Monday, December 7, 2009

Variasari Keluaran Disember 2009

TERBUKTI...Variasari menyajikan anda bahan bacaan 100% misteri. Kami jamin degup jantung anda bertambah kencang sewaktu membaca kisah-kisah yang dipaparkan. Anda dinasihatkan membaca Variasari berseorangan dan pada waktu malam sahaja.

Dapatkan segera...harga murah cuma RM3.00


Antara Yang Menarik Dalam Variasari Disember 2009










Sunday, December 6, 2009

Hidayah Disember 2009

Pastikan anda memiliki Hidayah keluaran Disember 2009. Isi kandungannya lebih mantap sesuai untuk bacaan semua peringkat masyarakat...Dapatkan segera di kedai-kedai buku berhampiran!
Senaskhah cuma RM3.90 sahaja

Alangkah Ngerinya Kamu Lihat...

TANAH kubur itu sedikit demi sedikit menimbusnya. Selepas paras tubuh jenazah itu terbaring, dia mula terasa gelap gelita. Mula terasa lemas. Padahal dia telah mati. “Eh... tadi aku baru saja dimandikan, dikafankan, kemudian diusung ke sini. Mengapa aku kini tersedar semula...Eh aku belum mati, aku belum mati.” Dia mendengar langkah-langkah tapak kaki yang sayup-sayup di atasnya. Tadi dia terdengar bacaan talkin menyuruhnya jangan takut, jangan gentar... Dia menggigil, tubuhnya menggigil...Eh macam mana orang mati boleh menggigil ye...? Dia tiba-tiba teringat rumah barunya yang sudah siap, tapi belum sempat dia duduki. Dia menggunakan sebahagian besar wang EPFnya untuk membina rumah baru itu. Kerana dia berpangkat besar, EPFnya beratus ribu. Tak hairanlah dia mampu bina rumah tiga tingkat... Dia juga baru tukar kereta baru. Kereta lamanya dia jual dengan harga murah. Sempat jugalah dia berlagak pulang ke kampung dengan kereta barunya itu. Dia sebenarnya sudah merancang untuk melancong ke England. Seorang anak gadisnya sedang melanjutkan pengajian di sana. Lepas London dia bercadang nak ke Paris dan ‘enjoy’lah sikit. Kan wang tengah ada...
Tiba-tiba tengah malam tadi, ketika hendak masuk bilik air di rumah lamanya, dia terjatuh tersembam. Mujur kejadian itu disedari oleh isterinya. Bergegaslah keluarga itu menghantarnya ke hospital Selayang. Namun ajalnya sudah sampai. Takdir Allah telah meragut nyawanya. Dia terduduk dalam kuburnya (eh...macam mana dia boleh terduduk begitu dalam kubur) Dia telah menyaksikan gelap gelitanya kubur. “Eh! Ya Allah, aku telah melihat dan mendengar, kembalilah semula aku ke dunia. Aku akan mengerjakan amal salih, sesungguhnya aku adalah orang-orang yang yakin.” Eh... macam mana aku boleh ingat ayat As-Sajdah ini. Seingatnya dia tak pernah datangpun solat subuh di surau berdekatan rumahnya. Dia pun menundukkan kepalanya: “Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya,...(As-Sajdah: 12) - (Catatan: Muhammad Sholehan)

Surat Pembaca

SIARKAN AKTIVITI DAKWAH MASJID DAN SURAU
Saudara pengarang,
Apa yang saya dapati baik di surau atau di masjid, yang datang solat berjemaah kebanyakannya mereka ialah dari golongan veteran. Ada yang usianya 50-an, 60-an ke atas. Ada ustaz penceramah bebas mensifatan golongan ini datangnya dari saluran 1 dan 2 (beliau merujuk kepada peringkat usia pengundi waktu pilihanraya)
“Mana perginya mereka dari saluran 3,4, dan 5? Kelab malam, merempit, gerai-gerai tea tarik atau disimpang-simpang jalan...” telahannya dengan nada berjenaka. Beliau menyarankan supaya golongan ini didekati dan dimesrai. Jangan biarkan mereka melepak dengan sekeping gitar di tepi-tepi jalan, atau berkerumun menonton siaran langsung perlawanan boleh sepak kelab-kelab luar negeri di kedai-kedai yang menyediakan layar peraknya. Ajak mereka datang ke masjid dan ke surau. Buatlah program ‘Jom Ke Surau’, buat program ‘bulan dakwah bersama belia’ di kariah surau atau masjid masing-masing. Undanglah tokoh-tokoh pendakwah motivasi yang boleh memikat hati anak-anak muda ini. Jangan nanti tunggu usia mereka pencen baru nak pelawa solat berjemaah. Takut tak sempat ke surau, kubur sudah memanggil. Beliau memuji pengelolaan JAIS terhadap aktiviti pengajian agama khususnya siri ‘kuliah maghrib’ di sebilangan masjid dan surau di Selangor yang dipertingkatkan terutama memakmurkannya sejak Ramadan lalu. Ustaz itu menyarankan, usaha seperti ini perlu dicontohi oleh jabatan-jabatan agama di negeri-negeri lain agar aktivit dakwah dapat terus disemarakkan.
Saya juga berharap, agar Hidayah cubalah buat liputan aktiviti masjid dan surau-surau berkenaan agar menjadi contoh kepada yang lain.
Wassalam.

Haji Shukor Jamari,
Sabak Bernam, Selangor.

• Cadangan anda itu menarik. Hidayah juga sedang menimbangkan untuk mengalu-ngalukan pihak Jawatankuasa masjid atau surau untuk bekerjasama mengirimkan aktiviti dakwah mereka untuk disiarkan dalam majalah kesayangan ramai ini, InsyaAllah. – Pengarang.

MEMANG WAJAR DICONTOHI
Saudara Pengarang,
Memang sukar juga nak percaya ada mayat utuh walaupun telah bertahun-tahun dikebumikan. Kalau tidak disertakan dengan bukti yang lengkap, sekadar dengar-dengar cakap memang tak dapat dipercayai. Namun kisah mayat utuh, berjanggut dan berkuku panjang seperti disiarkan dalam Hidayah keluaran November 2009 lalu menginsafkan saya bahawa jika itu yang dikehendaki oleh Allah, maka itulah yang terjadi. Allahyarham Daminah lelaki yang dimaksudkan itu bukan utuh pada mayatnya saja, malah kain kafannya juga tidak koyak dan reput, subhanallah... Kemuliaan yang ditunjukkan oleh Allah terhadap Daminah di dunia ini memang wajar dengan tingkah laku dan pekerti mulianya. Sifat baiknya itu memang wajar dicontohi semampu mungkin.
Mungkin anda juga boleh berbuat demikian.

Saufi Man,
Setapak, Kuala Lumpur.

• Niat yang baik itu saja pun telah dianugerahi pahala, apatah lagi apabila anda melakukannya. – Pengarang.

PETIKKAN HADIS DALAM ‘MUTIARA’
Saudara Pengarang,
Suka saya makumkan bahawa antara ruangan yang saya suka baca terlebih dulu apabila membeli ‘Hidayah’ ialah dengan menyelak dan menatap ruangan ‘Mutiara’ yang menghiasi hampir setiap penghujung rencana. Kebanyakannya ialah hadis-hadis yang pernah kita dengar dan terdapatnya juga hadis-hadis Qudsi yang jarang kita dengar atau petikkan-petikkan dari sumber-sumber tertentunya yang menjadi pilihan tuan pengarang. Bagaimana pun apa yang saya musykilkan ialah terdapat hadis-hadis atau catatan tertentu yang tidak dapat saya kesan dari mana sumbernya untuk saya membuat rujukan. Saya berharap anda wajar menyiarkan sumber petikkan dari kitab-kitab tertentu mana-mana hadis yang agak jarang didengar. Sementara hadis-hadis biasa tak perlulah berbuat demikian bagi menjimatkan ruang.
Sekian dimaklumkan, wassalam!

Rosdi Hamzah,
Kg.Luat, Lenggong, Perak.

• Betullah kata anda itu. Saya juga turut mendapat teguran melalui email yang menanyakan masalah yang sama. Teguran anda itu saya akan ambil perhatian, InsyaAllah. – Pengarang.

Jenazah Dimasukkan Ke Perut Kerbau

GAMBARAN bagaimana dahsyatnya balasan perbuatan syirik sudah sering kita dengar. Amal yang satu ini memang dilarang keras dalam syariat Islam sebagai perbuatan yang amat serius akibatnya, kerana merupakan dosa besar yang tak akan mendapat pengampunan. Kerana itulah, dalam banyak cerita hikmah, kejadian di masyarakat, dan kisah-kisah tradisional masyarakat Islam, dosa syirik selalu memiliki balasan tak ringan bagi pelakunya, baik di dunia mahupun akhirat. Kisah yang terjadi sekitar 40 tahun lalu di Sukabumi, Jawa Barat ini merupakan salah satunya. Peristiwa ini, barangkali, akan membuat ngeri siapapun yang mendengarnya. Seorang ustaz salah sebuah sekolah pondok (pesantren) ternama di Sukabumi menceritakannya kepada Hidayah. Inilah sebuah kisah yang patut direnungi agar kita tak terjebak dalam perbuatan syirik yang merosak jiwa dan kemanusiaan kita.

Permintaan ahli perniagaan
Dia adalah seorang saudagar kaya raya yang sudah sangat tersohor kekayaannya. Kita sebut saja namanya sebagai ‘Juragan Darman.’ Saudagar ini memiliki sawah berhektar-hektar luasnya, beberapa buah rumah, ladang penternakan dan lain sebagainya. Suatu ketika, ajalnya tiba dan dia diberitakan meninggal dunia. Masyarakat setempat pasrah mendengar berita kematiannya, kerana yang hidup pastilah akan mati. Tapi yang membuat masyarakat terasa terkejut dan aneh adalah proses pengkebumian Juragan Darman yang lain dari biasanya. Proses inilah yang masih melekat di kepala orang hingga kini. Pihak keluarganya sendiri sebenarnya juga dilanda kebingungan yang sangat setelah saudagar ini mati. Bagaimana tidak? Dalam wasiatnya, saudagar ini meminta jenazahnya tidak dikuburkan ke dalam tanah seperti biasanya. Ia meminta: Apabila dia mati, jenazahnya hendaklah dimasukkan ke dalam perut seekor kerbau untuk kemudian dihanyutkan ke sungai. Tentu saja permintaan ini sungguh aneh dan tak terduga oleh siapapun. Tak masuk akal pun. Tak ada orang yang meninggal berwasiat seperti itu sebelumnya. Tapi permintaan itu ternyata adalah permintaan yang benar dan datangnya langsung dari diri ahli perniagaan itu. Namun, sebahagian keluarga, juga beberapa warga yang merupakan orang yang hampir dekat dengan dirinya, maklum sangat bahawa permintaan itu bukanlah permintaan yang main-main.
Dalam erti kata lain, permintaan itu juga dimengerti oleh mereka sebagai sebuah kewajaran atas pilihan hidup yang selama ini sudah dijalani oleh saudagar itu. Dalam masyarakat Sukabumi ada sebuah istilah yang merujuk pada kematian cara ini, yakni “mati pelit” (mati kedekut). Sebabnya tak lain adalah pilihan hidupnya tadi, yakni memilih melakukan penyembahan kepada selain Allah s.w.t. (syirik) demi mendapat bayaran kekayaan yang melimpah dan tak terbatas. Naudzubillah...Kerananya, setelah dimesyuaratkan dengan pihak keluarga, permintaan ahli perniagaan itu diputuskan untuk dipenuhi. Tak ada pilihan lain, kerana sekalipun permintaan itu tak dipenuhi dan si saudagar tetap dikubur seperti biasa, diyakini tanah tak akan mahu menerima jasadnya.

Hujan lebat dan sungai berbatu
Maka permintaan itupun diikhtiarkan untuk dipenuhi. Seekor kerbau yang cukup besar pun disembelih. Pihak keluarga sendiri merasa tak kesulitan untuk membeli kerbau tersebut, kerana harta peninggalan Juragan Darman sangat banyak. Setelah kerbau tersebut disembelih, lalu dibersihkan perutnya hingga tersisa rongga yang cukup luang di dalam perut kerbau. Kengerian jelas terbayang dari mereka yang ditugaskan untuk mempersiapkan kerbau tersebut. Beberapa diantara mereka ada yang bersyukur tak menjadi kaya raya seperti saudagar itu. Kerana apa guna menjadi kaya jika harus menjalani proses pengkebumian seperti itu? Setelah perut kerbau bersih, jenazah saudagar itu diletakkan ke dalam perut tersebut. Perut kerbau itu kemudian dirapatkan kembali dengan dijahit seadanya hingga jenazah si saudagar seperti menggantikan isi perut si kerbau yang tadinya dibuang.
Setelah itu, selesai dengan permintaan wasiat si saudagar, bangkai kerbau yang diperutnya berisi jasad saudagar itu dibawa ke sungai berbatu yang airnya sungguh deras dan berada di kawasan yang agak tinggi di kampung tersebut. Lokasi sungai yang ditunjuk oleh sumber Hidayah tersebut memang merupakan sungai yang dipenuhi batu-batu besar yang menyembul hilang diantara aliran air sungai yang deras. “Boleh dipastikan jika ada yang dihanyutkan akan remuk lantak kerana menghentam batu batuan. Itulah kiranya yang tersembunyi dari wasiat Juragan Darman. Ia ingin jasadnya hancur dan kemudian terbawa oleh air,” ujar Ustaz Hasan (bukan nama sebenarnya) kepada Hidayah. Maka diusunglah kerbau tadi sampai mendekati tebing sungai. Keluarga Darman dan warga kampung nampak cemas dan terasa seram saat menyaksikan prosesnya. Meski pun cuaca cukup cerah, tapi suasana begitu mencengkam. Tak ada upacara doa, pun tak ada orang yang nampak bersedih. Siang itu, semuanya menyimpan perasaan tak enak. Aliran air yang beriak kencang menambah rasa tak enak yang ganjil itu. Lantas, melalui arahan seseorang yang menjadi ketua proses pengkebumian yang pelik itu, kerbau besar itu sedikit demi sedikit diturunkan ke dalam sungai. Para pekerja yang dibayar keluarga Juragan Darman pun perlahan menurunkan kerbau berisikan jasad Juragan Darman itu. Seorang nampak memegang keempat kaki kerbau, sedang seorang mengangkat kepala dan beberapa lainnya mengangkat badan kerbau. Kerbau itupun perlahan-lahan menyentuh permukaan air. Dan ketika seluruh tubuh kerbau berada di atas air, kerbau itu pun didorong ke tengah aliran air sungai yang lebih dalam hingga kemudian terhanyutkan. Saat itulah, tiba-tiba, langit yang cerah berubah gelap. Mendung. Hujan lebat pun turun seolah-olah secara tiba-tiba.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Disember 2009...

Membaca Perilaku Orang Fasik

SIAPAKAH si fasik? Dan Allah pun menjawab, “[Ialah] orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi, mereka Itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Baqarah: 27) Ayat ini merupakan kelanjutan dari satu ayat sebelumnya. Pada akhir ayat ke-26 Allah menyindir tentang ciri-ciri kecenderongan orang fasik. Di situ disebutkan bahawa Allah akan menyesatkan orang-orang yang tergolong fasik. Setidaknya, pada ayat ini dipaparkan tiga sifat orang yang tergolong fasik. Ketiga sifat ini merupakan watak dasar yang mereka miliki. Pertama, orang fasik adalah orang yang sentiasa melanggar perjanjian Allah. Yang dimaksudkan perjanjian di sini adalah aturan Allah yang tertuang dalam al-Quran mahupun Hadis Nabi. Orang fasik itu yang semula menjalankan ajaran agama dengan patuh dan taat, kemudian ia melanggar perjanjian tersebut semahunya sendiri. Iaitu, perjanjian untuk taat dan patuh terhadap aturan-aturan Allah s.w.t. Bila kita membuka Kamus Besar Bahasa Indonesia yang dikarang oleh S. Wojowasito, maka kata fasik diertikan sebagai sifat dan tindakan yang tidak sungguh-sungguh dalam menjalankan agamanya. Orang fasik dapat dimaksudkan sebagai orang yang tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan agamanya, dan bila ia beragama Islam maka keislamannya hanyalah simbol belaka. Dalam kitab Min Ma’anil Qur’an yang dikarang oleh Abdur Rahim Faudah, istilah pengertian fasik menurut al-Quran adalah bentuk penyimpangan dari kebenaran dan bentuk penyelewengan dari jalan yang lurus dan setiap pembangkangan (penderhakaan) terhadap peraturan-peraturan serta perintah Allah. Jadi, dapat disimpulkan kalau fasik adalah keluar dari jalan yang benar. Sehingga, bila ada orang mengaku Islam tetapi tidak percaya dengan adanya seksa kubur, maka dapat digolongkan sebagai orang yang fasik. Atau, tidak percaya dengan syurga dan neraka, juga dapat digolongkan sebagai orang fasik. Mencemoh orang-orang yang suka berzikir kepada Allah, mengejek keutamaan solat tahajjud atau meremehkan segala hal-hal yang berkaitan dengan amal salih dan kebaikan maka dapat digolongkan sebagai orang yang fasik.
Juga, dapat digolongkan sebagai orang-orang yang fasik adalah mereka-mereka yang walaupun muslim tetapi tidak mempercayai Nabi dan Rasul Allah serta kitab-kitab mereka, seperti yang difirmankanNya dalam Ali Imran: 81. “Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil perjanjian dari pada nabi: “Sungguh, apa saja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.” Percaya kepada Allah, tetapi tidak percaya kalau Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul juga termasuk sifat fasik. Misalnya, dengan tidak melaksanakan sunah yang biasa Nabi Muhammad kerjakan semasa hidupnya, termasuk di dalamnya melecehkan (merendah-rendahkan) hadis-hadis Nabi. Tidak percaya dengan Israk Mikraj juga dapat digolongkan sebagai orang fasik dan akan menjadi orang yang merugi baik dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Kedua, salah satu sifat orang fasik yang digambarkan dalam ayat di atas adalah memutuskan apa yang diperintahkan Allah untuk menyambungnya. Seperti hubungan kasih sayang (silah al-arhaam) dan hubungan kekeluargaan (al-qarabat). Al-arham bererti keluarga dekat, dan Islam sangat menganjurkan untuk memelihara hubungan baik terhadap sanak saudara, dan orang-orang memutuskan silaturahim sangat dicela oleh Islam, seperti di dalam firmanNya, “Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan [mempergunakan] namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan takutlah dari memutuskan silaturahim” (an-Nisa’: 1) Al-qarabat bererti hubungan silaturahim yang terbentuk atas dasar kekelurgaan. Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi, “Aku adalah Allah, Aku adalah Zat yang Maha Pengasih. Aku ciptakan ‘rahim’. Aku ambilkan kata itu dari namaku. Siapa yang membina hubungan dengan sanak famili (silaturahim) aku akan menyambungkan ia dengan namaku. Dan siapa yang memutuskannya, Aku juga akan memutuskan hubungan dengannya.” Hal ini sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran, “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara. Kerana itu, damaikanlah antara kedua saudaramu” (al-Hujurat: 10)

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Disember 2009...

Di Arab Saudi Dilarang Bina Rumah Ibadah Selain Masjid

MALAYSIA negara Islam, bukan itu sahaja, tetapi Islam juga menjadi agama rasmi negara ini. Jangan ada orang pertikaikan perkara ini. Ia termaktub dalam perlembagaan. Walau pun begitu, Malaysia membenarkan non-muslim menjalankan kegiatan ibadahnya. Mereka boleh bina kuil, boleh bina gereja, boleh bina tempat ibadah agama masing-masing. Malaysia tidak buat apa-apa tegahan. Begitulah hebatnya pemimpin-pemimpin Islam Malaysia memberi peluang dan membenarkan semuanya ini. Dasar demokrasinya begitu hebat, sehingga masalah agama pun didemokrasikan sekali. Cuba kita singkap sejarah negara-negara lain sebagai “negara Islam”. Hal-hal serupa ini tidak wujud. Sebagai contohnya ialah Pemerintah Arab Saudi. Negara ini adalah negara Islam. Negaranya melarang membangun tempat-tempat ibadat di Semenanjung Arab bagi orang-orang non-muslim.
Kerajaan Arab Saudi melarang membangun gereja, kuil dan lain-lain sebagainya di atas buminya. Soalnya, Islam melarang pembangunan tempat-tempat ibadah bagi orang-orang non-muslim di atas tanah Semenanjung Arab, sebagaimana juga Islam melarang memberikan hak kewarganegaraan di Semenanjung Arabia bagi orang non-muslim. Kerajaan Arab Saudi sebagai negara Islam yang memiliki tanggungjawab agama menetapkan tempat-tempat suci berdasarkan syariat, iaitu melarang pembangunan tempat-tempat ibadat bagi orang non-muslim di atas tanah-tanah Wilayah kekuasaannya. Seperti yang telah diketahui, masyarakat antara bangsa pada zaman sekarang ini terdiri dari beberapa negara yang memiliki kekuasaan terhadap wilayah-wilayahnya dengan perbatasan-perbatasan yang telah diakui. Adalah merupakan hak setiap negara untuk menerapkan aturan atau undang-undangnya terhadap seluruh rakyatnya dan orang-orang yang tinggal di dalamnya. Adalah dilarang juga menerapkan aturan atau undang-undang asing di wilayah kekuasaannya, kecuali yang sesuai dengan undang-undang dasarnya dan aturan-aturan umumnya. Syariat Islam tidak mencegah atau pun melarang hak manusia dalam soal keyakinan dan dalam menjalankan syiar-syiarnya. Oleh kerana itulah, pemerintah Arab Saudi yang selalu setia kepada syariat Islam dalam urusan politik di luar mahu pun di dalam negeri, tidak menentang resolusi antarabangsa yang berhubung dengan prinsip-prinsip umum mahu pun khusus terhadap hak-hak asasi manusia dalam bidang kebebasan keyakinan serta menjalankan syiar-syiarnya. Kadang-kadang ada juga terjadi perselisihan sekitar pemahaman dalam bidang penerapan prinsip-prinsip tersebut, tatacara pelaksanaan dan batasan-batasan yang tidak boleh dilanggar dalam masalah ini. Tetapi tidak seorang pun yang berhak untuk memaksa sesuatu pemahaman yang kontroversi kepada kita. Islam melarang di semenanjung Arabia didirikan tempat-tempat ibadah selain dari Masjid dan menjalankan syiar-syiar agama di sana secara terang-terangan.
Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam “Al-Muwatha’” dari Aisyah r.a. yang menyatakan bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya: “Tidak ada dua agama di Semenanjung Arabia.” Syariat Islam juga menganggap sebahagian tempat di Semenanjung Arab memiliki keharaman khusus. Bagi orang non-muslim, yang Arab atau mahupun non-Arab, tidak boleh masuk tempat-tempat suci. Bahkan bagi seorang muslim sendiri juga tidak boleh merosak kehormatan tempat-tempat suci tersebut, walau pun hanya berburu binatang atau pun mencabuti rumput-rumput atau pun tumbuhan di dasarnya.


Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Disember 2009...

Keberkatan Doa Dan Zikir Ketika Menunaikan Haji

SEJAK lama aku memang ingin menunaikan haji secepatnya. Masalahnya, niat itu kerapkali tak tertunai disebabkan biayanya yang tak sedikit. Namun, aku berkeyakinan bahawa dengan usaha yang gigih dan doa yang tiada henti kupanjatkan, insyaAllah mimpiku akan menjadi kenyataan. Kerja apa saja kulakukan, yang penting halal dan diredhoi Allah. Aku sudah lama mengimpikan boleh berada di antara tamu-tamu Allah di Baitullah; ingin membuktikan kedahsyatan mencium hajar aswad yang terkenal itu; ingin memuaskan dahagaku dengan doa-doa yang baik dan seringkali disebut-sebut bakal mustajab. Apalagi banyak ahli keluarga yang menitip doa bila aku di sana, entah doa agar diberikan kelapangan rezeki, segera menyusul menunaikan haji, segera mendapatkan jodoh, agar anaknya menjadi ‘anak yang salih dan salihah’, keluarganya harmoni, dan masih banyak doa-doa titipan lainnya. Begitu membuak semangat itu, aku bertekad akan mengerahkan seluruh kudratku untuk beribadah di tanah Arab yang panas itu. Hatiku berbunga-bunga membayangkan semuanya. Bayangan-bayangan indah tentang haji menari-nari di hadapanku. Aku seakan dipuji oleh Allah yang Maha Kuasa untuk meluruskan niatku secara benar. Seolah ada peringatan dariNya bahawa ibadah haji merupakan perjalanan ‘spiritual’ yang penuh dengan nilai-nilai Ilahiah, bukan perjalanan pelancongan biasa. Dalam hati, aku sempat bertanya nakal, apa sebenarnya keistimewaan beribadah haji hingga orang dari daratan mana pun tumpah ruah, berbaur tanpa mesti membayangkan dari bangsa atau suku mana.

Masalah Serius Sebelum Berangkat
Tahun 1984, saat-saat yang kunanti tiba. Kala itu, aku berusia 25 tahun dan sudah dikurniai 5 orang anak – maklumlah berkahwin muda. Segala persiapan haji sudah lengkap. Hanya ada masalah yang menjadi aku sangsi, yakni kandunganku. Menurut ramalan doktor, tarikh kelahiran anakku yang kukandungi itu kemungkinan besar bertepatan dengan keberangkatanku ke tanah suci. Terus terang aku agak gelisah tentang masalah ini. Bagaimana tidak? Rencana berangkat sudah sedemikian matang; dan kalau ternyata ramalan itu benar, maka sulit kubayangkan bagaimana ibadah hajiku nanti: apakah boleh kujalankan dengan baik? Ataukah niat muliaku yang sudah bulat itu bakal batal? Sedar akan masalah yang sedang kuhadapi ini, aku cuba berikhtiar semaksima mungkin dengan menemui doktor pakar. Intinya: bagaimanakah menyelesaikan masalah yang cukup pelik ini? Pertama, aku ingin ibadah hajiku yang pertama kali dan sudah lama kudambakan boleh terlaksana dan boleh beribadah dengan khusyuk. Kedua, berharap anak dalam kandunganku boleh terlahir lebih awal sehingga saat hari bertolak nanti, masalah yang menggelisahkanku itu telah menemukan titik tenang. Suamiku dengan sabarnya mendampingiku. Ia memberikan motivasi yang luar biasa dan menyarankan tetap berserah diri pada Allah. “Pasrahkan semuanya pada Allah, Mil! Jika Allah menghendaki kita berangkat, insyaAllah kita boleh berangkat haji tahun ini juga. Sebaliknya jika tidak, kita bersabar saja. Yang penting kita tetap berdoa dan berusaha,” kata lelaki yang telah mendampingku bertahun-tahun lamanya. Benar kata suamiku. Setelah beberapa kali bertemu doktor, ada jalan keluar. Doktor memberi semacam ubat agar bayi yang masih dalam kandungan boleh lahir lebih awal dan normal, tanpa menunggu waktu kelahiran yang diperkirakan bertepatan saat di Makkah. Tepat kandunganku berusia 8 bulan. Akhirnya lahirlah anakku, Ismail.

Masalah Menjadi Mudah
Lahirnya Ismail membuatku lega. Masalah pelik itu sudah teratasi. Dengan demikian, insyaAllah aku boleh beribadah dengan khusyuk. Tapi doa tetap tak putus-putus kupanjatkan, semoga tak ada yang ketinggalan baik yang wajib mahupun sunah-sunahnya. Berharap memasuki Madinah dalam keadaan suci agar boleh ikut solat Arbain di Masjid Nabawi. Kekuatan doa memang dahsyat. Doa-doaku dikabulkan. Tepat sebulan setelah melahirkan, aku berangkat ke tanah suci. Aku sangat bersyukur kerana boleh menunaikan hal-hal penting yang sebelumnya telah kususun rapi dari rumah. Semuanya berjalan lancar. Bahkan ada berlaku beberapa kejadian sekaligus menarik dan membuat aneh bagi kebanyakan orang. Sewaktu di Makkah, misalnya, sehabis melakukan umrah ba’da solat zuhur. Aku ke pasar membeli sejumlah keperluan dan kembali ke masjid untuk iktikaf sambil menunggu solat asar. Hanya aku bingung mahu dikemanakan belanjaan yang kubawa ini, sementara di dalam masjid tak diperkenankan membawa barang-barang. Tapi aku berdoa agar Allah mengizinkanku masuk ke masjid sambil membawa baranganku itu. Plastik itu kurapikan. Dengan membaca ‘bismillah’ dan berdoa, “Ya Allah izinkan aku masuk ke masjidMu sambil membawa barang-barang belanjaan. Andaikata Engkau tidak mengizinkan, apakah aku akan solat di luar. Aku ingin solat di dalam masjid. Kalau belanjaanku ditinggal di luar masjid, pastilah dirampas oleh pengawal bertugas. Aku takut tidak boleh khusyuk dalam solatku.” Tatkala bertembung dengan pengawal, aku mengajak bercakap-cakap sambil jalan beriringan. Pengawal tersebut hanya bingung, tidak faham apa yang aku ucapkan kerana aku menegurnya dengan bahasa Indonesia. Akhirnya aku selamat sampai ke dalam masjid. Sampai jemaah haji yang lain bertanya-tanya bagaimana caranya boleh terlepas dari pemeriksaan pengawal padahal penjagaan sangatlah ketat. Di saat lain, aku juga diperkenankan untuk mengambil air zam-zam dari dalam masjid beberapa liter yang kutaruh ke dalam beberapa botol plastik. Padahal mengambil zam-zam dari dalam masjid untuk dibawa keluar dilarang oleh pihak pengawal. Ini pula yang dialami suamiku. Tatkala ia keluar dengan menjinjing botol-botol, justeru dirampas oleh pengawal.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Disember 2009...

Pada Suatu Zaman Nanti Manusia Lebih Suka Mati

Ada sebuah hadis Nabi s.a.w. yang menceritakan dimana pada suatu zaman nanti, orang-orang lebih suka dia dimatikan dengan kerana keadaan yang wujud ketika itu. Rasulullah juga disebutkan ada bersabda tentang bersegeralah kepada kematian kerana ada enam sebab. Diantaranya sebab-sebab itu ialah “kekuasaan dipegang oleh orang-orang bodoh”. Quran dijadikan sebagai nyanyian oleh sekolompok manusia iaitu mereka menampilkan seseorang untuk “menyanyikan” al-Quran bagi mereka. Apa yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. itu sekarang sudah pun terjadi. Ada masyarakat yang pemegang kuasanya dari kalangan orang bodoh. Maksudnya, pemegang kuasa agama diambil atau dilantik dari kalangan orang-orang yang bukan ahlinya. Apakah hal ini ada berlaku dikalangan kita sekarang? Sama-samalah kita fikirkan. Kemudian disebutkan juga tentang al-Quran dilagu-lagukan, bukan untuk difahami dan kemudin diamalkan. Apakah hal ini juga sudah terjadi? Kita boleh jawab sendiri. Dalam sebuah kitab agama ada menghuraikan tentang bab ini dimana penulisnya seorang ulama telah mengutip hadis-hadis Nabi yang sahih berhubung dengan masalah kematian. Kita ikutilah nukilan beliau mengenai hadis-hadis Nabi s.a.w. yang kita siarkan untuk renungan pembaca semua. Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah Hari Kiamat itu terjadi hingga ada seseorang yang lalu kuburan saudaranya lalu mengucapkan: sebaik-baiknya aku yang menempati tempatnya ini.” (HR. Imam Malik).
Tsauban berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar dapat mengerjakan berbagai kebaikan, meninggalkan kemungkaran, dan mencintai orang-orang miskin. Seandainya Engkau menghendaki fitnah bagi manusia, kembalikanlah aku kepadaMu tanpa terkena fitnah.” (HR. Imam Malik dan Al-Bazzar) Umar r.a. berdoa: “Ya Allah, kekuatanku telah lemah, usiaku pun semakin tua, sementara rakyatku telah menyebar. Oleh kerana itu, kembalikanlah aku kepadaMu tanpa disia-siakan dan dihinakan.”
Ulaym al-Kindi bertutur: “Saya pernah bersama Ubai Abbas al-Ghifari berada di tempat yang tinggi, lalu dia melihat suatu kaum berlarian menghindari penyakit taun. Ia lantas berkata: “Wahai Penyakit taun, jemputlah aku bersamamu.” Hal itu dikatakannya sebanyak tiga kali. Kemudian, Ulaym bertanya kepadanya: “Mengapa anda berkata seperti itu? Bukankah Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ‘Tidak sepatutnya salah seorang di antara kalian mengharapkan kematian, kerana pada saat itu (kematian), terputuslah semua amalannya. Akan tetapi, jangan pula kalian lari atau menolaknya, apalagi sampai mencelanya?” Lebih lanjut, Ulaym menceritakan bahawa Abu Abbas berkata: “Tidakkah anda mendengar Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: ‘Bersegeralah kalian pada kematian kerana enam perkara: kerana kekuasaan dipegang orang-orang bodoh; kerana banyaknya sekatan; kerana diperjualbelikannya hukum; kerana diremehkannya darah [pembunuhan]; kerana diputuskannya silaturahim; serta kerana dijadikannya Al-Quran sebagai seruling oleh sekolompok manusia, iaitu mereka menampilkan seseorang untuk menyanyikan Al-Quran bagi mereka, padahal ia adalah seorang yang paling sedikit pemahamannya terhadap Al-Quran. (HR. Ibn Abd al-Birr dalam At-Tambid; Al-Marwazi dalam al-Jand’iz; Imam Ahmad dalam Musnadnya; dan Imam Ath-Thabrani dalam Al-Kabir). Al-Hasan meriwayatkan bahawa Al-Hakim ibn Amr berkata: “Wahai Penyakit taun, jemputlah aku bersamamu.” Kemudian ditanyakan kepadanya: “Mengapa anda berkata demikian, padahal anda telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Tidak sepatutnya salah seorang di antara kalian mengharapkan kematian?’” “Saya pernah mendengar apa yang telah anda dengar itu, tetapi saya ingin segera mati kerana enam hal; diperjualbelikannya hukum; banyaknya sekatan; pemerintahan yang dipegang anak-anak; ditumpahkannya darah; diputuskannya silaturahim; serta adanya golongan yang pada akhir zaman mendorong para pembaca Al-Quran untuk menjadikan Al-Quran sebagai seruling.” (HR. Al-Hakim).
Habib ibn Abi Fadhalah bertutur bahawa Abu Hurairah pernah menyebut-nyebut kematian seakan-akan ia mengharapkannya. Sebahagian sahabat lantas bertanya: “Mengapa anda mengharapkan kematian, padahal Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ‘Tidak diperbolehkan seorang pun mengharapkan kematian, baik ia orang baik mahupun orang jahat. Jika ia orang baik, ia mungkin akan bertambah kebaikannya; jika ia orang jahat, ia mungkin akan meninggalkannya?” Abu Hurairah menjawab: “Bagaimana saya tidak mengharapkan kematian, sementara saya takut melihat enam perkara: diremehkannya dosa, diperjualbelikannya hukum, diputuskannya silaturahim, banyaknya petugas keamanan, dan adanya golongan yang menjadikan Al-Quran sebagai seruling?” (Ibn Sa’ad dalam Ath-Thabaqat). Amr ibn Anbasah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak sepatutnya salah seorang di antara kalian mengharapkan kematian, kecuali jika dia benar-benar yakin akan amalnya. Jika kalian mengetahui enam perkara dalam Islam, bolehlah kalian berharap akan kematian. Keenam perkara itu adalah: pertumpahan darah, pemerintahan yang dipegang anak-anak, banyaknya petugas keamanan, pemerintahan yang dipegang orang-orang bodoh, dperjualbelikannya hukum, dan golongan yang menjadi Al-Quran sebagai seruling.” (HR. Ath-Thabarani). Ibnu Mas’ud r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dajjal tidak keluar hingga tidak ada sesuatu yang lebih dicintai oleh seorang Mukmin selain kematian.” (HR. Abu Nu’aym). Sufyan berkata: “Akan datang kepada manusia suatu zaman, yang di dalamnya kematian lebih disukai oleh para pembaca Al-Quran yang hidup pada zaman itu daripada emas merah.” (HR. Ibn Abi ad-Dunya).
Abu Hurairah bertutur bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kematian itu hampir saja lebih disukai oleh seorang mukmin berbanding air sejuk yang dilumuri madu kemudian diminumnya.”


Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Disember 2009...

Hakikat Dan Sejarah Tasawuf

Seringkali tasawuf dituduh sebagai ajaran sesat. Tasawuf dianggapkan sebagai ajaran yang lahir dari rahim ‘bukan Islam’. Ia adalah amalan keagamaan yang diambil dari tradisi Kristian, Hindu dan Brahmana. Bahkan gerakan sufi, diidentitikan dengan kemalasan bekerja dan berfikir. Betulkah? Untuk menilai apakah satu ajaran tidak Islami dan dianggap sebagai terkena serapan budaya asing tidak cukup hanya kerana ada kesamaan istilah atau ditemukannya beberapa kemiripan dalam laku ritual atau amalan dengan tradisi agama lain atau kerana ajaran itu muncul belakangan, selepas Nabi s.a.w. dan para sahabat. Perlu analisis yang lebih sabar, mendalam, dan objektif. Tidak boleh hanya dinilai dari kulitnya saja. Tasawuf pada mulanya dimaksudkan sebagai tarbiyah akhlak-rohani: mengamalkan akhlak mulia, dan meninggalkan setiap perilaku tercela. Atau sederhananya, ilmu untuk membersihkan jiwa dan menghaluskan budi pekerti. Demikian Imam Junaid, Syeikh Zakaria al-Anshari mendefinisikan. Asal kata sufi sendiri ulama berbeda pendapat. Tapi perdebatan asal-usul kata itu tak terlalu penting. Adapun penolakan sebahagian orang atas tasawuf kerana menganggap kata sufi tidak ada dalam al-Qur\an, dan tidak dikenal pada zaman Nabi, Sahabat dan tabi’in tidak otomatik menjadikan tasawuf sebagai ajaran terlarang! Ertinya, kalau mahu jujur sebetulnya banyak sekali istilah-istilah (seperti nahwu, fikih, dan ushul fikih) yang lahir setelah era Sahabat, tapi ulama kita tidak pula keberatan, bahkan menggunakannya dengan penuh kesedaran.

Sejarah Tasawuf
Kenapa gerakan tasawuf baru muncul selepas era Sahabat dan Tabi’in? Kenapa tidak muncul pada masa Nabi s.a.w.? Jawabnya, saat itu kondisinya tidak memerlukan tasawuf. Perilaku umat masih sangat stabil. Sisi akal, jasmani dan rohani yang menjadi garapan Islam masih dijalankan secara seimbang. Di zaman Nabi s.a.w., para Sahabat dan para Tabi’in pada hakikatnya sudah sufi: sebuah perilaku yang tidak pernah mengagungkan kehidupan dunia, tapi juga tidak meremehkannya. Selalu ingat pada Allah s.w.t. Ketika kekuasaan Islam makin meluas. Ketika kehidupan ekonomi dan sosial makin teguh, mulailah orang-orang lalai pada sisi rohaninya. Budaya meterialistik menjadi fenomena umum. Saat itulah timbul gerakan tasawuf (sekitar abad 2 Hijrah). Gerakan yang bertujuan untuk mengingatkan tentang hakikat hidup. Dikatakan menurut pengarang Kasf adh-Dhunun, orang yang pertama kali dijuluki as-shufi adalah Abu Hasyim as-Shufi (meninggal 150 H)

Pentingnya Tasawuf
Imam Ghazali dalam an-Nusrah an-Nabawiahnya mengatakan bahawa mendalami dunia tasawuf itu penting sekali. Kerana, selain Nabi s.a.w., tidak ada satupun manusia yang boleh lepas dari penyakit hati seperti riyak, dengki, hasad dan lain-lain lagi. Dan, dalam pandangannya, tasawuflah yang mampu mengubati penyakit hati itu. Kerana, tasawuf tertumpu pada tiga hal dimana ketiga-tiganya sangat dianjurkan oleh al-Quran al-karim. Pertama, selalu melakukan kawalan diri, muraqabah dan muhasabah. Kedua, selalu berzikir dan mengingat Allah s.w.t. Ketiga, menanamkan sifat zuhud, cinta damai, jujur,sabar, syukur, tawakal, dermawan dan ikhlas.
Melihat tumpuan bahasan tasawuf di atas, jelas sekali bahawa tasawuf bagian dari Islam.

Tasawuf dan Tuduhan-Tuduhan Miring
Menilai apakah tasawuf melencong dari ajaran Islam apa tidak, kita harus melewati beberapa kriteria di bawah ini. Dengan kriteria ini secara otomatik kita dapat mengukur hakikat tasawuf. Pertama sekali, penilaian harus melampaui tataran kulit, dan langsung masuk pada inti dan tujuannya. Lantas apa itu tasawuf? Seperti dijelaskan di atas tujuan tasawuf adalah dalam rangka membersihkan hati, mengamalkan hal-hal yang baik, dan meninggalkan hal-hal yang jelek. Seorang sufi dituntut selalu ikhlas, redho, tawakal, dan zuhud - tanpa sama sekali mengatakan bahawa kehidupan dunia tidak penting.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Disember 2009...

Melancong Ke Kampung Islam Bugis Di Bali

BALI memang sebati dengan Hindu. Maklum, sebahagian besar warga Bali adalah pemeluk Hindu dengan segenap tradisi Hindu yang begitu kuat. Tak salah jika kuil-kuil bertebaran di Bali, sehingga pulau Bali pun dijuluki pulau seribu kuil. Tetapi, keadaan demikian tidak serta-merta menepis adanya agama lain – seperti Islam – di pulau dewata ini. Sebabnya, ada beberapa wilayah di sudut pulau Bali yang ternyata ada masyarakat Islamnya. Kampung Bugis, salah satunya, yang terletak di Serangan Denpasar, Bali – lebih kurang 15 km dari kota Denpasar. Perkampungan Islam ini tergolong unik. Pertama, kampung itu dihuni kelompok Islam. Kedua, perkampungan yang bernama kampung Islam Bugis itu diapit kampung-kampung lain yang umumnya orang Bali dan penganut Hindu. Kendati demikian, baik masyarakat Islam Bugis, mahupun warga Hindu yang tinggal di kampung sebelah boleh hidup rukun berdampingan, meski berbeza agama dan suku. Ketiga, kampung Islam Bugis itu memiliki catatan sejarah yang cukup panjang. Beberapa waktu lalu, Hidayah berkesempatan mengunjungi kampung Bugis yang dihuni warga Islam keturunan dari Gowa, Sulawesi Selatan itu. Berdasarkan catatan sejarah, nenek moyang penduduk kampung Bugis itu, dulunya (abad ke-17) melarikan diri dari Gowa, berlayar dan kemudian terdampar di pulau Bali. Sewaktu Hidayah melihat kehidupan mereka dari dekat, terasa seperti menemukan jejak-jejak masa lalu kehidupan nenek moyang mereka yang ternyata masih dipegang teguh.
Setelah memasuki kampung Bugis, Hidayah bertemu Muhammad Mansyur, orang veteran masyarakat Kampung Bugis, dan kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Asy-Suhada, salah satu bukti sejarah peninggalan nenek moyang penduduk Kampung Bugis. Pun sebagai satu bukti masuknya Islam ke Bali yang dibawa oleh orang-orang Gowa.

Sejarah Mulanya Kampung Islam Bugis
Pulau Serangan, di mana terdapat perkampungan muslim Bugis yang terletak di sebelah selatan Pulau Bali, memang mirip bagaikan lukisan keindahan pulau dewata. Sebelum memasuki perkampungan Islam Bugis di Pulau Serangan – yang sekarang ini sudah menyatu dengan daratan Bali setelah 14 tahun lalu dibangun jalan dan jambatan yang menghubungkan pulau Serangan dan daratan Bali – terpampang panorama pantai yang memikat. Panorama yang indah itu ternyata menjadi cermin kerukunan dan kebersamaan warga Kampung Bugis dan beberapa kampung di sebelahnya, meski berbeza agama dan suku. Ibarat aliran sungai yang mengalir ke laut, penduduk Kampung Bugis yang beragama Islam ternyata boleh hidup rukun dan damai dengan kelompok dari kampung sebelah. Tali kerukunan beragama dan persaudaraan antara suku itu dapat terikat dengan kuat, sebagaimana dituturkan Muhammad Mansyur kerana dilihat dari sejarahnya dulu, nenek moyang warga kampung Bugis itu datang dari Gowa, Sulawesi Selatan, meninggalkan daerah asal mereka dan terdampar di Bali. Mereka diterima baik Raja Badung, dan membantu Raja mengalahkan kerajaan Mengwi. Atas jasa itulah Raja kemudian menghadiahkan kawasan itu di Pulau Serangan. Tak boleh dipastikan, bila waktu dan siapa perantau Bugis pertama yang datang ke Pulau Serangan itu. Tetapi dari catatan sejarah, dikatakan, para perantau Bugis ini datang ke Bali sekitar abad ke-17. I Putu Gede Suwitha beranggapan nelayan Bugis yang pergi meninggalkan desa asal mereka itu kerana menolak aturan yang ditetapkan bangsa belanda setelah Belanda menguasai Kerajaan Gowa. Di sisi lain, terkait Perjanjian Bongaya pada tahun 1667 yang melarang warga Bugis memiliki kapal berukuran besar. Sebagai pelaut dan pedagang, para perantau Bugis itu lantas mencari tempat baru yang strategik. Beberapa di antara mereka akhirnya berlabuh di Pulau Serangan. Perantau yang datang ke Serangan itu umumnya berasal dari Bugis Wajo, dan ada pula dari Sopeng atau Bone. Sementara itu, Muhammad Mansyur menuturkan bahawa “Kampung Islam Bugis itu dibangun 40 orang perantau Bugis yang dipimpin Syeikh Haji Mu’min akibat tak sefaham dengan Belanda. Rombongan itu berlayar tak tentu arah, meninggalkan tanah kelahiran hingga kemudian merapat di pelabuhan pulau (Serangan) ini; di pelabuhan Bajo. Kerana orang pertama yang berlabuh adalah perahu orang-orang Bugis, makanya orang-orang Hindu Bali menyebut mereka itu orang-orang Bajo.” Tak lama kemudian, ada warga yang melaporkan ke Puri Pemecutan. Lalu, Raja mengirim utusan menemui Syeikh Haji Mu’min, kerana Raja khuatir rombongan itu adalah mata-mata Beanda. Rombongan itu lalu ditawan di kerajaan. Tetapi, dugaan raja itu salah – kerana rombongan yang dipimpin Syeikh Haji Mu’min justeru anti-Belanda dan termasuk orang-orang baik. Akhirnya, rombongan itu diberi kebebasan tinggal di istana untuk sementara waktu. Tetapi para perantau Bugis yang dipimpin Syeikh Haji Mu’min ternyata tidak selesa tinggal di istana. Raja kemudian menempatkan mereka di kampung Gelagi Gendong, sebelah barat kerajaan. Sayang, kebiasaan melaut para perantau Bugis itu membuat mereka tak selesa dan meminta Raja untuk mencarikan tempat di pesisir pantai supaya boleh melaut. “Raja Badung yang mengetahui sepenuhnya bahawa perantau Bugis itu memiliki keahlian di bidang pelayaran, tak keberatan dengan permintaan itu. Bahkan kemudian memberi tempat di Pulau Serangan yang waktu itu masih berupa hutan. Kemudian Haji Mu’min dan pengikutnya membuka penempatan di bahagian selatan Pulau Serangan. Tidak salah, jika hubungan baik antara para perantau Bugis di Pulau Serangan dan Kerajaan Badung pun terjalin erat, bahkan para perantau Bugis ini dipercaya oleh Raja Badung,” tutur Muhammad Mansyur. Hubungan itu terus terjalin dengan baik dan dikatakan pada waktu kerajaan Badung merasa terdesak menghadapi Kerajaan Mengwi, Raja Badung tidak segan-segan minta bantuan para perantau dari Bugis itu untuk membantu.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Disember 2009...

Hukum Doktor Lelaki Merawat Pesakit Wanita

SEBUT saja namanya Sofiah. Ibu muda yang sedang terlonjak kegirangan ketika mengetahui positif hamil selepas melalui ujian kehamilan. Agar lebih memastikan, ia pun segera memeriksakan dirinya ke hospital. Sebab ia tahu pusingan haidnya tak pernah tepat. Oleh doktor, kandungannya di-USG. Namun belum terlihat bakal calon janin. Ia pun disarankan untuk menggunakan sebuah alat yang berfungsi semacam ‘detektor’ yang dimasukan melalui vaginanya untuk memeriksakan kandungannya. Seketika Sofiah ragu-ragu, sebab ia harus membuka aurat yang hanya dihalalkan untuk suaminya itu pada doktor kandungan yang kebetulan lelaki. “Anggap saja saya tidak ada. Ini adalah untuk kepentingan perubatan. Saya sudah bersumpah untuk menjaga nama baik dan bertindak sesuai kaedah kedoktoran,” tegas doktor itu, meyakinkan Sofiah yang nampak amat ragu-ragu dan ‘malu’. Rupanya, Sofiah tak sendiri. Nadiah pun pernah merasakan hal sama. Saat mahu memasang KB jenis ayudhi/spiral, ia pun harus membuka vaginanya di depan doktor kandungan yang kebetulan lawan jenisnya. Hampir saja ia batalkan niat tersebut. Namun kerana jenis KB lain tidak ada yang sesuai dan kesihatannya memang harus menjarakkan kehamilan. Nadiah pun akhirnya tetap memasang spiral. Namun bagaimana situasi dan keadaan Sofiah dan Nadiah dalam peneropongan hukum Islam?

Asalnya Terlarang
Pada dasarnya, baik lelaki mahupun perempuan terlarang untuk melihat aurat lawan jenisnya yang bukan mahram. “Katakanlah kepada lelaki yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman, ‘Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka …’” (an-Nur: 30 – 31) Sebahagian besar ulama pun menyatakan hal serupa. Secara lebih khusus, mereka malah mendetailkan sejauh mana batasan tubuh yang disebut aurat. Namun bila keadaannya darurat, apalagi dengan alasan pengubatan, hal tersebut dibenarkan. Ibnu Hajar dalam ‘Fathul Bari’ mengatakan bahawa dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dari Rabi binti Muawwadz disebutkan, “Kami berperang bersama Rasulullah, kami memberi minum kaum dan kami membantu mereka serta membawa mereka kembali yang terbunuh dan terluka ke Madinah.” Dalam lafaz lain, ‘Kami mengubati orang yang terluka.’ Dalam peristiwa ini terdapat qiyas pengubatan lelaki terhadap wanita yang diqiyaskan pada pengubatan wanita terhadap lelaki. Sedang hukum masalah yang dibahas adalah kebolehan berubat terhadap lawan jenis dalam keadaan darurat baik dengan memandang dan menyentuh dengan tangan atau lainnya, selama hal tersebut berhubungan dengan upaya pengubatan. Dalam al adab asy-Syar’iyyah, Ibnu Muflih menyatakan, “Jika ada seorang wanita sakit dan tidak dijumpai orang yang mengubatinya selain seorang lelaki, maka boleh bagi lelaki itu mengubatinya dan melihat apa yang memang diperlukan untuk diperiksanya, bahkan sampai bahagian kemaluan sekalipun.” Pendapat yang sama juga diutarakan al-Qadhi, serta Abdullah Ibnu Zubair dalam Fathul Qodir. Bahkan apabila sampai mengancam jiwa si pesakit perempuan tersebut, menurut guru besar UIN Syarif Hidayatllah, Prof. DR. Huzaemah Tahido Yanggo menjadi wajib hukumnya. Kerana prinsip dasar dalam Islam harus bersandar pada maqashidus syari’at, yang salah satunya adalah keharusan menjaga keturunannya. Seperti yang terjadi dalam permasalahan Sofiah dan Nadiah. Sebab itu, sepanjangan sifatnya demi pengubatan dan memang sudah tidak lagi ada doktor perempuan, berubat pada doktor lelaki dibenarkan. Namun upaya pengubatan ini hendaknya dilakukan secara ketat. Dengan kata lain, menggunakan jasa doktor lelaki bagi pesakit wanita dilakukan sepanjang tidak boleh ditemukan doktor wanita pula. Sebagaimana guru besar Al Azhar Kaherah, Syeikh Atiyah Shaqar, dalam Su’al wal jawab lil Mar’atil Muslimah yang dialihbahasakan Tanya Jawab masalah Wanita, menyatakan bahawa ia melarang doktor lelaki menangani penyakit wanita atau membantu kelahiran anak, kecuali bila memang sudah tidak boleh lagi dijumpai doktor wanita yang ahli dalam menangani penyakit ini.

Darurat, Bukan Memperlonggar
Kelapangan syariat yang dilatarbelakangi adanya keadaan darurat tentunya tidak menjadikan sikap penyederhanaan masalah atau berlebihan dalam menyikap keadaan ini. Sebab itulah para doktor harus bersikap hati-hati (ihtiyath) dengan melihat rambu-rambu yang sudah digariskan para ulama. Kerana itu, diutamakan memakai khidmat doktor wanita berbanding doktor lelaki. Terlebih bila harus melihat anggota badan yang termasuk aurat wanita. Kalaupun memang harus memakai khidmat doktor lelaki, hendaknya ia orang yang terpercaya, ditemani saksi atau mahram saat doktor mengubati pesakit wanitanya.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Disember 2009...

Monday, November 9, 2009

Variasari November 2009

















Yang ditunggu sudah tiba Variasari November sarat dengan cerita hangat lagi panas....! Dapatkan segera...

Antara yang menarik dalam VARIASARI NOVEMBER 2009








Hidayah November 2009










Pastikan anda memiliki Hidayah keluaran November 2009...padat dengan kisah-kisah iktibar...penuh dengan kisah-kisah teladan...sarat dengan pengetahuan...


Dapatkan segera di pasaran!

Solat Yang Terakhir

ISAM bin Yusuf adalah salah seorag ahli ibadah yang terkenal wara’ dan khusyuk dalam bersolat. Tetapi dia selalu merasa bahawa apa yang dilakukannya itu tidak mencukupi untuk membuatnya hidup tenang dan tenteram. Isam selalu dihantui perasaan gelisah dan ragu-ragu kalau-kalaulah ibadahnya itu tidak seperti yang ia harapkan. Dia pun selalu bertanya pada orang yang dianggapnya khusyuk dalam solat, dengan tujuan untuk memperbaiki solatnya yang selalu dirasakannya kurang sempurna. Suatu hari, dia hadir ke majlis seorang abid yang berama Hatim Al-Isam. Dalam kesempatan itu, ia bertanya: “Bagaimana caranya tuan bersolat?” Hatim menjawab dengan santun, “Apabila masuk waktunya solat, aku berwuduk dengan wuduk zahir dan batin.” “Bagamana caranya melakukan wuduk zahir dan batin itu?” tanya Isam lebih jauh. “Wuduk zahir itu sebagaimana biasa. Membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sedang wuduk batin itu membasuh anggota dengan tujuh perkara, yakni taubat, menyesali dosa yang dilakukan, tidak tergila-gilakan dunia, tidak mencari atau mengharapkan pujian dari orang ramai (riyak), meninggalkan sifat berbangga, meningalkan sifat khianat atau menipu dan yang terakhir meningalkan sifat dengki. “Kemudian aku pergi ke masjid, bersiap solat dan menghadap kiblat. Aku berdiri penuh kewaspadaan. Aku bayangkan Allah berada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku. Aku bayangkan bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Siratul Mustaqim’. Aku menganggap solatku kali itu adalah solat terakhir, kemudian aku niatkan dan bertakbir dengan baik,” terang Hatim. Isam terdiam, mendengarkan penuh perhatian. “Setiap bacaan dan doa dalam solatku itu aku fahami maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk. Aku bertasyahud dengan penuh penghrapan dan aku salam dengan ikhlas. Begitulah aku menunaikan solat 30 tahun,” lanjut Hatim. Dengan menjadikan setiap solat yang dikerjakan itu sebagai solat terakhir, tak mustahil kalau solat itu dapat membentuk kepasrahan seorang hamba secara sepenuhnya kepada Allah Taala. Dengan cara demikian, solat tidak hanya sekadar gerakan tubuh, tapi dialog langsung antara hamba dengan Allah hingga tak ada balasan yang direngkuh kecuali keampunan Allah dan ketenangan hati. (Lihat Al-Baqarah: 45 dan Al-Mukminun: 1,2 dan Al-Ma’arij: 19,23) Oleh kerana itu, sudahkan kita bersedia menjadikan setiap solat yang kita kerjakan itu sebagai solat terakhir?

Salam Kami November 2009

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Syawal dan Ramadan 1430 telah pun berlalu. Hari-hari biasa terus dijejak selagi hayat dikandung badan.
Gelombang semangat Ramadan yang memuncak telahpun menyurut. Syawal juga turut memohon diri. Masjid dan surau kembali seperti biasa. Yang memakmurkannya hanyalah jemaah yang itu-itulah juga. Sementara mereka yang terbawa dalam semangat Ramadan lalu kembali kepada kehidupan biasa. Sibuk dengan urusan hidup yang tidak habis-habis. Apakah kita perlu kecewa menghadapi saat-saat ini? Jangan begitu... Itukan sudah lumrahnya. Naik dan turunnya iman itu perkara biasa. Manusia tidak akan menegak lurus semangatnya. Ada masa memuncak, ada masanya menurun. Jika tidak, Ramadan tidaklah menjadi ‘bulan istimewa’. Mengapa di bulan itu gelombang manusia pada awal-awal Ramadan mampu menyesakkan masjid dan surau hingga jemaahnya melimpahi sampai ke tangga. Itulah janji Allah mengurniakan bulan mulia itu kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Andaikan kalau bulan itu dikurniakan sepanjang tahun, tidaklah ada apa-apa hikmahnya. Namun gelombang turun naik ‘semangat’ ini tidak semestinya terbatas kepada menjelang Ramadan dan datangnya Syawal. Ingatlah tidak lama lagi bakal menjelang bulan Zulhijjah. Waktu itu adalah kesempatan baik bagi datangnya gelombang berikutnya. Datangnya musim haji meniup semangat baru kepada muslim seluruh dunia. Masing-masing bersiap sedia untuk menyambutnya. Kemungkinan ada yang berpeluang menjadi ‘tetamu Allah’ menunaikan fardu haji atau berniat menunaikan sunat korban. Masjid dan surau sekali lagi akan dipenuhi oleh kedatangan jemaah yang bermusim ini. Mahunya mereka ini dialu-alukan, dan didoakan agar adalah yang terlekat menjadi jemaah tetap sepanjang tahun. Kelebihan dan tawaran dari Allah pada bulan Haji juga hebat. Abu Darda’ r.a. berkata: Rajin-rajinlah berpuasa sepuluh permulaan bulan Zulhijjah dan memperbanyakkan doa dan istighfar serta sedekah di dalamnya, sebab saya telah mendengar Nabimu Muhammad s.a.w. bersabda: ‘Celaka bagi orang yang yang tidak mendapat bahagian dari kebaikan dalam hari-hari sepuluh, jagalah terutama berpuasa pada hari kesembilan, sebab mengandungi kebaikan (keuntungan) yang lebih banyak dari apa yang dapat dihitung oleh ahli hitung.’ Baiklah pembaca budiman, kami juga mendapat banyak reaksi yang positif dengan perubahan baru yang dilakukan oleh Hidayah. Setiap pendapat dan teguran amat kami hargai. Sokongan berterusan kalian besar ertinya bagi kami dalam melaksanakan tugas menyiapkan Hidayah setiap keluaran. Akhirnya bersama-samalah kita mengucapkan “Alhamdulilah” sepanjang hidup kita kerana Said bin Zubair berkata: “Pertama orang yang masuk syurga ialah orang yang selalu mengucapkan ‘Alhamdulillah’ baik ketika dalam keadaan senang atau pada ketika susahnya.”
Wassalam!

Pengarang Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

Surat Pembaca

PERUBAHAN YANG MENGEJUTKAN
Saudara pengarang,
Saya terkejut juga dengan perubahan baru yang dilakukan oleh Hidayah dalam keluaran bulan Oktober lalu. Yang lebih menonjolnya ialah perubahan ‘cover’nya. Saya kira ianya satu perubahan yang menarik. Memang pun setelah sekian lama kekal degan imej lama, apabila melakukan perubahan dari segi ‘wajah’ dan perubahan ‘lay-out’ agak ketara perubahannya. Sebagai pembaca setia Hidayah selama ini, saya menyokong Hidayah untuk membuat pembaharuan bukan saja dari segi ‘lay-out’nya tetapi juga persembahan rencananya. Yang lama tetap baik, namun perubahan-perubahan perlu dilakukan bagi menarik pembaca baru. Sebagai majalah bercorak dakwah, Hidayah perlu kelihatan ‘ceria’ bagi memikat pembaca-pembaca baru terutama kalangan remaja termasuk pelajar-pelajar sekolah menengah.

Roslan Agus,
Kemaman, Terengganu.

• Hidayah sebenarnya sentiasa ‘ceria’ setiap kali menemui para pembacanya. Kami sedar, pembaca adalah golongan yang perlu diutamakan. Kepuasan pembaca adalah kepuasan kami. - Pengarang.

RASUAH TIDAK TERLEPAS HUKUMAN DI AKHIRAT
Saudara pengarang,
Kisah iktibar 1 yang disiarkan dalam keluaran bulan Oktober lalu cukup menginsafkan. Bagaimana kisah tersebut memaparkan seorang pegawai kerajaan menyalah gunakan kedudukannya untuk ‘makan rasuah’ dan mengutamakan kepentingan diri. Lelaki yang terlibat itu bukan tokoh besar negara. Dia hanya pegawai di daerah yang ditugaskannya saja. Tapi penguasaaannya di daerah tempatnya bertugas seolah-olah dia orang paling berkuasa dan ‘ditakuti’ oleh orang ramai. Memang terdapat banyak lagi perasuah dan penerima rasuah malah yanag lebih besar diterima berbanding lelaki yang diceritakan itu. Namun bukan semua perasuah mendapat hukuman sewajarnya. Ada yang terlepas dan tidak didakwa langsung. Ada yang didakwa, kemudiannya atas kesilapan-kesilapan teknikal akhirnya dibebaskan. Pihak yang menerima rasuah dan merasakan ‘kesedapan’ menikmatinya memang tidak gerun dengan apa yang dilakukannya. Sedangkan dalam hukum agama, sesiapa yang memberi makan kepada anak isteri dan kaum keluarganya dengan hasil rasuah seolah-olah menyumbat bara api neraka ke dalam perut ahli keluarganya. Jarang terdengar penerima-penerima rasuah yang mendapat balasan azab mengerikan di dunia. Entah matinya di panah petir atau sebagainya. Namun penerima-penerima rasuah ini hendaklah insaf, bahawa perbuatan khianat mereka itu tidak akan terlepas hukumannya di akhirat kelak. Baik mereka yang memberi rasuah dan penerima rasuah mereka tidak akan terlepas begitu saja di dunia dan di akhirat.
Kisah iktibar yang bertajuk “Azab ngeri menjelang hari raya” yang disiarkan itu memang patut menjadi iktibar buat kita semua. Saya berharap agar Hidayah teruskan kisah-kisah iktibar ini dalam keluaran-keluaran seterusnya. Terima kasih Hidayah.

Siti Balqis Muhammad,
Shah Alam, Selangor.

• Terima kasih Balqis yang memberi reaksi spontan sebelum menjelang raya dulu. Harap ramai lagi pembaca Hidayah dapat merasakan seperti apa yang dirasakan oleh Balqis dengan kisah-kisah iktibar yang Hidayah siarkan. – Pengarang.

MOHON KOLEKSIKAN KISAH-KISAH IKTIBAR
Saudara Pengarang,
Hidayah kini sedang memasuki usia sebelas tahunnya yang bersejarah. Saya turut berbangga dengan prestasi majalah ini yang dapat bertahan hingga kini dan mendapat sambutan baik para pembaca seluruh tanahair. Rasanya sampailah masanya pihak penerbit dapat memikirkan untuk menerbitkan koleksi Hidayah atau Koleksi Kisah-kisah iktibarnya yang memang diakui menarik. Bagi pembaca, biasanya menyimpan majalah setiap keluaran memang agak sukar, kecuali yang benar-benar berdisiplin. Jadi apabila Hidayah membuat koleksi kisah-kisah iktibar atau kisah-kisah pilihan lainnya ianya akan memberi peluang kepada pembaca menyimpannnya. Sementara pembaca yang ketinggalan juga dapat menikmati dan memanfaatkan kisah-kisah yaag dipaparkan. Harap saudara pengarang dan penerbit dapat memikirkan keluaran-keluaran koleksi Hidayah yang saya anggap sebagai ‘hadiah istimewa’ buat para pembaca Hidayah selama ini. Harap dipertimbangkan saranan saya ini.

Hajah Suliza Omar Dahlan,
Kulai, Johor.

• Perkara ini akan diperbincangkan dengan pihak penerbit kelak, InsyaAllah. – Pengarang.

Lumpuh Di Kubur Ibu

Sebuah doa terdengar lembut selepas solat subuh itu. Suara wanita berusia emas itu bergetar ikhlas, bergumul dengan tangis penuh harapan: “Ya Allah..., berilah keselamatan untuk anakku selama dia pergi merantau ini ya Allah. Berilah dia kejayaan...” Kain telekong yang dipakainya mulai basah dititis air mata yang tak terasa mengalir. Dia masih tersedu penuh syahdu. Hatinya masih berharap-harap cemas. Halimah, begitulah nama perempuan itu. Usianya 60 tahun lebih. Dia sebenarnya redho melepaskan anaknya ke kota besar itu, tapi dadanya masih terasa sesak. Perasaan takut kehilangan untuk kedua kalinya menyergap batinnya. Dia khuatir akan tenggelam dalam kesepian untuk kedua kalinya. Ya, selepas suaminya meninggal dunia 10 tahun lalu, ia memilih untuk tidak berkahwin lagi. Dan kini, Salim 25 tahun, satu-satunya anak tunggalnya harus pergi. Walaupun andai hanya sesaat, tapi tetap saja dia merasakan getirnya bersarang di dada. Air mata itu masih melembapi pipinya ketika Salim, akhirnya, bersimpuh di hadapannya. “Mak, jangan menangis. Salim berjanji akan pulang juga ke kampung. Salim juga tidak akan menetap tinggal di sana,” janji Salim saat hendak meminta diri pergi di pagi yang masih berembun itu. Si ibu pun berusaha meredakan tangisnya dan berkata: “Salim! Kau mahu berjanji tak akan melupakan, Mak!” “Iya ... Mak. Salim janji. Biarlah lumpuh sebelah kaki Salim kalau sampai melupakan Mak.” “Hiss! Kamu ini cakap yang bukan-bukan? Jangan cakap lepas! Nanti ditulis malaikat...” “Ya Salim pergi dulu, Mak. Nanti tak sempat bas ekpres tu. Doakan Salim, Mak,” tutur Salim seraya mencium tangan ibunya. Salim berangkat ke kota besar tidak dengan tangan kosong. Dia pergi berbekalkan dari kelulusannya sebagai arkitek. Itulah jasa ibunya yang bersusah payah membesarkannya selepas dia bergelar anak yatim. Kini Salim pergi ke kota besar untuk meraih impiannya. Dia berharap semoga kelak dapat membahagiakan ibunya. Dia ingin menebus semua pengorbanan si ibu dan Allahyarham ayahnya dengan sebuah kejayaan. Dia berharap kelak dapat membeli kembali tanah pusaka yang terpaksa dijual ibunya demi membiayai pengajiannya hingga ke Universiti.

Meraih mimpi
Kehidupan di bandar besar adalah kehidupan yang penuh cabaran dan persaingan. Setelah beberapa minggu di ibu kota ini, Salim belum juga mendapatkan pekerjaan. Dia harus bersaing dengan ramai pencari kerja yang berkelulusan sama malah ada yang lebih tinggi darinya. Apalagi, dia masih hijau dengan kota besar ini untuk bersaing mendapatkan sebuah pekerjaan yang setaraf dengan kelulusannya yang ada. Dia bukannya ada kenalan VIP atau sebarang tokoh politik yang boleh menolong. Jauh lagi untuk ‘merasuah’ bagi mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan. Namun demikian, dia tetap bersabar. Wang belanja yang dititip oleh ibunya masih mampu untuknya terus bernafas di kota besar ini buat beberapa ketika. Dalam tempoh mencari-cari pekerjaan itu pun, dia selalu menyempatkan solat di masjid bila azan berkumandang. Sementara amalannya berpuasa sunat Isnin dan Khamis diteruskannya; sebuah kebiasaan yang sering dilakukannya sejak dia bersekolah menengah. Ternyata Allah Maha Mendengar. Suatu tengah hari hampir menjelang zuhur, selepas melamar pekerjaan di sebuah syarikat dan kemudian bersolat zuhur di masjid di kawasan pejabat yang elit itu, dia tanpa disangka-sangka bertemu dengan Karim, seorang sahabat karibnya semasa bersekolah menengah dulu. Si kawan itu yang juga baru selesai solat itu tak menyangka bertemu Salim. Mereka akhirnya melepas rindu dan berbual-bual. Dari percakapan itulah terungkap bahawa Karim sudah merantau sejak habis sekolah menengah dan kini bekerja sebagai pemandu peribadi seorang bos. Semasa bosnya sedang bermesyuarat, Karim memang sering meluangkan masa berehat-rehat di masjid sambil menunggu zuhur. Salim pun bercerita ehwal keadaannya, terkait tujuan kedatangannya ke bandar besar ini. Sebagai sahabat, Karim tentunya terharu melihat sahabatnya yang nampak salih ini, yang parasnya juga agak tampan itu belum juga mendapatkan pekerjaan. Lalu, dia mencuba melihat-lihat ijazah Salim dan dia terkejut melihat pencapaian Salim dalam pengajiannya. Tiba-tiba, Karim bagaikan teringat sesuatu dan berkata: “Eh... Lim! Bagaimana kalau aku kenalkan dengan bosku? Nur Haliza namanya. Dia ibu tunggal tahu...Suaminya yang tuan punya syarikat ini meninggal dunia setahun lalu kerana kanser prostat. Ahli waris tunggalnya ialah isterinya itu. “Kebetulan bos aku tu tengah mencari-cari seorang arkitek yang betul-betul jujur, salih, idealis dan tidak oportunis. Dia perlu seorang pegawai yang memang benar-benar boleh diajak berbincang mengenai syarikat hartanahnya itu. Kalau kamu mahu, nanti aku beritahu tahu Bos aku tu?” terang Karim panjang lebar. Salim sendiri senang bukan kepalang mendengar akan ada peluang mendapat pekerjaan. Namun, dia ragu-ragu, apa betul Bos Karim itu mahu menerima dia yang belum berpengalaman itu.
“Jangan bimbanglah Lim! Nanti aku telefon kamu bila bos aku tu setuju ..?” tegas Karim menenangkan Salim yang nampak ragu dan tak percaya diri. “Baik, Karim, Terima kasih kerana nak menolong aku,” jawab Salim seraya mengangguk-angguk dan tersenyum simpul bahagia. Demikianlah, setelah bertukar alamat dan nombor handphone, keduanya lalu berpisah.

Asmara dua dunia
Tak disangka-sangka, bos Karim yang bernama Nur Haliza, 39, langsung setuju ketika Karim menceritakan mengenai Salim. Dia begitu percaya dengan keterangan pemandunya itu, yang dikenali taat, salih dan setia orangnya. “Cubalah Karim, suruhlah sahaja kawanmu itu datang. Biar saya yang buat temu duga,” tegas Nur Haliza kepada Karim. Keesokan harinya, Salim sudah sampai ke pejabat Karim. Dia langsung bertemu dengan Karim dan dibawa ke pejabat Nur Haliza. Pada saat pertama inilah, debaran cinta menebar di dada masing-masing. Saat pertama kali memasuki ruangan dan saling berjabat tangan, baik Salim dan Nur Haliza sedikit kekakuan. Nur Haliza nampak begitu terpesona melihat Salim yang tinggi dan tampan itu, namun nampak jujur dan tulus. Salim pula sendiri sempat terpukau ketika melihat Nur Haliza yang disebut-sebut Karim itu nampak terlihat cantik, anggun dan berwibawa. Dan ikatan rasa pun bergetar saat pandangan pertama itu. Namun, Nur Haliza langsung menguasai keadaan. Dia mempersilakan Salim duduk dan langsung bertanya berbagai hal kepada Salim. Rupanya, meski belum berpengalaman, Salim mampu menunjukkan kecerdasan dan ‘visi’ sebagai seorang arkitek perumahan. Hal itu, tentu saja, kian memikat Nur Haliza. Dia nampak potensi anak muda yang berbakat ini. Detik hatinya merasakannya begitu. Dia pun langsung menerimanya dan meminta bahagian perjawatan membuatkan surat kontrak kerja untuknya. Dan Salim pun mulai dapat mencecah impiannya. Hari berganti, bulan bertukar tahun. Tak terasa, sejak berugas di syarikat hartanah Nur Haliza itu, kehidupan Salim mulai berubah. Dia lama-kelamaan menjadi orang kepercayaan Nur Haliza. Sesuai dengan jawatannya dia sering berpergian dengan Nur Haliza, meninjau beberapa projek yang sedang dalam penyelenggaraan. Hubungan Nur Haliza dan Salim pun tiba-tiba semakin intim dan akrab. Bukan lagi hubungan antara majikan dan pekerja. Mereka sering pergi berdua; baik dalam pertemuan mengenai urusan perniagaan, mahupun urusan peribadi seperti ke majlis-majlis perkahwinan, makan malam dan sebagainya. Penampilan Salim sendiri yang dulunya agak kekampungan berubah sepenuhnya. Semua berkat tangan Nur Haliza. Fesyen pakaian Salim turut berubah. Gaya rambutnya turut bertukar. Begitu pula, dengan gaya hidupnya. Berubah drastik. Nur Haliza rupanya berjaya mendandani Salim menjadi jejaka moden yang membuat para wanita tergila-gila. Perubahan itu automatik mengubah taraf pergaulan Salim. Ia menjadi lelaki ‘high class’ yang boleh diajak menyenang-nyenangkan diri di café-café, disko dan kelab-kelab malam bertaraf lima bintang. Namun rupanya itulah permulaan mala petaka yang bakal menimpa Salim. Lambat laun, Salim mulai lupa daratan. Dia mulai melupakan kewajibannya sebagai seorang muslim. Ibadah solatnya mula ditinggalkan. Puasa sunat hari Isnin dan Khamis yang sering dikerjakannya dulu mulai beransur-ansur hilang dari disiplin hidupnya. Bibirnya pun tidak lagi basah dengan zikir dan Al-Quran tapi dengan bau minuman beralkohol; bir, wine, dan lain-lainnya, Na’udzubillahi min zalialik! Sebagai seorang kawan, Karim sendiri kerap mengingatkan Salim untuk tidak terlena dan hendaklah sentiasa mengingat Allah, namun sering tak dihiraukannya lagi. Kelakuan Salim pun kian menjadi tatkala ia dan Nur Haliza menikah secara rahsia. Ya, sebuah perkahwinan yang tidak diketahui ibunya yang tinggal jauh di kampung; yang tak pernah putus-putus menanti dan mendoakannya...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Siapakah Paling Baik Menurut Islam

DIKALANGAN kita ini, ada manusia yang baik, dan ada manusia yang jahat. Baik dan jahat ini ialah ukuran dari pandangan kita sahaja. Tetapi pada hakikatnya, baik dan buruk bagi seseorang itu adalah sukar untuk kita menentukannya. Kita sebagai manusia hanya dapat menilainya pada zahirnya sahaja. Hakikat sebenarnya watak seseorang itu dilihat dengan mata sendiri tentang jahatnya atau pun baiknya, tetapi, kita tidak tahu hati didalamnya. Allah s.w.t. sahaja Yang Maha Tahu hakikat baik atau pun jahat seseorang itu. Perkara ini pernah ditanyakan oleh para sahabat kepada Nabi s.a.w. mengenai orang yang baik dan buruk. Apabila Rasulullah s.a.w. menjawab semua pertanyaan yang dimajukan maka jawapan Nabi itu benar belaka, sebab Nabi s.a.w. seorang yang sentiasa bercakap benar, kerana Baginda Nabi dan rasul yang diutus oleh Allah s.w.t. untuk semua umat manusia. Rasulullah s.a.w. pernah bersoal jawab dengan orang-orang tertentu bertanyakan siapakah orang yang paling baik sekali bagi pandangan Baginda. Cuba kita ikuti dialog Rasulullah s.a.w. dengan para sahabat berhubung dengan masalah ini. Abu Bakrah meriwayatkan bahawa ada seseorang yang bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling baik?” Rasul menjawab: “Orang yang panjang umur dan baik amalnya.” Lelaki itu bertanya lagi: “Lantas, siapakah orang yang paling buruk?” Rasulullah menjawab: “Orang yang panjang umurnya dan buruk amalnya.” (HR. Ahmad dan At-Termizi yang disahihkan oleh Al-Hakim). Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling panjang umurnya dan paling baik amalnya.” (HR. Al-Hakim). Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling panjang umurnya dan paling baik amalnya.” (HR. Ahmad). Ubadah ibn Shamit meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bertutur: “Mahukah kalian aku beritahu mengenai orang yang paling baik di antara kalian?” “Tentu, ya Rasulullah,” jawab mereka. Lalu Baginda bersabda: “Iaitu orang yang paling panjang umurnya di antara kalian dalam Islam, jika mereka benar-benar lurus.” (HR. At-Thabarani). Awf ibn Malik berkata, “Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Setiap kali umur seorang Muslim itu panjang, pasti hal itu baik baginya.’” Abu Hurairah berkisah bahawa ada dua orang lelaki yang menyatakan masuk Islam di hadapan Rasulullah s.a.w. Lalu salah seorang dari keduanya mengucapkan kesaksian, sementara yang lainnya menundanya selama satu tahun. Thalhah ibn Ubaidillah mengatakan: “Saya bermimpi melihat syurga dan saya menyaksikan orang yang menunda kesaksian itu dimasukkan ke dalam syurga sebelum mengucapkan kesaksian. Saya pun hairan melihatnya, lalu esoknya saya mengemukakan hal itu kepada Nabi s.a.w.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bukankah setelah itu dia berpuasa di bulan Ramadan, lalu mengerjakan solat enam ribu rakaat, dan dengan demikian ia solat dalam satu tahun?” (HR. Ahmad dan Ibn Zanjawiyah). Thalhah berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Tidak ada seorang pun yang lebih baik kedudukannya di sisi Allah daripada seorang Mukmin yang dipanjangkan umurnya di dalam Islam dengan banyak menyucikanNya, mengagungkanNya, dan mentauhidkanNya.” (HR. Ahmad dan Al-Bazzar)...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Kisah Di Balik Perubahan Arah Kiblat

SETELAH sekitar tujuh belas bulan sejak kedatangan Rasulullah di kota Madinah di tengah-tengah orang Yahudi dan Nasrani, Nabi s.a.w. diminta Allah untuk menjadikan Kaabah sebagai kiblat. Pemindahan arah kiblat itu, terutama sekali untuk memberi pengertian bahawa dalam ibadah solat sebenarnya bukan arah Baitul Maqdis dan Kaabah itu yang menjadi tujuan, tapi menghadapkan diri kepada Allah. Untuk mempersatukan umat Islam dari hati orang-orang yang perlu diuji itulah Allah s.w.t. menjadikan Kaabah sebagai kiblat. Masjidil Aqsa boleh disebut kiblat pertama bagi umat Islam. Tapi ada secuil ketidaktaatan orang Yahudi yang harus diuji, dan kerana itulah datang perintah dari Allah yang meminta Nabi s.a.w. untuk berkiblat ke Masjidil Haram. Semulanya, umat Islam menghadapkan diri ke arah Masjidil Aqsa. Hal itu terjadi pada awal ketika Rasulullah dan umat Islam berada di Madinah. Peristiwa itu jika dianalisa mungkin agak aneh, kerana menurut catatan sejarah, Masjidil Haram di kota Makkah itu lebih tua umurnya dari Masjidil Aqsa. Tentu, di balik ketetapan yang telah diputuskan Allah itu bukan sembarang ketetapan kerana dengan tiba-tiba dan tanpa diduga, Allah meminta kepada Nabi s.a.w. untuk berkiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram. Sebenarnya, ada apa di balik kisah perubahan arah kiblat itu?

Turun Wahyu
Siang itu, panas seperti memanggang bumi. Pasir berhamburan diterpa angin yang berhembus kencang. Tetapi, di dalam Masjid Qiblatain, suasana panas siang itu seperti tidak terasa. Rasulullah tengah khusyuk dalam solatnya, mengimami solat zuhur (pada riwayat yang lain disebutkan solat asar) bersama para sahabat di Masjid Qiblatain.
Dua rakaat sudah berlangsung. Nabi s.a.w. dan jemaah dibuai rasa kekhusyukan. Tapi di luar dugaan, tiba-tiba turun wahyu dari Allah (Al-Baqarah: 144) yang memerintahkan kepada Nabi s.a.w. untuk mengubah arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Palestin (Utara) ke Kaabah di Masjdil Haram di Makkah (Selatan). Wahyu Allah itu berbunyi: “Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Al Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya: dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.” (Al-Baqarah: 144) Sewaktu wahyu Allah itu turun, solat yang didirikan Nabi s.a.w. telah berlangsung dua rakaat. Tapi, begitu mendengar wahyu Allah itu turun, Nabi s.a.w. dan para sahabat dengan serta merta berbalik arah seratus lapan puluh darjah dari arah Masjidil Aqsa ke arah Masjidil Haram. Mulanya, solat Nabi s.a.w. dan para sahabat itu menghadap Utara, kemudian berbalik ke arah Selatan. Meski solat yang didirikan Nabi s.a.w. dan para makmum itu sudah berlangsung dua rakaat, tetapi Nabi s.a.w. itu tidak membatalkan solat. Nabi s.a.w. juga tidak mengulang solat tersebut dari awal, melainkan terus melanjutkan solat untuk rakaat ketiga. Wahyu Allah itu turun seperti menjawab harapan Rasulullah yang memang sudah lama mengharapkan perpindahan kiblat dari arah Masjidil Aqsa ke arah Masjidil Haram.

Menuai Protes
Rupanya, perubahan arah kiblat dari Masjidil Haram yang telah ditetapkan Allah setelah tujuh belas bulan (pada bulan Rejab sejak kedatangan Nabi s.a.w. di Madinah) itu mengundang protes kalangan kaum Yahudi. Beberapa hari setelah perubahan itu, sekelompok Yahudi mendatangi Nabi s.a.w. Di hadapan Nabi s.a.w., sekelompok Yahudi itu – yang dapat dikata sebagai orang-orang dungu kerana tak memahami perubahan kiblat – bertanya dengan nada protes. “Hai Muhammad, apa yang membuat kau mengubah kiblat yang lama (yakni Masjidil Aqsa yang terdapat di Palestin), padahal engkau juga mengatakan menganut kepercayaan dan agama Nabi Ibrahim? Kembalilah ke kiblat semula, tentunya kami akan memercayai dan mengikuti tuan!” Protes orang-orang Yahudi itu tidak membuat Nabi s.a.w. terkejut. Terkait dengan ungkapan yang dikatakan orang-orang Yahudi bahawa Rasulullah menganut kepercayaan dan agama Nabi Ibrahim itu, pada suatu hari Rasulullah pernah mendatangi sebuah rumah, di mana dalam rumah tersebut ada sejumlah orang Yahudi yang sedang membincangkan kitab suci mereka, yakni Taurat. Kemudian Nabi s.a.w. mengajak mereka semua untuk kembali kepada kebenaran Allah, agama Islam. Tetapi, salah seseorang di antara mereka kemudian bertanya, “Hai Muhammad, sebenarnya tuan memeluk agama apa?” “Agama Nabi Ibrahim,” jawab Rasulullah. Orang Yahudi itu kemudian menegaskan, “Bukankah Nabi Ibrahim itu sebenarnya Yahudi?” Nabi s.a.w. seketika mengajak mereka untuk mencari pembuktian akan kebenaran hal tersebut di dalam Taurat. Tapi, mereka menolak dengan bongkak dan sombongnya. Mengenai kejadian tersebut, al-Quran dengan jelas mengungkapkan, “Hai Ahli Kitab, mengapa kamu bantah ehwal Ibrahim padahal Taurat dan Injil tak diturunkan melainkan sesudah Ibrahim. Apakah kamu tidak berfikir? Beginilah kamu! Kamu ini (sewajarnya) bantah-membantah tentang hal yang kamu ketahui, maka kenapa kamu bantah-membantah tentang hal yang tak kamu ketahui? Allah mengetahui sedang kamu tak mengetahui. Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang muasyrik. Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad), beserta orang-orang yang beriman (kepada Muhammad), dan Allah adalah Pelindung semua orang-orang yang beriman. (Ali Imran: 65 -68). Tapi kaum Yahudi memang suka membantah. Tak terkecuali dengan protes yang diajukan mereka kepada Rasulullah terkait perubahan arah Kiblat. Permintaan kaum Yahudi untuk kembali ke kiblat semula (yakni: Masjidil Aqsa) itu sebenarnya tak ada tujuan lain kecuali untuk mengelabui Nabi s.a.w. Niat jahat kaum Yahudi itu diketahui Rasulullah lantaran Allah menurunkan wahyu sehingga Nabi s.a.w. boleh menjawab dengan mudah, “Timur dan Barat adalah milik Allah. Allah memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.” (Al-Baqarah: 142). Bujuk rayu kaum Yahudi itu juga diungkapkan Allah dengan secara jelas dalam ayat selanjutnya, “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang), melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.” (Al-Baqarah: 143).

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...

Tempat Pembunuhan Habil

Damaskus disebut juga Damsyik, merupakan kombinasi kalimat Dam Syaqiq, yang ertinya darah saudara kandung. Dipercayai di daerah inilah pertama kalinya terjadi pertumpahan darah generasi pertama anak-anak Nabi Adam a.s. Qabil dan HABIL. Di pinggir Damsyik ada sebuah perkampungan yang bernama Barzeh, sebuah perkampungan di kaki bukit Hosiyun. Di sinilah terletak gua yang dipercayai penduduk setempat sebagai tempat lahirnya Nabi Ibrahim a.s. Selain di tempat ini, tempat kelahiran Nabi Ibrahim juga ditemukan di Sanli Urfa, Turki dan di Abu Ghairab Iraq, serta banyak tempat-tempat lain yang dikaitkan dengan kelahiran Nabi Ibrahim. Pada zaman dahulu, gua menjadi tempat perlindungan manusia. Penghuni Ashabul Khafi yang melarikan diri dari raja yang zalim contohnya, ditidurkan Allah di dalam gua dalam masa yang amat panjang. Rasulullah Muhammad s.a.w. menjadikan Hira tempat bermunajat kepada Allah sebelum dilantik menjadi Nabi. Gua Tsur menjadi pilihan baginda berlindung bersama sahabatnya Abu Bakar as-Shiddiq dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Nabi Ibrahim a.s. adalah rasul terpilih, imannya cukup teruji. Baginda dibakar oleh Namrud dan diperintahkan Allah menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. Kerana itu, tidaklah hairan baginda termasuk kelompok rasul ulul azmi kerana ketakwaan dan kesabarannya yang tinggi. Ayah Nabi Ibrahim bernama Azar. Ia tidak beriman dengan seruan tauhid, yang dibawa oleh anaknya, sama seperti Namrud. Walaupun bapanya sendiri tidak beriman, tetapi lahir dari keturunan Ibrahim a.s. nabi-nabi dan para rasul. Kerana itu, nabi Ibrahim diberi gelar Bapa Para Nabi. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri merupakan keturunan beliau dari salasilah Nabi Ismail a.s. anak hasil perkahwinan Nabi Ibrahim a.s. dengan Siti Hajar. Di kawasan perkuburan As-Solihiyah di kaki jabal Khosium, Damaskus ditemukan makam seorang nabi yang namanya termasuk dalam rangkaian dua puluh lima nabi yang wajib diimani, iaitu makam Nabi Zulkifli a.s. Ada pendapat yang mengatakan Nabi Zulkifli a.s. adalah anak Nabi Ayyub a.s. dan dilahirkan 1500 tahun SM. Di Syam. Menurut sumber sejarah, nama asli Zulkifli adalah Waidaya bin Adrim. Beliau dipercayai sebagai nabi yang diutus ke Syam dan kawasan sekitarnya. Baginda dikatakan merantau ke Iraq dan menetap di daerah Kefl, 130 km dari Baghdad. Penduduk Kefl menyatakan, baginda datang ke Iraq sebagai tawanan raja, Nebukadnezar. Walaupun makam Nabi Zulkifli tidak dapat dipastikan, namun Al-Quran telah menyebutkan namanya. Nabi Zulkifli terkenal dengan ketabahan dan kesabarannya dalam berdakwah. Baginda adalah hamba dan pesuruh Allah yang bertakwa, melaksanakan tanggungjawab memimpin umat sezamannya keluar dari kegelapan syirik, menikmati sinar iman dengan penuh kesabaran. Allah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 85-86: “Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Zulkifli. Semua mereka termasuk orang-orang yang sabar. Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang salih.” Sebagai kota tertua yang pernah didiami manusia, tidaklah hairan Damaskus (Damsyik) dikaitkan dengan kisah generasi terawal Nabi Adam iaitu Qabil dan Habil.
Di kota ini, kita boleh menemukan banyak masjid bersejarah. Salah satunya Masjid Jabal Qasim. Tidak diketahui bila masjid ini dibangunkan. Masjid ini pernah disebut di dalam karya Ibnu Jubair dan Ibnu As-Sakir. Ukiran pada dinding masjid menunjukkan ia beberapa kali diperbaiki sepanjang kurun ke-17 hingga 19 masihi. Catatan di sini juga menunjukkan ia telah muncul sejak pemerintahan Saljuk dan terakhir kali ia diperbaiki pada 1384 H. Tempat ini dinamakan Maqam Al-Arba’in atau Maqarat ad-Dam. Diceritakan, beberapa orang nabi pernah mengunjunginya, dan beribadah di sini, seperti Nabi Khidir, Ilyas dan Ibrahim. Kerana itulah, dua mihrab di sini dikenal dengan Mihrab Nabi Khidir, Ilyas dan Ibrahim. Mihrab Nabi Khidir dan Ilyas lebih besar terletak di sebelah kiri, sedangkan mihrab Nabi Ibrahim lebih kecil terletak bersebelahan. Kepercayaan yang mengatakan di gua inilah terjadi pembunuhan pertama kalinya yang terjadi di bumi, menarik pengunjung datang ke sini sejak zaman dahulu. Diceritakan, khalifah pertama Bani Umayah, Muawiyah bin Abi Sufyan pernah solat di sini. Umar bin Abdul Aziz juga dikatakan pernah berkunjung dan solat di gua ini. Kepercayaan turun temurun mengatakan di sinilah terjadinya peristiwa berdarah itu. Walau bagaimana pun, dua kubur yang terdapat di masjid ini sering dianggap sebagai makam Qabil dan Habil. Sebenarnya ia hanyalah makam penjaga kubur yang telah dikebumikan di sini. Walau bagaimana pun, Al-Quran telah menceritakan kisah pembunuhan Habil dan Qabil ini, walaupun al-Quran tidak menyatakan tempat dan waktunya secara terperinci. Kisah di dalam al-Quran itu diceritakan kepada manusia supaya mereka sedar dan mengambil pelajaran bagaimana lemahnya manusia tanpa hidayah dan betapa besarnya peranan Iblis dalam menyesatkan anak-anak Adam. Tragedi pembunuhan Habil memberikan peringatan pada generasi setelahnya sebagai bukti hawa nafsu yang dipengaruhi iblis pasti mengakibatkan penyesalan yang tidak berkesudahan. Nabi Adam mewariskan kepada anak cucunya tanggung jawab sebagai khalifah Allah. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 30: “Ingatlah ketika Tuhanmu befirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi’. Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui’.” Setelah ditiupkan roh, Allah memerintahkan para malaikat bersujud di hadapan nabi Adam sebagai penghormatan kepada baginda. Iblis menolak perintah Allah itu. Dia menyangka dia lebih mulia daripada Adam. Adam diciptakan dari tanah sementara iblis dari api. Keangkuhan iblis mengakibatkan kemurkaan Allah. Akibatnya, iblis diusir dari syurga. Iblis bersumpah akan menyesatkan Adam dan keturunannya. Iblis berhasil menunaikan dendamnya ketika Adam dan Hawa tergoda memakan buah khuldi di syurga. Akibatnya, pasangan manusia pertama itu diturunkan ke dunia. Di bumi, pasangan Adam dan Hawa dianugerahkan anak kembar lelaki dan perempuan iaitu Qabil dan Iqlimah. Kehamilan kedua juga melahirkan anak kembar lelaki dan perempuan iaitu Habil dan Labudah.
Setelah masa berlalu sekian lama...

Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...