Tuesday, May 10, 2011

Iblis Tersenyum Kerana Wang

DALAM sebuah kitab agama, ada dinukilkan bahawa ketika mata wang “Dinar” diwujudkan pada suatu masa yang tidak disebutkan bila?, maka dikatakan “iblis” tersenyum melihatnya. Iblis berkata apa yang disebut dalam nukilan itu: “Benda inilah yang akan membantu aku untuk membawa manusia atau anak cucu Adam ke lubang neraka.” Bagi manusia yang tergoda dengan godaan syaitan, ternyata sekarang wang menjadi faktor utama menjadikan manusia terjerumus kedalam lubang “mungkar dan maksiat”. Lebih-lebih lagi kepada manusia yang lemah imannya dan tidak mempunyai pengetahuan agama, maka amat mudah sekali diselewengkan oleh syaitan dengan wang. Zaman mutakhir ini, ramai manusia tewas dalam hidupnya semata-mata kerana wang. Manusia menjadi tidak amanah kerana wang. Manusia jadi jahat kerana wang. Manusia jadi penipu, penyangak, penyamun jadi itu dan ini kerana wang. Semuanya ini diperolehi dari sumber yang “haram” yang tidak dibenarkan oleh agama yang menjadi pegang kita sebagai seorang Muslimin. Ada manusia memperolehi sumber wang itu dari kerja-kerja menipu dimana wang itu didermakan untuk membina rumah ibadah, rumah anak yatim, badankebajikan. Yang paling menyedihkan wang itu digunakan untuk tunaikan haji. Ini berlawanan dengan apa yang di perintahkan dalam “Kitabullah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.”, dimana menggunakan wang dari sumber yang haram adalah tidak dibenarkan. Ada satu kisah yang pernah diceritakan tentang bagaimana ada seorang yang tunaikan fardu haji dari sumber wang yang tidak betul. Orang ini bekerja sebagai pegawai yang meluluskan segala pinjaman. Sebagaimana biasa, kalau mahu segera, mahu cepat, mahu gunakan wang segera perkara pinjaman itu boleh diuruskan tetapi dengan syarat ada “komisen”. Inilah sumber wang yang tidak dibenarkan oleh agama. Kerajaan sendiri pun banyak mewujudkan “agensi” yang tertentu boleh mengeluarkan pinjaman bagi menolong orang-orang Melayu berniaga, anak-anak melanjutkan pelajaran, dan macam-macam benda yang lain.
Pinjaman-pinjaman itu boleh diaturkan dengan cepat, tetapi ada syarat tertentu yang dikenakan oleh mereka yang menjaga dan meluluskan pinjaman-pinjaman tersebut. Kalau yang datang atau pun yang memohon itu dari kalangan wanita, ada syarat yang lain pula. Aduan ada diterima, dan ada diantaranya diheret ke mahkamah kerana “tidak amanah” dan menyeleweng. Kemudian, hasil dari wang yang diperolehi secara “haram” itu diberi makan isteri, anak, ayah, ibu, ayah mertua dan orang-orang yang ditanggung. Di akhirat nanti didepan Allah dimana Allah sediakan “penghisaban” menyediakan “Mahkamah Allah” disana jawablah. Ketika itu tidak ada peguambela, dan ketika mulut kena kunci. Yang bercakap, kaki, tangan dan anggota badan yang melakukannya akan bercakap terus terang. Ada orang cari wang, cari rezeki berhempas pulas, peras keringat, banting tulang, keluar pagi, pulang malam kerana mencari rezeki dengan titik peluh sendiri. Yang satu golongan lain cuma mengambil hak orang. Ada orang pinjam wang “Dua puluh ribu ringgit”, kena bayar “dua puluh lapan ribu ringgit” kerana faedah dikenakan dalam pinjaman itu. Tetapi yang meminjam “dua puluh ribu” itu tidak dapat penuh apa yang dipinjam, kerana awal-awal lagi sudah dipotong oleh yang mengurus atau pun yang meluluskannya.
Inilah yang dikatakan merampas “hak orang”, memakan rezeki haram yang bersumber dari kerja-kerja haram.
Pada suatu ketika pemakan komisen ini mahu buat haji. Wang komisen ada dalam simpanan. Dia pergi, tetapi ada cerita lain disebalik pemergiannya itu. Dia mengalami berbagai kesulitan. Malah bas yang dinaiki juga mengalami masalah. Dia tahu, musibah itu berlaku kerana dia ada sama di dalam bas itu. Apa yang harus dia buat. Apakah dia mahu berterus terang? Atau pun dia buat diam-diam saja? Pada fikirannya, lebih baik dia berterus terang dengan mutawif (ustaz yang mengendalikan dia bersama jemaah lainnya buat haji itu). Dalam saat-saat yang genting itu, dia terus jumpa mutawif dan menerangkan kedudukan dirinya. Dia mendekati Mutawif dan terus berkata: “Saya yang menjadi sebab dan punca bas ini mengalami masalah.” Ustaz hairan dengan penjelasannya itu secara tiba-tiba saja. “Saya datang membawa dosa yang banyak. Saya datang ke sini dengan wang yang tidak halal,” katanya. Ustaz semakin bingung.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2011 di pasaran...

No comments: