ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Melalui keluaran ini kita paparkan kepada pembaca pelbagai kisah iktibar yang perlu dijadikan pengajaran. Kisah pertama ialah mengenai jenazah seorang anak muda yang kain kafannya terbakar. Pemuda ini dianggap murtad kerana sanggup bertukar agama kerana mahu berkahwin dengan wanita kafir. Akibat menurut hawa nafsu dan ceteknya akal, pemuda itu sanggup memenuhi syarat tersebut. Kisah Iktibar kedua juga mengharukan apabila seorang menantu bersikap biadab terhadap ibu mentuanya. Akibatnya mentua yang merasa teraniaya melepaskan ‘sumpah’ yang mengakibatkan si menantu berdarah keluar dari duburnya hingga membawa maut. Kisah iktibar berikutnya pula mengenai perbuatan derhaka seorang lelaki terhadap ibu dan bapa kandungnya. Malangnya lelaki ini tidak sempat memohon ampun kepada ibu bapanya dan menghabiskan hayatnya dalam keadaan mengharukan. Begitu juga dengan Iktibar keempat memaparkan taubatnya seorang wanita yang terlanjur melakukan hubungan sesama wanita ketika bekerja di luar negeri. Dalam ruangan kisah di tanah suci memaparkan pula bagaimana pengalaman aneh yang dialami oleh seorang polis trafik yang tersayat kakinya ketika berada di hadapan Kaabah. Begitulah rencam dan berbagainya liku-liku hidup ini. Kita sebagai manusia, tak terlepas diuji dengan pelbagai ujian dan cabaran hingga menjelangnya kiamat. Benarlah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak dapat bergerak kaki seseorang hamba sehingga ditanya tentang empat: umurnya digunakan apa sampai habis. Dan badannya dalam apa ia rosakkan. Dan ilmunya apa/ia pergunakan (apakah diamalkan) Dan hartanya dari mana dia dapat dan kemana dia keluarkan.” Sewajarnyalah dalam menjalani hidup yang amat singkat ini kita berwaspada mengawas diri. Seyogialah anda menjadikan Hidayah ini sebagai ‘pengingat’ tentang dunia kekal abadi di akhirat. Hendaknya anda termasuk dalam golongan yang dimaksudkan oleh Abu Bakar Alwaasithi yang berkata: “Keuntungan yang besar itu dalam tiga: Hidup, mati dan kiamat. Adapun keuntungan hidup, iaitu bila digunakan dalam taat kepada Allah, dan keuntungan mati bila ia mati dalam kalimat syahadah: ‘Laailaha illallah’, dan keuntungan hari kiamat bila bangkit dari kubur disambut dengan berita bahawa syurga tersedia untuknya.” Semoga kita termasuk dalam golongan ini. Terima kasih dengan sokongan berterusan anda tehadap Hidayah. Bacalah, hayatilah dan insafilah cabaran hidup ini agar kita kekal dalam golongan orang-orang yang beriman.
Wassalam!
Pengarang.
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my
Thursday, June 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment