Sunday, December 6, 2009

Pada Suatu Zaman Nanti Manusia Lebih Suka Mati

Ada sebuah hadis Nabi s.a.w. yang menceritakan dimana pada suatu zaman nanti, orang-orang lebih suka dia dimatikan dengan kerana keadaan yang wujud ketika itu. Rasulullah juga disebutkan ada bersabda tentang bersegeralah kepada kematian kerana ada enam sebab. Diantaranya sebab-sebab itu ialah “kekuasaan dipegang oleh orang-orang bodoh”. Quran dijadikan sebagai nyanyian oleh sekolompok manusia iaitu mereka menampilkan seseorang untuk “menyanyikan” al-Quran bagi mereka. Apa yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. itu sekarang sudah pun terjadi. Ada masyarakat yang pemegang kuasanya dari kalangan orang bodoh. Maksudnya, pemegang kuasa agama diambil atau dilantik dari kalangan orang-orang yang bukan ahlinya. Apakah hal ini ada berlaku dikalangan kita sekarang? Sama-samalah kita fikirkan. Kemudian disebutkan juga tentang al-Quran dilagu-lagukan, bukan untuk difahami dan kemudin diamalkan. Apakah hal ini juga sudah terjadi? Kita boleh jawab sendiri. Dalam sebuah kitab agama ada menghuraikan tentang bab ini dimana penulisnya seorang ulama telah mengutip hadis-hadis Nabi yang sahih berhubung dengan masalah kematian. Kita ikutilah nukilan beliau mengenai hadis-hadis Nabi s.a.w. yang kita siarkan untuk renungan pembaca semua. Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah Hari Kiamat itu terjadi hingga ada seseorang yang lalu kuburan saudaranya lalu mengucapkan: sebaik-baiknya aku yang menempati tempatnya ini.” (HR. Imam Malik).
Tsauban berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar dapat mengerjakan berbagai kebaikan, meninggalkan kemungkaran, dan mencintai orang-orang miskin. Seandainya Engkau menghendaki fitnah bagi manusia, kembalikanlah aku kepadaMu tanpa terkena fitnah.” (HR. Imam Malik dan Al-Bazzar) Umar r.a. berdoa: “Ya Allah, kekuatanku telah lemah, usiaku pun semakin tua, sementara rakyatku telah menyebar. Oleh kerana itu, kembalikanlah aku kepadaMu tanpa disia-siakan dan dihinakan.”
Ulaym al-Kindi bertutur: “Saya pernah bersama Ubai Abbas al-Ghifari berada di tempat yang tinggi, lalu dia melihat suatu kaum berlarian menghindari penyakit taun. Ia lantas berkata: “Wahai Penyakit taun, jemputlah aku bersamamu.” Hal itu dikatakannya sebanyak tiga kali. Kemudian, Ulaym bertanya kepadanya: “Mengapa anda berkata seperti itu? Bukankah Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ‘Tidak sepatutnya salah seorang di antara kalian mengharapkan kematian, kerana pada saat itu (kematian), terputuslah semua amalannya. Akan tetapi, jangan pula kalian lari atau menolaknya, apalagi sampai mencelanya?” Lebih lanjut, Ulaym menceritakan bahawa Abu Abbas berkata: “Tidakkah anda mendengar Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: ‘Bersegeralah kalian pada kematian kerana enam perkara: kerana kekuasaan dipegang orang-orang bodoh; kerana banyaknya sekatan; kerana diperjualbelikannya hukum; kerana diremehkannya darah [pembunuhan]; kerana diputuskannya silaturahim; serta kerana dijadikannya Al-Quran sebagai seruling oleh sekolompok manusia, iaitu mereka menampilkan seseorang untuk menyanyikan Al-Quran bagi mereka, padahal ia adalah seorang yang paling sedikit pemahamannya terhadap Al-Quran. (HR. Ibn Abd al-Birr dalam At-Tambid; Al-Marwazi dalam al-Jand’iz; Imam Ahmad dalam Musnadnya; dan Imam Ath-Thabrani dalam Al-Kabir). Al-Hasan meriwayatkan bahawa Al-Hakim ibn Amr berkata: “Wahai Penyakit taun, jemputlah aku bersamamu.” Kemudian ditanyakan kepadanya: “Mengapa anda berkata demikian, padahal anda telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Tidak sepatutnya salah seorang di antara kalian mengharapkan kematian?’” “Saya pernah mendengar apa yang telah anda dengar itu, tetapi saya ingin segera mati kerana enam hal; diperjualbelikannya hukum; banyaknya sekatan; pemerintahan yang dipegang anak-anak; ditumpahkannya darah; diputuskannya silaturahim; serta adanya golongan yang pada akhir zaman mendorong para pembaca Al-Quran untuk menjadikan Al-Quran sebagai seruling.” (HR. Al-Hakim).
Habib ibn Abi Fadhalah bertutur bahawa Abu Hurairah pernah menyebut-nyebut kematian seakan-akan ia mengharapkannya. Sebahagian sahabat lantas bertanya: “Mengapa anda mengharapkan kematian, padahal Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ‘Tidak diperbolehkan seorang pun mengharapkan kematian, baik ia orang baik mahupun orang jahat. Jika ia orang baik, ia mungkin akan bertambah kebaikannya; jika ia orang jahat, ia mungkin akan meninggalkannya?” Abu Hurairah menjawab: “Bagaimana saya tidak mengharapkan kematian, sementara saya takut melihat enam perkara: diremehkannya dosa, diperjualbelikannya hukum, diputuskannya silaturahim, banyaknya petugas keamanan, dan adanya golongan yang menjadikan Al-Quran sebagai seruling?” (Ibn Sa’ad dalam Ath-Thabaqat). Amr ibn Anbasah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak sepatutnya salah seorang di antara kalian mengharapkan kematian, kecuali jika dia benar-benar yakin akan amalnya. Jika kalian mengetahui enam perkara dalam Islam, bolehlah kalian berharap akan kematian. Keenam perkara itu adalah: pertumpahan darah, pemerintahan yang dipegang anak-anak, banyaknya petugas keamanan, pemerintahan yang dipegang orang-orang bodoh, dperjualbelikannya hukum, dan golongan yang menjadi Al-Quran sebagai seruling.” (HR. Ath-Thabarani). Ibnu Mas’ud r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dajjal tidak keluar hingga tidak ada sesuatu yang lebih dicintai oleh seorang Mukmin selain kematian.” (HR. Abu Nu’aym). Sufyan berkata: “Akan datang kepada manusia suatu zaman, yang di dalamnya kematian lebih disukai oleh para pembaca Al-Quran yang hidup pada zaman itu daripada emas merah.” (HR. Ibn Abi ad-Dunya).
Abu Hurairah bertutur bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kematian itu hampir saja lebih disukai oleh seorang mukmin berbanding air sejuk yang dilumuri madu kemudian diminumnya.”


Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Disember 2009...

No comments: