SIARKAN AKTIVITI DAKWAH MASJID DAN SURAU
Saudara pengarang,
Apa yang saya dapati baik di surau atau di masjid, yang datang solat berjemaah kebanyakannya mereka ialah dari golongan veteran. Ada yang usianya 50-an, 60-an ke atas. Ada ustaz penceramah bebas mensifatan golongan ini datangnya dari saluran 1 dan 2 (beliau merujuk kepada peringkat usia pengundi waktu pilihanraya)
“Mana perginya mereka dari saluran 3,4, dan 5? Kelab malam, merempit, gerai-gerai tea tarik atau disimpang-simpang jalan...” telahannya dengan nada berjenaka. Beliau menyarankan supaya golongan ini didekati dan dimesrai. Jangan biarkan mereka melepak dengan sekeping gitar di tepi-tepi jalan, atau berkerumun menonton siaran langsung perlawanan boleh sepak kelab-kelab luar negeri di kedai-kedai yang menyediakan layar peraknya. Ajak mereka datang ke masjid dan ke surau. Buatlah program ‘Jom Ke Surau’, buat program ‘bulan dakwah bersama belia’ di kariah surau atau masjid masing-masing. Undanglah tokoh-tokoh pendakwah motivasi yang boleh memikat hati anak-anak muda ini. Jangan nanti tunggu usia mereka pencen baru nak pelawa solat berjemaah. Takut tak sempat ke surau, kubur sudah memanggil. Beliau memuji pengelolaan JAIS terhadap aktiviti pengajian agama khususnya siri ‘kuliah maghrib’ di sebilangan masjid dan surau di Selangor yang dipertingkatkan terutama memakmurkannya sejak Ramadan lalu. Ustaz itu menyarankan, usaha seperti ini perlu dicontohi oleh jabatan-jabatan agama di negeri-negeri lain agar aktivit dakwah dapat terus disemarakkan.
Saya juga berharap, agar Hidayah cubalah buat liputan aktiviti masjid dan surau-surau berkenaan agar menjadi contoh kepada yang lain.
Wassalam.
Haji Shukor Jamari,
Sabak Bernam, Selangor.
• Cadangan anda itu menarik. Hidayah juga sedang menimbangkan untuk mengalu-ngalukan pihak Jawatankuasa masjid atau surau untuk bekerjasama mengirimkan aktiviti dakwah mereka untuk disiarkan dalam majalah kesayangan ramai ini, InsyaAllah. – Pengarang.
MEMANG WAJAR DICONTOHI
Saudara Pengarang,
Memang sukar juga nak percaya ada mayat utuh walaupun telah bertahun-tahun dikebumikan. Kalau tidak disertakan dengan bukti yang lengkap, sekadar dengar-dengar cakap memang tak dapat dipercayai. Namun kisah mayat utuh, berjanggut dan berkuku panjang seperti disiarkan dalam Hidayah keluaran November 2009 lalu menginsafkan saya bahawa jika itu yang dikehendaki oleh Allah, maka itulah yang terjadi. Allahyarham Daminah lelaki yang dimaksudkan itu bukan utuh pada mayatnya saja, malah kain kafannya juga tidak koyak dan reput, subhanallah... Kemuliaan yang ditunjukkan oleh Allah terhadap Daminah di dunia ini memang wajar dengan tingkah laku dan pekerti mulianya. Sifat baiknya itu memang wajar dicontohi semampu mungkin.
Mungkin anda juga boleh berbuat demikian.
Saufi Man,
Setapak, Kuala Lumpur.
• Niat yang baik itu saja pun telah dianugerahi pahala, apatah lagi apabila anda melakukannya. – Pengarang.
PETIKKAN HADIS DALAM ‘MUTIARA’
Saudara Pengarang,
Suka saya makumkan bahawa antara ruangan yang saya suka baca terlebih dulu apabila membeli ‘Hidayah’ ialah dengan menyelak dan menatap ruangan ‘Mutiara’ yang menghiasi hampir setiap penghujung rencana. Kebanyakannya ialah hadis-hadis yang pernah kita dengar dan terdapatnya juga hadis-hadis Qudsi yang jarang kita dengar atau petikkan-petikkan dari sumber-sumber tertentunya yang menjadi pilihan tuan pengarang. Bagaimana pun apa yang saya musykilkan ialah terdapat hadis-hadis atau catatan tertentu yang tidak dapat saya kesan dari mana sumbernya untuk saya membuat rujukan. Saya berharap anda wajar menyiarkan sumber petikkan dari kitab-kitab tertentu mana-mana hadis yang agak jarang didengar. Sementara hadis-hadis biasa tak perlulah berbuat demikian bagi menjimatkan ruang.
Sekian dimaklumkan, wassalam!
Rosdi Hamzah,
Kg.Luat, Lenggong, Perak.
• Betullah kata anda itu. Saya juga turut mendapat teguran melalui email yang menanyakan masalah yang sama. Teguran anda itu saya akan ambil perhatian, InsyaAllah. – Pengarang.
Sunday, December 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment