BAGI umat muslim, ada caranya semasa di dunia untuk mereka menyelamatkan diri dari seksa kubur. Ulama tersohor, Imam Ibnu Qayyim dalam kitab “Ar-Ruh” ada menjelaskan sebab-sebab yang boleh menyelamatkan hal ini. Kalau kita ingin mengelakkan diri atau pun selamat dari seksa kubur atau cara ialah berusaha menjauhkan penyebabnya. Dalam sebuah kitab agama yang menerangkan tentang “Alam Akhirat” menyebutkan ketika seorang hamba yang salih diletakkan dalam kuburnya, maka amalan-amalan salihnya datang mengelilinginya dan menghampirinya. Dalam masa Malaikat Azab datang untuk mengazabnya, maka datanglah semua amalan yang dibuatnya sama ada di dunia dulu menghalang dari diazab. Sembahyang, puasa, zakat, sedekah, haji dan berbuat baik, berbuat kebajikan adalah amalan-amalan baik yang kita lakukan di dunia dulu yang mengelilingi kita dalam kubur akan membantu dari diazab oleh para Malaikat Azab. Itulah disebutkan tadi, kita boleh menyelamatkan diri dari seksa kubur dengan syarat sentiasa menjalankan perintah Allah dengan penuh ikhlas dan redho. Dalam kitab itu disebutkan bahawa orang-orang yang semacam inilah yang amalan-amalan mereka akan menjadi hujah untuknya dan membelanya. Sebab manusia itu berbeza-beza keadaan dalam keikhlasan amalannya. Kalau kita lihat dalam perkara yang menyebabkan seksa kubur itu bukan hanya dosa-dosa besar, bahkan dosa kecil pun termasuk penyebab terjadinya seksa kubur. Patutlah Nabi s.a.w. pun mengatakan, seperti dalam pembahasan “Himpitan Kubur,” bahawa pada umumnya manusia yang dimasukkan ke liang lahad itu akan dihimpit oleh kubur. Kata baginda s.a.w. jarang orang yang selamat. Tidak ada yang selamat daripada seksa kubur kecuali para nabi, para syuhada dan orang-orang yang salih. Orang-orang yang derhaka kepada Allah akan diseksa di dalam kubur. Kalau kita ingin selamat daripada azab kubur hendaklah kita menjauhi perkara-perkara yang menyebabkan seksa kubur itu. Kalau kita sudah terlanjur mengerjakan perkara-perkara seperti di atas hendaklah segera bertaubat. Di samping itu kita disuruh membaca Al-Quran, terutama surah yang dapat menyelamatkan kita dari seksa kubur. Ibnu Qayyim dalam kitabnya ‘al-Ruh’ menceritakan riwayat Ibnu Hurnaid, dari Ibrahim bin al-Hikam, dari ayahnya, dari Ikrimah, katanya, Ibnu Abbas r.a. berkata kepada seorang lelaki: “Perlukah aku berikan kepadamu satu khabar gembira?” Lelaki itu menjawab: “Ya”. Ibnu Abbas berkata: “Bacalah surah al-Mulk, pelajari, hafaz dan ajarkan kepada keluarga atau anak-anakmu di rumah atau kepada tetanggamu, kerana ayat itu dapat menyelamatkan engkau daripada tragedi hari kiamat dan seksa kubur.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku senang apabila surah itu berada dalam hafalan setiap seseorang daripada umatku.” Abu Umar bin Abdil Barr berkata: Benar-benar dari Rasulullah bahawa baginda bersabda: “Bahawa surah yang berisi tiga puluh ayat itu memberi syafaat bagi pembacanya hingga mendapatkan ampunan.” Memelihara solat dengan baik termasuk perkara yang menyelamatkan seseorang di dalam kubur. Imam Ahmad bin Hajar al-Haitami dalam kitabnya al-Zawajir menyebutkan: Tersebut dalam hadis: “Siapa yang menjaga solat lima waktu, maka Allah akan memuliakannya dengan lima perkara:
• Dihindarkan daripada kesempitan hidup.
• Dihindarkan daripda seksa kubur.
• Dia akan menerima kitab amalnya dengan tangan kanannya.
• Berjalan di atas sirath (titian) bagaikan kilat.
• Masuk syurga tanpa hisab.”
Sedangkan orang yang menyia-yiakan solat mendapat ancaman seksa sebanyak 15 ancaman. Dari lima belas ancaman itu, lima di antaranya akan diterimanya di dunia, tiga pada waktu matinya, tiga di dalam kubur dan tiga ketika keluar atau berbangkit dari kubur.
Hukuman di dunia ialah:
• Dicabutkan keberkatan umurnya.
• Dihapus tanda orang salih dari mukanya.
• Tiap amal yang dikerjakannya tidak diberi pahala oleh Allah.
• Doanya tidak dinaikkan ke langit.
• Tidak dapat bahagian dari doa orang-orang salihin.
Hukuman ketika mati:
• Mati dalam keadaan hina.
• Mati dalam keadaan lapar.
• Mati dalam keadaan haus.
Hukuman di dalam kubur:
• Disempitkan kuburnya sehingga hancur tulang-tulang rusuknya.
• Dinyalakan api dalam kuburnya.
• Didatangkan kepadanya ular yang bernama syuja’ Matanya dijadikan dari api sedangkan kukunya daripada besi. Setiap kuku panjangnya perjalanan sehari.
Sedangkan hukuman ketika berbangkit dari kuburnya ialah:
• Dihisab dengan teliti.
• Allah murka kepadanya.
• Dimasukkan ke dalam neraka.
Bersedekah juga dapat mengurangkan seksa kubur.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...
Wednesday, May 11, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment