APAKAH benar “Wahabi” itu satu fahaman sesat? Kerana diwaktu kebelakangan ini timbul kebimbangan dikalangan pihak tertentu yang tidak senang dengan penyebaran Wahabi yang dianggap penyebaran semakin meluas. Ada seorang ilmuan Islam yang dua tiga tahun lalu telah menimbulkan isu ini yang katanya, penyebaran fahaman Wahabi ini meluas dikalangan anak-anak muda dalam negara kita. Yang dimaksudkan oleh “ilmuan Islam” ini anak-anak muda itu ialah beliau merujuk kepada para pelajar kita yang baru pulang menuntut di luar negara seperti Jordan, Arab Saudi, iaitu di Makkah dan Madinah, Mesir, Yaman, dan beberapa buah negara Islam lain. Para pelajar ini pulang ke tanah air dengan membawa ilmu yang dipelajarinya dari para ulama besar dari pusat-pusat pengajian tinggi negara-negara tersebut. Mereka ini mendapat biasiswa Kerajaan yang tujuannya meluaskan atau pun menambahkan ilmuan Islam yang kemudian disebarkan dikalangan rakyat negara sendiri.
Kadang-kadang menjadi tanda tanya dikalangan kita semua “siapakah yang dimaksudkan dengan golongan Wahabi ini? Dan apakah fahaman yang dianut oleh mereka?” Apakah mereka ini termasuk dalam golongan “Ahlus Sunah Waljamaah” atau pun termasuk dalam golongan ajaran sesat yang perlu dibanteras sehingga ke akar umbi? Isu tersebut menjadi heboh dan panas semula dalam masyarakat Islam dan masyarakat awam dari mereka yang berpengetahuan cetek dalam agama sehinggalah kepada golongan yang dianggap sebagai “ilmuan Islam”. Dalam masalah Wahabi ini, apa “benda”nya yang kita mahu selesaikan, apakah kita mahu menanganinya iaitu Wahabi ini sebagai satu ajaran sesat. Atau pun sekadar kita mempertikaikan tentang hal-hal kontroversi yang ditimbulkan itu? Iaitu seperti kenduri arwah, talkin mayat atas kubur, baca Quran atas kuburan dan lain-lain?
Dalam satu kajian yang dibuat oleh satu kumpulan dari pihak tertentu memberikan pandangan tentang isu Wahabi berkata kalau, “kita mahu mengatakan Wahabi ini satu kumpulan ajaran sesat, kita akan terjebak dengan sebuah negara Islam yang paling besar di dunia, dan kita juga terjebak dengan para ulama-ulama besar dan tersohor dalam dunia Islam. Kajian itu menyebut kalau itu yang kita mahu menanganinya, maka kita telah menghukum sebuah negara Islam yang terbesar di dunia sebagai sesat. Begitu juga dengan para ulama yang tersohor seperti Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim, al-Zahaby, Ibnu Kathir, Ibnu Abi Al-Izz, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Baz, Yusoff Al-Qardawi dan ramai yang lain sebagai sesat juga? Oleh kerana kebanyakan dari kita-kita ini cuma dengar cakap-cakap orang sahaja mengenai Wahabi ini, tetapi tahu kedudukan yang sebenarnya, maka timbul salah faham dan membuat tuduhan bahawa Wahabi itu sesat dan menyeleweng dari Islam. Sebenarnya tidak ada “istilah Wahabi”. Yang ada hanya “Islam”. Wahabi bukan “Mazhab”. Cubalah kita baca buku-buku yang menerangkan atau pun yang menjelaskan tentang gerakan apa yang disebut sebagai Wahabi ini. Gerakan ini dilakukan oleh seorang tokoh ulama besar dunia zaman dulu yang melihat adanya penyelewengan dalam agama terutama dari segi akidah. Tokoh itu ialah Muhammad bin Abdul Wahab, yang mengajak umat Islam kembali kepada ajaran “Quran dan sunah”. Salahkah seorang ulama yang mengajak kita (umat Islam) kembali kepada asas dianggap satu gerakan penyelewengan? Gerakan Muhammad Abdul Wahab ini mendapat sokongan dari Ibnu Su’ud, yang sekarang keturunannya menerajui pemerintah Saudi Arabia. Itulah yang disebutkan awal-awal tadi bahawa kalau kita mahu menuduh fahaman wahabi ini sebagai gagal, kita akan terjebak dengan sebuah negara Islam terbesar di dunia iaitu Saudi Arabia. Negara inilah terletaknya Bandar Suci Makkah, Madinah, disinilah juga lahirnya junjungan agung kita Muhammad s.a.w., lahirnya tokoh-tokoh Islam, pejuang-pejuang Islam yang besar dan hebat. Di negara inilah letaknya Makkah. Disinilah adanya sebuah Masjid yang paling agung di muka bumi ini iaitu “Masjidil Haram”. Di dalam Masjid inilah terletaknya, dan dibangunkan “Kaabah”, rumah Allah, Kiblat (arah tuju) umat Islam seluruh dunia. Di Bandar Suci Makkah yang letaknya didalam sebuah negara Islam terbesar ini, tempat tumpuan umat Islam seluruh dunia mengerjakan ibadat haji, rukun Islam yang kelima.
Muhammad Abdul Wahab yang berasal dari negara ini iaitu negara Islam terbesar di dunia melihat gejala-gejala kurang sihat mula melebar di daerahnya. Sebagai tokoh agama yang berwibawa adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membetulkannya dan membela kepada kebenaran. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sentiasa ada sekelompok dari umatku yang tampil membela kebenaran. Tidak memudaratkan mereka, orang-orang yang menghinakannya. Sampai datang keputusan Allah (kiamat), sedangkan mereka tetap dalam keadaan seperti itu.” Rasulullah menjelaskan bahawa yang terakhir di antara mereka akan memerangi dajjal, dan akan turun di tengah-tengah mereka Isa bin Maryam a.s. pada saat akan terjadinya hari Kiamat. Golongan tersebut ialah orang-orang yang selalu berada pada manhaj nubuwat, yang setia mengamalkan sunah Nabi, yang konsisten pada jemaah, dan menempuh jalan para Salafusshalih. Mereka itulah yang disebut sebagai golongan (Ahlussunah wal Jamaah) yang tidak mengenal ruang dan waktu. Pada zaman tertentu jumlah mereka cukup banyak, pada zaman yang lain jumlah mereka hanya sedikit. Disuatu tempat jumlah mereka cukup banyak, namun ditempat yang lain jumlah mereka hanya sedikit.
Seorang ulama dan penulis yang terkenal Profesor Dr. Nashir bin Abdul Karim Al-Aql dalam bukunya yang berjudul “Islamiyah La Wahabiyah” yang sudah pun diterjemahkan dalam huraiannya sangat mendalam mengenai sejarah perjuangan Muhammad Abdul Wahab ini.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...
Thursday, January 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment