Tuesday, March 13, 2012

Bolehkah Manusia Berkawan Dengan Jin?

DIRASUK atau histeria seakan sinonim dengan golongan pelajar yang duduk di asrama. Ia seakan perkara wajib dan menjadi peristiwa tahunan di banyak sekolah di Malaysia. Selalunya ‘penyakit’ ini dijangkiti oleh pelajar perempuan dan jarang sekali melibatkan pelajar lelaki. Selama hal ini berlaku ramai yang bercakap-cakap sama ada benar atau tidak manusia boleh dirasuk. Setengahnya mempercayai, setengah tidak mempercayainya dan mengaitkan ia dengan masalah tekanan. Dalam masalah percaya atau tidak percaya ini, saya cenderung untuk berada ditengah-tengah kepercayaan. Tidak terlalu obses dengan hal jin dan tidak terlalu meremehkannya.
Sesuai sebagai muslim, bersederhana dalam semua hal. Bertepatan dengan apa yang dikatakan Allah s.w.t. dalam surah Al-Furqan: 67 “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Perkara Ghaib ialah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh pancaindera. Mempercayai perkara yang ghaib adalah salah satu ciri orang yang beriman. Allah telah menjelaskannya dalam surah Al-Baqarah: (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.
Perkara-perkara ghaib itu termasuklah jin, malaikat, azab kubur dan sebagainya. Menjadi kewajiban umat Islam untuk mempercayai akan hal-hal yang ghaib. Namun begitu, ia mestilah sejajar dengan apa yang dikatakan oleh Allah dan Rasul. Atas dasar inilah, recana ini cuba menyingkap sama ada benar atau tidak pendapat yang mengatakan bahawa jin boleh masuk ke dalam badan manusia(merasuk). Kajian ini akan mendahulukan hujah-hujah yang datangnya dari Al-Quran dan Hadis yang sahih, kemudian barulah dibawakan beberapa pandangan dari para ulama. Rencana ini akan dibahagikan kepada beberapa bahagian bagi memudahkan pembaca memahaminya. Pembahagian ini akan dimulakan dengan pengenalan tentang kewujudan jin, kebenaran tentang rasukan, boleh atau tidak melihat jin dan akhir sekali pendirian muslim tentang jin.

Pengenalan tentang jin
Jin adalah makhluk yang diciptakan Allah sebelum manusia. Selain diciptakan awal oleh Allah, jin juga diciptakan berbeza daripada manusia iaitu melalui api. Hal ini diterangkan Allah dalam surah Al-Hijr: 26-27 Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas. Perkara ini juga pernah dikatakan Nabi Muhammad dalam satu hadis yang bermaksud: Malaikat diciptakan dari cahaya,Jin diciptakan dari nyalaan api, dan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kalian.[1] Selain diciptakan lebih awal dan daripada api, bangsa jin juga terbahagi kepada yang Kafir dan Muslim. Hal ini sama sahaja dengan bangsa Manusia yang diciptakan Allah. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Al-Jin ayat 14-15:Dan sesungguhnya di antara kami ada (Jin) taat dan ada pula (Jin) yang menyimpang dari kebenaran. Barang siapa yang yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus. Adapun (jin-jin) yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka Jahannam.[2] Seperti manusia, bangsa jin juga akan diberi ganjaran Syurga atau neraka. Semuanya berdasarkan amalan yang dilakukan oleh mereka. Jika segala perintah Allah dilakukan dengan sempurna dan meninggalkan segala tegahan maka ganjaran Syurga pasti diperolehi. Hal ini bersesuaian dengan apa yang telah dijanjikan Allah dalam surah Al-Ahqaf ayat 18-19:
Mereka itulah orang-orang yang telah pasti ketetapan (azab) atas mereka bersama umat-umat yang telah berlalu sebelum mereka dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang merugi Dan bagi masing-masing mereka darjat menurut apa yang telah mereka kerjakan dan agar Allah mencukupkan bagi mereka (balasan) pekerjaan-pekerjaan mereka sedang mereka tiada dirugikan. Menurut Imam Ibnu Qoyim: Jumhur ulama telah menyatakan bahawa Jin Mukmin akan masuk Syurga, sebagaimana halnya yang kafir akan masuk ke Neraka.[3] Selain daripada Imam Ibnu Qoyim, ramai lagi ulama yang mengatakan hal sedemikian. Antaranya Ibnu Kathir dalam tafsir Al-Quran Al-Azhim, Muhammad Rashid Ridha’ dalam Al-manar, dan Sayid Qutb dalam Fi Zilalil Quran. Malahan para Jin yang mukmin juga Allah telah menyediakan Bidadari untuk mereka. Imam Qurthubi ketika menafsirkan Ayat ke 56 surah Ar-Rahman yang bermaksud:Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin. Kata Imam Qurthubi: Dalam ayat ini (iaitu ayat diatas) ini terdapat petunjuk yang menyatakan bahawa Jin sebagaimananya manusia juga mati lalu masuk ke Syurga. Untuk mereka disediakan Jin-jin perempuan (Bidadari-bidadari dari bangsa Jin).

Kebenaran tentang rasukan
Hakikat kerasukan ini terdapat dua pendapat yang popular dikalangan ahli Ilmu. Kedua-dua pendapat ini didasari dengan hujah Quran dan Hadis.
Pendapat pertama: golongan yang mempercayai: Mereka yang mempercayai bahawa manusia boleh dirasuk (jin memasuki badan manusia) ialah dengan bersandarkan kepada satu Firman Allah: Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila (surah Al-Baqarah: 275) Selain bersandar kepada Ayat di atas, mereka yang mempercayai akan hal ini juga membawakan satu cerita di mana Imam Ibnu Taimiyah pernah mengubati orang yang dirasuk. Menurut cerita tersebut, Jin yang merasuk manusia itu berbicara dengan Ibnu Taimiyah dengan mengatakan beliau (jin) akan keluar dari tubuh manusia itu kerana kemulian Ibnu Taimiyah. Kemudian Ibnu Taimiyah mengatakan kepada Jin tersebut “Keluarlah dari tubuh ini semata-mata kerana Allah, bukan kerana aku”.[4] Dalam hal ini, anak murid Ibnu Taimiyah iaitu Ibnu Qoyim mengatakan[5]: Syeikh kami(Ibnu Taimiyah), ketika mengubati pesakit yang dirasuk, beliau akan membaca ayat: Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? (Surah Al-Mukminun: 115) Berdasarkan kenyataan Ibnu Qoyim diatas menunjukkan bahawa manusia pernah dirasuk, dan boleh dirasuk. Pandangannya selari dengan pandangan mereka yang mempercayai manusia boleh dirasuk. Pendapat kedua: golongan yang tidak mempercayai Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi iaitu salah seorang Ulamak besar ketika ini[6] menyanggahi akan hal Jin boleh merasuk manusia. Saya naqalkan kembali kata-kata beliau yang terdapat dalam buku Biografi beliau yang bertajuk “Perjalanan hidupku”: “Jika tidak mendatangi para dukun, wanita yang dirasuk jin akan dibawa kepada Syeikh-syeikh tertentu agar diberikan jampi-jampi [7] yang dianggap dapat mengusir jin yang merasukinya. Biasanya mereka menganggap bahawa yang merasuki wanita adalah jin lelaki, dan yang merasuki kaum lelaki adalah jin wanita. Syeikh Muhammad Ghazali [8] adalah orang yang menolak keras kepercayaan tersebut. Pada suatu hari beliau didatangi seorang lelaki yang mengadu kepada beliau bahawa dia dirasuki makhluk lain. Lantas beliau bertanya “Makhluk apa yang merasukimu?” Lelaki itu menjawab “Saya dirasuki Jin” Syeikh Ghazali menjawab “Kenapa anda tidak dapat merasuki jin padahal anda memiliki badan yang tegap dan sasa? Dan kenapa jin tidak mahu merasuk orang-orang Eropah dan Amerika.[9] Kami[10] sendiri sangat hairan mengapa mereka berkeyakinan bahawa Allah memberi kemampuan kepada Jin untuk merasuki jiwa-raga manusia, mempengaruhinya, dan berbicara dengan menggunakan lidahnya sehingga manusia tunduk kepadanya? kalau hal ini benar, maka dimanakah letaknya kemulian manusia yang telah Allah jelaskan dalam Quran: Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (surah Al-Isra’:70) Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. (surah Al-baqarah:30) Apabila orang yang berkeyakinan bahawa jin benar-benar dapat merasuki dan menguasai manusia dengan berhujahkan Firman Allah yang menggambarkan keadaan orang yang suka memakan riba: Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila (surah Al-baqarah: 275) Jika ayat tersebut ditafsir dengan penafsiran akal dan sumber yang jelas maka makna Al-Mass pada ayat diatas tidak akan sama dengan penafsiran orang yang meyakini bahawa jin mampu mempengaruhi dan menguasai manusia. Penafsiran yang tepat untuk ayat di atas adalah penafsiran yang sesuai dengan perkataan Nabi Ayub a.s. ketika berdoa kepada Allah,:
“Sesungguhnya aku digoda Syaitan yang sangat berat dan menyeksa” (Surah Sod: 41) Yang dimaksudkan dengan Al-Mass ialah salah satu bentuk bisikan dan pujukan syaitan dalam menyesatkan manusia. Jin bahkan syaitan tidak memiliki kemampuan apa pun terhadap manusia kecuali hanya menggoda untuk menyesatkan mereka. Hal ini pada hari kiamat nanti akan diakui oleh para pemimpin syaitan: “Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku.” (surah Ibrahim:22)”
Begitulah hujah yang dibentangkan oleh kedua-dua pendapat ketika menjelaskan perihal rasuk ini. Namun begitu, tidaklah saya mengatakan bahawa Qardhawi betul dan Ibnu Taimiyah tidak betul atau sebaliknya. Tujuan pembentangan kedua-dua pendapat ini disediakan bagi mengimbangi kepercayaan manusia tentang hal ini. Bagi mereka yang cenderung percaya, mereka tidak boleh menyalahkan mereka yang tidak percaya. Begitulah sebaliknya, bagi mereka yang tidak percaya tidak boleh menyalahkan mereka yang mempercayainya. Kedua-dua pendapat ini benar kerana didasari dengan dalil dari Quran dan Sunnah, oleh itu berlapang dadalah dalam hal ini.

Kemampuan melihat Jin
Dalam bahagian ini juga terdapat dua pendapat yang terpilih, iaitu: Pendapat pertama: Boleh melihat jin Pendapat kedua: Tidak boleh lihat jin. Perbezaan kedua-dua pendapat ini hanyalah di sebabkan penafsiran yang berbeza terhadapat ayat ke 27 dari surah Al-A’raf: Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya ‘auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpim bagi orang-orang yang tidak beriman.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

No comments: