TERTARIK KISAH PEMUDA “ALIEN”
Saudara Pengarang,
Saya suka menyentuh sedikit mengenai ‘kisah Iktibar 1’ yang bertajuk “Pemuda Alien jadi penghafal Al-Quran” yang tersiar dalam Hidayah keluaran Ogos 2009. Pada hemat saya rencana ini besar manfaatnya kerana ianya memberi gambaran bahawa jangan memandang rendah terhadap kecacatan atau kekurangan seseorang itu dari segi lahiriahnya. Kita tidak tahu, dalam kekurangan dan kelemahan seseorang itu tersembunyi hikmah yang Allah saja Maha Mengetahuinya. Tisna kemungkinan tidak menjadi penghafal Al-Quran andai dia seorang anak yang dilahirkan sempurna sama seperti kanak-kanak lain. Kemungkinan dia menjadi seorang doktor, peguam, arkitek atau seumpamanya tapi tidak mampu menghafal Al-Quran. Tapi dengan segala kekurangan yang ada pada dirinya menjadi satu ‘motivasi’ buat dirinya bakal menjadi “al-hafiz”. Menjadi al-hafiz merupakan anugerah paling tinggi buat seseorang muslim yang bukan sembarangan orang mendapatinya. Contohnya saya sendiri hanya mampu menghafal ayat-ayat lazim saja, itupun bila tak diulang-ulangi akan hilang pula dari ingatan. Tahniah kepada Tisna atas kemampuan dirinya menjadi seorang penghafal Al-Quran dalam usia remaja. Satu pertanyaan saya “Mengapa Hidayah tidak menyiarkan foto sebenarnya?”
Saifudin Haji Hussein,
Hutan Melintang,
Perak.
• Memang benarlah kata anda itu. Mengenai foto sebenarnya atau alamat dan sebagainya pihak Hidayah berkewajipan mengambil sikap ‘menghormati’ permintaan pihak-pihak yang terlibat untuk tidak menyiarkan. Bagi Hidayah apa yang penting ialah moral atau mesej kisah yang dipaparkan dapat dikongsi bersama oleh ratusan ribu pembaca majalah ini baik di Malaysia mahu pun di Indonesia. Harap maklum. – Pengarang.
SOLAT TARAWIH 20 ATAU 8 RAKAAT?
Saudara Pengarang,
Suka saya menulis ke ruangan ini mengenai perbezaan pendapat antara sesama kita mengenai bilangan rakaat solat sunat tarawih. Ada segolongan yang mempertahankan bahawa solat sunat tarawih hendaklah dilakukan sebanyak 20 rakaat. Sementara satu golongan lagi mengatakan memadai buat lapan rakaat saja, asalkan dilakukan dengan sesempurna mungkin. Yang hendak lakukan 20 rakaat ada hujah dan dalilnya yang tak boleh disangkalkan. Dikatakan kalau buat kurang dari itu, bukan tarawih namanya. Mengapa perlu berkira-kira hendak buat amal ibadat. Tarawih datangnya setahun sekali, bukannya setiap bulan. Yang mempertahankan lapan rakaat solat sunat tarawih juga ada hujah dan dalilnya. Antaranya ada mengemukakan hadis seperti berikut ini: Abu Salamah r.a. bertanya kepada Aisyah r.a., “Bagaimanakah caranya Rasulullah s.a.w. bersolat dalam malam bulan Ramadan?” “Baginda solat tidak lebih dari sebelas rakaat, baik dalam bulan Ramadan mahupun dalam bulan lainnya,” ujar Aisyah. Katanya lagi: “Mula-mula Baginda solat empat rakaat. Jangan ditanya alangkah bagusnya dan lamanya. Kemudian empat rakaat lagi. Jangan ditanya juga tentang bagus dan lamanya. Kemudian solat witir tiga rakaat.” Aisyah juga menjelaskan, bahawa ia pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., apakah Baginda tidur lebih dulu sebelum witir. Lalu Baginda bersabda, “Wahai Aisyah, kedua mataku memang kelihatan tidur, tetapi hatiku tidak.” (HR. Muslim) Melalui ruangan ini saya mahu bertanya: Apa pendapat tuan mengenai bilangan rakaat solat tarawih ini?
Zulkifli Shamsudin,
Cheras, Selangor.
• Benarlah kata anda itu. Setiap Ramadan menjelang, bab bilangan rakaat solat tarawih sering jadi perbahasan. Tapi kita boleh ambil jalan tengahnya, iaitu: 20 rakaat tarawih pun betul, lapan rakaat tarawih pun betul. Yang tak betulnya: Mereka yang tak sembahyang Tarawih. Betul tak! – Pengarang.
WAJARKAH ‘TAZKIRAH’ DI TENGAH SOLAT TARAWIH?
Saudara pengarang,
Saya adalah salah seorang jemaah tetap di salah sebuah masjid di Hulu Kelang, ini. Masjid kariah saya itu aktiviti pengajiannya memang hebat. Setiap malam ada saja kuliah maghribnya. Sementara cuti umum pula dan setiap Sabtu dan Ahad ada kuliah subuhnya. Berbagai Ustaz dan Tuan Guru mengajar di masjid ini. Alhamdulillah, saya sendiri turut berpeluang menghadiri kuliah-kuliah berkenaan dan menerima manfaat ilmunya. Begitu juga pada bulan-bulan Ramadan masjid ini tidak ketinggalan mengadakan ‘tazkirah Ramadan’. Empat rakaat selepas solat sunat tarawih seorang ustaz atau Tuan Guru jemputan khas memberi kuliahnya dalam sekitar 20 – 30 minit dan kemudiannnya tarawih disambung semula hingga solat witir. Namun malangnya ada aktiviti ‘tazkirah Ramadan’ ini tidak disenangi oleh sebilangan jemaah yang lain (jemaah ini pun jarang datang ke masjid di luar bulan Ramadan). Kata mereka, tazkirah macam ini tak pernah dibuat di zaman Rasulullah dan para sahabat. “Tazkirah-tazkirah macam ini mengganggu kekhusyukkan jemaah lain nak beribadah lebih...” hujah mereka. Saya sendiri sebagai jemaah biasa di masjid ini menyokong pihak masjid dan mana-mana masjid atau surau untuk mengadakan tazkirah Ramadan. Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali Exco Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Islam hendaklah memberi penjelasan kepada masyarakat umum tentang manfaatnya “tazkirah Ramadan” seperti ini diadakan dan dipertingkatkan kepada semua masjid dan surau yang berada dalam Negeri Selangor ini. Terima kasih andainya surat saya ini disiarkan oleh tuan melalui ruangan ini. Wassalam.
Haji Abdul Rahman,
Taman Melawati,
Selangor.
• Bersemangat nampaknya tuan haji ni... saya secara peribadi sokong seratus peratus saranan anda itu. – Pengarang.
Sunday, May 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment