Zaman mutakhir ini, manusia sedang dihambat oleh kecantikan. Terutama kaum wanitanya, mereka sanggup membelanjakan wang beribu-ribu ringgit semata-mata kerana mahukan “penampilannya kelihatan cantik”. Sementara itu, banyak orang yang menubuhkan syarikat dengan mengeluarkan pelbagai produk kecantikan khas untuk kaum wanita. Produk-produk itu berkisar kepada mencantikkan mata, dagu, rambut, hidung, kuku dan pelbagai yang difikirkan perlu. Selain dari bahan-bahan luaran untuk dipakai, ditempel, disapu dan digosok, ada juga mengunakan pembedahan untuk mengubah wajah asal mereka. Sebenarnya, pembedahan-pembedahan apa yang disebut sebagai “plastic sugery” ini bermula dan berkembang di barat, kemudian diheret ke negara-negara sebelah sini termasuk negara kita sendiri. Kalangan artis dan kalangan orang kenamaan rasanya banyak terlibat dengan hambatan kecantikan ini. Ada sebahagiannya membedah hidung kerana mahu memancungkannya. Ada pula yang membedah bahagian kelopak mata kerana mahu “memundarkan” matanya. Ada pula yang terpaksa buang kedutan-kedutan di bahagian pipi, bahagian-bahagian lain kerana mahukan “ketegangannya”. Semuanya dihambat oleh kecantikan, dan mahu penampilan mereka lebih hebat, dan tidak mahu tua hingga bila-bila pun. Tetapi mereka yang merombak wajah-wajah ini tidak menyedari bahawa ada “Dua perkara” yang mesti datang pada diri setiap makhluk, termasuk manusia. Pertama: Maut iaitu mati. Dimana pun kita pergi, dimana pun kita menyembunyikan diri, dimana pun kita melarikan diri, mati atau pun “maut” mesti menemui kita. Kedua: Tua, apa pun kita buat keatas wajah kita, namun tua pasti mengunjungi kita. Apa pun ubat yang kita makan, apa juga suntikan yang kita lakukan sama ada “Botox” dan sebagainya, tua pasti datang. Sama ada kita bedah hidung, bedah dahi, bedah pipi mahu hilangkan kedut-kedut dimuka, lambat laun “tua” datang juga. Sekarang cuba kita lihat dari sudut pandangan agama mengenai persoalan ini. dalam kitab suci Al-Quran ada satu surah yang diturunkan oleh Allah kepada junjungan kita Muhammad s.a.w. Dalam surah ini ada satu ayat iaitu surah “At-Tin” ayat 4 yang maksudnya: “Sesungguhnya Aku jadikan manusia sebaik-baik bentuk”. Maksudnya disini ialah Allah ciptakan manusia adalah sebaik-baik kejadian dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain yang Allah ciptakan. Para ulama mentafsirkan ayat tersebut bahawa Allah telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, diberikan anggota badan yang lengkap dan sempurna dengan tangannya, mempunyai keistimewaan dengan ilmu, pemikiran, tutur bicara dan pengurusan penghidupan. Apa lagi yang perlu kita pertikaikan ciptaan Allah ini yang sudah sempurna? Kenapa pula kita perlu mengubah wajah-wajah asal ciptaan itu dengan melakukan pembedahan itu dan ini. Apakah ciptaan Allah itu tidak sempurna ke? Apakah dengan mengubah wajah kita dengan penampilan agar kelihatan cantik untuk memikat orang lain? Bahawa tidak ada satu agama pun yang dibawa oleh para nabi memerintahkan mencintai seseorang kerana kecantikannya. Sekiranya kecantikan merupakan salah satu sebab darjatnya diangkat oleh Allah dan menambah pahalanya, tentulah “Nabi Yusuf” lebih utama dari nabi-nabi yang lainnya kerana ketampanannya. Contohnya: Ada dua orang yang sama atau pun seimbang dalam hal mengerjakan amal salih, jika salah satu dari keduanya memiliki wajah yang cantik, mereka disisi Allah sama darjatnya, sebab manusia yang paling mulia disisi Allah adalah yang paling bertakwa. Seseorang yang memiliki paras yang cantik, jika dia menjaga kecantikannya itu dari perkara-perkara yang diharamkan Allah dan tetap menjaga kesuciannya, maka dia lebih utama daripada selainnya. Kedudukannya sama dengan orang yang memiliki harta dan kekuasaan, jika dia mengendalikan diri dari kekuasannya itu, tentu lebih utama daripada orang lemah yang mengendalikan dirinya. Sebahagian dari orang-orang yang dihambat kecantikan ini telah menghabiskan wang dengan membelanjakannya kearah itu tanpa memikirkan bahawa perubatan itu dilarang oleh agama. Mereka sanggup membelanjakan atas perbuatan keji itu semata-mata dorongan hawa nafsunya. Allah s.w.t. telah mengurniakan rezeki yang melimpah ruah itu bukanlah untuk menjurus kearah kemaksiatan, tetapi untuk mendapatkan keredhoan Allah. Apa yang mahu kita kejar dalam dunia yang singkat ini, ialah kalau tidak kita mengejar pahala untuk dibawa menghadap Allah di akhirat kelak? Bukanlah kita memperbelanjakan rezeki yang dianugerahkan Allah itu kearah perkara-perkara kemaksiatan, dengan mengejar kecantikan yang usianya sebentar sahaja, kemudian kita semua akan tua atau pun maut akan memanggil. Para ulama membuat penegasan bahawa barang siapa memiliki kecantikan dan ketampanan, dan kemudian menjaga dirinya dari perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah dan melawan kehendak hawa nafsunya lebih baik dari orang yang tidak dianugerahkan kecantikan tetapi tidak diuji dengan kecantikan. Kalau seseorang itu tidak memiliki wajah yang cantik dan paras ayu, tetapi dia menghiasi dengan kecantikan batin, berupa ketaatan, maka semakin bertambah usianya, semakin cantik dan indah pula wajahnya. Kalau kecantikan lahiriah seperti kecantikan wajah, jika tidak dirawat kecantikan dan keindahan, maka semakin bertambah usianya, maka bertambah buruk dan kelam.
Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...
Wednesday, June 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment