Sekarang ini dimana-mana pun ada rasuah. Sama ada di Jabatan Kerajaan, bukan Kerajaan, swasta perbuatan ini terjadi. Pendeknya dimana sahaja orang ramai berurusan mengenai hal peribadi, hal umum, hal yang berkaitan dengan perniagaan akan terjadi rasuah. Sehingga hal-hal yang berkait dengan agama pun, orang tidak peduli lagi tentang rasuah. Semuanya dikebas. Pendeknya semua disapu asalkan dapat duit. Halal-haram tidak peduli. Mereka berpendapat, sekarang ini semua orang makan rasuah. Makan duit haram, beri makan anak bini. Beri makan ayah ibu, ayah mertua, ibu mertua dan saudara mara dengan duit dari rezeki haram hasil rasuah. Pendeknya cerita “makan duit haram”, dimana-mana pun ada seluruh dunia. Sama ada ia dunia Islam, bukan Islam, rasuah dan makan duit haram semakin menjadi-jadi. Makan duit haram, maka harta haram yang bukan dari titik peluh sendiri, memeras harta orang lain secara haram, bukanlah lagi cerita main-main. Sebenarnya, kisah duit haram ini adalah cerita yang berkait berpanjangan. Ia tidak selesai diatas dunia, bahkan ia akan berjalan dibawa hingga ke akhirat nanti. Ada manusia memang tidak bersyukur. Di samping menerima nikmat Allah s.w.t. yang melimpah ruah setiap saat, ada diantara mereka tidak berlaku adil, dan tidak bersyukur atas nikmat yang diterimanya itu. Agama menyuruh orang-orang berlaku adil, tetapi ada orang-orang tidak begitu, tetapi melakukan sebaliknya dengan mengambil rasuah, dan ini boleh dianggap sebagai “saudara syaitan”.
Disamping itu, ada orang yang diberi tanggungjawab bagi mencegahnya atas perbuatan jahat ini, tetapi orang-orang ini “mendiamkan diri”. Mereka yang tidak amanah dan mengambil rasuah tidak dihukum dan dibebaskan bermaharaja lela. Rasuah, satu perbuatan yang keji dan kotor. Islam melarang, mengutuk perbuatan tersebut sehingga bila-bila pun. Mengumpul harta tidak dilarang. Bagi seorang muslim, tidak ada larangan untuk menghimpun harta sebanyak-banyaknya, selama harta itu dikumpulkan secara halal, dan dikembangkan juga dengan cara yang syarie. Jika ada sebahagian agama dikatakan: “Orang kaya tidak akan masuk singgahsana langit hingga ada seekor unta masuk kelubang jarum”, maka untuk jawapan itu, Islam mengatakan begini: “Sebaik-baik harta ialah harta yang dimiliki orang salih.” Hadis riwayat Ahmad. Islam tetap melindungi harta seseorang itu secara sah dan dilindungi juga oleh undang-undang supaya harta hak milik individu itu secara halal dan sah tidak dirampas oleh pencuri, penyamun atau pun penipu. Rasulullah s.a.w. menghimpunkan antara kehormatan harta, darah, dan harga diri dalam satu kaitan kalimat, dan menjadikan pencurian sebagai kontra atas tuntutan iman. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda diriwayat Muttafqun alaih yang ertinya: “Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedang ia dalam keadaan beriman.” Kemudian Allah s.w.t. pula berfirman dalam surah al-Maidah ayat 38 yang ertinya: “Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan atas apa yang mereka kerjakan dan seksaan dari Allah. Dan adalah Allah Maha Perkasa dan maha Bijaksana.” Nabi Muhammad s.a.w. dalam satu sabdanya yang lain pula yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam sahihnya yang ertinya: “Tidaklah dihalalkan bagi seorang muslim untuk mengambil tongkat saudaranya tanpa kerelaan perasaan dirinya.” Dalam soal memakan harta orang lain, dalam Kitab Suci Al-Quran Allah s.w.t. telah mengingatkan dalam surah An-Nisa’ ayat 29 yang maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah saling memakan harta sesama kamu dengan cara bathil (tak betul), kecuali dengan cara perdagangan (berniaga) yang berlaku suka sesama suka diantara kamu.” Kita tidak dilarang mengumpul harta, tetapi dengan cara yang halal dan betul harta yang kita perolehi itu. Kita juga tidak dilarang mengumpulkan apa juga harta asalkan harta itu kita agihkan pula kepada mereka yang memerlukannya apabila sudah cukup nisabnya (membayar zakat).
Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...
Thursday, January 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment