Monday, November 9, 2009
Solat Yang Terakhir
ISAM bin Yusuf adalah salah seorag ahli ibadah yang terkenal wara’ dan khusyuk dalam bersolat. Tetapi dia selalu merasa bahawa apa yang dilakukannya itu tidak mencukupi untuk membuatnya hidup tenang dan tenteram. Isam selalu dihantui perasaan gelisah dan ragu-ragu kalau-kalaulah ibadahnya itu tidak seperti yang ia harapkan. Dia pun selalu bertanya pada orang yang dianggapnya khusyuk dalam solat, dengan tujuan untuk memperbaiki solatnya yang selalu dirasakannya kurang sempurna. Suatu hari, dia hadir ke majlis seorang abid yang berama Hatim Al-Isam. Dalam kesempatan itu, ia bertanya: “Bagaimana caranya tuan bersolat?” Hatim menjawab dengan santun, “Apabila masuk waktunya solat, aku berwuduk dengan wuduk zahir dan batin.” “Bagamana caranya melakukan wuduk zahir dan batin itu?” tanya Isam lebih jauh. “Wuduk zahir itu sebagaimana biasa. Membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sedang wuduk batin itu membasuh anggota dengan tujuh perkara, yakni taubat, menyesali dosa yang dilakukan, tidak tergila-gilakan dunia, tidak mencari atau mengharapkan pujian dari orang ramai (riyak), meninggalkan sifat berbangga, meningalkan sifat khianat atau menipu dan yang terakhir meningalkan sifat dengki. “Kemudian aku pergi ke masjid, bersiap solat dan menghadap kiblat. Aku berdiri penuh kewaspadaan. Aku bayangkan Allah berada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku. Aku bayangkan bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Siratul Mustaqim’. Aku menganggap solatku kali itu adalah solat terakhir, kemudian aku niatkan dan bertakbir dengan baik,” terang Hatim. Isam terdiam, mendengarkan penuh perhatian. “Setiap bacaan dan doa dalam solatku itu aku fahami maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk. Aku bertasyahud dengan penuh penghrapan dan aku salam dengan ikhlas. Begitulah aku menunaikan solat 30 tahun,” lanjut Hatim. Dengan menjadikan setiap solat yang dikerjakan itu sebagai solat terakhir, tak mustahil kalau solat itu dapat membentuk kepasrahan seorang hamba secara sepenuhnya kepada Allah Taala. Dengan cara demikian, solat tidak hanya sekadar gerakan tubuh, tapi dialog langsung antara hamba dengan Allah hingga tak ada balasan yang direngkuh kecuali keampunan Allah dan ketenangan hati. (Lihat Al-Baqarah: 45 dan Al-Mukminun: 1,2 dan Al-Ma’arij: 19,23) Oleh kerana itu, sudahkan kita bersedia menjadikan setiap solat yang kita kerjakan itu sebagai solat terakhir?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment