Wednesday, June 2, 2010

Sahabat Yang 'Bertangan Emas'

Sahabat Abdurrahman bin Auf termasuk kelompok lapan yang mula-mula masuk Islam. Ia juga tergolong sepuluh sahabat yang diberi khabar gembira oleh Rasulullah s.a.w. masuk syurga dan termasuk enam orang sahabat yang bermusyawarah dalam pemilihan khalifah setelah Umar bin Khathab r.a. Di samping itu, ia adalah seorang mufti yang dipercaya Rasulullah untuk berfatwa di Madinah selama dia masih hidup. Pada masa Jahiliyah, ia dikenal dengan nama Abd Amr. Setelah masuk Islam, Rasulullah memanggilnya Abdurrahman bin Auf. Abdurrahman memeluk Islam sebelum Rasulullah menjadikan rumah Al-Arqam sebagai dakwah. Ia mendapatkan hidayah dari Allah dua hari sesudah Abu Bakar Shiddiq r.a. masuk Islam. Seperti kaum muslimin lainnya yang pertama-tama masuk Islam, Abdurrahman pun tidak luput dari penyeksaan dan tekanan kaum kafir Quraisy. Tetapi ia sabar. Pendiriannya sentiasa teguh. Dia menghindar dari kekejaman kaum Quraisy dan tetap setia serta patuh membenarkan risalah Muhammad. Abdurrahman turut hijrah ke Habsyah bersama kawan-kawan seiman untuk menyelamatkan diri dan agama dari tekanan kaum Quraisy yang sentiasa mengganggu mereka. Tatkala Rasulullah s.a.w. dan para sahabat diizinkan Allah berhijrah ke Madinah, Abdurrahman menjadi pelopor kaum muslimin. Di kota Madinah yang dulunya bernama Yatsrib, Rasulullah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan orang-orang Anshar. Pada suatu hari Sa’ad berkata kepada saudaranya, Abdurrahman, “Wahai saudaraku, Abdurrahman, saya termasuk orang kaya di antara penduduk Madinah. Hartaku banyak. Saya mempunyai dua bidang kebun yang luas dan dua orang pembantu. Pilihlah salah satu diantara dua bidang kebunku itu. Kuberikan kepadamu mana yang kau sukai. Begitu juga dengan salah seorang di antara kedua pembantuku, akan kuserahkan mana yang kamu senangi, lalu aku kahwinkan kau dengannya.” “Semoga Allah melimpahkan berkahNya kepada saudara, kepada keluarga saudara, dan kepada harta saudara. Saya hanya minta tolong untuk menunjukkan dimana letaknya pasar di Madinah ini?” jawab Abdurrahman bin Auf. Lalu Sa’ad menunjukkan pasar kepadanya. Mulailah Abdurrahman berniaga di sana. Belum berapa lama dia berdagang, wangnya terkumpul, dan cukup untuk sekadar mahar nikah. Lalu dia pun datang kepada Rasulullah memakai harum-haruman. Rasulullah menyambut kedatangan Abdurrahman seraya berkata, “Alangkah harumnya dirimu, wahai Abdurrahman.” “Saya ingin berkahwin, ya Rasulullah,” ujar Abdurrahman. “Apa mahar yang akan kamu berikan kepada isterimu?” “Emas seberat biji kurma.” “Laksanakanlah walimah (kenduri), walau hanya dengan menyembelih seekor kambing. Semoga Allah memberkahi perkahwinan dan hartamu!” Sejak saat itu, kehidupan Abdurrahman bin Auf pun makmur. Begitu besar berkah yang diberikan Allah kepadanya, sampai ia dijuluki ‘Sahabat Bertangan Emas’.

Dermawan
Pernah, suatu ketika Rasulullah berpidato membangkitkan semangat jihad dan pengorbanan kaum muslimin. Baginda berdiri di tengah-tengah para sahabat seraya bersabda, “Jika kalian ada yang mahu bersedekah, maka bersedekahlah. Saya ingin mengirim satu pasukan ke medan perang!” Mendengar ucapan Rasulullah itu, Abdurrahman bergegas pulang ke rumahnya. Beberapa saat kemudian ia kembali ke hadapan Rasulullah. ‘Wahai Rasulullah, saya mempunyai wang empat ribu dinar. Dua ribu saya sedekahkan kerana Allah, dan dua ribu saya tinggalkan untuk keluarga saya.” “Semoga Allah melimpahkan berkahNya kepadamu, terhadap harta yang kau berikan, dan semoga Allah memberkahi juga harta yang kau tinggalkan untuk keluargamu.” Kedermawanan Abdurrahman bin Auf dapat juga dilihat ketika berlangsung perang Tabuk, iaitu perang yang terakhir kalinya diikuti Nabi s.a.w. Tatkala Rasulullah bersiap-siap menghadapi pasukan Rom dalam perang ini, baginda memerlukan dana dan tentera yang tidak sedikit. Sedang saat itu Madinah tengah dilanda musim panas. Ditambah lagi perjalanan ke Tabuk sangat jauh dan sulit. Sementara dana yang tersedia hanya sedikit. Banyak di antara kaum muslimin yang kecewa dan sedih, kerana ditolak Rasulullah menjadi tentera lantaran kenderaannya tidak mencukupi. Sebagai ‘gantinya’, Rasulullah memerintahkan kaum muslimin mengorbankan harta benda mereka untuk jihad fisabilillah. Dengan patuh dan setia, mereka pun memenuhi seruan Nabi s.a.w. yang mulia itu. Abdurrahman bin Auf turut mempeloporinya dengan menyerahkan dua ratus uqiyah emas. Melihat itu, Umar bin Khathab r.a. terkejut dan segera membisiki Rasulullah, “Sepertinya Abdurrahman berdosa kerana tidak meninggali wang belanja sedikit pun untuk keluarganya.” “Apakah kau meninggalkan wang belanja untuk isterimu, wahai Abdurrahman?” “Ya. Mereka saya tinggali lebih banyak dan lebih baik dari yang saya sumbangkan.” “Berapa?”


Seterusnya dapatkan Hidayah keluaran Jun 2010 di pasaran...

No comments: