Thursday, January 7, 2010

Variasari Keluaran Januari 2010

SEMAKIN PANAS...Segeralah mendapatkan majalah Variasari edisi Januari 2010 sebelum terlambat. Kami sajikan anda bahan bacaan 100% misteri. Dijamin degup jantung anda bertambah kencang sewaktu membaca kisah-kisah yang dipaparkan.

Amaran keras: Anda dinasihatkan membaca Variasari berseorangan dan pada waktu malam sahaja.

Dapatkan segera...harga murah cuma RM3.00


Antara Yang Menarik Dalam Variasari Januari 2010








Hidayah Januari 2010


Pastikan anda memiliki Hidayah keluaran Januari 2010.

Kami sajikan bahan-bahan yang lebih menarik buat santapan minda pembaca. Isi kandungannya lebih mantap sesuai untuk bacaan semua golongan...Dapatkan segera di kedai-kedai buku
berhampiran!
Senaskhah cuma RM3.90 sahaja

Nabi s.a.w. Lihat Dan Dengar Para Sahabat Dalam Syurga

Alangkah hebatnya apabila nama sebilangan para sahabat disebut-sebut oleh Rasulullah s.a.w. dilihat dan didengarnya berada di dalam syurga. Antara hadis yang popular apabila Rasulullah sendiri ketika peristiwa israk mikrajnya baginda mendengar langkah tapak kaki Bilal di dalam syurga. Namun ada yang lebih hebat apabila baginda s.a.w. menyaksikan sendiri dua orang sahabat iaitu Ja’far dan Hamzah berada di atas katil di syurga. Ikutilah hadis-hadis berikut ini... Rasulullah s.a.w. bersabda: “Pada malam hari aku masuk syurga dan aku memandangi semua yang ada di sana, tiba-tiba aku melihat Ja’far berada di sana bersama malaikat dan Hamzah yang istirahat di atas katil.” (HR. At-Thabarani dan hakim dari Ibnu Abbas r.a.) Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku masuk syurga, ketika aku berada di istana yang terbuat dari emas, aku bertanya, ‘Untuk siapa istana?’ Para malaikat berkata, ‘Untuk pemuda Quraisy.’ Aku menyangka bahawa pemuda yang dimaksud adalah aku, kemudian aku bertanya, ‘Siapakah dia?’ Malaikat berkata, ‘Dia adalah Umar bin Al-Khathab.’ Jika aku tidak boleh menahan keinginanku, tentu aku akan memasukinya.” (HR. Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Jabir) Baginda s.a.w. juga bersabda: “Aku masuk syurga dan bertemu dengan seorang wanita yang masih muda, aku bertanya, ‘Untuk siapakah kamu?’ Ia menjawab, ‘Untuk Zaid bin Haritsah.” (HR.Ar-Rauyani dan Adh-Dhiyaa’ dari Buraidah) Baginda s.a.w. juga bersabda: “Aku masuk syurga dan melihat Zaid bin Amr bin Nufail memperoleh dua darjat.” Baginda juga bersabda: “Aku masuk syurga dan mendengar suara orang yang sedang berjalan, kemudian aku bertanya, ‘Suara apakah ini?’ Dikatakan, ‘Ini adalah suara Al-Ghamisha binti Milhan.” Baginda juga bersabda: “Aku masuk syurga dan mendengar suara orang yang sedang berjalan kemudian aku bertanya, “Suara apakah ini?’ Dikatakan, ‘Ini adalah suara (tapak kaki) Bilal yang berjalan di depanmu.”
Baginda s.a.w. juga bersabda: “Aku masuk syurga dan mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran, kemudian aku bertanya, ‘Suara siapakah ini?’ Malaikat menjawab, ‘Ini adalah suara Haritsah bin an-Nu’man.’ Kemudian aku berkata, ‘Demikianlah kebaikan, demikianlah kebaikan.” (HR. An-Nasa’i dan Hakim dari Aisyah r.a.)

Surat Pembaca

BUATLAH RUANGAN SASTERA
Saudara pengarang,
Nampaknya Hidayah masuk tahun kesebelas ini makin matang dan stabil. Bukan saja dari segi persembahan lay-outnya, malah bahan-bahannya juga memang berkualiti dan tersendiri. Saya mensarankan apalah kiranya tuan sudi meluangkan beberapa halaman untuk diisi dengan penulisan sasteranya seperti cerpen dan puisi. Tentunya pilihan yang terbaik ialah yang bernafaskan keislaman. Dengan membuka ruangan tersebut, tentunya akan memberi kesempatan kepada para penulis bakat baru untuk mengirimkan karya mereka bagi dinikmati oleh para pembaca. Atau apa kata kalau Hidayah anjurkan semacam peraduan penulisan rencana dengan mengemukakan berbagai tema. Hadiahnya tentu boleh dirundingkan dengan pihak penaja. Sambutan mungkin hebat, terutama kepada para penulis remaja. Tentunya rencana yang terpilih boleh diantolojikan dan diterbitkan oleh Hidayah.
Apakah tuan setuju dengan cadangan ini?
Wassalam!

Azizah Airifin,
Taiping,
Perak.

• Setuju tu memang setuju...tapi untuk mengelolakannya perlu diuruskan oleh urusetia yang berpengalaman. Mungkin jika ada penajanya, Hidayah amat mengalu-alukannya. Tak cukup tangan, Taman Permata ini ditadahkan...Pengarang

DOAKANLAH DIA...
Saudara pengarang,
Saya tertarik untuk memberi komen dengan sebuah siri drama tempatan TV yang dikatakan ditonton oleh jutaan penonton pada setiap kali siarannya. Dikatakan antara faktor drama tersebut diminati ialah penampilan pelakon wanita watak utamanya (juga pelakon pembantunya) yang bertudung dan menampilkan imej wanita salihah.
Saya sebenarnya tak ambil kisah dengan penerbitan drama TV tempatan selama ini. Apa tidaknya, setiap yang dipaparkan temanya balik-balik kisah masalah keluarga, bergaduh, berebut harta, ahli-ahli perniagaan yang hebat-hebat (pelakon lelakinya mesti pakai tali leher), kenderaan pun mewah dan hebat-hebat seolah-olah kaum Melayu tu semuanya hebat-hebat belaka dalam dunia perniagaan korporat. Penggambarannnya juga, untuk memenuhi waktu tayangan, maka dilama-lamakan menonjol babak makan la, berbual dalam telefon la... buka dan tutup pintu keretapun lama-lama la... dan sebagainya. Namun nampaknya agak berlainan juga dengan siri drama yang berjuta penonton itu. Lokasi penggambaran menarik, babak-babak berjalan lancar, tak ada minum teh lama-lama... Namun yang musykilnya, pelakon wanita utama drama itu hanya bertudung dalam drama tersebut saja. Di luar drama, habis buka semua. Siap tunjuk ketiak lagi. Apa pendapat tuan pengarang dengan wanita seperti ini. Munafikkah dia, atau tak dapat hidayahkan dia? Tolong beri komen sikit.

Muhammad Syahid,
Alor Gajah,
Melaka.

• Kita boleh mengukur seseorang itu dari segi zahirnya saja. Dalam hatinya Tuhan saja yang tahu. Kalau ada sifat munafik pada seseorang, biarlah dia berurusan dengan Allah saja. Kalau anda kasihan kepadanya, doakanlah agar dia mendapat hidayah. Dapat jadi menantu kepada keluarga yang baik-baik atau sebagainya. Mahunya begitulah...Amin! Pengarang.

JANGAN MAIN FITNAH
Saudara pengarang,
Kebelakangan ini bukan main hebatnya tersebar fitnah. Fitnah orang itu, fitnah orang ini. Pendengarpun kagum. Kaki pengampu yang mengendeng-ngendengpun tersengeh-sengeh, terangguk-angguk dan mengiyakan apa yang difitnahkan itu. Buka saja akhbar, terpampang muka pertama kisah fitnah itu, fitnah ini. Orang yang baik-baik dah jadi tak baik. Orang yang memang tak baik, nampak jadi baik pula. Terbalik habis. Fitnah memang hebat...
Media massa juga memang hebat. Penulis blog pun turut hebat. Berdekah-dekah pengendalinya melihat yang kena fitnah tunggang terbalik. Dalam hati berkata; padan muka dia...puaslah hati tu. Syaitan pun datang tepuk-tepuk bahu sambil ucap syabas! Yang buat fitnah dapatlah upah sikit-sikit. Itu pun dah bangga sangat dah...Yang peliknya, yang tak dapat upah pun tumpang sekaki. Tunjuk alim, tolong beri nasihat.
Harap Hidayah jangan termasuk dalam golongan media penyebar fitnah.
Wassalam!

Yusuf bin Din,
Gua Musang,
Kelantan.

• Semoga penyebar fitnah itu bertaubatlah segera. Ingatlah apa yang dikatakan Huzaifah r.a. dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyebar fitnah.” (HR. Bukhari, Muslim) – Pengarang

Jenazah Utuh Seorang Kiai Setelah 26 Tahun Terkubur

PADA hari Ahad, 2 Ogos 2009, Jalan Garuda Pintu Air Rt. 03/02 Jurumudi Baru, Kecamatan (daerah) Benda, Tangerang, dikejutkan oleh sebuah berita penemuan sesosok jenazah yang masih utuh. Mereka terperanjat kerana kejadian ini tidak masuk akal. Bagaimana tidak? Jenazah yang sudah dikubur puluhan tahun, tapi keadaannya masih utuh, termasuk kain kafan yang membungkus tubuhnya dengan rapat. Kejadian tersebut benar-benar berlaku, bukan cakap-cakap manusia yang sengaja mencari sensasi. Inilah murninya salah satu kekuasaan Allah yang telah dipertunjukkan kepada manusia bahawa jenazah seseorang pun boleh utuh – tidak hancur dimakan ulat-ulat tanah – jika selama hidupnya dia seorang yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Pertanyaan: Siapakah sosok jenazah yang mendapatkan kemuliaan dari Allah tersebut? Bagaimana perilaku sewaktu hidupnya, hingga Allah begitu menjaga jenazahnya selama bertahun-tahun ini? Dialah almarhum Kiai Haji Abdullah bin Kiai Haji Mu’min. Semasa hidupnya, beliau pernah menjawat jawatan Wakil Ketua Pengadilan Agama Tangerang. Dia seorang pegawai kerajaan, tapi hidupnya sangat sederhana dan jauh dari melibatkan rasuah. Padahal, kesempatan itu terbuka lebar di depan mata. Ke mana-mana dia selalu menggunakan basikal. Satu hal yang sebenarnya tidak melambangkan kedudukan jawatannya kala itu. “Saat kecil, saya suka dihantar bapa pakai basikal ke sekolah. Bapa pernah diajukan supaya pakai motorsikal, tapi dia tidak mahu,” ujar Ahmad Pathi, 50, anak keenam Allahyarham. Bahkan, ke pejabat pun yang jaraknya lumayan jauh, Allahyarham suka pakai basikal. Paling tidak pun, dia dijemput naik motorsikal atau kereta orang lain. Begitulah kesederhanaan Allahyarham, yang kemudian diajar dan dijadikan ikutan kepada anak dan para pelajar pondoknya. Lebih dari itu, beliau diiktiraf sebagai seorang mu’allim (orang berilmu), kiai, da’i, ustaz, dan guru besar. Warga Jurumudi Baru menyebutnya “Buya”. Sebuah gelar yang tidak mudah didapatkan, tentunya. Sebuah gelar kemuliaan atas kedalaman ilmunya dan keluar biasaan etikanya. Ya, beliau terkenal sangat warak (rendah hati). Allahyarham mendapat didikan di Darul Ulum, Makkah al-Mukarramah. Ketika perang dunia kedua berkecamuk, beliau dipanggil oleh kerajaan untuk pulang. Seluruh pelajar Indonesia di luar negeri, diharuskan pulang ke negaranya saat itu. “Mungkin untuk membela negara,” ujar Ahmad Pathi, menegaskan. Padahal, saat itu, masa belajarnya di sana baru enam tahun (bukan 25 tahun, seperti yang ditulis banyak media) dan ia berniat ingin lebih lama lagi di tanah suci tersebut. Namun, apakan daya, suasana dalam negeri yang sedang berkecamuk perang, memaksanya untuk pulang ke kampung halaman. Sekembalinya dari Makkah, hidup Allahyarham banyak diabdikan untuk kepentingan agama. Dia kerap kali mengisi jadual pengajian di kampungnya dan kampung-kampung berdekatan, baik sebagai khatib solat Jumaat, pemimpin doa mahupun menjayakan kuliah dan berceramah agama. Selain itu, dia juga mendirikan Madrasah Ibtidayiah (MI) Al-Ihsanuddiniyyah di atas tanah wakaf dan madrasah Al-Najat, yang letaknya berada di tebing sungai Cisadane. Menurut Ahmad Pathi, tanah wakaf yang di atasnya terdapat MI itu pernah dituntut oleh salah seorang ahli warisnya. Ia datang dengan keadaan marah-marah dan minta tanah itu dikembalikan kepada keluarganya. Padahal, ianya masih ada hubungan keluarga jauh. Tapi, apa jawapan Allahyarham saat itu, “Silakan saja diambil tanahnya. Kalau mahu, madrasahnya juga sekalian, tidak apa-apa.”
Allahyarham, dalam pandangan anak-anaknya, memang terkenal sangat sabar. Termasuk dalam menghadapi kes di atas. Perasaannya tidak mudah terpancing. Akhirnya, hingga kini tanah itu pun tidak jadi digugatnya. Ini mungkin berkat kesabaran Allahyarham. Meski terkenal sabar, Allahyarham begitu ketat dalam mendidik pelajaran agama kepada anak-anak dan muridnya. “Saya pernah disebat [dipukul pakai kayu atau rotan] dan di ‘tabok’ [ditampar] kerana tidak boleh membaca,” kenang Ahmad Pathi, yang baru kali ini menangis ketika diwawancarai, padahal sudah beberapa kali wartawan dari media lain menemubualnya. Allahyarham memiliki tiga isteri. Dari perkahwinan pertamanya dengan Rohani (almarhumah) beliau dikurniai dua anak. Dari isteri keduanya, Maswani (almarhumah), dikurniai lima anak. Terakhir, beliau mengahwini Hajah Romlah asal Kramat Pulo tapi tidak di kurniai anak. Allahyarham meninggal pada 22 Oktober 1983 kerana penyakit buah pinggang. Dia sempat dirawat di hospital sebelum ajal merenggutnya. Menurut Ahmad Pathi, saat dikuburkan pertama kali, sebenarnya tidak ada yang ganjil pada proses penguburannya. Namun, setelah kuburannya digali, keajaiban itu justeru muncul. Jenazahnya ditemukan masih utuh setelah 26 tahun terkubur. Ini benar-benar mengejutkan, yang membuat ramai warga datang untuk menyaksikannya.

Korban Pembinaan Jalan Baru
Ditemukannya jenazah utuh Kiai Haji Abdullah bin Kiai Haji Mu’min bermula dari projek pembinaan jalan baru, iaitu Jalan Garuda, yang menghubungkan daerah Tangerang ke Bandara Soekarno Hatta. Akibat projek ini, banyak rumah dan bagunan lainnya yang harus dikorbankan; salah satunya kawasan tanah perkuburan Kiai Haji Abdullah bin KH. Mu’min dan Madrasah al-Najat, yang letaknya dekat dengan Pondok Pesantren Ash-Shiddiqiyah II milik KH. Noer Muhammad Iskandar SQ “Sejak tahun lalu, kami sebenarnya sudah diminta oleh pihak berwajib Tangerang melalui Lurah Jurumudi agar kawasan perkuburan dan surau segera dibongkar. Tapi, kami tetap kukuh untuk mempertahankannya,” ujar Haji Abdul Baqi, 62, anak kedua dari isteri pertama Allahyarham yang bernama Rohani. Alasan mereka, itu adalah tanah perkuburan bersejarah seorang ulama yang terkenal di kampungnya. Jadi, keluarga pun mempertahankannya. Sikap kukuh keluarga ini turut disokong oleh warga setempat. Padahal, hampir seluruh rumah dan bangunan yang sebaris dengan bangunan di tanah perkuburan dan surau tersebut sudah digali habis. “Malahan, di daerah Tangerang sana, jalannya sudah selesai dibuat,” terang Haji Abdul Baqi. Namun, kerana desakan pihak berkuasa dan permintaan dari Ketua Kampung, akhirnya keluarga besar Kiai Haji Abdullah lembut juga hatinya. “Itu juga kami minta sesudah hari raya barulah dilakukan penggaliannya,” ujar Ahmad Pathi. Namun, waktunya tak boleh diundur lagi. Akhirnya, pada hari Ahad, 2 Ogos 2009, keluarga pun bersetuju untuk menggali tanah kubur dan surau. Pertama kali yang digali adalah tanah kubur. Penggalian dilakukan pada jam 8.00 pagi. Jadi, keadaan masih pagi, ketika sebahagian orang mungkin banyak yang pergi ke pejabat untuk bekerja. “Atas usaha penggalian ini, kami tidak mengundang banyak orang untuk datang,” ujar Haji Abdul Baqi. Namun, ketika penggalian itu baru saja dimulai, orang berdatangan untuk melihat. Mereka mungkin teruja ingin tahu kerana sosok yang ada di dalamnya adalah seorang kiai yang karismatik dan juga proses penggaliannya yang berkali-kali ditundakan. Penggalian dilakukan orang lain. Pihak keluarga hanya menyaksikannya dari atas. Perlahan-lahan tanah digali dengan menggunakan dua cangkul. Makin lama galian itu semakin dalam hingga datang satu kejadian mengejutkan, yang membuat mata orang terbelalak, kehairanan. Papan-papan yang terbuat dari kayu kapur barus (kamper – mengikut istilah Indonesia Belanda) yang menutup tubuh jenazah, nampak masih utuh dan tidak patah sedikit pun. Warnanya saja berubah, agak gelap sedikit. Padahal, logiknya, kayu apapun jika ditanam sangat lama, apalagi sampai 26 tahun, boleh hancur dimakan ulat atau binatang tanah. Tapi, ini tidak terjadi dan ini benar-benar tidak masuk akal. Kegemparan orang tidak berhenti sampai di situ. Ketika papan-papan itu diangkat ke atas, mereka kembali dibuat terkejut, kerana melihat sesosok jenazah yang masih utuh, sama seperti ketika pertama kali dikuburkan dulu. Hanya saja, kain kafan jenazah sudah nampak kotor dengan lumpur. Bukan itu saja, jenazah juga nampak sangat harum dan rambutnya agak memutih. Kejadian itu pun membuat kejutan orang yang menyaksikan. Bahkan, sebahagian orang ada yang menangis, tak terkecuali keluarganya sendiri. Ahmad Pathi segera turun ke bawah dan mengangkat bahagian kepala dan bahu bapanya. “Saat itu hati saya berdesir ingin menangis kerana terharu,” ujarnya.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...

Nama Wahabi Ciptaan Barat

APAKAH benar “Wahabi” itu satu fahaman sesat? Kerana diwaktu kebelakangan ini timbul kebimbangan dikalangan pihak tertentu yang tidak senang dengan penyebaran Wahabi yang dianggap penyebaran semakin meluas. Ada seorang ilmuan Islam yang dua tiga tahun lalu telah menimbulkan isu ini yang katanya, penyebaran fahaman Wahabi ini meluas dikalangan anak-anak muda dalam negara kita. Yang dimaksudkan oleh “ilmuan Islam” ini anak-anak muda itu ialah beliau merujuk kepada para pelajar kita yang baru pulang menuntut di luar negara seperti Jordan, Arab Saudi, iaitu di Makkah dan Madinah, Mesir, Yaman, dan beberapa buah negara Islam lain. Para pelajar ini pulang ke tanah air dengan membawa ilmu yang dipelajarinya dari para ulama besar dari pusat-pusat pengajian tinggi negara-negara tersebut. Mereka ini mendapat biasiswa Kerajaan yang tujuannya meluaskan atau pun menambahkan ilmuan Islam yang kemudian disebarkan dikalangan rakyat negara sendiri.
Kadang-kadang menjadi tanda tanya dikalangan kita semua “siapakah yang dimaksudkan dengan golongan Wahabi ini? Dan apakah fahaman yang dianut oleh mereka?” Apakah mereka ini termasuk dalam golongan “Ahlus Sunah Waljamaah” atau pun termasuk dalam golongan ajaran sesat yang perlu dibanteras sehingga ke akar umbi? Isu tersebut menjadi heboh dan panas semula dalam masyarakat Islam dan masyarakat awam dari mereka yang berpengetahuan cetek dalam agama sehinggalah kepada golongan yang dianggap sebagai “ilmuan Islam”. Dalam masalah Wahabi ini, apa “benda”nya yang kita mahu selesaikan, apakah kita mahu menanganinya iaitu Wahabi ini sebagai satu ajaran sesat. Atau pun sekadar kita mempertikaikan tentang hal-hal kontroversi yang ditimbulkan itu? Iaitu seperti kenduri arwah, talkin mayat atas kubur, baca Quran atas kuburan dan lain-lain?
Dalam satu kajian yang dibuat oleh satu kumpulan dari pihak tertentu memberikan pandangan tentang isu Wahabi berkata kalau, “kita mahu mengatakan Wahabi ini satu kumpulan ajaran sesat, kita akan terjebak dengan sebuah negara Islam yang paling besar di dunia, dan kita juga terjebak dengan para ulama-ulama besar dan tersohor dalam dunia Islam. Kajian itu menyebut kalau itu yang kita mahu menanganinya, maka kita telah menghukum sebuah negara Islam yang terbesar di dunia sebagai sesat. Begitu juga dengan para ulama yang tersohor seperti Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim, al-Zahaby, Ibnu Kathir, Ibnu Abi Al-Izz, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Baz, Yusoff Al-Qardawi dan ramai yang lain sebagai sesat juga? Oleh kerana kebanyakan dari kita-kita ini cuma dengar cakap-cakap orang sahaja mengenai Wahabi ini, tetapi tahu kedudukan yang sebenarnya, maka timbul salah faham dan membuat tuduhan bahawa Wahabi itu sesat dan menyeleweng dari Islam. Sebenarnya tidak ada “istilah Wahabi”. Yang ada hanya “Islam”. Wahabi bukan “Mazhab”. Cubalah kita baca buku-buku yang menerangkan atau pun yang menjelaskan tentang gerakan apa yang disebut sebagai Wahabi ini. Gerakan ini dilakukan oleh seorang tokoh ulama besar dunia zaman dulu yang melihat adanya penyelewengan dalam agama terutama dari segi akidah. Tokoh itu ialah Muhammad bin Abdul Wahab, yang mengajak umat Islam kembali kepada ajaran “Quran dan sunah”. Salahkah seorang ulama yang mengajak kita (umat Islam) kembali kepada asas dianggap satu gerakan penyelewengan? Gerakan Muhammad Abdul Wahab ini mendapat sokongan dari Ibnu Su’ud, yang sekarang keturunannya menerajui pemerintah Saudi Arabia. Itulah yang disebutkan awal-awal tadi bahawa kalau kita mahu menuduh fahaman wahabi ini sebagai gagal, kita akan terjebak dengan sebuah negara Islam terbesar di dunia iaitu Saudi Arabia. Negara inilah terletaknya Bandar Suci Makkah, Madinah, disinilah juga lahirnya junjungan agung kita Muhammad s.a.w., lahirnya tokoh-tokoh Islam, pejuang-pejuang Islam yang besar dan hebat. Di negara inilah letaknya Makkah. Disinilah adanya sebuah Masjid yang paling agung di muka bumi ini iaitu “Masjidil Haram”. Di dalam Masjid inilah terletaknya, dan dibangunkan “Kaabah”, rumah Allah, Kiblat (arah tuju) umat Islam seluruh dunia. Di Bandar Suci Makkah yang letaknya didalam sebuah negara Islam terbesar ini, tempat tumpuan umat Islam seluruh dunia mengerjakan ibadat haji, rukun Islam yang kelima.
Muhammad Abdul Wahab yang berasal dari negara ini iaitu negara Islam terbesar di dunia melihat gejala-gejala kurang sihat mula melebar di daerahnya. Sebagai tokoh agama yang berwibawa adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membetulkannya dan membela kepada kebenaran. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sentiasa ada sekelompok dari umatku yang tampil membela kebenaran. Tidak memudaratkan mereka, orang-orang yang menghinakannya. Sampai datang keputusan Allah (kiamat), sedangkan mereka tetap dalam keadaan seperti itu.” Rasulullah menjelaskan bahawa yang terakhir di antara mereka akan memerangi dajjal, dan akan turun di tengah-tengah mereka Isa bin Maryam a.s. pada saat akan terjadinya hari Kiamat. Golongan tersebut ialah orang-orang yang selalu berada pada manhaj nubuwat, yang setia mengamalkan sunah Nabi, yang konsisten pada jemaah, dan menempuh jalan para Salafusshalih. Mereka itulah yang disebut sebagai golongan (Ahlussunah wal Jamaah) yang tidak mengenal ruang dan waktu. Pada zaman tertentu jumlah mereka cukup banyak, pada zaman yang lain jumlah mereka hanya sedikit. Disuatu tempat jumlah mereka cukup banyak, namun ditempat yang lain jumlah mereka hanya sedikit.
Seorang ulama dan penulis yang terkenal Profesor Dr. Nashir bin Abdul Karim Al-Aql dalam bukunya yang berjudul “Islamiyah La Wahabiyah” yang sudah pun diterjemahkan dalam huraiannya sangat mendalam mengenai sejarah perjuangan Muhammad Abdul Wahab ini.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...

Benarkah Manusia Boleh Berdialog Dengan Roh?

INILAH tema yang kerap kali menimbulkan kontroversi di kalangan umat Islam. Bahkan, di kalangan para ahli agama sendiri, tidak ada kata sepakat soal ini. Terkecuali di kalangan para sufi, dialog dengan roh yang telah meninggal adalah suatu yang harus atau tidak mustahil. Yang boleh melakukannya, tentu saja, adalah orang-orang yang dekat dengan Allah dari segi ketakwaannya. Ibnu Qayyim Al-Jauziyah berkata, “Roh orang-orang yang masih hidup boleh bertemu dengan roh orang-orang yang sudah meninggal dunia, sebagaimana roh di antara orang-orang yang hidup juga boleh saling bertemu.” Dari ungkapan di atas memungkinkan bahawa orang yang sudah meninggal pun boleh diajak berdialog sebagaimana lazimnya bercakap dengan mereka yang masih hidup. Di dalam al-Quran, pengakuan adanya dialog antara orang yang hidup dengan roh ini secara tidak langsung ditegaskan dalam surah Ali Imran ayat 169 yang ertinya, “Janganlah kamu mengira orang yang meninggal di jalan Allah (fi sabilillah) itu mati. Mereka adalah hidup dan mendapatkan rezeki (kenikmatan di alam lain) di sisi Allah dan hanya Allah yang mengetahui alam lain itu.” Seharusnya saja diketahui bahawa orang meninggal dunia itu sebenarnya tidak begitu saja mati. Banyak tafsiran tentang konsep ini. Misalnya, orang hebat yang meninggalkan karya, sehingga namanya masih sering disebut-sebut dan dinukilkan. Namun, sebahagian orang menjadikan ayat ini sebagai dalil orang yang meninggal pun sebenarnya juga “hidup”, sehingga ia masih boleh diajak berdialog.
Kata fi sabilillah dalam ayat tersebut menggambarkan tentang orang-orang salih atau orang yang memiliki kedalaman rohani. Jadi, dialog itu hanya boleh terjadi antara orang salih dengan roh yang sudah meninggal yang memiliki riwayat hidup sebagai orang yang baik atau memiliki kedalaman rohani. Maka, orang jahat atau buruk perilakunya saat masih hidup, rohnya tidak boleh diajak dialog oleh orang yang masih hidup. Sebab, mereka tidak memiliki kelebihan ini. Hal yang utama dan perlu dicatat adalah untuk bertemu dengan roh orang yang meninggal dunia itu perlu petunjuk dan izin dari Allah, kerana roh adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Kerana itu, salah satu cara agar boleh mengetahui dan berdialog dengan roh adalah dengan jalan tarekat.
Kerana setiap tarekat itu mengajarkan makrifatullah; setiap makrifatullah yang sudah matang, akan mengetahui hakikat Allah dan itu menjadi rahsia Allah. Banyak bukti yang menjadi landasan para sufi untuk menjelaskan bahawa dialog dengan roh dapat dilakukan oleh manusia. Kisah perjalanan Israk dan Mikrajnya Nabi Muhammad s.a.w. yang bertemu para Nabi di langit adalah salah satunya. Bahkan orang dengan darjat yang jauh di bawah Nabi juga banyak mengisahkan cerita tentang adanya dialog dengan orang yang telah meninggal dunia.
Salah satunya adalah yang dikisahkan oleh Haji Juri. Seorang tokoh agama di Kampung Geritayu, Daerah Pati. Dia mengetahui tentang darjat kewalian ayahnya, Kiai Haji Mokhtar, setelah diberi tahu oleh Kiai Haji Hambali, seorang pengetua pondok pesantren terkenal di Caruban Lasem. Haji Juri sebetulnya tidak pernah menganggap bapanya itu termasuk yang dikasihi Allah. Rahsia itu terbongkar setelah tanpa sengaja ia bertemu dengan Kiai Haji Hambali yang datang ke Kampung Garit. Kiai Hambali itu boleh menceritakan seluruh kebaikan dan sifat-sifat Kiai Mochtar. Bahkan ia juga faham betul bentuk fiziknya. Meskipun Kiai Haji Hambali sendiri tidak pernah kenal dan berjumpa secara fizik dengan Kiai haji Mochtar. Itu kerana Kiai Haji Hambali adalah ulama yang diberi izin Allah untuk dapat berhubungan dengan kekasih Allah yang sudah meninggal dunia. Dia memiliki kemampuan berdialog langsung dengan orang yang dikehendaki. (Lihat kertegmuda.wordpress.com)
Menurut ajaran sufi, bertemu dengan roh boleh melalui berbagai cara. Baik itu pandangan batin, mimpi, atau melalui perasaan. Bahkan bertemu secara nyata (maujud) dan berdialog langsung juga boleh. Apa yang dialami oleh Al-Abbas bin Abdul-Muthalib, misalnya, ia pernah berdialog dengan orang yang sudah meninggalkan dunia melalui mimpi. Al-Abbas berkata, “Aku benar-benar ingin bertemu Umar dalam mimpi. Sebab terakhir aku bertemu dengannya hampir setahun lalu. Maka ketika aku benar-benar bermimpi bertemu dengannya, dan dia sedang mengelap peluh di dahinya, dia berkata, “Inilah waktu kosongku. Hampir saja semayamku berguncang, kalau tidak kerana aku bertemu orang yang penuh belas kasih.” Sa’id bin Al-Musayyab berkata, beliau bertemu dengan beberapa sahabat lainnya. Masing-masing berkata kepada yang lain, “Jika engkau meninggal lebih dulu dari aku, temuilah aku dan khabarkanlah kepadaku apa yang kau dapatkan dan Rabbmu, dan jika aku mati lebih dahulu daripada dirimu, maka aku akan menemuinya dan mengkhabarkan hal serupa kepadamu.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...

Ketika Makhluk Dan Al-Khaliq Sering Bersyukur

TERDAPAT sebuah hadis Qudsi dari Abu Hurairah r.a. yang mengisahkan dialog indah antara makhluk dan Allah taala. Dalam hadis riwayat Imam Muslim itu disebutkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda, Allah s.w.t. berfirman: “Aku membahagi surah al-Fatihah separuh-separuh antara Aku dan hambaKu. Dan hambaKu berhak mendapatkan apa yang dia minta. Jika ada seorang hamba berkata “alhamdulillahirabbil’alamain”, Allah berfirman, ‘hambaKu memujiKu’; jika ia membaca “al-rahmanir-rahim”, Allah berfirman, ‘hambaKu memujiKu’; jika ia membaca lagi ‘maaliki yaumid din’, Allah berfirman, “hamba-Ku mengagungkanKu dan memasrahkan dirinya kepadaKu; maka jika ia membaca ‘iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in’, Allah berfirman, ‘ini antara Aku dan hambaKu, untuknya apa yang ia minta’; maka jika ia membaca lagi ‘Ihdinas shiratal mustaqim … dst’, Allah berfirman, ‘ini untuk hambaKu dan baginya apa yang ia minta.’” Lafaz ini tak lain adalah lafaz solat. Itulah mikrajnya kaum mukmin dalam dialog indah antara hamba dan penciptaNya. Setiap ayat dalam surah al-Fatihah yang dibaca dengan khusyuk akan dijawab Allah dengan lembut dalam rahman dan rahimNya. Setiap kali si hamba membaca kalimat pujian kepadaNya, Allah menyahut ucapan tahmid itu dengan ujaran: “Hambaku memujiKu.” Subhanallah... Teranglah sudah bahawa syukur sebagai amalan batin yang diajarkan Allah dan RasulNya, sebenarnya, adalah ruang bersama dimana seorang hamba dan Tuhannya bercakap mesra; ruang dimana dua pihak ini bertemu secara indah. Kita, sebagai hamba, pastilah menyedari kewajiban bersyukur yang ada di pundak kita kerana memang demikian banyak nikmat Allah yang kita terima dan rasakan dari lahir hingga mati kelak. Dan Allah, sebagai Asy-Syakur, Zat yang Bersyukur, menyambut hal itu dengan tetap menurunkan rahmat dan mengampuni segala dosa hambaNya. Prof. Umar Sulaiman al-Asyqar dalam Al-Asma al-Husna menyebut Allah telah memperkenalkan diriNya sebagai Yang Bersyukur (asy-Syakir) dan yang Banyak Bersyukur (asy-Syakur). Makna Asy-Syakur adalah yang mensyukuri (berterima kasih) ketika hanya dipatuhi sedikit saja, yang memberi kenikmatan yang banyak, dan yang menerima balasan terima kasih yang sedikit.
Bukti dari bersyukurnya Allah adalah Dia menerima amalan hamba, memberi pahala orang yang melaksanakan haji, umrah, dan sa’i antara Shafa dan Marwa, serta bersyukur kepada orang yang banyak melakukan ibadah sunah. Ini kita temui dalam surah al-Baqarah ayat 158. “Sesungguhnya Shafa dan Marwa adalah sebahagian dan syiar-syiar Allah. Barang siapa yang beribadah haji ke baitullah atau berumrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sa’i antara keduanya. Barang siapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui.”

Syukur Hati, Lisan, dan Perbuatan
Ibnu Katsir menafsirkan ayat ini bahawa Allah memberi pahala yang banyak atas amal yang sedikit (yang dilakukan hambaNya), lagi Maha Mengetahui atas kadar balasan itu sehingga Dia tidak akan merugikan seorang pun. Hal ini sejalan dengan firmanNya yang lain. “Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang walaupun hanya sebesar zarrah. Dan jika ada kebaikan sebesar zarrah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisiNya pahala yang besar.” (An-Nisa’: 40) Pada ayat lain Allah s.w.t. juga memperkenalkan AsmaNya ini kepada kita. “Mengapa Allah akan menyeksamu jika kamu bersyukur dan beriman? Allah adalah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui.” (An-Nisa’: 147) Di hari kiamat kelak, ketika memasukkan orang-orang mukmin ke dalam syurga Adn, Allah sebagai Asy-Syakur akan memberi kaum mukmin itu gelang dari emas dan permata. Dia juga memakaikan pakaian sutera dan mengeraskan suara ahli syurga tersebut dalam memujiNya dan menyatakan bahawa Dia Maha Mengampuni dan Maha Mensyukuri. “(Bagi mereka) syurga Adn. Mereka masuk ke dalamnya. Di dalamnya mereka diberi perhiasan gelang, emas dan permata, dan pakaian mereka di dalamnya adalah sutera. Mereka berkata, ‘Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan duka cita kami. Sesungguhnya Tuhan benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.” (Fathir: 33 – 34)

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...

Kisah Ibrahim a.s. Selamat Dari Kobaran Api

SETIAP rasul yang diutus Allah untuk berdakwah di tengah-tengah suatu kaum adalah mereka yang dibekali keteguhan hati dan jiwa yang kukuh. Tak salah, jika penolakan, hinaan dan cacian, bahkan ancaman sekali pun tidak pernah menyurutkan niat para rasul untuk menyeru umat manusia ke jalan kebenaran, kebajikan dan juga ketauhidan. Tak terkecuali dengan keteguhan Nabi Ibrahim a.s. Pada mulanya, Nabi Ibrahim mengajak Azar – ada yang berpendapat bahawa Azar itu ayah Nabi Ibrahim tapi ada juga yang berpendapat bahawa ia itu bapa saudaranya. Dan pendapat lain mengatakan iaitu nenek Nabi Ibrahim dari pihak ibu – untuk tak lagi menyembah patung. Niat baik Nabi Ibrahim itu ternyata tidak bersambut baik dari Azar malahan Nabi Ibrahim mendapatkan ancaman akan direjam. Walaupun demikian ancaman dan kekasaran Azar itu tidak sedikit pun menyurutkan dan melemahkan semangat Ibrahim untuk terus berdakwah menebarkan ajaran tauhid. Selanjutnya, setelah hati Azar tak terketuk, Nabi Ibrahim berdakwah kepada kaumnya. Ia berusaha mengikis sesembahan dan kepercayaan lama yang memang bertentangan dengan ajaran tauhid. Nabi Ibrahim mengajak mereka meninggalkan kepercayaan lama dengan alasan dan dalil yang kukuh, tapi sayang, kaum Ibrahim sudah meneguhkan bahawa ajakan yang ditawarkan itu tak semata-mata sebuah ajakan tanpa ditunjang pengetahuan, kerana Ibrahim sudah diberi pengetahuan Allah; dan dari pengetahuan itu, baginda sedar bahawa berhala itu tidak layak untuk disembah, yang layak disembah hanyalah Allah – Si Pencipta dan Penguasa alam semesta. Tetapi, kebenaran yang dikemukakan Nabi Ibrahim itu tak menyentuh sanubari kaumnya. Mereka itu justeru selalu beralasan bahawa apa yang mereka lakukan tidak lebih meneruskan apa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka dan mereka tidak akan melepaskan kepercayaan dan agama yang sudah bertahun-tahun mereka warisi itu. Hal ini seperti diterangkan al-Quran, “Kami mendapati bapa-bapa kami menyembahnya..” (al-Anbiya’: 53).

Melakukan Tipu Daya
Jalan dialog pun tertutup, kerana kepala mereka telah membatu dan hatinya telah berkarat. Tak ada jalan dialog lagi. Nabi Ibrahim kemudian ingin menempuh jalan lain dengan menghancurkan patung-patung yang disembah oleh kaumnya untuk menunjukkan bahawa berhala atau patung yang mereka sembah itu ternyata tidak berguna, tidak bermanfaat, tidak lebih baik dan bahkan sama sekali tidak dapat menyelamatkan siapa pun. Keinginan Nabi Ibrahim itu telah diabadikan dalam al-Quran: “Ibrahim berkata: ‘Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan tipu daya terhadap berhala-berhalamu sesudah kamu pergi meninggalkannya.” (al-Anbiya’: 57). Ketika semua penduduk pergi ke luar kota untuk merayakan hari raya mereka, Nabi Ibrahim seperti mendapatkan peluang keemasan. Tradisi merayakan hari raya – ke tempat perayaan di luar kota – setiap tahun sekali itu menjadi tempoh yang cukup berharga bagi Nabi Ibrahim untuk melakukan sebuah aksi yang akan menghebohkan semua orang. Maka, tatkala kaumnya mengajak Nabi Ibrahim untuk ikut pergi ke luar kota, ia dengan cerdik beralasan sedang sakit. Hal itu sebagaimana dituturkan di dalam al-Quran: “Lalu ia memandang sekali pandang ke bintang-bintang. Kemudian berkata, ‘Sesungguhnya aku sakit’,” (rujuk surah ash-Shaaffaat: 88 – 98) Kerana tak ikut merayakan hari raya mereka, ketika semuanya pergi ke tempat perayaan, Nabi Ibrahim sudah mempunyai rancangan yang telah disusun dengan gemilang. Tak salah, saat orang-orang kemudian pergi ke luar kota, Nabi Ibrahim justeru menyelinap ke tempat peribadatan mereka, lalu menghancurkan seluruh patung yang ada kecuali patung yang terbesar. Patung besar itu dibiarkan tidak tersentuh oleh kapak yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, kerana Nabi Ibrahim memiliki siasat di balik semua itu. Maka, setelah menghancurkan patung-patung kecil itu, Nabi Ibrahim menaruh kapaknya di bahu patung yang terbesar. Aksi berani Nabi Ibrahim itu sebagaimana dikisahkan dalam al-Quran, “Maka, Ibrahim membuat berhala-berhala itu hancur berpotong-potong, kecuali yang terbesar (induk) dari patung-patung yang lain; agar mereka kembali (untuk bertanya) kepadanya.” (al-Anbiya’: 58). Tak ada yang tahu tindakan berani yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim itu. Hingga, suatu hari, selepas dari menyambut perayaan tradisi, alangkah terkejutnya kaum Nabi Ibrahim ketika menjumpai patung-patung berhala sembahan mereka itu hancur berantakan, kecuali satu patung yang terbesar. Dan yang membuat mereka hairan, di bahu patung yang besar itulah, terkalung sebuah kapak. Semua hairan dan bertanya-tanya, “Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim.” (al-Anbiya’: 59). Tapi kaum Nabi Ibrahim tak perlu bukti untuk sekadar mencari tahu siapa yang telah melakukan perbuatan itu. Dengan yakin, mereka langsung “curiga” dan menuduh bahawa Nabi Ibrahim adalah orang yang melakukan perosakan terhadap patung-patung itu.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...

Syiah Dan Tradisi Karbala

Peringatan Tragedi Karbala setiap tahun dilaksanakan pada tarikh 10 Muharam atau terkenal dengan sebutan Asy-syura. Pada hari itu kaum muslimin (terutama yang beraliran Syiah) turun ke jalan dengan pakaian hitam-hitam sebagai tanda berdukacita. Kadang juga pakaian yang dipakai putih-putih. Mereka menangis sambil menepuk-nepuk dada, bahkan ada yang sampai melukai tubuhnya hingga berdarah. Peringatan ini terkait dengan tragedi terbunuhnya cucu Nabi Muhammad s.a.w., Imam Husain, pada 10 Muharam tahun 61 Hijrah. Saat itu, Imam Husain yang menghadapi pasukan pemerintahan Yazid Bin Muawiyah terbunuh secara tragis di padang Karbala oleh pasukan Yazid yang berjumlah jauh lebih besar. Duka atas kematian cucu Nabi s.a.w. itulah yang terus diperingati sampai kini. Karbala sendiri merupakan nama kota yang terletak di Iraq, sekitar 100 km sebelah barat daya kota Baghdad, ibu kota Iraq. Karbala merupakan ibu kota Al Karbala, yang diyakini kaum Syiah sebagai kota suci selain Makkah dan Madinah. Di pusat kota tua Karbala itulah terdapat Masyhad al-Husain [makam Husain bin Ali] yang menjadi tempat ziarah kaum muslim Syiah, terutama pada perayaan mengenang pertempuran hari Asy-Syura tersebut. Kalangan Syiah memercayai Masyad Husain sebagai gerbang syurga hingga banyak orang tua yang berziarah ke sana dan menetap menunggu kematian. Proses sambutan Asy-Syura umumnya diisi dengan turun ke jalan. Sepanjang perjalanan itulah sebahagian orang menangis sebagai wujud duka dan cinta kepada Imam Husain. Selain itu, dibacakan pula maqtal, sebuah syair yang berisi tragedi yang telah berlangsung 14 abad lalu itu. Anak muda, orangtua, bahkan anak-anak, lelaki mahupun perempuan terlibat dalam peringatan ini.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...

Rezeki Rasuah Beri Anak Isteri Makan

Sekarang ini dimana-mana pun ada rasuah. Sama ada di Jabatan Kerajaan, bukan Kerajaan, swasta perbuatan ini terjadi. Pendeknya dimana sahaja orang ramai berurusan mengenai hal peribadi, hal umum, hal yang berkaitan dengan perniagaan akan terjadi rasuah. Sehingga hal-hal yang berkait dengan agama pun, orang tidak peduli lagi tentang rasuah. Semuanya dikebas. Pendeknya semua disapu asalkan dapat duit. Halal-haram tidak peduli. Mereka berpendapat, sekarang ini semua orang makan rasuah. Makan duit haram, beri makan anak bini. Beri makan ayah ibu, ayah mertua, ibu mertua dan saudara mara dengan duit dari rezeki haram hasil rasuah. Pendeknya cerita “makan duit haram”, dimana-mana pun ada seluruh dunia. Sama ada ia dunia Islam, bukan Islam, rasuah dan makan duit haram semakin menjadi-jadi. Makan duit haram, maka harta haram yang bukan dari titik peluh sendiri, memeras harta orang lain secara haram, bukanlah lagi cerita main-main. Sebenarnya, kisah duit haram ini adalah cerita yang berkait berpanjangan. Ia tidak selesai diatas dunia, bahkan ia akan berjalan dibawa hingga ke akhirat nanti. Ada manusia memang tidak bersyukur. Di samping menerima nikmat Allah s.w.t. yang melimpah ruah setiap saat, ada diantara mereka tidak berlaku adil, dan tidak bersyukur atas nikmat yang diterimanya itu. Agama menyuruh orang-orang berlaku adil, tetapi ada orang-orang tidak begitu, tetapi melakukan sebaliknya dengan mengambil rasuah, dan ini boleh dianggap sebagai “saudara syaitan”.
Disamping itu, ada orang yang diberi tanggungjawab bagi mencegahnya atas perbuatan jahat ini, tetapi orang-orang ini “mendiamkan diri”. Mereka yang tidak amanah dan mengambil rasuah tidak dihukum dan dibebaskan bermaharaja lela. Rasuah, satu perbuatan yang keji dan kotor. Islam melarang, mengutuk perbuatan tersebut sehingga bila-bila pun. Mengumpul harta tidak dilarang. Bagi seorang muslim, tidak ada larangan untuk menghimpun harta sebanyak-banyaknya, selama harta itu dikumpulkan secara halal, dan dikembangkan juga dengan cara yang syarie. Jika ada sebahagian agama dikatakan: “Orang kaya tidak akan masuk singgahsana langit hingga ada seekor unta masuk kelubang jarum”, maka untuk jawapan itu, Islam mengatakan begini: “Sebaik-baik harta ialah harta yang dimiliki orang salih.” Hadis riwayat Ahmad. Islam tetap melindungi harta seseorang itu secara sah dan dilindungi juga oleh undang-undang supaya harta hak milik individu itu secara halal dan sah tidak dirampas oleh pencuri, penyamun atau pun penipu. Rasulullah s.a.w. menghimpunkan antara kehormatan harta, darah, dan harga diri dalam satu kaitan kalimat, dan menjadikan pencurian sebagai kontra atas tuntutan iman. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda diriwayat Muttafqun alaih yang ertinya: “Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedang ia dalam keadaan beriman.” Kemudian Allah s.w.t. pula berfirman dalam surah al-Maidah ayat 38 yang ertinya: “Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan atas apa yang mereka kerjakan dan seksaan dari Allah. Dan adalah Allah Maha Perkasa dan maha Bijaksana.” Nabi Muhammad s.a.w. dalam satu sabdanya yang lain pula yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam sahihnya yang ertinya: “Tidaklah dihalalkan bagi seorang muslim untuk mengambil tongkat saudaranya tanpa kerelaan perasaan dirinya.” Dalam soal memakan harta orang lain, dalam Kitab Suci Al-Quran Allah s.w.t. telah mengingatkan dalam surah An-Nisa’ ayat 29 yang maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah saling memakan harta sesama kamu dengan cara bathil (tak betul), kecuali dengan cara perdagangan (berniaga) yang berlaku suka sesama suka diantara kamu.” Kita tidak dilarang mengumpul harta, tetapi dengan cara yang halal dan betul harta yang kita perolehi itu. Kita juga tidak dilarang mengumpulkan apa juga harta asalkan harta itu kita agihkan pula kepada mereka yang memerlukannya apabila sudah cukup nisabnya (membayar zakat).

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...

Wednesday, January 6, 2010

Ajaran Sesat Tempah 'Istana Dalam Syurga'

DALAM negara kita ada berbagai-bagai ajaran dan fahaman mengenai agama. Maksudnya ialah agama Islam. Sedangkan Allah yang meredhoinya hanya satu sahaja iaitu “Islam”. Dalam Quran Allah s.w.t. dalam firmannya bahawa “Janganlah kamu mati kecuali dalam Islam.” Tetapi dalam pada itu ada berbagai fahaman lain. Ada golongan yang muncul dengan ajaran dan kepercayaan yang cukup karut dan mengarut sama sekali. Konon! dalam ajaran ini tuan guru mereka pernah membawa mereka melawat syurga, neraka dan mahsyar. Inikan “gila” namanya? Cerita ghaib yang tidak masuk dek akal ada guru boleh bawa anak-anak muridnya melawat tempat-tempat tersebut. Mengikut proses orang-orang mukmin yang pergi ke tempat-tempat tersebut ialah: Pertama, orang itu mesti mati dulu. Mati disini ialah sudah sampai ajalnya, Malaikat maut mencabut nyawanya dengan izin Allah. Kedua: Orang itu sesudah mati dimandi, dikafan, disembahyangkan dan kemudian dikebumikan. Ertinya orang ditanam dalam tanah dan berada di alam kubur atau pun alam barzakh. Ketiga: Orang itu kemudian menghadapi pertanyaan kubur dengan dua malaikat yang garang, bengis, dan paling menakutkan. Kalau orang itu dapat jawab, bersenang-senanglah dia di dalam kubur. Kalau tak dapat jawab orang itu akan kena seksa. Selain itu dari seksa-seksa lain dikenakan juga ke atas orang itu. Keempat: Berlaku hari kiamat. Maksudnya, dunia, langit dan apa juga yang Allah ciptakan di alam maya ini akan hancur lebur, musnah sama sekali. Kelima: Allah akan perintahkan Malaikat Israfil untuk meniup “Sangkakala”. Apabila Sangkakala ditiupkan, semua makhluk yang mati akan dibangkitkan dari kubur masing-masing. Keenam: Semua makhluk akan berjalan dari kubur masing-masing menuju ke Padang Mahsyar. Disini manusia akan tinggal tidak tahu berapa lama, juta tahun? ribuan ratus tahun? Hanya Allah sahaja yang Maha Tahu. Ketujuh: Sesi soal jawab dengan Rabb. Kemudian ada ditegakkan “Mizan”, timbangan amal baik dan jahat. Kelapan: “Manusia akan meniti Shirathal Mustaqqim. Di bawah jambatan ini ada “Neraka Jahanam”. Perjalanan menuju ke syurga hanya Allah saja yang Maha Mengetahui berapa lama, dan jauhnya tidak ada yang tahu. Ke sembilan: Tiba di seberang, kita akan diberi minum dari “telaga milik Nabi Muhammad s.a.w.”. Setelah itu barulah kita masuk syurga dengan izin Allah dan atas “RAHMAT ALLAH”. Cuba kita lihat, kita teliti proses untuk masuk syurga itu, bukanlah mudah. Prosesnya begitu banyak dan lama pula. Kemudian, ada pula ajaran yang gurunya “boleh membawa melawat syurga dan neraka”, sedangkan prosesnya belum pun dilalui lagi, terutama “Maut” (mati). Selain dari ajaran ini mengajar ahli-ahlinya melawat syurga, gurunya memberitahu anak-anak muridnya bahawa mereka boleh “menempah” dari sekarang tempat mereka di syurga.


Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...

Kita Dikumpulkan Di Padang Mahsyar Selama 40 Tahun

DALAM kitab-kitab agama, ada pelbagai kisah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. mengenai alam akhirat. Sesudah itu para ulama klasik pula menulis pelbagai masalah yang wujud. Kisah dalam syurga adalah diantara cerita yang paling menarik dan itulah matlamat akhir bagi seluruh umat Islam. Syurga ialah tempat pembalasan Allah kepada hamba-hambanya yang beriman. Bagi orang kafir, mereka akan terus dimasukkan ke dalam neraka, kerana tidak percaya ayat-ayat Allah dan kerana tidak beriman dan bukan dari orang-orang Islam. Mengenai syurga, terlalu banyak hadis yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Ada hadis yang pendek sahaja, tetapi ada hadis yang panjang. Para ulama, dan para muhadithin telah meriwayatkan tentang ada hadis Nabi s.a.w. yang panjang berhubung dengan soal syurga. Cuba kita ikuti sebuah hadis yang dikutip dari sebuah kitab yang khusus menceritakan tentang syurga. Hadis Abdullah bin Mas’ud, Thabrani berkata bahawa berkata kepada kami Muhammad bin Nashr Al-Azdi, Abdullah bin Ahmad bin Hanbal dan Al-Hadhrami yang berkata bahawa berkata kepada kami Ismail bin Ubaidillah bin Abu Karimah Al-Harani yang berkata bahawa berkata kepada kami Muhammad bin Salamah Al-Harani dari Abu Abdurrahim dari Zaid bin Anisah dari Minhal bin Amr dari Ubaidah bin Abdullah bin Masruq bin Ajda’ yang berkata bahawa Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata dari Rasulullah s.a.w. yang bersabda yang ertinya: “Allah mengumpulkan seluruh manusia dari generasi manusia pertama dunia hingga generasi manusia terakhir pada tempat dan hari tertentu. “Mereka berdiri selama empat puluh tahun sambil mendongakkan kepalanya ke langit kerana menunggu putusan pengadilan atas mereka.” Kata Abdullah bin Mas’ud: “Kemudian Allah Azza wa Jalla turun dalam naungan mendung dari Arasy ke kerusi. Pada saat yang bersamaan terdengar penyeru memanggil: ‘Wahai manusia, apakah kalian tidak redho kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dan memberi rezeki kepada kalian? Allah memerintahkan kalian menyembahNya dan tidak mempersekutukanNya dengan apa pun! Hendaklah masing-masing dari kalian mengikuti apa yang dicintainya dan disembahnya di dunia dulu!’ Mereka menjawab: ‘Ya, kami redho dengan itu semua!’ Kemudian masing-masing kaum berjalan menuju apa yang disembahnya dan dicintainya di dunia dulu.” Kata Abdullah bin Mas’ud: “Mereka berjalan dan untuk mereka dibuat jelmaan dari apa yang mereka sembah dulu. Ada di antara mereka yang berjalan menuju matahari. Ada yang berjalan menuju bulan, patung dari batu atau apa saja yang tadinya mereka sembah.” Sambung Abdullah bin Mas’ud: “Bagi yang menyembah Isa, maka dijelmakan qarinnya Isa. Bagi yang menyembah Uzair maka dijelmakan qarinnya Uzair. Dan tinggallah tersisa Muhammad s.a.w. dan umatnya. Rabb Azza wa Jalla datang ke tempat mereka dan berfirman: “Kenapa kalian tetap di sini dan tidak berjalan dengan sembahannya masing-masing sebagaimana manusia yang lain?’ Mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami mempunyai Tuhan yang belum pernah kami lihat!’ Allah berfirman: ‘Apakah kalian mengenaliNya jika kalian melihatNya?’ Mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami mempunyai ciri khusus tentang Tuhan kami. Jika kami melihat ciri khusus tersebut, maka mengenaliNya!’ Allah berfirman: ‘Ciri khusus apakah yang dimaksud?’ Mereka menjawab: ‘Ciri khusus tersebut adalah dibukanya tabir penutup.’ Pada saat yang bersamaan, tabir dibuka. Mereka pun jatuh sujud kepadaNya. Ada kaum di mana tulang belakang mereka seperti tanduk lembu. Setiap kali mereka ingin sujud, maka mereka tidak sanggup. Dulu ketika setiap kali mereka diajak bersujud, maka mereka menolak. Kemudian dikatakan: ‘Angkatlah kepala kalian!’ Mereka pun mengangkat kepalanya. Masing-masing dari mereka diberi cahaya sesuai dengan kadar amal perbuatannya.
Ada orang yang diberi cahaya sebesar gunung yang tinggi besar yang memancar di depan mereka. Ada orang yang diberi cahaya sedikit lebih kecil. Dan cahaya paling kecil yang diterima orang adalah sebesar ibu jari kaki di mana cahaya tersebut terkadang bersinar dan terkadang padam. Jika cahaya tersebut bersinar, maka orang tersebut berjalan. Jika padam, maka ia berhenti sedang Tuhan mereka berada di depan mereka hingga ia berjalan melewati neraka sementara cahaya habis tinggal tersisa seperti kilatan pedang’.” Kata Abdullah bin Mas’ud: “Allah berfirman, ‘Silakan berjalan terus!’ Kemudian mereka berjalan sesuai dengan cahaya yang dimilikinya. Ada orang yang berjalan sekejap mata. Ada orang yang berjalan secepat kilat. Ada orang yang berjalan secepat awan. Ada orang yang berjalan secepat perjalanan bintang. Ada orang yang berjalan secepat angin. Ada orang yang berjalan secepat kuda tunggangan yang dipacu. Ada orang yang berjalan secepat kaki yang cepat jalannya. Hingga kemudian lewatlah orang yang diberi cahaya sebesar ibu jari kakinya. Ia berjalan merayap dengan dada bertelanjang. Tangannya digantung. Kakinya sekali waktu ditarik dan sekali waktu digantung dan sekujur tubuhnya dimakan api neraka.’ Ia berjalan seperti itu hingga tiba di seberang. Tiba di seberang, ia berdiri melihat penghuni neraka dan berkata: ‘Alhamdulillah yang telah memberiku apa yang tidak diberikannya kepada orang lain selain diriku. Dia telah menyelamatkanku dari api neraka setelah sebelumnya aku melihatnya’.” Sambung Abdullah bin Mas’ud: “Kemudian orang tersebut pergi menuju kolam di pintu syurga. Ia mandi di dalamnya kemudian aroma dan warna kulit penghuni syurga melekat padanya. Selesai mandi ia melihat apa saja yang ada di dalam syurga dari sela-sela pintu tadi. Ia pun berkata: ‘Tuhanku, masukkan aku ke dalam syurga!’ Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman kepadanya: ‘Apakah engkau masih meminta syurga setelah Aku selamatkan dari neraka?’ Orang tersebut berkata: ‘Tuhanku, buatkan pembatas antara aku dengan syurga sehingga aku tidak mendengar suaranya.’.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...

Kematian, Beristirahat Dan Direhatkan

KALAULAH kita ini rajin dan gemar untuk membaca dan menyelak-nyelak kitab-kitab agama, maka kita akan temui banyak cerita tentang masalah kematian. Kita semua pada hakikatnya memang takut pada mati. Sedangkan mati itu akan menjemput sesiapa pun, walau pun dimana pun kita bersembunyi. Walau pun orang paling takut padanya, namun ia pasti menjemput kita. Dalam kitab agama yang khusus menerangkan mengenai hal “kematian” telah menukil hadis-hadis sahih Rasulullah s.a.w. berhubung dengan bab ini. Hadis-hadis tersebut cukup jelas bahawa kematian itu lebih disukai oleh orang-orang yang “berilmu” atau pun “orang alim”. Rasulullah s.a.w. sendiri dalam banyak hadis baginda menyebut bahawa mati itu sebagai istirahat bagi orang-orang mukmin.
Di muka bumi, kita disibukkan dengan urusan-urusan dunia. Apabila seseorang itu mati (orang mukmin) maka mereka beristirahat dan direhatkan, tanpa buat kerja apa-apa pun. Inilah yang dijelaskan dalam kitab-kitab agama berhubung dengan kematian. Itulah disebutkan tadi, bahawa kalau kita rajin membaca kitab-kitab, maka kita akan temui semuanya ini. Apabila kita sudah membaca hadis-hadis Nabi, kita akan merenung dan memikirkan pula apakah yang sudah “aku buat selain ini untuk beristirahat kelak”. Adakah aku pergi dengan dada kosong? Aku datang menghadap Allah dengan tangan kosong? Apakah amal kebajikan yang sudah aku sediakan untuk bekal ke tempat yang abadi itu? Berikut ini disiarkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. berhubungan dengan “Keutamaan kematian” yang disebut oleh baginda sendiri. Sementara itu pula, para ulama menukilkan pula tentang bab ini menyebut bahawa kematian itu bukan bererti segala-galanya selesai atau pun tamat, tetapi ia merupakan sebagai satu permulaan hidup yang kekal di negara yang akhir sekali bagi matlamat makhluk terutama manusia. Para ulama berpendapat: “Kematian itu bukan bererti ketiadaan sama sekali, bukan juga kefanaan. Akan tetapi, kematian itu hanyalah terputus dan terpisah roh dari badan, pergantian keadaan, dan perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain.” Bilal ibnu Sa’ad dalam sebuah nasihatnya berkata: “Wahai manusia yang masih hidup, sesungguhnya anda semua tidak diciptakan untuk sebuah fana, melainkan untuk keabadian. Anda semua akan berpindah dari satu kampung ke kampung yang lain.” (Dikisahkan oleh Abu Syaikh dalam tafsirnya, juga oleh Abu Nu’aim). Umar bin Abdul Aziz berkata: “Sesungguhnya kalian diciptakan untuk keabadian; kalian akan berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain (melalui kematian).” (Diriwayatkan oleh At-Thabarani dalam Al-Kabir dan Al-Hakim dalam Al-Mustadrak). Abdullah ibnu Amr menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesuatu yang berharga dari seorang mukmin adalah kematian.” (HR. Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, At-Thabarani dalam Al-Kabir, Ibn al-Mubarak dalam Al-Zuhd, dan Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Imam). Jabir dan Al-Husain bin Ali menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kematian adalah tumbuhan wangi bagi seorang mukmin.” (HR. Ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus). Siti Aisyah r.a. menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Kematian merupakan harta rampasan (perang); kematian merupakan musibah; kemiskinan merupakan masa lengang; kekayaan merupakan seksaan; sedangkan akal merupakan cahaya dari Allah. Kebodohan merupakan kesesatan; kezaliman merupakan penyesalan; ketaatan merupakan sesuatu yang enak dipandang mata; tangisan kerana takut kepada Allah merupakan keselamatan dari neraka; tertawa merupakan kebinasaan fizik; dan orang yang bertaubat dari dosa seperti orang yang tidak mempunyai dosa.” (HR. Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, namun ia mendha’ifkannya; juga Ad-Dailami). Mahmud bin Labid menuturkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Ada dua hal yang dibenci oleh anak cucu Adam: kematian – padahal kematian adalah lebih baik baginya daripada fitnah – dan sedikitnya harta – padahal sedikit harta akan lebih ringan hisabnya (pada Hari Kiamat kelak).” (HR. Imam Ahmad dan Sa’id ibn Manshur dengan sanad shahih).
Zar’ah bin Abdillah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda: “Manusia itu lebih mencintai kehidupan, padahal kematian itu lebih baik baginya. Manusia juga lebih mencintai harta yang banyak, padahal sedikit harta itu lebih sedikit hisabnya bagi dirinya.” (HR. Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman. Hadis ini mursal). Abu Qatadah menuturkan bahawa pernah ada seorang jenazah yang diantar orang-orang ke kuburan dengan melewati Nabi s.a.w. Lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Mustarih wa mustarah minhu (yang beristirahat dan yang diistirahatkan).” Para sahabat bertanya: “Apa mustarih dan mustarah minhu itu?” Baginda menjawab: “Orang Mukmin beristirahat dari hal-hal yang memenatkan dan menyakitkan yang ada di dunia menuju rahmat Allah. Sedangkan orang jahat menjadikan negara, pepohonan, dan juga binatang beristirahat darinya.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim). Ibnu Abi Syaibah menuturkan bahawa Yazid bin Abi Ziyad berkata: “Ada beberapa orang yang menghantar jenazah dengan melewati Abu Juhaifah. Lantas dia pun berucap: “Yang beristirehat dan yang diistirehatkan.” Abdullah ibnu Amr bin Ash menuturkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Dunia merupakan penjara sekaligus kemarau bagi seorang mukmin. Apabila ia berpisah dari dunia, berpisah pula ia dari penjara dan kemarau.” (HR. Ibnu al-Mubarak dan At-Thabarani). Ibnu al-Mubarak menuturkan bahawa Abdullah ibnu Amr berkata: “Sesungguhnya dunia ini adalah syurga bagi orang kafir dan penjara bagi orang Mukmin.” Perumpamaan seorang Mukmin ketika dicabut nyawanya adalah seperti seseorang yang berada di penjara lalu dikeluarkan, sehingga dia berlari dan menyebar di bumi. Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf menuturkan bahawa Abdullah ibnu Amr mengatakan: “Dunia ini merupakan penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir. Oleh kerana itu, jika seorang Mukmin meninggal dunia, dia akan memudahkan jalannya dan berlari di dalam syurga sekehendak hatinya.” Ibnu Umar menuturkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda kepada Abu Zar: “Abu Zar, dunia ini adalah penjara bagi orang Mukmin, kuburan adalah tempat yang aman baginya, dan syurga adalah tempat kembalinya. Abu Zar, dunia ini adalah syurga bagi orang kafir, kuburan adalah tempat seksaan baginya, dan neraka adalah tempat kembalinya.” (HR. Abu Nu’aim). Ubadah ibnu ash-Shamit menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada satu nyawa pun di atas muka bumi ini yang mati – sementara di sisi Allah dia mempunyai kebaikan, menginginkan kembali menemui kalian (di dunia), dan memiliki kenikmatan dunia dan seisinya – kecuali orang yang mati syahid. Ia ingin kembali ke dunia dan terbunuh untuk kedua kalinya kerana dia telah mengetahui pahala yang diberikan Allah kepadanya.” (HR. An-Nasa’i, At-Thabarani, dan Ibn Abi ad-Dunya). Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf, Al-Marwazi dalam Al-Jana’iz, dan At-Thabarani menuturkan bahawa Ibnu Mas’ud pernah berkata: “Kejernihan dunia telah pergi dan tidak ada yang tersisa kecuali kekeruhan. Oleh kerana itu, kematian merupakan sesuatu yang berharga bagi seorang muslim.” Ibnu Mas’ud juga pernah mengatakan: “Alangkah baiknya hal-hal yang tidak disukai ini, iaitu: kemiskinan dan kematian.” (Dituturkan oleh Al-Marwazi, Ibnu ad-Dunya, dan Al-Baihaqi). Ibnu Abi Syaibah dan Al-Marwazi menuturkan bahawa Thawus pernah berkata: “Agama seseorang tidak akan melindunginya kecuali lubang kuburnya.” Ibnu al-Mubarak dalam al-Zuhd. Ibnu Syaibah, dan Al-Marwazi menuturkan bahawa Ar-Rabi ibnu Khutsaim pernah berkata: “Tidak ada suatu hal ghaib pun yang lebih baik untuk ditunggu oleh seorang Mukmin selain kematian.” Ibnu Abi ad-Dunya menuturkan bahawa Malik ibnu Maghul pernah bercerita: “Pernah sampai kepadaku khabar yang menyatakan bahawa kebahagiaan pertama yang masuk ke dalam diri seseorang Mukmin adalah kematian, kerana (dalam kematian itu) dia melihat adanya kemuliaan dan pahala dari Allah.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...

Mennghukum Jangan Dengar Cakap Orang

DALAM satu perbincangan yang tidak rasmi dengan beberapa orang penggiat agama dan ada juga seorang dua tokoh agama, timbul pelbagai masalah berkait dengan soal hukum hakam, boleh tidak boleh, halal dan haramnya perkara yang kita lakukan. Perbincangan yang tidak mempunyai topik yang khusus itu timbul juga soal bahawa ada orang melakukan ibadat seperti sembahyang, puasa dan rukun-rukun lain menurut kemampuannya, tetapi dalam pada itu dia juga melanggar syariat dengan memakai seluar pendek setiap hari. Orang ini memakainya bukan sahja di dalam rumahnya, tetapi dimana-mana pun seperti ke pasar, pasar malam dan tempat-tempat awam, apakah orang ini berdosa dan akan masuk neraka? Seorang yang lain menjawab: “Orang itu berdosa sahaja. Dia sembahyang, puasa dan lain-lain kebajikan dia pasti dapat pahala. Dia berdosa kerana menampakkan auratnya...” “Agama melarang kita pakai seluar pendek kerana nampak lutut sampai ke atas bagi lelaki, orang perempuan pula kenalah pakai “kerudung”, tetapi kalau dia tak pakai, dia juga (wanita) tetap berdosa, kerana mendedahkan aurat. Dia berdosa dan akan masuk neraka,” kata seorang kawan yang lain.
Seorang kawan lain pula menyampuk: “Soal masuk neraka atau pun syurga bukan soal kita. Itu hak Allah s.w.t., kita tidak boleh masuk campur. “Masuk syurga atau pun neraka bagi seseorang itu kerana dosanya atau pun pahalanya, maka hak Allahlah di mana Allah nak hantar mereka. “Kalau Allah ampunkan dosanya, kerana dia banyak buat kebajikan, boleh jadi dia masuk syurga. Jadi dalam hal ini kita tidak boleh tentukan seseorang masuk neraka atau pun sebaliknya, kerana pakai seluar pendek dan tak pakai kerudung.” Saya yang ada sama dalam perdebatan secara tidak rasmi itu hanya tersenyum mendengarnya. Masing-masing nampaknya mempunyai hujah yang munasabah. Memanglah yang pakai seluar pendek bagi lelaki, dan yang tidak “berkerudung” bagi wanita mengikuti dalil-dalil “Quran dan Sunah”, mereka ke neraka. Tetapi kita sebagai orang Islam mestilah memikirkan tentang pertimbangan-pertimbangan lain. Pertimbangan Allah dengan pertimbangan manusia tentu tidak sama. Allah s.w.t. Maha Tahu. Allah Maha mengetahui diri seseorang itu. Allah membuat perhitungan dan pertimbangan itu bukan satu perkara sahaja, tetapi dari banyak perkara yang manusia lakukan. Dalam surah “Al-Zalzalah” Allah s.w.t. telah menjelaskan bahawa mereka yang membuat kebaikan sebesar biji sawi akan dibalas, dan mereka yang melakukan kejahatan sebesar biji sawi sekali pun akan dibalas juga. Maksud disini, Allah s.w.t. akan menilai semua amalan baik dan jahat dengan catatan “baik” dan “buruk”. Kalau natijah dari penilaian itu perbuatan “baik” lebih berat dari “kejahatan”, maka orang itu akan masuk ke syurga. Tetapi kalau penilaian itu “jahat” ertinya orang itu banyak buat “kejelekan”, maka dalilnya dia akan dimasukkan ke neraka.
Sebenarnya, ramai orang bercakap hanya menggunakan “akal” sahaja, tetapi tidak berdasarkan kepada nas-nas Quran dan sunah Rasulullah. dalam menentukan hukum agama, kita tidak boleh digunakan akal sahaja, tetapi sumber utama Quran dan hadis mesti didahulukan. Kita boleh lihat sendiri berapa ramai orang cerdik pandai yang bertaraf Profesor juga “tewas” kerana hanya menggunakan akal, tanpa mengambil kira dua sumber asli yang besar ini. Iblis memang mudah “menewaskan” bagi mereka yang hanya menggunakan akal sahaja. Tetapi dalam pada itu, kita mesti juga dengar bahawa buatan bidaah walau pun dianggap baik oleh setengah-setengah penegak-penegak bidaah tidak akan membawa kearah ke syurga, kerana ini melanggar syariat Rasul.
Dalam beragama kita tidak boleh tambah-tambah, tidak boleh tokok sana tokok sini, lebih-lebih dalam bidang beribadat kepada Allah. Semuanya Allah s.w.t. sudah tentukan caranya dan kaedahnya. Jadi, bagi seseorang itu tidak boleh menghukum orang lain dengan mengatakan masuk neraka, kerana melanggar perintah Allah. Bagaimana kalau orang itu “bertaubat” sebelum menghembuskan nafasnya yang akhir? Bagaimana pula dosa-dosanya Allah s.w.t. ampunkan sebelum dia mati? Kita hanya nampak dia pakai seluar pendek, memanglah berdosa tetapi pada waktu-waktu lain pula dia banyak buat “kebaikan” dan kebajikan? Di Mahsyar Allah ada sediakan “mizan” tempat timbang atau pun “neraca”. Semua makhluk akan ditimbang atau pun akan dihisab di sini. Allah s.w.t. itu Maha Adil, Maha segala-galanya. Sebesar mana pun dosa atau pun pahala seseorang itu akan ditimbang melalui “Mizan” yang disediakan di Padang Mahsyar itu. Sebagaimana yang disebutkan, sesiapa yang timbangannya berat kerana banyak membuat kebajikan dan amalan, maka tempatnya menghala ke Syurga.
Dan sebaliknya mereka yang timbangannya berat kepada membuat “mungkar” akan menuju atau menghala ke Neraka. Itulah proses yang berlaku. Keadilan tetap ditegakkan di akhirat kelak. Di dunia ini tidak ada keadilan yang mutlak. Manusia membuat undang-undang sendiri, dan membuat pertimbangan sendiri tanpa berdasarkan kepada dua sumber hukum asli iaitu “Al-Quran dan Sunah”. Itulah sebabnya jadi “kacau bilau” dibuatnya, kerana keadilan tidak tegak dengan betul.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...