Sebuah doa terdengar lembut selepas solat subuh itu. Suara wanita berusia emas itu bergetar ikhlas, bergumul dengan tangis penuh harapan: “Ya Allah..., berilah keselamatan untuk anakku selama dia pergi merantau ini ya Allah. Berilah dia kejayaan...” Kain telekong yang dipakainya mulai basah dititis air mata yang tak terasa mengalir. Dia masih tersedu penuh syahdu. Hatinya masih berharap-harap cemas. Halimah, begitulah nama perempuan itu. Usianya 60 tahun lebih. Dia sebenarnya redho melepaskan anaknya ke kota besar itu, tapi dadanya masih terasa sesak. Perasaan takut kehilangan untuk kedua kalinya menyergap batinnya. Dia khuatir akan tenggelam dalam kesepian untuk kedua kalinya. Ya, selepas suaminya meninggal dunia 10 tahun lalu, ia memilih untuk tidak berkahwin lagi. Dan kini, Salim 25 tahun, satu-satunya anak tunggalnya harus pergi. Walaupun andai hanya sesaat, tapi tetap saja dia merasakan getirnya bersarang di dada. Air mata itu masih melembapi pipinya ketika Salim, akhirnya, bersimpuh di hadapannya. “Mak, jangan menangis. Salim berjanji akan pulang juga ke kampung. Salim juga tidak akan menetap tinggal di sana,” janji Salim saat hendak meminta diri pergi di pagi yang masih berembun itu. Si ibu pun berusaha meredakan tangisnya dan berkata: “Salim! Kau mahu berjanji tak akan melupakan, Mak!” “Iya ... Mak. Salim janji. Biarlah lumpuh sebelah kaki Salim kalau sampai melupakan Mak.” “Hiss! Kamu ini cakap yang bukan-bukan? Jangan cakap lepas! Nanti ditulis malaikat...” “Ya Salim pergi dulu, Mak. Nanti tak sempat bas ekpres tu. Doakan Salim, Mak,” tutur Salim seraya mencium tangan ibunya. Salim berangkat ke kota besar tidak dengan tangan kosong. Dia pergi berbekalkan dari kelulusannya sebagai arkitek. Itulah jasa ibunya yang bersusah payah membesarkannya selepas dia bergelar anak yatim. Kini Salim pergi ke kota besar untuk meraih impiannya. Dia berharap semoga kelak dapat membahagiakan ibunya. Dia ingin menebus semua pengorbanan si ibu dan Allahyarham ayahnya dengan sebuah kejayaan. Dia berharap kelak dapat membeli kembali tanah pusaka yang terpaksa dijual ibunya demi membiayai pengajiannya hingga ke Universiti.
Meraih mimpi
Kehidupan di bandar besar adalah kehidupan yang penuh cabaran dan persaingan. Setelah beberapa minggu di ibu kota ini, Salim belum juga mendapatkan pekerjaan. Dia harus bersaing dengan ramai pencari kerja yang berkelulusan sama malah ada yang lebih tinggi darinya. Apalagi, dia masih hijau dengan kota besar ini untuk bersaing mendapatkan sebuah pekerjaan yang setaraf dengan kelulusannya yang ada. Dia bukannya ada kenalan VIP atau sebarang tokoh politik yang boleh menolong. Jauh lagi untuk ‘merasuah’ bagi mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan. Namun demikian, dia tetap bersabar. Wang belanja yang dititip oleh ibunya masih mampu untuknya terus bernafas di kota besar ini buat beberapa ketika. Dalam tempoh mencari-cari pekerjaan itu pun, dia selalu menyempatkan solat di masjid bila azan berkumandang. Sementara amalannya berpuasa sunat Isnin dan Khamis diteruskannya; sebuah kebiasaan yang sering dilakukannya sejak dia bersekolah menengah. Ternyata Allah Maha Mendengar. Suatu tengah hari hampir menjelang zuhur, selepas melamar pekerjaan di sebuah syarikat dan kemudian bersolat zuhur di masjid di kawasan pejabat yang elit itu, dia tanpa disangka-sangka bertemu dengan Karim, seorang sahabat karibnya semasa bersekolah menengah dulu. Si kawan itu yang juga baru selesai solat itu tak menyangka bertemu Salim. Mereka akhirnya melepas rindu dan berbual-bual. Dari percakapan itulah terungkap bahawa Karim sudah merantau sejak habis sekolah menengah dan kini bekerja sebagai pemandu peribadi seorang bos. Semasa bosnya sedang bermesyuarat, Karim memang sering meluangkan masa berehat-rehat di masjid sambil menunggu zuhur. Salim pun bercerita ehwal keadaannya, terkait tujuan kedatangannya ke bandar besar ini. Sebagai sahabat, Karim tentunya terharu melihat sahabatnya yang nampak salih ini, yang parasnya juga agak tampan itu belum juga mendapatkan pekerjaan. Lalu, dia mencuba melihat-lihat ijazah Salim dan dia terkejut melihat pencapaian Salim dalam pengajiannya. Tiba-tiba, Karim bagaikan teringat sesuatu dan berkata: “Eh... Lim! Bagaimana kalau aku kenalkan dengan bosku? Nur Haliza namanya. Dia ibu tunggal tahu...Suaminya yang tuan punya syarikat ini meninggal dunia setahun lalu kerana kanser prostat. Ahli waris tunggalnya ialah isterinya itu. “Kebetulan bos aku tu tengah mencari-cari seorang arkitek yang betul-betul jujur, salih, idealis dan tidak oportunis. Dia perlu seorang pegawai yang memang benar-benar boleh diajak berbincang mengenai syarikat hartanahnya itu. Kalau kamu mahu, nanti aku beritahu tahu Bos aku tu?” terang Karim panjang lebar. Salim sendiri senang bukan kepalang mendengar akan ada peluang mendapat pekerjaan. Namun, dia ragu-ragu, apa betul Bos Karim itu mahu menerima dia yang belum berpengalaman itu.
“Jangan bimbanglah Lim! Nanti aku telefon kamu bila bos aku tu setuju ..?” tegas Karim menenangkan Salim yang nampak ragu dan tak percaya diri. “Baik, Karim, Terima kasih kerana nak menolong aku,” jawab Salim seraya mengangguk-angguk dan tersenyum simpul bahagia. Demikianlah, setelah bertukar alamat dan nombor handphone, keduanya lalu berpisah.
Asmara dua dunia
Tak disangka-sangka, bos Karim yang bernama Nur Haliza, 39, langsung setuju ketika Karim menceritakan mengenai Salim. Dia begitu percaya dengan keterangan pemandunya itu, yang dikenali taat, salih dan setia orangnya. “Cubalah Karim, suruhlah sahaja kawanmu itu datang. Biar saya yang buat temu duga,” tegas Nur Haliza kepada Karim. Keesokan harinya, Salim sudah sampai ke pejabat Karim. Dia langsung bertemu dengan Karim dan dibawa ke pejabat Nur Haliza. Pada saat pertama inilah, debaran cinta menebar di dada masing-masing. Saat pertama kali memasuki ruangan dan saling berjabat tangan, baik Salim dan Nur Haliza sedikit kekakuan. Nur Haliza nampak begitu terpesona melihat Salim yang tinggi dan tampan itu, namun nampak jujur dan tulus. Salim pula sendiri sempat terpukau ketika melihat Nur Haliza yang disebut-sebut Karim itu nampak terlihat cantik, anggun dan berwibawa. Dan ikatan rasa pun bergetar saat pandangan pertama itu. Namun, Nur Haliza langsung menguasai keadaan. Dia mempersilakan Salim duduk dan langsung bertanya berbagai hal kepada Salim. Rupanya, meski belum berpengalaman, Salim mampu menunjukkan kecerdasan dan ‘visi’ sebagai seorang arkitek perumahan. Hal itu, tentu saja, kian memikat Nur Haliza. Dia nampak potensi anak muda yang berbakat ini. Detik hatinya merasakannya begitu. Dia pun langsung menerimanya dan meminta bahagian perjawatan membuatkan surat kontrak kerja untuknya. Dan Salim pun mulai dapat mencecah impiannya. Hari berganti, bulan bertukar tahun. Tak terasa, sejak berugas di syarikat hartanah Nur Haliza itu, kehidupan Salim mulai berubah. Dia lama-kelamaan menjadi orang kepercayaan Nur Haliza. Sesuai dengan jawatannya dia sering berpergian dengan Nur Haliza, meninjau beberapa projek yang sedang dalam penyelenggaraan. Hubungan Nur Haliza dan Salim pun tiba-tiba semakin intim dan akrab. Bukan lagi hubungan antara majikan dan pekerja. Mereka sering pergi berdua; baik dalam pertemuan mengenai urusan perniagaan, mahupun urusan peribadi seperti ke majlis-majlis perkahwinan, makan malam dan sebagainya. Penampilan Salim sendiri yang dulunya agak kekampungan berubah sepenuhnya. Semua berkat tangan Nur Haliza. Fesyen pakaian Salim turut berubah. Gaya rambutnya turut bertukar. Begitu pula, dengan gaya hidupnya. Berubah drastik. Nur Haliza rupanya berjaya mendandani Salim menjadi jejaka moden yang membuat para wanita tergila-gila. Perubahan itu automatik mengubah taraf pergaulan Salim. Ia menjadi lelaki ‘high class’ yang boleh diajak menyenang-nyenangkan diri di café-café, disko dan kelab-kelab malam bertaraf lima bintang. Namun rupanya itulah permulaan mala petaka yang bakal menimpa Salim. Lambat laun, Salim mulai lupa daratan. Dia mulai melupakan kewajibannya sebagai seorang muslim. Ibadah solatnya mula ditinggalkan. Puasa sunat hari Isnin dan Khamis yang sering dikerjakannya dulu mulai beransur-ansur hilang dari disiplin hidupnya. Bibirnya pun tidak lagi basah dengan zikir dan Al-Quran tapi dengan bau minuman beralkohol; bir, wine, dan lain-lainnya, Na’udzubillahi min zalialik! Sebagai seorang kawan, Karim sendiri kerap mengingatkan Salim untuk tidak terlena dan hendaklah sentiasa mengingat Allah, namun sering tak dihiraukannya lagi. Kelakuan Salim pun kian menjadi tatkala ia dan Nur Haliza menikah secara rahsia. Ya, sebuah perkahwinan yang tidak diketahui ibunya yang tinggal jauh di kampung; yang tak pernah putus-putus menanti dan mendoakannya...
Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...
Monday, November 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment