Aisyah juga menjelaskan, bahawa ia pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., apakah Baginda tidur lebih dulu sebelum witir. Lalu Baginda bersabda, “Wahai Aisyah, kedua mataku memang kelihatan tidur, tetapi hatiku tidak.” (HR. Muslim) Melalui ruangan ini saya mahu bertanya: Apa pendapat tuan mengenai bilangan rakaat solat tarawih ini?

Zulkifli Shamsudin,
Cheras, Selangor.

• Benarlah kata anda itu. Setiap Ramadan menjelang, bab bilangan rakaat solat tarawih sering jadi perbahasan. Tapi kita boleh ambil jalan tengahnya, iaitu: 20 rakaat tarawih pun betul, lapan rakaat tarawih pun betul. Yang tak betulnya: Mereka yang tak sembahyang Tarawih. Betul tak! – Pengarang.

WAJARKAH ‘TAZKIRAH’ DI TENGAH SOLAT TARAWIH?
Saudara pengarang,
Saya adalah salah seorang jemaah tetap di salah sebuah masjid di Hulu Kelang, ini. Masjid kariah saya itu aktiviti pengajiannya memang hebat. Setiap malam ada saja kuliah maghribnya. Sementara cuti umum pula dan setiap Sabtu dan Ahad ada kuliah subuhnya. Berbagai Ustaz dan Tuan Guru mengajar di masjid ini. Alhamdulillah, saya sendiri turut berpeluang menghadiri kuliah-kuliah berkenaan dan menerima manfaat ilmunya. Begitu juga pada bulan-bulan Ramadan masjid ini tidak ketinggalan mengadakan ‘tazkirah Ramadan’. Empat rakaat selepas solat sunat tarawih seorang ustaz atau Tuan Guru jemputan khas memberi kuliahnya dalam sekitar 20 – 30 minit dan kemudiannnya tarawih disambung semula hingga solat witir. Namun malangnya ada aktiviti ‘tazkirah Ramadan’ ini tidak disenangi oleh sebilangan jemaah yang lain (jemaah ini pun jarang datang ke masjid di luar bulan Ramadan). Kata mereka, tazkirah macam ini tak pernah dibuat di zaman Rasulullah dan para sahabat. “Tazkirah-tazkirah macam ini mengganggu kekhusyukkan jemaah lain nak beribadah lebih...” hujah mereka. Saya sendiri sebagai jemaah biasa di masjid ini menyokong pihak masjid dan mana-mana masjid atau surau untuk mengadakan tazkirah Ramadan. Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali Exco Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Islam hendaklah memberi penjelasan kepada masyarakat umum tentang manfaatnya “tazkirah Ramadan” seperti ini diadakan dan dipertingkatkan kepada semua masjid dan surau yang berada dalam Negeri Selangor ini. Terima kasih andainya surat saya ini disiarkan oleh tuan melalui ruangan ini. Wassalam.

Haji Abdul Rahman,
Taman Melawati,
Selangor.

• Bersemangat nampaknya tuan haji ni... saya secara peribadi sokong seratus peratus saranan anda itu. – Pengarang.

Tabah Ibu Berhati Mulia

DEMIKIANLAH nasib yang dialami Syamsiah, seorang ibu berhati mulia yang menemukan cinta Illahi ketika musibah besar menerkam segenap harapan dan kebahagiaannya. Bencana tanah lungsur telah merenggut nyawa orang-orang tercintanya, menelan seluruh harta bendanya. Tapi Allah Maha Berkehendak, dia hingga kini masih dapat menggunakan kain telekong dan sejadahnya yang merupakan satu-satunya harta bendanya yang terselamat dalam tragedi tanah lungsur itu. Telekong dan sejadah itu bagaikan ‘pesan’ indah dari Allah menyapa dirinya: ia harus setia beribadah dan bertaqarrub kepada Allah.

Pagi yang Kelabu
Khamis itu cuaca terasa dingin. Kabut putih tipis menyelimuti kawasan perbukitan itu. Sementara kaum muslimin baru saja selesai bersahur dan bersolat subuh berjemaah. Sebahagian besar penduduk menyambung lelap dalam dekapan kehangatan selimut, tenggelam di tengah rajutan mimpi-mimpi indah. Tiba-tiba, sekitar pukul jam 6.00, keheningan saat fajar merekah pecah oleh suara ledakan hebat, “Bllaarrr…!” Segenap penduduk setempat tersentak terkejut, terbangun dari tidur nyenyak masing-masing. Pada mulanya mereka menyangka sebuah bom dahsyat telah meletup. Tetapi belum sempat memahami apa yang sesungguhnya terjadi, menyusul kemudian suara gemuruh yang hebat: “Dhuaar...dhuaarr ...dhuaarr...blaarr...!” Batu-batu, tanah dan pepohonan jatuh bergelindingan, menimbus rumah-rumah, mengubur hidup-hidup semua manusia yang dilewatinya. Bumi terasa bergoncang dahsyat, dunia seolah dilanda kiamat. Orang-orang mulai tersedar. Mereka berloncatan keluar. Suara tangis, pekik ketakutan, rintihan membahana, sahut menyahut. Perkampungan di kaki Bukit Lantiak, Kota Padang pun langsung kelam kabut, kacau tak tentu arah. Dalam sisa keremangan subuh itu, samar-samar terlihat bukit yang dulunya hijau telah terkopak. Runtuhan tanah lungsur meninggalkan bekas menyolok yang jelas dapat dipandang dari jarak sekitar sepuluh kilometer. Sekejap mata terhampar pemandangan yang memilukan. Beberapa rumah kediaman dan ladang lenyap dalam seketika; berganti hamparan tanah merah, bebatuan serta pohon-pohonan yang jatuh bertumbangan. Ya, sebuah bencana alam baru saja terjadi. Dimana-mana berserakan kaki, tangan dan anggota tubuh manusia yang terpotong-potong. Manusia-manusia meregang nyawa begitu memilukan. Tubuh yang tak utuh. Wajah yang lebam dan biru-biru. Semua nestapa itu begitu jelas di pelupuk mata. Para penduduk berusaha menyelamatkan orang-orang yang tertimbun dan terluka. Tapi kebanyakan mereka memilih untuk menyingkir sejauh mungkin, kerana khuatir datangnya susulan tanah yang melungsur.
9 Disember 1999 adalah tarikh yang tak terlupakan oleh masyarakat Sumatera Barat. Pada bulan Ramadan yang penuh berkat dan maghfirah itu terjadi bencana yang menelan sebilangan korban. Saat itu, terakhir berhasil diperoleh data korban yang meninggal dunia mencapai 65 orang. Malahan, beberapa keluarga dinyatakan punah sebab semua anggotanya meninggal dunia. Dari keseluruhan korban yang terbunuh, sekitar 8 hingga 10 orang tidak boleh ditemukan. Kemungkinan jenazah mereka terbenam sangat dalam hingga sulit untuk digali. Kemudian seluruh jenazah yang berjaya ditemukan dikebumikan secara beramai. Satu kubur terpaksa dikembumikan untuk sepuluh jenazah.

Bahagia Sekejap Mata
Bagi Syamsiah sendiri, bencana itu menyimpan perih yang menghujam sanubarinya. Ia masih ingat aktiviti terakhir bersama-sama keluarga yang membahagiakan: suasana makan sahur bersama sekeluarga. Meski, hidup hanya sekadar mencukupi dan penuh kesederhanaan, kehidupan keluarganya sarat penuh harmoni. Sifat qana’ah [merasa cukup] sudah melekat di dalam rumah tangganya. Suatu pagi, selesai menunaikan solat subuh di surau berdekatan, ibu yang aktif di majlis pengajian ilmu itu bergegas pergi ke tempat kerjanya di pasar. Syamsiah rela menjadi pembantu rumah tangga sebagai tukang cuci demi membantu suami mencari nafkah, demi masa depan kehidupan anak-anak mereka kelak. Apalagi hari raya makin dekat; perlu persiapan sedikit perbelanjaan untuk menyambut hari raya aidilfitri. Malangnya, belum jauh kakinya melangkah, Bukit Lantiak pun runtuh. Tanah lungsur di pagi buta itu begitu luar biasa ganasnya; memupus semua harapan indahnya menyambut hari raya. Saat kembali ke rumah, yang didapati hanya hamparan tanah merah. Pada hari itu Syamsiah lima kali pengsan tak sedarkan diri. Kalaupun siuman ia mengalami histeria. Bahkan beberapa orang yang memegangnya kalah dibuatnya. Hingga seorang ustaz kemudian datang mengingatkannya kepada Allah s.w.t. Bersedih dan dukacita hal yang manusiawi semulajadi, tapi jangan terbabas; diri harus tetap terkendali. Syamsiah mulai boleh menabahkan jiwanya. Ia lalu nasihatkan agar sering-sering membaca surah Yaasin dan menunaikan solat sunat. Syukurlah, ia mampu membacanya sampai tamat walaupun pengsan lagi. Selanjutnya, hari-hari bahagia bersama keluarga berganti dengan air mata, air mata dan air mata. Betapa tidak terpukul! Syamsiah kehilangan 10 orang keluarga besar yang tertimbus dalam tragedi dahsyat itu. Itupun hanya 2 mayat yang ditemukan dan boleh dikubur kembali, yang lainnya dianggap hilang. Namun ketabahan perlahan mulai tertanam di dadanya. Sebilangan yang menziarahinya datang silih berganti menenangkannya. “Bersyukurlah, Syam! Orang lain cuma seorang yang mati, tapi boleh gila dibuatnya. Kamu hampir semuanya hilang: suami, ayah, adik beradik, anak-anak dan harta benda tapi masih boleh menguruskan diri.” Bencana yang secara tiba-tiba tentu menoreh luka yang teramat perih. Di samping banyak menelan korban jiwa, beberapa orang yang selamat justeru tidak waras lagi. Seperti seorang ibu yang kematian anak gadisnya. Ia suka berjalan dari satu rumah ke rumah lain. “Adakah Upik di sini? Kemana saja dia? Ini ada baju baru untuknya.” Hati siapakah yang tidak tersentuh, prihatin dan sedih. Bahkan, suatu hari, salah seorang gadis terpaksa pura-pura mengaku sebagai anaknya...


Baca seterusnya di dalam Hidayah September...

Melihat Islam Di Pulau Syurga

Maldives atau Republik of Maldives adalah sebuah negara kepulauan karang terstruktur, bagaikan titik-titik mutiara yang tersebar di Samudera Hindia. Negeri yang terletak kira-kira 700 km (435 batu) dari selatan-barat Sri Lanka. Bagi para pelancong, mengunjungi Maldives akan membuat sesiapa saja mengalami kehidupan yang menyenangkan yang menghapus semua penat di sepanjang tahun. Semua aktiviti pelancongan laut boleh dilakukan di sini, seperti berenang, berjemur, menyelam, bermain pasir dan lain sebagainya. Maldives memang terkenal sangat indah, bahkan sering dikatakan terindah di dunia. Negara yang terletak di Samudera Hindia ini terkenal dengan banyak pulau dan pantainya yang sangat menawan. Ramai para pelancong dari seluruh dunia menjadikan pulau ini sebagai tempat bercuti. Kepulauan Maldives berada di Samudera Hindia, terdiri dari deretan 1,190 pulau. Tak hairan, sector pelancongan di kepulauan ini menawarkan berlimpahnya cahaya matahari serta pantai yang unik dan menarik. Pelancongan yang merupakan ekonomi negara ini menyediakan pantai-pantai terindah, pantai yang cantik, air laut yang jernih, terumbu karang yang memukau dengan kekayaan flora-fauna yang unik dengan iklim tropika yang hangat. Keindahan kawasan ini diberitakan bahkan telah mempesona orang yang pernah mengunjunginya sejak ratusan tahun yang lalu. Bahkan Marco Polo, penjelajah dari Itali yang terkenal itu, menyebut kepulauan ini sebagai “flower of the Indies”, kembangnya Hindia. Pengembara Islam, Ibnu Batuta, yang pernah tinggal di kepulauan ini mengatakan Maldives sebagai salah satu keajaiban dunia. Pemandangan pantai, terumbu karang, ikan tropikanya dapat dinikmati dalam suasana sunyi, bahkan banyak tempat-tempat yang seakan belum terjamah manusia kerana keindahannya yang masih murni. Maklumat mengenai Maldives dengan daya tarikan pelancongnya yang menghiasi iklan-iklan pengembara dan pelancongan dunia ternyata boleh membawa kita mengenal lebih dekat dunia Islam di sana. Negeri yang berpenduduk sekitar 300 ribu orang ini ternyata berpenduduk 100% muslim. Undang-undang mengharuskan penduduk yang menjadi warga negara adalah muslim. Sehingga orang asing yang ingin menetap harus muslim pula, kecuali para pelancong. Penduduk Maldives diberitakan sangat taat dalam menjalankan solat lima waktunya. Di negeri ini, pejabat-pejabat kerajaan dan kedai-kedai biasanya akan tutup 15 minit sebelum azan dan dibuka semula 15 minit sesudahnya solat. Ini berlangsung setiap hari dan setiap waktu solat. Kerana kentalnya agama mereka anuti inilah, di sini terdapat larangan untuk minum minuman arak ataupun membawanya. Tak hairan Maldives termasuk dalam enam negara di dunia dengan keislaman paling dominan selain Arab Saudi, Iran, Yaman, Uzbekistan, dan Afghanistan. Ada beberapa tempat yang dianggap tak boleh dilepaskan oleh sesiapapun yang berkunjung ke Maldives. Sebut saja Pusat Islamnya. Bangunannya yang dibuka pada November 1984, berperanan sebagai gerbang pelancong utama kerana berada dekat pelabuhan di ibu kota Maldives, Male. Dalam ‘Islamic Centre’ ini terdapat masjid dengan seni reka bentuk bangunan yang indah. Kubah masjid yang berwarna keemasan nampak jelas di udara. Terdapat pula bangunan Masjid Besar Jumaat kerana menjadi pusat pelaksanaan solat Jumaat di Maldives. Masjid ini salah satu masjid paling bersejarah di Maldives yang dibena pada abad 15 oleh Sultan Ibrahim Iskandar. Pusat Islam dibuat dari blok karang berukir dengan sangat indah reka bentuknya. Panel kayu yang ditulis dengan huruf Arab berisi ayat suci nampak terlihat di dalam masjid. Ia menjadi menjadi sebuah masjid yang paling aktif dan menjadi tujuan kunjungan pelancong di Maldives. Ada lagi tempat bernama ‘Medhu Ziyaarath’. Tempat berbentuk kuil ini dibangun untuk Abul al Barakaath Yusuf al Barbari yang membawa Islam masuk ke Maldives pada tahun 1153. Tokoh yang merupakan pedagang dari tanah Arab ini dianggap yang paling awal membawa Islam. Beberapa data lain ada yang menyebut Syeikh Yusuf Shamsudin dari Tabriz yang membawa Islam pertama kali ke Maldives. Muzium Nasional Maldives merupakan tempat popular lainnya. Muzium ini terdapat di dalam Sultan’s Park, sebuah taman terbuka di sana. Rumah kuno milik sultan merupakan karya menarik kerana memadukan sejarah dan budaya Maldives baik pra-Islam mahupun Islam. Selain itu ada makam Sultan Ali Rasgefaanu yang terdapat di pantai barat Male. Salah satu sultan Maldives ini diyakini mati syahid ketika menghadang serbuan Portugis.

Islam di Maldives
Kentalnya Islam di Maldives kiranya sudah cukup diakui dunia. Undang-undang negara memang tidak main-main, kerana sesiapa saja yang bukan Islam tidak diperkenankan menjadi warga negara Maldives. Kerananya wajar jika Islam merupakan unsur penting di Maldives. Hukum syariat Islam yang dalam bahasa tempatan disebut “syariatu” telah membentuk dasar hukum kenegaraan di sana yang disesuaikan dengan kehidupan tempatan. Jabatan presiden, kehakiman, jabatan dalam negeri dan lembaga lain menggunakan hukum tersebut sebagai asas perundangan mereka. Semua hukuman ini dipusatkan pelaksanaanya di masjid yang menjadi arena mempraktikkan hukum-hukum syariat. Kerana itu sangatlah wajar jika hari Jumaat merupakan hari yang penting bagi penduduk Maldives. Pada hari itu penduduk kampung, kota dan kakitangan kerajaan mahupun swasta, berbondong-bondong ke masjid sejak pukul 11.00 pagi. Padahal khutbah Jumaat sendiri baru dimulai pada pukul 12.30 tengah hari. Hampir di setiap pulau di Maldives terdapat masjid yang dibangun dengan indah. Bahkan ibu kota Maldives yang hanya merupakan pulau yang tak terlalu besar memiliki masjid sampai 30 buah. Sebahagian besar masjid tersebut dibangun dari batu-batu karang. ‘Jumaat Grand Mosque’ yang berdiri megah dibangun pada tahun 1984 dengan dibiayai oleh negara-negara muslim yang kaya seperti Iran, Pakistan, Brunei Darussalam dan Malaysia. Pada tahun 1991 saja, negeri kepulauan ini memiliki hampir 100 masjid di seluruh wilayahnya. Pihak kerajaan juga mengeluarkan beberapa peraturan khusus jika bulan Ramadan tiba. Kafe dan restoran tak boleh buka pada siang hari, sementara pejabat-pejabatnya dihadkan waktu kerjanya agar masyarakat Maldives lebih selesa menjalankan ibadahnya. Presiden Maldives, Moumoon Abdul Gayoom, memang dikenal memiliki komitmen yang kuat dalam hal sikap hidup cara Islam. Ia dan pemerintahannya telah menyakini dengan keadaan Maldives yang Islam, maka perwatakan bangsa tak boleh ditegakkan dengan ideologi lain selain Islam dan syariatnya. Tak banyak bukti yang menunjukkan tentang nenek moyang orang Maldives. Asal usul orang Maldives (Maldivian) sampai kini masih menjadi misteri. Beberapa kelompok penduduk yang tinggal pertama kali di kawasan ini kemungkinan datang dari Sri Lanka dan Hindia Selatan. Ada juga yang mengatakan, suku bangsa Arya yang merupakan pendatang pertama yang datang pada 4,000 tahun lampau dari Lembah Indus. Hal ini diperkuat dengan keberadaan Hinduisme dan Buddhisme yang dianut penduduk sebelum mereka memeluk agama Islam. Bahasa penduduk Maldives adalah ‘Dhivehi’ dengan akar bahasa Sanskrit dan sangat dipengaruhi bahasa Arab. Tak menghairankan juga, wajah peradaban Maldives merupakan wujud dari titik temu budaya Afrika, Arab, dan budaya maritime Asia Tenggara. Para ahli sejarah menyakini bahawa Maldives sudah dihuni sejak abad ke-4 SM. Teori ini didasarkan adanya laporan penghijrahan dari Arab, Afrika dan Timur Hindia pada tahun itu. Kerananya ras di Maldives cenderung beragam. Maldives pernah dijajah Portugis pada abad ke 16 selama lima belas tahun. Di luar itu, sejak tahun 1887 sampai 26 Julai 1965 Maldives menjadi negeri yang berada dalam naungan Inggeris. Sejak itu negeri ini memperoleh kemerdekannya.

Indah menawan
Masyarakat Maldives kini mengalami satu ancaman besar yang terkait dengan perubahan iklim global. Pemerintahan bahkan merancang mencari tempat baru bagi negara mereka kerana dikhuatirkan pulau-pulau di Maldives akan hilang seiring dengan meningkatnya permukaan air laut. “Peningkatan permukaan laut akan menyebabkan beberapa atau bahkan semua pulau di wilayah negara kita tak boleh dihuni dan kita harus mencari tempat tinggal sebagai pilihan bagi penduduk Maldives,” kata Mohammed Waheed Hassan Manik, Naib Presiden Maldives, seperti dipetik dari Financal Times, November 2008 lalu. Tak boleh dinafikan, Maldives berada di kedudukan strategik di jalur Samudera Hindia dan memiliki pantai-pantai yang sangat indah...

Baca seterusnya di dalam Hidayah September...

Thursday, April 10, 2008

Allah Maha Besar


Windows Live Spaces

Thursday, February 21, 2008

Kereta masa depan


Bila harga minyak capai RM2.50 seliter harapan untuk melihat kenderaan sebegini memenuhi jalan-jalanraya seluruh Malaysia cerah. Kita jangkakan RM2.50 rupanya RM2.70.........erm.

Tuesday, February 19, 2008

Dimanakah anda?


Erm....

Thursday, February 14, 2008

Indahnya alam ciptaan tuhan.


Kuning....nyaman....tenang rasa hati...

Wednesday, February 13, 2008

Tinggalan Kegemilangan Islam di Sepanyol


Masjid Agung Cordoba

Tragedi


Anak kecil Palestin mangsa kekejaman Zionis Israel.

Istimewa Bulan Ini












Hidayah April 2008

Pastinya memenuhi selera minda anda...insyaAllah

Sudah beredar di pasaran.


Dapatkan segera di toko-toko buku berhampiran anda!
Padat dengan kisah-kisah teladan sesuai untuk
dijadikan panduan kepada kita semua.


Hidayah Sebuah Daiges Islam
.

Ruangan di dalam masjid yang begitu indah di Turki

Al Hambra di Sepanyol tinggalkan kenangan manis zaman kegemilangan Islam di bumi Andalusia.