Monday, November 9, 2009

Surat Pembaca

PERUBAHAN YANG MENGEJUTKAN
Saudara pengarang,
Saya terkejut juga dengan perubahan baru yang dilakukan oleh Hidayah dalam keluaran bulan Oktober lalu. Yang lebih menonjolnya ialah perubahan ‘cover’nya. Saya kira ianya satu perubahan yang menarik. Memang pun setelah sekian lama kekal degan imej lama, apabila melakukan perubahan dari segi ‘wajah’ dan perubahan ‘lay-out’ agak ketara perubahannya. Sebagai pembaca setia Hidayah selama ini, saya menyokong Hidayah untuk membuat pembaharuan bukan saja dari segi ‘lay-out’nya tetapi juga persembahan rencananya. Yang lama tetap baik, namun perubahan-perubahan perlu dilakukan bagi menarik pembaca baru. Sebagai majalah bercorak dakwah, Hidayah perlu kelihatan ‘ceria’ bagi memikat pembaca-pembaca baru terutama kalangan remaja termasuk pelajar-pelajar sekolah menengah.

Roslan Agus,
Kemaman, Terengganu.

• Hidayah sebenarnya sentiasa ‘ceria’ setiap kali menemui para pembacanya. Kami sedar, pembaca adalah golongan yang perlu diutamakan. Kepuasan pembaca adalah kepuasan kami. - Pengarang.

RASUAH TIDAK TERLEPAS HUKUMAN DI AKHIRAT
Saudara pengarang,
Kisah iktibar 1 yang disiarkan dalam keluaran bulan Oktober lalu cukup menginsafkan. Bagaimana kisah tersebut memaparkan seorang pegawai kerajaan menyalah gunakan kedudukannya untuk ‘makan rasuah’ dan mengutamakan kepentingan diri. Lelaki yang terlibat itu bukan tokoh besar negara. Dia hanya pegawai di daerah yang ditugaskannya saja. Tapi penguasaaannya di daerah tempatnya bertugas seolah-olah dia orang paling berkuasa dan ‘ditakuti’ oleh orang ramai. Memang terdapat banyak lagi perasuah dan penerima rasuah malah yanag lebih besar diterima berbanding lelaki yang diceritakan itu. Namun bukan semua perasuah mendapat hukuman sewajarnya. Ada yang terlepas dan tidak didakwa langsung. Ada yang didakwa, kemudiannya atas kesilapan-kesilapan teknikal akhirnya dibebaskan. Pihak yang menerima rasuah dan merasakan ‘kesedapan’ menikmatinya memang tidak gerun dengan apa yang dilakukannya. Sedangkan dalam hukum agama, sesiapa yang memberi makan kepada anak isteri dan kaum keluarganya dengan hasil rasuah seolah-olah menyumbat bara api neraka ke dalam perut ahli keluarganya. Jarang terdengar penerima-penerima rasuah yang mendapat balasan azab mengerikan di dunia. Entah matinya di panah petir atau sebagainya. Namun penerima-penerima rasuah ini hendaklah insaf, bahawa perbuatan khianat mereka itu tidak akan terlepas hukumannya di akhirat kelak. Baik mereka yang memberi rasuah dan penerima rasuah mereka tidak akan terlepas begitu saja di dunia dan di akhirat.
Kisah iktibar yang bertajuk “Azab ngeri menjelang hari raya” yang disiarkan itu memang patut menjadi iktibar buat kita semua. Saya berharap agar Hidayah teruskan kisah-kisah iktibar ini dalam keluaran-keluaran seterusnya. Terima kasih Hidayah.

Siti Balqis Muhammad,
Shah Alam, Selangor.

• Terima kasih Balqis yang memberi reaksi spontan sebelum menjelang raya dulu. Harap ramai lagi pembaca Hidayah dapat merasakan seperti apa yang dirasakan oleh Balqis dengan kisah-kisah iktibar yang Hidayah siarkan. – Pengarang.

MOHON KOLEKSIKAN KISAH-KISAH IKTIBAR
Saudara Pengarang,
Hidayah kini sedang memasuki usia sebelas tahunnya yang bersejarah. Saya turut berbangga dengan prestasi majalah ini yang dapat bertahan hingga kini dan mendapat sambutan baik para pembaca seluruh tanahair. Rasanya sampailah masanya pihak penerbit dapat memikirkan untuk menerbitkan koleksi Hidayah atau Koleksi Kisah-kisah iktibarnya yang memang diakui menarik. Bagi pembaca, biasanya menyimpan majalah setiap keluaran memang agak sukar, kecuali yang benar-benar berdisiplin. Jadi apabila Hidayah membuat koleksi kisah-kisah iktibar atau kisah-kisah pilihan lainnya ianya akan memberi peluang kepada pembaca menyimpannnya. Sementara pembaca yang ketinggalan juga dapat menikmati dan memanfaatkan kisah-kisah yaag dipaparkan. Harap saudara pengarang dan penerbit dapat memikirkan keluaran-keluaran koleksi Hidayah yang saya anggap sebagai ‘hadiah istimewa’ buat para pembaca Hidayah selama ini. Harap dipertimbangkan saranan saya ini.

Hajah Suliza Omar Dahlan,
Kulai, Johor.

• Perkara ini akan diperbincangkan dengan pihak penerbit kelak, InsyaAllah. – Pengarang.

No comments: