Friday, June 4, 2010

Variasari Keluaran Jun 2010


Ramai yang menghubungi kami mengatakan sukar untuk mendapatkan majalah ini di kedai-kedai buku kerana sudah kehabisan...jadi dapatkan segera majalah Variasari keluaran Jun 2010 sebelum terlambat. Kami sajikan anda bahan bacaan 100% misteri. Dijamin anda puas membaca kisah-kisah yang dipaparkan.

Amaran keras: Ibu-ibu mengandung tidak di galakkan membacanya.

Siri Bercakap Dengan Jin


Anda sedang membaca kisah yang sama dibaca oleh ribuan pembaca setia Siri Bercakap Dengan Jin sejak sekian lama. Ia makin hangat diperkatakan oleh pembaca Variasari generasi kini. Pastikan anda terus mengikuti cerita bersiri ini ...

Antara Yang Menarik Dalam Variasari Jun 2010








Thursday, June 3, 2010

Hidayah Jun 2010

Hidayah keluaran Jun 2010 sudah ada di pasaran. Pastikan anda memilikinya...
Dapatkan 2 naskhah...satu untuk anda satu lagi berikan pada jiran...!















Dari puluhan kisah-kisah menarik kami himpunkan khusus buat tatapan anda. Isi kandungannya tambah padat, tetap menawan sesuai dibaca semua golongan...Dapatkan segera di kedai-kedai buku berhampiran!

Senaskhah cuma RM3.90 sahaja

Langganlah Segera Melalui Pos

Salam Kami Jun 2010

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Melalui keluaran ini kita paparkan kepada pembaca pelbagai kisah iktibar yang perlu dijadikan pengajaran. Kisah pertama ialah mengenai jenazah seorang anak muda yang kain kafannya terbakar. Pemuda ini dianggap murtad kerana sanggup bertukar agama kerana mahu berkahwin dengan wanita kafir. Akibat menurut hawa nafsu dan ceteknya akal, pemuda itu sanggup memenuhi syarat tersebut. Kisah Iktibar kedua juga mengharukan apabila seorang menantu bersikap biadab terhadap ibu mentuanya. Akibatnya mentua yang merasa teraniaya melepaskan ‘sumpah’ yang mengakibatkan si menantu berdarah keluar dari duburnya hingga membawa maut. Kisah iktibar berikutnya pula mengenai perbuatan derhaka seorang lelaki terhadap ibu dan bapa kandungnya. Malangnya lelaki ini tidak sempat memohon ampun kepada ibu bapanya dan menghabiskan hayatnya dalam keadaan mengharukan. Begitu juga dengan Iktibar keempat memaparkan taubatnya seorang wanita yang terlanjur melakukan hubungan sesama wanita ketika bekerja di luar negeri. Dalam ruangan kisah di tanah suci memaparkan pula bagaimana pengalaman aneh yang dialami oleh seorang polis trafik yang tersayat kakinya ketika berada di hadapan Kaabah. Begitulah rencam dan berbagainya liku-liku hidup ini. Kita sebagai manusia, tak terlepas diuji dengan pelbagai ujian dan cabaran hingga menjelangnya kiamat. Benarlah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak dapat bergerak kaki seseorang hamba sehingga ditanya tentang empat: umurnya digunakan apa sampai habis. Dan badannya dalam apa ia rosakkan. Dan ilmunya apa/ia pergunakan (apakah diamalkan) Dan hartanya dari mana dia dapat dan kemana dia keluarkan.” Sewajarnyalah dalam menjalani hidup yang amat singkat ini kita berwaspada mengawas diri. Seyogialah anda menjadikan Hidayah ini sebagai ‘pengingat’ tentang dunia kekal abadi di akhirat. Hendaknya anda termasuk dalam golongan yang dimaksudkan oleh Abu Bakar Alwaasithi yang berkata: “Keuntungan yang besar itu dalam tiga: Hidup, mati dan kiamat. Adapun keuntungan hidup, iaitu bila digunakan dalam taat kepada Allah, dan keuntungan mati bila ia mati dalam kalimat syahadah: ‘Laailaha illallah’, dan keuntungan hari kiamat bila bangkit dari kubur disambut dengan berita bahawa syurga tersedia untuknya.” Semoga kita termasuk dalam golongan ini. Terima kasih dengan sokongan berterusan anda tehadap Hidayah. Bacalah, hayatilah dan insafilah cabaran hidup ini agar kita kekal dalam golongan orang-orang yang beriman.
Wassalam!

Pengarang.
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

Surat Pembaca

JADIKAN KOLEKSI HIDAYAH
Saudara pengarang,
Sejak Hidayah menyiarkan ruangan mengenai negara-negara Islam, baik kelompok rakyatnya majoriti atau minoriti hati saya tertarik untuk menghayatinya. Ruangan ini memang besar manfaatnya. Ianya memberi ilmu pengetahuan mengenai sesebuah negara itu. Ianya juga dapat memberi gambaran sejarah sesebuah negara Islam dengan kehidupan masyarakatnya yang berbagai. Rasanya adalah tidak mungkin sebilangan besar kita untuk berpeluang menjijakkan kaki ke negara-negara luar. Namun melalui ruangan yang memperkenalkan negara-negara yang ada umat Islam di seluruh dunia ini memberi maklumat berharga kepada pembaca. Suka saya memberi pandangan agar ruangan ini boleh diperbaiki dengan penambahan maklumat mengenai perkembangan politik, memperkenalkan tokoh-tokoh kepimpinan Islam tempatannya, perkembangan kebudayaan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Saya mahu ruangan ini terus dikekalkan dan diperbaiki dari semasa ke semasa.
Ada baiknya juga jika ruangan ini dapat dijadikan koleksi khas Hidayah. Seandainya diterbitkan kelak, bolehlah dibuat penyuntingan lebih lengkap dan penambahan maklumat buat panduan pembaca.
Semoga Hidayah terus maju jaya.
Wassalam.

Nordin Maaruf,
Tanjung Karang, Selangor.

• Cadangan anda itu akan kami bincangkan kelak, InsyaAllah. – Pengarang.

ADAKAN RUANGAN ‘HIBURAN’
Saudara pengarang,
Ada baiknya juga Hidayah menyediakan ruangan hiburan atau ruangan seni. Ruangan ini boleh diisi dengan memperkenalkan artis-artis dari kumpulan nasyid, kritik filem atau drama yang berunsur Islam dan lain-lainnya.
Dengan cara ini Hidayah boleh diperbagaikan. Tidaklah asyik cerita pasal kubur, pasal kain kafan, pasal orang mati yang balik itu-itu juga dipaparkan. Namun tahniah kepada Hidayah yang mampu bertahan hingga dua belas tahun ini. Semoga tahun-tahun mendatang, Hidayah akan lebih segar dan bertenaga sebagai majalah dakwah yang digemari ramai.

Halijah Talib,
Kota Bharu, Kelantan.

• Padangan anda itu kami ambil perhatian. Namun harus ingat, kisah-kisah masyarakat yang kami paparkan itulah antara faktor menarik jutaan pembaca di seluruh nusantara termasuklah anda sendiri. – Pengarang.

KUBUR ULAMA YANG BERCAHAYA
Saudara pengarang,
Dalam Hidayah keluaran Mei 2010 lalu Hidayah menyiarkan kisah Iktibarnya bertajuk ‘Kubur Ulama Yang Bercahaya’ yang berlaku di Kota Padang. Saya terharu dengan kisah tersebut. Ianya membuktikan bahawa kalangan ulama yang ikhlas dengan tugas dan tanggungjawab mereka di atas muka bumi ini akan mendapat balasan yang mulia di sisi Allah. Ianya bukan saja dijamin mendapat keampunan di akhirat, malah sifat-sifat mulia itu sudah ditunjukkan di dunia ini lagi. Salah seorang ulama tersebut ialah Dugo Datuk Penghulu Basa atau terkenal dengan panggilan ‘Buya Talawi’. Ada baiknya juga Hidayah (Versi Indonesia) dapat melengkapkan biografi Buya Talawi dan sebilangan tokoh-tokoh ulama sezaman atau selepasnya untuk dipaparkan dalam Hidayah atau diterbitkan dalam bentuk buku khas. Dengan adanya paparan tersebut, peranan para ulama ini tidak hilang begitu saja dalam lipatan sejarah. Malah mereka ini boleh dijadi idola atau panduan buat generasi kita sekarang dan masa akan datang. Para karyawan Hidayah berperanan mencungkil riwayat hidup para tokoh ulama ini dan peranan mereka dalam meninggikan syiar agama di rantau Asia Tenggara ini khususnya di Indonesia dan di Malaysia.

Haji Rizal Akhir,
Kepala Batas, Kedah.

• Komen anda itu memang sewajarnya kami ambil perhatian. Namun untuk melaksanakannya memerlukan gerak kerja yang tersusun dan tenaga yang gigih.- Pengarang.

Wednesday, June 2, 2010

Nasib Jenazah Murtad Kain Kafannya Terbakar

SIANG itu, matahari menampakkan bentuknya yang sempurna. Terik sinarnya membuat panas sekujur tubuh. Peluh pun bercucuran di setiap anggota tubuh orang-orang yang berada di bawah panahannya. Sang suria telah mengeluarkan pancaran sinar ke seluruh muka bumi dengan ‘ganasnya’. Kala itu, suara bising kenderaan terdengar begitu nyaring di telinga. Gemuruh orang yang lalu lalang di sekitar jalan kian menambah panas suasana. Maka, lengkaplah sudah kegersangan di hari itu. Ditambah, musim kemarau yang tak jua usai. Hujan sudah lama tak turun-turun. Debu dan asap kenderaan pun bagaikan sepakat, menyatu dalam taburan pencemaran udara.
Namun, tiba-tiba saja, keadaan itu memecah dalam seketika. Sebab, di tengah riuh ramai orang beraktiviti, seorang lelaki dikhabarkan terbunuh digilis kereta. Keadaannya sangat mengharukan dan menghibakan hati. Darah bercucuran di bahagian tubuhnya. Badannya terseret sepanjang beberapa meter. Sekujur tubuhnya bersimbah darah. Dia maut seketika itu juga. Khabar itu langsung saja membuat penasaran hampir seluruh warga di jalan itu. Jenazahnya lalu dikerubungi orang ramai. Gunawan, 32, telah tewas diheret oleh kereta. Kala itu, dia sedang menunggang motorsikal seorang diri. Sebuah kereta melaju dari arah bertentangan dan menghentam motorsikal Gunawan dari arah depan. Menurut saksi, Gunawan cuba memotong kereta yang berada di depannya, tapi tak disangka ada kenderaan lain dari arah bertentangan. Kerana kehilangan keseimbangan, kereta itu lalu melanggar motorsikal Gunawan. Keadaan jalan beberapa detik selepas itu jadi jem. Orang-orang berhenti seketika dari aktivitnya. Bukan saja kerana terkorbannya mangsa, tapi juga kerana kejadian tersebut menimpa seorang anak muda penduduk kampung itu. Jasad Gunawan kemudian dibawa ke hospital untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke rumahnya.

Kejadian Aneh
Abdullah, 60, tetangga korban, masih teringat betul peristiwa kematian gunawan. Hingga kini dia sulit melupakannya. Dia termasuk orang yang ikut membawa jasad Gunawan dari tempat kecelakaan jalan raya itu ke hospital dan hingga ke rumahnya. Dia tahu bagaimana keadaan jasad Gunawan kala itu. Darah bercucuran dari bahagian kepalanya yang mengalami kecederaan parah. Yang paling sulit dilupakan oleh Abdullah adalah peristiwa aneh yang menimpa jasad Gunawan ketika hendak dikafankan. Proses memandikan jasad, yang dilakukan sebelum mengkafaninya, telah berjalan dengan baik. Namun, keanehan justeru terjadi ketika dia dan tiga kawannya hendak mengkafani jasadnya. Kain kafan yang akan dikenakan ke jasad Gunawan tiba-tiba terbakar. Kejadiannya cepat sekali. Abdullah terkejut. Dia lalu bertanya ke rakan di sebelahnya, “Ah, kamukah yang menyalakan api ke kain ini?” “Tidak!” jawab temannya. “Kamu kan merokok. Kamu mungkin lupa letak batang rokok di sebelah kain,” sahut Abdullah kepada rakannya itu. “Tidak! Sungguh!” “Mungkin teman yang lainnya!?” Abdullah mengagak. “Oh iya... aku lupa. Aku letak batang rokok di samping kain tadi. Maaf!” kata salah seorang di antara mereka. “Ish...!, kamu. Tak baik buat macam tu,” sahut seorang rakan lainnya. Kerana kain untuk mengkafani jenazah sebahagian telah terbakar, maka pihak keluarga si mati tak mahu menggunakannya lagi. Mereka memilih untuk membeli kain kafan yang baru. Salah seorang anggota keluarga disuruh segera membeli kain putih di pasar. Tak beberapa lama kemudian, orang yang ditugaskan membeli kain kafan pun tiba. Dia lalu menyerahkan kain itu kepada empat orang yang bertugas mengkafani jenazah. Anehnya lagi, sebelum kain kafan itu dikenakan ke jasad si mati, kain itu terbakar lagi. Asap kecil mengepul ke permukaan. Namun, untuk yang kedua kalinya ini, tak ada penyebab yang jelas. Kain kafan itu tiba-tiba terbakar begitu saja. Semula, lagi-lagi, diantara petugas jenazah saling menaruh curiga. Jangan-jangan hal ini terjadi kerana kelalaian perokok di sebelah kain kafan, seperti kejadian sebelumnya. “Wah, ada yang meletakkan potong rokok lagi kali ini?” ujar diantara mereka kepada rakan-rakannya. “Rasa aku tak sesiapa yang merokok kali ini.” “Cuba periksa lagi.” “Memang tidak ada.” “Kita semua tidak ada yang membawa rokok sejak tadi.” Empat orang petugas mengkafani jenazah itu, saling bertatap muka dan menaruh pertanyaan besar dalam hati, “Macam ada yang tak kena ni...” Meski menaruh rasa aneh dan penasaran, mereka tetap berusaha menyembunyikannya kerana takut menyinggung perasaan keluarga si mati. Diringkaskan cerita, pihak keluarga si mati sekali lagi membeli kain kafan di pasar. Untuk kali ini, pihak keluarga membeli kerana takut kejadian serupa terulang lagi.
Tapi, untuk selanjutnya, proses mengkafani tubuh jenazah berjalan lancar. Tidak ada kejadian aneh lagi. Kain kafan dapat dikenakan terbalut rapi ke tubuh jenazah. Hanya saja, Abdullah yang kala itu ikut dalam proses mengurus jenazah dari awal hingga akhir, akhirnya menemukan kejadian aneh lagi. Ketika dia mengangkat jasad si mati ke keranda mayat, dia rasakan berat sekali. Tak sepadan dengan berat jenazah. Dia tak pernah mengalami hal aneh seperti ini. Dia termasuk orang yang sering diamanah oleh kalangan masyarakat setempat untuk mengurusi mayat warga yang meninggal dunia. Tapi, untuk hal aneh ini, dia pun mencuba untuk menyembunyikannya dari perhatian keluarga si mati.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

Bila Nabi s.a.w. Menangis

BAGINDA seorang yang ma’shum; terpelihara dari dosa, terpelihara dari segala yang buruk-buruk. Itu jaminan Allah kepada kekasihNya, Nabi Muhammad s.a.w. Tapi, tahukah anda, dalam beberapa sedutan hadis dan sejarah, barangkali, hanya junjungan kita itulah yang paling merasa sering berdosa dan menumpahkan air mata? Ya, air mata kerana rasa takutNya kepada Allah azza wa jalla dan segala seksaNya kelak. Betapa tidak, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari, misalnya, ia pernah berkata: “Demi Allah, aku meminta ampunan Allah [istighfar] dan aku bertaubat itu paling sedikit 70 kali dalam sehari.” Padahal, boleh saja kerana kedudukannya yang ma’shum, Nabi s.a.w. kemudian bermudah-mudah dalam ibadah? Bukankah boleh saja baginda tidak perlu bersusah payah dalam sujud yang lama, dalam rukuk yang panjang? Bukankah, mengingat kedudukannya yang kekasih Allah itu, ia tak perlu lagi menangis tersedu-sedu saat bersimpuh di hadapanNya? Bukankah Allah bakal mengampuni dan menyayangiNya. Ya, barangkali begitu menurut logik kita, cara berfikir manusia biasa, manusia yang bukan siapa-siapa. Tapi, Nabi s.a.w. tidak demikian. Dalam hadis lain, baginda, syahdan, ketika ditanya salah seorang sahabat kenapa ibadah baginda begitu giat dan susah payah, Nabi s.a.w. bersabda bahawa laku ibadahnya itu; zikir dan istighfarnya itu, adalah lambang rasa syukurnya kepada Allah. Subhanallah! Lalu, bagaimana dengan kita, umatnya, yang sentiasa bergelimang dosa, yang masih suka kufur atas segala nikmat dan anugerahNya; mampukah kita mengikuti jejaknya yang demikian? Rasulullah hadir menyinari bumi dan membawa cahaya di dunia, marilah sekali-kali kita rayakan bukan dengan acara yang gegap gempita. Berarak sambut maulid nabi. Melainkan, kita mulai dengan mengikuti jejaknya: mendawamkan istighfar. Sebab, kita tidak tahu mana amal perbuatan kita yang suci dan kotor, mana ibadah kita yang diterima Allah dan yang bukan. Tumpahkanlah air mata saat anda menghiba pertaubatan dan ampunan kepada Allah. Ikutilah jejak Rasul pilihanNya. Untuk menguatkan, mari saya kutipkan sebuah kisah air mata Rasulullah dalam Kitab Usfuriah [versi terjemahan Musthafa Helmy]. Anas bin Malik berkisah bahawa ketika turun ayat al-Quran: “Sesungguhnya Jahanam tempat mereka kesemuanya,” menangislah Nabi dan itu membuat para sahabat ikut menangis. Semua tidak tahu apa yang membuat Nabi menangis begitu sangat: mereka tidak tahu Jibril a.s. telah datang kepada Nabi. Para sahabat tak berani bertanya. Hanya abdur Rahman bin Auf (sebahagian riwayat menyebut Umar bin Khattab) datang menemui Fatimah. Seperti diketahui, Nabi sangat bahagia jika bertemu Fatimah. “Assalamu’alaik, wahai puteri Rasulullah,” sapa Abdur Rahman. “Wa’alaikassalam,” jawab Fatimah. “Siapa anda?” “Abdur Rahman bin Auf.” “Ada apa?” “Nabi tiba-tiba menangis, sangat sedih. Saya tak mengerti apa yang dibawa Jibril kepada baginda.” “Baiklah,” jawab Fatimah. “Perkenankan aku mengenakan baju. Siapa tahu Nabi akan memberitahuku hal yang disedihkan itu.” Fatimah mengenakan selimut yang telah rosak, bertambah dengan 12 buah sulaman, dari kulit kayu kurma dan semacamnya. Waktu Fatimah keluar, Umar melihatnya. Begitu terkejut Umar melihat Fatimah dengan bajunya yang compang-camping. Betapa sedihnya. Sungguh sedih, bagi puteri seorang Nabi. Puteri-puteri maharaja mengenakan baju sutera harir dan sundus, sedang puteri Nabi kita hanya mengenakan selimut dengan 12 tambalan!”. Ketika Fatimah masuk ke hadirat Nabi, ia berkata: “Sudah mendengarkah Nabi apa yang dikatakan Umar? Ia sangat hairan dengan baju yang saya kenakan. Demikian Allah yang telah mengutusmu, sungguh tak ada lagi untukku dan Ali bahkan selembar selimut, selain kulit domba yang siang harinya kami pakai untuk menggembala dan malam harinya kami pakai untuk tempat tidur dengan bantal dari kulit pohon kurma.” Nabi memandang Umar. “Biarkan anakku, Umar. Mungkin ia sedang dalam bayang-bayang masa lalunya.” Lalu Fatimah bertanya kepada Nabi: “Apakah yang telah membuat Tuan berduka?” “Bagaimana aku tidak menangis, jawab Nabi s.a.w. kemudian. “Telah turun ayat: Sesungguhnya neraka Jahanam tempat mereka kesemuanya.” Tanya Fatimah: “Wahai Rasulullah, seperti apa pintu-pintu Jahanam itu?”

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

Bekas Paderi Besar Peluk Islam Di Sarawak

MALAM itu, sebilangan jemaah surau di sebuah taman perumahan di pinggiran ibu kota Kuala Lumpur didatangi seorang pendakwah dari Kuching, Sarawak. Beliau dijemput secara tidak rasmi atas nama jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa PEYATIM, Sarawak dan PERKIM Sarawak dan diraikan oleh cawangan PERKIM di taman perumahan itu. Apa yang menarik mengenai personaliti ini, beliau bukanlah sembarangan orang. Dulunya dia seorang paderi besar dan pernah mengembara ke 22 buah negara seluruh dunia untuk menjayakan misionari Kristiannya. Beliau adalah seorang pendita atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam dan pernah berkhidmat di gereja St. Benedictine Monastery Einsiedeln, Switzerland selama hampir 6 tahun. Dia juga adalah pakar dalam undang-undang (Missio Canonica) Kristian.
Dengan kedudukannya itu, dia boleh mewakili ‘Jesus’ untuk memberi pengampunan dosa kepada penganut-penganut Kristian Katolik. Mungkin tertarik dengan nama ‘bekas paderi besar’ itulah yang memikat sebilangan jemaah datang untuk mendengar kuliah maghribnya yang memang menarik itu. “Tahukah tuan-tuan, dengan membuat pengampunan itu saya mendapat bayaran dari DM10.00 hingga DM50.00 yang nilainya memang besar pada awal tahun 70-an itu,” katanya dalam kuliah hampir satu jam itu. Kedudukannya atau tarafnya dalam Kristian cukup mulia. “Pencuci bilik air saya setiap hari ialah lelaki Jerman. Kenderaan saya mewah, pakai Mercedes,” ceritanya. “Saya memilih sebagai pendeta Kristian untuk mengambil sumpah (a) Seumur hidup tidak mahu kahwin (b) Seumur hidup tidak mahu terima gaji dari Gereja (c) Seumur hidup ikut arahan-arahan yang dikeluarkan oleh wakil-wakil dari ibu pejabat Gereja Kristian di Vatican City.” Tugasnya sebagai ‘Pendeta’ adalah untuk mengajar penganut Kristian mengikut ajaran Majisterium dari Vatican City supaya mereka boleh jadi orang Kristian yang patuh kepada suruhan Tuhan mereka menurut Bible. Cerita Rev. Anthonysamy, bahawa beliau pernah diminta mengampunkan penghuni-penghuni kubur atas permintaan keluarga si mati. Lelaki yang berasal dari Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini sempat mengimbau kenangan silam zaman remajanya. Menurut Paulus dalam kitab Perjanjian Baru, seseorang yang tidak dibaptiskan tidak mungkin dapat masuk syurga kecuali dibaptiskan. “Saya mempunyai jiran-jiran Melayu yang sangat baik. Sehingga saya masih ingat apabila mereka berpuasa dalam bulan Ramadan, kami sekeluarga adalah orang pertama yang akan menerima juadah berbuka puasa mereka. “Mereka tidak berbuka puasa selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukan Islam. Perasaan ini memang mengharukan. “Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran saya itulah yang bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira. “Mereka itu memang sangat baik dengan kami,” kenangnya. Kerana kebaikan mereka itulah dia, sendiri pernah berdoa kepada ‘tuhan’nya agar mengecualikan jiran-jirannya itu dari masuk neraka dan dimasukkan ke dalam ‘syurga’.Dalam ceramahnya pada malam itu, beliau melahirkan rasa terkilannya dengan kebaikan jiran Melayunya itu tidak pernah sekalipun mereka cuba ‘mendakwah’ keluarganya untuk mengenal Islam atau mengajak masuk Islam.
Tapi Allah itu Maha Kaya. Dengan kehendakNya, digerakkan hati Rev. Anthonysamy memohon kepada Bishop Dionysius untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang kononnya boleh dijadikan senjata utuk melumpuhkan dan melemahkan umat Islam sendiri. Permintaannya itu dipenuhi malah pada tahun 1972, beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute, London bagi membolehkan paderi itu mempelajari Islam sebanyak mana yang dia mahu. “Pada mulanya selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui ialah hanya keindahan Islam. “Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama.” Antara surah dalam Al-Quran yang menyentuh perasaannya ialah surah Ibrahim. “Sebenarnya permintaan saya untuk mendalami ajaran Islam bukanlah datang dari nafsu saya, tapi digerakkan oleh Tuhan. Satu malam saya bermunajat dengan “Jesus” sehingga saya tertidur dalam gereja. Waktu itu saya terdengar satu suara yang menyuruh saya belajar agama Islam. “Mungkin itulah ‘hidayah’ yang saya dapat untuk menolong agama suci ini,” katanya. “Salah satu firman Allah yang paling berkesan pada saya ketika membaca ayat 85 surah Ali Imraan yang bermaksud: “Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”
Jadi siapakah yang yang akan rugi di hari akhirat kelak? Dia bertanya kepada dirinya sendiri. Menurut Ayub adalah tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sama berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehingga banyak mengunjungi tempat suci orang-orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak akan diperolehi oleh penganut lain. Ditambah pula dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali. Namun Allah s.w.t. jua yang menentukan kehendakNya sendiri. Pada 4 September 1978 mencatatkan tarikh yang bersejarah apabila paderi ternama ini akhirnya dengan ikhlas hati mengakui keesaan Allah sebagai Tuhan Yang Satu yang tidak disekutukan dengan mana-mana makhluk lain termasuk Nabi Isa a.s. Beliau diIslamkan di bumi Kenyalang Sarawak sebagai saksi dengan dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu Datuk Patinggi Dr Hj. Abdul Rahman Yaacob.
“Itulah sebabnya saya diberi nama Ayub Abdul Rahman sempena tokoh Islam yang banyak membantu saya sejak mula menganut Islam hinggalah saat ini,” ujarnya yang ditemu bual selepas bersolat isyak

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

Alam Ghaib Ada Di Keliling Manusia Sendiri

KITA selalu mendengar orang bercakap mengenai alam ghaib. Dalam majlis-majlis kuliah agama pun, para penceramah menyebutkan perkara yang sama. Apa yang dijelaskan oleh para ustaz bahawa alam ghaib itu satu benda yang mata kita tidak boleh melihatnya. Ertinya, dalam keadaan yang wujud sekarang, mata kita tidak boleh melihat apa yang ada didalam alam itu. Allah s.w.t. yang menjadikan “alam ghaib” itu menghampiri manusia dan makhluk lain iaitu setengah darinya dapat melihat apa yang terjadi. Dalam kitab suci Al-Quran banyak ayat yang menyebutkan mengenai alam ghaib ini. Dalam hadis Nabi s.a.w. pun ada disebutkan perkara yang sama. Dalam kitab-kitab agama pun ada dijelaskan mengenai alam ghaib. Semuanya itu dijelaskan secara keterangan, tetapi kita tidak dapat melihatnya. Alam ghaib sebenarnya mengelilingi kita. Namun, dengan pengetahuan dan modal akal serta deria yang terbatas ini kita tidak mampu menangkapnya. Akan tetapi ketidaktahuan kita mengenai masalah ghaib tersebut bukan bererti perkara ghaib itu tidak wujud sama sekali. Ketidaktahuan mengenai sesuatu bukan bererti sesuatu itu tidak ada, sebagaimana ditegaskan para ulama terdahulu. Betapa banyaknya benda-benda yang kini kita temukan, tetapi dahulu sama sekali kita tidak mengetahuinya. Padahal benda-benda itu ada di sekitar kita, bahkan ada di dalam diri kita sendiri. Siapakah di antara kita yang tahu bahawa di dalam sperma manusia itu terdapat berjuta-juta benih manusia? Di antara alam ghaib itu ialah para malaikat, jin, arasy (singgahsana Allah), kursi, loh, dan sebagainya. Hal tersebut dibicarakan oleh Quran, tetapi biasanya secara kasar sahaja. Ada juga yang dinyatakan secara terperinci, tetapi Sunnah membicarakannya secara lebih jelas.
Seluruh umat Islam bersetuju bahawa Sunnah merupakan sumber pengetahuan mengenai alam ghaib ini. Mereka telah mendapatkan bukti-bukti kukuh bahawa Muhammad s.a.w. ialah utusan Allah s.w.t. yang telah menerima wahyu dariNya. Baginda juga tidak pernah berbicara mengikuti hawa nafsu. Pembicaraannya selalu merupakan kebenaran. Baginda tidak pernah menyampaikan dari Allah s.w.t. mengenai apa pun yang tidak diketahuinya. Baginda juga tidak mengetahui perkara ghaib melainkan perkara yang telah diajarkan oleh Allah s.w.t. kepada baginda. Perbezaan pendapat yang timbul dalam masalah ini ialah mengenai persoalan penetapan sahihnya suatu hadis yang diriwayatkan daripada Nabi, iaitu mengenai suatu hadis yang secara pasti (qath’i), memang sahih adanya dan mesti diyakini sebagai akidah. Adakah dalam masalah ini cukup dengan menerima hadis yang diriwayatkan secara ahad, ataukah hadis itu mesti diriwayatkan oleh ramai orang dari sejumlah orang yang sama banyaknya, di mana biasanya mereka seluruhnya tidak mungkin bersepakat untuk berbohong; atau dalam istilah popularnya disebut sebagai hadis mutawatir yang bererti pasti sahihnya dan menyakinkan? Dengan ungkapan lain: Adakah persoalan akidah itu dapat ditetapkan dengan hadis riwayat ahad, yang pada hakikatnya hanya bererti anggapan yang kuat walaupun ia hadis sahih: ataukah persoalan akidah itu hanya dapat ditetapkan dengan hadis riwayat mutawatir, yang bererti pasti benarnya serta memberikan keyakinan? Pengetahuan asas yang dapat kita peroleh dari Sunnah bukanlah ilmu pengetahun yang berkaitan dengan pelbagai aspek kehidupan yang berkembang, yang didapati berdasarkan pengamatan dan pengalaman, serta proses sambung menyambung secara terus menerus. Hakikat ini pun kita ketahui dari Sunnah juga bahawa dalam mengurus masalah duniawi yang bersifat teknikal, kita berserah kepada Allah s.w.t. setelah kita berusaha menggunakan segala tenaga serta kemampuan akal kita. Kita juga tidak memerlukan wahyu mengajar kita bagaimana cara bercucuk tanam, berubat, menyediakan kekuatan senjata dan sebagainya. Wahyu itu tidak mencakup masalah teknikal, dan tidak ikut campur menentukan soal-soal peralatan. Sebaliknya, wahyu hanya mengajarkan prinsip-prinsip dasar, nilai-nilai, dan ajaran-ajaran asas yang penting. Sedangkan persoalan-persoalan duniawi yang terus berubah itu diserahkan kepada kita. Inilah pelajaran praktik yang dapat kita terima dari Sunnah ketika Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu.” Hadis ini diriwayatkan dalam kaitannya dengan masalah pencatuman putik bunga kurma. Dalam isu ini, baginda mengemukakan pendapat peribadi yang bersifat ijtihad, berdasarkan pengalamannya sebagai manusia biasa yang datang dari persekitaran Makkah yang terbatas.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

Bacaan Rasulullah s.a.w. Ketika Bersolat

SEBAGAIMANA yang kita maklum dan tahu bahawa sembahyang merupakan penghubung antara hamba dengan Tuhannya. Kewajipan sembahyang disampaikan terus oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. tanpa perantara. Sembahyang adalah penghibur bagi Nabi, dan sembahyang tidak akan diterima oleh Allah kecuali seperti yang telah diajarkan oleh Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya: “Solatlah kamu sebagaimana melihatku (melaksanakannya) Solat.” Ada sebuah kitab yang berjudul “Fatwa an Nabi Fi Solat” karya Ibnu Qayyim al-Juziyah yang sudah pun diterjemahkan. Kitab tersebut lengkap dan rinci yang membahas tata cara solat Rasulullah s.a.w. Dalam rencana ini kita cuba nukilkan mengenai “Bacaan Rasulullah dalam solat” yang ditulis oleh pengarangnya berdasarkan hadis-hadis sahih yang diceritakan para sahabat yang paling dekat dengan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengkhususkan membaca sebuah surah dalam solat-solat tertentu kecuali dalam solat Jumaat dan solat hari raya, Aidilfitri dan Aidiladha. Adapun untuk solat-solat yang lain, Abu Daud telah menuturkan, dari hadis Amr bin Syua’ib, dari ayahnya, ia berkata: “Tidak ada dari golongan Al-Mufashshal sebuah surah yang lebih panjang mahu pun pendek, kecuali aku pernah mendengar baginda menjadi imam solat fardu dengan membaca surat tersebut.” Termasuk tuntutan yang diajarkan Rasulullah adalah agar membaca surah secara lengkap. Baginda terkadang membaca satu surah penuh itu dalam dua rakaat, dan kadang pula dibacanya pada rakaat pertama saja. Tapi Rasulullah tidak pernah membaca potongan dari suatu surah, misalnya ayat-ayat terakhir saja atau ayat-ayat bahagian tengah saja. Rasulullah juga pernah membaca dua surah sekaligus dalam satu rakaat, tapi itu baginda lakukan dalam solat sunnah. Adapun untuk solat fardu, Rasulullah tidak pernah melakukannya. Memang ada hadis dari Ibnu Mas’ud r.a. yang menyebutkan: “Aku tahu beberapa pasangan surah yang pernah dibaca Rasulullah dalam satu rakaat, iaitu surah ar-Rahman dengan surah an-Najm, surah al-Qamar dengan surah al-Haaqqah, surah ath-Thuur dengan surah adz-Dzaariyaat, dan surah al-Waaqi’ah dengan surah al-Qalam (Nun).” Tapi hadis tersebut menceritakan suatu perbuatan yang tidak diketahui tempat masalahnya, apakah dalam solat fardu ataukan solat sunat? Tentunya itu masih bersifat kemungkinan. Adapun membaca satu surah pada dua rakaat, maka Rasulullah jarang sekali melakukannya.
“Abu Daud menuturkan dari seorang lelaki dari kabilah Juhainah, bahawa ia pernah mendengar Rasulullah dalam solat subuh membaca surah az-Zalzalah dalam dua rakaat sekaligus. Namun Abu Daud berkomentar: “Aku tidak mengerti, apakah Rasulullah sedang lupa ataukah memang disengaja membaca seperti itu.” (Hadis ini sahih).
Saat melakukan solat subuh dan solat-solat lainnya, Rasulullah selalu memanjangkan rakaat pertama daripada rakaat kedua. Terkadang baginda memanjangkan rakaat pertama sampai-sampai kaki orang yang datang tidak kedengaran. Baginda lebih memanjangkan solat subuh daripada solat yang lainnya, sebab bacaan yang dibaca pada waktu fajar akan disaksikan oleh Allah dan para malaikatNya. Ada yang mengatakan akan disaksikan oleh malaikat siang dan malaikat malam. Kedua pendapat tersebut berpijak pada pertanyaan, apakah turunnya rahmat Tuhan akan berakhir sampai sehabis solat subuh atau sampai terbit fajar? Jawabnya adalah bahawa di satu sisi ada hadis yang menerangkan sampai habisnya solat subuh, dan di sisi lain menerangkan sampai terbit fajar. Alasan lain adalah kerana solat subuh itu paling sedikit rakaatnya. Jadi Rasulullah menjadikan panjang solatnya sebagai ganti atas sedikitnya rakaat. Solat subuh adalah solat yang dilakukan setelah bangun tidur, di saat orang lain masih ada yang tertidur. Lagi pula setelah solat subuh, seseorang tidak segera bekerja mencari nafkah dan hal-hal keduniaan lainnya. Solat subuh juga jatuh pada waktu di mana pendengaran, lisan, dan hati sudah tenang kerana tidak ada kesibukan, sehingga dapat memahami dan merenungkan Al-Quran. Di samping juga bahawa solat subuh merupakan asas dan awal dari aktiviti. Oleh kerananya, ia diberi keistimewaan berupa perhatian khusus dari Rasulullah dan pemanjangan solat oleh baginda. Itulah beberapa rahsia yang hanya boleh diketahui oleh orang-orang yang berkeinginan menyingkap rahsia, tujuan, dan hikmah syariah. Allah s.w.t. tempat meminta pertolongan. Untuk solat zuhur, kadangkala Rasulullah memanjangkan bacaan solatnya. Abu Sa’id menceritakan: “Suatu ketika saat solat zuhur ditunaikan, ada seseorang yang pergi ke daerah Baqi’. Di sana ia memenuhi keperluannya lalu mendatangi keluarganya dan kemudian ia berwuduk. Ternyata setelah sampai di masjid, orang yang pergi itu masih dapat mengikuti solat Rasulullah dalam rakaat pertama. Ini kerana pemanjangan bacaan yang dilakukan Rasulullah s.a.w.” (HR. Muslim) Kadang pula Rasulullah s.a.w. pada solat zuhur membaca surah as-Sajadah, atau dengan surah al-A’laa dan surah al-Lail dan terkadang pula dengan membaca surah al-Buruuj dan ath-Thaariq.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

Albania Sejemput Tanah Islam Di Eropah

Albania adalah sebuah negara kecil di Semenanjung Balkan. Berbatasan dengan Yunani, Itali, Serbia, dan Makedonia, Albania merupakan daerah majoriti muslim di benua Eropah; akibat warisan pemerintahan Dinasti Turki Usmani yang berkuasa selama berabad-abad. Albania memang bukan satu-satunya negeri muslim di Eropah. Ada Turki dan negara bekas jajahan soviet seperti Bosnia, Kosovo dan Azerbaijan. Tapi, dibanding Bosnia, tetangganya, Albania memiliki peratus muslim lebih besar, yakni 70 peratus sementara Bosnia hanya 40 peratus. 2.5 juta muslim kini hidup di Albania yang mempunyai penduduk berjumlah kira-kira 3.2 juta. Namun, barangkali tak ada kelompok muslim dunia yang mengalami kepedihan seberat muslim Albania. Kepedihan ini terutama sekali terjadi saat Enver Hoxha berkuasa pada 1945 sampai 1990. Hoxha merupakan seorang komunis anti agama yang dengan kejam melarang semua amalan agama berlangsung di Albania. Ia melancarkan program penghancuran Islam secara sistematik. Seluruh ulama, ustaz, penghafal al-Quran dan keluarganya ditindas. Tanah-tanah wakaf dirampas dan seluruh masjid ditutup untuk dijadikan muzium, pejabat Parti Komunis, atau dibongkar begitu saja. Pemeliharaan babi diperbanyak, dan muslim dipaksa memakannya. Puncak dari kekejian Hoxha terjadi pada 1967. Dia mengisytiharkan Albania sebagai satu-satunya negara Atheis dunia. Kesannya tak hanya menimpa Islam, Kristian dan Betashi juga menerima tempias. Gereja dan kuil Bektashi dibongkar dan Hoxha menyebut agama orang Albania adalah Albanianisme. Boleh dibayangkan bagaimana keadaan muslim Albania saat itu. Tak ada yang berani menyimpan al-Quran. Kalaupun ada yang masih menyimpan mesti menyembunyikannya dengan sangat hati-hati dan hanya boleh membacanya dengan cahaya lilin kecil di tengah malam. Jika diketahui ada warga Albania yang melakukan kegiatan agama atau setidaknya berbau agama, memakai dan menyimpan benda-benda berbau agama seperti kopiah, tasbih atau sejadah, mereka langsung dilemparkan ke penjara tanpa sebarang pengadilan. Hampir setengah abad kekejian ini berlangsung. Islam masih hidup di kepala sebahagian warga yang menerimanya dari ibu bapa mereka dahulu sementara anak-anak yang lahir di masa Hoxha sama-sekali tidak mengetahui Islam. Harapan timbul setelah Hoxha mati pada 1985 dan komunisme betul-betul runtuh pada 1990. Masyarakat menyambut baik hal itu dengan kembali membongkar “simpanan” Islam mereka. Tarikh 2 Mei 1990, azan untuk pertamakalinya dikumandangkan di Tirana, ibu kota Albania, membasahi kembali tanah Albania dengan seruan Allah. Namun masalah besar hadir di depan mata, sebahagian besar generasi muda buta tentang Islam. Atheisme lebih mereka kenal dibanding agama Islam. Inilah masalah besar muslim Albania yang masih terus dihadapi sampai sekarang.

Sejarah Panjang
Albania adalah bahagian jajahan Rom pada abad ke-3. Setelah perpecahan Rom seabad kemudian, Albania secara politik menjadi bahagian Timur atau Empayar Bizantium namun masih tergantung dengan Rom. Ketika perpecahan gereja Rom dan Timur mencapai puncaknya tahun 1054, pemeluk Kristian Albania di selatan dan di utara berada di bawah pengawasan Rom. Pengaturan ini bertahan sampai Empayar Ottoman di abad 14, dan Islam mulai diperkenalkan. Di kawasan pegunungan utara, dakwah Islam mendapat tentangan dari para paderi. Penentangan kemudian melemah dan para paderi ramai meninggalkan umatnya. Namun tak ada paksaan dalam skala besar dimana warga Kristian Ortodoks mesti masuk Islam. Pada abad ke-17 terjadi perang Russia-Turki. Di sini pemerintahan Ottoman melakukan tekanan kepada gereja Kristian yang bersimpati ke Russia. Namun ini segera berakhir pada 1774 selepas perjanjian Kuchuk-Kainarji ditanda-tangani Russia dan Turki. Salah satu pasalnya mengatakan Russia adalah pelindung pemeluk Kristian Ortodoks di dalam Empayar Ottoman.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

Sunan Drajat Wali Allah Yang Dermawan

Anak kecil itu berwajah manis. Garis-garis kecomelan menjalari mukanya. Oleh si ibu, ia amat disayangi. Maklumlah, Raden Qosim adalah anak bungsu yang pemalu. Limpahan kasih seperti berlebih diterimanya. Apa lagi si bongsu ini memang bersopan santun dan lembut. Siapa pun akan merasa terpanggil untuk menyayanginya. Di pondok pesantren yang dipimpin ayahnya, Sunan Ampel, Raden Qasim terlihat jarang bermain-main. Waktunya lebih banyak ia habiskan di rumah. Dia pun tak ambil peranan dalam pengelolaan pondok pesantren di Ampeledenta itu sebagaimana yang dilakukan oleh Sunan Bonang, abangnya. Sekalipun begitu, seperti anak orang alim lainnya, Raden Qosim memiliki tanggungjawab belajar. Ia mengaji, mengenal ayat-ayat Allah dan hadis Rasulullah. Ia juga mendalami ilmu fikih dan tauhid. Raden Qosim pun membesar menjadi anak muda yang berilmu. Hatinya yang lembut semakin terasa saat ia sering mengikuti ayahnya berdakwah. Di daerah yang dilaluinya, ia melihat sendiri bagaimana kemiskinan begitu mencekik. Wajah-wajah pucat kurang darah, kerana tidak cukup zat makanan secara layaknya, ia temui hampir di semua tempat. Tak hanya orang tua lanjut usia, anak-anak remaja yang seharusnya bertenaga juga harus menanggung akibat kemiskinan itu. Kemiskinan tersebut menyertakan juga penderitaan, penyakit, kekurangan makanan dan pakaian dan kebodohan. Pada suatu hari, Raden Qosim menyaksikan Sunan Bonang bersama sahabatnya, Raden Paku, berkemas berangkat ke negeri seberang. Tahulah ia, si abang bersama temannya, yang di kemudian hari dikenal sebagai Sunan Giri, hendak menuntut ilmu ke negeri seberang. Setelah melepas mereka berangkat, dalam diam-diamnya, Raden Qosim ternyata punya hasrat yang sama: ingin mengembara mencari tambahan ilmu. Tetapi si ibu tidak mengizinkan anaknya berangkat. Nyai Ageng Manila merasa tak kuasa menahan kerinduan dan kesepian jika anaknya itu juga berangkat. Raden Qosim memang yang paling dekat dengan ibunya. Apalagi menurut Nyai Ageng Manila, Raden Qosim belum cukup dewasa untuk menempuh perjalanan jauh. Ayahnya juga menganjurkan Raden Qosim untuk tinggal. “Ilmu juga ada di sini, Qosim, tak perlu kau pergi jauh-jauh,” ujar Sunan Ampel mencegah hasrat anaknya. Saat usia Raden Qosim beranjak dewasa, tugas dakwah tetap harus ia tunaikan. Sekalipun hati si ibu berat melepas dirinya, tugas suci menegakkan kalimah Allah harus diutamakan. “Berlayarlah ke pesisir Barat Gresik, di sana ada daerah yang menunggu kerja dakwahmu,” ujar Sunan Ampel. Dengan menumpang perahu nelayan, Raden Qosim berlayar dari pelabuhan di Surabaya. Angin yang baik sepertinya akan membuat pelayaran Raden Qosim lancar. Selepas pelabuhan tak ada tanda-tanda bahawa cuaca akan melawan. Tetapi saat sudah berada di tengah-tengah lautan, tiba-tiba turun badai. Biduk itu terumbang-ambing. Akhirnya segolong ombak besar membuat perahu nahas itu hancur berkeping-keping. Si nelayan terlempar tak diketahui nasibnya. Sementara Raden Qosim masih mampu meraih pendayung perahu dan menjadikannya sebagai alat mengapung.
Seekor ikan Talang besar tiba-tiba muncul dan berenang mendekati Raden Qosim. Ikan itu membentangkan belakangnya untuk dinaiki Raden Qosim. Lelaki berhati lembut itu dengan gembira dan rasa syukur kemudian menaikinya. Diriwayatkan, tak hanya ikan Talang yang menolong Raden Qosim, seekor ikan Cucut juga mempersilakan dirinya dinaiki adik Sunan Bonang ini. Dengan cepat kedua ikan itu melaju membawa Raden Qosim lepas dari badai yang mengganas. Tak berapa lama, Raden Qosim dapat selamat sampai di pantai nelayan yang kemudian dikenal sebagai Kampung Jelak, Banjarwati. Inilah kisah “karamah” paling mashyur Raden Qosim yang mengingatkan kita kepada kisah Nabi Yunus a.s. yang juga pernah berada dalam perut ikan Nun. Kisah penyelamatan ikan ini dicatat terjadi pada tahun 1485 M. Kedatangan Raden Qosim ternyata sudah dinantikan dua orang tokoh penting di Jelak, iaitu Embah Mayang Madu dan Embah Banjar. Dua orang ini telah memeluk Islam dan mempersilakan dirinya membantu kerja dakwah Raden Qosim di daerahnya. Sebuah surau kemudian didirikan Raden Qosim sebagai sarana awal dakwahnya. Surau yang didirikan lelaki yang berhati lembut itu seperti memanggil orang–orang untuk mengenal Allah s.w.t. dan agamanya. Lambat laun pengajian yang dikendalikan oleh Raden Qosim dibanjiri peminat. Surau itu pun beranjak beralih fungsi menjadi pondok pesantren. Akhlaknya yang mulia serta kedermawanannya menjadikan Raden Qosim mendapat simpati luas. Dakwah Islam yang dilakukannya memberi angin segar bagi pertumbuhan wilayah itu, baik secara sosial mahupun ekonominya.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

Sahabat Yang 'Bertangan Emas'

Sahabat Abdurrahman bin Auf termasuk kelompok lapan yang mula-mula masuk Islam. Ia juga tergolong sepuluh sahabat yang diberi khabar gembira oleh Rasulullah s.a.w. masuk syurga dan termasuk enam orang sahabat yang bermusyawarah dalam pemilihan khalifah setelah Umar bin Khathab r.a. Di samping itu, ia adalah seorang mufti yang dipercaya Rasulullah untuk berfatwa di Madinah selama dia masih hidup. Pada masa Jahiliyah, ia dikenal dengan nama Abd Amr. Setelah masuk Islam, Rasulullah memanggilnya Abdurrahman bin Auf. Abdurrahman memeluk Islam sebelum Rasulullah menjadikan rumah Al-Arqam sebagai dakwah. Ia mendapatkan hidayah dari Allah dua hari sesudah Abu Bakar Shiddiq r.a. masuk Islam. Seperti kaum muslimin lainnya yang pertama-tama masuk Islam, Abdurrahman pun tidak luput dari penyeksaan dan tekanan kaum kafir Quraisy. Tetapi ia sabar. Pendiriannya sentiasa teguh. Dia menghindar dari kekejaman kaum Quraisy dan tetap setia serta patuh membenarkan risalah Muhammad. Abdurrahman turut hijrah ke Habsyah bersama kawan-kawan seiman untuk menyelamatkan diri dan agama dari tekanan kaum Quraisy yang sentiasa mengganggu mereka. Tatkala Rasulullah s.a.w. dan para sahabat diizinkan Allah berhijrah ke Madinah, Abdurrahman menjadi pelopor kaum muslimin. Di kota Madinah yang dulunya bernama Yatsrib, Rasulullah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan orang-orang Anshar. Pada suatu hari Sa’ad berkata kepada saudaranya, Abdurrahman, “Wahai saudaraku, Abdurrahman, saya termasuk orang kaya di antara penduduk Madinah. Hartaku banyak. Saya mempunyai dua bidang kebun yang luas dan dua orang pembantu. Pilihlah salah satu diantara dua bidang kebunku itu. Kuberikan kepadamu mana yang kau sukai. Begitu juga dengan salah seorang di antara kedua pembantuku, akan kuserahkan mana yang kamu senangi, lalu aku kahwinkan kau dengannya.” “Semoga Allah melimpahkan berkahNya kepada saudara, kepada keluarga saudara, dan kepada harta saudara. Saya hanya minta tolong untuk menunjukkan dimana letaknya pasar di Madinah ini?” jawab Abdurrahman bin Auf. Lalu Sa’ad menunjukkan pasar kepadanya. Mulailah Abdurrahman berniaga di sana. Belum berapa lama dia berdagang, wangnya terkumpul, dan cukup untuk sekadar mahar nikah. Lalu dia pun datang kepada Rasulullah memakai harum-haruman. Rasulullah menyambut kedatangan Abdurrahman seraya berkata, “Alangkah harumnya dirimu, wahai Abdurrahman.” “Saya ingin berkahwin, ya Rasulullah,” ujar Abdurrahman. “Apa mahar yang akan kamu berikan kepada isterimu?” “Emas seberat biji kurma.” “Laksanakanlah walimah (kenduri), walau hanya dengan menyembelih seekor kambing. Semoga Allah memberkahi perkahwinan dan hartamu!” Sejak saat itu, kehidupan Abdurrahman bin Auf pun makmur. Begitu besar berkah yang diberikan Allah kepadanya, sampai ia dijuluki ‘Sahabat Bertangan Emas’.

Dermawan
Pernah, suatu ketika Rasulullah berpidato membangkitkan semangat jihad dan pengorbanan kaum muslimin. Baginda berdiri di tengah-tengah para sahabat seraya bersabda, “Jika kalian ada yang mahu bersedekah, maka bersedekahlah. Saya ingin mengirim satu pasukan ke medan perang!” Mendengar ucapan Rasulullah itu, Abdurrahman bergegas pulang ke rumahnya. Beberapa saat kemudian ia kembali ke hadapan Rasulullah. ‘Wahai Rasulullah, saya mempunyai wang empat ribu dinar. Dua ribu saya sedekahkan kerana Allah, dan dua ribu saya tinggalkan untuk keluarga saya.” “Semoga Allah melimpahkan berkahNya kepadamu, terhadap harta yang kau berikan, dan semoga Allah memberkahi juga harta yang kau tinggalkan untuk keluargamu.” Kedermawanan Abdurrahman bin Auf dapat juga dilihat ketika berlangsung perang Tabuk, iaitu perang yang terakhir kalinya diikuti Nabi s.a.w. Tatkala Rasulullah bersiap-siap menghadapi pasukan Rom dalam perang ini, baginda memerlukan dana dan tentera yang tidak sedikit. Sedang saat itu Madinah tengah dilanda musim panas. Ditambah lagi perjalanan ke Tabuk sangat jauh dan sulit. Sementara dana yang tersedia hanya sedikit. Banyak di antara kaum muslimin yang kecewa dan sedih, kerana ditolak Rasulullah menjadi tentera lantaran kenderaannya tidak mencukupi. Sebagai ‘gantinya’, Rasulullah memerintahkan kaum muslimin mengorbankan harta benda mereka untuk jihad fisabilillah. Dengan patuh dan setia, mereka pun memenuhi seruan Nabi s.a.w. yang mulia itu. Abdurrahman bin Auf turut mempeloporinya dengan menyerahkan dua ratus uqiyah emas. Melihat itu, Umar bin Khathab r.a. terkejut dan segera membisiki Rasulullah, “Sepertinya Abdurrahman berdosa kerana tidak meninggali wang belanja sedikit pun untuk keluarganya.” “Apakah kau meninggalkan wang belanja untuk isterimu, wahai Abdurrahman?” “Ya. Mereka saya tinggali lebih banyak dan lebih baik dari yang saya sumbangkan.” “Berapa?”


Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

Kelebihan Umat Muhammad Diabadikan Dalam Kitab Taurat

DALAM sebuah kitab agama ada menerangkan mengenai dialog antara Nabi Musa a.s. dengan Allah s.w.t. Dialog tersebut dimana Nabi Musa a.s. membaca kitab Taurat yang didapatinya mengenai kelebihan kepada suatu umat. Dalam “loh-loh” kitab “Taurat”, Nabi Musa a.s. telah dapat membaca tentang kelebihan-kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada umat itu. Lalu Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t. siapakah umat itu? Adakah ia umatku? Lantas Allah s.w.t. memberitahu Nabi Musa bahawa umat itu ialah “Umat Muhammad”.
Berkata Wahab bin Munabbih rahimullah: “Apabila Musa a.s. membaca pada loh-loh terlihat olehnya akan sifat-sifat kenabian umat Muhammad, lalu baginda berkata: “Ya Tuhanku, siapakah umat yang dibelas kasihani yang aku dapati tersebut dalam loh-loh ini?” Berfirman Allah: “Itulah umat Muhammad. Mereka redho dengan rezeki yang sedikit yang Aku berikan kepadanya. Maka Aku pun redho dengan amalan yang sedikit dari mereka. Akan AKU masukan mereka dalam syurga dengan hanya mengucapkan “Laillah haillallah” saja. Berkata Musa a.s. lagi: “Aku dapati dalam loh ini suatu umat yang akan dibangkitkan di Hari Kiamat, sedang wajah-wajah mereka bersinar cahaya laksana bulan purnama, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: “Mereka itu umat Muhammad.”Aku bangkitkan mereka itu di Hari Kiamat, sedang wajah-wajah mereka bersinar dan bercahaya disebabkan bekas-bekas dari wuduk dan sujud.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang berkain selendang di belakang masing-masing, dan bersenjatakan pedang di bahu masing-masing. Mereka itu orang-orang yang sentiasa bertawakkal dan dadanya penuh keyakinan. Mereka melaung-laungkan nama Allah di hadapan tiap-tiap rumah Tuhan untuk berjihad di atas kebenaran, sehingga akhirnya mereka pun membunuh Dajjal, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Tidak! Mereka itu umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang menyembahMu pada sehari semalam lima kali sembahyang pada lima waktu, sehingga terbukalah pintu-pintu langit untuk mereka, dan turunlah rahmat ke atas mereka, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang berpuasa sebulan ramadan untukMu, lalu Engkau mengampuni mereka terhadap segala kesalahan mereka yang sebelum itu, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang mengunjungi Baitulharam (Kaabah) untukMu. Mereka tiada keperluan lain untuk ditunaikan. Mereka hanya meratap menangisi diri mereka, serta mengangkat suara dengana takbir membesarkan Tuhan, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu umat Muhammad. Musa menambah kata: Apakah ganjaran mereka atas perbuatan itu? Jawab Tuhan: Aku akan menambah mereka maghfirah (keampunan) dan Aku akan benarkan mereka untuk memberi syafaat (jaminan) kepada sesiapa yang datang sesudah mereka.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang memohon keampunan dari dosa-dosanya. Mereka menyuap suatu suapan ke dalam mulutnya, dan belum sempat makanan itu sampai ke perutnya, melainkan dosa-dosa itu telah diampunkan Tuhan. Mereka memulakan menyuap makanan itu dengan menyebut namaMu serta mengakhirinya dengan mengucap syukur Alhamdulillah, jadikanlah mereka itu umatku. Berfirman Tuhan: “Mereka itu adalah umat Muhammad.”
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat, mereka itulah orang-orang yang terdahulu dibangkitkan menuju ke Mahsyar pada Hari Kiamat, dan mereka jugalah orang-orang yang terakhir dari makhluk-makhluk yang lain, ya Tuhanku, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang menyimpan kitab-kitab sucinya di dalam dadanya, mereka membacanya di mana mereka suka, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang kiranya mereka bercita-cita untuk mengerjakan suatu kebajikan, malah tiada dikerjakannya, maka akan dicatatkan baginya suatu kebajikan. Akan tetapi jika diteruskan cita-citanya itu dengan mengerjakan kebaikan itu, maka akan dicatatkan baginya sepuluh kali ganda sepertinya, sehingga menjadi tujuh ratus kali ganda, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang kiranya mereka bercita-cita untuk mengerjakan suatu kejahatan, kemudian tiada dilakukannya, tiadalah dicatatkan di atasnya dosa. Akan tetapi jika diteruskan cita-cita itu dengan mengerjakan kejahatan itu, barulah dikira atasnya suatu dosa, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat, mereka itu adalah sebaik-baik manusia. Mereka menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang dibangkitkan pada Hari Kiamat dalam tiga golongan. Segolongan akan memasuki syurga tanpa hisab. Segolongan lagi akan dihisab dengan perhisaban yang ringan saja. Dan segolongan terakhir diampunkan Tuhan segala dosanya, lalu mereka pun memasuki syurga, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Engkau telah anugerahkan segala kebaikan untuk Ahmad (Muhammad) dan umatnya, maka jadikanlah aku dari umatnya! Berfirman Allah Taala, sebagaimana yang tersebut di dalam al-Quran:
“Wahai Musa! Sesungguhnya Aku telah memilih engkau dari antara manusia untuk menyampaikan perutusanKu dan percakapanKu, maka terimalah apa yang Aku berikan kepadamu, dan hendaklah engkau menjadi orang-orang yang bersyukur.” (al-A’raf: 144)

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

Wanita Tidak Mahu Tua Hingga Mati

Zaman mutakhir ini, manusia sedang dihambat oleh kecantikan. Terutama kaum wanitanya, mereka sanggup membelanjakan wang beribu-ribu ringgit semata-mata kerana mahukan “penampilannya kelihatan cantik”. Sementara itu, banyak orang yang menubuhkan syarikat dengan mengeluarkan pelbagai produk kecantikan khas untuk kaum wanita. Produk-produk itu berkisar kepada mencantikkan mata, dagu, rambut, hidung, kuku dan pelbagai yang difikirkan perlu. Selain dari bahan-bahan luaran untuk dipakai, ditempel, disapu dan digosok, ada juga mengunakan pembedahan untuk mengubah wajah asal mereka. Sebenarnya, pembedahan-pembedahan apa yang disebut sebagai “plastic sugery” ini bermula dan berkembang di barat, kemudian diheret ke negara-negara sebelah sini termasuk negara kita sendiri. Kalangan artis dan kalangan orang kenamaan rasanya banyak terlibat dengan hambatan kecantikan ini. Ada sebahagiannya membedah hidung kerana mahu memancungkannya. Ada pula yang membedah bahagian kelopak mata kerana mahu “memundarkan” matanya. Ada pula yang terpaksa buang kedutan-kedutan di bahagian pipi, bahagian-bahagian lain kerana mahukan “ketegangannya”. Semuanya dihambat oleh kecantikan, dan mahu penampilan mereka lebih hebat, dan tidak mahu tua hingga bila-bila pun. Tetapi mereka yang merombak wajah-wajah ini tidak menyedari bahawa ada “Dua perkara” yang mesti datang pada diri setiap makhluk, termasuk manusia. Pertama: Maut iaitu mati. Dimana pun kita pergi, dimana pun kita menyembunyikan diri, dimana pun kita melarikan diri, mati atau pun “maut” mesti menemui kita. Kedua: Tua, apa pun kita buat keatas wajah kita, namun tua pasti mengunjungi kita. Apa pun ubat yang kita makan, apa juga suntikan yang kita lakukan sama ada “Botox” dan sebagainya, tua pasti datang. Sama ada kita bedah hidung, bedah dahi, bedah pipi mahu hilangkan kedut-kedut dimuka, lambat laun “tua” datang juga. Sekarang cuba kita lihat dari sudut pandangan agama mengenai persoalan ini. dalam kitab suci Al-Quran ada satu surah yang diturunkan oleh Allah kepada junjungan kita Muhammad s.a.w. Dalam surah ini ada satu ayat iaitu surah “At-Tin” ayat 4 yang maksudnya: “Sesungguhnya Aku jadikan manusia sebaik-baik bentuk”. Maksudnya disini ialah Allah ciptakan manusia adalah sebaik-baik kejadian dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain yang Allah ciptakan. Para ulama mentafsirkan ayat tersebut bahawa Allah telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, diberikan anggota badan yang lengkap dan sempurna dengan tangannya, mempunyai keistimewaan dengan ilmu, pemikiran, tutur bicara dan pengurusan penghidupan. Apa lagi yang perlu kita pertikaikan ciptaan Allah ini yang sudah sempurna? Kenapa pula kita perlu mengubah wajah-wajah asal ciptaan itu dengan melakukan pembedahan itu dan ini. Apakah ciptaan Allah itu tidak sempurna ke? Apakah dengan mengubah wajah kita dengan penampilan agar kelihatan cantik untuk memikat orang lain? Bahawa tidak ada satu agama pun yang dibawa oleh para nabi memerintahkan mencintai seseorang kerana kecantikannya. Sekiranya kecantikan merupakan salah satu sebab darjatnya diangkat oleh Allah dan menambah pahalanya, tentulah “Nabi Yusuf” lebih utama dari nabi-nabi yang lainnya kerana ketampanannya. Contohnya: Ada dua orang yang sama atau pun seimbang dalam hal mengerjakan amal salih, jika salah satu dari keduanya memiliki wajah yang cantik, mereka disisi Allah sama darjatnya, sebab manusia yang paling mulia disisi Allah adalah yang paling bertakwa. Seseorang yang memiliki paras yang cantik, jika dia menjaga kecantikannya itu dari perkara-perkara yang diharamkan Allah dan tetap menjaga kesuciannya, maka dia lebih utama daripada selainnya. Kedudukannya sama dengan orang yang memiliki harta dan kekuasaan, jika dia mengendalikan diri dari kekuasannya itu, tentu lebih utama daripada orang lemah yang mengendalikan dirinya. Sebahagian dari orang-orang yang dihambat kecantikan ini telah menghabiskan wang dengan membelanjakannya kearah itu tanpa memikirkan bahawa perubatan itu dilarang oleh agama. Mereka sanggup membelanjakan atas perbuatan keji itu semata-mata dorongan hawa nafsunya. Allah s.w.t. telah mengurniakan rezeki yang melimpah ruah itu bukanlah untuk menjurus kearah kemaksiatan, tetapi untuk mendapatkan keredhoan Allah. Apa yang mahu kita kejar dalam dunia yang singkat ini, ialah kalau tidak kita mengejar pahala untuk dibawa menghadap Allah di akhirat kelak? Bukanlah kita memperbelanjakan rezeki yang dianugerahkan Allah itu kearah perkara-perkara kemaksiatan, dengan mengejar kecantikan yang usianya sebentar sahaja, kemudian kita semua akan tua atau pun maut akan memanggil. Para ulama membuat penegasan bahawa barang siapa memiliki kecantikan dan ketampanan, dan kemudian menjaga dirinya dari perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah dan melawan kehendak hawa nafsunya lebih baik dari orang yang tidak dianugerahkan kecantikan tetapi tidak diuji dengan kecantikan. Kalau seseorang itu tidak memiliki wajah yang cantik dan paras ayu, tetapi dia menghiasi dengan kecantikan batin, berupa ketaatan, maka semakin bertambah usianya, semakin cantik dan indah pula wajahnya. Kalau kecantikan lahiriah seperti kecantikan wajah, jika tidak dirawat kecantikan dan keindahan, maka semakin bertambah usianya, maka bertambah buruk dan kelam.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...