Wednesday, March 14, 2012

Tidak Mahu Bayar Hutang: Hukumnya Sama Seperti Mencuri

SUDAH menjadi semacam perkara biasa apabila ada sebilangan orang yang berhutang tidak mahu membayar hutangnya. Apa yang dimusykilkan mereka yang tidak mahu bayar hutang itu bukan kerana tidak berkemampuan bayar hutang, tapi sengaja tidak mahu membayarnya. Ianya merupakan satu penganiayaan kepada yang memberi hutang atau yang memberi pinjaman kerana tidak mendapat semula haknya apabila tiba masa seperti yang dijanjikan oleh peminjam untuk membayarnya semula. Amat malanglah bagi mana-mana pihak yang berhutang tapi tak membayar hutangnya sedang dia mampu membayar hutangnya. Sebabnya, hutang itu akan dituntut oleh si penghutang di akhirat kelak dengan Allah s.w.t. menjadi pengadilnya. Rencana berikut yang dipetik dari buku ‘Pengenalan Islam – KEMUSYKILAN & PENJELASAN’ oleh Haji Ishak Haji Din dan Haron Din terbitan Pustaka Al-Mizan ini dapat memberi kesedaran kepada kita dalam urusan hutang piutang dan berikutnya berkaitan dengan akhlak atau perangai orang Muslim.
Soalan:
Apakah pandangan Islam mengenai masalah hutang-piutang yang kadang-kadang menimbulkan kerenah?
Jawapan:
Pada dasarnya hutang piutang itu adalah baik menurut Islam kerana ia mengandungi unsur-unsur pertolongan dan bantuan kepada yang memerlukan. Boleh dikatakan hampir keseluruhan umat manusia yang mendiami alam sejagat ini tidak terlepas dari berhutang dan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. pun biasa berhutang. Jadi untuk tidak menimbulkan sebarang keraguan dan kekecohan dalam konsep hutang piutang ini, maka Islam telah meletakkan suatu garis panduan dan peruntukan khusus mengenainya. Dalam konteks ini bolehlah pembaca merujuk kepada al-Quran Surah al-Baqarah ayat 282 merupakan ayat yang paling panjang dalam al-Quran di mana ayat tersebut jelas dan lengkap dengan peraturan dan cara-cara pelaksanaan segala urusan yang berhubung dengan hutang-piutang.
Soalan:
Orang yang telah diketahui umum tidak mahu membayar hutang, tiba-tiba ia datang mahu berhutang kepada kita, lantas kita katakan kepadanya kita tidak mempunyai wang (berbohong). Soalannya, adakah salah kita berbuat demikian.
Jawapan:
Ya, tindakan atau pembohongan seperti itu adalah dianggap sebagai kesalahan, sepatutnya kita perlu berterus-terang sahaja dengannya, katakan kepadanya yang kita tak dapat memberinya kerana kita sudah mengetahui perangainya. Maka dengan berbuat demikian mungkin terjadi pengajaran atau sekurang-kurangnya boleh menyedarkannya dari sikap buruk dan kesalahan yang telah dilakukan selama ini. Maka tindakan seperti ini amat tepat sekali dengan tuntutan Islam. Selain dari kita tidak terjebak dalam pembohongan, maka juga mudah-mudahan meninggalkan kesan dan menimbulkan keinsafan kepada orang tersebut.
Soalan:
Apakah hukumnya orang yang tidak membayar hutang dan apakah hukumnya memberi hutang?
Jawapan:
Orang yang sengaja yang tidak mahu membayar hutang adalah hukumnya sama seperti mencuri, cuma bezanya orang yang berhutang itu kita kenal orangnya tetapi si pencuri itu kita tidak kenal orangnya. Mereka sama-sama mengambil dan makan harta orang tanpa keredaan tuannya. Dalam hal ini bukan sahaja salah kerana tidak membayar hutang tetapi menangguhkannya sudah dianggap satu kezaliman. Ini telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang berbunyi: “Orang yang kaya menangguh-nangguhkan dari membayar hutangnya adalah satu kezaliman.” Sekiranya hutang-piutang tidak dijelaskan semasa hidupnya di dunia ini, maka kes ini akan dibawa pengadilan Allah di akhirat nanti. Manakala hukum memberi hutang adalah harus atau sunat dan kadang-kadang mungkin terjadi haram sekiranya mengandungi unsur-unsur riba, contohnya seperti memberi hutang sebanyak seratus ringgit dengan syarat hendaklah membayar sebanyak seratus dua puluh ringgit.

Bab Akhlak (Perangai)
Soalan:
Kita sering mendengar kata-kata seperti Si Anu perangainya baik, Si Fulan itu perangainya buruk. Jadi soalannya, apakah yang dimaksudkan dengan perangai itu?
Jawapan:
Perkataan atau sebutan perangai itu adalah terjemahan dari perkataan akhlak. Maksudnya ialah sikap yang terbit atau lahir daripada seseorang manusia sama ada berbentuk perkataan, perbuatan, tingkah-laku, tindak-tanduk dan sebagainya. Itulah yang dikatakan perangai. Ertinya, kalaulah segala-galanya itu baik lagi sesuai dengan kehendak Islam, maka orang yang bersifat demikian adalah dinamakan orang yang berperangai baik. Begitulah sebaliknya, dinamakan orang yang buruk perangainya.
Soalan:
Apakah di antara sifat-sifat atau ciri-ciri yang boleh membawa seseorang itu menjadi hodoh perangainya?
Jawapan:
Dalam hal ini amatlah banyak sekali sikap negatif dan sifat-sifat mazmumah yang tidak seharusnya dimiliki oleh setiap individu Muslim. Di antaranya ialah seperti sifat nifak, kufur, takbur, hasad, riak, mengumpat, dusta, ujub, sumaah dan sebagainya.
Soalan:
Di antara sifat-sifat yang dicela ialah sombong atau takbur. Apakah yang dimaksudkan oleh Islam dengan sifat tersebut?
Jawapan:
Sifat takbur yang memberi erti membesar diri atau bersikap sombong. Untuk lebih lagi pengetahuan mengenainya, maka ikutilah sabda Rasulullah s.a.w.: “Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia.” (HR. Muslim) Dalam hadis tersebut sudah jelas definisi takbur menurut Islam, iaitu orang yang tidak menerima nasihat-nasihat yang baik dan juga termasuk dalam erti kata sombong ialah orang yang memandang rendah dan menghina-hinakan orang lain, hanya dialah sahaja yang alim, yang kaya, yang cantik dan sebagaianya. Orang yang bersikap demikian adalah merupakan suatu bala yang tidak memperolehi simpati orang dengannya, bahkan ia adalah di antara penghuni-penghuni neraka di akhirat kelak. Hal ini telah diceritakan oleh Rasullullah s.a.w. di dalam sebuah hadisnya: “Mahukah aku ceritakan kepada kamu dengan penghuni-penghuni neraka, iaitu setiap orang bersikap kejam, rakus lagi menyombong.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mac 2012 di pasaran...

No comments: