KALAULAH kita ini rajin dan gemar untuk membaca dan menyelak-nyelak kitab-kitab agama, maka kita akan temui banyak cerita tentang masalah kematian. Kita semua pada hakikatnya memang takut pada mati. Sedangkan mati itu akan menjemput sesiapa pun, walau pun dimana pun kita bersembunyi. Walau pun orang paling takut padanya, namun ia pasti menjemput kita. Dalam kitab agama yang khusus menerangkan mengenai hal “kematian” telah menukil hadis-hadis sahih Rasulullah s.a.w. berhubung dengan bab ini. Hadis-hadis tersebut cukup jelas bahawa kematian itu lebih disukai oleh orang-orang yang “berilmu” atau pun “orang alim”. Rasulullah s.a.w. sendiri dalam banyak hadis baginda menyebut bahawa mati itu sebagai istirahat bagi orang-orang mukmin.
Di muka bumi, kita disibukkan dengan urusan-urusan dunia. Apabila seseorang itu mati (orang mukmin) maka mereka beristirahat dan direhatkan, tanpa buat kerja apa-apa pun. Inilah yang dijelaskan dalam kitab-kitab agama berhubung dengan kematian. Itulah disebutkan tadi, bahawa kalau kita rajin membaca kitab-kitab, maka kita akan temui semuanya ini. Apabila kita sudah membaca hadis-hadis Nabi, kita akan merenung dan memikirkan pula apakah yang sudah “aku buat selain ini untuk beristirahat kelak”. Adakah aku pergi dengan dada kosong? Aku datang menghadap Allah dengan tangan kosong? Apakah amal kebajikan yang sudah aku sediakan untuk bekal ke tempat yang abadi itu? Berikut ini disiarkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. berhubungan dengan “Keutamaan kematian” yang disebut oleh baginda sendiri. Sementara itu pula, para ulama menukilkan pula tentang bab ini menyebut bahawa kematian itu bukan bererti segala-galanya selesai atau pun tamat, tetapi ia merupakan sebagai satu permulaan hidup yang kekal di negara yang akhir sekali bagi matlamat makhluk terutama manusia. Para ulama berpendapat: “Kematian itu bukan bererti ketiadaan sama sekali, bukan juga kefanaan. Akan tetapi, kematian itu hanyalah terputus dan terpisah roh dari badan, pergantian keadaan, dan perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain.” Bilal ibnu Sa’ad dalam sebuah nasihatnya berkata: “Wahai manusia yang masih hidup, sesungguhnya anda semua tidak diciptakan untuk sebuah fana, melainkan untuk keabadian. Anda semua akan berpindah dari satu kampung ke kampung yang lain.” (Dikisahkan oleh Abu Syaikh dalam tafsirnya, juga oleh Abu Nu’aim). Umar bin Abdul Aziz berkata: “Sesungguhnya kalian diciptakan untuk keabadian; kalian akan berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain (melalui kematian).” (Diriwayatkan oleh At-Thabarani dalam Al-Kabir dan Al-Hakim dalam Al-Mustadrak). Abdullah ibnu Amr menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesuatu yang berharga dari seorang mukmin adalah kematian.” (HR. Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, At-Thabarani dalam Al-Kabir, Ibn al-Mubarak dalam Al-Zuhd, dan Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Imam). Jabir dan Al-Husain bin Ali menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kematian adalah tumbuhan wangi bagi seorang mukmin.” (HR. Ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus). Siti Aisyah r.a. menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Kematian merupakan harta rampasan (perang); kematian merupakan musibah; kemiskinan merupakan masa lengang; kekayaan merupakan seksaan; sedangkan akal merupakan cahaya dari Allah. Kebodohan merupakan kesesatan; kezaliman merupakan penyesalan; ketaatan merupakan sesuatu yang enak dipandang mata; tangisan kerana takut kepada Allah merupakan keselamatan dari neraka; tertawa merupakan kebinasaan fizik; dan orang yang bertaubat dari dosa seperti orang yang tidak mempunyai dosa.” (HR. Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, namun ia mendha’ifkannya; juga Ad-Dailami). Mahmud bin Labid menuturkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Ada dua hal yang dibenci oleh anak cucu Adam: kematian – padahal kematian adalah lebih baik baginya daripada fitnah – dan sedikitnya harta – padahal sedikit harta akan lebih ringan hisabnya (pada Hari Kiamat kelak).” (HR. Imam Ahmad dan Sa’id ibn Manshur dengan sanad shahih).
Zar’ah bin Abdillah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda: “Manusia itu lebih mencintai kehidupan, padahal kematian itu lebih baik baginya. Manusia juga lebih mencintai harta yang banyak, padahal sedikit harta itu lebih sedikit hisabnya bagi dirinya.” (HR. Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman. Hadis ini mursal). Abu Qatadah menuturkan bahawa pernah ada seorang jenazah yang diantar orang-orang ke kuburan dengan melewati Nabi s.a.w. Lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Mustarih wa mustarah minhu (yang beristirahat dan yang diistirahatkan).” Para sahabat bertanya: “Apa mustarih dan mustarah minhu itu?” Baginda menjawab: “Orang Mukmin beristirahat dari hal-hal yang memenatkan dan menyakitkan yang ada di dunia menuju rahmat Allah. Sedangkan orang jahat menjadikan negara, pepohonan, dan juga binatang beristirahat darinya.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim). Ibnu Abi Syaibah menuturkan bahawa Yazid bin Abi Ziyad berkata: “Ada beberapa orang yang menghantar jenazah dengan melewati Abu Juhaifah. Lantas dia pun berucap: “Yang beristirehat dan yang diistirehatkan.” Abdullah ibnu Amr bin Ash menuturkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Dunia merupakan penjara sekaligus kemarau bagi seorang mukmin. Apabila ia berpisah dari dunia, berpisah pula ia dari penjara dan kemarau.” (HR. Ibnu al-Mubarak dan At-Thabarani). Ibnu al-Mubarak menuturkan bahawa Abdullah ibnu Amr berkata: “Sesungguhnya dunia ini adalah syurga bagi orang kafir dan penjara bagi orang Mukmin.” Perumpamaan seorang Mukmin ketika dicabut nyawanya adalah seperti seseorang yang berada di penjara lalu dikeluarkan, sehingga dia berlari dan menyebar di bumi. Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf menuturkan bahawa Abdullah ibnu Amr mengatakan: “Dunia ini merupakan penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir. Oleh kerana itu, jika seorang Mukmin meninggal dunia, dia akan memudahkan jalannya dan berlari di dalam syurga sekehendak hatinya.” Ibnu Umar menuturkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda kepada Abu Zar: “Abu Zar, dunia ini adalah penjara bagi orang Mukmin, kuburan adalah tempat yang aman baginya, dan syurga adalah tempat kembalinya. Abu Zar, dunia ini adalah syurga bagi orang kafir, kuburan adalah tempat seksaan baginya, dan neraka adalah tempat kembalinya.” (HR. Abu Nu’aim). Ubadah ibnu ash-Shamit menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada satu nyawa pun di atas muka bumi ini yang mati – sementara di sisi Allah dia mempunyai kebaikan, menginginkan kembali menemui kalian (di dunia), dan memiliki kenikmatan dunia dan seisinya – kecuali orang yang mati syahid. Ia ingin kembali ke dunia dan terbunuh untuk kedua kalinya kerana dia telah mengetahui pahala yang diberikan Allah kepadanya.” (HR. An-Nasa’i, At-Thabarani, dan Ibn Abi ad-Dunya). Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf, Al-Marwazi dalam Al-Jana’iz, dan At-Thabarani menuturkan bahawa Ibnu Mas’ud pernah berkata: “Kejernihan dunia telah pergi dan tidak ada yang tersisa kecuali kekeruhan. Oleh kerana itu, kematian merupakan sesuatu yang berharga bagi seorang muslim.” Ibnu Mas’ud juga pernah mengatakan: “Alangkah baiknya hal-hal yang tidak disukai ini, iaitu: kemiskinan dan kematian.” (Dituturkan oleh Al-Marwazi, Ibnu ad-Dunya, dan Al-Baihaqi). Ibnu Abi Syaibah dan Al-Marwazi menuturkan bahawa Thawus pernah berkata: “Agama seseorang tidak akan melindunginya kecuali lubang kuburnya.” Ibnu al-Mubarak dalam al-Zuhd. Ibnu Syaibah, dan Al-Marwazi menuturkan bahawa Ar-Rabi ibnu Khutsaim pernah berkata: “Tidak ada suatu hal ghaib pun yang lebih baik untuk ditunggu oleh seorang Mukmin selain kematian.” Ibnu Abi ad-Dunya menuturkan bahawa Malik ibnu Maghul pernah bercerita: “Pernah sampai kepadaku khabar yang menyatakan bahawa kebahagiaan pertama yang masuk ke dalam diri seseorang Mukmin adalah kematian, kerana (dalam kematian itu) dia melihat adanya kemuliaan dan pahala dari Allah.”
Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...
Wednesday, January 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment