MAKKAH adalah tanah haram. Ertinya, kita dilarang melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t.
Banyak perkara dan perbuatan dilarang dilakukan di bandar suci ini. Diantaranya, kita tidak boleh memburu binatang, tidak boleh bunuh membunuh seperti haiwan dan lain-lain lagi lebih-lebih lagi insan sesama insan. Apakah lagi untuk mereka melakukan perkara-perkara “haram” seperti merompak, mencuri dan lain-lain, kerana Makkah terutama di Masjidil Haram itu adalah untuk kita beribadah dan berzikir kepada Allah. Selain dari perkara “haram”, ada juga perkara makruh dari dilakukan di tanah suci Makkah. Ada sebahagian kita, kadang-kadang bercakap hal-hal duniawi dalam masjidil Haram. Ada diantara kita bertanya itu dan ini kerana berjual beli. Kita bertanya kawan-kawan yang baru tiba dari kampung tentang kampung kita, apa ada berita tentang kampung dan sebagainya. Maklumlah orang kampung baru tiba... Sebenarnya, hal-hal ini adalah dilarang, dan tidak dibenarkan bercakap hal-hal keduniaan. Kita juga dilarang untuk mencari benda-benda kita yang hilang didalam masjidil Haram. Kita juga dilarang untuk bertanya barang-barang kita yang hilang itu. Kita juga dilarang meminta-minta didalam masjid atau dengan meminta sedekah sebagaimana yang berlaku tidak lama dulu.
Tetapi sekarang telah tidak terdapat lagi orang-orang meminta-minta sedekah dalam masjidil Haram, kerana pegawai-pegawai atau pun polis menjaga dengan keras dan ketat sekali. Kalau ada orang-orang yang meminta-minta, maka orang itu akan ditangkap. Sebenarnya, Islam melarang untuk meminta-minta dalam Masjidil Haram.
Sekarang ini kadang-kadang terdapat juga dimana selesai kita solat, ada orang datang menemui kita bercerita mengenai kesulitan-kesulitan yang dihadapi, atau pun berlaku “musibah” terhadap dirinya. Ini dimakruhkan melakukan perbincangan itu didalam masjid. Juga termasuk yang dimakruhkan dimana kita berbincang mengenai sesuatu barang, atau pun mengenai berpergian dan kepulangan seseorang itu dan lain-lain lagi. Kita yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah menjadikan Masjidil Haram dan Baitullah untuk keperluan berzikir sahaja kepada Allah s.w.t. dan hendaklah kita berusaha sedaya yang boleh untuk melupakan hal ehwal dunia.
Dalam hubungan ini, sahabat Nabi s.a.w., Anas r.a. telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Makkah dibangunkan atas kemakruhan duniawi dan darjat Syurga.” Ada ulama pentafsirkan sabda: “Atas Kemakruhan duniawi”, mengandungi pengertian bahawa sesungguhnya Makkah bukanlah sebuah negeri yang makmur, sebab ia merupakan sebuah pergunungan yang tandus dan berhawa panas. Di samping itu penghidupan di sana termasuk paling berat dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain. Allah Yang Maha Kaya telah menggantikan keadaan itu dengan melipat gandakan kebajikan yang tidak terdapat pada negeri-negeri lain.
Allah juga menjadikan suatu musim haji yang datang setiap tahun sebagai sumber pendapatan tetap dan merupakan asas penghidupan mereka. Seandainya tidak ada dua perkara tersebut, nescaya Makkah hanya akan dihuni oleh beberapa orang. Adalah diriwayatkan dari Sufyan bin Uyainah, dari Abdul Karim Aljazry bahawa Nabi s.a.w. pernah mendengar seorang berkata: “Siapa yang memerlukan unta merah?” “Semoga engkau tidak menemukannya,” sahut Baginda. “Untuk inikah Masjid ini dibangunkan?” Sufyan bercerita kepada kami daripada Amr bin Dinar, daripada Tahwus, bahawa Nabi s.a.w. pernah seorang mengumumkan bahawa barangnya hilang di masjid, maka Baginda bersabda kepadanya: “Semoga engkau tidak akan menemukannya.” (Al-Azragy).
Ibnu Uyainah mendengar Razin hamba Ibnu Abbas berkata: “Ali bin Abdillah bin Abbas pernah menulis surat kepadaku meminta mengirim sebiji batu dari marwah kepadanya untuk dijadikannya sebagai alas sujud.” (Al-Azraqy) Menurut setengah ulama, kita tidak dibenarkan meniru tindakan Ali tersebut. Sekiranya ada tuntutan, maka yang ada adalah keterangan dalam sebuah hadis sahih: “Bumi dijadikan sebagai masjid dan alat bersuci untuku (Muhammad s.a.w.)” Dan hadis: “Dimana pun engkau mendapati waktu solat, maka solatlah.” Oleh yang demikian menurut setengah ulama, tindakan membawa batu dari Makkah untuk tujuan ibadah dan lain-lain merupakan tindakan “bidaah” yang tidak pernah dilakukan, baik Rasulullah s.a.w. mahupun para sahabatnya. Kata ulama lagi: “Apakah kita menemukan suatu keutamaan yang belum mereka temukan? Ataukah kita telah memperhatikan suatu peribadatan yang belum pernah mereka perhatikan?” Abdul Aziz bin Abi Ruwad menceritakan: “Aku mendengar beberapa orang fuqaha menyatakan bahawa seseorang dimakruhkan membawa tanah atau batu dari tanah haram ke tanah halal dan juga sebaliknya, atau mencampur satu sama lain.”
Abdul Majid juga menceritakan, sebahagian gurunya pernah bercerita bahawa pada suatu hari Ibnu Zubair mendatangi Maqam Ibrahim untuk melakukan solat di belakangnya. Tiba-tiba beliau mendapati sekeping batu putih yang terletak di sana, maka beliau bertanya: “Batu apakah ini?”. Lalu seorang memberitahu bahawa batu itu berasal dari tempat ini dan tempat itu diambil dari tanah haram.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...
Wednesday, May 11, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment