JADIKAN KOLEKSI HIDAYAH
Saudara pengarang,
Sejak Hidayah menyiarkan ruangan mengenai negara-negara Islam, baik kelompok rakyatnya majoriti atau minoriti hati saya tertarik untuk menghayatinya. Ruangan ini memang besar manfaatnya. Ianya memberi ilmu pengetahuan mengenai sesebuah negara itu. Ianya juga dapat memberi gambaran sejarah sesebuah negara Islam dengan kehidupan masyarakatnya yang berbagai. Rasanya adalah tidak mungkin sebilangan besar kita untuk berpeluang menjijakkan kaki ke negara-negara luar. Namun melalui ruangan yang memperkenalkan negara-negara yang ada umat Islam di seluruh dunia ini memberi maklumat berharga kepada pembaca. Suka saya memberi pandangan agar ruangan ini boleh diperbaiki dengan penambahan maklumat mengenai perkembangan politik, memperkenalkan tokoh-tokoh kepimpinan Islam tempatannya, perkembangan kebudayaan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Saya mahu ruangan ini terus dikekalkan dan diperbaiki dari semasa ke semasa.
Ada baiknya juga jika ruangan ini dapat dijadikan koleksi khas Hidayah. Seandainya diterbitkan kelak, bolehlah dibuat penyuntingan lebih lengkap dan penambahan maklumat buat panduan pembaca.
Semoga Hidayah terus maju jaya.
Wassalam.
Nordin Maaruf,
Tanjung Karang, Selangor.
• Cadangan anda itu akan kami bincangkan kelak, InsyaAllah. – Pengarang.
ADAKAN RUANGAN ‘HIBURAN’
Saudara pengarang,
Ada baiknya juga Hidayah menyediakan ruangan hiburan atau ruangan seni. Ruangan ini boleh diisi dengan memperkenalkan artis-artis dari kumpulan nasyid, kritik filem atau drama yang berunsur Islam dan lain-lainnya.
Dengan cara ini Hidayah boleh diperbagaikan. Tidaklah asyik cerita pasal kubur, pasal kain kafan, pasal orang mati yang balik itu-itu juga dipaparkan. Namun tahniah kepada Hidayah yang mampu bertahan hingga dua belas tahun ini. Semoga tahun-tahun mendatang, Hidayah akan lebih segar dan bertenaga sebagai majalah dakwah yang digemari ramai.
Halijah Talib,
Kota Bharu, Kelantan.
• Padangan anda itu kami ambil perhatian. Namun harus ingat, kisah-kisah masyarakat yang kami paparkan itulah antara faktor menarik jutaan pembaca di seluruh nusantara termasuklah anda sendiri. – Pengarang.
KUBUR ULAMA YANG BERCAHAYA
Saudara pengarang,
Dalam Hidayah keluaran Mei 2010 lalu Hidayah menyiarkan kisah Iktibarnya bertajuk ‘Kubur Ulama Yang Bercahaya’ yang berlaku di Kota Padang. Saya terharu dengan kisah tersebut. Ianya membuktikan bahawa kalangan ulama yang ikhlas dengan tugas dan tanggungjawab mereka di atas muka bumi ini akan mendapat balasan yang mulia di sisi Allah. Ianya bukan saja dijamin mendapat keampunan di akhirat, malah sifat-sifat mulia itu sudah ditunjukkan di dunia ini lagi. Salah seorang ulama tersebut ialah Dugo Datuk Penghulu Basa atau terkenal dengan panggilan ‘Buya Talawi’. Ada baiknya juga Hidayah (Versi Indonesia) dapat melengkapkan biografi Buya Talawi dan sebilangan tokoh-tokoh ulama sezaman atau selepasnya untuk dipaparkan dalam Hidayah atau diterbitkan dalam bentuk buku khas. Dengan adanya paparan tersebut, peranan para ulama ini tidak hilang begitu saja dalam lipatan sejarah. Malah mereka ini boleh dijadi idola atau panduan buat generasi kita sekarang dan masa akan datang. Para karyawan Hidayah berperanan mencungkil riwayat hidup para tokoh ulama ini dan peranan mereka dalam meninggikan syiar agama di rantau Asia Tenggara ini khususnya di Indonesia dan di Malaysia.
Haji Rizal Akhir,
Kepala Batas, Kedah.
• Komen anda itu memang sewajarnya kami ambil perhatian. Namun untuk melaksanakannya memerlukan gerak kerja yang tersusun dan tenaga yang gigih.- Pengarang.
Thursday, June 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment