Sunday, February 12, 2012

Kepalsuan Dalam Mengamalkan Tasawuf

UNTUK membolehkan sesiapa yang berminat memasuki sesuatu tarikat, mestilah ada syeikh yang akan memberikan keizinan (ijazah) dalam penyerahan sesuatu wirid, sekiranya syeikh itu tidak ada, mestilah ada seorang lain sebagai penggantinya, sama ada orang itu khalifah syeikh ataupun sesiapa sahaja yang ditunjuk dari anggota tarikat. Ini salah satu cara yang digunakan oleh syeikh-syeikh tarikat dalam memancing kebodohan orang-orang Islam untuk dikenakan, dipergunakan (dieksploitasi) kemampuan kewangan, harta benda dan tenaga orang tersebut untuk kegunaan peribadi syeikh dan pembantu-pembantunya. Ulasan saya, menggunakan wasilah untuk menuntut ilmu itu bererti menggunakan cara yang hak untuk tujuan yang batil. Mengambil syeikh (guru) yang arif dan mengikuti jalan kepada Allah dengan cara belajar melaluinya, mengikuti kesempurnan kerohanian dan mengikut tarbiah Islamiah melalui seorang guru adalah perkara baik yang disuruh, kerana seseorang itu tentu tidak mungkin dapat mengenal Allah, tidak mungkin dapat mengetahui kesukaan dan kebencianNya, tidak mungkin mengetahui bagaimana cara beribadat dan cara mendekatkan diri dengan betul kepadaNya, jika tidak menjadi murid kepada mana-mana syeikh (guru) ilmu pengetahuan. Tetapi disini yang salah, ialah; mensyaratkan ada syeikh untuk memberi ijazah, walaupun syeikh itu seorang yang buta huruf lagi jahil. Apa yang saya katakan ini adalah kenyataan, kebanyakan syeikh-syeikh tasawuf adalah buta huruf, maka sesiapa yang belajar darinya, ilmunya amat terhad, tidak lebih dari mengetahui sebahagian dari rukun Islam seperti solat sahaja, umpamanya. Yang mereka maksudkan dengan keizinan itu tidak lebih daripada kenyataan; bahawa sesiapa yang hendak dilantik (melantik dirinya) menjadi syeikh sesuatu tarikat, mestilah pernah berkhidmat kepada syeikh terdahulu, dari mata rantai syeikh-syeikh dalam jangka waktu yang agak panjang, lalu syeikh itu mewariskan gelaran tersebut dan mengizinkannya memberi wirid-wirid serta mengetuai semua pengikut sesebuah tarikat itu.
Dengan cara yang seperti itu, mereka mendakwa bahawa tarikat mereka yang batil itu mempunyai sanad (sandaran) yang sambung menyambung sampai kepada Nabi s.a.w. Sebahagian pula mendakwa tidak perlu sanad yang bersambungan, kerana dia telah mengambil tarikatnya langsung dari Nabi s.a.w. di dalam pertemuan dalam keadaan jaga, bukan bermimpi seperti mana yang didakwa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad at-Tajani di dalam bukunya “Jawahirul Maani”, muka surat 97 tersebut: “Adapun sanad tarikat Muhammadiah (at-Tajaniah) maka sesungguhnya dia telah memberitahu saya, katanya: “Kami telah mengambil dari pelbagai syeikh, tetapi tidak ada yang Allah sampaikan maksudnya-hanya sanad kami dan guru kami pada tarikat ini ialah Saiyidil Wujud (s.a.w), maka sesungguhnya Allah telah memutuskan membuka dan menyampaikan kami di hadapannya jadi tidak ada syeikh lain yang mesti berikan perhatian”. “Adapun kelebihan mengikutinya, maka saya telah diberitahu oleh Saidil Wujud (s.a.w.) “bahawa sesiapa yang cinta padanya bererti cinta kepada Nabi (s.a.w.) dan tidak akan wafat selagi belum benar-benar menjadi wali”. Antara pembohongan ahli tasawuf yang pelik, ialah keterangan orang syeikh tarikat asy-Syazali di Syria yang bernama Abdul Qadir Isa. Beliau menceritakan kenyataan yang dibuat oleh orang yang menerima tarikat asy-Syazaliah iu; iaitu asy-Syeikh Muhammad al-Hasyimi at-Timasani al-Jazairi yang menerangkan mata rantai syeikh tarikat itu bermula dari dirinya sampai kepada Nabi (s.a.w.). Di dalam senarai yang disebutkan itu termasuk ramai orang-orang dari puak batiniah yang menyamar dan ahli-ahli tasawuf jahat (dajal). Senarai nama-nama syeikh itu bersamaan di dalam empat tarikat: al-Qadiriah, asy-Syazaliah, ad-Daraqawiah dan al-Alawiah. Sementera pendustaan yang paling buruk dan jahat pula ialah apa yang dihubungkan kepada Rasul s.a.w. (marfu’) bahawa Rasul lebih kasih kepada tiga orang sahabatnya lebih dari yang lain-lain, iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Anas bin Malik dan ‘Ali bin Abi Thalib, lalu kerana itu baginda memberikan wirid atau amalan tertentu sebagaimana yang dibawa oleh tarikat berkenaan. Ya Allah! Saya memohon perlindungan dari Engkau daripada membuat dusta ke atas Rasul dan menuduhnya memilih kasih dalam menyampaikan petunjuk dan keterangan ke arah jalan yang benar. Ya Allah kami naik saksi bahawa Rasul Engkau Muhammad s.a.w. sesungguhnya telah menyampaikan semua yang telah Engkau wahyukan dan semua yang Engkau perintah. Tembelang keji ini antaranya dapat kita sedari dari sebuah hadis riwayat al-Bukhari dengan sanad yang shahih daripada Ali bin Abi Thalib r.a. katanya: Terjemahan: Kami tidak mempunyai apa-apa melainkan Kitabullah dan suratan dari Nabi s.a.w. ini, (tertulis) “Madinah adalah haram di antara Air sampai sekian...al-Hadis. Kenyataan ini dengan sendirinya telah menafikan bahawa Nabi s.a.w. ada mengkhususkan ilmu tertentu kepada beliau yang tidak diajarkan kepada umatnya yang lain. Muslim juga telah meriwayatkan di dalam “Shahih”nya dari Abi at-Thufaili: Terjemahan:”Ketika saya bersama Ali datang seorang lelaki bertanya kepadanya: “Apakah rahsia yang pernah Nabi s.a.w. berikan kepadamu”. Mendengar itu Ali naik marah, kemudian berkata: “Dia tidak pernah mengkhususkan sesuatu kepada kami yang tidak diketahui oleh orang ramai, kalau adapun hanya tentang empat perkara.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2012 di pasaran...

No comments: