Wednesday, June 2, 2010

Alam Ghaib Ada Di Keliling Manusia Sendiri

KITA selalu mendengar orang bercakap mengenai alam ghaib. Dalam majlis-majlis kuliah agama pun, para penceramah menyebutkan perkara yang sama. Apa yang dijelaskan oleh para ustaz bahawa alam ghaib itu satu benda yang mata kita tidak boleh melihatnya. Ertinya, dalam keadaan yang wujud sekarang, mata kita tidak boleh melihat apa yang ada didalam alam itu. Allah s.w.t. yang menjadikan “alam ghaib” itu menghampiri manusia dan makhluk lain iaitu setengah darinya dapat melihat apa yang terjadi. Dalam kitab suci Al-Quran banyak ayat yang menyebutkan mengenai alam ghaib ini. Dalam hadis Nabi s.a.w. pun ada disebutkan perkara yang sama. Dalam kitab-kitab agama pun ada dijelaskan mengenai alam ghaib. Semuanya itu dijelaskan secara keterangan, tetapi kita tidak dapat melihatnya. Alam ghaib sebenarnya mengelilingi kita. Namun, dengan pengetahuan dan modal akal serta deria yang terbatas ini kita tidak mampu menangkapnya. Akan tetapi ketidaktahuan kita mengenai masalah ghaib tersebut bukan bererti perkara ghaib itu tidak wujud sama sekali. Ketidaktahuan mengenai sesuatu bukan bererti sesuatu itu tidak ada, sebagaimana ditegaskan para ulama terdahulu. Betapa banyaknya benda-benda yang kini kita temukan, tetapi dahulu sama sekali kita tidak mengetahuinya. Padahal benda-benda itu ada di sekitar kita, bahkan ada di dalam diri kita sendiri. Siapakah di antara kita yang tahu bahawa di dalam sperma manusia itu terdapat berjuta-juta benih manusia? Di antara alam ghaib itu ialah para malaikat, jin, arasy (singgahsana Allah), kursi, loh, dan sebagainya. Hal tersebut dibicarakan oleh Quran, tetapi biasanya secara kasar sahaja. Ada juga yang dinyatakan secara terperinci, tetapi Sunnah membicarakannya secara lebih jelas.
Seluruh umat Islam bersetuju bahawa Sunnah merupakan sumber pengetahuan mengenai alam ghaib ini. Mereka telah mendapatkan bukti-bukti kukuh bahawa Muhammad s.a.w. ialah utusan Allah s.w.t. yang telah menerima wahyu dariNya. Baginda juga tidak pernah berbicara mengikuti hawa nafsu. Pembicaraannya selalu merupakan kebenaran. Baginda tidak pernah menyampaikan dari Allah s.w.t. mengenai apa pun yang tidak diketahuinya. Baginda juga tidak mengetahui perkara ghaib melainkan perkara yang telah diajarkan oleh Allah s.w.t. kepada baginda. Perbezaan pendapat yang timbul dalam masalah ini ialah mengenai persoalan penetapan sahihnya suatu hadis yang diriwayatkan daripada Nabi, iaitu mengenai suatu hadis yang secara pasti (qath’i), memang sahih adanya dan mesti diyakini sebagai akidah. Adakah dalam masalah ini cukup dengan menerima hadis yang diriwayatkan secara ahad, ataukah hadis itu mesti diriwayatkan oleh ramai orang dari sejumlah orang yang sama banyaknya, di mana biasanya mereka seluruhnya tidak mungkin bersepakat untuk berbohong; atau dalam istilah popularnya disebut sebagai hadis mutawatir yang bererti pasti sahihnya dan menyakinkan? Dengan ungkapan lain: Adakah persoalan akidah itu dapat ditetapkan dengan hadis riwayat ahad, yang pada hakikatnya hanya bererti anggapan yang kuat walaupun ia hadis sahih: ataukah persoalan akidah itu hanya dapat ditetapkan dengan hadis riwayat mutawatir, yang bererti pasti benarnya serta memberikan keyakinan? Pengetahuan asas yang dapat kita peroleh dari Sunnah bukanlah ilmu pengetahun yang berkaitan dengan pelbagai aspek kehidupan yang berkembang, yang didapati berdasarkan pengamatan dan pengalaman, serta proses sambung menyambung secara terus menerus. Hakikat ini pun kita ketahui dari Sunnah juga bahawa dalam mengurus masalah duniawi yang bersifat teknikal, kita berserah kepada Allah s.w.t. setelah kita berusaha menggunakan segala tenaga serta kemampuan akal kita. Kita juga tidak memerlukan wahyu mengajar kita bagaimana cara bercucuk tanam, berubat, menyediakan kekuatan senjata dan sebagainya. Wahyu itu tidak mencakup masalah teknikal, dan tidak ikut campur menentukan soal-soal peralatan. Sebaliknya, wahyu hanya mengajarkan prinsip-prinsip dasar, nilai-nilai, dan ajaran-ajaran asas yang penting. Sedangkan persoalan-persoalan duniawi yang terus berubah itu diserahkan kepada kita. Inilah pelajaran praktik yang dapat kita terima dari Sunnah ketika Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu.” Hadis ini diriwayatkan dalam kaitannya dengan masalah pencatuman putik bunga kurma. Dalam isu ini, baginda mengemukakan pendapat peribadi yang bersifat ijtihad, berdasarkan pengalamannya sebagai manusia biasa yang datang dari persekitaran Makkah yang terbatas.

Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

No comments: