SEBAGAIMANA yang kita maklum dan tahu bahawa sembahyang merupakan penghubung antara hamba dengan Tuhannya. Kewajipan sembahyang disampaikan terus oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. tanpa perantara. Sembahyang adalah penghibur bagi Nabi, dan sembahyang tidak akan diterima oleh Allah kecuali seperti yang telah diajarkan oleh Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya: “Solatlah kamu sebagaimana melihatku (melaksanakannya) Solat.” Ada sebuah kitab yang berjudul “Fatwa an Nabi Fi Solat” karya Ibnu Qayyim al-Juziyah yang sudah pun diterjemahkan. Kitab tersebut lengkap dan rinci yang membahas tata cara solat Rasulullah s.a.w. Dalam rencana ini kita cuba nukilkan mengenai “Bacaan Rasulullah dalam solat” yang ditulis oleh pengarangnya berdasarkan hadis-hadis sahih yang diceritakan para sahabat yang paling dekat dengan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengkhususkan membaca sebuah surah dalam solat-solat tertentu kecuali dalam solat Jumaat dan solat hari raya, Aidilfitri dan Aidiladha. Adapun untuk solat-solat yang lain, Abu Daud telah menuturkan, dari hadis Amr bin Syua’ib, dari ayahnya, ia berkata: “Tidak ada dari golongan Al-Mufashshal sebuah surah yang lebih panjang mahu pun pendek, kecuali aku pernah mendengar baginda menjadi imam solat fardu dengan membaca surat tersebut.” Termasuk tuntutan yang diajarkan Rasulullah adalah agar membaca surah secara lengkap. Baginda terkadang membaca satu surah penuh itu dalam dua rakaat, dan kadang pula dibacanya pada rakaat pertama saja. Tapi Rasulullah tidak pernah membaca potongan dari suatu surah, misalnya ayat-ayat terakhir saja atau ayat-ayat bahagian tengah saja. Rasulullah juga pernah membaca dua surah sekaligus dalam satu rakaat, tapi itu baginda lakukan dalam solat sunnah. Adapun untuk solat fardu, Rasulullah tidak pernah melakukannya. Memang ada hadis dari Ibnu Mas’ud r.a. yang menyebutkan: “Aku tahu beberapa pasangan surah yang pernah dibaca Rasulullah dalam satu rakaat, iaitu surah ar-Rahman dengan surah an-Najm, surah al-Qamar dengan surah al-Haaqqah, surah ath-Thuur dengan surah adz-Dzaariyaat, dan surah al-Waaqi’ah dengan surah al-Qalam (Nun).” Tapi hadis tersebut menceritakan suatu perbuatan yang tidak diketahui tempat masalahnya, apakah dalam solat fardu ataukan solat sunat? Tentunya itu masih bersifat kemungkinan. Adapun membaca satu surah pada dua rakaat, maka Rasulullah jarang sekali melakukannya.
“Abu Daud menuturkan dari seorang lelaki dari kabilah Juhainah, bahawa ia pernah mendengar Rasulullah dalam solat subuh membaca surah az-Zalzalah dalam dua rakaat sekaligus. Namun Abu Daud berkomentar: “Aku tidak mengerti, apakah Rasulullah sedang lupa ataukah memang disengaja membaca seperti itu.” (Hadis ini sahih).
Saat melakukan solat subuh dan solat-solat lainnya, Rasulullah selalu memanjangkan rakaat pertama daripada rakaat kedua. Terkadang baginda memanjangkan rakaat pertama sampai-sampai kaki orang yang datang tidak kedengaran. Baginda lebih memanjangkan solat subuh daripada solat yang lainnya, sebab bacaan yang dibaca pada waktu fajar akan disaksikan oleh Allah dan para malaikatNya. Ada yang mengatakan akan disaksikan oleh malaikat siang dan malaikat malam. Kedua pendapat tersebut berpijak pada pertanyaan, apakah turunnya rahmat Tuhan akan berakhir sampai sehabis solat subuh atau sampai terbit fajar? Jawabnya adalah bahawa di satu sisi ada hadis yang menerangkan sampai habisnya solat subuh, dan di sisi lain menerangkan sampai terbit fajar. Alasan lain adalah kerana solat subuh itu paling sedikit rakaatnya. Jadi Rasulullah menjadikan panjang solatnya sebagai ganti atas sedikitnya rakaat. Solat subuh adalah solat yang dilakukan setelah bangun tidur, di saat orang lain masih ada yang tertidur. Lagi pula setelah solat subuh, seseorang tidak segera bekerja mencari nafkah dan hal-hal keduniaan lainnya. Solat subuh juga jatuh pada waktu di mana pendengaran, lisan, dan hati sudah tenang kerana tidak ada kesibukan, sehingga dapat memahami dan merenungkan Al-Quran. Di samping juga bahawa solat subuh merupakan asas dan awal dari aktiviti. Oleh kerananya, ia diberi keistimewaan berupa perhatian khusus dari Rasulullah dan pemanjangan solat oleh baginda. Itulah beberapa rahsia yang hanya boleh diketahui oleh orang-orang yang berkeinginan menyingkap rahsia, tujuan, dan hikmah syariah. Allah s.w.t. tempat meminta pertolongan. Untuk solat zuhur, kadangkala Rasulullah memanjangkan bacaan solatnya. Abu Sa’id menceritakan: “Suatu ketika saat solat zuhur ditunaikan, ada seseorang yang pergi ke daerah Baqi’. Di sana ia memenuhi keperluannya lalu mendatangi keluarganya dan kemudian ia berwuduk. Ternyata setelah sampai di masjid, orang yang pergi itu masih dapat mengikuti solat Rasulullah dalam rakaat pertama. Ini kerana pemanjangan bacaan yang dilakukan Rasulullah s.a.w.” (HR. Muslim) Kadang pula Rasulullah s.a.w. pada solat zuhur membaca surah as-Sajadah, atau dengan surah al-A’laa dan surah al-Lail dan terkadang pula dengan membaca surah al-Buruuj dan ath-Thaariq.
Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...
Wednesday, June 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment