MEREKA yang hidup zaman pemerintahan Jepun di Malaya dulu memang banyak menyimpan kisah menarik dan menakjubkan. Tidak ramai yang tahu tentang kisah-kisah lama itu. Cuma mereka yang mengalami saja yang mengingatinya. Itu pun bukanlah semua perkara yang boleh diingati. Bagi mereka yang lahir sekitar awal tahun empat puluhan, tentulah tidak tahu cerita-cerita pemerintahan askar Jepun yanag terkenal dengan kezaliman dan kekejamannya. Keluaran lalu (Februari 2012) diceritakan bagaimana askar-askar Jepun menaiki basikal lalu di kampung-kampung Melayu, dan melakukan jenayah-jenayah kecil buat itu dan ini. Penduduk-penduduk kampung disuruh tanam ubi kayu untuk makanan utama rakyat ketika itu. Jepun, kata orang, memang zalim ketika itu. Tetapi, dah tak zalim lagi sekarang. Semuanya baik-baik belaka. Cuma zaman perang saja, askar-askarnya ganas dan jahat. Di Melaka ada sebuah kampung namanya “Kampung Bukit Lintang”. Di kawasan inilah Jepun mengarahkan dengan mengerahkan tenaga kerja orang-orang Melayu untuk menggali “lubang”.
Lubang tersebut disebut “lubang peto”. Terlalu banyak lubang digali, dan benteng-benteng pertahanan juga dibina di kawasan ini. Tujuan dibuat lubang itu, sekiranya ada serangan-serangan luar, maka orang ramai boleh masuk lubang itu sebagai “perlindungan”. Di kawasan Bukit Lintang ini juga ada satu “rel keretapi”, dan keretapi yang mengangkut batu-batu ke negeri Jepun. Semasa itu saya dan beberapa kawan lain masih kecil, belum bersekolah, dan menjual kuih di kawasan orang-orang Melayu bekerja di lereng-lereng bukit itu. Di lereng bukit itu pihak tentera Jepun mengarah semua tenaga “buruh paksa” itu bekerja siang malam untuk mengorek batu-batu, yang berada di lereng bukit itu. Semua batu itu dimuatkan dalam “koc” keretapi yang panjang kemudian keretapi itu akan berjalan dari kawasan bukit Lintang terus menghala ke satu kawasan bernama “Ketapang”. Ketapang, letaknya tidak jauh dengan laut. Di sinilah ada kapal berlabuh untuk membawa batu-batu tersebut ke negara Jepun. Batu-batu itu khabarnya sangat bernilai. Ia digunakan untuk membuat berbagai-bagai alat perang yang diproses menjadi alat-alat senjata, kereta kebal dan macam-macam lagi untuk berperang. Anak-anak Melayu sama ada yang muda atau pun yang tua dikerah untuk bekerja memecah bukit tersebut untuk mengeluarkan batu.
Pekerja-pekerja ini di upah hanya dengan “makan ubi rebus” dan makanan-makanan lain yang tidak mengenyangkan. Tentera Jepun sentiasa mengawal di kawasan tempat orang-orang Melayu bekerja. Mereka yang menjalankan tugas dengan tidak betul, akan kena lempang dari tentera-tentera Jepun yang bertugas.
Kawasan tempat buruh-buruh paksa menjalankan kerja ini, orang lain yang tidak ada kena mengena tidak dibenarkan masuk. Ia hanya untuk para pekerja saja. Menurut orang-orang bekerja yang menjadi “buruh paksa” itu, ada kes dimana ada pekerja yang dipancung oleh tentera Jepun. Orang ini dipancung dengan pedang Jepun ialah kerana orang ini “malas buat kerja”, dan membantah apa yang diarah dan diperintahkan oleh tentera Jepun.
Oleh kerana pekerja ini dianggap “melawan” apa yang diperintahkan maka hukuman yang diterima ialah “memenggalkan kepalanya”. Kemudian kawan-kawan yang ada di situ mengelolakan jenazahnya menurut Islam dan dikebumikan di situ juga. Tentera Jepun, kalau boleh mayat itu dibuang saja di kawasan semak samun atau pun dicampak dalam “curam” (gaung) di kawasan bukit bakau itu. Kepayahan dan penderitaan yang dialami oleh orang-orang Melayu yang bekerja di situ tidak boleh nak dibayangkan betapa deritanya dan peritnya bekerja ditengah-tengah panas itu. Tetapi apa nak buat? Apa nak kata? Ketika itu orang tidak boleh membantah, dan tidak boleh “melawan”, orang atau pun rakyat tidak boleh “melangkah arus”, hukumannya ialah “pancung”, habis cerita...Ada yang panas baran, ada panas darah lalu “melawan” tentera Jepun yang bertugas di situ, maka akibatnya, orang itu habis riwayat hidupnya, lehernya terpenggal. Kezaliman tentera Jepun ketika itu tak boleh nak kata. Semua tentera, pegawai, kakitangan, barua-barua (tali barut) Jepun semuanya mempunyai kuasa “veto”. Barua-barua Jepun dari kalangan orang-orang Melayu pun lebih zalim dari orang Jepun itu sendiri, kerana barua-barua ini nak mengampu pegawai-pegawai Jepun. Salah sikit je dilakukan oleh orang-orang kampung, si barua-barua ini mengadu dan orang itu paling ringan hukumannya “kena tempeleng” je... Kalau didapati berat kesalahannya, maka orang kampung itu dipenjara tanpa bicara. Tidak tahu sampai bila dalam penjara itu.
Saya masih ingat lagi, ada suatu kes dimana seorang Melayu yang pada zaman pemerintahan British, dia diceritakan sebagai seorang pegawai British yang berpengaruh. Dia boleh bercakap Inggeris dengan baik. Dia belajar undang-undang dan membuka “firmnya” sendiri sebagai “peguam” yang berkaliber. Kemudian Jepun menyerang Malaya, kedudukannya macam biasa saja, tetapi ada seorang “barua Jepun” yang menaruh dendam terhadapnya lalu memfitnahnya, dan tentera Jepun memerintahkannya supaya dia dipenjara. Dia dipenjara tanpa bicara. Zaman Jepun, zaman perang mana ada bicara dalam mahkamah, semuanya main sumbat saja. Sehinggalah pada suatu ketika orang itu didapati mati terbunuh dalam penjara itu. Menurut siasatan dari kalangan keluarga si mati itu, lelaki itu mati dibunuh dalam penjara. Tentulah si barua Jepun ini melakukan hal khianat seperti itu. Semoga Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa-dosanya atas perbuatannya yang durjana itu. Allah itu Maha Pengasih, Maha Pengampun dan Maha Segala-galanya.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...
Wednesday, March 14, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment