KITA sering mendengar dakwaan tentang seseorang itu wali Allah. Mari kita cuba memahami siapakah wali Allah dengan melihat sifat-sifatnya, amalan-amalannya dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Jadinya mana-mana orang yang mendakwa dirinya sebagai wali Allah, sedangkan dia tidak memenuhi kriteria yang sebenarnya, maka mudahlah bagi kita menolak dakwaan dirinya sebagai wali Allah dan lain-lain dakwaannya yang bagi orang ramai tidak begitu jelas akan hakikat sebenarnya.
Erti Wali Allah
Wali Allah itu ialah orang yang beriman dan orang yang bertakwa kepada Allah. Berkata ulama tafsir: “Wali Allah ialah orang yang mendampingi dan berbuat taat kepada Allah, dan kerana itu Allah Taala pula mendampingi dan memberinya kemuliaan. Wali Allah itu orang yang kasihkan Allah dengan berbuat taat kepadaNya dan kerana itu Allah pula kasihkan dia dengan memberikan kemuliaan kepadanya. Wali Allah itu, Allah Taala berdamping dengannya dan memberi hadiah kepadanya, dan wali Allah itu berdamping dia dengan menjalankan hak-hak kehambaan kepada Allah, dan menyeru orang kepada Allah.” Ini setengah daripada kata ulama tafsir. Berkata ulama tauhid: “Wali Allah ialah orang yang telah mendatangkan Iktikad yang benar, disusun daripada dalil ‘aqli dan naqli (al-Quran dan hadis), dan dia mendatangkan amal-amal yang salih menurut cara apa yang datang daripada syarak sebagaimana firman Allah Taala: Tafsirnya: “(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.” (Surah Yunus:63) Iman itu tersusun daripada Iktikad dan amal, dan maqam takwa iaitu dia menjauhi segala larangan Allah. Berkata Imam an-Nawawi dalam pendahuluan Syarh al-Muhadzdzab daripada Imam asy-Syafie dan Abu Hanifah Radhiallahu ‘anhuma bahawa kedua-duanya berkata: “Jika tiada ulama itu wali Allah, maka tidaklah ada wali bagi Allah, dan erti orang ‘alim ialah yang beramal dengan ilmunya dan ikhlas kepada Allah serta tiada ria dan menunjuk-nunjuk.”(Daripada tafsir al-Jamal).
Berkata al-Allamah asy-Syeikh Thahir al-Jaza’iri dalam al-Jawahir al-Kalamiyyah: “Wali itu ialah orang yang tahu dan kenalkan Allah beserta sifat-sifatNya, dan seberapa yang terdaya dia sentiasa berbuat taat serta menjauhi segala maksiat dan kesalahan, menjauhi daripada berseronok dengan kelazatan dan syahwat, dan zahir keramat daripadanya iaitu suatu kemuliaan daripada Allah dan tanda serta isyarat diterima amal ibadatnya oleh Allah dan tanda dia berdampingan dengan Allah.” Berkata al-Allamah as-Sayyid ‘Alawi bin Thahir al-Haddad Mufti Johor yang meninggal tahun 1382H dalam kitab ‘Uqud al-Almas bi Manaqib al-Imam al-‘Arif Billah al-Habib Ahmad bin Hassan al-‘Aththas, Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Fath: “Wali itu ialah orang yang kenalkan Allah, yang sentiasa rajin membuat taat kepadaNya, yang ikhlas semata-mata kerana Allah dalam ibadatnya.”
Kata al-‘Allamah as-Sayyid ‘Alawi lagi: “Iman yang benar, yang kuat, yang tetap dalam hati adalah asal bagi perkara wali itu. Daripada iman yang kuat itu bangkit himmah seseorang hamba Allah pada menyempurnakan takwa kepada Allah dan mendirikan sifat-sifat kehambaan dan berusaha pada berdampingan dengan Allah dengan mengerjakan suruhanNya, dan berusaha mencari keredhoanNya, dengan membuat segala perkara wajib yang telah diperintahkan oleh Allah, dan dia menunaikan perintah-perintah itu dengan penuh hadir hati serta dengan benar-benar khudu’ merendah diri dan menyembah Allah dengan memandang bahawa Allah itu Tuhannya dengan tidak memandang faedah dirinya, hanya memandang anugerah Allah ke atasnya dan dengan itu terhindarlah dirinya daripada sifat lalai, ‘ujub’, ria, bermuka-muka dan minta upah dan balasan, kerana dia beriktikad bahawa apa yang dia dapat itu hanyalah limpah kurnia Allah sebagaimana Iktikad Ahli Sunnah wal Jamaah, maka dia pun bersifat ikhlas, jujur semata-mata kerana Allah dan jadilah ibadatnya ibadat hamba yang hina-dina kepada Tuhannya yang mulia. Bahawa amal-amal salih itu mempunyai pahala dan mempunyai cahaya atau nur dalam dunia sebelum tiba Hari Akhirat. Dengan bertambah iman, maka bertambah-tambahlah seseorang hamba Allah itu beribadat dan merendah diri kepada Allah dengan berbuat ibadat-ibadat yang sunat daripada sembahyang, puasa, zikir dan berfikir pada makhluk Allah. Dan Allah beri dia taufiq pada memelihara dirinya daripada penyakit-penyakit yang merosakkan hati. Kata al-‘Allamah as-Sayyid ‘Alawi lagi: “Berkata al-Imam Ibnu Hajar al-Makki: “Ringkasan apa yang telah kita huraikan, bahawa barang siapa berusaha berdamping dengan Allah Taala dengan mengerjakan perkara-perkara yang fardu dan wajib, kemudian dia mengerjakan amal-amal sunat, nescaya Allah mendampinginya dan mengangkatkan darjatnya daripada darjat iman ke darjat ihsan, maka jadilah dia dalam keadaan beribadat kepada Allah dengan hadir hati dan gemar kepada Allah, sehingga jadi apa yang ada dalam hatinya daripada kenalkan Allah dapat menyaksikan dengan mata hatinya, seolah-olah dia melihat Allah, maka ketika itu penuhlah hatinya dengan kenalkan Allah, kasihkan Allah, kemudian Allah, dan kehebatan Allah dan ketinggian Allah dan merasa senang denganNya, kemudian sentiasalah mahabbah dan kasih akan Allah itu bertambah-tambahlah sehingga tidak ingat hatinya melainkan Allah, dan tidaklah dapat anggotanya berbuat sesuatu melainkan dengan persetujuan apa yang ada dalam hatinya itu. Inilah yang dikatakan tidak ada dalam hatinya melainkan kenalkan Allah, mahabbah kepada Allah ingatkan Allah.” Kemudian kata al-Imam Ibnu Hajar lagi: “Ketika penuh hatinya dengan kenalkan Allah, maka hilanglah ingatannya yang lain daripada Allah, dan dia tidak bertutur melainkan dengan ingatkan Allah dan dia tidak bergerak melainkan dengan menurut perintah Allah. Jika dia bertutur, maka dia bertutur dengan perintah Allah, jika dia mendengar maka dia mendengar dengan perintah Allah, jika dia melihat maka dia melihat dengan perintah Allah, jika dia bergerak dan membuat sesuatu maka dia berlaku dengan perintah Allah.” Tamat katanya yakni segala gerak-geri, tuturnya dan lain-lain itu bersetuju dan muafakat dengan apa yang diperintah dan disuruh oleh Allah Taala. Katanya lagi: “Telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim, at-Termizi dan an-Nasa’i daripada sahabat, Anas r.a. telah berkata: “Sabda Rasulullah s.a.w.: Maksudnya: “Tiga perkara, barang siapa ada padanya, nescaya dia dapat merasa kemanisan (nyamannya) iman, hendaklah hanya Allah dan RasulNya itu sekasih-kasih keduanya kepadanya lebih daripada dia mengasihi akan lain daripada keduanya, hendaklah dia kasihkan seseorang Islam itu tidak ada kasihnya melainkan kerana Allah semata-mata, dan hendaklah dia benci akan kembali pada kufur (menjadi kafir), sebagaimana dia benci akan dicampakkan dia ke dalam api neraka.” Ini perkataan al-‘Allamah as-Sayyid ‘Alwi dalam ‘Uqud al-Almas yang terang dan jelas bahawa iman itu terbit daripada kenalkan Allah, dan kenalkan Allah itu didapati melalui kitab-kitab tauhid dan ilmu ‘aqa’id, iman itu menjadi teguh dan sempurna, nyaman di hati hamba Allah atau di hati seseorang yang beriman, apabila ada kasih mahabbah kepada Allah dan Muhammad s.a.w. lebih dari mengasihi dirinya dan anak isterinya sendiri dan lain-lain orang. Dia kasihkan seseorang Islam itu kerana Allah semata-mata, sebab orang itu taatkan Allah, dia bencikan orang itu, kerana orang itu derhaka kepada Allah, sebagaimana yang tersebut dalam suatu hadis lain, dan dia benci tidak mahu membuat perkara yang menjadikan kufur dan keluar daripada Islam dan dia benci membuat perkara yang menjadikan kufur dan keluar daripada Islam dan dia benci membuat perkara yang membawa dia masuk api neraka daripada perangai jahat, perbuatan dan percakapan yang dilarang Allah.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...
Sunday, February 12, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment