DALAM satu perbincangan yang tidak rasmi dengan beberapa orang penggiat agama dan ada juga seorang dua tokoh agama, timbul pelbagai masalah berkait dengan soal hukum hakam, boleh tidak boleh, halal dan haramnya perkara yang kita lakukan. Perbincangan yang tidak mempunyai topik yang khusus itu timbul juga soal bahawa ada orang melakukan ibadat seperti sembahyang, puasa dan rukun-rukun lain menurut kemampuannya, tetapi dalam pada itu dia juga melanggar syariat dengan memakai seluar pendek setiap hari. Orang ini memakainya bukan sahja di dalam rumahnya, tetapi dimana-mana pun seperti ke pasar, pasar malam dan tempat-tempat awam, apakah orang ini berdosa dan akan masuk neraka? Seorang yang lain menjawab: “Orang itu berdosa sahaja. Dia sembahyang, puasa dan lain-lain kebajikan dia pasti dapat pahala. Dia berdosa kerana menampakkan auratnya...” “Agama melarang kita pakai seluar pendek kerana nampak lutut sampai ke atas bagi lelaki, orang perempuan pula kenalah pakai “kerudung”, tetapi kalau dia tak pakai, dia juga (wanita) tetap berdosa, kerana mendedahkan aurat. Dia berdosa dan akan masuk neraka,” kata seorang kawan yang lain.
Seorang kawan lain pula menyampuk: “Soal masuk neraka atau pun syurga bukan soal kita. Itu hak Allah s.w.t., kita tidak boleh masuk campur. “Masuk syurga atau pun neraka bagi seseorang itu kerana dosanya atau pun pahalanya, maka hak Allahlah di mana Allah nak hantar mereka. “Kalau Allah ampunkan dosanya, kerana dia banyak buat kebajikan, boleh jadi dia masuk syurga. Jadi dalam hal ini kita tidak boleh tentukan seseorang masuk neraka atau pun sebaliknya, kerana pakai seluar pendek dan tak pakai kerudung.” Saya yang ada sama dalam perdebatan secara tidak rasmi itu hanya tersenyum mendengarnya. Masing-masing nampaknya mempunyai hujah yang munasabah. Memanglah yang pakai seluar pendek bagi lelaki, dan yang tidak “berkerudung” bagi wanita mengikuti dalil-dalil “Quran dan Sunah”, mereka ke neraka. Tetapi kita sebagai orang Islam mestilah memikirkan tentang pertimbangan-pertimbangan lain. Pertimbangan Allah dengan pertimbangan manusia tentu tidak sama. Allah s.w.t. Maha Tahu. Allah Maha mengetahui diri seseorang itu. Allah membuat perhitungan dan pertimbangan itu bukan satu perkara sahaja, tetapi dari banyak perkara yang manusia lakukan. Dalam surah “Al-Zalzalah” Allah s.w.t. telah menjelaskan bahawa mereka yang membuat kebaikan sebesar biji sawi akan dibalas, dan mereka yang melakukan kejahatan sebesar biji sawi sekali pun akan dibalas juga. Maksud disini, Allah s.w.t. akan menilai semua amalan baik dan jahat dengan catatan “baik” dan “buruk”. Kalau natijah dari penilaian itu perbuatan “baik” lebih berat dari “kejahatan”, maka orang itu akan masuk ke syurga. Tetapi kalau penilaian itu “jahat” ertinya orang itu banyak buat “kejelekan”, maka dalilnya dia akan dimasukkan ke neraka.
Sebenarnya, ramai orang bercakap hanya menggunakan “akal” sahaja, tetapi tidak berdasarkan kepada nas-nas Quran dan sunah Rasulullah. dalam menentukan hukum agama, kita tidak boleh digunakan akal sahaja, tetapi sumber utama Quran dan hadis mesti didahulukan. Kita boleh lihat sendiri berapa ramai orang cerdik pandai yang bertaraf Profesor juga “tewas” kerana hanya menggunakan akal, tanpa mengambil kira dua sumber asli yang besar ini. Iblis memang mudah “menewaskan” bagi mereka yang hanya menggunakan akal sahaja. Tetapi dalam pada itu, kita mesti juga dengar bahawa buatan bidaah walau pun dianggap baik oleh setengah-setengah penegak-penegak bidaah tidak akan membawa kearah ke syurga, kerana ini melanggar syariat Rasul.
Dalam beragama kita tidak boleh tambah-tambah, tidak boleh tokok sana tokok sini, lebih-lebih dalam bidang beribadat kepada Allah. Semuanya Allah s.w.t. sudah tentukan caranya dan kaedahnya. Jadi, bagi seseorang itu tidak boleh menghukum orang lain dengan mengatakan masuk neraka, kerana melanggar perintah Allah. Bagaimana kalau orang itu “bertaubat” sebelum menghembuskan nafasnya yang akhir? Bagaimana pula dosa-dosanya Allah s.w.t. ampunkan sebelum dia mati? Kita hanya nampak dia pakai seluar pendek, memanglah berdosa tetapi pada waktu-waktu lain pula dia banyak buat “kebaikan” dan kebajikan? Di Mahsyar Allah ada sediakan “mizan” tempat timbang atau pun “neraca”. Semua makhluk akan ditimbang atau pun akan dihisab di sini. Allah s.w.t. itu Maha Adil, Maha segala-galanya. Sebesar mana pun dosa atau pun pahala seseorang itu akan ditimbang melalui “Mizan” yang disediakan di Padang Mahsyar itu. Sebagaimana yang disebutkan, sesiapa yang timbangannya berat kerana banyak membuat kebajikan dan amalan, maka tempatnya menghala ke Syurga.
Dan sebaliknya mereka yang timbangannya berat kepada membuat “mungkar” akan menuju atau menghala ke Neraka. Itulah proses yang berlaku. Keadilan tetap ditegakkan di akhirat kelak. Di dunia ini tidak ada keadilan yang mutlak. Manusia membuat undang-undang sendiri, dan membuat pertimbangan sendiri tanpa berdasarkan kepada dua sumber hukum asli iaitu “Al-Quran dan Sunah”. Itulah sebabnya jadi “kacau bilau” dibuatnya, kerana keadilan tidak tegak dengan betul.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2010 di pasaran...
Wednesday, January 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment