BUATLAH RUANGAN SASTERA
Saudara pengarang,
Nampaknya Hidayah masuk tahun kesebelas ini makin matang dan stabil. Bukan saja dari segi persembahan lay-outnya, malah bahan-bahannya juga memang berkualiti dan tersendiri. Saya mensarankan apalah kiranya tuan sudi meluangkan beberapa halaman untuk diisi dengan penulisan sasteranya seperti cerpen dan puisi. Tentunya pilihan yang terbaik ialah yang bernafaskan keislaman. Dengan membuka ruangan tersebut, tentunya akan memberi kesempatan kepada para penulis bakat baru untuk mengirimkan karya mereka bagi dinikmati oleh para pembaca. Atau apa kata kalau Hidayah anjurkan semacam peraduan penulisan rencana dengan mengemukakan berbagai tema. Hadiahnya tentu boleh dirundingkan dengan pihak penaja. Sambutan mungkin hebat, terutama kepada para penulis remaja. Tentunya rencana yang terpilih boleh diantolojikan dan diterbitkan oleh Hidayah.
Apakah tuan setuju dengan cadangan ini?
Wassalam!
Azizah Airifin,
Taiping,
Perak.
• Setuju tu memang setuju...tapi untuk mengelolakannya perlu diuruskan oleh urusetia yang berpengalaman. Mungkin jika ada penajanya, Hidayah amat mengalu-alukannya. Tak cukup tangan, Taman Permata ini ditadahkan...Pengarang
DOAKANLAH DIA...
Saudara pengarang,
Saya tertarik untuk memberi komen dengan sebuah siri drama tempatan TV yang dikatakan ditonton oleh jutaan penonton pada setiap kali siarannya. Dikatakan antara faktor drama tersebut diminati ialah penampilan pelakon wanita watak utamanya (juga pelakon pembantunya) yang bertudung dan menampilkan imej wanita salihah.
Saya sebenarnya tak ambil kisah dengan penerbitan drama TV tempatan selama ini. Apa tidaknya, setiap yang dipaparkan temanya balik-balik kisah masalah keluarga, bergaduh, berebut harta, ahli-ahli perniagaan yang hebat-hebat (pelakon lelakinya mesti pakai tali leher), kenderaan pun mewah dan hebat-hebat seolah-olah kaum Melayu tu semuanya hebat-hebat belaka dalam dunia perniagaan korporat. Penggambarannnya juga, untuk memenuhi waktu tayangan, maka dilama-lamakan menonjol babak makan la, berbual dalam telefon la... buka dan tutup pintu keretapun lama-lama la... dan sebagainya. Namun nampaknya agak berlainan juga dengan siri drama yang berjuta penonton itu. Lokasi penggambaran menarik, babak-babak berjalan lancar, tak ada minum teh lama-lama... Namun yang musykilnya, pelakon wanita utama drama itu hanya bertudung dalam drama tersebut saja. Di luar drama, habis buka semua. Siap tunjuk ketiak lagi. Apa pendapat tuan pengarang dengan wanita seperti ini. Munafikkah dia, atau tak dapat hidayahkan dia? Tolong beri komen sikit.
Muhammad Syahid,
Alor Gajah,
Melaka.
• Kita boleh mengukur seseorang itu dari segi zahirnya saja. Dalam hatinya Tuhan saja yang tahu. Kalau ada sifat munafik pada seseorang, biarlah dia berurusan dengan Allah saja. Kalau anda kasihan kepadanya, doakanlah agar dia mendapat hidayah. Dapat jadi menantu kepada keluarga yang baik-baik atau sebagainya. Mahunya begitulah...Amin! Pengarang.
JANGAN MAIN FITNAH
Saudara pengarang,
Kebelakangan ini bukan main hebatnya tersebar fitnah. Fitnah orang itu, fitnah orang ini. Pendengarpun kagum. Kaki pengampu yang mengendeng-ngendengpun tersengeh-sengeh, terangguk-angguk dan mengiyakan apa yang difitnahkan itu. Buka saja akhbar, terpampang muka pertama kisah fitnah itu, fitnah ini. Orang yang baik-baik dah jadi tak baik. Orang yang memang tak baik, nampak jadi baik pula. Terbalik habis. Fitnah memang hebat...
Media massa juga memang hebat. Penulis blog pun turut hebat. Berdekah-dekah pengendalinya melihat yang kena fitnah tunggang terbalik. Dalam hati berkata; padan muka dia...puaslah hati tu. Syaitan pun datang tepuk-tepuk bahu sambil ucap syabas! Yang buat fitnah dapatlah upah sikit-sikit. Itu pun dah bangga sangat dah...Yang peliknya, yang tak dapat upah pun tumpang sekaki. Tunjuk alim, tolong beri nasihat.
Harap Hidayah jangan termasuk dalam golongan media penyebar fitnah.
Wassalam!
Yusuf bin Din,
Gua Musang,
Kelantan.
• Semoga penyebar fitnah itu bertaubatlah segera. Ingatlah apa yang dikatakan Huzaifah r.a. dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyebar fitnah.” (HR. Bukhari, Muslim) – Pengarang
Thursday, January 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Saudara Shahimi,
masihkah ada peluang untuk menjadi wartawan Hidayah?bolehkan dilakukan secara sambilan atau sekadar menghantar artikel sahaja?
Hasan Boestari
Post a Comment