MALAM itu, sebilangan jemaah surau di sebuah taman perumahan di pinggiran ibu kota Kuala Lumpur didatangi seorang pendakwah dari Kuching, Sarawak. Beliau dijemput secara tidak rasmi atas nama jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa PEYATIM, Sarawak dan PERKIM Sarawak dan diraikan oleh cawangan PERKIM di taman perumahan itu. Apa yang menarik mengenai personaliti ini, beliau bukanlah sembarangan orang. Dulunya dia seorang paderi besar dan pernah mengembara ke 22 buah negara seluruh dunia untuk menjayakan misionari Kristiannya. Beliau adalah seorang pendita atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam dan pernah berkhidmat di gereja St. Benedictine Monastery Einsiedeln, Switzerland selama hampir 6 tahun. Dia juga adalah pakar dalam undang-undang (Missio Canonica) Kristian.
Dengan kedudukannya itu, dia boleh mewakili ‘Jesus’ untuk memberi pengampunan dosa kepada penganut-penganut Kristian Katolik. Mungkin tertarik dengan nama ‘bekas paderi besar’ itulah yang memikat sebilangan jemaah datang untuk mendengar kuliah maghribnya yang memang menarik itu. “Tahukah tuan-tuan, dengan membuat pengampunan itu saya mendapat bayaran dari DM10.00 hingga DM50.00 yang nilainya memang besar pada awal tahun 70-an itu,” katanya dalam kuliah hampir satu jam itu. Kedudukannya atau tarafnya dalam Kristian cukup mulia. “Pencuci bilik air saya setiap hari ialah lelaki Jerman. Kenderaan saya mewah, pakai Mercedes,” ceritanya. “Saya memilih sebagai pendeta Kristian untuk mengambil sumpah (a) Seumur hidup tidak mahu kahwin (b) Seumur hidup tidak mahu terima gaji dari Gereja (c) Seumur hidup ikut arahan-arahan yang dikeluarkan oleh wakil-wakil dari ibu pejabat Gereja Kristian di Vatican City.” Tugasnya sebagai ‘Pendeta’ adalah untuk mengajar penganut Kristian mengikut ajaran Majisterium dari Vatican City supaya mereka boleh jadi orang Kristian yang patuh kepada suruhan Tuhan mereka menurut Bible. Cerita Rev. Anthonysamy, bahawa beliau pernah diminta mengampunkan penghuni-penghuni kubur atas permintaan keluarga si mati. Lelaki yang berasal dari Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini sempat mengimbau kenangan silam zaman remajanya. Menurut Paulus dalam kitab Perjanjian Baru, seseorang yang tidak dibaptiskan tidak mungkin dapat masuk syurga kecuali dibaptiskan. “Saya mempunyai jiran-jiran Melayu yang sangat baik. Sehingga saya masih ingat apabila mereka berpuasa dalam bulan Ramadan, kami sekeluarga adalah orang pertama yang akan menerima juadah berbuka puasa mereka. “Mereka tidak berbuka puasa selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukan Islam. Perasaan ini memang mengharukan. “Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran saya itulah yang bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira. “Mereka itu memang sangat baik dengan kami,” kenangnya. Kerana kebaikan mereka itulah dia, sendiri pernah berdoa kepada ‘tuhan’nya agar mengecualikan jiran-jirannya itu dari masuk neraka dan dimasukkan ke dalam ‘syurga’.Dalam ceramahnya pada malam itu, beliau melahirkan rasa terkilannya dengan kebaikan jiran Melayunya itu tidak pernah sekalipun mereka cuba ‘mendakwah’ keluarganya untuk mengenal Islam atau mengajak masuk Islam.
Tapi Allah itu Maha Kaya. Dengan kehendakNya, digerakkan hati Rev. Anthonysamy memohon kepada Bishop Dionysius untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang kononnya boleh dijadikan senjata utuk melumpuhkan dan melemahkan umat Islam sendiri. Permintaannya itu dipenuhi malah pada tahun 1972, beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute, London bagi membolehkan paderi itu mempelajari Islam sebanyak mana yang dia mahu. “Pada mulanya selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui ialah hanya keindahan Islam. “Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama.” Antara surah dalam Al-Quran yang menyentuh perasaannya ialah surah Ibrahim. “Sebenarnya permintaan saya untuk mendalami ajaran Islam bukanlah datang dari nafsu saya, tapi digerakkan oleh Tuhan. Satu malam saya bermunajat dengan “Jesus” sehingga saya tertidur dalam gereja. Waktu itu saya terdengar satu suara yang menyuruh saya belajar agama Islam. “Mungkin itulah ‘hidayah’ yang saya dapat untuk menolong agama suci ini,” katanya. “Salah satu firman Allah yang paling berkesan pada saya ketika membaca ayat 85 surah Ali Imraan yang bermaksud: “Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”
Jadi siapakah yang yang akan rugi di hari akhirat kelak? Dia bertanya kepada dirinya sendiri. Menurut Ayub adalah tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sama berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehingga banyak mengunjungi tempat suci orang-orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak akan diperolehi oleh penganut lain. Ditambah pula dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali. Namun Allah s.w.t. jua yang menentukan kehendakNya sendiri. Pada 4 September 1978 mencatatkan tarikh yang bersejarah apabila paderi ternama ini akhirnya dengan ikhlas hati mengakui keesaan Allah sebagai Tuhan Yang Satu yang tidak disekutukan dengan mana-mana makhluk lain termasuk Nabi Isa a.s. Beliau diIslamkan di bumi Kenyalang Sarawak sebagai saksi dengan dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu Datuk Patinggi Dr Hj. Abdul Rahman Yaacob.
“Itulah sebabnya saya diberi nama Ayub Abdul Rahman sempena tokoh Islam yang banyak membantu saya sejak mula menganut Islam hinggalah saat ini,” ujarnya yang ditemu bual selepas bersolat isyak
Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...
Wednesday, June 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment