DIKALANGAN kita ini, ada manusia yang baik, dan ada manusia yang jahat. Baik dan jahat ini ialah ukuran dari pandangan kita sahaja. Tetapi pada hakikatnya, baik dan buruk bagi seseorang itu adalah sukar untuk kita menentukannya. Kita sebagai manusia hanya dapat menilainya pada zahirnya sahaja. Hakikat sebenarnya watak seseorang itu dilihat dengan mata sendiri tentang jahatnya atau pun baiknya, tetapi, kita tidak tahu hati didalamnya. Allah s.w.t. sahaja Yang Maha Tahu hakikat baik atau pun jahat seseorang itu. Perkara ini pernah ditanyakan oleh para sahabat kepada Nabi s.a.w. mengenai orang yang baik dan buruk. Apabila Rasulullah s.a.w. menjawab semua pertanyaan yang dimajukan maka jawapan Nabi itu benar belaka, sebab Nabi s.a.w. seorang yang sentiasa bercakap benar, kerana Baginda Nabi dan rasul yang diutus oleh Allah s.w.t. untuk semua umat manusia. Rasulullah s.a.w. pernah bersoal jawab dengan orang-orang tertentu bertanyakan siapakah orang yang paling baik sekali bagi pandangan Baginda. Cuba kita ikuti dialog Rasulullah s.a.w. dengan para sahabat berhubung dengan masalah ini. Abu Bakrah meriwayatkan bahawa ada seseorang yang bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling baik?” Rasul menjawab: “Orang yang panjang umur dan baik amalnya.” Lelaki itu bertanya lagi: “Lantas, siapakah orang yang paling buruk?” Rasulullah menjawab: “Orang yang panjang umurnya dan buruk amalnya.” (HR. Ahmad dan At-Termizi yang disahihkan oleh Al-Hakim). Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling panjang umurnya dan paling baik amalnya.” (HR. Al-Hakim). Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling panjang umurnya dan paling baik amalnya.” (HR. Ahmad). Ubadah ibn Shamit meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bertutur: “Mahukah kalian aku beritahu mengenai orang yang paling baik di antara kalian?” “Tentu, ya Rasulullah,” jawab mereka. Lalu Baginda bersabda: “Iaitu orang yang paling panjang umurnya di antara kalian dalam Islam, jika mereka benar-benar lurus.” (HR. At-Thabarani). Awf ibn Malik berkata, “Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Setiap kali umur seorang Muslim itu panjang, pasti hal itu baik baginya.’” Abu Hurairah berkisah bahawa ada dua orang lelaki yang menyatakan masuk Islam di hadapan Rasulullah s.a.w. Lalu salah seorang dari keduanya mengucapkan kesaksian, sementara yang lainnya menundanya selama satu tahun. Thalhah ibn Ubaidillah mengatakan: “Saya bermimpi melihat syurga dan saya menyaksikan orang yang menunda kesaksian itu dimasukkan ke dalam syurga sebelum mengucapkan kesaksian. Saya pun hairan melihatnya, lalu esoknya saya mengemukakan hal itu kepada Nabi s.a.w.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bukankah setelah itu dia berpuasa di bulan Ramadan, lalu mengerjakan solat enam ribu rakaat, dan dengan demikian ia solat dalam satu tahun?” (HR. Ahmad dan Ibn Zanjawiyah). Thalhah berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Tidak ada seorang pun yang lebih baik kedudukannya di sisi Allah daripada seorang Mukmin yang dipanjangkan umurnya di dalam Islam dengan banyak menyucikanNya, mengagungkanNya, dan mentauhidkanNya.” (HR. Ahmad dan Al-Bazzar)...
Ikuti selanjutnya di dalam Hidayah November 2009...
Monday, November 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment