ZAMAN pemerintahan Jepun Di Malaya ketika itu, saya masih kecil. Tetapi saya masih ingat apa yang terjadi. Bagaimana orang-orang kampung makan ubi kayu dan ubi keledek saya masih ingat lagi semua itu. Dalam masa pemerintahan Jepun, saya rasa merupakan satu pemerintahan yang “paling zalim”. Tidak ada peri kemanusian langsung ketika itu. Tentera-tentera Jepun yang saya lihat mundar mandir dengan basikal terlalu ganas. Apabila tentera Jepun lalu dengan basikal beramai-ramai di jalan raya di kampung-kampung misalnya, penduduk-penduduk kampung terutama wanita-wanitanya menyembunyikan diri. Kadang-kadang ada sebahagian dari kaum wanita menyembunyikan diri dalam hutan-hutan yang berdekatan dimana tentera-tentera Jepun tidak tahu.
Dalam masa pemerintahan Jepun ketika itu, tentera-tentera Jepun hanya “main rampas” saja basikal yang dinaiki oleh orang-orang kampung. Saya masih ingat lagi, ayah saya seorang “tukang gunting rambut”. Perjalanan dari rumah ke tempat kedai gunting rambut itu sejauh kira-kira dua kilometer. Ayah saya naik basikal untuk ke tempat kerjanya. Satu petang, saya lihat ayah saya pulang hanya berjalan kaki. Selalu dia naik basikal tetapi hari itu, dia membetis (menapak berjalan kaki saja). Kakak saya bertanya: “Mana basikal ayah? Ayah saya jawab: “Tentera Jepun dah rampas. Ketika ayah pulang dari kedai, sekumpulan tentera Jepun lalu dengan basikal. Salah seorang darinya menahan ayah supaya turun dari basikal. “Kemudian sebuah lori datang untuk mengangkut basikal itu. Dalam lori tentera itu memang banyak basikal. Semua basikal itu diambilnya dari orang ramai yang lalu di jalan raya,” cerita ayah saya. Memang celaka sungguh si Jepun itu... Saya ketika itu tidaklah begitu faham sangat tentang hal tentera Jepun. Saya pun kurang faham kenapa orang-orang Jepun ada dalam kampung kami dengan naik basikal. Dalam masa Jepun memerintah Malaya ketika itu, ketua-ketua kampung diarahkan supaya menyuruh orang-orang kampung bertanam ubi kayu dan keledek. Tujuannya ialah untuk “makan bagi menggantikan “beras”. Ketika itu tidak ada beras. Perang besar di sana sini, jadi beras tidak sampai ke Malaya.
Lagi pun, beras digunakan untuk tentera-tentera yang berjuang dan berperang itu. Jadi, penduduk-penduduk kampung terpaksa turun “berkebun” bercucuk tanam diantara tanaman itu termasuklah ubi kayu dan keledek.
Orang-orang kampung ketika itu hanya makan ubi rebus bagi menggantikan “nasi”. Nak makan nasi sebulan sekali pun tidak bertemu, kerana tidak ada beras. Sawah-sawah yang ada pun tidak ada yang mengusahakannya, kerana nak usahakan macam mana? Benih padinya tidak ada? Jadi, sawah bendang ketika itu terbiar begitu saja ditumbuhi rumput-rumput saja, dan tempat sarang tikus dan binatang-binatang lain. Peristiwa yang paling mengerikan yang masih saya ingat ialah peristiwa tentera-tentera Jepun yang berbasikal, dan lengkap dengan senjata api dibadan mereka masuk kampung. Tentera-tentera itu dalam perjalanannya dari suatu kawasan pertempuran, ke satu kawasan lain mereka naik basikal. Ketika itu tidak ada trak tentera. Tentera-tentera ini lalu singgah disebuah kampung tempat saya tinggal. Wanita-wanita termasuk kakak-kakak saya kelihatan dalam keadaan ketakutan. Wanita-wanita sebelah menyebelah rumah juga terjadi demikian. Sebelum tentera-tentera itu tiba ditempat kami, semua wanita dikampung itu telah menyembunyikan diri ditepi sebuah “semak” dekat dengat sebatang sungai. Apabila tentera-tentera Jepun itu sampai, tentera-tentera itu telah turun dari basikalnya. Sebahagian darinya memanjat pokok kelapa dan mengambil kelapa muda. Manakala sebahagian yang lain cuba naik rumah ke rumah untuk mencari wanita-wanita. Tetapi, para wanita ini rupa-rupanya sudah tahu awal lagi dan sebab itulah mereka menyembunyikan diri. Kalaulah, tentera-tentera Jepun ini dapat wanita-wanita dalam rumah yang dinaikinya itu, saya tidak tahulah apa akan terjadi kepada mereka itu?
Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...
Sunday, February 12, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
cerita sejarah yang begitu menarik
Post a Comment