ADAKAH para penghuni neraka mempunyai makanan khas? Dan adakah keadaan hidup mereka di dalam neraka membolehkan mereka makan ataupun minum? Ya! Memang para penghuni neraka ada pelbagai jenis makanan dan minuman. Makanan dan minuman adalah merupakan bahan-bahan keperluan hidup; manakala para penghuni neraka itu kesemuanya hidup dan tidak mati. Sebab kalaulah mereka mati nescaya mereka dapat merasa rehat dan terlepas daripada bahana seksa azab sengsara; tetapi mereka sebenarnya tidak mati.
Firman Allah, ayat 56 Surah An-Nisa’: Terjemahan; Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan mereka memang sering kali memohon supaya dimatikan, dan selalu sahaja mendesak untuk mati, tetapi permohonan dan desakan mereka itu ditolak. Al-Quran telah mendedahkan perihal permohonan dan desakan mereka itu: Terjemahan: Dan mereka merayu (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Malik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!” (Surah az-Zukhruf, ayat: 77) Allah s.w.t. juga telah memberi perkhabaran mengenai desakan mereka supaya dimatikan, seperti firmanNya: Terjemahan: Mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas daripada seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka. (Surah Fatir, ayat: 36)
Seperti juga Allah s.w.t. telah memberi perkhabaran tentang orang-orang yang menderita bakaran api neraka yang amat besar itu tidak hidup dan tidak juga mati, seperti diterangkan di dalam ayat 11-13 Surah al-A’la:
Terjemahan: Dan (sebaliknya) orang sangat-sangat celaka akan menjauhinya. Dialah yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya). Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.
Az-Zaqqum
Zaqqum ialah sejenis buah dari pokok yang tumbuh di dasar neraka Jahim. Rasanya sangat pahit dan mencekik halkum setiap orang yang memakannya, dan tidak boleh lepas melainkan dengan menelan air minuman dari api panas yang mendidih. Di antara khasiat buah zaqqum ialah menyebabkan menggelegakkan perut, seperti kapur simen, bila sahaja dituang air nescaya ia akan meletup mendidih dan menggelegak. Firman Allah: Terjemahan: Manakah yang lebih baik, limpah kurnia yang termaklum itu atau pokok zaqqum? Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).
Sebenarnya ia sebatang kayu yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang. Buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan. Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk) sehingga mereka memenuhi perut darinya. Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi selain itu, satu minuman campuran air panas yang menggelegak. (Surah as-Saffat, ayat: 62-67) Dan firmanNya lagi dalam Surah ad-Dukhan, ayat 43-46: Terjemahan: (Ingatlah) sesungguhnya pokok zaqum itu, (buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (di dalam neraka). (Makanan itu pula panas) seperti tembaga cair, mendidih di dalam perut seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. Dan Rasulullah s.a.w. telah membaca ayat ini: Terjemahan: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Ali-Imran, ayat: 102) Dan Baginda Bersabda:
Terjemahan: Jika sekiranya tumpah setitik sahaja air buah zaqqum itu ke dalam dunia, nescaya ia akan merosakkan seluruh kehidupan penghuni dunia ini. Jadi bagaimanakah keadaan hidup orang yang makan buah zaqqum itu di sepanjang hayat mereka? (HR. at-Termizi, Ibnu Majah dan Ahmad)
Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...
Sunday, February 12, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment